Saturday, February 27, 2010

Cerpen 'Ketika sampai seru' di Berita Harian



Cerpen saya yang disiarkan di Berita Harian bertarikh 27 hb Februari 2010.Cerita yang mengisahkan hasrat seorang ibu yang tidak kesampaian. Anda juga boleh membacanya di Berita Harian Online (klik di sini)
Cerita yang mengisahkan hasrat seorang ibu yang tak kesampaian...

Friday, February 5, 2010

Cikacika : Bab 7 : Angin pusar


Langit semakin cerah. Deru angin yang bertiup membuatkan Zilion berasa ingin terbang segera. Arah angin pun bagaikan merestui perjalanan pagi itu. Dan dia cukup yakin, tenaganya mencukupi untuk sampai ke Lembah Helicornea. Segalanya cukup sempurna.

Di hadapan sana, Lembah Helicornea terbentang luas. Namun untuk sampai ke sana, mereka perlu terbang merentasi sebuah kawasan lapang yang tandus. Tidak ada sebarang makhluk yang hidup di situ dan tidak ada sebatang pokok pun yang tumbuh.Tanpa berlengah, Zilion terus mengembangkan sayapnya lalu terbang dengan tenang sekali dengan dibantu tiupan angin.

Namun ketenangan yang diharapkan tidak berpanjangan. Tiba-tiba sahaja Anacika menjenguk di pintu uncang. “Panas ! Panas!” Tubuhnya lencun dengan peluh yang mencurah-curah keluar. Tidak tertahan rasanya terus terperap di dalam uncang itu lebih lama lagi. Kini dia berpaut pada belakang Zilion sambil memerhati sekitarnya, tidak pernah dia terbang setinggi itu di udara. Tubuh yang panas berasa segar semula.

“Panasnya…” Anacika merungut sambil menutup kepalanya dengan tapak tangan.

“Memanglah panas, awak tak pernah kena cahaya matahari,” jawab Zilion. Jengkel rasanya mendengar Anacika bersungut-sungut. Hari panas lebih baik dari hari hujan, sepatutnya Anacika bersyukur.

“Yang bulat itu, namanya matahari?” tanya Anacika sambil menunjuk ke langit.Selama ini dia hanya dapat bermain cahaya matahari yang mencuri-curi masuk dari celah-celah daun pokok Orkida yang rendang.

“Ya, punca cahaya dan punca kepanasan.” Zilion mengerling ke arah matahari yang semakin tinggi.Sinarannya yang terik mula membuat Zilion kehausan.

Anacika mengangguk faham.“Zili, apa keputusan awak?” Tiba-tiba Anacika teringatkan persoalan yang belum dijawab.

“Keputusan?”

“Ya, sama ada awak mahu pulang ke lembah kita atau terus mengikut saya?”

“Hah ! Saya ikut awak? Saya cuma menghantar awak ke sana,” pintas Zilion.

“Selepas itu apa rancangan awak? Balik ke lembah semula?”

Zilion terkedu. Dia tidak pernah berfikir sejauh itu. Bahkan dia tidak pun berharap mereka akan sampai ke Lembah Whito.Cukuplah jika….sehingga rancangannya berjaya. Cuma entah mengapa hasratnya selalu tertunda. Dan dari saat ke saat mereka semakin hampir ke lembah itu.

Melihatkan Zilion tidak mengendahkan pertanyaannya, Anacika mula mengalihkan perhatian. “Itu apa?” tunjuk Anacika ke bawah pula. Matanya terpaku melihat cahaya yang bergemerlapan dari bawah sana.

“Kawasan tandus. Kita tidak boleh hinggap di sana.”

“Mengapa?” Hancur harapannya yang baru ingin disuarakan. “Ada apa di sana? Permata?”

“Jangan cepat terpesona dengan segala yang awak lihat. Yang terlihat itu mungkin tidak sama dengan apa yang tersirat. Tempat itu tersangat panas. Jika kita terjatuh ke situ, dalam beberapa saat, tubuh kita akan terbakar.” Zilion sedar kata-kata itu seperti menyindir dirinya sendiri. Dan di satu sudut hatinya berasa sakit.

Jawapan Zilion, sekali lagi tidak dapat difahami oleh Anacika. Namun kalau boleh dia teringin turun sebentar ke situ. Bukannya selalu dapat menyaksikan keindahan alam. Mungkin itulah kali pertama dan terakhir. “Bolehlah, sekejap saja. Bawa saya terbang berdekatan pun sudah memadai.”

“Tak boleh! Bahaya! Wapnya boleh melumpuhkan otot kita.”

“Awak ni, semuanya tak boleh. Semuanya bahaya.” Wajah Anacika mula masam mencuka.

“Nahas , jangan dicari.Bahaya, jangan dicuba.”

“Bolehlah…”

“Tak boleh!”

Anacika terdiam. Sikap Zilion cukup menjengkelkan.”Biar saya terbang sendiri,”katanya sambil memanjat keluar dari uncang.

“Jangan mahu memandai-mandai.Nanti berganda-ganda bahayanya. Selama saya masih hidup, awak kena dengar cakap saya. Kalau tak….”

“Apa?”sampuk Anacika.

Zilion tergamam. Hampir lagi dia terlepas cakap. “Saya tahu awak baru merasakan kebebasan yang tidak pernah awak rasakan selama ini tetapi kebebasan itu bukanlah bererti boleh berbuat sesuka hati tanpa berfikir.” Resah jiwanya memikirkan sikap Anacika. “Mungkin mantado masih ada di sekitar kawasan ini, jangan berani terbang sendiri.”

Anacika terdiam. Dia terus teringatkan Opus.Jika Opus masih ada, mungkin dia masih terperap di bawah pokok Orkida. Adakah Zilion hanya mahu menjaganya? Anacika tunduk berfikir.

Melihatkan Anacika sudah bertenang , Zilion kembali menumpukan perhatian.Tempat yang dituju sudah semakin dekat. Namun angin tiba-tiba menderu dengan kencang, seolah meredah laluan dari arah Timur ke Barat. Zilion berhempas-pulas melawan tarikan angin. Kepaknya terasa begitu berat untuk diangkat. Namun jika dia tewas, mereka berdua akan tercampak jauh dibawa angin pusar.

Tiba-tiba dia berasa sesuatu yang tidak kena dan belum sempat dia berfikir apa-apa, Anacika sudah melorot ke bawah. Dasar uncangnya terbuka lalu Anacika terjatuh dengan laju.

“Ana!” jerit Zilion bila menyedari apa yang sedang berlaku. Dia terbang meluru ke bawah untuk menyambut tubuh Anacika.Namun tubuh Anacika yang ringan seolah debunga yang ditiup angin, melayang-layang ke serata arah.

“Peta!” jerit Anacika sambil terkial-kial mengepakkan sayap. Sedaya upaya dia cuba menyeimbangkan dirinya di dalam pusaran angin yang bertiup kencang di udara. Nafasnya tercungap-cungap dan tenaganya hampir habis.

Zilion meluru ke bawah mengejar peta tinggalan Opus yang terjatuh dari uncang. Namun usahanya hanya sia-sia. Sebelum sempat peta itu dicapainya, ia telah mendarat di atas kawasan tandus. Dan dengan sekelip mata ia terbakar menjadi debu.

Dengan perasaan yang sedih, Zilion berpaling ke arah Anacika. Namun Anacika sudah tidak kelihatan lagi. Zilion terbang ke sana-sini sambil melawan tolakan angin. Namun Anacika tetap tidak kelihatan di mana-mana. “Ana!!!”