Saturday, December 25, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 5


Abang Osman membasuh tangan. Sekeping biskut Marie diambil dari piring dan dicelup ke dalam air teh di hadapannya. Sambil mengunyah biskut Marie yang separuh lembik, dia melemparkan pandangan ke arah laut yang tampak berbalam-balam. Di fikirannya masih terlekat amanah yang belum disampaikan, selagi tak diluahkan selagi itu hatinya tak tenang. Namun untuk meluahkannya juga bukan senang. Dia tersepit. “Betul ke novel tu? Banyak tadi abang nampak novel baru, macam-macam tajuk,” katanya sambil mengemaskan sila.

Azmi ketawa. “Tak apalah, bang. Mana-mana novel pun sama je. Ada bagus dan ada lemahnya. Tak ada yang sempurna.”

Abang Osman terangguk-angguk senang. “Macam mana keadaan tok imam kita? Dah baik?”tanyanya pula sambil menjeling ke wajah Azmi yang kini tunduk membaca novel ‘Cinta Jadian.’

“Tadi belum lagi. Harap-harap esok kebahlah tu,” balas Azmi dengan ringkas. Matanya masih ralit menatap baris demi baris ayat yang tersusun di situ.

“Di bandar tadi, abang jumpa Pak Andak Kahar.”

Senyap. Tak ada langsung jawapan yang keluar dari mulut Azmi. Nafas Abang Osman pun menjadi sesak. Dia tahu, Azmi cukup tak suka apabila soal tanah pusaka yang diwarisinya itu disentuh-sentuh oleh Pak Andak Kahar sepupu dari sebelah arwah ibunya. Tapi dia terpaksa, dia cuma penyampai berita.

“Dia, apa khabar?” Tiba-tiba Azmi bertanya.

“Sihat, tapi macam biasalah kalau jumpa kita, tak ada hal lain yang dia tanya.”

Azmi bergumam perlahan, matanya masih lagi tidak diangkat dari halaman novel yang ditekuni. Bagaikan khusyuk benar.

Abang Osman merenung wajah di hadapannya dalam-dalam. Walau Azmi tak pernah meluahkan isi hatinya, tapi dia dapat rasakan seperti Azmi cuba untuk tidak bersedih dengan nasib dirinya yang sebatang kara sejak kecil. Dia kagumi ketabahan Azmi namun dia juga berasa simpati. “Macam mana?” Ringkas sahaja soalannya, dia tahu Azmi tahu.

Kali ini Azmi berhenti membaca. Novel itu ditutup dan diletakkan di atas lantai di sebelah lutut kanannya. Kini dia duduk menyandarkan bahu ke tiang serambi rumah Abang Osman sambil menghela nafas panjang. “Kenapa dia fikir, saya akan berubah fikiran, bang? Dia bukan tak tahu keputusan saya.”

Abang Osman hanya mampu tersenyum hambar. “Abang pun tak pasti. Dia kata dia dah panggil pegawai projek tengok tanah tu dan mereka bersetuju kerana tapaknya bagus.”

“Projek?” Azmi tertawa sambil tangan kanannya tergaru-garu kaki yang digigit nyamuk.

Melihatkan senyuman dibibir Azmi, Abang Osman ikut ketawa walau dia tahu itu bukan senyuman gembira tapi sekadar gelihati. Apa yang terbenam di lubuk hati Azmi tetap tak terselam dek akalnya. “Mi ada rancangan ke nak buat kat tanah tu?”

Azmi menarik nafas lagi. Dia termenung sambil meraup muka untuk menghilangkan rasa mengantuk yang telah mula ada. Sempat dijeling jam tangannya, sudah hampir ke pukul sebelas malam. “Tak ada, bang. Kenapa?” Kini matanya terkebil-kebil pula memandang wajah Abang Osman untuk menuntut penjelasan.

“Manalah tahu, kalau Mi nak bina rumah kat situ pulak,”jawab Abang Osman.
Azmi tersenyum. “Rumah? Nak buat apa? Kat sini kan dah ada rumah?”

Senyuman di wajah Abang Osman makin melebar. “Manalah tahu, mungkin sudah mahu berumah dan bertangga di sana.”

Azmi menggeleng. “Belum, bang. Tapi tak bermakna saya tak sayangkan tanah tu atau nak jual kepada Pak Andak Kahar.”

“Abang faham, orang tua tu je yang tak faham-faham,”balas Abang Osman cepat.

“Biar sajalah dia. Lama-lama esok dia berhentilah tu,” kata Azmi sambil mengesot arah ke tangga. “Saya balik dululah, bang,” katanya dikuti dengan salam dan melenggang pergi dalam kepekatan malam bersama sebuah novel di tangan.

Abang Osman menghirup baki teh di dalam cawannya. Piring cawannya diletak di atas piring kuih yang sudah kosong, sekosong fikirannya juga waktu itu. Satu hal dah selesai. Pesanan Pak Andak Kahar sudah disampaikan, tanggungjawabnya sudah disempurnakan. Apa hasilnya, dia tak kisah. Itu keputusan Azmi.

*****

Azmi berjalan menyusuri pantai. Sengaja dia memilih untuk memijak pasir yang basah padahal jarak rumah Abang Osman dan kedainya bukanlah jauh sangat. Hanya selang dua buah sahaja. Tapi entah kenapa hatinya terpanggil ke situ malam itu walau tadi matanya sudah berat.

Dari kejauhan, dia terlihat cahaya kecil teroleng-oleng di atas laut. Lampu bot-bot nelayan yang keluar menangkap ikan bagai kunang-kunang yang menari-nari di atas air. Semasa kecil dia pernah menyangkakan itu bintang yang jatuh dari langit, lama kelamaan dia tahu itu hanyalah cahaya kehidupan seorang nelayan.

Seingat dia sejak tiba di itu 23 tahun yang lalu, pulau itu tidak banyak berubah. Walau pernah dilanda ribut dan taufan beberapa kali, namun alah bisa tegal biasa. Pulau di situ tetap begitu-begitu juga. Pokok-pokok kelapa yang rebah akan tumbuh baru, rumah yang roboh,ditegakkan balik. Dia melihat semuanya sejak dibawa ke situ tanpa pilihan.

Langkahnya terhenti di tepi tanjung. Dia memanjat seketul batu yang besar, tempat dia selalu melontar umpan bersama Abang Osman bila lapang. Dia duduk merenung laut lepas yang seolah tak berpenghujung sambil ditemani desiran ombak yang menghempas batu-batuan. Percikan air laut sesekali terkena ke tubuhnya namun dibiarkan sahaja. Hatinya tenang memuji Tuhan yang menciptakan keindahan itu namun ada sudut yang seakan resah gelisah minta dipujuk.

Bukan soal Pak Andak Kahar yang menganggu fikirannya. Bukan juga soal tanah pusaka di tepi jalan besar itu yang meributkan perasaan. Tapi, rasa sunyi yang menghimpit diri akhir-akhir ini yang meresahkan hati. Mungkinkah kerana Abang Osman sudah berkahwin ataupun kerana seorang demi seorang teman bermain sudah merantau jauh? Dia tak pasti. Dalam keasyikannya berfikir, dia terdengar satu bunyi. Dan dia pasti bunyi itu bukan datang dari arah laut.

Dia memasang telinga. Di celah-celah bunyi bunyi ombak yang menghempas pantai ada suara-suara sumbang dan gelak ketawa yang semakin kuat. Dia berpaling. Suara siapa pula di tengah-tengah malam ni? Dari duduk dia berdiri. Dan akhirnya dia melangkah bangun meninggalkan tempat itu. Setelah melangkah kira-kira sepuluh meter ke arah timur tanjung, langkahnya terhenti.

Dalam keremangan suasana, dia terlihat dua orang lelaki bersama seorang perempuan bergurau senda di celah-celah batu. Dia terpempan kehilangan suara.

“Hoi! Ni bukan free show,”bentak satu suara perempuan.

Azmi terkejut dan mahu berpaling. Apa yang dilihat membuat semangatnya tercampak sekejap, dia beristighfar tak putus-putus tapi suara itu seperti dia kenal. Lalu dia menoleh semula. Tina?

****
Azmi tak jadi melangkah. Matanya membesar. Debar di dadanya berkecamuk. Dia tercari-cari seseorang namun akhirnya dia pasti yang hanya ada Tina di situ. Tapi di mana yang seorang lagi? Debarnya tak reda-reda. “Tina, baliklah dah lewat malam ni.” Katanya tanpa dapat ditahan walau dia tahu apa akibatnya menegur tanpa dipinta.

“Hey! Yang engkau nak sibuk hal aku apesal?” balas Tina sambil membetulkan bajunya. Dia menjeling tajam ke arah Azmi. Dua orang lelaki asing yang separuh mabuk turut bangun apabila Tina tiba-tiba berdiri.

“Tak perlu kita bertengkar di hadapan mereka. Awak sendiri tahu apa yang awak buat,”balas Azmi dengan tenang namun jelas.

Tina ketawa mengekek, disambut oleh teman-teman berbangsa asing walau tak faham apa. “Boleh blahlah kau… tunjuk hero konon. Kalau kampung buat cara kampung, jangan nak sibuk hal orang.Pegi la lu…” tempik Tina sambil melangkah pergi dari situ. Tangan kanannya diacung tinggi ke arah Azmi.

Azmi hanya menghela nafas, ini bukan kali pertama dia melihat kejadian serupa itu. Pernah beberapa kali penduduk kampung menangkap dan memberi nasihat kepada pasangan muda-mudi yang cuba berbuat maksiat di situ. Di situ bukan pulau bebas, walau terpencil, ia tetap milik Tuhan. Selagi itu, hukum Tuhan tetap jelas. Dia tak faham, kenapa perkara semudah itupun tidak difahami ramai orang. Seolah-olah jauh dari pandangan manusia maka jauh juga dari dosa pahala.

Langkah Tina dan teman-temannya diiringi dengan pandangan sayu. Dia faham mengapa lelaki-lelaki berbangsa Sweden itu tidak faham tetapi pula gadis seperti Tina pula yang berlebih-lebih? Setelah mereka hilang di dalam kawasan resort, dia berpaling ke arah rumahnya. Sambil melangkah, dia berdoa semoga gadis yang dilihatnya siang tadi sedang nyenyak tidur.

*****
Matahari telah terbit dari Timur. Membawa bersama harapan dan rasa ceria. Dalam syukur menyambut hari baru yang diberikan sebagai rezeki, Azmi duduk di atas sebuah pangkin kayu di bawah sebatang pokok kelapa di tepi laut. Dia suka waktu itu. Sangat-sangat suka. Kerana di waktu itulah fikirannya tenang dan idea seringkali mengalir tanpa henti.

Dia membuka komputer ribanya di atas meja kayu kecil hasil buah tangan dia dan Abang Osman hampir sepuluh tahun yang lalu. Fail draf manuskrip dibuka semula dan dibaca. ‘Ulang baca sekurang-kurangnya satu bab ke belakang untuk mendapatkan feel penceritaan’, bagai terdengar-dengar suara seniornya dulu semasa di kolej. Seorang novelis yang sudah menulis banyak novel. Sedangkan dia pada waktu itu masih terkial-kial dengan seribu satu soalan. Hari ini, dia mengakui kebenarannya, lalu dia menumpukan fikiran untuk membaca satu bab yang terdahulu. Setelah selesai, dia mula menyambung cerita.

Satu demi satu mata kekunci disentuh, satu demi satu huruf terbentuk menjadi perkataan. Adakala dirasakan semuanya terlalu mudah sehinggalah tak lagi indah. Adakalanya dirasakan apa yang ditaip hanya bebelan kosong tanpa isi. Siapa yang nak baca bebelan manusia lain? Tidak cukuplah segala bebelan yang mereka terima di mana-mana? Dia mengeluh sendiri. Drama! Drama! Suara seniornya terulang semula. Dia menggaru kepala.

“Buat apa tu? Ada internet ke kat sini?”

Azmi tersentak. Betul ke ada suara perempuan yang bercakap dengannya? Dia berpaling ke sebalah kanan dan anak matanya terus saja membesar. Dia? Dia terpusing-pusing, tidak ada orang lain di situ selain gadis itu.

Dia menoleh ke pantai. Tidak jauh dari tempat duduknya itu, dia terpandang Abang Osman, Kak Senah dan beberapa orang penduduk kampung sedang berbual-bual. Darahnya yang gemuruh mula tenang semula. Kenapa pula dia ni ada di sini?

“Aku ganggu ke? Sorry, aku jalan-jalan pagi ni. Boring kat bilik sesorang,” sambung Sherry sambil melangkah makin dekat. Dan tanpa dipelawa terus duduk di pangkin di hadapan Azmi.

Mulut Azmi separuh terbuka tapi otaknya segera tahu. Gadis sebegitu memang tak ada sempadan dan tak payah diajak. Mungkin dia betul-betul bosan, fikirnya. “Di sini tak ada line. Kalau nak pakai internet kena pergi ke Pulau Mayang,” balasnya setenang yang mungkin. Dia sendiri tak faham, mengapa hatinya bergetar apabila melihat gadis di hadapannya itu.

“Teruk kan pulau ni? Tak ada signal telefon, tak ada line internet,”sambung Sherry lagi dengan wajah yang tak bersalah.

Terasa panas juga muka Azmi tapi dia faham apa yang orang luar fikir dan dia tak pernah menyalahkan mereka. “Memang teruk bagi yang tak boleh hidup tanpa kedua perkara itu,” balasnya.

“Habis tu… apa yang kau tulis?”

“Saya cuba tulis novel,” terluncur laju jawapan itu dari mulutnya. Ah! Menyesal pun ada. Kenapalah dia terlalu berterus-terang? Bukan semua orang boleh menerima idea tersebut dan dia hanya menunggu serangan balas.

“Novel? Macam ni?” tanya Sherry lagi sambil menunjukkan novel yang dipegang.

Azmi menjeling. Novel karya Chuck Hoggan itu nampak begitu tebal di matanya. Novel berbahasa Inggeris itu membuat nafasnya sesak seketika. Apalah hendak dibandingkan dengan novel bestseller seluruh dunia itu dengan draf manuskripnya yang pertama. Bagai api dengan air. Tak serupa langsung. “Saya cuma tulis novel biasa-biasa saja.”

Sherry mengangguk, air mukanya kebingungan. “Novel cinta? Kalau novel Melayu je, mesti novel cinta.”

“Novel Barat pun banyak novel cinta,”balas Azmi.

“Betul, tapi novel Melayu membosankan.Balik-balik cerita yang sama,”tempelak Sherry dengan pantas.

“Berapa banyak yang awak dah baca? Tentu awak peminat novel Melayu jugakan?”

Sherry terkelip-kelip. Lambat-lambat dia menjawab, “Aku tak baca novel Melayu,” jawabnya sambil menggeleng kepala.

“Kalau tak baca, mana awak tahu isi ceritanya sama? Klise atau stereotaip?”

Kali ini Sherry langsung terdiam dan Azmi tak memandang wajahnya langsung. Walau terbit rasa bersalah namun dia tak dapat menahan diri dari melontarkan persoalan.

“Engkau ni pejuang novel Melayulah ya?” tanya Sherry lagi. “Novel Melayu takkan ke mana. Tak usahkan ke luar negara, ke hujung negara sendiri pun tak tentu sampai.”

Azmi tersenyum. “Kalau nak ke Pulau Damai, naiklah bot yang betul.”

Gadis itu menggaru kepala tanda tak faham. “Engkau belajar dari mana tulis-tulis ni? Atau kau pakai hentam je?”

“Saya tak ada pendidikn formal dalam bidang ini. Tak pernah ambil kursus penulisan kreatif pun tapi kata senior saya, yang pentingnya ada keberanian untuk menulis.”

Gadis itu mencebik. “Lagi satu buku yang akan berlambak di rak-rak kedai buku.”

“Kenapa awak terlalu prejudis terhadap novel-novel Melayu? Apa yang novel Melayu dah buat pada awak?”

Sherry mengeluh. “Peninglah kepala aku pagi-pagi ni. Dahlah kawan aku pagi-pagi lagi dah hilang,”rungutnya tak semena-mena sambil melemparkan pandangan ke arah laut pula.

Azmi menjeling sekilas. Bukan niatnya mahu menyesakkan ruang fikir gadis itu tapi dia hanya ingin tahu. “Dia balik ke bilik malam tadi?”

Sherry mengangkat bahu. “Kenapa kau tanya? Kau nampak dia pagi ni?” Dia merenung muka Azmi pula.

Azmi menggeleng lemah. Apa yang ditaip pun entah apa-apa sekarang, fikirannya melayang-layang. “Malam tadi saya jumpa dia di tanjung dengan dua orang pelancong Sweden. Saya suruh dia balik, tapi tak tahulah dia ke mana.”

Mata Sherry membesar. Riak wajahnya serba-salah dan akhirnya dia hanya mendiamkan diri.

“Saya bukan nak campur hal tepi kain awak berdua tapi ke mana pun kita pergi, kita tetap berpijak di bumi Tuhan. Bukan bermakna jauh dari mak ayah, jauh juga dari tanggungjawab dan dosa pahala.”

Sherry menghela nafas. “Aku ke sini untuk berehat tapi apa yang kawan aku buat tak ada kena-mengena dengan aku. Jangan pakai pukul rata saja.”

“Ya, saya minta maaf kalau buat awak tersinggung. Saya sekadar mengingatkan.”

Muka Sherry merah padam. “Well, nama aku Sherry. Nama kau?”katanya sambil menghulurkan tangan.

Azmi tersenyum tawar. Huluran salam itu ditolak dengan baik. “Nama saya Azmi,” katanya sambil mematikan komputer ribanya. Dan matahari pagi pun semakin tinggi.


Friday, December 17, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 4

Osman berdiri sebentar di muka pintu. Matanya ralit membaca sekeping poster besar yang tertampal di situ. ‘Novel keluaran terbaru!’ Tajuk utama poster itu terpampang jelas dengan dakwat berwarna hitam pekat. Di bawahnya pula gambar kulit novel-novel terbaru keluaran sebuah syarikat penerbitan diatur cantik. Pelbagai rupa dan warna, semuanya cantik-cantik belaka. Kepalanya mula pening. ‘Yang mana satu nak beli ni?’ hatinya tertanya-tanya.

Tanpa sebarang keputusan yang pasti, dia menolak daun pintu kedai buku itu. Dengan serta-merta juga tubuhnya diterpa dek udara sejuk yang keluar dari alat penghawa dingin. Dia tersentak seketika. Lama-kelamaan tubuhnya dapat menikmati suasana nyaman di situ yang berbeza benar dengan suasana di pulau yang panas berangin. Matanya mula melilau mencari seksyen yang menempatkan novel-novel yang dicari. Akhirnya dia terlihat sebuah rak panjang dengan sebaris perkataan yang ditulis di atas kadbod putih , ‘NOVEL TERBARU’. Oh! Di situlah, dia pun melangkah senang.

Namun begitu kehadirannya segera disambut oleh beberapa pasang mata gadis yang juga sedang kecoh membelek novel-novel yang tersusun kemas. Apa? Orang tua macam aku ni, tak boleh beli novel ke?’ tanya hatinya sambil tangannya mula mengangkat dan meletak sebuah demi sebuah novel yang dirasakan menarik. ‘Erm..yang mana satu ni? Semuanya sama je. Cinta, cinta. Tak ada ke cerita pasal orang tangkap ikan ke?’ Dia mula merungut diam-diam.

“Pak cik, nak cari novel apa?”

Tiba-tiba gadis di sebelahnya bertanya. Mata gadis itu asyik beralih dari wajahnya ke buku di dalam tangannya. Dia jadi serba-salah untuk menjawab. “Novel terbaru,” jawabnya ringkas.

“Semua kat rak ni, novel terbaru, pak cik. Novel yang lama kat sebelah sana,” tunjuk gadis itu pula tanpa ditanya sambil kepalanya tertoleh sedikit ke arah kiri.

“Betullah tu, pak cik nak cari novel terbarulah,”jawabnya geram. Macamlah dia tak tahu membaca langsung. Sempat menjeling sekilas ke arah gadis bertudung merah muda di sebelahnya.

“Yang lama pak cik dah habis baca ke?” tanya gadis itu pula.

Ewah! Darahnya mula mendidih. “Pak cik tak baca novel, nak. Pak cik beli ni untuk kucing-kucing pak cik kat rumah. Dari kucing-kucing tu membising je, baik baca novel, pandai juga nanti.”

Air muka gadis itu langsung berubah. Tanpa berlengah, dia menarik tangan kawan-kawannya untuk beredar dari situ. Terbayang di matanya ketakutan yang mengerikan. Mungkin pada pandangannya Osman adalah seorang yang gila.

Osman tergelak kecil. ‘Padan muka! Ada ke patut panggil aku pak cik? Kalau panggil aku abang, tahanlah juga’ Dia tersengih seorang diri sambil pandangan matanya terpaku ke arah sebuah novel yang bertajuk aneh. ‘Cinta Jadian?’ Sangkakan, serigala saja yang ada jadian, cinta pun ada jadian? Macam manalah ceritanya agaknya?’ Dia membelek novel itu ke depan ke belakang beberapa kali. Pada kulit depannya terpapar jelas, gambar seekor kucing siam dan seekor ikan emas. Dia mati akal untuk cuba mentafsirkan cerita itu. Lalu, buku itu dibawa saja ke hadapan kaunter.

Gadis penjaga cashier tersenyum. Novel yang diletakkan di hadapannya diambil dan dibelek sekejap. “Buku ni kelakar, pak cik. Best cerita dia,” komennya ramah sambil menghulur senyum.

Hendak tak hendak, Osman ikut tersenyum. Kalau tak nanti, orang kata, dia pekak pula. Cuma dia tak faham mengapa gadis itu perlu memberi komen. Nasib baik komennya baik, kalau komennya teruk, tidakkah mungkin ada pembeli yang meletakkan buku itu semula ke rak? Tauke kedai juga yang rugi. Sambil berfikir dia menghulurkan dua keping not sepuluh. Bayaran dibuat dan buku diambil.

“Datang lagi, pak cik. Setiap bulan kami ambil buku baru,”kata gadis itu sebelum Osman mula beredar.

Langkah Osman terhenti seketika. “Pak cik lagi…,”rungutnya sambil menghela nafas. Nampak tua sangat muka aku ni agaknya, bisik hatinya lagi sambil meraba-raba kulit mukanya yang berkedut halus. Habis merungut, dia menolak pintu kedai dan keluar dengan senang hati. Sekurang-kurangnya hasrat Azmi sudah tertunai. Namun sebelum sempat langkahnya jauh, dia terdengar namanya dipanggil berulang kali.

****
Dari kedai buku, dia kini duduk-duduk di dalam sebuah kedai makan. Di situ tidak ada alat penghawa dingin seperti di dalam kedai buku tadi. Hanya ada kipas-kipas yang sudah kehitaman tergantung di siling yang tinggi. Anginnya langsung tak terasa, lehernya mula basah semula dek peluh yang bercucuran. Dia benar-benar tak selesa di situ, di hadapan seorang manusia yang tak faham bahasa.

“Kenapa budak tu degil sangat, Man? Kau cubalah pujuk dia, mungkin dia nak dengar cakap kau. Pak andak dah puas terangkan kat dia, dia buat-buat tak dengar je.” Seorang lelaki dalam umur 50-an bercakap sambil menghirup kopi pekat yang masih berasap. Wajahnya tegang sehingga rahangnya nampak cekang. Matanya tak putus-putus merenung wajah Osman.

Osman menjeling sekilas. Padanya. pandang jalan raya yang sibuk di hadapannya lebih menenangkan daripada memandang muka Pak Andak Kahar. “Dah dia tak nak, kita nak buat macam mana, pak andak?” balasnya main-main. Dia memang malas melayan orang tua yang suka sangat mendesak itu. Pantang jumpa, mesti bertanyakan soal Si Azmi.

“Sebab tu aku suruh kau cuba pujuk dia. Aku nak sangat tanah tu. Aku ada projek nak buat. Dari tanah tu dipenuhi hutan belantara, biar aku saja yang beli.”

Inilah yang dikatakan, burung terbang, dipipiskan lada. Belum tentu dapat tapak, sudah berani membentang projek. Cerdik ke bodoh, dia pun tak tahulah. Tanpa sedar dia tergaru-garu kepalanya. Bercakap dengan Pak Andak Khar ni memang payah, tak faham-faham yang Azmi tak mahu menjual tanah pusaka tu.

“Pujuklah dia, Man. Kalau dia nak, suruh dia jumpa aku cepat. Pegawai yang aku jumpa tu dah setuju dengan tapak tanah tu. Mereka kata tempat tu ada potensi besar. Bolehlah, Man,” desak Pak Andak Kahar lagi.

Osman menggeleng perlahan. “Saya tak boleh buat apa, pak andak. Saya cuma boleh tolong sampaikan saja pada dia.”

“Kalau kamu pujuk dia, pak andak berilah komisen sikit,” pujuk Pak Andak Kahar sambil menyenggol bahu Osman.

Osman menghela nafas. Untuk menyelamatkan keadaan, terpaksalah dia mengangguk. Kalau tak nanti, terlepas pula bot terakhir ke Pulau Damai, ada yang tidur atas jeti malam tu. “Baiklah, pak andak. Nanti saya tolong tanya-tanyakan dia.”

Pak Andak Kahar tersengih.

*****
‘The Strain’, sebuah novel setebal dua inci karangan Chuck Hogan. Kulit depannya terlalu ringkas dan tak menarik langsung. Apa yang buat hatinya tertarik untuk membelinya adalah blurb dan prolog yang pada pandangannya sangat superb. Tak ada novel Melayu yang setanding novel-novel begitu dan pendapatnya masih kukuh sehingga ke mukasurat 304.

Sherry mengeluh perlahan, mukasurat yang belum dibacanya dibelek-belek. Ada hampir separuh lagi yang perlu dihabiskan. Alang-alang banyak masa lapang di situ, lebih baiklah dihabiskan saja apa yang telah dimulakan, dia meneruskan semula pembacaannya, tapi tak lama. Bunyi aneh yang kedengaran di pintu bilik, membuat tumpuannya terganggu. Dadanya jadi berdebar tak tentu hala. Siapa pula yang datang?

Dari celahan pintu yang terbuka sedikit, dia terlihat wajah Tina yang kemerahan. Mungkin kerana dibakar matahari ataupun kerana dipanaskan oleh air yang tak tentu hala. Dia bukan tak tahu sikap Tina, air baginya sama sahaja. Halal haram tak ada bezanya. Sebut apa saja, yang murah, yang mahal. Semua Tina sudah rasa, apalagi kalau dapat percuma. Dia? Pernah juga sesekali.

“Dah makan?” tanya Tina sambil duduk di tepi katilnya. Sesekali dia tersenyum tak tentu pasal.

“Baru nak tanya? Baru nak ingat aku di sini?”

“Alah, janganlah marah, beb. Aku kan dah suruh mamat kampung tu hantarkan makanan untuk kau tadi.”

“Mana ada?” balas Sherry sambil meletakkan penanda buku di tempat dia berhenti. Matanya masih merenung muka Tina, dia memerhati anak mata Tina yang tidak begitu fokus apabila bercakap. Dia yakin Tina hampir mabuk.

“Dia tak hantar kat kau?” Suara Tina pula memetir di dalam bilik. Mulutnya separuh terlopong sambil kedua tangannya mencekak pinggang.

“Kenapa pulak kau suruh dia? Kan aku suruh kau yang hantar? Dah lupa ke?” balas Sherry sambil menjeling. Macamlah dia belum masak dengan gelagat Tina. Pura-pura terkejut konon, hatinya mengutuk. Cakap sajalah lupa sebab sibuk melayan lelaki Mat Salleh bermain ombak, rungut hatinya lagi.

“Habis tu? Siapa yang hantar?”

“Kau tak tahu atau buat-buat tak tahu?” Sherry merenung muka Tina yang nampak mula menunjukkan riak bersalah.

“Aku tak tahu, tapi aku memang suruh mamat kampung tu yang hantar kat kau. Aku siap beri tip lagi.” Tina tersengih.

“Hasan yang hantar. Kalau tak tadi, sempatlah aku mati kebuluran kat sini. Nak harap kan engkau, dah pukul 6.00 petang baru balik.”

Tina terkulat-kulat. “Aku nak mandi dululah, melekit kena air laut,” katanya pula sambil cepat-cepat meninggalkan katil Sherry.

Sherry mendegus geram. Pandangan matanya merenung tajam ke arah Tina yang melenggang kangkung ke bilik air. Gelak ketawa Tina yang tak ada puncanya menambah sakit di hatinya. Dan rasa kesal pun mula berkembang biak. Tak datang situ lagi baguslah, rungut hatinya lagi. Buku ‘The Strain’ dicampak ke atas tilam. Semangat membacanya terus hilang.

****
Langit mula kekuningan. Sherry keluar menjenguk semula ke beranda. Sekejap lagi matahari akan terbenam di kaki langit, bertemu dengan laut sebelum berpisah sementara. Bagai mengucapkan salam perpisahan penuh syahdu antara keduanya. Itulah saat-saat yang sering dinantikan dalam hidupnya, pertemuan matahari dan laut itu sering menghadirkan rasa sendu yang tidak dapat diucapkan. Tiba-tiba keasyikannya terganggu.

“Perlahannyalah air kat sini… besar sikit dari air kencing tau,” rungut Tina sambil mengesat rambutnya dengan tuala biru milik resort.

Sherry menoleh. Dia jadi rimas dengan rungutan Tina yang tak habis-habis. “Ada juga air, kalau tak ada air tawar, kena mandi air laut 24 jam, baru tahu.”

“Aku boleh mandi air terjun,”jawab Tina sambil tersenyum.

“Kat sini ada air terjun?”

Tina mengangguk. “Hari esok mereka kata nak bawa aku ke sana, petang sikit baru menyelam kalau cuaca baik. Bukannya jauh sangat, kat tepi tanjung tu saja.” Tunjuk Tina dengan mulut yang dimuncungkan.

Sherry diam. Api-api cemburu mula terpercik di hatinya tapi dia sedar, bukannya salah Tina. Salah dia, yang berjalan tak pakai mata.

“Kau nak ikut?” tanya Tina lagi.

“Kau bukan tak tahu kaki aku macam mana. Lagi mahu tanya,”balas Sherry tanpa secalit senyuman. Dia kembali melemparkan pandangannya ke arah laut bagai mahu melemparkan rasa kesalnya sekali. Sekurang-kurangnya, matanya masih elok dan keindahan senja itu dapat juga dinikmati.

“Okey, habis tu malam ni macam mana? Nak pergi barbeku tak?”

Sherry tunduk seketika memandang kakinya. Ibu jarinya cuba digerakkan dan ditekan sedikit demi sedikit ke lantai. “Boleh kut,”jawabnya walau tak pasti dan terasa ngeri jika lukanya dimasuki air laut atau pasir.

Tina tersenyum. “Macam tu lah. Aku pun dah lama tak makan ketam bakar.”

Sherry tersenyum sinis. Cakap Tina bukan boleh dipakai sangat. “Dah lama, konon. Baru minggu lepas tu tak ingat ke?”

Tina ketawa kecil tapi tiba-tiba saja dia menjerit. “Cantiknya!” Tina separuh melopong melihat kaki langit yang dicium matahari. Suasana menjadi hening dan langit yang kuning kejinggaan mula ditelan kegelapan perlahan-lahan.

Mata Sherry terus saja terpaku. Dia jadi lupa pada masa yang telah berganjak. Dalam menghayati detik-detik terakhir terbenamnya matahari itu, telinganya sekali lagi tertangkap bunyi azan. Dia menoleh sekali lagi ke arah bumbung surau dan hatinya makin tertanya-tanya. Suara yang sama, seruan yang sama dan hatinya bergetar untuk sekian kalinya.

Tina ikut sama menoleh namun cuma sekilas. Dengan dengusan yang keras dia melarikan diri ke dalam bilik .

Sebaik azan Maghrib itu habis dilaungkan, Sherry beransur-ansur meninggalkan beranda itu dan masuk ke dalam. Tiba-tiba dia terasa segan walau tak pasti kepada siapa. Dengan perasaan separuh bingung, dia membuka beg pakaiannya yang tersandar di dalam almari…dia mencari-cari sesuatu di bawah lipatan baju-bajunya namun tak jumpa. Dia akhirnya duduk termenung di birai katil sambil berfikir. Di mana kain telekungnya? Dia benar-benar sudah lupa.

****
Malam itu bulan terang walaupun tak mengambang penuh. Cahayanya melantun ke laut lalu dipimpin ombak hingga ke pantai. Di sekelilingnya berserakan bintang-bintang kecil dan besar, terang dan malap. Pendek kata, malam itu langit begitu indah bagai tak ada cacat dan cela.

“Tak menyanyi?” tegur satu suara.

Dengan rasa berat, Sherry melupakan keasyikannya merenung langit sebentar. Terasa seperti dirinya diganggu dan ketenangan malamnya diceroboh. Dengan rasa berat hati dia menoleh, lalu ternampak sekujur tubuh tegap datang menghampiri.

“Thanks,”katanya sebaik menyambut pinggan yang dihulur oleh Hasan. Pinggan yang sarat dengan pelbagai makanan laut seperti kerang, udang dan sotong, diletakkan baik-baik di atas meja kayu di hadapannya. Lalu, deria baunya segera diasak dengan bau yang mendera segala deria rasanya. Tanpa rela, air liurnya terkecur.

“Kenapa duduk sorang-sorang kat sini? Joinlah kami kat sana,”kata Hasan lagi sambil tersenyum.

Sherry hanya tersenyum hambar, bukan dia sengaja menjauhkan diri dan duduk menyendiri di dalam gelap, cuma hatinya kurang senang dek kebingitan dan kehingaran suasana di Lahaina pada waktu itu. Kalau dia mahu itu semua, tak perlulah dia datang jauh-jauh ke situ. “Kau tak balik ke Pulau Mayang malam ni?” tanyanya sambil menoleh sekilas ke arah Hasan yang duduk di sebelahnya tanpa dijemput. Kini mereka berdua duduk menghadap laut di atas dua bangku rehat yang disediakan oleh pihak resort.

Hasan segera menggeleng. “Keadaan laut tak berapa baik malam ni.”

Sherry separuh melopong. “Aku lihat laut tenang saja malam ni,” balasnya dengan yakin. Kerana sejak dia duduk-duduk di situ, ombak dilihatnya tidak begitu ganas seperti di waktu petang tadi.

Kata-kata Sherry itu disambut Hasan dengan senyuman. “Kau tak percaya? Mana lebih arif? Kau yang tinggal di tengah bandar atau aku yang setiap hari dilambung ombak pagi dan petang?”

Pertanyaan itu membuat Sherry terdiam.

“Sorry, aku tak bermaksud nak kecilkan hati kau,”tegur Hasan sambil ketawa kecil. Seekor udang diletakkan ke dalam pinggan Sherry pula.

“Kenapa kau ke sini dan tak ke sana?” tanya Sherry dengan tiba-tiba. Dia sudah berhenti mengunyah lantaran perutnya sudah terasa sebu. Apalagi ada sesuatu yang melintasi fikirannya sejak tadi. Kedua-duanya menjadikan seleranya terbantut.

“Menikmati malam yang indah ini dengan kau,” balas Hasan lembut.

“Tina yang suruh?” tanya Sherry lagi sambil merenung wajah Hasan dalam-dalam.

Hasan tak terus menjawab. Dia diam-diam melekakan dirinya dengan makanan yang masih banyak bersisa di atas meja.

“Jawablah. Tina yang suruh kau layan aku kan? Dia di mana?” Kini Sherry mula menyedari yang kelibat Tina sudah tidak ada di Lahaina. Dia tertoleh-toleh namun Tina tetap tidak kelihatan di mana-mana. Tina bagaikan hilang disambar kepekatan malam.

Hasan mengangkat bahu. “Dia suruh aku temankan kau sehingga kau penat dan kemudian hantarkan kau ke bilik.”

“Tapi Tina ke mana?”

Hasan menggeleng sambil mengangkat bahu. “Cuma aku tak buat kerja sampingan yang Tina suruh aku lakukan. Hal yang satu itu aku tak terlibat,” kata Hasan dengan jujur.

Jantung Sherry berhenti berdegup. “Apa maksud kau?”

Hasan mengangkat kening sambil tersenyum lebar. “Tapi aku tahu siapa yang sanggup,” katanya sambil mendekatkan muka sedikit.

Dahi Sherry berkerut. “What’s the hell are you…” Mulutnya langsung ditekup oleh tapak tangan Hasan yang padat. Dia jadi terdiam.

“Shh…jangan bising sangat. Tapi aku akan suruh dia ke bilik kau,”sambung Hasan lagi dengan tenang.

Air mata Sherry bergenang, dia menggelengkan kepalanya tanpa sedar. “Tina dah melampau!” katanya sambil bangun dan bergegas meninggalkan tempat itu.

“Hey Sherry! Jangan macam ni. Apa yang tak kena?” tanya Hasan sambil menarik lengan Sherry.

“Lepaskan tangan aku! Kalau tak aku jerit kuat-kuat.”bentaK Sherry.

“Okey, okey.” Hasan melepaskan pegangannya. “Tapi, please explain apa yang tak cukup?”

“Apa yang tak cukup? Otak kau!” bentak Sherry sekali lagi sambil meneruskan langkahnya semula.

Hasan terus mengejar dan memintas Sherry. Kini dia berdiri membelakangi Lahaina dan menghalang laluan Sherry. “Please, aku tak faham apa yang kau marahkan,” katanya dengan nada merayu.

Sherry menggigit bibir bawahnya kuat-kuat. Matanya tajam merenung muka Hasan yang tak langsung ada rasa bersalah. Jika diikutkan hati mahu saja dia menampar muka Hasan sekuat hati. “Memang aku datang dengan Tina dan dia memang kawan rapat aku tapi aku tak macam dia,”jelasnya dengan tegas.

Mata Hasan terkebil-kebil. “Kau tak macam Tina? Tapi kenapa dia bayar aku untuk carikan entertainer untuk kau?”

Sherry mengeluh panjang. Rasa marahnya sudah sampai ke kepala. Tina memang melampau, walau dia bersedia untuk ikut ke situ bukan bermakna dia bersedia untuk mengikut kerenah Tina. Dan kini apa yang Tina lakukan itu seolah mencemar nama baiknya pula. Hatinya tambah pedih. “Sorry, dia cuma bergurau.” Dengan perlahan dia berpaling dan melangkah balik ke resort. Dia tak perlu jelaskan apa-apa kepada Hasan tetapi Tinalah yang harus menjelaskan sesuatu kepada dia. Tapi, di mana Tina?

********
Maaf, lambat sikit. Sekarang sibuk betul dengan pelbagai hal.
Ahad ni akan ke Bangi buat bengkel dan Ahad depan ke PWTC.
Kalau jumpa tegur-tegurlah ya.

Dari meja,
MK

Jemput datang ke Pesta Buku Kanak-kanak 2010 di PWTC


Lihat poster di atas, apa yang anda nampak? Heheh...OLAN ! Tersenyum lebar dia sambil menunggang Wiwin ke PWTC .

Adakah saya akan hadir? Kalau ada rezeki, nak juga hadir tapi...saya ni pemalu. Mungkin saya akan perhatikan dari jauh saja.

Kalau ada masa, jemputlah ke sana.bawa anak-anak atau adik-adik..anak saudara pun boleh. Tentu ada banyak buku kanak-kanak dan maskot (mungkin).

Jika ada rezeki, kita jumpa di sana ya.

Monday, December 13, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 3



Azmi meraup kedua tapak tangannya ke muka. Doa sudah selesai dibacakan. Azan Zuhur sudah dilaungkan. Dia menoleh ke belakang mencari-cari wajah tok imam yang belum juga sampai-sampai. Selalunya orang tua yang sangat dihormatinya itu tiba terlebih dahulu daripada dia. Tapi hari itu, orang tua itu tidak kelihatan sejak dia menjejakkan kaki ke surau itu. Dia jadi risau.

Dia melangkah perlahan ke muka pintu surau. Langkahnya bagai tak berjejak ke lantai. Beberapa orang jemaah yang baru tiba disambut dengan senyum manis dan huluran salam penuh mesra. Tapi wajah tok imam yang ditunggu masih belum nampak-nampak lagi. “Tok imam kita mana?” tanyanya secara umum kepada semua yang ada.

“Mi, tak tahu ke? Tok imam kita demam sejak malam tadi,” jawab salah seorang daripada ahli kariah yang hadir.

“Demam?” Dia benar-benar terperanjat. Lambat pula dia tahu hal itu kali ini. Sedang dia termenung memikirkan hal itu, bahunya dicuit mesra.

“Mi, kau je lah jadi imam,” tutur salah seorang kariah yang lain. Dia menarik pula lengan Azmi ke tengah surau.

Azmi menoleh ke arah ahli kariah yang lain. Dia bukan tak pernah menjadi imam, cuma lebih mendahulukan yang tua. “Pak Jusoh saja yang jadi, biar saya di belakang.”

“Ish kamu ni, Mi. Kamu lagi layak. Bacaan kamu lebih betul daripada aku ni. Lagipun nafas aku semput,” jawab lelaki tua yang dipanggil Pak Jusoh oleh Azmi. Yang lain juga serentak mengangguk.

Muka Azmi terasa panas, mahu tak mahu dia maju ke hadapan surau untuk mengimami kariah surau itu berjemaah. Saf yang hanya dibarisi oleh enam orang lelaki itu diluruskan. Dan Azmi tanpa berlengah mengangkat tangan dan bertakbir. Bibirnya basah dek ayat-ayat Al-Qur’an yang dibaca dengan penuh tertib. Perhatiannya ditumpukan.

Selesai empat rakaat dan membaca doa, dia lantas bersalam-salaman dengan jemaah yang ada. Tapak tangannya menggenggam erat tangan-tangan tua yang pernah mendukungnya satu ketika dahulu. Mereka bukan orang lain, penduduk pulau itu yang tinggal berdekatan. Bahkan berpangkat saudara-mara dengan Abang Osman dari sebelah ibu.

Satu persatu wajah-wajah tua itu ditatap penuh kasih. Dia sedar, setiap tahun, wajah-wajah itu semakin berkurangan. Seorang demi seorang dijemput ajal dengan pelbagai sebab. Adakalanya dia jadi rindu. Pernah terbayang di fikirannya, bagaimana jika yang tua-tua ini telah tiada nanti seperti ibu dan bapa Abang Osman yang juga ibu bapa saudaranya juga? Tidakkah pulau itu akan semakin kekurangan penduduk? Yang muda-mudanya hanya tinggal beberapa orang saja, selebihnya telah berhijrah ke Tanah Besar.

“Osman pergi ke seberang?” tanya Pak Jusoh semasa sama-sama meninggalkan surau. Tangannya melingkar di atas bahu Azmi. Dia memaut bahu anak muda itu dengan mesra.

Azmi mengangguk seraya menjawab, “Pagi tadi, Pak Jusoh. Dia nak beli barang sikit, lepas tu ada hal dengan pejabat tanah sekali.”

“Hal apa pula tu? Takkan hal tanah pusaka nenek kamu tu tak selesai lagi?”

“Hal tu dah selesai, Pak Jusuh. Entah hal apa, saya pun tak tahu,”balas Azmi ramah. Di pulau kecil itu tak ada hal yang boleh disembunyikan. Kalau seorang tahu, yang lain akan tahu juga esok lusa.

“Mari kita ke rumah tok imam sekejap, entah orang tua tu dah kebah ke belum?”

Azmi sekadar mengangguk. Dia tak mampu menolak ajakan Pak Jusuh. Dari surau, mereka berdua berjalan melintasi beberapa buah rumah dan akhirnya melalui hadapan kedainya yang bertutup rapat. Dia sempat menoleh sekilas, di pulau itu dia tak runsing langsung walau kedainya tidak berkunci. Tak ada siapa pun yang hendak mencuri. Lainlah kalau di Tanah Besar, dikunci dua tiga lapis pun dipecahkan orang juga.

Semakin mereka mendekati kawasan Resort Abadi, semakin hingar bunyi dari Lahaina. Bukan saja dari suara pengunjung yang datang malah juga bunyi lagu-lagu Inggeris yang berkumandang dari mesin jukebox. Bahkan bunyi-bunyi bising itu akan berterusan bagai tiada pengakhirannya.

Pak Jusuh menggeleng. Wajahnya kurang senang. Bukan pelancong asing yang dirisaukan tetapi anak-anak muda Islam yang terikut-ikut gaya mereka bagaikan tak ada jati diri lagi. Orang asing teguk arak, orang kita hidang arak. Orang asing bayar arak, orang kita teguk sekali. Sampai adakalanya dah tak tahu beza, yang mana Islam yang mana bukan dari pandangan mata tuanya.

Azmi mengerling ke arah Pak Jusuh. Dia faham perasaan orang tua itu. Sejak adanya resort itu disitu, adalah juga botol-botol arak di pulau itu. Alasan dari pihak resort, itu semua untuk pengunjung tetapi dari pengamatan dia, ramai yang lebih sudu dari kuah. Yang tergolek, terbaring di bawah pokok kelapa kemabukan itu bukan pelancong asing selalunya tapi pemuda-pemudi sebangsa dan seagama.

Dalam leka memikirkan soal arak yang tak ada hujung pangkalnya, tiba-tiba kepalanya terdongak sedikit. Matanya segera terpandang seraut wajah yang dilihat pagi tadi sedang termenung di beranda bilik sambil memandang laut lepas. Tocang duanya sudah dileraikan, kini rambut lurus separas bahunya terbuai-buai dek angin. Apakah yang sedang dimenungkan gadis itu? Hatinya ingin tahu.

Apabila tersedar yang dirinya mengelamun, dia segera mengalihkan pandangannya ke arah pasir yang dipijak namun di ruang matanya, wajah gadis yang belum diketahui namanya itu tetap terbayang dengan jelas. Cuba disingkirkan dengan beristighfar tetapi hatinya seolah memberontak. Dia jadi cemas. Tak sepatutnya begitu.

“Kenapa? Gelisah je?” tegur Pak Jusuh.

Air muka Azmi berubah merah. Dan belum sempat dia menjawab, Pak Jusuh juga sudah terpandangkan gadis itu. Orang tua itu langsung ketawa kecil dan menoleh pula ke arah dia.

“Eloklah tu, sampai bila nak memasak sorang-sorang,”sindir Pak Jusuh.

Azmi tersenyum, matanya makin tunduk memandang pasir yang dipijak. Tak semena-mena dirasakan pasir itu lembut bak kapas.

“Jangan ditentang tuntutan fitrah, Mi. Ianya sunnah rasulullah s.a.w,” suap Pak Jusuh lagi ke telinga Azmi.

Muka Azmi terasa kembang menahan malu. Dia cukup tak gemar apabila diusik-usik dalam hal itu. Itulah satu-satunya perkara yang membuat dia gementar. Bukan tidak ada yang pernah cuba mengetuk pintu hatinya di kolej dulu tetapi pada masa itu hatinya belum terbuka untuk berkongsi rasa dengan sesiapa. Kerana dia selalu merasakan dunianya berbeza dan tak dapat difahami. Tapi entah kenapa sejak dia terpandang wajah gadis itu, hatinya jadi tertarik. Seolah ia menghidupkan rasa yang tak pernah ada.

*****
“Khadijah dah balik semalam.”

Kata-kata Pak Jusuh menyetap dia dari lamunan. Azmi menoleh. “Balik bercuti? Dia dah habis belajar ke Pak Jusuh?” Terbayang pula di matanya wajah gadis yang dimaksudkan. Khadijah anak tok imam, muda dua tahun dari dia. Belajar di sebuah kolej komuniti di tanah besar. Sudah lama juga Khadijah tak pulang ke situ, dia sendiri sudah terlupa bila kali terakhir bertemu Khadijah, teman sekampung dan sepermainan.

“Entahlah, Mi. Nanti kalau jumpa dia, kau tanyalah. Bukan ke dia dulu sama lasak dengan kamu masa kecil-kecil?” Pak Jusuh ketawa hingga misainya yang beruban penuh tergoyang-goyang.

Azmi turut tersengih. Memang dia dan Khadijah rapat semasa kecil. Tapi bukan dia seorang saja, Abang Osman pun satu kumpulan dengan mereka juga pada waktu itu. Tapi Khadijah adalah seorang daripada dua orang kanak-kanak perempuan di dalam kumpulan mereka. Yang seorang lagi sudah meninggal semasa berumur sepuluh tahun. Tapi Khadijah sekarang sudah berumur 23 tahun, sudah bukan budak kecil lagi yang boleh disakat tak tentu masa.

Dalam berbual-bual, mereka sampai juga ke tangga rumah tok imam yang terletak agak dekat dengan kaki sebuah bukit. Keduanya lantas melaungkan salam. Tak lama kemudian salam mereka bersambut oleh sekujur tubuh tua.

“Pak Jusuh, Azmi, naiklah,”pelawa isteri tok imam seraya melebarkan daun pintu.

Tanpa berlengah Pak Jusuh dan Azmi pun naik ke rumah dan di ruang tamu yang sederhana besar itu sahaja, mereka sudah terlihat tok imam terbujur lesu di atas lantai yang beralaskan sebuah tilam nipis. Keduanya langsung marapat. “Tak kebah-kebah lagi, mak imam?” tanya Pak Jusuh kepada isteri tok imam yang duduk bersimpuh di tepi dinding. Matanya merenung wajah tok imam yang lena dengan tenang. Jelas keuzuran terbayang di wajah orang tua itu.

“Belum, dah beberapa kali makan ubat. Kebahnya sekejap, lepas tu demam balik.”

“Biasalah, tu mak imam. Badan dah tua, lambat sikit baiknya. Sabar sajalah,”balas Pak Jusuh sambil merenung wajah tok imam tak lepas-lepas. Juga menjeling ke arah sebesen air durian belanda yang digunakan untuk menjaram tubuh tok imam. Tentu adakalanya tubuh tok imam panas berapi, fikirnya dalam diam.

Perbualan mereka secara tidak langsung menyedarkan tok imam dari tidurnya. Dia membuka mata dan dengan perlahan berpaling sedikit ke arah Pak Jusuh dan Azmi. Bibir tuanya yang berkedut seribu cuba menyungging senyum namun tak berdaya. “Sapa jadi imam tadi?” tanyanya dalam dengar tak dengar sahaja.

Pak Jusuh tersenyum, tangannya membelai dada tok imam seraya berkata, “Tok imam jangan risau. Kampung kita masih hidup dengan azan dan jemaahnya.”

Tok imam menganguk-angguk, mata tuanya dipejam semula. Dia mengiring semula ke arah dinding.

Azmi hanya memerhati dalam diam, hatinya tersentuh. Dia sedar tok imam sudah tua Sudah dekat tujuh puluh tahun umurnya tapi baktinya tetap diperlukan di situ lantaran tiada yang sanggup mengambilalih tempatnya. Bagaimanapun, dia tetap berharap agar tok imam yang pernah mengajarnya mengenal huruf Alif, Ba, Ta itu segera pulih.

“Begitulah dia, demam-demam tu pun sibuk ingat ke surau,” rungut mak imam. Matanya tak lekang dari memandang wajah suaminya yang kembali berdengkur halus.

Mendengarkan keluhan mak imam, Pak Jusuh mengeluh. “Sudah sampai masanya tok imam berehat, dia pun dah tak larat.”

“Dah jenuh kami memujuk tapi dia kata tak ada siapa yang nak ganti tempat dia,” balas mak imam sambil berbalas pandang dengan Pak Jusuh.

“Orang muda kita ni kan dah balik sini,” Pak Jusuh ketawa kecil. Bulat matanya memandang ke arah Azmi.

Azmi lantas tersentak hingga mulutnya separuh melopong. Lututnya sedikit terangkat dari lantai. “Jangan, Pak Jusuh. Berat tugas tu, tak terpikul dek saya,” Dia tergagap-gagap membantah.

Pak Jusuh tergelak. Bahunya terhinggut-hinggut menahan tawanya agar tidak terlalu kuat sehingga membangunkan tok imam semula. “Dah tu…siapa yang nak jadi tok imam di sini? Dah puas kita minta orang luar datang tapi payah benar nak mendapat gantinya.”

“Pak Jusuh ada,”balas Azmi cepat.

“Aku pun dengan tok imam ni, tak jauh sangat beza umurnya, Mi. Esok lusa sampailah giliran aku pulak untuk berehat,”katanya penuh makna.

Azmi diam. Fikirannya tiba-tiba menjadi berat. Dia belum bersedia untuk memikul amanah itu dan dia pulang ke situ bukan untuk itu. Dalam termenung-menung, tiba-tiba seorang gadis masuk ke ruang tamu sambil menatang dua cawan air teh di atas dulang ayan kecil. Azmi lantas menghadiahkan senyuman. Sudah lama dia tidak melihat gadis itu. “Bila Jah balik?”

“Petang semalam, mula-mula tu ke Pulau Mayang dulu menghantar kawan bercuti ke sana,” terang Khadijah tanpa segan silu. Sinar matanya bersinar-sinar menatap wajah Azmi. Sambil tersenyum simpul dia berkata lagi,“Jemputlah minum, Pak Jusuh, Azmi.” Menyedari tak manis jika dia ikut sama bersimpuh di situ, dia bersegera masuk ke dalam semula setelah melemparkan senyuman sekali lagi kepada Azmi.

Azmi mengangguk sambil melirik Khadijah meninggalkan ruang itu. Air teh yang suam-suam kuku itu dihirup dengan tenang. Rasanya secukup-cukup saja, tak manis tak tawar. Ternyata Khadijah masih ingat yang dia kurang gemar apa-apa saja yang manis-manis. Namun senyumannya hilang apabila matanya berlaga pandang dengan senyuman yang tersungging di bibir Pak Jusuh. Ada-ada saja Pak Jusuh ni, rungut hatinya.

Sebaik saja mereka berdua menghabiskan air dan berbual lebih kurang dengan mak imam, keduanya meminta diri. Azmi segera mengikut tingkah Pak Jusuh. “Saya balik dulu, mak imam. Saya harap, esok tok imam sihatlah balik,” katanya lembut.

Isteri tok imam sekadar mengangguk lemah dan menghantar mereka berdua sampai ke muka pintu. Setelah Pak Jusuh dan Azmi tiba di tanah semula, dia pun berpaling dan menutup pintu.

“Aku pun nak balik ke rumah ni, petang ni nak turun ke laut,” Pak Jusuh menghulur salam.

Azmi segera menyambut salam yang dihulurkan. Dia melihat saja Pak Jush meneruskan langkah menuju ke rumahnya yang terletak selang dua buah rumah dari rumah tok imam. Setelah Pak Jusuh semakin jauh, dia pun berpaling balik ke kedainya namun langkahnya terhenti apabila ada suara yang memanggilnya dengan keras.

“Hoi! Yang pakai baju melayu biru tu!”

Azmi berdiri sambil terpandang-pandang namun tidak ada sesiapa di hadapan dan di belakang. Dari arah laut juga tidak ada namun apabila dia menjeling ke arah salah sebuah beranda Resort Abadi, gadis tadi sedang tersenyum dan melambaikan tangan ke arahnya. Darahnya berderau.

“Hoi! Kaulah,” kata gadis itu lagi sambil menunjukkan jari pula ke arah Azmi.

“Saya?” tanya Azmi kelam kabut.

****
“Engkaulah, takkan aku panggil pokok kelapa tu pulak,” jawab gadis itu dari jauh. Matanya masih tak berkelip merenung Azmi, dahinya berkerut seolah tidak faham kenapa Azmi masih tercegat di situ.

Untuk beberapa saat Azmi tak dapat berfikir dengan betul. Dia diterpa perasaan serba-salah. Hendak dilayan atau tidak gadis yang kurang budi bahasa ni? Hendak dibiarkan juga, tidak sopan, sama sajalah dia dengan gadis itu. Setelah berfikir beberapa saat, dia datang mendekat. Kini dia terpaksa mendongak. Gadis itu di beranda tingkat satu, dia pula di bawah, di bawah terik matahari. “Awak nak apa?”

“Kau boleh tak tolong cari kawan aku? Mungkin dia ada di Lahaina sana,” kata gadis itu sambil jarinya menunjukkan bangunan Lahaina bagai Azmi tak pernah tahu.

Azmi mengangguk. Permintaan itu tidaklah berat mana, sekadar sebuah pertolongan kecil. Hatinya jadi lega. “Nama dia apa?”

“Tina,” jerit gadis itu pula. “Kata kat dia, aku lapar. Suruh dia hantar kan makanan aku. Dah lama aku tunggu.”

Gadis yang banyak karenah tadi, namanya Tina, kata hati kecil Azmi. Tanpa berlengah dia mengangguk lagi dan berpaling pergi tapi, sekali lagi dia dipanggil.

“Hoi! Kat sini tak ada signal telefon ke?” tanya gadis itu lagi sambil menunjukkan telefon bimbit di tangannya.

Azmi menggeleng pula. Dan kali ini dia tak menunggu lagi. Makin lama di situ, hatinya makin mendidih. Dia memang tak gemar jika orang bercakap kasar, bagaikan tak cukup tatabahasa. Walau di dalam agama melarang seseorang perempuan bercakap lemah lembut sehingga boleh menggoda lelaki ajnabi tetapi bukan sampai sebegitu kasar pula. Dia menggaru kepala, gadis itu semakin mencabar kesabarannya.

*****
Kedatangan Azmi ke Lahaina disambut dengan pandangan tajam beberapa pasang mata. Namun Azmi bersikap tenang-tenang sahaja. Niat kedatangan hanya untuk mencari Tina bukan untuk mencari gaduh. Jadi, dia abaikan sahaja pandangan dingin dari pelayan-pelayan di Lahaina itu yang rata-ratanya adalah juga penduduk Pulau Mayang.

Dengan sekali pandang, tak susah untuk Azmi mencari Tina. Hanya dia seorang saja perempuan di tengah-tengah sekelompok pengunjung lelaki. Ada juga empat orang pekerja Resort Abadi termasuk Hasan. Lalu dari jauh, Azmi sudah melemparkan senyum mesra dan memberi salam. Walau dia tak mendengar salamnya disambut dia terus sahaja bercakap dengan Tina. “Tina, boleh saya bercakap dengan awak sekejap?”

Tina agak tersentak dan terpinga-pinga namun dia tidak pun berganjak dari tempat duduknya. “Kau nak apa?” Pandangan matanya cukup sinis bagai sakit benar matanya dihampiri oleh Azmi.

“Kawan awak suruh awak hantarkan dia makanan, dia kata dia lapar tadi,” Azmi segera membalas pertanyaan Tina dengan jawapan yang jujur. Walau dari pandangannya, Tina langsung tak ambil peduli tentang kawannya lagi.

“Kalau macam tu… boleh tak kau belikan dia makanan? Dan hantarkan ke bilik?”tanya Tina pula sambil menyeluk poket. Sekeping duit sepuluh ringgit diletakkan di atas meja sambil tersenyum lebar.

“Awak suruh saya hantarkan ke bilik?”tanya Azmi lagi.

Tina segera mengangguk. “Kami tengah discuss ni, belum habis lagi. Awak pergilah hantar, duit bakinya awak ambil,”pujuk Tina.

Azmi terkebil-kebil. Fikirannya bingung sesaat. Bukan pasal duit yang menjadi beban fikirnya tapi sikap Tina yang begitu lepas bebas. Apakah dia fikir, duit boleh memudahkan segala-galanya? Dahinya berkerut.

“Alah, Mi. Bukan berat sangat… takkan itupun kau tak boleh tolong,” sampuk salah seorang pemuda di situ. Yang lainnya mula ketawa.

Tina tersenyum makin lebar, kepalanya terangguk-angguk laju.

“Takkan takut kut?”tanya yang seorang lagi. Serentak itu mereka berlima yang faham apa yang sedang di bincangkan serentak ketawa. Pengunjung asing yang ada di situ hanya tersengih-sengih suka walau tak faham apa-apa.

Penakut atau bukan, bukan soalnya di situ. Dia sekadar datang untuk menyampaikan pesanan gadis tadi, urusannya sudah tamat. Dia berpaling untuk balik ke rumah namun langkahnya tertahan dek panggil Hasan.

“Mi, awak hantar sajalah,”pujuk Hasan sambil menepuk bahu Azmi. “Jom! Saya temankan.”

“Kalau awak ada, buat apa saya perlu ikut sama?” bantah Azmi dengan cepat. “Awak sajalah uruskan, saya cuma menyampaikan pesanan kepada Tina. Selebihnya, saya tak masuk campur.” Dia mengangkat tangan lalu menuruni anak tangga Lahaina yang sekadar tiga anak mata. Daripada dia membuang masa melayan karenah dua orang gadis manja itu lebih baik dia pulang ke kedai. Boleh juga dia sambung menulis sambil-sambil menjaga kedai.

Dan dengan kesedaran itu, dia terus melangkah pergi. Namun semakin dia jauh, semakin terasa hatinya tertinggal di belakang dan langkahnya menjadi semakin berat.

Buku-buku di BookStation


Sementara menunggu MDA Bab 3 disiarkan, saya ingin mengambil kesempatan untuk bercerita sedikit tentang BookStation iaitu satu lagi kedai buku ONLINE yang terdapat di dunia maya.

Di sini terdapat beberapa buah novel hasil karya Ilmar Imia, Nurfa dan juga Izan Ali di samping komik, buku terjemahan dan buku latihan pembelajaran.

Novel 'Buku Bunga-bunga' (sinopsis)
Novel remaja sekolah menengah ' Aku budak SMART' (sinopsis)
Novel remaja di universiti 'Aku dia dan Gitar' (sinopsis)
Novel remaja di sekolah menengah 'Pemuja Rahsia' * Buku ini buat saya ketawa kerana suntikan humournya bersahaja. (sinopsis)

Novel terjemahan seorang penulis Novel Jepun, Jiro Akagawa. (Sinopsis)

Novel ini sedang ditunggu-tunggu oleh saya, diharapkan pada minggu hadapan, buku ini sudah ada di tangan.

Kalau nak dapatkan buku-buku di atas atau novel yang lain, silalah ke kedai buku ONLINE di

Mereka juga akan berada di pesta Buku Kanak-Kanak 2010. (Kalau malas nak order-order kan)


Tarikh: 22 hingga 26 Disember 2010

Masa: 10.00 pagi hingga 9.00 malam

Tempat: Tun Razak Hall 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)

No booth: B 72- 75 (Buku Melayu dan Inggeris) ;


*Kepada yang nak pergi ke bengkel nanti...boleh saja order dengan Aimi dan Fad...

Saturday, December 11, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 2


“Kenapa ni?” Tina tersentak apabila melihat Sherry melurut jatuh. “Kenapa kau tercegat je kat situ? Cepatlah dukung dia,” marahnya pula kepada Azmi sementara dia ke hulu ke hilir dan kelam kabut tak tahu apa yang harus dibuat. Dengan dahinya yang berkerut rapat, dia merenung bagaikan mahu menelan Azmi.

“Beri saya topi awak, awak lindung dia sekejap. Jangan sampai kena matahari,” pinta Azmi sambil menghulurkan tangan.

Dengan rasa terpaksa, Tina menyerahkan topi lebarnya kepada Azmi. Serta-merta juga kepalanya terpanggang dek pancaran matahari yang terik sehingga kulit kepalanya terasa hantat. Hatinya sebal, namun dia juga tak mahu Sherry terus terbaring di situ. Masa dia juga yang akan habis dengan sia-sia.

Tak ada tongkat, akar pun berguna. Topi Tina digunakan oleh Azmi untuk mengipas muka Sherry yang masih belum sedar. Dia cuba untuk tidak merenung seraut wajah putih pucat di hadapannya, bimbang hatinya terpana. “Kawan awak ni, kenapa?” tanya Azmi pula sambil mengerling sekilas ke arah Tina yang sedang berpeluk tubuh di sebelahnya.

“Tak ada apa tu. Cuma tak cukup tidur je malam tadi. Dia asyik nangis kaki dia sakit,” balas Tina sambil mencebik. Dia sendiri rasa seperti tak cukup tidur dan sedikit letih melayan rengek Sherry yang bagai budak kecil tak cukup susu.

“Kalau macam tu buat apa datang lagi ke sini? Awak patut bawa dia balik ke Tanah Besar. Jumpa doktor.”

“Dia yang nak datang jugak,”balas Tina.Dia mengalihkan perhatian ke tengah laut. Sayup-sayup di sana dia terlihat beberapa bot nelayan sedang menangkap ikan sambil cuba mengalihkan perasaan yang sakit kerana seolah dipersalahkan.

Azmi tak mahu masuk campur, keadaan gadis yang pengsan itu yang lebih membimbangkan dia. Lalu dia menoleh ke arah Tina dan bertanya, “Ada air kosong? Air mineral ke?”

Mendengarkan permintaan Azmi, Tina segera menyelongkar beg sandangnya dan mengeluarkan sebotol kecil air mineral yang berbaki separuh. “Nah! Nanti kau ganti balik.”

Air mineral setengah botol pun kena ganti balik? Azmi menarik nafas sambil menepis perasaan marah yang mula menghimpit diri. “Awak basahkan muka dia, rambut dia sekali,”pintanya perlahan.

“Aku? Kenapa aku? Kaulah buat.” Tina menghulurkan botol itu kepada Azmi sekali lagi.

“Awaklah buat, saya bukan muhrim dia. Saya tak boleh sentuh dia sesuka hati,” balas Azmi sambil memandang ke lantai jeti. Dia tahu, pasti Tina akan memberontak. Gadis seperti itu bukan tidak pernah ditemui dalam hidupnya. Tapi dia takkan bertolak-ansur, dia tak peduli kalau Tina mahu melompat di situ sekalipun.

“Eleh, alim konon,” cemuh Tina sambil mencangkung dan menuang air mineral ke atas tapak tangannya. Kemudian air itu dibasahkan ke muka Sherry. Hampir habis kesemua airnya, baru Sherry menunjukkan tanda akan sedar. “Hah! Sedar pun kau,” tegur Tina. Dia tak mempedulikan kehadiran Azmi lagi.

“Aku blackout ke?”tanya Sherry sambil berkerut muka. Matanya cuba dibuka besar-besar tetapi silau matahari dengan segera membuat matanya terpejam semula. Dicuba sekali lagi dan kini pandangannya tertancap ke wajah Azmi yang berada di sebelahnya. “Ni siapa pula?” Dia tidak ingat apa-apa, malah wajah di hadapannya itu seperti tidak pernah dilihat sebelum itu.

“Ha’ah, kau blackout sekejap. Nasib baik tak jatuh ke laut,”jawab Tina sambil menahan tubuh Sherry daripada tumbang lagi sekali. “Ni pekerja resort tu, tukang bawa beg.”

“Ooo….Macam ni ke kau orang sambut pelancong? Mana air? Mana buah?” rungut Sherry sambil memandang Azmi dengan tajam.

Azmi mula terasa kurang senang. Baru saja celik mata dah mahu menyergah orang. Sayang seribu kali sayang, wajah saja cantik tapi kurang budi bahasa. “Maaf cik, saya bukan pekerja resort tu. Saya penduduk di pulau ni saja,” terangnya jujur. Dari tadi dia ingin menjelaskan tapi tak berkesempatan.

“Kalau macam tu, di mana pekerja resort ni?” Sherry terus bertanya. Tina di sebelahnya mengangguk laju.

“Tu, baru datang,” jawab Azmi sambil menunjukkan sebuah bot laju yang sedang menuju ke situ.

Tak lama kemudian, bot itu merapat dan beberapa orang lelaki melompat turun dengan barang masing-masing. Jeti itu sekali lagi riuh dengan gelak ketawa bagai tidak ada orang lain di situ. Namun mereka berhenti bergurau sebaik saja terpandang Tina, Sherry dan Azmi yang sedang memandang ke arah mereka.

“Mereka pun tak tinggal di sini?” tanya Tina kehairanan sambil matanya melotot tajam ke arah lelaki-lelaki yang sedang naik ke atas jeti. Well, not bad, bisik hatinya suka.

Azmi tersenyum kecil, bagai faham apa yang bergolak di hati Tina. Renungan Tina bagaikan tidak putus-putus. “Mereka penduduk Pulau Mayang. Resort Abadi dan Resort AngsaMas dimiliki oleh pemilik yang sama. Tapi Resort Abadi baru beberapa bulan saja beroperasi, rumah pekerja pun belum siap dibina.”

“Sudah-sudahlah bercakap, kalau kau tak nak tolong kami, tak apa,” kata Tina sambil mengangkat beg dan menuju ke arah lelaki-lelaki yang tersenyum ke arahnya. “Tolong hantar beg kami ke bilik,” katanya sambil menghulurkan beg yang dipegang.

Salah seorang daripada lelaki itu tergamam. Matanya berbalik-balik dari wajah Tina ke arah beg-beg yang dihulur. “Awak menginap di resort kami?”

“Apalah punya soalan. Sudahlah service tak bagus. Kami datang pun tak ada yang sambut,” bebel Tina sambil melenggang senang ke arah Sherry semula setelah melepaskan beg pakaiannya di tepi kaki lelaki itu. Wajahnya kebosanan.

Air muka lelaki itu berubah merah padam dan akhirnya dia mengalihkan perhatian pula ke arah Azmi. “Mi, rombongan penyelam dari Sweden tu dah sampai kan?” tanyanya pula.

Azmi mengangguk. “Ada enam orang. Dah lama sampai ke resort,” katanya sambil berbalas senyum. Sama-sama faham. Dia kenal dengan Hasan dan di antara ramai-ramai pekerja Resort Abadi, Hasanlah yang paling rapat dengan dia. Hasan mahu menegur dan berbual malah sesekali berjemaah bersama dengannya di surau. Pendek kata dia senang berkawan dengan Hasan yang berbadan tegap dan berkulit sawo matang itu.

Hasan terangguk-angguk, beg milik Tina dan Sherry dihulurkan saja kepada rakan-rakan penyelamnya yang lain. Beg-beg itu segera berpindah tangan, hatinya lega. Dan dia memaut bahu Azmi, mengajak jalan bersama. Mereka berbual mesra tentang cuaca dan laut tetapi belum sempat jauh, perbualan mereka terbantut.

“Hey! Kami ni macam mana?” Tina bertempik.

Hasan berpaling ke belakang, dikuti oleh Azmi. “Kenapanya? Marilah ke resort kami,” balas Hasan sambil tersenyum simpul melihat gelagat Tina.

Azmi turut tersenyum-senyum. Pada dia, sudah Hasan ada di situ, bukan tanggungjawab dia lagi untuk membantu. Dia hanya akan melihat saja bagaimana Hasan melayani karenah Tina, gadis seiras gadis Cina itu. Dia berpaling untuk meneruskan langkah balik ke pantai sebelum dia terdengar permintaan Tina yang membuat langkahnya terhenti.

“Dukunglah dia, nanti pengsan lagi,” sambung Tina.

“Dukung?” Hasan separuh menjerit. Dia menoleh ke arah Azmi.

Azmi tak jadi melangkah. Dia terlupa untuk menerangkannya kepada Hasan. Lalu dia berpatah balik dan mendekati Hasan semula. “Kaki kawan dia sakit, San. Tak boleh berjalan.” Tunjuknya ke arah ibu jari Sherry yang berbalut.

Hasan tersentak. “Kaki dia sakit?” Dia masih tergamam, wajahnya serba-salah.

Tina dan Azmi sama-sama mengangguk. Serentak itu Hasan maju ke hadapan dan mendekati Sherry yang diam sedari tadi. Matanya beralih dari wajah Sherry yang mendung ke arah ibu jari kaki gadis itu yang berbalut tebal. “Saya papah awak ya,” katanya sambil menghulurkan tangan. Kini tangan kanannya yang kekar memaut bahu Sherry dan mereka berdua cuba berjalan beriringan.

Sherry tidak ada pilihan. Sebelum dia kemerahan bak udang bakar di situ, lebih baik dia mencuba sahaja. Setapak dia melangkah, setapak dia terhencut. Dan dia semakin rimas dengan pautan Hasan yang agak kejap. Tubuhnya dan tubuh Hasan bersentuhan rapat. Bau cologn entah dari jenama apa yang dipakai membuat dia mual.

Tidak jauh di belakang mereka pula, Tina dan Azmi hanya mengekor tanpa suara. Hingga sampai satu pertiga dari hujung jeti itu, Sherry dan Hasan berhenti dan berbicara sesuatu. Tak lama kemudian, Hasan melepaskan bahu Sherry dan bergerak ke sebelah kanan. Dengan sekelip mata, dia meletakkan tangan kirinya di belakang Sherry dan tangan kanannya di sebelah kaki. Tubuh Sherry dikendong manja.

Azmi di belakang rasa tersentap. Pelbagai perasaan bercampur baur. Ada rasa cemburu, ada rasa iri hati bahkan ada rasa sedih. Dia cuba mengalihkan perhatian ke laut lepas, menjenguk ikan-ikan yang berenang di kaki jeti. Dia cuba meredakan ribut di hati yang semakin kuat.

*****

Kedai runcit dan juga kedai cenderamata milik Abang Osman dan Azmi, adalah satu-satunya kedai di pulau itu yang mempunyai penduduk seramai hampir 200 orang. Di situlah tempat mereka mendapatkan bekalan jika terdesak ataupun tempat pengunjung membeli cenderamata yang tak seberapa. Kedai itu juga tempat mereka mendapatkan berita, surat dan tumpang membaca surat khabar jika ada. Pendek kata, kedai itu bagaikan pusat setempat.

Sepulangnya dari jeti, Azmi terus masuk ke bahagian kecil yang terletak di belakang kedai. Kedai itu sememangnya dibina dua bahagian. Satu bahagian untuk berniaga dan satu bahagian lagi untuk Azmi tinggal. Ruang empat segi bujur itu dibahagi kepada empat bahagian pula. Sebuah bilik tidur, sebuah dapur, sebuah bilik air berdinding zink dan sebuah ruang kosong yang boleh juga dianggap sebagai ruang tamu. Itulah mahligainya sejak Abang Osman berkahwin.

Dia singgah sebentar di sebuah meja kayu yang terletak rapat ke dinding. Punggungnya dialas dengan sebuah pangkin kecil selebar 1 kaki. Komputer ribanya dibuka. Fail manuskripnya dibaca. Dia skrol ke bawah sehingga sampai ke mukasurat 98, dan dia mula menaip sepatah dua perkataan. Beberapa saat selepas itu, dia tersedar yang dia hanya termenung kosong di hadapan skrin. Fikirannya langsung tak ke situ, sebaliknya terbang melayang ke arah resort. Dia menggeleng keras, cuba menghilangkan bayangan yang hadir. Semua itu dugaan. Tak mungkin dapat di petik bintang di langit, pujuk hatinya.

Oleh kerana tumpuannya tak ada, dia menuju pula ke bilik air yang menempatkan sebuah perigi kecil. Penutup tempayan besar yang terletak di sebelah perigi diangkat dan diletakkan ke atas lantai. Airnya diceduk dan dia segera berwuduk. Niatnya untuk bersolat Sunat Dhuha sebelum tertegaknya matahari. Kesejukan air yang tertakung itu menyuntikkan rasa segar hingga ke dalam jiwa. Dan ketika setiap titisan air mutlak itu menyentuh semua titik uraf saraf di hujung jari-jarinya, maka terlerailah keresahan jiwa yang dibawa pulang.

Setelah berwuduk, dia segera membentang sejadah di atas lantai papan dan membetulkannya mengikut arah kiblat. Lantas dia bertakbir dan berniat. Mulutnya terkumat-kamit membaca surah demi surah yang dihafal. Semuanya dilakukan dengan tertib sehinggalah bersujud akhir. Di situ dia berlama-lama sambil memanjatkan doa ke hadrat Illahi, agar rezekinya di langit diturunkan dan rezekinya di bumi dikeluarkan. Rezeki yang jauh dirapatkan, rezeki yang sukar dipermudahkan. Selesai sahaja solat sunat yang hanya dua rakaat itu ditunaikan, dia duduk berteleku dan bersyukur, jiwanya telah kembali tenang.

“Mi, kau dah habis solat? Akak nak balik rumah dulu, kau tolong jaga kedai ya,” pinta Kak Senah yang menjenguk di muka pintu yang memisahkan ruang kedai dan ruang tempat tinggalnya. Tanpa kehadiran suaminya, dia tidak pernah melangkahi pintu itu.

Azmi lantas menoleh ke sebelah kanan. Seorang wanita dengan perut yang hampir membusung sedang menanti-nanti akan jawapannya. Dia terasa belas. “Akak baliklah, dulu. Jangan berpenat sangat. Saya boleh jaga kedai tu.” Dia tersenyum memberikan keyakinan.

“Akak dah tanakkan nasi tadi, lauk pun ada di bawah tudung saji.” Kak Senah tersenyum sebelum berpaling pergi.

Azmi menggeleng lesu, sambil melihat saja Kak Senah berlalu. Sudah berapa kali dia berpesan agar Kak Senah tidak memasakkan dia makanan. Dia lebih risaukan keadaan Kak Senah daripada perut dia. Kalau apa-apa terjadi, bukan senang hendak ke Tanah besar. Perlu dilambung ombak hampir dua jam. Tapi, Kak Senah tetap juga berdegil.

Dia tidak berlengah lagi, sejadah yang terbentang, ditarik dan dilipat. Disangkutkan semula di atas tali rafia yang menjadi tali penyidai di tepi dinding. Dia segera meninggalkan ruang itu, dan menuju semula ke kedai. Dia cuma mengharapkan agar hari itu berlalu dengan aman tanpa sebarang keributan lagi, baik di laut mahupun di dasar hati. Biarlah bintang tetap menghiasi langit malam kerana di situlah tempatnya yang hak.

****

Mata Tina meliar memerhati keadaan resort yang baru dijejakinya itu. Hatinya kurang senang. Resort Abadi jauh lebih kecil berbanding dengan Resort AngsaMas di Pulau Mayang. Pejabatnya juga hampir sama besar dengan sebuah bilik hotel. Pekerja di situ cuma dua orang. “Kawan-kawan kau tadi pergi mana?” tanyanya kepada Hasan yang menolong mereka membuat pendaftaran dan mengambil kunci bilik.

“Mungkin sudah berkumpul di Lahaina,” balas Hasan sambil berpaling.

“Lahaina tu tempat apa pula?” tanya Tina terus-terang.

Hasan tersenyum. Sambil menjeling ke arah Sherry dia menjawab, “Sebuah restoran kecil, tempat kami melepak sebelum dan selepas menyelam.” Tangannya menghulurkan dua keping brosur.

Tina segera menyambutnya. Brosur yang mempunyai gambar pulau itu dari udara segera dibuka. Matanya meneliti baris demi baris ayat yang tertera di situ, dia hanya mengangkat kening. Tak ada apa yang istimewanya pulau berbentuk cincin itu. Setakat sebuah restoran tepi laut dan jungle trekking, di pulau lain juga ada. Tetapi alang-alang sudah datang ke situ, apa salahnya dia memuaskan hati. “Makanan macam mana? Resort ini sediakan atau kami perlu makan di restoran itu?”

“Semuanya akan disediakan oleh Lahaina. Awak patut cuba mee udang di situ. Best.” Hasan cuba mengumpan.

Tina membalas senyuman Hasan. Tiba-tiba perutnya terasa lapar. Anak matanya menikmati apa yang dipandang. Senyuman Hasan menambahkan kekacakan pemuda pulau itu. Kalau boleh dia tidak mahu senyuman itu pudar. Kalaulah dia dapat membawa Hasan balik ke ibu kota pasti ramai kawan-kawannya akan cemburu.

“Tina, kalau kau nak pergi berjalan-jalan, pergilah,”tegur Sherry yang asyik membaca brosur di tangannya.

“Kau nak masuk bilik dulu ke?” tanya Tina pula kepada Sherry di sebelahnya. Kegembiraannya kerana dapat menjejakkan kaki ke pulau itu sedikit tercemar dek gelagat Sherry yang asyik bermasam muka. Tapi kalau ada tambah tentu ada tolaknya. Dia mahu menikmati kedatangan dia ke situ sepuas-puasnya. Soal Sherry bukan soal dia. Dia yakin tentu ada cara untuk menghabiskan masa di situ, bersama Hasan misalnya.

“Aku nak berehat saja, kalau boleh, suruh orang hantarkan aku makan tengah hari. Aku tak laratlah nak terlompat-lompat ke sana- ke sini.”

“Jari kau berdarah lagi?” tanya Tina sambil menjenguk ibu jari Sherry. Kenapalah masa ni nak tercabut? Rungut hatinya geram. Tapi, kalau tak ada Sherry, bermakna tak banyaklah persaingan nanti.

Sherry mengangguk seraya tunduk melihat ibu jarinya. Rasa sakit semakin berkurangan kalau dia tak banyak bergerak. Tapi, dia lebih gerun jika terkena air laut. Oleh itu dia akan sedaya upaya menjauhi pantai sementara di situ. Kesal juga kerana tak dapat menendang ombak dan bercumbu dengan buih.

“Jom! Saya hantar awak ke bilik,” ajak Hasan sambil menghulurkan tangan ke arah Sherry.

Sherry dan Tina sama-sama bangun dari kerusi. Hasan memberi isyarat yang dia akan menggendong Sherry sekali lagi. Dan kali ini dia akan membawa mereka ke tingkat dua, di mana bilik kedua orang gadis itu berada.

Sherry tidak membantah, hatinya senang kerana dilayan bak seorang puteri. Walau agak gementar kerana didakap seorang lelaki yang agak menawan dia tidak kisah. Dia tersenyum dan membiarkan saja Hasan mengangkat tubuhnya bagaikan kanak-kanak kecil yang kelelahan. Dan apabila pandangan matanya tertangkap riak cemburu di wajah Tina, hatinya tertawa.

*****
Sampai di bilik, kaki Sherry diturunkan ke bawah. Pintu dibukakan dan dia bersama Tina dipersilakan masuk ke sebuah bilik yang agak luas menghadap ke Laut China Selatan. Beg pakaain mereka diletakkan di tepi dua buah katil bujang. Angin yang masuk dari tingkap yang terbuka menghantar bau laut yang segar. Sherry jadi kagum.

“Sherry, aku turun dululah,”kata Tina sambil tergesa-gesa mengejar Hasan yang sudah mula meninggalkan bilik mereka.

Tingkah laku Tina membuatkan Sherry menggeleng. Nampaknya baik di kota mahupun di pulau kecil seperti itu, sikap Tina sama saja. Di mana ada keseronokan, di situ dia kejar seolah mengejar cahaya kunang-kunang di malam hari. Sesuailah dengan gelaran ‘Firefly Queen’ yang diberikan kawan-kawan mereka kepada Tina. Dia juga percaya sikap Tina tidak akan berubah atau sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi kerana dia sendiri pun tak jauh bezanya.

Dia duduk di atas katil untuk melayan kepalanya yang terasa pening namun ada sesuatu yang menggamit pandangannya. Dia lantas bangun dan berusaha juga untuk melangkah. Pintu gelongsor yang menghala ke beranda ditarik perlahan. Sebaik terbuka, tubuhnya terus saja diterpa angin yang menderu-deru, sehingga rambutnya terbuai-buai dan mencucuk mata. Dia terpegun.

Dari tempatnya berdiri dia bagaikan menyaksikan sebuah lukisan alam yang sempurna. Langit biru dan laut yang kehijauan. Pantai memutih dibarisi pokok kelapa yang menghijau. Segalanya sempurna kecuali dia yang tak mampu menikmati semua itu sepenuhnya.

Dalam leka dia menikmati sajian mata yang indah mempesona itu, telinganya disajikan pula oleh laungan azan yang lunak. Suara muazzin yang beralun lembut itu menyelinap dan menyerap ke dalam jiwanya. Suara itu terasa mesra dan dekat. Jiwa halusnya bergetar. Lalu hatinya mula tertanya-tanya, siapakah yang empunya suara semerdu itu.

Friday, December 10, 2010

Mencari Damai Abadi : Bab 1




Pulau Damai

Orang kata dia bertuah. Orang kata dia bernasib baik. Benar atau tidak, dia menerimanya sebagai doa yang baik-baik. Sememangnya dia berasa amat bertuah sekali kerana takdir Tuhan melontarkan dia ke Pulau Damai. Pulau yang terpencil, indah dan menghidangkan kedamaian yang diperlukan dalam hidupnya. Walau sesekali dalam setahun kedamaian itu hilang juga.

Di bawah sebatang pokok kelapa yang condong ke laut, dia duduk menaip sesuatu. Dengan beralaskan sebatang pokok kelapa yang tumbang sejak sebulan yang lalu, dia amat khusyuk. Cuma sesekali dia berhenti dan mengangkat muka memandang laut lepas yang membiru. Dia mencari ilham.

Angin petang yang berpuput lembut, melengkapkan keasyikannya mengarang cerita. Nasibnya baik apabila komputer riba buruknya masih boleh berfungsi. Dia sememangnya tak memerlukan apa-apa lagi waktu itu, selain ilham dan ketenangan. Namun nampaknya, keasyikannya terganggu apabila ada suara yang menegurnya dengan tiba-tiba.

“Azmi, kamu belum balik?” tanya satu suara yang datang dari arah belakang. Derap tapaknya yang terbenam sedikit di dalam pasir kering mengiringi kehadirannya di bawah pokok kelapa itu.

“Belum, bang. Nak siapkan lagi sikit ni,” jawabnya tanpa mengalihkan muka walau sedikit. Dia sedang cuba menaip selaju mungkin agar ilham yang datang tadi tidak hilang dibawa angin.

“Dah banyak tulis?”

“Baru masuk mukasurat 97, bang. Banyak lagi ni,” jawab Azmi sambil menggeleng.

“Perlahan-lahanlah, bukannya nak disiapkan dalam satu hari.” Abang Osman memanjangkan langkah dan duduk di sebelahnya.

Azmi cuma mengangguk. Memang benar kata-kata Abang Osman, sepupunya itu. Tetapi dia tak mahu berlengah lagi setelah sekian lama menghimpun keberanian untuk menulis sebuah manuskrip. Dan dia tak mahu tewas lagi oleh seribu satu keraguan.

“Mi tulis cerita tentang apa?”

Serta-merta muka Azmi yang sawo matang itu bertukar merah. Dia menggeleng, terasa darahnya menderu naik ke muka. Niatnya hanya mencuba nasib sebagai pengarang novel walau dia sedar halangannya menggunung. Jadi, selagi dia belum berjaya biarlah cerita itu akan tetap menjadi rahsia.

Abang Osman hanya ketawa melihatkan tindakbalas Azmi. Dia segera tahu Azmi malu untuk berkongsi. “Abang nak ke tanah besar, esok. Kamu nak kirim apa-apa?” Abang Osman yang duduk bersebelahan merenungnya lama-lama. “Atau kamu boleh ikut saja, abang. Kamu pun dah lama tak ke tanah besar.”

Azmi mengerling sekilas. Dia faham apa maksudnya kata-kata Abang Osman itu. Cuma dia selalu berasa berat hati mahu ke sana. Kalau bukan sekadar untuk menziarahi pusara kedua ibubapanya dan abang-abangnya, lebih baiklah dia di situ. Di sana hanya ada kesedihan. “Tak apalah, bang. Abang pergi sajalah. Kalau kita dua-dua pergi, siapa pula yang nak jaga kedai?”

“Kak Senah kan ada. Sesekali kamu patut berubah tempat, Mi. Sejak kamu balik semula ke sini, abang tengok kamu jarang sangat keluar ke mana-mana. Ke Pulau Mayang pun kamu jarang pergi.”

“Tak ada keperluan, bang,” jawabnya pendek. Dia tunduk semula menghayati ayat-ayat yang telah ditaip.

Memang tak ada keperluan langsung untuk dia ke Pulau Mayang yang terletak hanya setengah jam dengan menaiki bot. Berbanding Pulau Mayang, Pulau Damai lebih kecil dan terpencil. Luasnya hanya lebih kurang 50 hektar. Pulau Mayang pula lebih luas dan lebih terkenal sebagai pulau peranginan. Pulau Damai pula hanya terkenal di kalangan para penyelam dan pelancong yang tahu tentang kewujudan pulau itu. Sayangnya Pulau Damai terletak lebih ke depan daripada Pulau Mayang, menghala ke Laut China Selatan, maka jika berlaku ribut taufan, Pulau Damai yang akan dilanda dahulu.

“Kamu patut menikmati masa muda kau, Mi,”pujuk Abang Osman lagi. Bagai ada kekesalan yang terdampar di hatinya.

Azmi mengeluh. Fail manuskripnya disimpan ke dalam sebuah folder. Ilhamnya sudah entah ke mana. Hanyut bersama fikirannya yang terganggu. “Dengan berpoya-poya di parti-parti tepi laut?” tanyanya balik. Terbayang-bayang di matanya pergaulan bebas yang berleluasa di resort-resort yang terletak di Pulau Mayang. Arak tak ubah seperti air sejuk, dihidang dan diteguk tanpa segan silu. Dan dia jauh dari rasa mahu ikut serta.

“Tak semestinya macam tu, Mi. Tapi sekurang-kurangnya…”

“Apa yang abang risaukan sangat ni? Cuba cakap.” Dia tersenyum. Dia tahu Abang Osman tak pernah berniat serong kepada dia. Dia dan Abang Osman walau hanya sepupu tetapi dibesarkan bersama-sama sejak kecil. Ikan masak singgang yang Abang Osman makan hari-hari, itulah juga yang membesarkan dia. Bau hanyir ikan kering yang Abang Osman hidu setiap hari, itulah juga yang memenuhi relung dadanya sekian lama.

“Kamu tak pernah fikir ke soal kahwin? Kamu tak ada kawan perempuan?”

“Kalau ada, mengapa?”

Abang Osman tersengih. “Bolehlah abang dan Kak Senah pinangkan.” Dia menyenggol bahu Azmi.

“Tak ada, bang. Siapalah yang nakkan saya ni? Harta tak ada, pelajaran kurang.”

“Kalau ada, macam mana?”

Azmi tersenyum. Matanya merenung Laut China Selatan yang tak jemu-jemu dipandang. Kali ini dia tidak mencari ilham, dia mencari kekuatan. Kekuatan untuk mempercayai bahawa dia sebertuah itu untuk mendapat seorang gadis yang sanggup menerima dirinya seadanya. Mungkinkah benar kata orang, dia memang bertuah?

****

Pulau Mayang

Sherry menendang-nendang air laut yang datang mencumbui kakinya yang tidak beralas. Sesekali dia berlari ke laut mengejar ombak yang bergerak jauh. Sesekali juga dia berlari ke pantai, apabila ombak yang datang itu lebih besar dari yang disangkakan. Dia jadi leka di situ, sambil menyusuri pantai yang memutih di pinggiran Resort AngsaMas. Sedar tak sedar, dia sudah semakin jauh dari resort yang ditumpanginya.

“Wei…dah jauh ni. Jom patah balik,” tegur Tina, gadis putih melepak seiras anak gadis berbangsa Cina. Rambutnya yang terlerai dibahu kini dibelai angin lalu bermain-main di mukanya yang bujur sireh.

Langkah Sherry langsung terhenti dek teguran Tina. Jika bukan kerana teguran itu, dia sudah pasti akan terus menyusuri pantai putih itu selama-lamanya. “Dah pukul berapa?” Dia menoleh ke arah Tina yang sedang leka memerhati anak-anak ikan di celah batu. Baru tersedar tangan kanannya hanya terhias seutas gelang mutiara tanpa jam tangan.

“Dah dekat pukul 7.00 malam. Kau nak jalan lagi ke? Aku dah penat ni, badan pun melekit-lekit semacam,” rungut Tina lagi.

“Kita makan dululah, esok pagi dah nak ke sanakan?” tanya Sherry semula. “Kita dah confirm ke dapat bot esok?”

“Aku dah confirmkan dengan pekerja resort tu, esok pagi mereka suruh kita standby di depan resort pukul 9.00 pagi. Ada bot dari Pulau Damai akan ambil kita, ” jawab Tina.

“Berapa jam ke sana?”

“Setengah jam je, resort di sana pun aku dah confirmkan,” sambung Tina lagi sambil berdiri di atas batu. Sememangnya dialah yang mengaturkan percutian itu sejak dua bulan yang lalu. Sudah lama dia mahu ke Pulau Damai yang sering disebut-sebut oleh rakan-rakan lelakinya. Dia nak ikut mereka, tapi mereka tak nak bawa dia. Jadi, terpaksalah dia ajak Sherry. Bukan ajak sebenarnya, tapi paksa.

“Okey, malam ni kita tidur awal sikit. Cuti-cuti juga tapi jangan tak bangun pulak,” sindir Sherry.

Tina yang terasa diperli segera membalas. “Kitakan bercuti? Bagi can lah aku tidur lama sikit. Kalau tak tu, setiap pagi kena bangun awal dan masuk ofis.”

“Kau ni kan, tak habis-habis bersungutlah,” balas Sherry. Dia melangkah semula ke arah Resort AngsaMas yang nampak kecil saja dari tempatnya mula melangkah. Kini mula terasa langkahnya semakin berat, bagaikan terbenam di dalam pasir yang basah. Mungkin kerana sudah mula terasa letih, yang dekat pun, nampak jauh.

Tina tersentak, air mukanya berubah. Dia mengejar dan menarik lengan Sherry. Akhirnya mereka berjalan bergandingan sambil menikmati udara petang yang mula menyambut senja. Sesekali dia tersenyum kepada pemuda-pemuda yang masih asyik bermain bola pantai. Siulan dan sapaan mereka hanya dibalas dengan senyuman manis.

“Aduh!” Tiba-tiba Sherry terjengket-jengket dan akhirnya mengangkat kaki kanannya ke atas. Ibu jarinya merah dan berdarah, kuku ibu jarinya terjongket sedikit, dia jadi ngeri sendiri. Serentak itu juga rasa pedih mula terasa berlari-lari di setiap urat saraf.

“Mata ke mana kak oi?” sindir Tina pula. Puas, kerana dapat membalas sikap Sherry tadi. Kini dia turut berhenti sambil melihat keadaan Sherry yang hampir hendak menangis. “Dia orang pun satulah, kenapa dibiarkan tunggul ni tercongok kat tepi pantai ni?” tanyanya pula walau dia tahu Sherry bukanlah tempat bertanya yang sepatutnya.

Dia turut membongkok melihat ibu jari Sherry yang masih bengkak. Rasa ngeri turut menjalar di hatinya apabila terpandang kuku Sherry yang diselaputi darah. Terbit rasa bimbang. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh, aku panggilkan abang-abang tu untuk dukung kau.”

“Cakap sajalah nak berkenalan dengan mereka tu, tak payahlah jadikan aku alasan,” balas Sherry sambil cuba memakai seliparnya semula. Rasa pedih di hujung jari kakinya ditahan sahaja. Namun tetap terasa kesal, bagaimana dia boleh begitu cuai tidak terpandangkan tunggul kecil yang hampir terbenam di dalam pasir. Mungkin kerana hari yang semakin gelap, tunggul hitam itu difikirkan plastik hanyut semata.

“Boleh tak pergi esok ni? Kalau tak boleh, aku kena batalkan tempahan tu.”

Sherry membisu. Darah yang mengalir dari ibu jarinya kini menitik ke pasir. Terserap perlahan-lahan lalu bersemadi di situ. Ibu jari kakinya yang tadi pedih, kini mula berdenyut-denyut. Seperti hatinya yang tadi riang kini berubah walang. Namun kesedihan yang terpancar di wajah Tina lebih menyakitkan hatinya daripada itu.

****

Pulau Damai

“Ni saja ke barang-barang yang kita kena tambah?”tanya Abang Osman sambil membaca senarai barang yang diberikan Azmi pagi itu. Cuma ada lima jenis barang yang tertulis termasuk, beras, garam dan gula. “Pelampung tak nak tambah?” Abang Osman memerhati pula pelampung pelbagai bentuk dan warna yang sedang digantung oleh Azmi di hadapan kedai mereka.

“Tak payahlah, bang. Yang ada ni pun tak banyak luaknya. Sekarang dah jarang oarang bawa budak-budak ke sini.”

“Kalau macam tu, tak apalah. Tak nak beli banyak sikit ke? Nanti bila musim ombak besar, susah dah kita nak ke seberang.”

“Tak payah. Musim tengkujuh lambat lagi. Sempatlah lagi abang minum teh di seberang beberapa kali.”

Abang Osman tersengih. Sesekali duduk minum teh dan mencicah roti canai di jeti seberang, apa salahnya? “Kamu tak nak ke, kirim baju atau seluar? Baju kamu ni dah lama tak berganti-ganti,” omel Abang Osman sambil menarik baju-T yang sedang dipakai Azmi.

Azmi ketawa. “Dari beli baju saya baik abang fikirkan baju Kak Senah tu. Makin lama perutnya makin besar, bang. Belilah baju baru sehelai dua. Baru anak dalam perut tu gembira.”

“Mak yang pakai, anak yang genbira?” Abang Osman ketawa.

“Kalau mak dia gembira, anak dalam perut pun gembira dan membesar dengan baik. Bila keluar nanti, dia kurang nangis, bang. Ketawaaa…je,” balas Azmi. Dia sendiri pun tak pasti sama ada itu betul atau salah tetapi dia pernah terbaca di dalam majalah bahawa emosi ibu yang mengandung akan sampai kepada anak yang sedang dikandung.

“Kalau begitu cakap kamu, nantilah abang tengok-tengokkan dekat bandar. Betul ni kau tak nak kirim apa-apa?” Abang Osman tak berganjak lagi dari situ.

Akhirnya Azmi mengalah, kalau dia tak mengirim sesuatu, macam berat benar Abang Osman hendak meninggalkan mereka. “Nah! Duit ni, abang belikan saya novel ya.” Dua keping not merah dihulurkan ke tangan Abang Osman.

Dahi Abang Osman berkerut. “Tajuk apa?” Duit yang dihulur ditolak baik-baik. “Abang, kalau masuk ke kedai buku, naik rambang mata jadinya. Beribu-ribu buku, entah mana satu yang nak dibeli.”

“Senang saja, bang. Abang tanya kat pekedai tu, yang mana satu novel keluaran terbaru, yang itulah abang beli. Tapi beli sebuah sajalah, jangan borong pulak.”

Abang Osman mengangguk, kali ini baru dia melangkah pergi dengan senang hati.

Azmi ikut sama untuk menghantar Abang Osman ke jeti. Di pulau itu, itulah satu-satunya jeti tempat bot nelayan dan bot pelancong mendarat. Seingat dia, sejak kecil lagi jeti itu sudah beberapa kali dibina semula dan kini jeti itu semakin panjang dan semakin cantik binaannya sejak ditaja oleh pihak pengurusan Resort Abadi, satu-satunya resort persendirian yang ada di pulau itu.

“Dulu, kita selalu terjun kat sini kan?” tanya Abang Osman. Semakin jauh dia melangkah menyusuri jeti, semakin terimbau kenangan semasa dia dan Azmi masih kecil.

“Dulu jeti ni tak sepanjang ni, bang,” tegur Azmi sambil matanya menjeling ke arah air laut di bawah jeti. Kelihatan anak-anak ikan masih senang bermain di situ seperti waktu dulu.

“Ha’ah, jeti ni makin jauh ke tengah. Makin lama, makin semput nak sampai ke hujung tu,” komen Abang Osman lagi.

“Bot mereka besar-besar, mungkin tak boleh rapat sangat ke pantai,” kata Azmi sambil memandang ke arah sebuah bot milik Resort Abadi yang baru tiba di hujung jeti. Air laut di sekitarnya jadi berombak hingga bot kecil milik Abang Osman dan penduduk kampung teroleng-oleng.

Mereka dan pendudk kampung yang mahu keluar ke laut terpaksa menunggu di situ sementara bot milik Resort Abadi itu merapat ke jeti dan menurunkan penumpang. Memang begitulah selalunya kerana jeti itu bukanlah besar sangat. Dan mereka tak pernah merungut, jeti yang cantik itu sudah seribu rahmat buat mereka di situ.

Kelihatan sekumpulan pelancong asing turun dari bot dan menaiki jeti. Riuh-rendah suara mereka hinggakan jeti itu menjadi hingar. Azmi dan Abang Osman tersenyum manis menyambut ketibaan mereka. Pelancong adalah rezeki, kerana kedai mereka adalah satu-satunya kedai di pulau itu.

Akhirnya, muncul dua orang gadis dari perut bot besar itu. Seorang bertopi lebar dan seorang bertocang dua. Abang Osman segera menyenggol tubuh Azmi.

Azmi hanya menghela nafas, dia cuba tak memandang ke arah dua orang gadis itu. Dia sedar apa yang maksudkan oleh Abang Osman. Dia hanya tak mahu melayan. Wajahnya berkerut menahan senyum dan Abang Osman tergelak kecil sambil menuruni tangga jeti naik ke botnya pula.

Setelah berpuas hati, Abang Osman meninggalkan jeti bersama beberapa orang penduduk pulau itu yang juga ada urusan di tanah besar.

Bot Abang Osman makin jauh ke tengah laut. Azmi berpaling dan mula melangkah balik ke pantai namun gelagat dua orang gadis yang masih tak bergerak dari situ membuat dia berasa hairan. “Kenapa? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanyanya dengan ikhlas. “Resort di depan sana, bangunan berwarna coklat muda tu.” Jarinya menunjuk ke arah bangunan paling besar di pulau itu. Tak susah mencarinya, hanya terletak berdekatan dengan pintu jeti.

“Tolong panggilkan pekerja resort tu boleh tak? Kawan aku ni tak larat jalan,” kata gadis yang bertopi lebar. Wajahnya terlindung dek topinya yang selebar pinggan makan.

Kawannya yang bertocang dua hanya bermasam muka. Tanpa menghiraukan Azmi, dia cuba menghayun langkah. Namun setiap kali kakinya mencecah lantai jeti, dia terjengket dan hampir jatuh. Dia berdecit dan berpaut pada tiang jeti.

“Kenapa dengan dia?”tanya Azmi kehairanan. Mula cemas dengan situasi yang tidak diduga.

“Kuku ibu jari kaki dia tercabut semalam,”jawab gadis di sebelahnya.

Mulut Azmi terlopong. Baru dia perasan ibu jari gadis itu berbalut dengan plaster. “Nak ke resort kan?” tanyanya pula. Sambil memikirkan cara menyelesaikan kemelut itu. Jarak dari situ ke hujung jeti, lebih kurang 400 meter juga. Mampukah gadis itu berjalan ke sana? Kalau setapak-tapak macam tu, tak mustahil sampai ke hujung sudah pukul 3.00 petang.

Gadis di sebelahnya mengangguk. “Kau pekerja resort ke? Kalau begitu boleh tak, kau bawak beg-beg kami ni?” Dua buah beg pakaian diletakkan dihadapan Azmi sebelum sempat Azmi menjawab.

Azmi serba-salah. Beg pakaian itu diambil dan dibawa tanpa sepatah kata. Gadis yang bercakap dengannya tadi langsung mengekor dan apabila dia tiba di sebelah gadis bertocang dua itu dia berhenti. “Boleh jalan tak? Kalau tak boleh…” Dahinya berkerut, peluhnya merenek.

“Tolonglah dukung aku,” Air mata gadis yang bertocang dua itu bergenang.

Azmi menghela nafas, dia memandang ke sekeling. Pantai agak lengang, pekerja resort sendiri belum sampai ke situ. Yang ada hanya di bahagian pengurusan, dia tahu benar.

“Cepatlah, panas ni…” rengek gadis itu lagi.

Mendengarkan permintaan gadis itu, Azmi semakin kalut. Pertama kali di dalam hidupnya dia merasakan bahawa kedamaian di pulau itu telah benar-benar hilang. Kini dia bukan berdepan dengan ribut taufan yang dibawa dari Laut China Selatan tetapi ribut yang dibawa oleh sepasang bibir yang menawan. Dan sejujurnya dia tidak tahu apa yang harus dibuat kerana jantungnya berdegup terlalu kencang.

Buk! Punggung gadis itu mencecah lantai setelah kepalanya terhuyung-hayang. Kini, tubuhnya tersandar lesu ke tiang jeti dengan mata yang terpejam.

Dan Azmi segera tahu ribut di hatinya makin menggila. Entah bagaimana mahu didamaikan.