Followers

Saturday, November 19, 2011

Peraduan Cerpen PARANORMAL: ILMU TOK MUJAI




Untuk memeriahkan peraduan menulis cerpen PARANORMAL (sini)  yang dianjurkan oleh Grup KEN, saya hidangkan sebuah kisah yang telah lama saya tulis untuk tatapan anda. Selamat membaca.
**************************************
Kampung Mangga Sebatang
di awal tahun 60-an.

Rumah kecil di tepi kampung itu kelihatan suram dan berbalam-balam. Bulan belum mengambang penuh. Mungkin lagi dua malam. Atan berkira-kira sambil kakinya melangkah ke rumah berbumbung nipah itu. Berhati-hati mengatur langkah, menyusuri denai kecil berlopak-lopak. Hanya diterangi jamung kecil yang dinyalakan sebaik sahaja turun dari rumahnya tadi. Malam ini Atan tekad.

"Tok! Tok Mujai !” laung Atan dari kaki tangga. Matanya terhendap-hendap ke celah pintu yang tidak bertutup rapat. Liuk lentuk lampu minyak kelihatan dari celah pintu itu. Pasti Tok Mujai ada di rumah, kata hati Atan.

Krekkkk…. Bunyi pintu kecil yang senget itu terkuak. Bunyinya saja menyeramkan bulu roma Atan. Atan berundur ke belakang setapak dua.

Tersembul wajah Tok Mujai dari celahan pintu kayu yang terkuak tadi. Wajah seorang tua yang berkedut-kedut dimamah usia. Tubuh Tok Mujai juga sudah bongkok tiga. Berlengeng tidak berbaju hanya berkain pelekat lusuh. “Naiklah Atan, mengapa tercegat lagi?” tegur Tok Mujai tatkala melihat Atan tercegat di tepi tangga tidak bergerak.

Atan menelan air liur. Jantungnya berdegup laju. Tiba-tiba dia berasa serba salah, hendak berundur tidak boleh, hendak naik tidak sanggup.

“Naiklah,” pelawa Tok Mujai lagi.

Atan membasuh kakinya yang bersalut tanah merah dengan air tempayan di sebelah kiri tangga. Bila dirasakan cukup bersih, Atan menaiki anak tangga rumah yang hanya diperbuat daripada kayu bulat, satu persatu. Tersilap pijak mahu dia terkangkang jatuh.

Atan masuk ke rumah Tok Mujai. Inilah kali pertama dan mungkin juga kali terakhir dia masuk ke situ. Bau asap kemenyan segera menyesakkan hidungnya. Dia terbersin dua tiga kali. Hidungnya terasa gatal sekali. Digosok-gosok namun gatalnya tetap terasa. Dia segera bersila di hadapan Tok Mujai. Menanti-nanti saat Tok Mujai bertanyakan hajatnya.

Sementara menunggu Tok Mujai membuka mulut, Atan sempat memerhati ruang rumah itu. Tidak ada apa yang istimewa, bahkan tiada apa melainkan sehelai tikar mengkuang usang dan beberapa helai baju lusuh di situ.

Setahu dia, Tok Mujai tinggal di situ seorang diri. Tidak diketahui asal usulnya kerana tiada yang rapat dengan Tok Mujai semenjak dahulu lagi. Ayah dan ibu Atan sendiri tidak tahu sangat kisah Tok Mujai kecuali dengarnya Tok Mujai pandai mengubat orang jika sakit. Maka jadilah Tok Mujai, tok bomoh rasmi Kampung Mangga Sebatang. Jampi dan serapahnya sering menjadi. Sakit dan pening orang kampung semua di bawah pengetahuan Tok Mujai. Anehnya Tok Mujai tetap hidup menyendiri.

Kerana kehebatan dan kepandaian Tok Mujai yang sering diperkatakan orang kampunglah, maka Atan nekad ke sini malam ini. Dia sudah terdesak separuh mati. Harga dirinya perlu dipertahankan. Jika tidak, sampai bila maruahnya sebagai anak jantan akan dapat ditebus balik. Dia malu. Malu pada kawan-kawan sepermainan, malu pada orang kampung dan sangat malu pada Tijah anak tok ketua kampung.

Peluh di dahinya mula menitis. Angin bagaikan tidak bertiup di dalam rumah kecil Tok Mujai. Semuanya masih sepi. Lalu, suasana yang hening itu melontar ingatannya kembali kepada peristiwa beberapa hari yang lalu…
*******
“Oi Jah!” panggil Karim, anak Pak Deraman. “Nak lagi kau pada Atan tu? Orang lain semua dah jadi askar. Dia saja yang penakut. Anak jantan apa macam tu?”

Berdesing telinga Atan. Mahu menanah jika terdengar sekali lagi. Nasib baik hanya sekali. Rasa marahnya saat itu mendidih bak lahar gunung berapi. Muka Karim dipandangnya sekejap kecil, sekejap besar.

“Ha ha ha…” Gelak mereka ramai-ramai di atas pangkin kedai Pak Ali di tepi masjid.

Waktu itu Atan menghantar Tijah ke kedai menaiki basikal buruknya. Karim, Udin, Baha dan Amat, semuanya rakan sepermainan Atan sejak kecil. Sama membesar sama berkelahi cuma sekarang mereka semua sudah masuk askar, Atan sahaja yang tidak. Atan mahu juga jadi askar tetapi apabila mendengar bunyi tembakan dari jauh sahaja sudah membuatkan lutut Atan ketar. Jika dekat agaknya, mahu Atan terkencing.

Selepas Tijah selesai membeli barang, Tijah tergesa-gesa meninggalkannya. Terkocoh-kocoh pula dia mengejar. 

“Mengapa Jah jalan laju sangat? Marilah naik basikal abang,” pujuknya.

Wajah Tijah masam tidak beriak. “Tak mahulah, orang lain dah naik motor Vespa. Abang tetap juga dengan basikal buruk ni. Sampai bila, bang? Tijah malulah. Tijah suruh abang jadi askar, abang tak mahu,” bentak Tijah kasar.

 Atan terperuk. Kata-kata Tijah tidak dijawabnya. Langkahnya terhenti. Dibiarkan sahaja Tijah jalan seorang diri balik ke rumahnya. Dia malu dengan Tijah, dan lebih malu dengan ayah Tijah. Masuk ke perkarangan rumah Tijah pun sudah dirasakan tidak sanggup.

Malam itu Atan tidak boleh melelapkan mata. Hatinya panas. Wajah-wajah Karim, Udin, Baha dan Amat silih bergantian memenuhi ruang mata. Semuanya ketawa berdekah-dekah. Semuanya mencemuh dan mengejek-ngejek dirinya. Dia juga melihat Tijah ketawa terbahak-bahak. Semua ketawa, ketawa dan ketawa sambil mencemuh dirinya. Dia menutup matanya. Tutup telinganya. Namun bunyi ketawa itu tetap kedengaran. Sampai pagi Atan tidak boleh tidur.

“Mak, macam mana ni? Atan kena buat sesuatu mak,” desak Atan kepada ibunya.

Ibunya sedang leka menggobek sirih di muka pintu. Matanya memandang keluar, ke arah sekawan lembu yang sedang diarak suaminya. “Malam nanti cuba Atan jumpa Tok Mujai minta air, mana tahu boleh jadi berani sikit,” kata ibunya perlahan. Mulutnya mula mengunyah sirih yang sudah digobek tadi.

Atan merenung wajah tua ibunya. Walau sudah kedut seribu namun wajah itu tetap mendamaikan jiwanya setiap kali matanya memandang. Ibunya selalu ada jalan dan kali ini Atan tekad untuk ke rumah Tok Mujai.

******
“Apa hajat Atan ke mari?” 

Suara parau Tok Mujai mengejutkan Atan yang leka dibuai lamunan. Bahunya hampir terangkat. Matanya merenung Tok Mujai yang khusyuk menabur kemenyan di atas bara. Atan bersin lagi bila asap kemenyan itu singgah di hidungnya. Nafasnya juga mula menjadi sesak. Namun dia masih belum mahu beranjak. “Tok, saya datang bawa hajat. Nak minta tok buatkan air, nak jadi berani,” jawab Atan terketar-ketar.

Matanya tunduk memandang tikar mengkuang yang sudah mula reput di hujung jari kakinya. Bimbang juga jika Tok Mujai mentertawakan hajatnya. Apabila Tok Mujai hanya menderam, punggung Atan hampir terangkat dari tikar.

Tok Mujai mengangkat mukanya perlahan-lahan. Matanya merenung Atan dalam-dalam. Kemudian  Tok Mujai menundukkan wajahnya semula, mulutnya terkumat kamit membaca serapah dan jampi.

Atan terkelip-kelip. Lututnya mula menggigil namun ditekannya kuat-kuat. Malu.

Tok Mujai menyembur sirihnya ke kiri dan ke kanan. Terus menyambung jampi dan serapahnya lagi. Rambut Tok Mujai yang memutih dengan uban dan panjang melepasi bahu berjuntaian di hadapan mukanya. Tok Mujai makin galak berkumat-kamit. Peluh mula menitis dari muka Tok Mujai malah bersimbahan di badannya yang masih kekar walau mukanya berkedut seribu. Tok Mujai merapatkan silanya.

Atan semakin cemas.

Bam! Tok Mujai menepuk lantai.

Atan tersentak. Punggungnya terangkat sebelah. Apabila melihatkan Tok Mujai masih memejamkan matanya, Atan membetulkan silanya semula sambil mengatur nafas.

“Kalau kau nak jadi betul-betul berani, pergilah ambil roh Bukit Cak Lawi,” kata Tok Mujai dengan suara yang betul-betul parau dan dalam.

Atan tercengang-cengang. Kali pertama dia mendengar Bukit Cak Lawi ada roh . Boleh jadi berani? “Macam mana nak ambil tok?” tanyanya tergesa-gesa.

 Tok Mujai menderam lagi. Pelbagai bunyi aneh mula kedengaran keluar dari bibirnya yang berkedut. “Bila bulan mengambang penuh, duduk di atas puncak bukit mengadap ke bawah, ke arah jalan menuruni bukit. Bila kamu lihat satu mata merah menaiki bukit, tangkaplah mata itu dan pegang kuat-kuat. Bila siang, kau akan jadi manusia yang sangat berani.”

Atan menyeringai. Ilmu yang Tok Mujai berikan itu sangat istimewa baginya. Dia pasti belum ada sesiapa lagi pernah mendengar tentang ilmu yang diturunkan oleh Tok Mujai ini. Atan merasa sangat bangga. Dia terus tersenyum. Terbayang-bayang di matanya orang kampung berbangga dengan keberaniannya. Mungkin dia boleh jadi seberani Sarjan Hasan yang sering diceritakan oleh kawan-kawannya.

“Terima kasih, tok. Terima kasih banyak-banyak. Ini upah tok,” kata Atan dengan senang hati seraya menghulur duit kertas seringgit kepada Tok Mujai.

Tok Mujai menerimanya dengan tenang. “Ingat satu pesan tok. Ilmu ini hanya untuk engkau, jadi jangan cerita kepada sesiapa, kelak ia tidak menjadi,” pesan Tok Mujai sebaik sahaja Atan mengangkat punggung.

 Atan hanya mengangguk faham. Selepas meminta diri, Atan tergesa-gesa pulang ke rumah. Lopak dan becak sudah tidak dihiraukan lagi, dia segera ingin pulang cepat. Malam itu dia tidur dengan penuh harapan.

********
Dua malam selepas itu… bulan mula mengambang penuh.

 Tanah nampak terang walau tanpa jamung atau pelita. Tidak begitu sukar untuk Atan menapak ke atas bukit. Bukit itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya. Setelah mendaki perlahan-lahan Atan sampai juga ke puncaknya. Atan duduk melepaskan lelahnya di tengah-tengah jalan.

Dari puncak bukit, Atan memandang ke arah kampungnya. Berbalam-balam dalam remang simbahan cahaya bulan penuh. Rumah-rumah di bawah sana, mula gelap satu persatu. Semua penghuni mula melelapkan mata. Atan terus menunggu dan menunggu.

Matanya tetap menatap lurus ke bawah bukit, menanti mata merah itu muncul. Sesekali Atan menguap, tersenguk-sengguk. Bunyi cengkerik dan burung jampuk bagaikan irama yang mengasyikkan. Lebih-lebih lagi bayu malam yang bertiup lembut di puncak bukit itu. Atan berasa terlalu sukar membuka matanya. Akhirnya Atan tewas juga.

Setelah entah berapa lama tertidur, dengan tidak semena-mena mata Atan terbuka luas seolah dikejut sesuatu. Matanya mula terbeliak. Dari jauh Atan melihat suatu cahaya mula mendekati kaki bukit. Makin rapat, makin rapat. Atan mula kelam kabut.

Dia berdiri, menyapu-nyapu kesan tanah dipunggungnya. Atan mundar mandir. Peluh mula menyimbah badannya. Sekejap dia rasa hendak lari, sekejap dia rasa hendak terkencing. Sekejap dia rasa sejuk dan sekejap dia rasa sakit perut. Atan mula menggigil. Mata merah itu mula memanjat bukit. Atan sudah mula menggeletar.

Fikiran Atan bercelaru, tidak tahu apa yang patut dilakukan. Namun akhirnya dia terbayang wajah Tijah yang sedang mentertawakan dia. Rasa geramnya kembali memuncak. Atan pejam matanya dan tarik nafas dalam-dalam. Atan terus berlari menuruni bukit dengan lajunya. Tangannya berjaya menyambar mata merah itu dan serentak itu dia terjatuh ke tanah. Mata merah itu tetap dipeluknya erat-erat. Atan terus tidak sedarkan diri.

******
“Atan! Atan!”

Suara ibunya menyedarkan Atan daripada tidur panjang. Atan tercengang-cengang memandang sekeliling. Akalnya cuba mentafsirkan pandangan matanya. “Mana mata merah? Mana mata merah?” kata Atan sambil melingas-lingas mencari sesuatu.

“Mata merah apa?” Sergah tok ketua kampung, ayah Tijah.

Atan terpinga-pinga. Baru dia sedar tok ketua ada di rumahnya namun otaknya masih keliru. Bukankah dia berada di puncak Bukit Tok Lawi malam tadi? Wah! Hebat benar ilmu bukit itu sehinggakan dia boleh balik ke situ tanpa sedar, fikirnya. Dia mula tersenyum.

“Yang engkau pergi sambar jamung aku tu buat apa?” sergahnya lagi. Mata tok ketua beradu pandang dengan mata Atan.

“Jamung? Jamung apa tok?”

“Malam tadi… aku nak ke rumah Mak Tam di sebalik bukit, tiba-tiba yang engkau meluru sambar jamung aku tu kenapa?” tanya tok ketua lagi.

Atan melopong.

“Jamung tok? Bukanlah mata merah ya…” kata Atan lemah. Dia kembali terbaring.

Ayah dan ibu Atan saling berpandangan.

Tok ketua tercengang-cengang. Pada raut wajahnya terlukis rasa kesal dan bersalah. “Aku minta maaf. Malam tadi Atan benar-benar buat aku terperanjat. Aku pun apa lagi, terus aku buka buah silat. Rupa-rupanya Atan. Itu yang aku papah dia balik ke sini. Dia buat apa duduk seorang diri di puncak bukit tu?”

Ibu bapa Atan hanya menggeleng lemah.

Atan terus merenung atap rumahnya. Segala impiannya untuk menjadi seberani Sarjan Hasan bagaikan terbang perlahan-lahan di celah-celah helaian nipah. Dia kembali terdengar suara Karim, Udin, Baha, Amat dan Tijah mentertawakan dirinya. Perlahan-lahan air matanya mengalir daripada kelopak matanya. Ah! Tunggu bulan depan. Bulan akan mengambang penuh lagi. Tekadnya.

3 komen anda:

  1. hahaha kelakarlah... jamung rupenye yg atan tangkap tu...

    ReplyDelete
  2. Ya, dia confident aje dia dah dapat benda tu...

    ReplyDelete
  3. he3..klakar lah...rupanye jamung..suspen btul..

    ReplyDelete