Saturday, December 24, 2011

Cerpen: Tidak seindah Sirius..



MELEPASKAN sesuatu yang disayangi pergi, bukan mudah. Mungkin lebih mudah lagi, jika hati yang merasai kepedihan itu dibelah dan dibuang sahaja daripada tubuhnya. Biar dia tidak mampu lagi merasa apa yang dirasa di saat melihat sebahagian daripada jiwanya pergi. Tetapi hakikat perpisahan itu tetap nyata. Mudah atau sukar, tidak ada maknanya lagi.
Dia merenung ke dalam mata Permasuri Sirius. Sepasang mata yang bening, sebening air di Tasik Capella di hadapan istana mereka. Mata yang tidak pernah dizinkannya untuk menangis walau hingga ke saat itu. Di situ, dia berlayar hingga ke dasar sukma permaisurinya lalu terbukalah hijab jiwa yang telah berubah rupa. Dia mengorak senyuman penuh pura-pura.
  “Segalanya sudah siap sedia?”
“Pintu Hitam itu akan tertutup dalam masa beberapa jam lagi, kekanda. Adinda mesti bertolak sekarang.” Permaisuri Sirius berkata bagaikan hatinya sudah pasti dengan keputusannya.
  “Dinda tidak boleh berlengah lagi.”
Dia tetap tersenyum di situ, di tepi pintu Istana Antares. Istana yang dibina hanya untuk Permaisuri Sirius, cinta hatinya. Istana yang menjadi lambang sebuah penyerahan jiwa kepada seorang wanita yang diletakkan di atas singgahsana kerajaannya. Tetapi kini, dia sedar segalanya tidak cukup. Istana itu tidak lagi cukup besar dan indah pada sekeping hati yang tidak menghargainya. Dia akhirnya akur kepada sebuah kekalahan. “Pergilah,” katanya.
******
  Sebulan yang lalu…
“Di mana permaisuri beta?” 
Dia bertanya kepada dayang-dayang yang berada di luar kamar permaisurinya. Kamar yang terasing dari kamar peraduan mereka berdua. Kamar yang dikhaskan untuk permaisurinya berehat dan melakukan apa sahaja bersendirian tanpa gangguan. Anehnya dia melihat kamar itu kosong.
“Permaisuri ada di balai cerap, tuanku,” jawab salah seorang dayang yang berada di situ.
Mendengarkan jawapan itu, dia tidak menunggu lagi. Di dalam fikirannya hanya ada permaisuri hatinya yang dirindui saban hari sejak dia meninggalkan Kerajaan Adhara pimpinannya untuk berperang. Dia melangkah laju ke arah menara.
Setibanya di situ, dia segera terpandangkan permaisurinya yang asyik melihat melalui Teropong Shaula. Dia terpesona. Permaisurinya bak bintang Sirius, bintang yang paling terang antara semua bintang di cakerawala. Tidak ada yang dapat menandingi kecantikannya di seluruh Kerajaan Adhara dan negara-negara jajahannya. Kerana itulah dia memberikan nama ‘Permaisuri Sirius’ kepada kekasih hatinya itu sebagai penghargaan yang tidak ada tolok bandingnya. 
“Adinda,” tegurnya apabila Permaisuri Sirius masih belum sedar kehadirannya di situ.
Permaisuri Sirius berpaling. Riak wajahnya hambar. 
“Maafkan dinda. Adinda tidak sedar akan kehadiran kekanda.” Dia menuruni tangga dan merafak sembah. “Adakah kekanda baru tiba?”
“Apa yang adinda lihat? Begitu asyik sekali sehinggakan kehadiran kekanda juga tidak diendah?” tanyanya sambil tersenyum tenang. Dahi Permaisuri Sirius dikucup dengan penuh kasih sayang dan kerinduan yang dalam. Jika bukan kerana di balai itu ada beberapa orang pegawai istana, ingin sahaja tubuh permaisurinya didakap penuh erat, agar terlerai kerinduan yang dibawa pulang.
“Kanda, sejak kanda pergi berperang, adinda dan ahli falak kita, telah melihat sesuatu yang luar biasa.”
“Luar biasa?” Dia merenung ke wajah permaisurinya yang seakan begitu teruja dengan perkara itu. Dia sememangnya tahu permaisurinya seorang pakar dalam bidang kaji bintang.
“Setelah tidak muncul dalam perkiraan ahli falak tahun lalu, kini Pintu Hitam itu telah kembali lagi, kekanda.”
Dia tersentak. Sekujur tubuhnya terasa dingin. “Benarkah?” Dia meluru ke arah Teropong Shaula yang setinggi seorang lelaki dewasa. Lalu, apa yang ditakutinya itu terbentang di hadapan mata. Dia terdiam seketika sebelum berpaling ke arah permaisurinya. “Sejak bila ia muncul?”
“Seminggu yang lalu dan ia semakin membesar, kanda.”
Dia faham. Dia teramat faham. Pintu Hitam bukan sekadar sebuah mitos walau kehadirannya hanya akan berulang setiap 1000 tahun. Dan dia lebih mengerti apa maknanya itu semua kepada permaisurinya. Tanpa bersuara, dia melangkah perlahan meninggalkan pentas yang menjadi tempat Teropong Shaula itu diletakkan. Dia serba-salah.
Di sudut menara, dia termenung lagi. Pandangan matanya dilemparkan jauh menyeluruhi segenap kota dan desa bawah naungan Kerajaan Adhara. Gunung-gunung yang berbalam-balam, sungai-sungai yang bersimpang siur, hutan-hutan yang bak permaidani berwarna-warni, segalanya cukup indah di pandangan matanya. Tetapi mengapa permaisurinya tetap mahu pergi juga? Dia tidak mampu memahaminya.
“Kekanda,” tegur Permaisuri Sirius.
Dia berpaling dan cuba memaniskan muka. “Kanda izinkan,” katanya.
Mata Permasuri Sirius yang sentiasa bening itu bergenang.
“Pintu Hitam itu akan membawa dinda pulang ke tempat asal dinda. Dinda sudah terlalu rindukan keluarga.”
“Tidak perlu dinda jelaskan lagi. Kanda faham. Kanda juga pernah berjanji, seandainya Pintu Hitam itu terbuka lagi, kanda akan izinkan dinda pulang ke sana,” jawabnya dengan tenang walau hatinya meratap hiba kerana menyesali sebuah janji. “Tetapi dinda juga tahu apa akibatnya, bukan?”
“Peluang ini tidak selalunya hadir, kanda. Apa pun akibatnya, dinda harus cuba. Jika dinda terselamat melompat dimensi hinga terdampar ke tempat ini, kemungkinan dinda akan selamat pulang ke sana juga tetap ada.”
Dia sekadar mengangguk. Dalam keterpaksaan, dia cuba memujuk jiwanya agar merelakan keputusan itu.
“Jika dinda dan ahli falak kita sudah cukup perhitungan dan kiraan, kanda izinkan,” katanya lagi dengan berat hati.
“Dinda akan bersiap sedia. Jika kanda mahu….”
Dia menggeleng. 
“Ini tempat kanda. Kerajaan Adhara memerlukan kanda di sini. Musuh-musuh kerajaan kita masih belum mahu mengalah, kekanda harus ada di sisi rakyat jelata. Tanpa kanda, hilanglah semangat mereka untuk mempertahankan negara.”
Permaisuri Sirius tidak menjawab. Lambat-lambat dia mengangguk faham lalu memohon izin untuk meninggalkan tempat itu. 
“Dinda perlu bersiap. Masa semakin suntuk. Jika Pintu Hitam itu meletup, dinda harus tunggu seribu tahun lagi.”
“Silakan,” jawabnya tanpa berpaling. 
Kemenangan yang dibawa pulang dari medan perang seolah tidak bererti lagi. Ternyata dia telah gagal menakluk sekeping hati yang paling hampir dengan dirinya. Dia tewas di dalam istananya sendiri.
******
Dua hari selepas itu…
“Kenapa dinda? Kenapa wajah dinda bermuram durja? Bukankah impian dinda akan terlaksana?” tanyanya sewaktu melihat permaisuri termenung di dalam kamar peribadinya.
“Kanda, ada berita yang ingin dinda persembahkan kepada kanda.”
“Apa dia?” Hatinya ikut tersentuh dek raut wajah permaisurinya yang semuram bulan gerhana. 
“Pintu Hitam terbuka terlalu cepat. Ahli falak kita meramalkan ia tidak akan bertahan hingga genap sepurnama.” Permaisuri merenung wajahnya dalam-dalam bagai mencari pengertian.
“Maksudnya?” Dia sekadar bertanya. Dia lebih faham dari apa yang cuba disampaikan oleh Permaisuri Sirius.
“Saat perpisahan kita mungkin lebih cepat dari yang dijangkakan.” Permaisuri menundukkan wajahnya.
Dia memaksa dirinya untuk tersenyum. Gerhana di wajah permaisurinya lebih menghiris jiwanya daripada luka di medan perang. 
“Tidak mengapa. Bersiaplah secepat mungkin. Kanda akan arahkan orang-orang kita menyiapkan bahtera dengan segera. Jika cukup hitung dan hisabnya, berlayarkan dinda ke sana.”
“Maafkan dinda.” Permaisuri Sirius tidak berani mengangkat muka.
“Di sini tidak ada tangisan yang gugur, dinda. Air mata adalah racun buat penduduk Adhara. Jangan bunuh kanda dengan tangisan, dinda.”
“Maafkan, dinda sekali lagi,” ucap Permaisuri Sirius.
“Dinda tidak melakukan kesalahan. Kanda yang bersalah kerana telah mencuri hati dinda tatkala dinda tercampak ke dimensi ini. Kini, kanda pulangkan semula apa yang menjadi hak dinda, wahai Nur Ainul Hayati.”
Bibir Permaisuri Sirius bergetar hebat apabila dia menyebut nama asalnya. Air mata permaisurinya bertakung di birai mata namun masih mampu ditahan agar tidak jatuh di situ. “Kanda….”
Dia tersenyum tenang. 
“Seribu tahun dinda di sini, hidup kanda dilimpahi kebahagiaan. Kota jajahan bertambah luas, hasil tuaian bertambah subur. Dindalah kurniaan Tuhan bagi kami rakyat Adhara sewaktu negara ini dilanda wabak dan kemarau. Kanda, amat berterima kasih. Kini, sudah sampai masanya dinda kembali ke tempat asal dinda. Kanda dan rakyat jelata akan mengiringi dinda pulang ke sana dengan berlapang dada,” katanya bersulam dusta. Jika tidak kerana sebuah janji, dia lebih rela memusnahkan Pintu Hitam itu dengan segala dayanya.
Permaisuri Sirius termenung jauh. 
“Kalaulah kanda boleh bersama dinda…,” katanya perlahan.
“Kanda seorang pemerintah. Tempat kanda di sisi rakyat kanda,” jawabnya sebelum meninggalkan Permaisuri Sirius bersendirian lagi. Dia masih berharap agar permaisurinya mengerti apa yang cuba disampaikan tadi. Dia semakin tidak bermaya.
******
Hari ini…

Sebuah bahtera keemasan kelihatan terapung megah di perairan Adhara. Siap menanti keberangkatan Permaisuri Sirius yang turun dari Istana Antares. Bahtera yang akan membawa permasuri kembali ke tengah laut, di mana dia pernah ditemui 1000 tahun lalu. Di mana Pintu Hitam itu berada buat ke sekian kalinya.
Di pesisiran pantai, beribu-ribu rakyat jelata mula berhimpun. Tatkala nafiri ditiupkan seketika tadi, berlarilah yang tua dan muda ke sana. Semua hadir untuk menatap wajah Permasuri Sirius buat kali yang terakhir dan menyaksikan sejarah terbesar selepas majlis perkahwinan mereka ratusan tahun yang lampau. 
Di singgahsana Istana Antares, suasana muram menyelubungi segenap sudut dan ruang. Tidak ada seorang pun yang berani membuka mulut hatta berkata apa-apa. Masing-masing hanya terdiam dan menantikan saat-saat perpisahan yang hampir tiba.
Dia duduk tegak di atas singgahsana bagi menantikan keberangkatan permaisuri Sirius buat kali terakhir di dewan itu. Perasaannya jadi beku. Sekian lama dia mendoakan agar Pintu Hitam itu tidak terbuka lagi tetapi kini dia sedar dia tidak berkuasa menentukan takdirnya. Perpisahan tetap akan tiba jua dan janjinya mesti ditunaikan.
Derap tapak kaki yang masuk ke dewan itu, membuat dia berpaling. Sekujur tubuh yang amat dikenalinya kini berubah rupa. Tiada lagi pakaian indah yang menyalutinya. Tiada lagi permata dan intan berlian yang menghiasi tubuhnya. Yang ada kini, hanyalah sepasang pakaian yang pernah tersarung di tubuh itu satu waktu dahulu. Di saat tubuh yang hampir lemas itu dikeluarkan daripada laut. Hatinya kian sebak.
Permaisuri Sirius maju ke hadapannya dengan wajah yang tenang. Rambut yang selalu didandan para dayang dan dihias sebentuk tiara keagungan Adhara kini hanya terurai ke bahu tanpa apa-apa. Dan di tapak tangan permasuri, tiara itu ditatang ke arahnya. 
“Dinda kembalikan segalanya.”
Dengan penuh ketenangan, dia menerima tiara keagungan Adhara itu. Sejak dia hidup 4000 ribu yang lalu, tiara itu tidak pernah dimahkotakan kepada mana-mana gadis selain gadis yang berdiri di hadapannya itu. Kini, tiara itu dipulangkan dan dia terpaksa menerimanya dengan hati yang pasrah. “Dinda, bolehkah kanda bertanya sesuatu sebelum dinda pergi?”
Permaisuri mengangguk.
“Tidakkah ada sedikit pun rasa cinta dinda kepada kanda?” Dia menahan nafas. Dia sedar dia perlu berjuang buat kali terakhir walau tidak ingin memaksa. Dia hanya ingin tahu.
“Dinda tetap cintakan kanda tetapi tempat dinda bukan di sini.”
“Jika tempat dinda bukan di sisi kanda, di manakah tempat selayaknya bagi dinda?” tanyanya pantas.
Permaisuri Sirius terdiam. Wajahnya berubah muram.
Dia menghela nafas. Wajah muram itulah yang dibencinya selama ini. Dia tidak sampai hati melihat wajah kesayangannya itu tercemar oleh rasa sedih. Apalagi puncanya datang daripada dirinya juga. 
“Seandainya di sana, dinda lebih bahagia, kanda izinkan dinda pergi,”  ucapnya sepenuh hati.  “Kebahagiaan dinda, kebahagiaan kekanda juga. Janganlah dinda bimbang.”
“Terima kasih di atas segalanya, kanda. Dinda mohon izin untuk berangkat,” ucap Permaisuri Sirius tanpa mahu menjawab apa yang telah diperkatakannya tadi.
“Bawalah ini bersama dinda. Walau kanda tidak pasti sama ada ia berharga di dunia sana tetapi kekanda berharap ia tetap berharga di hati dinda,” tuturnya pula sambil menyerahkan seutas gelang bertatah permata sebagai kenangan. Hanya itu yang terfikir oleh akalnya. Semoga Permaisuri Sirius menghargai segala kenangan yang tercipta di antara mereka berdua selama ini.
Permaisuri Sirius menerimanya dengan tenang lalu mengundurkan diri dari singgahsana itu. 
Dia tidak berkata apa-apa lagi kerana dia tahu hati Permasuri Sirius sudah tidak terpujuk lagi. Akhirnya dia bangkit dari singgahsananya untuk mengiringi perjalanan terakhir permaisuri hatinya.
******
“Ingatlah, dinda. Seandainya dinda teringin berpatah balik, pintu Istana Antares ini sentiasa terbuka untuk dinda,” ucapnya tatkala mereka tiba di tepi pantai.
Permaisuri Sirius hanya mengangkat muka dan merenungnya dalam-dalam.
“Seandainya dinda tidak pergi sekarang, peluangnya mungkin tidak akan tiba lagi, kanda. Pintu Hitam itu semakin lemah. Hayatnya sudah tidak lama.”
Dia terdiam dan terus terdiam. Dia sedar cintanya tidak seindah bintang Sirius di hati permaisurinya. Cintanya tidak cukup berharga untuk ditukarkan dengan sebuah pengorbanan. Segalanya tidak bererti lagi. 
“Kanda, mengapa kanda tidak menahan dinda dari pergi?” Tiba-tiba permaisurinya bertanya.
“Adakah jawapan kanda membawa apa-apa makna?” tanyanya semula.
Permaisuri Sirius terdiam.
“Kanda hanya berpegang kepada janji,” sambungnya lagi. Malah dia pernah berjanji untuk melakukan apa sahaja agar permaisuri hatinya bahagia. Itu besar maknanya kepada dirinya kerana ia selalu merasakan sebuah janji itu adalah maruahnya. Tanpa maruah, manusia itu  tidak memiliki apa-apa.
Permaisuri Sirius hanya memandang wajahnya buat seketika. “Dinda juga pernah berjanji untuk mencari jalan pulang. Itulah yang dinda lakukan,” katanya sebelum berpaling pergi.
Dia hanya tersenyum. “Pergilah,” bisiknya sendiri.
Ketika tubuh permaisurinya dibawa pergi oleh bahtera ke tengah laut. Air matanya menitis jua ke pipi lalu dia rebah tidak sedarkan diri. Di dalam mimpinya dia melihat bintang Sirius gugur ke bumi dan alam menjadi senyap sunyi. Dia tahu, permaisurinya telah pergi. Pergi.
TAMAT


3 comments:

  1. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete
  2. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete