Friday, July 29, 2011

Teaser ERTI CINTA : Bab 2


Bab 2
JOE berdiri di tepi pintu kaca yang bertampal poster kopi, namun bukan itu yang dipandang. Pandangan matanya menerobos terus melepasi pintu kaca itu hingga ke flat di seberang sana. Mengiringi setiap langkah dua orang gadis yang kelihatannya sangat akrab, sehinggalah kelibat mereka hilang ditelan lif. Semuanya diperhati satu-persatu dan hatinya mula mengesahkan apa yang difikir sejak tadi.
Setelah jemu berdiri di situ dia berpaling. Tanpa sedar, bibirnya merungut. “Elok pulak lif tu hari ni. Sekejap elok, sekejap tak elok.”
“Apa benda yang kau bebelkan sesorang tu?” tegur ibunya yang sedang mengelap meja. “Mari tolong tolak meja ni ke tepi.”
Langkah yang baru hendak diatur, segera mati. Ada rasa malu yang menerjah hatinya apabila menyedari gerak-gerinya diperhati tanpa sedar. Namun apa yang terdongkol dalam hatinya tetap dipendam sahaja. Kalau diluahkan pun tak ada siapa yang akan mengerti. Di situ, banyak cerita yang dipendam dalam-dalam. Kalau dikongsi pun setakat yang mahu dikongsi dengan rela, selebihnya banyak tersimpan dalam lipatan memori masing-masing.  “Kenapa nak tolak ke tepi pula, mak? Eloklah macam ni.” Dahinya berkerut tidak faham dengan kelakuan ibunya hari itu sekaligus cuba menepis rasa malunya tadi.
“Entahlah, Joe. Rimas rasanya menengok meja kosong ni. Buat penadah habuk je.” Wajah ibu Joe muram, tangannya ligat menyental meja. Walau habuknya sudah berkurang, tetap juga disental untul melepaskan tanda protes di hati. 
Joe terdiam seketika. Dia faham apa yang bersarang dalam hati ibunya. “Tak apalah, mak. Sabar je lah. Hari ni kan kita dah ada dua orang pelanggan baru. Nanti makin lama makin ramailah orang semula.” Dia cuba meniupkan setitis harapan ke dalam hati ibunya, moga-moga hati ibunya akan sejuk semula.
“Hmm… budak berdua tadi tu? Entah berapa hari sajalah tu…entah-entah belum cukup bulan dah cabut.” Kain lap yang dipegang, dicampak ke atas kaunter. Dia beralih ke hujung café pula membetulkan susunan roti yang sudah berterabur di atas rak. Wajahnya masih masam kelat.
Joe menggaru kepala, namun dia tetap mendekati ibunya. “Mak, kenapa cakap macam tu? Kalau mereka terus tinggal di sini kan elok. Meriah balik tempat ni macam dulu.”
“Tak mungkin, Joe. Tak payahlah, kau nak berangan. Yang dah berubah tu takkan pulih balik,” tempelak ibunya tanpa berpaling. Tangannya ligat mengasingkan roti-roti yang sudah tamat tempoh.
Joe mengangkat bahu. Dia tidak mahu membunuh harapan yang baru sahaja bercambah di hatinya. Kalau ibunya tidak sependapat, apa dayanya tapi dia belum mahu berputus asa. Jika dia berputus asa sudah lama, hidupnya hancur.
“Kita tak boleh harapkan masa berundur semula, Joe. Tak mungkin,” kata ibunya lagi.
“Saya tak harapkan masa berundur, mak. Tapi kalau luka boleh baik, kalau parut boleh hilang tak mustahil keadaan boleh pulih.”
Ibu Joe mengeluh panjang dan sambil menjeling ke arah Joe dia bersuara, “Eloklah kalau jadi macam tu. Mak pun dah lama tunggu kau pulih semula macam dulu. Jangan sampai luka berdarah semula, sudahlah.”
Joe terkulat-kulat menelan kata-kata ibunya. Dia memerhati ke sekeliling flat itu. Memang semakin lama, kawasan flat di situ semakin sunyi. Kalau ada pembeli pun kebanyakan pekerja asing yang sesekali singgah membeli air. Penduduk yang sebenar hanya tinggal beberapa rumah sahaja. Tapi sekurang-kurangnya, hari ini tempat itu menerima penghuni baru. Harap-harap biarlah terus kekal di situ, tidak seperti Zana dulu. Hatinya merintih.
*****
PUKUL 12.00 tengah hari. Joe bersendirian di belakang café. Menghisap rokok sambil merenung flat A di hadapannya. Tidak ada apa yang menarik, selain barisan rumah-rumah kecil yang sama bentuk dengan dinding yang berlumut. Seingat dia, semenjak dia tinggal di situ enam tahun yang lalu, bangunan flat-flat di situ tidak pernah dicat semula. Tapi, bukan itu yang berlegar di fikirannya.
Assalamualaikum, Kak Salmah. Ni, Joe,” katanya dengan bersemangat. Puntung rokok dicampakkan ke dalam longkang.
“Apakhabar, Joe? Mak Joe sihat tak? Kenapa dah lama tak contact akak? Ingatkan dah lupa.”
Joe tersenyum sendiri. Mulut Kak Salmah masih riuh seperti dulu. Antara dia dengan Kak Salmah pernah terjalin ikatan yang erat. Sebagai kakak angkat dan adik angkat, tak lebih dari itu. Semuanya kerana Zana. “Sihat, kak. Alhamdulillah,” katanya perlahan. Ada nada sendu di hujung suaranya. “Kak, bila nak datang sini? Asyik kita je yang kena ke sana.”
“Tak tahulah, Joe. Abang tak ada sekarang, pergi kursus 3 bulan di Sabah. Nanti, bila dia balik cuti, akak ajak dia ke sana ya.” Kak Salmah diam sesaat. “Ada apa telefon akak ni?”
“Takkan tak boleh telefon kut,” balas Joe pula.
Terdengar suara Kak Salmah ketawa mengekek. “Selalunya kalau Joe telefon, mesti ada hal nak cakap. Cakaplah cepat. Nanti habis pula duit telefon tu.”
Joe terdiam seketika. Dia mula serba salah. Menyesal pun ada. Kenapa dia telefon tadi? Ah! Baru dia ingat. Tapi…perlukah dia cakap? “Tak ada apa-apalah, kak. Sengaja telefon sebab ingatkan akak tadi.”
Kak Salmah ketawa lagi. “Terima kasihlah sebab ingatkan akak ni. Senang-senang datanglah sini. Kita pun dah lama tak berborak panjang macam dulu.”
Joe menelan air liur. Perlukah dia berbual tentang masa lalu? “Okeylah kak. Lain kali, saya telefon lagi. Assalamualaikum.” Panggilan ditamatkan. Joe terus termenung jauh. Dia mengetuk telefon bimbit beberapa kali ke kepalanya. Mengapalah pergi gatal sangat menelefon Kak Salmah tadi? Kan dah susah. Tapi hatinya menjerit-jerit. Dia terlalu ingin katakan kepada Kak Salmah tadi. Kak, Zana dah balik! Zana dah balik!
*****
Setelah menyiapkan semua kerja-kerjanya di situ, Joe meminta keizinan ibunya untuk balik ke rumah mereka di tingkat 3, Flat B. Dengan tergesa-gesa, dia membuka pintu rumah dan seterusnya pintu bilik. Dia menyelongkar di bawah katilnya dan akhirnya menarik keluar sebuah kotak kasut yang sudah berhabuk. Dibuka dengan perlahan-lahan. Jarinya menggeletar.
Di dalam kotak kasut berwarna hitam itu, terdapat beberapa keping surat dan gambar. Gambar Zana! Ya, dia tidak silap pandang. Memang mereka seiras. Sangat seiras. Sama-sama mempunyai rambut lurus yang mencecah bahu. Malah bentuk muka yang bujur sireh dengan lesung pipit yang tidak begitu dalam di sebelah kanan juga sama. Dia seolah menyaksikan Zana di hadapan matanya tadi. Fikirannya jadi keliru seketika.
 “Kau dah balik, Zana? Ke mana kau pergi selama ni? Kenapa kau tinggalkan aku?” Dia berbisik. Dia tersenyum sendiri.
Tangannya meraba-raba dalam kotak itu sehingga jarinya tersentuh sesuatu yang kecil dan keras. Dia menariknya keluar, sebuah patung kuda kecil berwarna biru kini berada di tapak tangannya. Itulah pemberian Zana yang terakhir sebelum Zana pergi. Patung itu diusap lalu dicium. Dia menyelongkar lagi kotak itu dan menarik keluar sehelai sapu tangan yang ada kesan darah kering.
 Itu juga darah Zana semasa Zana terjatuh motor dulu. Semuanya dia simpan. Dia tak sanggup buang apa-apa. Setiap perkara yang berkaitan dengan Zana dia simpan dan dia jaga. Sebab itulah, dia masih tinggal di situ. Kerana di situ, ada kenangan antara dia dan Zana. Dia tak sanggup tinggalkan itu semua kerana dia pernah berjanji untuk setia. Dan dia memang lelaki yang setia. Zana mesti bangga.
“Kau jangan tinggalkan aku lagi ya,” katanya sambil menatap sekeping gambar dia dan Zana. Gambar itu, Kak Salmah yang tangkap. Dia tersenyum. Betapa indahnya masa lalu, kalaulah boleh diulang kembali. Tanpa sedar dia terlelap di atas lantai sambil merangkul erat gambar Zana.
*****
“Bum!” Pintu bilik tengah tiba-tiba sahaja tertutup.
Anis yang baru melangkah masuk ke dalam rumah, tersentak. Bungkusan nasi yang dibeli tadi hampir bertabur di lantai. “Masya-Allah, apa tu?”
“Anginlah. Kita kan duduk di tingkat 7. Tentulah angin kuat,” balas Maria sambil meletakkan barang-barang di atas lantai berdekatan dengan sinki dapur. Rumah itu dapurnya di tengah, di sebelah ruang tamu cuma dipisah dengan tembok separuh dinding.
Anis menghela nafas, bagai nak terlucut jantungnya tadi. Memang di situ anginnya kuat, tubuhnya sendiri bagai dirempuh angin yang menderu masuk. Dia menoleh ke arah beranda. Memang pintu gelongsor sedang terbuka, mungkin lupa ditutup sebelum mereka keluar. Lalu, dia pun melangkah ke situ.
Tangannya menarik pintu kaca gelongsor itu ke tepi lalu menguncinya. Sambil itu pandangan matanya jadi asyik melihat permandangan kota yang sayup-sayup dari situ. Semuanya nampak berbalam-balam sahaja, tetapi dia tahu di situlah nadi Kuala Lumpur, ibu kota tercinta. Tempat harapan manusia seperti dia. Namun apabila anak matanya terpandang ke bawah flat, nafasnya terus jadi sesak. “Uihh kau.., dalamnya gaung. Kalau gempa ni. matilah kita.”
“Apalah kau ni, Anis. Masuk rumah baru, biarlah doa elok-elok,” tegur Maria. Dari duduk di atas lantai, dia bangkit semula mendekati Anis untuk melihat apa yang dirungutkan.
Pandangan matanya juga segera terpaku melihat hutan yang agak tebal di bawah flat mereka, namun itu tetap tidak dapat melindungi hakikat bahawa flat mereka sebenarnya didirikan di tepi bukit. Gaung di bawah sana tetap dalam walau dilitupi kanopi pokok-pokok yang merimbun. Dia juga terasa gerun.
“Patutlah murah, nyawa kita pun murah,” kata Anis. Sekadar melontarkan pendapat. Hendak dikesalkan pun sudah tak berguna lagi. Kunci sudah diambil, barang-barang pun sudah dipindahkan. Gerun tak gerun, redah sajalah nanti. Sambil berfikir, dia beralih dari pintu kaca ke arah tengah rumah.
Segulung tikar plastik kecil berwarna biru, dibentang elok-elok. Air teh ais dan nasi bungkus ditarik rapat ke peha. Godaan dari bau kari ikan tadi sudah tidak mampu ditolak lagi. Selagi tidak dimakan, selagi itu perutnya tak selesa, jiwanya juga menderita. Segala yang menganggu fikiran dilupakan saja seketika.
“Hish! Kau cakap macam tu, aku pun dah naik cuak pula.” Maria ikut bersila. “Tapi nak buat macam mana? Duduk sajalah dulu. Kalau bergoyang sekali dua, kita cabutlah.” Maria ketawa tak lama.
Air teh dalam mulut Anis tersembur. “Pindah lagi? Hari tu kenapa tak datang periksa dulu?” Matanya merenung tajam ke arah Maria. Lenguh di kaki pun belum hilang, ini dah membuat usul pindah? Biar betul?
“Masa kita diajak tengok rumah ni kan malam. Mana aku perasan bawah tu gaung,” balas Maria. Mulutnya sudah mula menguyah nasi. Renungan Anis dibuat tidak tahu.
“Ha’ah, aku pun tak perasan masa tu. Leka melayan kepala aku yang berpusing.” Baru dia teringat, semasa kali pertama ke rumah itu, sebaik saja tiba di Tingkat 7, kepalanya rasa berpusing 360 darjah, nasib baik dia tak tumbang.
“Sudahlah tu. Okey kut..flat ni bukan setahun dua dibina. Aku dengar, dah dekat 7 tahun.”
Anis mengangguk. “Betul juga cakap kau.” Kalau nak runtuh, tentu dah lama runtuh tapi kalau nak runtuh pun tunggulah semester depan, hatinya berbisik.
“Bum!” Pintu tertutup lagi.
Anis tersentak untuk kesekian kali. “Rumah ni ada berapa pintu ha? Sakit telinga aku,” tanya Anis. Hatinya mula rusuh mendengar bunyi hentaman pintu yang tidak berkesudahan. Pening sekejap rasanya.
Maria bangkit menuju ke belakang. Semua pintu diperiksa. “Semua dah tutup.” Dia ke hadapan semula. Belum sempat dia duduk. “Bum!” Sekali lagi bunyi itu kedengaran. Dia tersentak.
Anis melopong seketika. “Ada pintu yang tak ketat kut. Nanti kita check satu-satu.”
Maria kembali bersila. Suapannya diteruskan semula. “Rumah lama, banyaklah yang longar-longgar tu.”
“Kita nak tidur sorang sebilik ke?” tanya Anis pula sambil memandang wajah Maria tak berkelip.
“Kau berani? Aku tak kisah,” sahut Maria.
Anis terkulat-kulat. “Kita share bilik boleh?”
Maria tergelak. “Aku pun sebenarnya… lebih suka kalau kau share bilik dengan aku. Aku malas nak cakap je.”
Kali ini Anis ikut ketawa. “Bilik lagi satu tu, kita nak buat apa? Sewakan?” Dia bukan takut, cuma rumah tu terasa terlalu besar pula untuk mereka berdua walaupun cuma ada dua bilik tidur, satu dapur dan satu bilik air.
Maria cepat-cepat menggeleng. “Tak mahulah. Seriklah kalau jadi macam dulu tu. Mentang-mentang dia pun bayar sewa, habis semua kawan-kawan diajaknya ke rumah. Nak tidur pun tak boleh. Bising sepanjang masa.”
Anis ketawa kecil. “Aku cadangkan saja. Kalau tak pun, kita buat bilik stor dan jemur baju je.”
“Itu lagi baik. Lagi pun sewa bukannya mahal sangat. Seorang seratus je. Tak ada hal kan.” Maria bangkit mengemas bungkusan makanan yang telah dihabiskan mereka berdua. Semuanya dilipat elok-elok dan dimasukkan ke dalam beg plastik. Kemudian dia bangkit ke sinki membuka paip. Serta-merta dia terjerit.
“Kenapa?” Anis menerpa.
“Aku terkejut. Air ni merah betul, macam darah.” Wajah Maria pucat lesi.
“Merepeklah, kau. Air dia berkarat tu. Rumah ni dah lama orang tak sewa, tentulah keluar karatnya.”
Maria terdiam. Matanya leka memerhati air yang mencucur keluar dari kepala paip. Jernih sejernihnya.

Monday, July 25, 2011

Trailer Novel Cenderakasih

Trailer Novel kanak-kanak :Cenderakasih on PhotoPeach

Thursday, July 21, 2011

Novel ERTI CINTA : Bab 1


ORANG panggil itu bilik, dia panggil itu rumah. Kalau rumah ada bilik, biliknya itu pula ada ruang. Ruang kecil untuk tidur, berrsolat, menjemur baju dan membancuh air. Semuanya kecil-kecil kerana semuanya hanya dalam satu bilik yang berukuran sembilan kaki kali sembilan kaki. Tapi buat masa itu, itulah rumah dan itulah mahligai untuk orang macam dia. Orang yang tak mampu tapi, kalau ada rezeki dia mahu rumah yang lebih besar, cantik dan yang pastinya ianya adalah miliknya.

Dia terbaring di atas tilam nipis bersaiz double. Sambil merenung siling putih yang kekuningan. Walau tidak ada apa yang menariknya di situ, dia tidak ada arah lagi untuk dipandang. Ke kiri bantal dan buku-buku. Ke kanan pula baju-baju yang bergantungan di tepi tingkap. Serta-merta otaknya jadi beku dan nafasnya jadi lesu.

“Hey! Aku dah dapat rumah.” Seorang gadis berambut ikal mayang masuk sambil tersenyum-senyum. Di tangan kanannya ada makanan di dalam beg plastik berwarna merah dan di tangan kirinya ada sebuah majalah hiburan. Dia langsung duduk di atas tilam di sebelah Anis Sarina, teman sebiliknya sambil menghela nafas kelegaan.

“Dah dapat rumah?” Anis terbangkit dari perbaringan. Kini dia mengereng ke arah kawan baiknya yang bernama Maria. Dia kebingungan seketika. Seingat dia, Maria tak pernah bercakap tentang pindah rumah. Adakah Maria mahu meninggalkan dia? “Apa yang kau cakap ni?” Dahinya berkerut, matanya redup.

“Aku sengaja tak bagitau kau. Sebab kalau aku bagitau, nanti kau banyak soal pulak,” balas Maria dengan selamba sambil menyelak sehelai demi sehelai halaman majalah yang dibelinya tadi.

Anis menghela nafas dalam-dalam. Sememangnya di bilik itu, dia sering merasakan seperti tak cukup Oksigen, Patutlah juga Maria selalu diserang asma, mungkin kerana bilik itu sempit dan pengudaraannya tidak begitu baik. Sudahlah ada dua panel tingkap, ditutup pula dengan baju-baju yang bergantungan. Dari mana udara bersih hendak masuk? tanyanya dalam hati. “Tapi, kau pun tahu aku tak mampu bayar sewa yang mahal-mahal, Maria.”

Dia tunduk memandang tilam sambil jarinya menjolok-jolok lubang kecil di situ. Makin lama makin besar, seperti masalahnya juga. Dia bukan orang kaya, keluarganya juga bukan orang senang. Ada tempat berteduh dari hujan dan panas, ada tempat berbaring bila malam, dia sudah bersyukur sangat. Sesak tak sesak, dia hanya mengeluh dalam hati.

“Dan kau pun tahu aku takkan menyusahkan kau,” balas Maria cepat.

Anis mengangkat muka. Fikirannya cuba mentafsir kata-kata Maria. Cuba menimbang benar salahnya. “Maksud kau?”

Dengan perlahan, bibir Maria mengorak senyum senang. “Kau jangan bimbang, aku dah ambil kira semua perkara dan aku rasa kau mampu,” katanya sambil merenung wajah Anis semula. Kini mereka berdua berbalas pandang.

Mata Anis terkebil-kebil. Dia masih lagi cuba memahaminya satu-persatu. Maria seperti sedang bermain teka-teki pula dengannya. Aneh. “Cakaplah betul-betul,” gesanya apabila sabarnya mula hilang.

“Aku dah dapat rumah di Flat Seri Mastura.” Akhirnya Maria memberikan fakta lebih jelas.
Mulut Anis langsung terlopong dan bilik itu tiba-tiba menjadi hening. Udara tak bertiup dan jam pada dinding seolah lupa berdetik. “Flat? Berapa tingkat?” tanya Anis sambil menenangkan deruan darah yang tiba-tiba merempuh segala pembuluh di dalam tubuhnya.

“15 tingkat tapi…”

“15 tingkat?” Belum sempat Maria menghabiskan kata-katanya, Anis terus menyampuk dengan nada separuh menjerit. Kalau tadi darahnya menderu laju, kini terasa darahnya tersekat dan membeku sehingga hujung jari-jemarinya kesejukan.

Maria mengangguk laju. “Bukannya kita duduk di tingkat 15, tingkat 7 aje. Lagi pun bukan tak ada lif.”

Anis terdiam sesaat. Wajahnya masih pucat lesi. “Kau biar betul ni, Maria. Aku gayat kalau naik tingi-tinggi ni.”

“Betul, aku dah telefon tuan rumah tu. Dia kata tak payah deposit, masuk je lepas bayar sewa sebulan. Deposit api air pun dia minta lima puluh ringgit je.”

“Huih! Baiknya tuan rumah tu…lelaki ke perempuan?” Anis mula senyum sumbing. Keningnya terangkat-angkat ke arah Maria. Murah gila tu! Betul ke ada rumah semurah itu?

Maria menjeling manja. “Perempuanlah. Aku yang call tadi.”

“Kenapa dia nak sewakan? Kenapa dia tak duduk di situ?” Fikirannya mula diterpa oleh seribu satu persoalan. Ada juga rumah yang murah di ibu kota, fikirnya. Tapi mereka pun bukan ditengah-tengah ibu kota cuma di pinggir ibu kota. Kalau nak ke Kuala Lumpur pun dekat sejam setengah baru sampai. Otaknya ligat menyimpul logik.

“Dia tinggal di Pulau Pinang sekarang. Rumah tu kosong.” Suara Maria kedengaran semakin lantang. Ada penekanan di situ.

Anis termenung. Nak ke tak nak? Bagai diatur oleh fikiran, anak matanya mula bergerak-gerak memerhatikan bilik itu semula. Apa yang tertangkap dek pancainderanya merumuskan satu kesimpulan yang mutlak. Tidak ada arah yang tidak sesak. Di sana bertimbun, di sini bergumpal. Nafasnya tersekat. Dia terpaksa akui yang dia memang sudah tak larat duduk di situ.

Rumah itu bagaikan tin sardin. Ikan sardin dalam tin pun ada limit tapi mungkin pihak pengurusan kolej tak pernah buka kilang sardin jadi mereka tidak tahu. Semua pelajar kalau boleh disumbatkan di dalam sebuah rumah. Setiap bilik pula kalau boleh, mahu disumbatkan sampai empat orang sekali cuma mereka bernasib baik, kerana seorang dari penghuni bilik itu sudah menghentikan pengajian. Mungkin kerana sudah tak larat berkongsi bilik kecil itu dengan mereka. Kalau tak, lagilah tak ada arah untuk bernafas.

Tapi, dalam hal tinggi-tinggi ini yang buat dia gayat sedikit. Naik eskalator dekat shopping mall pun gabra, ini pula tingkat 7. Hanya itu masalahnya sekarang. Dia takut tinggi, takut sangat-sangat.

“Macam mana? Dah habis fikir?” tegur Maria sambil leka merenung majalah di tangannya. Kisah hidup kahwin cerai artis yang menjadi pilihannya. Sesekali dia menggeleng, bibirnya menjadi rata seperti tanda tolak.

“Aku bukan tak nak…aku cuma sesak nafas bila fikir soal tinggi tu.” Dengan Maria dia tak perlu berselindung apa-apa. Maria nak gelak ke, nak menangis ke, dia tak rasa apa-apa. Dia dah anggap Maria bagaikan saudara sendiri. Tapi kalau dengan orang lain, jangan cari fasal.

“Alah, mula-mula je. Lama-lama okeylah….” Maria merenung wajah Anis yang masih terkulat-kulat. “Kalau kita lambat, kakak tu kata, dah ada orang yang tanya juga selain kita.”

“Ya ke….” Perlahan sahaja suara Anis meluncur. Dia menghempas nafas. Getaran halus di dalam perutnya terasa-rasa. Itu baru fikir, belum buat lagi.

Tok! Tok! Tok!, pintu bilik mereka berdua diketuk. Tanpa diizinkan, pintu dikuak lebar. Muncul seraut wajah manis di tengah pintu. “Aku nak pinjam sabun basuh kau sikit. Aku lupa beli tadi.”

Tanpa menoleh, Maria menjawab, “Ambillah.” Serentak itu, telinganya terus saja disajikan dengan bunyi pintu yang ditutup semula. Tanpa sebarang ucapan terima kasih atau janji untuk memulangkan balik apa yang dipinjam. Ruang itu terus jadi hening seketika.

“Tengoklah tu, pinjam sabun, pinjam milo, pinjam syampu…aku tak tahanlah,” rungutan Maria memecahkan kebisuan ruang sambil tangan kanannya menghempas majalahnya ke tilam. Kini dia duduk termenung sambil memeluk bantal peluknya pula. Wajahnya bagai hendak muntah.

Anis menjeling. Dia faham apa yang Maria rasa malah dia lebih rasa terseksa. “Aku pun sama. Dia orang ni ingat, kita tauke kedai runcit agaknya. Semua kita nak support. Lepas tu angkut segala anak buah tinggal di sini juga. Pokailah aku kalau selalu sangat.”

Dia mula terbayang-bayang gelagat teman-teman serumahnya yang tak tahu bertolak ansur. Dia faham mereka semua hanya bergantung kepada duit biasiswa yang tidak seberapa tetapi janganlah sampai menyusahkan orang lain. Dia pun bukannya anak orang kaya, dia juga bergantung sepenuhnya kepada duit biasiswa itu. Setin Milo kalau diletak di dapur boleh kosong dalam masa tiga hari, bila ditanya siapa yang pakai, semuanya tak mengaku. Sebab itu dia dan Maria sepakat menyimpan makanan di dalam bilik itu, kalau habis pun, di antara mereka berdua saja.

“Itulah aku ajak kau pindah ni. Sementara ada peluang ni, kita cabutlah. Esok kalau rumah murah macam ni dah disapu dek orang, kita juga yang tension kat sini.”

“Asrama baru tu bila nak siap ha?” tanya Anis lagi. Otaknya masih ligat menimbang tara segala kemungkinan yang ada.

“Aku dengar-dengar, hujung tahun nanti. Itu pun kalau segalanya berjalan lancar. Kalau tak, susahlah kita.”

Anis mengeluh jemu. Kolej ni pun satu. Dah tahu bilangan pelajar bertambah, tempat tinggal tak disediakan secukupnya. Yang menjadi mangsanya adalah pelajar macam dia. Akhirnya dia menghela nafas. “Bila nak pindah?”

Maria tersenyum. “Hujung bulan ni?”

“Hujung bulan ni…?” tanyanya perlahan. Dia kembali merenung siling di atas kepala. Perutnya terasa huru-hara. Kalau terus di situ, terpaksa menahan sabar, kalau pindah terpaksa menahan takut. Yang mana satu?

*****
Cuaca terang-benderang. Langit membiru. Kehangatan sudah membahang walaupun baru pukul 11.00 pagi. Dahi Anis bersimbah peluh. Diseka berkali-kali, namun peluhnya tetap keluar bagai diperah-perah. “Ini yang aku tak suka ni, ada lif rosak pula.” Dia mula membebel di atas tangga. Walau bukan untuk dipujuk sesiapa, hati dia puas setelah melontarkan apa yang dirasa.

Maria tersandar di tepi tangga. Sudah empat kali mereka turun naik tangga ke tingkat 7 untuk mengangkut barang. Itu pun nasib baik mereka cuma ada sebuah tilam, beberapa beg pakaian dan selebihnya kotak-kotak yang mengandungi buku. Kalau ada kelengkapan rumah sekali, mungkin keduanya sudah menangis tidak berlagu. “Esok, okeylah tu. Kan dua hari lepas semasa kita datang okey je. Mereka tengah repair lah tu.”

Anis tidak menjawab. Nafasnya masih semput sampai mukanya merah padam. Rambutnya yang terurai di bahu, dikuak ke belakang lalu diikat tinggi-tingi untuk mengurangkan kepanasan yang membahang di luar dan di dalam hati. Kalau mereka tinggal di tingkat 2 sekalipun, masih ada ampun. Ini tingkat 7. Sendi-sendi lututnya pun sudah terasa longgar.

“Nasib baik barang kita tak banyakkan? Kalau ada kerusi, meja, mati kita,” sambung Maria lagi. Dia juga termenung jauh sambil mengatur nafas.

“Jom! Kita beli air dulu kat café sana,” katanya sambil menunjukkan jari ke arah sebuah café di bawah bangunan flat yang bertentangan. Dari situ, café itu kelihatan meriah saja dengan pelanggan. Mungkin setelah tekak dan perut mereka sejuk, rasa bengang itu akan hilang dengan sendiri, fikirnya.

“Boleh juga. Tekak aku pun sudah rasa kering semacam.” Maria berdiri semula sambil menarik lengan Anis bangun.

“Kau perasan tak?” Anis bertanya sambil melangkah beriringan. Sedari tadi ada sesuatu yang berlegar di fikirannya tentang tempat itu. Seperti rasa aneh, rasa ada yang tak kena.

“Perasan apa?” Maria menoleh ke kiri ke kanan. Antara Flat C dan Flat B dipisahkan oleh sebuah jalan kecil bertar tapi nampaknya sudah lama jalan itu terabai memandangkan ada lopak-lopak di sana-sini jalan. Setelah dipastikan tidak ada kenderaan, dia menarik lengan Anis cepat-cepat.

“Di sini banyak blok, tapi tak ramai orang,” jelas Anis. “Sunyi je.”

“Hujung minggu. Mungkin semua orang tidur atau malas turun. Tapi eloklah untuk kita. Boleh kita study dengan aman damai. Kau lupa ke kat rumah sewa kita tu macam mana? Kalau tak budak-budak tu memekak, bunyi motor boys pula yang membingit lalu-lalang.”

Anis mengangguk. “Mungkin. Atau mungkin flat di sini sememangnya tak ramai penghuni?” Dari pemerhatiannya sejak tiba di situ tadi, flat-flat di situ bukan sahaja kelihatan lengang malah agak sunyi. Budak-budak yang bermain di bawah flat pun tak ramai. Adalah dua tiga orang yang kelihatan di bawah blok A. Di blok C langsung tak ada.

“Tak logik juga. Sewa murah, siapa tak nak?” bantah Maria cepat. “Kau ni… macam cuak je? Kau takut ke?” tanya Maria pula.

Anis tersengih. “Aku takut? Takut apa pulak? Aku tak percayalah benda-benda yang karut ni. Kalau manusia jahat baru ya. Yang tu nak bawa berunding pun payah,” jawab Anis sambil ketawa kecil. Dia memang tak rasa takut cuma terasa aneh.

Maria sama ketawa mendengarkan jawapan Anis. “Mungkin kita tak biasa lagi dengan keadaan di sini. Kat rumah lama dulu, hampir 24 jam memekak dengan radio dengan TV.”

“Macam terasa pergi bercuti pun ada,” sambung Anis. Sunyinya macam berada di sebuah resort terpencil padahal di pinggir kota saja.

“Apa-apapun, kita dah buat keputusan kan?” tanya Maria sambil tangannya menarik pintu café.
Anis mengangguk. Dia bukan kesal cuma terasa lain saja tapi mungkin betul kata Maria, mereka baru saja beberapa jam di situ, tentulah belum biasa dengan suasananya. Mungkin esok lusa, suasana akan terasa biasa dan kesunyian di situ sudah tidak lagi dirasakan. Sekali pandang, kawasan Flat Seri Mastura itu tidak ada apa yang kurangnya walau agak terkedalam. Mungkin itu satu faktor yang menyebabkan kawasan itu kurang diminati, fikirnya.

Dalam sibuk melayani fikiran masing-masing, keduanya sudah menjejakkan kaki ke dalam café. Kehadiran mereka segera menarik perhatian beberapa orang pelanggan yang sedang makan di situ. Mereka berdua cuba berlagak setenang mungkin walau cuak juga bila direnung tajam. Langkah yang ringan tiba-tiba saja bertukar berat, namun biasalah lelaki, kalau tak merenung perempuan bukan lelakilah namanya!

Anis mengekori Maria dengan rapat. Mereka berdua menuju ke arah kaunter café. “Mak cik, teh ais dua bungkus,” pinta Anis dengan sopan.

Perempuan yang dipanggil mak cik itu berpaling. Ada riak terkejut di wajahnya. “Nak air apa tadi, nak?” tanyanya dengan dahi yang berkerut.

“Teh ais. Dua bungkus.” Anis tersenyum. Dia cuba memaniskan muka dan bersikap sopan, maklumlah mungkin kedai itulah yang akan jadi ‘dapur segera’ mereka berdua kelak. Tetapi, pandangan mak cik penjual itu membuat perasaannya tidak enak.

“Nasi tak nak?” Matanya masih merenung tajam ke wajah Anis.

“Nasi?” Anis berpaling ke arah Maria. “Nak? Tak payahlah kita turun naik lagi. Ni pun dah dekat tengah hari kan?”

“Boleh juga,” balas Maria lalu beralih ke tempat lauk-pauk dan nasi dihidangkan. Maria bergumam, tak banyak sangat pilihan yang ada. Ikan goreng, ayam goreng, kari ikan kembung, sayur campur dan sedikit sambal sotong. Mahu tak mahu dia memilih saja apa yang dirasakan paling sesuai untuk dia dan Anis. Sedang dia terkial-kial di situ, muncul seorang pemuda bertubuh kurus untuk membantu. Dia tersenyum senang.

“Anak berdua ni… baru pindah ke sini ke?” tanya mak cik penjual.

Anis mengangguk.

“Duduk di flat mana?”

“Flat C, mak cik,” jawab Anis dengan ringkas. Masih terasa tidak selesa untuk berceloteh dengan mak cik penjual yang asyik merenung mukanya. Ish! Mak cik ni. Ada apa-apa ke dekat muka aku ni? Anis mula gelisah. Tanpa sedar, tangannya sudah menyapu muka. Tak ada apa-apa pula. Dia semakin tidak faham.

“Flat C? Tingkat berapa?”

“Tingkat 7,” balas Anis dengan segera.

“Rumah yang mana?”

“Yang hujung sebelah kanan,” jawab Anis cepat. Dia bersedia jika makcik itu akan bertanyakan nombor rumah sekali tetapi tidak ada. Mak cik itu kembali sibuk memasukkan dua bungkus air teh ke dalam beg plastik. Lega.

“Tinggal dengan keluarga ke?” Soalan lain pula yang keluar.

Anis segera menggeleng. “Kami berdua je, mak cik”

“Berdua?” Mak cik penjual itu menahan nafas dan akhirnya memandang ke arah lain apabila ternampak Maria menuju ke arahnya.

“Nah! Aku dah bungkuskan nasi kau.” Tiba-tiba Maria menyampuk. Dua bungkus nasi dalam bekas styrofoam putih diletakkan di atas kaunter. Siap berikat gelang getah.

Bau kari ikan di dalamnya membuat perut Anis terasa pedih. “Sedapnya bau,” komennya sambil tersenyum ke arah Maria. Tiba-tiba saja segala enzim perutnya meleleh-leleh macam sudah tak makan sejak semalam. Padahal pagi tadi baru saja berjamu nasi lemak sebelum bertolak ke situ.
“Aku tahu kau hantu kari, sebab itu aku pilih kari.”

Mak cik penjual itu tersenyum mendengarkan jawapan Maria. “Semuanya sepuluh ringgit, nak.”

Anis menghulurkan duit, bungkusan air dan nasi bertukar tangan. Mereka berdua segera berpaling tetapi sebelum sempat mereka melangkah, mak cik penjual kembali menegur.

“Anak berdua kerja shif malam ke?”

“Shif malam? Tak ada, mak cik. Kami student ” jelas Anis.

Mak cik penjual mengangguk faham namun riak keresahan di wajahnya tetap belum hilang. “Kalau macam tu, malam-malam jangan merayau sangat di bawah ni. Ramai budak nakal.”

Anis dan Maria tersentak sehingga air muka mereka berubah. “Ooo…terima kasih, mak cik,” jawab Anis sebelum menarik lengan Maria. Keduanya meninggalkan café itu dan balik ke Flat C.
“Eh! Lif dah okeylah.” Anis separuh menjerit apabila matanya terpandang pintu lif di bahagian tengah flat itu kelihatan terbuka dan tertutup dengan sendirinya.

“Jom!” Maria berlari anak. Baldi dan beg plastik di tepi tangga diambil segera.

Anis terkocoh-kocoh mengejar. Dengan senyuman manis mereka menanti lif itu turun ke bawah semula. Perasaan lega yang terasa sukar digambarkan, bagai terlerai ikatan besi di kaki masing-masing. Tiba-tiba dia terbau sesuatu yang wangi. Kewangian yang tidak dapat tidak, membuat dia berpaling. Dan apabila dia menoleh, pandangan matanya segera beradu pandang seraut wajah lelaki yang berkemeja putih bersih. Bagaikan dirasuk, dia terpesona.

*****
Mimpi tidak akan jadi kenyataan sekiranya kita terus tidur. Dia sudah lupa itu kata-kata bernas yang dilontarkan oleh siapa tetapi sekarang dia sedang bermimpi dan dia harus segera jaga untuk menjadikannya kenyataan. Masalahnya dia juga tak mahu jaga dari mimpi itu kerana ianya amat indah.“Cepatlah masuk!” Dia tersentak apabila dibentak Maria. Dalam sekelip mata, dilihatnya Maria sudah pun berada di dalam lif dan di sebelahnya lelaki tadi sedang berdiri sambil menyeluk poket. Nampaknya dia memang benar-benar telah bermimpi.

Anis melangkah masuk ke dalam lif. Dia berdiri di tengah-tengah lif di antara Maria dan lelaki itu. Fikirannya separuh khayal. Sekejap dia rasa seperti bermimpi dan sekejap dia rasa berada di alam realiti. Benarkah lelaki itu sedang berdiri di sebelahnya? Siapakah dia? Siapakah namanya? Hatinya berdegup tak keruan dan fikirannya terus sahaja terawang-awang.

“Tinggal di sini?” Tiba-tiba suara Maria bergema dari sebelah kanannya.

Anis tersentak, dia menoleh ke arah Maria. Bulat matanya memandang. Ish! Tak malunya menegur orang lelaki namun dilihatnya Maria terus saja bersikap selamba. Di wajah Maria kelihatan tidak bersalah apa-apa. Bukan main, getus hatinya geram.

Lelaki itu segera berpaling ke arah Maria dan Anis. Bibirnya mengorak senyuman manis lalu dia mengangguk.

“Ooo… dah lama?” tanya Maria lagi tanpa malu-malu.

“2 tahun,” jawab lelaki itu dengan senang. Senyumannya tambah mesra.

“Tingkat berapa?” tanya Anis pula. Dengan tiba-tiba, soalan itu terpacul dari bibirnya. Seperti ada satu keberanian yang menolak dirinya untuk mencelah dan merebut peluang yang datang itu. Mungkin hatinya sendiri tidak tahan melihat sikapnya yang tidak berani mengambil tindakan.

“Atas sekali.”

“Ooo… kami tinggal di tingkat 7 aje,” jawab Anis tanpa diminta.

Lelaki itu hanya tersenyum tanpa menjawab apa-apa dan kembali merenung pintu lif.

Anis kembali mendiamkan diri. Dia cuma berharap agar perjalanan ke atas itu menjadi lebih panjang, dia teramat ingin untuk memandang dan bercakap lagi dengan lelaki itu jika berpeluang, tetapi otaknya tiba-tiba menjadi beku. Tidak ada satu soalan pun yang boleh ditanyakan lagi sehingga pada satu saat dia rasa amat kecewa dengan dirinya sendiri. Dengan kelemahannya sendiri.

Dan sebaik pintu lif terbuka di tingkat 7, Anis tidak ada pilihan lain selain keluar dari situ sambil menjeruk rasa. Namun sebelum sempat pintu lif tertutup, dia sempat melemparkan pandangan ke arah lelaki itu. Kebetulan, lelaki itu juga memandangnya sambil tersenyum. Lagi sekali dia terkesima. Tanpa sedar, dia terus merenung pintu itu walau lif itu sudah lama naik ke atas.

“Dahlah tu…” tegur Maria sambil mencuit lengan Anis.

Anis tersentak lagi. Kali ini dia tersengih malu. “Ish! Tiba-tibakan, flat buruk ni pun aku nampak cantik tau.” Matanya bercahaya.

“Ha? Tak gayat lagi ke?” Mulut Maria separuh terlopong.

Anis ketawa melihatkan reaksi Maria. “Gayat? Apa tu gayat? Tak mainlah gayat-gayat ni. Tinggal di tingkat 15 pun tak ada hal lah.” Dia melenggang senang tetapi anak matanya dikawal juga agar tidak terpandang ke arah beranda luar. Bimbang terpandang bawah.

“Cepat betul kau sembuh,” bidas Maria. Dan ketawa mereka berdua pun bergema.

Dalam hati, Anis mula merasakan keputusan mereka berpindah ke situ bukanlah teruk sangat. Mungkin flat itu luarannya saja yang nampak kusam namun kehidupan yang dijanjikan di situ lebih bermakna, berwarna dan membahagiakan dari kehidupan dia di rumah sewa yang lama. Yang pentingnya, dia kini tinggal di dalam sebuah rumah yang sebenar-benarnya rumah dan bukan setakat sebuah bilik seperti dulu. Dan mungkin juga dia akan mendapat sebuah ruang untuk menyimpan hatinya. Dia tersenyum.

Sementara itu, pintu lif terbuka di tingkat 15. Kosong.

Tuesday, July 12, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 14

Beberapa hari selepas itu…

MAHU atau tidak, masanya sudah tiba. Masa untuknya menunaikan janjinya kepada Sherry. Janji untuk membincangkan hal masa depan mereka berdua. Sebaik sahaja dia melangkah turun dari kereta yang menjemputnya, dia sudah tahu. Janji itu ada harganya.

Tersergam di hadapan matanya, sebuah rumah banglo setinggi tiga tingkat. Di sebelahnya kanannya terdapat sebuah kolam renang yang kelihatan sunyi. Namun airnya yang membiru menarik perhatiannya. Serta-merta dia teringatkan Pulau Damai yang baru ditinggalkan.

“Jemput, encik. Tuan dan puan ada di dalam,” tegur pemandu yang menjemputnya tadi di stesen bas. Mungkin tidak selesa apabila melihat Azmi bagaikan tidak tahu arah.

Azmi mengangguk. Baru melangkah dua tiga tapak, pintu rumah besar itu terbuka lebar. Seraut wajah yang teruja menyambutnya.

“Masuklah, mama dan papa dah lama tunggu.” Sherry tersenyum lebar. Matanya yang bersinar, menyeluruhi wajah Azmi.

Azmi tersenyum. Kelewatan itu bukanlah kemahuannya tetapi dia selalu reda, ketentuan tuhan itu hanya jatuh pada saat yang telah ditetapkan. Lalu, dia menjawab sekadarnya, “Bas lewat bertolak, mungkin ada masalah sikit tadi.”

“Tak apalah, mari jumpa mama. Papa dah keluar,” terang Sherry. Dia melangkah ke ruang tamu di sebelah kiri banglo besar itu.

Azmi melangkah sama. Buah tangan yang dibekalkan Kak Senah masih dipegang kejap. Dia berharap ibu Sherry sudi menerima buah tangan yang tidak seberapa itu. Ikan masin yang besar dan segar. Tidak ada yang lebih ikhlas, daripada hasil buatan tangan sendiri, fikirnya.

“Mama!” Sherry memanggil sambil mempersilakan Azmi duduk di ruang tamu. Pintu di sebelah kirinya terbuka lebar. Dari situ mereka dapat melihat kolam renang di luar rumah.

“Sherry, ni untuk keluarga awak.” Ikan masin yang dibungkus berlapis-lapis itu diserahkan kepada Sherry.

Sherry menerimanya dengan tenang. “Terima kasih. Kak Senah apa khabar?”

“Kak Senah dan Abang Osman, sihat. Alhamdulillah, mereka berkirim salam, Assalamualaikum,” balas Azmi. Dia duduk dengan tenang, sesekali menjeling ke arah kolam yang menarik perhatiannya sejak tadi. Lebih menarik daripada kerusi empuk buatan Italy ataupun perhiasan-perhiasan yang berdiri megah di setiap sudut rumah besar itu.

“Apa benda tu, Sherry?” Perbualan mereka yang baru bermula disampuk satu suara. Seorang wanita berbaju jubah chiffon biru muda melangkah ke ruang tamu itu.

Sherry bingkas bangun. “Mama, inilah Azmi. Azmi, inilah mama Sherry.” Dia melangkah ke arah ibunya.

“Baru sampai?” tanya ibu Sherry. Dia memandang Azmi dari atas ke bawah.

Azmi berdiri dan mengangguk. Salam tidak dihulurkan.

Ibu Sherry terkelip-kelip, akhirnya duduk di kerusi yang bertentangan dengan Azmi. “Apa benda tu?” Kini pandangan matanya tertancap ke arah bungkusan kertas surat khabar di tangan Sherry.

“Ikan masin, mak. Di pulau tu, mereka buat sendiri,” terang Sherry.

“Hantar ke dapur. Nanti hamis tempat ni.” Ibu Sherry berkerut dahi. Dia berpaling pula ke arah Azmi. “Di rumah ni, kami tak makan ikan masin. Papa Sherry ni mudah sakit kepala. Bau pun dia tak tahan.”

Azmi mengukir senyuman walau tidak semanis mana. Dia tidak menyalahkan sesiapa melainkan dirinya sendiri yang tidak cuba memahami keluarga Sherry terlebih dahulu. Lalu, dia menjawab, “Maafkan saya, mak cik. Kerana kurang periksa.”

“Jangan panggil, mak cik. Bunyinya macam tua sangat. Panggil, auntie. Auntie Mila.” Ibu Sherry menjeling.

“Maafkan saya, Auntie Mila,” ulang Azmi. Semakin lama di situ, perasaannya semakin tidak tenang. “Maafkan saya juga kerana terlewat sampai.”

“Kenapa kamu naik bas? Kenapa tak naik helikopter ke?”

Helikopter? Azmi tidak faham apa-apa. Lalu, dia menjawab dengan jujur, “Saya tak ada helikopter, auntie.”

“Tahulah kamu tak ada tapi kenapa tak sewa saja? Habis di pulau tu naik apa?” Auntie Mila masih memandang tajam ke arah Azmi.

“Pulau? Di sana tak ada kenderaan lain selain bot atau perahu nelayan.”

“Pulau kecil ya?” tanya Auntie Mila. Di wajahnya mula terlukis perasaan kecewa. “Tak apalah, sekurang-kurangnya pulau tu kamu yang punya. Bolehlah dibangunkan resort dan pusat pelancongan.”

Kamu punya? Kepala Azmi semakin pening. Adakah Auntie Mila menyangkakan dia pemilik Pulau Damai? Hatinya berdebar. Dengan sekali nafas dia menjelaskan, “Saya bukan pemilik pulau tu, auntie. Saya cuma tinggal di situ sejak kecil.”

Auntie Mila terkejut. Bulat matanya merenung Azmi. “Bukan kamu punya? Habis tu, kenapa papa Sherry cakap kamu yang punya pulau tu? Ish! Orang tua ni…” Dia menggeleng beberapa kali. “Hah, Sherry! Azmi ni bukan tuan punya pulau tu…” katanya lagi apabila Sherry muncul bersama sedulang minuman.

Tangan Sherry bergetar. Cawan di atas dulang berlaga. Sambil terkulat-kulat Sherry menjawab. “Mama…” Dia menelan liur. “Memang Azmi bukan tuan punya pulau tu. Sherry pun tak cakap macam tu pada papa. Papa yang buat andaian sendiri.”

“Habis tu… Azmi ni siapa?” tanya Auntie Mila.

Sherry meletakkan dulang di atas meja. Dia termenung seketika. “Azmi… penduduk Pulau Damai, mama.” Dia tunduk memandang meja.

Azmi menjeling ke arah Sherry. Otaknya cuba berfikir dan mentafsir. “Apa masalahnya, Sherry? Auntie?”

“Dah sampai? Maaflah, papa ada urusan dengan klien tadi,” sampuk satu suara garau dari arah muka pintu.

Azmi spontan berdiri. Diikuti Sherry dan Aunty Mila. Kesemuanya terdiam.

*****

“KENAPA berdiri? Duduk… duduk.” Tuan Jamil menarik lengan Azmi untuk duduk di sebelahnya.

Azmi tergamam. Namun gelagat ayah Sherry diikutkan sahaja. Fikirannya masih keliru dengan apa yang sedang berlaku di rumah itu. Dengan teragak-agak dia membuka mulut, “Pak cik… apa khabar?”

“Uncle sihat. Mak ayah Azmi, apa khabar pula?” Tuan Jamil menyambut huluran cawan yang disuakan isterinya. Sherry memerhati sahaja.

Azmi menahan nafas. Fahamlah dia, ayah Sherry mahu dipanggil ‘uncle’ dan bukannya ‘pak cik’. Lalu dia menjawab dengan tenang, “Mak dan ayah saya dah meninggal, uncle. Sejak saya kecil.”

Tuan Jamil teranguk-angguk. “Adik-beradik? Kamu ada adik-beradik?”

Azmi menggeleng. “Saya pernah ada dua orang abang, tapi kedua-duanya juga dah meninggal dalam kemalangan.”

“Patutlah Azmi yang warisi pulau tu,” sampuk Tuan Jamil.

Ruang tamu itu tiba-tiba menjadi senyap seketika. Azmi menarik nafas lalu menjawab, “Uncle, saya bukan tuan punya pulau tu. Saya cuma salah seorang penduduk di situ saja.” Dia merenung wajah Tuan Jamil.

Mulut Tuan Jamil tidak terkatup. Dia menoleh pula ke arah Sherry dan isterinya. Akhirnya dia bertanya, “Sherry, apa ni?”

Sherry yang duduk di sebelah ibunya menjawab, “Sherry tak kata dia tuan punya pulau tu, papa. Kan Sherry kata dia tinggal di situ? Papa yang salah tafsir.”

Tuan Jamil diam seketika. Dia tersandar. “Jadi… Azmi kerja apa di sana?”

Azmi membalas pandangan Tuan Jamil. Baru dia faham apa yang sebenarnya yang telah terjadi. Rupa-rupanya dia telah disalah sangka. “Saya berniaga.”

“Berniaga ? Berniaga apa di pulau tu? Resort?” Suara Tuan Jamil semakin kuat.

“Kedai runcit dan kedai cenderamata. Kadang-kadang saya menyelam mencari…”

“Kedai runcit!?” Tuan Jamil memandang ke arah isterinya.

Auntie Mila mengalihkan pandangan ke arah lain.

Azmi mengangguk. Nada suara Tuan Jamil membuat hatinya terasa tidak tenteram. “Ya, kedai runcit kecil saja, uncle.”

“Kamu biar betul ni, Sherry?” Tidak semena-mena Tuan Jamil bercakap dengan Sherry pula.

Sherry terkulat-kulat. Dia bertentang mata dengan ayahnya. “Betullah, papa. Apa pula yang tak betulnya?”

Tuan Jamil berkerut dahi. Dia mendengus sambil meraup rambutnya yang nipis. “Takkan lelaki yang macam ni, kamu nak pilih buat suami? Dah habis ke lelaki lain dalam dunia ni atau kamu dah tak laku sangat?”

Azmi tersentak. Mulutnya terasa berat.

“Papa! Kenapa papa cakap macam tu, pula? Dulu, papa yang suruh Sherry cari sendiri. Papa cakap, Sherry boleh pilih sesiapa yang Sherry suka.”

“Tapi bukan lelaki yang macam ni!”

“Habis tu lelaki yang macam mana?” bentak Sherry. Wajahnya merah padam menahan tangis.

“Sekurang-kurangnya yang ada pendapatan tetap, yang boleh sara hidup kamu di kota besar ni.” Tuan Jamil bersandar semula. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah Azmi.

Sherry diam. Dia tunduk sambil menyapu air matanya yang jatuh ke pipi. Auntie langsung tidak bergerak.

“Maafkan saya, uncle, aunty. Izinkan saya menerangkan sedikit hasrat saya,” kata Azmi setelah suasana di situ menjadi sepi. Disebabkan kata-katanya tidak disambut, dia terus menyambung, “Saya berhasrat untuk melamar Sherry untuk menjadi isteri saya. Saya akan bina sebuah rumah di tepi laut untuk kami hidup bersama selepas berkahwin nanti. Saya juga akan membesarkan kedai dan memasarkan produk mutiara ke tanah besar. Itulah perancangan saya dan saya akan menjaga Sherry sedaya upaya saya sebagai seorang suami yang baik, insya-Allah.”

Tuan Jamil diam membisu. Kata-kata Azmi tidak disambutnya.

“Papa, dia pilihan Sherry. Papa dan mama nak tengok Sherry bahagia, kan?” kata Sherry pula.

“Are you sure, Sherry?” Aunty Mila bersuara setelah sekian lama membisu di situ.

Sherry mengangguk. Dia tersenyum pahit. “Sherry takkan menyesal memilih dia, mama. Malah Sherry percaya dia akan membawa cahaya ke dalam keluarga kita nanti.”

Tuan Jamil mendengus. “Cakap saja memanglah boleh. Kahwin ni bukan setakat tahu akad nikah saja. Itu, suruh sesiapa di tepi jalan tu pun boleh.”

“Sherry percaya pada dia, papa. Sherry lebih kenal dia,” jawab Sherry.

Tuan Jamil menarik nafas. Dia menoleh ke arah isterinya semula. “Macam mana, mama? Anak kita ni nampaknya dah gatal sangat nak kahwin. Dia pakai sapu saja…”

Auntie Mila tidak mengangkat muka. “Entahlah, papa. Mama ikut saja tapi kita kena fikir kedudukan kita. Mama tak nak malu pada keluarga dan kawan-kawan kita.”

“Mama…,” tegur Sherry.

Azmi menarik nafas. Dia melontarkan ingatannya kepada Tuhan. Dia reda andai penghinaan itu sebagai balasan dosa-dosanya. Tidak ada yang datang tanpa izin-Nya. Dia pasrahkan hati untuk menerima segalanya dengan hati yang terbuka.

“Kalau kamu berdua nak kahwin sangat, boleh. Papa boleh izinkan tetapi dengan satu syarat,” kata Tuan Jamil.

Auntie Mila dan Sherry spontan menoleh ke arah Tuan Jamil. “Apa dia?” Sherry terlebih dahulu bertanya daripada orang lain.

“Buat cara papa. Papa tak mahu bertolak ansur di dalam perkara ni. Bukan senang nak ambil anak papa macam tu saja. Kalau betul-betul nak, buat cara papa.”

“Buat cara papa tu apa?” Sherry bertanya lagi. Sesekali dia menjeling ke arah Azmi yang diam membisu di sebelah ayahnya.

“Macam ni…” Tuan Jamil menerangkan permintaannya satu-persatu.

Azmi mendengar dengan teliti.

*****
Keesokkan petang…

SEHARI sahaja dia pergi ke sana, dia sudah terasa rindu. Rindu pada laut, rindu pada camar dan rindu pada angin. Disebabkan rindu juga, dia tidak betah untuk bermalam di banglo besar milik Tuan Jamil. Hatinya ada di sini dan kerinduan itu bagaikan anak kecil yang menggamitnya pulang ke situ.

Ketika tapak kakinya menjejak tangga jeti, dia terus menanggalkan kasut. Dia biarkan tapak kakinya bercumbu dengan butiran pasir yang merinduinya. Dia biarkan sekujur tubuhnya dicumbui angin laut yang mengenalinya. Dia biarkan cahaya matahari membakar setiap inci raganya. Dia biarkan segalanya menyambut dia pulang.

“Mi?” tegur Abang Osman. “Kenapa balik cepat sangat?” Jala yang dipegang melorot jatuh ke atas pasir.

Azmi tersenyum. “Urusan dah selesai, bang. Baliklah.” Sebaik sahaja ternampak Abang Osman di perahu, dia terus ke situ. Wajah itu juga dirindui.

Mata Abang Osman terkelip-kelip. Sambil memaut bahu Azmi, mereka melangkah bersama. Meninggalkan gigi pantai, menuju ke pangkin di bawah pokok kelapa. “Dah selesai? Cepat betul?”

“Dah selesai, bang,” ulang Azmi sekali lagi. Beg sandang yang dibawa diletakkan sahaja di atas pasir.

Pandangan matanya kini beralih dari pasir yang kering ke dada laut yang menghijau. Memang semuanya sudah selesai, buat apa lagi dia berlama-lama di ibu kota? Sesaat pun nafasnya tidak tertahan menghidu udara di situ. Seolah-olah jiwanya sesak dengan segala apa yang dilihat. Adakalanya dia seperti seekor ikan yang tercampak ke atas pasir, tercungap-cungap mencari nyawa. Akhirnya dia menoleh ke arah Abang Osman dan berkata. “Mereka suruh abang datang ke sana merisik pada minggu depan. Bawa cincin tanya emas putih sebentuk.”

Perlahan-lahan, air muka Abang Osman berubah ceria. Dia tersengih lebar. “Baguslah macam tu. Minggu depan abang pergi. Rumah dia di mana?”

“Di Damansara tapi bang…” Azmi terdiam.Dia melepaskan nafas perlahan-lahan.

“Tapi apa, Mi?”

Azmi menggeleng pula. Tidak sanggup pula rasanya untuk bercerita kepada sesiapa. Biarlah dia yang menanggung segala-galanya. Jika berat yang diberi, beratlah bahunya. Jika ringan yang didatangkan, ringanlah jiwanya. “Abang ajaklah Pak Andak Kahar sekali.”

“Betul ni? Betul Azmi nak abang ajak pak andak sekali?”

“Nanti keluarga sebelah sana kecil hati pula,” balas Azmi.

Abang Osman terangguk-angguk. Dia menepuk-nepuk bahu Azmi. “Malam tadi Mi tidur di rumah Sherry ke?”

Azmi menggeleng. Matanya tunduk memandang buah kelapa yang gugur berselerakan di tepi kakinya. “Mi, tidur hotel.” Dengan itu, dia menarik nafas dan mengangkat punggung. “Mi nak solat Asar dulu, bang. Nanti malam kita cerita lagi.”

“Pergilah rehat. Kedai tu biar Kak Senah yang jaga.”

Azmi melangkah lesu. Setiap kali tapak kakinya memijak, pasir menguak bagaikan memberi laluan. Dia yakin, dengan izin Tuhan pasti ada jalan untuk dia memenuhi semua permintaan ayah Sherry.

“Mi, jangan rasa semua beban itu Mi pikul seorang. Sherry akan bantu apa yang terdaya.” Kata-kata Sherry terngiang-ngiang di telinganya. Kata-kata yang diucapkan di tepi pintu bas ekspress pagi tadi.

Dia tersenyum waktu itu. Kesanggupan Sherry bukanlah jawapan yang dia inginkan. Dia tahu dalam keadaan seperti itu, jika diminta jiwa dan raga pun, akan diserahkan gadis itu. “Sherry jangan bimbang. Jika ada jodoh, pasti dilapangkan segala jalan dan diringankan segala beban. Berdoalah selalu, saya akan usahakan segala yang termampu. Selebihnya kita tawakkal. Tuhanlah pemilik segala pertolongan.”

Dia tinggalkan Sherry yang bermata basah. Sesungguhnya pertemuan itu terlalu singkat tetapi baginya sudah cukup untuk dia memahami segalanya. Halangan yang dibentangkan di hadapannya sungguh besar. Dia hanya pasrah pada ketentuan Tuhan. Itu sahaja yang termampu olehnya…

Saturday, July 9, 2011

Friday, July 1, 2011

CAFE CINTA : Bab 20


Sebagai penutup tirai, saya siarkan CC bab 20 di sini...
Selepas ini CC akan dihentikan. Nasibnya belum diketahui..
Doakan agar CC mendapat tempat berteduh yang baik..
Terima kasih kerana telah mengikuti perjalanan kisah Tasha, Nina, Zaki, Hafiz dan Izwan...

Sedikit teaser untuk cerita ini: dalam bab-bab yang akan datang mereka berlima akan ke Beijing, China. Di sana konflik akan memuncak. Namun di dalam kelekaan mengejar cinta masing-masing, persahabatan Tasha dan Nina menjadi taruhan...
Itu sahaja.
Terima kasih sekali lagi.
* Bertemu dan berpisah tapi hati.....

**************************

BAU haruman kopi pekat di hadapanku sedikit memualkan. Aku sememangnya kurang suka kopi, tapi entah kenapa itu pula yang aku pilih petang itu. Samalah seperti aku memilih untuk bersetuju berdua-duaan dengan Izwan di Noiz Café yang terletak hanya di belakang bangunan Borhanzi Holdings.

Aku tak nafikan, aku sangat berdebar menghadapi situasi itu. Juga rasa sedikit janggal kerana kami bukannya budak-budak sekolah lagi. Dua-dua sudah cukup umur dan daripada jelingan beberapa orang gadis di situ, mereka tentu menyangkakan yang kami adalah sepasang kekasih. Lagilah, aku resah.

“Kenapa tak minum di café bawah tu aje?” tanyaku untuk menepis rasa resah yang bertandang.

Izwan ketawa kecil. “Biarlah jauh sikit. Kalau kat situ, tak sempat nak bercakap, ada aje yang tukang kacau.”

“Ada orang kacau kau ke?” tanyaku main-main. Kalau ada pun, aku tak hairan langsung. Yang berani ajak dia date pun mesti dah ada. Tapi, soal itu ke yang dia nak cakapkan ni?

Izwan mengeluh perlahan. Senyumannya meleret seperti dia sedang mengingati sesuatu.

“Ni mesti ramai yang ajak date kan?” usikku lagi. Mana tahu kalau Izwan rasa semua gangguan itu sudah melebihi tahap kesabaran.

Dia termenung saja. Dan aku tak terselam makna renungannya itu. Suka ke? Marah ke orang ganggu dia? Tapi semasa di sekolah dulu kan dia bangga?

“Tasha, kau dengan Zaki tu…” Tiba-tiba saja dia bersuara lambat-lambat dan terhenti setakat itu.

Zaki? Degupan jantungku laju semula. Kenapa pula dia nak tahu soal hubunganku dengan Zaki? Jangan-jangan… “Kenapa? Ada yang tak kena ke?” Aku sedang fikirkan pasal dia, dia pula fikirkan tentang aku dengan Zaki.

Dia senyum. “Dah lama?”

Aku angguk cepat-cepat. Dia tak perlu tahu, fikirku. Moga-moga apa saja niatnya untuk berjumpa petang itu segera terpadam. Aku sudah ada kekasih, okey!

Dia diam semula.

Aku mula bosan. Pelanggan café tu sudah pun bertukar silih berganti, kami masih lagi menghadap dua cawan kopi dan sepiring karipap yang tak habis-habis. “Kata tadi, ada hal nak cakap, cakaplah,” desakku.

Dia mengeluh dan tiba-tiba meraup wajahnya dengan kedua tapak tangan, dibawa naik ke rambutnya yang sekarang mula kusut sedikit. Tali leher yang dipakai dilonggarkan dan butang atas kemejanya dibuka.

Tindakannya itu membuat aku bertambah susah hati walau dia nampak bertambah handsome.“Kau ada masalah?” tanyaku sambil cuba tak memandang wajahnya lagi.

Dia angguk beberapa kali namun matanya tetap tunduk merenung meja alumium di hadapan kami.

“Kalau kau terus diam macam ni, macam mana aku nak tahu? Meja tu tak de tulis masalah kau.” Aku mula meninggikan suara. Sesungguhnya aku mula merasakan bahawa, Izwan yang duduk di sebelah aku sekarang bukanlah Izwan yang bermulut lepas semasa di sekolah dahulu. Entah ke mana hilang mulutnya, aku tak tahu. Tercicir di New Zealand, agaknya.

“Tasha, aku suka Nina.”

Ah! Bagai nak gugur jantung aku. “Apa? Ulang lagi sekali,” kataku hampit terjerit. Rasanya aku nak ketawa dan menangis dalam masa yang serentak. Lega sungguh kerana apa yang kujangka tidak menjadi kenyataan tetapi kenyataan ini juga bukan sesuatu yang melegakan.

Dia mula menunjukkan reaksi menggelabah. Mukanya merah dan seakan berpeluh. Dia seperti tak berani langsung memandang mukaku.

“Ulang lagi sekali!” perintahku bagaikan seorang kakak. Manalah tahu, kalau aku salah dengar. Dia suka aku ke, suka Nina?

“Aku suka Nina,” katanya tapi lebih perlahan dan tetap tak berani memandang wajahku. Macam takut aku marah.

Dan aku memang rasa marah sangat. “Kenapa kau suka dia pula? Diakan ketot, tak cantik, kurus keding, hitam…” omelku sambil mengingati semula semua kata-kata Izwan lapan tahun yang lalu.

Dia cuma menggeleng dan akhirnya mengeluh. “Aku tahu, kau dan Nina mesti tak boleh maafkan aku…” katanya. Nada suaranya begitu rendah dan sayu. “Tapi, sejak aku jumpa dia hari tu, aku asyik teringatkan dia.”

“Kalau macam tu, pergilah jumpa dia.”

“Dia nak ke jumpa aku? Hari tu pun, dia asyik lari saja,” balas Izwan.

Kesian pula aku mendengarnya. Tapi Tuhan tu Maha Adil, dulu hina sangat orang tu, sekarang jilatlah balik segala penghinaan yang telah dilemparkan, kata hatiku. “Kenapa kau suka dia? Sebab dia dah cantik sekarang?”

Izwan senyum.

“Kau kan pelajar top dan popular di sekolah dulu. Aku rasa sekarang pun, kau perlu petik jari aje mana-mana girls cantik yang kau nak, kecuali Nina,” kataku sesuka hati mengikut logik akal.

“Itu aku tahu. Aku tak ada masalah nak dapatkan mana-mana girls tapi aku nak Nina,” jawab Izwan cepat.

Aku geleng. “Kau dah lupa ke? Nina tu kan keras hati.”

“Kau tak boleh ke tolong aku pujuk dia?” Izwan renung aku bersungguh-sungguh.

Aku ketawa besar. “Jadi, kau nak gunakan aku pula?”

“Kalau boleh. Dia kan selalu dengar nasihat kau,” tambah Izwan dengan yakin.

Ewah! Senangnya buat kesimpulan. Aku percaya di kepala dia, hanya nampak aku sebagai penyelesai masalah angau dia tu. “Izwan, kita sekarang bukan budak-budak lagi. Walaupun kami kawan baik, ada perkara yang aku tak boleh masuk campur.”

“Tolonglah…,” rayu Izwan.

Aku mengeluh panjang. “Izwan, kau tahu tak betapa dalamnya hati Nina terluka dulu? Sampai sekarang dia trauma dengan mana-mana lelaki tau.” Rasanya sudah tak tertanggung lagi rahsia itu dalam hatiku. Aku mahu Izwan sedar apa kesannya tindakan yang telah dilakukan dulu terhadap Nina.

Izwan terdiam seketika. Dia termenung. “Betul ke? Selama ni, dia tak pernah ada boyfriend ke?”

Aku geleng. “Dia jadi takut pada lelaki, semuanya sebab kau.” Hatiku mula geram apabila teringatkan perbuatan Izwan dulu. Dan teringatkan betapa susahnya aku memujuk Nina bertahun-tahun untuk melupakan tragedi itu!

“Habis tu, aku tengok dia okey saja kat kedai tu? Lebih-lebih lagi masa melayan si buta tu,” balas Izwan dengan begitu lancang. Ada nada cemburu di hujung suaranya.

Aku senyum sinis. “Sebab si buta itulah, Nina mula berubah. Dan aku harap, dia akan sembuh tapi malangnya, tak semudah itu pula.” Tanpa sedar aku mengeluh pada Izwan.

“Nina sukakan lelaki tu?”

Aku angguk.

“Mereka sudah couple?”

Aku geleng. “Tak mungkin kut,” balasku pendek. Aku sendiri sebenarnya hampa. Pada mulanya aku memang berharap agar Hafiz dapat menyembuhkan perasaan Nina, tapi malangnya Hafiz bukanlah lelaki yang boleh diharapkan. Malah aku takut jika Nina terluka lebih parah.

“Kenapa?” Izwan menoleh dan merenung wajahku. Mungkin kerana ianya melibatkan soal Nina, dia jadi berminat sangat hendak tahu.

“Lelaki tu bukan jenis yang boleh beri komitmen,” jawabku terus-terang.

“Sebab dia buta?” tanya Izwan cepat.

“Susah aku nak cakap.”

“Nina macam mana? Masih tunggu lelaki tu?”

Aku angkat bahu. Aku pun belum jumpa Nina sejak pagi tadi. Aku sendiri belum tahu keputusannya. “Entahlah, apa-apa pun boleh jadi sekarang.”

“Jadi, aku masih ada peluang kan?”

“Ya,” jawabku pendek. Mungkin kalau Izwan dapat menghidupkan semula cinta di hati Nina, Nina boleh melupakan Hafiz, itu fikirku. Mana tahu bisa boleh jadi penawar macam bisa ular.

“Kau, kenalah minta maaf dengan dia dulu. Lepas tu kau cubalah tebus balik kesalahan kau.”

Izwan angguk. Wajahnya kelihatan bersemangat dan penuh dengan harapan semula.

Aku juga tersenyum. Mungkin keadaan akan bertambah baik selepas ini. Izwan dan Nina dan aku dengan Zaki. Segala usikan mama akan terpadam dengan sendirinya. Sedang aku dan Izwan leka bercerita kisah lalu dan pengalamannya semasa di New Zealand tiba-tiba sekumpulan lelaki seramai empat orang masuk ke café itu dan salah seorangnya adalah Zaki!

*****
DI DALAM keriuhan, aku rasa begitu sepi sekali. Seolah-olah aku terlempar ke satu daerah yang paling sunyi. Pandangan mata Zaki seolah merentap segala keberanianku, aku jadi lemah dan hampa dengan diriku sendiri. Sedang aku bergelut dengan perasaanku, Zaki mendekati meja kami sambil tersenyum.

Tapi senyumannya tidak ikhlas langsung, seri di matanya terlalu hambar. Aku segera tahu, semuanya pura-pura. “Dah habis kerja?” tanya Zaki sambil memandang kami berdua silih berganti.

Kami serentak mengangguk dan keadaannya menjadi janggal sekali. “Duduklah,” pelawaku.

“No, thanks. Aku datang dengan kawan-kawan aku. Ofis dekat-dekat sini ke?” tanya Zaki sambil berdiri saja di sebelahku.

Aku angguk. “Di belakang ni aje,” balasku sambil cuba menyembunyikan resahku. Sejujurnya aku rasa bersalah walau tidak jelas dengan kesalahanku.

“Okeylah, enjoy your meal,” katanya sambil menepuk bahu aku dan beralih ke meja yang diduduki oleh kawan-kawannya.

Aku cuma angguk sambil mengeluh perlahan. Seleraku terus saja hilang. Nak berbual pun terasa kekok lagi. Tanpa sedar aku menggeleng.

“Kenapa? Macam ada masalah aje?” tanya Izwan. Mungkin dia sedar yang aku resah sahaja sejak terpandang Zaki. “Dia kuat jealous ke?”

Aku senyum tawar. Kuat tak kuat, pandangan mata Zaki sudah cukup menyatakan segalanya. Kalau aku pun, tentu macam tu juga. Masalahnya sekarang, aku yang duduk di kerusi ni dan bukannya dia. Aku yang timbulkan masalah dan bukannya dia. “Dia belum tahu apa-apa,” balasku perlahan.

“Apa yang dia tak tahu?” tanya Izwan pula.

“Dia tak tahu aku siapa dan siapa ayah aku,” balasku cepat. Kesan kopi di tekakku bertambah loya rasanya. Aku mula sedar apa yang aku takuti itu semakin dekat menampakkan diri.

“Oh My God! Kenapa tak beritahu dia? Dah berapa lama kau orang couple?”

“A month,” balasku perlahan.

Aku lihat mulut Izwan separuh ternganga. “Tadi… kau tipu akulah ya.” Dia ketawa sambil menggeleng.

“Dah tu, aku fikir kau nak mengorat aku,” balasku selamba. Makin lama, aku makin senang bercakap dengan dia. Mungkin kerana aku sudah tahu yang aku bukanlah sesiapa di hati dia. Kami cuma kawan lama merangkap rakan sekerja.

Izwan ketawa lagi, kali ini lebih kuat dan ini membuatkan Zaki menoleh ke arah kami berdua. Dan itu menambah rasa kesalku. Entah apalah yang difikirkan Zaki sekarang.

“Kenapa kau tak berterus-terang saja dengan dia? Kau takut dia tak terima kau?”

“Aku dah cuba tapi dia macam terlalu yakin dengan aku. Dia pernah kata, tiba masanya nanti dia akan terus bawa mak dia ke rumah aku.”

Izwan menahan tawa hingga mukanya kemerah-merahan. “Dia betul-betul tak tahu kau siapa kan? Kalau dia tahu, mungkin dia akan fikir dua kali. Aku pun tak berani nak mengorat kau. ”

Aku jengilkan mata pada Izwan. Walau kata-katanya mungkin benar, aku juga takut jika ianya menjadi kenyataan. Malah sebenarnya masalah ini mula menjadi mimpi ngeriku di malam hari. Malah aku pernah bermimpi, Zaki meninggalkan aku bila tahu aku siapa.

“Tapi perhubungan yang tak dibina di atas rasa percaya, samalah dengan bangunan yang dibina tanpa tapak yang kukuh. Bila-bila masa saja boleh runtuh,” balas Izwan panjang lebar. Dia juga menghabiskan kopi dalam cawannya.

“Bila pula aku tak percaya pada dia?”

“Kalau kau percaya, kau takkan sembunyikan apa-apa.”

Aku diam. Memang betul kata Izwan tapi aku juga belum bersedia kehilangan Zaki. Buatnya dia terkejut dan lari lintang-pukang, macam mana aku nak buat? “Kalau dia tinggalkan aku, macam mana?”

“Kalau dia tinggalkan kau sebab latar belakang kau, dia pengecutlah.”

“Pengecut atau tak tu, soal lain, Izwan. Tapi ini soal harga diri dia. Dia akan rasa rendah diri apabila berdepan dengan aku dan keluarga aku. Itu yang aku tak nak.”

“Kenapa perlu rasa rendah diri? Bukan harta dan pangkat saja yang boleh dijadikan ukuran di dunia ini,” bantah Izwan.

Aku terkedu. Tapi itu belum cukup untuk buat aku jadi berani. “Ya ke? Setahu aku lelaki tak suka kalau gaji isteri lebih banyak dari gaji dia.” Aku renung Izwan supaya dia nampak perkara yang sebenarnya. Itu baru soal gaji, bagaimana dengan soal lain yang serba tak sekata? Itulah yang aku takut. Aku takut Zaki tak boleh terima dan tinggalkan aku.

“Anyway, kau kena juga berterus-terang. Sampai bila kau boleh sorokkan? Kau kena beritahu dia cepat-cepat,” kata Izwan pula mengalahkan pakar. “Makin lama kau sorokkan, makin teruk akibatnya nanti.”

“Kau pun sama, jangan tunggu lama-lama. Kau kena kejar Nina tu cepat-cepat,” balasku geram. Sebenarnya aku tak suka membincangkan hal itu.

“Okey, aku sambut cabaran kau, tapi kau kena sambut cabaran aku juga. Menjelang hujung minggu nanti, kita sama-sama telah menyelesaikan masalah kita. Amacam?”

Aku angguk sambil tersenyum. Setelah membayar bil, kami berdua meninggalkan café itu. Sebelum aku pergi, aku sempat menoleh ke arah Zaki yang sedang asyik berbual, tapi dia tak pandang aku pun. Aku tahu, dia sengaja buat macam tu sebagai tanda protes. Dan nampaknya malam ini, giliran aku pula yang tak tidur sampai pagi.

*****
SELESAI saja aku bersolat Maghrib di bilik tidurku, aku merebahkan tubuhku ke atas tilam. Rasanya amat melegakan. Tapi itu cuma pada luarannya saja. Di dalam hati dan fikiranku tetap tidak. Masih terbayang-bayang betapa sinisnya pandangan yang dilemparkan oleh Zaki di Café Noiz tadi. Kalaulah bayangan itu boleh dipadamkan, aku sudah padamkan betul-betul.

Aku menekan nombor Nina dan aku tunggu. Selain soal Zaki yang masih menghantui fikiranku, aku juga bimbangkan keadaan Nina. Agak lama juga sebelum panggilanku bersambung. “Nina, macam mana hari ni?” tanyaku bersahaja macam tak ada apa-apa.

“Okey, macam biasa,” balas Nina.

“Malam tadi, engkau call mama ya? Aku lupa betullah.”

“Haah, aku tengok kau dah berdengkur. Tak sampai hati pula nak kejut jadi aku call mama, nasib baik dia belum tidur lagi.”

“Pukul berapa?”

“Dekat pukul 1.00 pagi,” jawabnya.

“Kau, tak tidur ke malam tadi?” Aku mula nak mengumpan dia.

Terdengar dia mengeluh di hujung talian. “Bila kau nak datang sini?” Nina tak menjawab soalan aku, terang-terang dia cuba mengelak umpan yang aku hulurkan.

“Minggu ni aku sibuk sikit, weekend lah,” balasku sambil memicit kepala yang sudah mula pening.

Aku tamatkan saja panggilan itu kerana aku tahu, masa dan tempatnya tak sesuai. Aku pun tak mahu Nina menangis kat situ. Nanti menganggu perniagaan dia pula. Macam mana dia nak melayan pelanggan dengan mata yang sembab tu? Jadi, esok-esok sajalah aku bertanyakan keputusan dia.

Aku membuka kotak mesej pula. Belum ada sebarang balasan daripada Zaki lagi. Hatiku semakin risau, nampaknya dia benar-benar marah padaku. Lalu, aku buat keputusan untuk menelefon dia saja. Nak bergaduh ke, nak apa ke, aku kena hadapi juga. Sudah salah aku!

Sudah dua kali nada dering selesai berbunyi, tak juga dia angkat-angkat. Ini, kali ketiga aku cuba, kalau tak angkat juga, bukanlah salah aku lagi. Aku dah cuba untuk berdamai, dia yang tak nak. Tapi dengan tak disangka, aku terdengar suaranya di hujung talian. Aku terus jadi gugup.

“Tak tidur lagi?” Dia bertanya.

“Baru pukul 8.00 malam, awal lagi,” kataku.

Dia diam.

Aku pun diam tapi aku tahu yang dia tentunya menunggu aku membuka mulut. “Zaki, aku minta maaf,” kataku dengan nada yang mendatar saja. Sedaya-upaya aku lindungkan debaran di hatiku.

“Kenapa nak minta maaf? Ada buat salah ke?”

Aku mengeluh perlahan. Kata-katanya mula menyakitkan hati aku. Yalah, mentang-mentanglah aku yang buat salah. Kataku. “Tak ada, saja nak minta maaf awal. Raya nanti takut lupa pulak.” Aku mula buat lawak bodoh. Biar dia sakit hati sama. Geram dah ni.

“Tasha, aku tak marah,” katanya dengan lembut.

“Yalah tu, tadi kenapa tak pandang aku masa aku nak balik? SMS pun tak balas.”

“Tadi tu memang tengah marah, maklumlah api cemburu tengah marak. Nasib baik tak terbakar café orang tu.” Dia ketawa pula.

“Ni api dah padam ke?”

“Dengar suara Tasha, terus padam.”

Wah! Handalnya aku. Suara aku saja pun dah boleh memadamkan api di dalam hati dia. Senanglah lain kali. Aku lentuk sikit aje, dia terus mengalah. Sedang aku kembang kempis mengipas diri sendiri, dia bertanya. “Seronok tadi?”

Aku diam sekejap. Kata dah padam, tapi bunyinya macam belum padam habis. “Seronok, kami bercerita fasal kawan-kawan lama di sekolah dulu,” terangku. Aku harap hati dia sejuk semula selepas itu.

“Bagus, esok bolehlah keluar berdua lagi. Kalau tak petang, malam pula.”

Aik? Makin teruk pula? “Mana adalah, kami pergi minum tadi tu pun sebab nak bincang hal yang tak bersangkutan dengan kerja,” bantahku garang. Makin ditiup, makin menyala pula bara ni, fikirku.

“Hal apa?”

“Hal dia dengan Nina,” balasku geram. Nak cemburu sangat, cemburulah sekarang, tempikku dalam hati.

Lama dia terdiam. Mungkin sedang berfikir atau sedang bersorak seorang diri di rumah sewanya. “Tasha, sorry.”

Sekarang giliran aku pula. Aku tak jawab, biar dia pula yang memujuk. Puas hati aku. Lain kali cemburu lagi membabi buta. Tak percaya lagi kepada aku.

“Tasha, dah tidur ke?” Dia bertanya selepas aku lama berdiam diri.

“Dah, hantu jawab ni,” jawabku ringkas.

“Hantu, tolong kejutkan Tasha. Cakap kat dia, Zaki minta maaf.”

“Kenapa nak minta maaf? Ada buat salah ke?” Aku ulang balik apa yang dia sebut tadi. Puas hati aku.

“Aku ni lelaki bukan tunggul kayu yang tak ada perasaan,” balasnya laju.

“Tahu pun. Apa yang aku rasa dulu tu, lebih teruk daripada itu tau. Sekurang-kurangnya, Izwan tak ada tarik lengan aku atau tampar peha aku.” Aku lepaskan segalanya malam itu. Aku nak dia tahu, fikir dan ingat segala rasa cemburu yang pernah membuat aku rasa separuh gila dulu.

“Yalah, aku minta maaf ni. Lupakanlah hal yang dulu-dulu tu. Jangan ungkit lagi,” pujuknya lembut.

“Okey, aku pun bukannya sengaja tadi. Tapi kalau aku tak keluar minum dengan Izwan, sampai sekarang aku tak tahu perasaan dia pada Nina.”

“Aku dah faham,” katanya cepat.

Aku lega. “Lupakan sajalah. Just another corner?” Belum sempat, Zaki menjawab, aku terdengar suara yang riuh rendah berdekatan dengan Zaki. Serta-merta aku berpeluh sejuk, hidung rasa tersumbat. “Kau, kat mana ni?” Jantungku mengepam laju.

Zaki bergumam bagai payah benar untuk menjawab.

“Zaki…cepatlah…” Aku dengar suara perempuan merengek manja. Kepalaku terus pening.

“Zaki! Kau kat mana tu?” desakku lagi. Nafasku sampai terhenti. Dadaku rasa nak pecah.

“Aku kat rumah Hafiz. Ada birtday party kawan.”

“What? You!!!” jeritku sekuat hati, sambil melihat saja telefon bimbitku menghentam dinding. Aku menangis semahu-mahunya.