Wednesday, August 24, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 17


MATA Tina membulat. Tidak berkelip dan tidak berkalih. Dia merenung tajam wajah Sherry yang tersenyum manis di hadapannya. “Dua puluh ribu?”
Sherry angguk sambil mengangkat kening. Dia tahu Tina pasti tidak pernah menyangka bahawa Azmi mempunyai duit sebanyak itu. Suasana di pejabatnya terasa tegang dan hangat.
“Banyak juga duit tauke ikan masin ni ya?” Tina tersenyum sinis sambil bersandar tenang.
Sherry angkat bahu. Malas membalas sindiran Tina. Biarlah Tina mahu berkata apa pun, yang pentingnya dia dan Azmi akan tetap disatukan tidak lama lagi. Hatinya terasa damai dan hangat.
“Jadi papa kau setujulah ya?”
“Papa sudah tetapkan tarikh untuk majlis pertunangan dan perkahwinan,” balas Sherry. Senyumannya belum surut. Kalau boleh dia ingin tersenyum sepanjang masa. Tiga hari lepas perkara itu sudah diputuskan setelah mengambil kira hari cuti dan semua perkara. Dia juga sudah menyampaikannya kepada Azmi yang kebetulan menelefonya.
Tina tersenyum lantas menggeleng. “Kerana dua puluh ribu papa kau sanggup bersetuju? Baru dua puluh ribulah… bukan dua ratus ribu.”
“Apa masalahnya?”
“Dua puluh ribu mungkin dia boleh cari tetapi selepas itu? Sedangkan rancangan papa kau aku kira akan mencecah kos ratusan ribu ringgit, bukan? Sanggup ke dia?”
Sherry terdiam seketika. Dia tidak menafikan kata-kata Tina itu benar tetapi dia yakin Azmi boleh melakukannya. “Azmi sudah kata dia boleh. Aku yakin dia boleh.”
“Selagi ada mulut, selagi itu boleh bercakap. Realitinya?” balas Tina.
Sherry mengeluh. Lemah semangatnya sekejap. Hilang perasaan yang berkobar-kobar tadi. “Dia boleh buat. Dia mesti boleh,” jawabnya lemah.
“Well, aku bukan nak lemahkan semangat kau. Eloklah kalau kau dapat berkahwin dengan orang yang alim macam tu tapi di dalam dunia sekarang ni, takut yang alim-alim kucing saja yang ramai.”
Sherry menjeling tajam. Hatinya mula panas. “Azmi  tak macam itulah. Kalau dia berniat jahat, dia tak tinggal di pulau terpencil tu. Lagipun dia bukan tak ada pelajaran. Dia ada degree tau.”
“Oh! Ada degree rupanya…” balas Tina. “Well… aku ucapkan tahniah sajalah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam,” kata Tina sambil bangkit meninggalkan kerusi.
“Untung mutiara… walau terbenam di dasar laut, harganya lumayan,” balas Sherry. Puas hatinya.
Tina terkedu. Tanpa suara, dia melangkah meninggalkan pejabat itu.
******
SEDANG dia sibuk menyiapkan kerja-kerjanya, telefon bimbitnya berbunyi pula. Sebaris nombor asing tertera di situ. Sebaik sahaja dia menjawab salam, dia tersenyum. “Azmi!”
“Sherry apa khabar?” Suara Azmi tetap tenang seperti selalu.
“Sihat.” Sherry tersenyum lebar. Degupan jantungnya makin laju. Setiap kali dia mendengar suara itu, dia terasa begitu bahagia. “Nombor telefon siapa ni?” Daripada nombornya dia tahu itu nombor telefon bimbit.
“Saya punya, baru beli semalam,” balas Azmi.
“Baguslah macam tu. Tak payah pakai telefon awam lagi. Awak di mana ni?” Telinga Sherry dapat menangkap bunyi yang riuh-rendah di sebelah sana.
“Di rumah saudara. Ada kerja nak diuruskan sikit. Saya telefon ni cuma nak beritahu yang keluarga di sini sudah bersetuju untuk ke sana pada tarikh tersebut. Jadi rasanya tak ada apa-apa lagi yang perlu dibimbangkan,” jawab Azmi.
Sherry tersenyum lagi, debaran dadanya memuncak semula hingga pipinya terasa panas. Tentu Azmi ke tanah besar untuk menguruskan hal majlis itu. Kesian, dia. Namun serentak itu dia berasa amat bahagia, impiannya semakin menjadi nyata. “Okeylah, kalau macam tu, kita jumpa di majlis nanti. Jangan lupa pakai baju warna ungu muda tau. Barang-barang hantaran yang lain ada di butik yang saya cakapkan dulu. Semuanya mereka sediakan. Cuma bayar sahaja pada mereka.”
“Baiklah. Itu sahaja. Assalamualaikum.”
Sherry segera menjawab salam. Walau hatinya belum puas mendengar suara Azmi tetapi apakan daya kerana begitulah sikap pemuda itu. Percakapannya hanya perkara yang perlu sahaja. Tidak ada basa-basi, tidak ada pujuk rayu. Belum pernah Azmi melontarkan kata-kata cinta mahupun angan-angan tentang masa depan mereka berdua. Secuit hatinya terusik.
*****
PADA sebelah malamnya, Azmi melangkah bersendirian ke hujung tanjung. Dia memanjat  batu-batu di situ lalu duduk merenung laut yang hitam pekat seperti kebiasaannya. Dia melihat bulan terang. Dia mengira bintang-bintang. Dia damai seketika dipeluk angin malam. Ingatannya terlontar jauh ke belakang.
“Kenapa kamu pilih budak tu? Kenapa bukan Khadijah anak tok imam?” tanya Pak Jusuh semasa selesai mereka mengadakan kenduri arwah untuk Tok Imam pada minggu lalu. Wajah Khadijah yang muram masih terbayang jelas di matanya.
Dia menghela nafas berat. Dia sedar itulah harapan orang-orang di situ. Ramai yang mahu dia mengambil Khadijah sebagai isteri dan seterusnya menggantikan tempat tok imam di pulau itu. Dia tahu tetapi soal ini adalah soal peribadinya. Biarlah dia memilih dan menanggung akibatnya. “Tidak ada apa yang salahnya dengan Khadijah itu, Pak Jusuh.” Dia diam seketika. Matanya merenung laut gelap seperti malam itu juga. “Cuma mungkin jodoh saya bukan dengan dia.”
Pak Jusuh mengeluh panjang. “Kasihan dia. Sedihnya berganda-ganda.” Matanya ralit memerhati Khadijah yang sibuk mengemas dulang selepas kenduri itu berakhir.
Azmi menelan liur. Dia faham apa yang dimaksudkan Pak Jusuh. Bukan dia tidak kasihan cuma tidak terfikir di benaknya untuk mengambil Khadijah sebagai isteri. Apalagi sewaktu sedang sibuk mahu bertunang dengan Sherry.
“Lelaki boleh pasang empat. Apa masalahnya?” Pak Jusuh tersenyum sehingga menampakkan sebaris gigi tua yang tinggi rendah.
“Pak Jusuh pun boleh,” jawab Azmi sambil tersenyum.
Pak Jusuh tergelak besar. Wajah riang Pak Jusuh apabila diusik begitu masih kekal jelas di ingatannya saat itu. Bukan soal boleh ataupun tidak boleh tetapi soal kemampuan yang mesti difikirkan.
“Mi, betul ke…” Khadijah berbisik ketika menyerahkan sepinggan kuih talam kepadanya di kaki tangga pada malam itu.
“Jah dah tahu?” tanyanya semula.
Khadijah mengangguk. Pandangan matanya tetap dilarikan ke arah laut. Matanya yang bengkak nampak berair.
“Betul, Jah. Sebulan lebih lagi, berlangsunglah kendurinya. Jika Jah ada cuti baliklah ke sini. Kenduri kecil saja.”
“Selepas kahwin tinggal di mana?”
“Di sini. Kenapa?” tanyanya pula.
“Pak Jusuh kata permohonan untuk mendapatkan pengganti arwah ayah belum diluluskan. Kalau awak tak ada, susahlah sikit penduduk di sini. Siapa yang nak memimpin mereka?”
Azmi tersenyum. Dia tidak pasti sama ada benar itu yang dirisaukan Khadijah ataupun bukan. Biarlah dia bersangka baik sahaja. “Sherry sudah setuju untuk tinggal di sini. Selagi saya boleh membantu, saya akan bantu dengan izin tuhan.”
Khadijah mengangguk laju. Wajah Azmi tetap tidak dipandang. “Selamat… Selamat berbahagia. Sampaikan salam ‘Assalamualaikum’ saya kepada bakal isteri awak. Saya tidak boleh berjanji yang saya akan balik semasa kenduri itu nanti.” Dia berpaling dan naik ke rumahnya semula.
Azmi hanya memandang. Buat kali pertamanya dia melihat wajah Khadijah yang begitu muram dan dingin. Dia tahu Khadijah kecewa dan kecewa itu hanyalah satu penyakit hati. Seandainya Khadijah sedar dia diperdaya nafsu, dia yakin Khadijah akan pulih.
Angin malam menderu-deru. Ingatannya kepada Khadijah terus hilang begitu sahaja. Bukan dia tidak mempedulikan Khadijah. Bukan dia memuja bintang di langit hingga lupa pasir di bumi cuma pada waktu itu hanya Sherry yang membuat siangnya gelisah dan malamnya resah. Dia hanya mencari kedamaian yang hilang tatkala kali pertama gadis itu memijak pulau itu. Fahamilah hatinya.








Tuesday, August 16, 2011

Teaser: ERTI CINTA Bab 3


Bab 3
CUACA yang terang di sebelah siang berterusan hingga ke malam. Langit masih terang, hingga bulan dan bintang tampak tersusun di dada langit. Bagaimanapun, tempat itu tetap sunyi. Tidak ada bunyi kenderaan yang lalu-lalang ataupun bunyi suara penghuni-penghuni yang lain. Pendek kata yang ada hanyalah bunyi alam, bunyi angin dan sesekali bunyi kapal terbang yang terbang melintas. Yang lain tidak ada. 
“Jangan shopping lama-lama, aku penatlah,” rengek Anis sambil menunggu lif untuk turun ke bawah. Keletihan berpindah dan turun naik tangga siang tadi masih terasa-rasa di tubuhnya. Urat kakinya bila-bila masa saja akan kejang tanda terlebih aktif. Namun kerana Maria terus mendesak, dia jadi tak sampai hati menolak.
“Alah, kita beli makanan sikit untuk sarapan esok. Kalau tak, kau turun cari sarapan, nak?” balas Maria balik.
Anis hanya mengeluh. Nak turun naik tu yang malasnya. Mulalah terbayang di fikirannya untuk menyimpan stok air dan makanan banyak-banyak tapi duit pula tak berapa banyak. Dia tergaru-garu. “Kita nak ke mana ni?”
“Kita tengok kat kedai runcit kat depan tu. Kalau dah tutup, kenalah kita ke mana-mana Seven Eleven.”
“Okeylah, tapi ingat pesan mak cik tu. Malam-malam ramai budak nakal di sini.” Dia masih mencari helah agar Maria tidak berlama-lama membeli-belah. Maria, kalau dalam hal begitu, memang tidak tahu penat, laju saja dia berjalan.
“Eleh, yalah tu. Entah-entah dia curiga kat kita.”
“Curiga apa pula?” Anis menarik lengan Maria. Tidak terfikir pula apa yang Maria fikirkan itu.
“Yalah, kau takkan tak pernah baca? Selalunya ramai orang dating kat tangga flat malam-malam.”
“Ooo…lantaklah. Janji bukan kita,” jawab Anis. Dia menonong sahaja keluar dari pintu lif sebaik pintu terbuka. Namun langkahnya terhenti. Seorang kanak-kanak perempuan berdiri tidak jauh dari situ sambil menangis. Dia tergamam.
“Eh! Anak siapa pula ni?” tanya Maria dengan cepat. Dia melangkah mendekati gadis comel itu. “Kenapa adik nangis? Kenapa tak balik rumah lagi? Dah lepas Maghrib ni.”
Anis hanya terdiam memerhati. Sesekali anak matanya bertembung dengan anak mata gadis kecil itu yang tajam merenungnya.
“Adik tahu rumah adik tak?” Maria terus bertanya.
Gadis kecil itu mengangguk. Jarinya menunjuk ke atas flat itu.
“Tahu nak naik atas?”
Gadis itu mengangguk.
“Habis tu, buat apa menangis di sini? Pergilah balik,” suruhnya.
Gadis itu tidak berlengah, terus sahaja masuk ke dalam lif dan menekan butang.
“Anak siapalah tu.” Maria bersungut. “Dah malam-malam macam ni, mak ayah dia tak sibuk cari suruh balik lagi. Kalau aku dulu, dekat je pukul 7.00 malam, dah kena tempik. Kalau lewat je, siap kena rotan.”
“Aku pun sama. Tapi zaman sekarang ni, anak orang dah berlebih-lebih. Tu yang jadi tak kisah kut,” sampuk Anis. Hatinya tercuit rasa lucu.
Maria ketawa. “Bab itu aku no commentlah.”
“Nak ke mana, malam-malam ni?” tegur satu suara dari dalam gelap. Susuk tubuh itu semakin mendekati mereka.
Anis dan Maria tersentak. Langkah mereka terpaku di simen. Namun sebaik susuk tubuh itu menjadi lebih jelas dek sinaran lampu di hadapan pintu lif, mereka berasa lega.
“Nak pergi kedai,” jawab Maria sambil tersenyum.
Senyumannya berbalas. Seorang lelaki bertubuh kurus datang sambil menolak sebuah motorsikal. Helmetnya sudah siap bersarung di kepalanya. “Ooo… kedai kat depan tu dah tutup. Kena pergi kedai dekat simpang sana.”
Maria mengangguk. “Kedai dah tutup ke? Baru pukul 8.30 malam”
Joe mengangguk. “Malam Ahad, tutup cepat.”
“Ni nak ke mana pula?” tanya Maria lagi.
“Merempitlah, apa lagi. Nak tengok wayang pun tak ada awek.” Joe tersengih sambil menjeling ke arah Anis.
Maria ketawa. Anis hanya berpaling ke arah lain. Biasalah tu…mulalah menyusun ayat nak mengorat, kata hatinya.
“Kau orang ni, tinggal berdua je ke?” tanya Joe pula.
“Ha’ah, tinggal berdua. Kenapa?” Maria mendekati motor Joe.
“Tak adalah, pelik juga. Jarang ada girls macam kau orang yang tinggal berdua je di sini.”
Anis berpaling semula. “Apa yang peliknya? Kami bayar sewa, kami tinggallah sini.” Hatinya mula panas. Dia benci betul pada persepsi masyarakat yang melulu. Apa yang pelik pula? Kan dah biasa girls menyewa beramai-ramai? Boys pun buat macam tu juga.
Joe tersenyum. Soalan Anis tidak dijawab, sebaliknya dia berpesan, “Jangan balik lewat sangat.” Matanya tak lepas dari menatap wajah Anis. Tali helmet ditarik ketat-ketat.
“Ikut suka oranglah,” balas Anis cepat. Entah kenapa, dia kurang senang melihat cara Joe memandangnya. Macam nak menelan dia hidup-hidup pula.
Joe hanya mengangkat bahu, langkahnya diatur semula.
“Eh! Joe. Tadikan ada budak kecil menangis kat sini. Entah anak siapa.” Maria memotong perbualan Anis dengan Joe.
“Budak kecil?” Joe bergumam perlahan. “Dalam usia 5 tahun?” tanyanya lagi.
Maria segera mengangguk.
“Pakai baju merah muda? Rambut dia lurus sampai ke pinggang?” tanya Joe bertalu-talu.
Mata Maria membesar. Anggukannya makin kencang. “Betul. Betul.”
“Ooo…budak tu.” Joe mengangguk. Dia termenung seketika. “Tak apa, dia memang biasa menangis di sini. Kalau jumpa lagi, jangan layan je.” Enjin motornya dihidupkan. Berderum-derum. Berkepul-kepul asapnya yang keluar.
“Jangan layan?” tanya Maria balik tapi Joe sudah memecut laju dan hilang di balik selekoh. Tinggal Maria terpinga-pinga.
Anis menggeleng. Bunyi pecutan motor Joe masih boleh didengar sampai ke situ walau bayangnya sudah lama hilang. Hilang juga segala rasa sunyi sepi di situ. Dia dan Maria saling berpandangan, mungkin sangkaan mereka tentang tempat itu akan meleset jauh. 
*****
Urat perut Anis terasa sejuk dan kejang. Nafasnya pun perlahan sahaja keluar masuk. Dia seolah tak berani untuk bernafas lebih laju, apatah lagi untuk membuka mulut. Setiap saat, dia mengharapkan agar jalan kecil yang kelam itu bertemu penghujungnya.
Seingat dia, semasa melalui jalan itu pagi tadi, jalan itu tidaklah terlalu panjang tetapi entah kenapa ketika itu, dirasakan sangat berbeza. Jalan kecil yang berlopak-lopak itu seolah tidak ada hujungnya atau kerana Maria yang memandu dengan amat perlahan. “Kenapa ni?”
“Jalan ni banyak lubanglah, lampu jalan pulak tak ada,” terang Maria.
Dahi Anis berkerut. “Kenapa malap je lampu kereta kau? Macam tak ada lampu sebelah je.”
“Ha’ah, aku ingat aku aje yang perasan macam tu. Dah terbakarlah tu,” rungut Maria pula.
“Bawa jelah perlahan-lahan, nanti sampai juga,” kata Anis untuk memujuk debaran di dadanya yang semakin kuat. Semak-samun setingga lelaki dewasa di kiri kanan jalan kecil itu semakin menambah sesak di dadanya. Kalaulah ada apa-apa yang meloncat keluar dari situ, alamatnya dia pengsan dulu.
Setelah hampir setengah jam melalui jalan itu, baru mereka berjaya keluar ke tepi jalan besar. Namun kelegaan itu tidaklah lama, kerana kedai yang dituju pula telah tutup. “Kita cari 7 Eleven sajalah,” kata Maria sambil menghela nafas. Perjalanan yang pendek kini bertambah panjang.
Anis mengangguk sahaja. Ke manapun dia tidak kisah asalkan dapat balik dengan selamat. Entah kenapa. Hatinya seperti berat untuk meninggalkan rumah sewa itu, macam hatinya dipanggil-panggil untuk segera pulang semula. “Cari yang dekat jelah”
Maria langsung menjeling. “Kenapa kecoh nak balik? Rumah tu bukan pandai lari,” katanya sambil ketawa.
Wajah Anis begitu ceria. “Aku sukalah rumah tu. Seronoknya dapat tinggal berdua je. Dah tak payah nak berebut bilik air atau apa-apa lagi.” Dia tersenyum panjang.
“Ha’ah, lapang otak aku. Lagipun bukannya jauh sangat dari kolej. Kalau kolej sewa rumah pangsa tu kan bagus? Beli terus ke,” sahut Maria pula.
“Ooo… jangan. Kalau kolej beli, alamatnya tempat tu bisinglah jadinya. Bila dah ramai-ramai nanti, sekejap datang rumah, sekejap datang bilik. Apa bezanya lagi dengan rumah sewa lama?”
Maria mengeluh perlahan. “Kita ni macam keluar dari ladang. Baru nak bernafas.”
“Tahu pun. Dah jangan bising-bising dengan orang lain. Kalau mereka tak tanya, jangan cerita,” pesan Anis lagi sebaik kereta mereka berhenti di hadapan sebuah 7 Eleven.
*****
Sebaik saja pulang dari kedai mereka berdua melakukan operasi memunggah barang-barang. Walau tidak sebanyak mana, namun perlu dibuka juga. Kotak-kotak buku diletakkan di ruang tamu, hanya beg pakaian sahaja yang diheret ke dalam bilik.
“Ada cadar tak?” tanya Anis sambil menyelongkar beg pakaiannya. Baju-bajunya sudah digantung di dalam almari plastik mudah alih yang dipasang semula dengan bantuan Maria tadi. Tinggal barang-barang lain sahaja yang masih bertabur di atas tilam dan lantai. Entah di mana mahu diletakkan, dia sendiri tidak tahu. Kebanyakkannya adalah majalah dan beberapa cenderamata yang didapati dari kolej. Kepalanya mula pening, kalau dalam hal berkemas ni… dia memang kurang cekap.
Maria ketawa. “Mata kau dah kelabu ke? Bukan ke tilam tu dah ada cadar?” Dia memuncungkan bibirnya ke arah tilam yang terbentang di antara mereka.
“Aku bukan nak letak kat tilam ni, tapi nak tutup pintu kaca kat luar tu, terang sangatlah. Nasib baik tak ada flat lain di belakang tu. Kalau tak, nampak direct kat kita.”
“Cakaplah terang-terang.” Maria bangkit menyelongkar kotaknya pula. “Yang ni boleh kut. Bukan cadar tapi selimut. Asal boleh tutup sementara waktu, jadilahkan.” Selimut warna biru muda itu dihulurkan kepada Anis.
“Bolehlah ni, sementara kita dapat beli langsir.”
Mereka berdua bangkit meninggalkan bilik tidur lalu memasang lampu ruang tamu. Serta-merta ruang itu menjadi terang-benderang disinari cahaya dari lampu kalimantang empat kaki panjangnya. Dari muka pintu bilik lagi, mereka berdua boleh melihat kerlipan lampu di ibu kota melalui pintu kaca yang menghala ke beranda. Mereka langsung mendekat sambil membawa selimut tadi.
 Kain selimut itu disangkut sahaja di hujung rel penyangkut langsir dan disepit dengan penyepit baju. Kain itu tergantung kira-kira dua kaki dari atas. “Ah! Bolehlah tu, dari tak ada langsung,” kata Anis lagi. Maria sudah menonong masuk semula ke bilik tidur, Anis lantas meninggalkan ruang itu dan menutup lampu.
“Bila pulak kau kenal dengan Joe tadi tu? Aku nampak, kau macam baik je dengan dia?” Soalan itu akhirnya terluah juga dari bibir Anis. Sedari tadi, dia ingin bertanya namun tidak ada waktu yang sesuai. Kerana setahu dia, Maria pun bukan biasa dengan tempat itu. Sambil menunggu jawapan Maria, dia menelentang di atas tilam, kerja mengemas ditangguhkan sahaja.
Maria tergelak. “Mestilah buat baik. Senang-senang boleh call aje, kalau nak order  mee goreng.”
“Dia anak mak cik café tu ke?” tanya Anis sambil mengangguk perlahan. Baru dia tahu siapa Joe yang sebenarnya.
“Ha’ah. Aku kenal dia masa beli nasi tadi. Kau pula sibuk melayan emak dia.”
“Mak dia, nampak garang kan? Seram aku apabila dia pandang. Macam nak telan aku pun ada,” kata Anis sambil merenung siling putih di atas kepalanya. Tiba-tiba, terbayang-bayang pula renungan tajam ibu Joe tadi. Ish! Anak dengan mak sama je. Pandang orang macam nak makan hidup-hidup.
“Dia takut kau tackle anak bujang dia kut,” usik Maria. Dia duduk bersandar ke dinding. Majalah yang baru disambar dari kedai 7-Eleven tadi dibelek-belek.
“Eh! Aku ke kau? Siapalah nak tackle anak dia tu. Tak ingin aku.” Anis menarik muka.
“Yalah... hati kau kan dah tersangkut dengan orang di atas tu,” usik Maria lagi. Bagai tahu-tahu saja apa yang bergelora di hati Anis saat itu.
“Ha’ahlah… apabila kau sebut aje, aku baru teringat.” Dia meniarap pula sambil memangku dagu. Kakinya bersilang dan bergoyang-goyang senang.
“Teringat apa?”
“Aku rasa peliklah tengok mamat tu. Pakaian smart, kasut smart. Bau pula wangi. Ada kelas tapi kenapa nak tinggal di sini pula? Sepatutnya orang macam tu tinggal di apartment mewah yang sewanya beribu-ribu tu.” Mulut Anis kembali riuh.
Maria tergelak besar. “Ala, apa nak dihairankan di KL ni, biar papa asal bergaya tau. Biar rumah buruk, orang tak tahu. Tapi kalau berjalan, biar smart. Biar orang ingat kita tinggal dalam istana.”
Anis tersengih. “Hipokritnya, tapi aku rasa peliklah tengok dia.”
“Pelik lagi. Engkau kalau tak tahu sampai ke akar umbi, itu bukan engkau. Kalau jumpa nanti, engkau tanyalah betul-betul. Asyik pelik itu, pelik ini.” Maria merungut panjang.
“Masalahnya, bila aku dapat jumpa dia lagi?” Anis menggaru kepala.
“Hai…baru jumpa sekali dah angau? Kau biar betul.” Sebiji bantal kecil dicampakkan ke arah Anis.
Anis tersentak. “Kau tak nampak ke apa yang aku nampak?”
“Nampak apa?” tanya Maria semula.
“Dia handsome lah…cair hati aku.”
“Handsome macam mana pun, bukan mata kau seorang je yang nampak tau. Berduyun lagi girls dalam Kuala Lumpur ni yang nampak. Jangan hati kau cair masuk longkang, sudahlah.”
“Hish! Cair masuk longkang katanya. Tak kisahlah tu. Yang pentingnya, tak pernah hati aku cair begitu cepat macam tu. Inilah first time aku rasa, aku jatuh cinta pandang pertama.” Dia menyembamkan muka ke tilam, malu pula mengaku begitu. Nasib baik dengan Maria, kalau dengan orang lain…mana nak letak muka?
Maria tergelak besar. Sebiji lagi bantal dilemparkan ke muka Anis. “Cinta pandang pertama, konon.”
“Kenapa? Tak boleh ke? Kalau dah ada ayat tu, mesti benda tu wujud.” Dia tersengih.
“Boleh. Elok juga kalau betul. Kau pun dah makin tua, belum juga ada pakwe. Kesian kau,” balas Maria sambil beriya-iya membuat muka kesian.
Kali ini Anis tidak berdiam diri. Dua biji bantal dibaling sekali gus. Bilik itu menjadi riuh seketika dengan gelak ketawa mereka. “Tapi, aku cakap betul ni. Aku suka tengok muka dia. Rasa nak pandang lama-lama tau,” sambung Anis lagi sebaik gelak mereka hilang. Terbayang-bayang di matanya wajah Danny yang putih bersih. Tak usahkan jerawat, segaris calar pun tak ada.
“Angau dah tu…esok kau tunggu dia kata depan lif tu ya. Mana tahu dia turun ke, naik ke.”
“Elok juga tu.” Mata Anis membesar.
“Buk!” Sebiji bantal yang besar kembali hinggap di kepalanya. “Jangan buat malu aku!” tempik Maria. Sekali lagi bilik itu kembali riuh.
Di Tingkat 15, Danny termenung sendirian memandang langit. Seperti bulan, dia juga sunyi tak berteman.



Saturday, August 13, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 16


Ruang tamu rumah banglo dua tingkat itu sunyi. Tidak ada sesiapa di situ melainkan Azmi dan seekor kucing parsi berwarna putih yang sedang nyenyak tidur tidak jauh darinya. Sudah terlalu lama dia tidak ke situ, jika bertemu Pak Andak Kahar dan Mak Andak Nani pun hanya jika terserempak di bandar. Akan tetapi, hari itu dia melangkah ke situ dengan reda. Ada sesuatu yang ingin diselesaikan.

“Azmi…,” tegur Pak Andak Kahar di muka pintu. Pada wajahnya terbayang riak kehairanan apabila melihat Azmi ada di situ.
Azmi bangun daripada kerusi dan tersenyum. Dia menghulurkan salam. “Pak andak…”
“Duduklah. Dah lama sampai? Mak andak kamu mana?” Bertalu-talu Pak Andak Kahar menyoal. Dia menjenguk ke dapur sekilas sebelum memerhati cawan Azmi yang hampir kosong.
Azmi tersenyum tenang. Dia memerhati gelagat Pak Andak Kahar yang seolah kelam-kabut dengan kehadirannya ke situ. “Tak apalah. Mak andak sibuk di dapur. Saya pun baru saja sampai. Maaflah kalau kedatangan saya mengganggu pak andak.”
Barulah Pak Andak Kahar tersenyum. “Tak mengapa. Aku cuma ke belakang rumah menjenguk kebun pisang aje. Kamu nak ke mana ni?”
“Tak ke mana pak andak. Saya datang ni nak jumpa pak andaklah.”
“Jumpa aku? Kenapa?” Dahi Pak Andak Kahar berkerut.
“Saya nak bertunang pada bulan depan.”
“Bertunang?” Tubuh Pak Andak Kahar tertarik ke depan. Dia merenung Azmi. “Dengan siapa? Dengan orang di pulau tu?”
Azmi menggeleng. “Dengan orang jauh, pak andak. Orang KL.”
Pak Andak Kahar terangguk-angguk. “Baguslah.” Dia mengusap pehanya lambat-lambat seolah sedang berfikir keras. “Kamu datang ni nak ajak pak andak pergi meminang ke?”
Azmi ketawa kecil. Pertanyaan itu ada benarnya juga. Walaupun dia dan Abang Osman kurang mesra dengan Pak Andak Kahar, orang tua itu tetap saudara dekat dengan mereka terutamanya dia. “Kalau pak andak lapang pada hari tu, jemputlah ke sana sekali.”
“Nanti beri tahu pak andak tarikhnya. Sudah ditetapkan ke?”
Azmi menggeleng. Dia tunduk seketika. Sesak dadanya untuk memberitahu hal yang sebenar maksud kedatangannya ke situ. Lalu dia menghela nafas dalam-dalam, dia serahkan kepada yang Esa. “Pak andak, tentang tanah tu… pak andak masih mahu lagi tak?”
Pak Andak Kahar tersentak. Besar matanya merenung Azmi. Setelah hilang terkejutnya dia bersuara. “Azmi nak jual ke? Semua?”
Azmi tidak terus menjawab. “Yang tanah tepi jalan tu saya nak lepaskan. Yang tapak rumah tu tidak.”
“Begitu?” Pak Andak Kahar termenung. “Kalau Azmi mahu lepaskan, pak andak suka sangat. Dah lama pak andak nak majukan tanah tu. Kalau boleh tapak rumah lama tu pun pak andak mahu. Pak andak nak buka stesen minyak.”
Azmi menarik nafas pendek. “Saya sayang tapak rumah tu. Manalah tahu kalau esok lusa saya nak tinggal di sini pula?”
“Alah, lebih baik kamu beli rumah baru dengan duit jual tanah tu. Sekarang dah banyak taman perumahan baru. Cantik-cantik rumahnya.”
Azmi mula berasa serba-salah. Dia sayangkan tapak rumah lama itu. Walaupun rumah lama yang dibina arwah ayahnya sudah runtuh tetapi kenangan yang terpahat di situ tidak pupus.  “Sayanglah, pak andak.”
Pak Andak Kahar menggeleng. “Buat apa dikenang apa yang telah berlaku? Azmi pun dah nak kahwin. Lagipun entah bila Azmi nak gunakan tanah tu. Sebelum jadi hutan belantara, lebih baiklah pak andak majukan. Kalau Azmi nak jadi rakan kongsi pak andak pun boleh.”
Azmi terkejut. Itu tidak pernah langsung ada di fikirannya selama ini. Soal harta benda dan kemewahan hidup bukan tumpuannya apalagi mahu membuka sebuah stesen minyak di pinggir bandar itu.
“Azmi, jangan risau. Biar pak andak uruskan. Mi cuma setuju saja. Macam mana?”
Azmi belum dapat membuat keputusan. “Tanah ladang tu… macam mana?”
“Yang itu pak andak beli. Kalau sempat, selepas makan nanti kita ke pejabat tanah. Mi ada bawa gerannya?”
Azmi angguk. Walaupun hatinya berat, dia terpaksa. Jika itu jalan yang ada, dia akan ikut.
“Bagus. Kita makan dulu. Selepas tu ke sana.” Pak Andak Kahar tersenyum lebar sambil menepuk bahu Azmi.
Azmi tersenyum kelat. Harta dunia hanyalah harta dunia. Tidak pernah memberikan ketenangan di hatinya. Dia pasrah melepaskan segalanya demi Sherry.

******

Pukul 6.00 petang, Azmi sudah berada semula di jeti. Bot terakhir yang menuju ke Pulau Damai belum tiba. Dia di situ berdiri menghadap laut lepas sambil memerhati kesibukan di jeti itu. Sudah banyak perubahan, sudah banyak pembaharuan. Segalanya tidak kekal.
“Mi, tahniah!” Satu suara menegur Azmi dari arah belakang.
Azmi menoleh. Debar di dadanya menyurut. “Nak balik ke pulau ke?” Dia bertanya sebaik menyedari siapa yang menegurnya. Namun senyuman di bibir Hasan membuatkan dia ikut tersenyum.
Hasan memaut bahu Azmi. Mereka sama-sama merenung laut lepas di hadapan mereka. “Ke mana lagi. Bila kendurinya?” Dia renung wajah Azmi.
Azmi tersenyum tenang. Dia menjenguk anak ikan di kaki jeti. Dia makin biasa dengan usikan dan pertanyaan tentang hal peribadinya. Di rumah Pak Andak Kahar tadi pun puas dia mendengar Mak Nani berleter panjang. Ternyata soal nikah kahwin bukan satu soal yang boleh disorok-sorok. Mungkin ada penduduk Pulau Damai yang telah menyampaikannya kepada Hasan. “Belum tetap lagi.”
“Eh! Aku dengar orang kata bulan depan?”
“Bulan depan bertunang, sebulan selepas tu kahwin,” balas Azmi. Baru dia sedar cerita yang tidak betul sudah tersebar jauh.
“Kenapa bertunang sekejap sangat? Baik kahwin saja terus.” Hasan ketawa kecil. Giginya nampak putih bersih berbanding kulit mukanya yang sawo matang.
“Itu permintaan keluarga Sherry. Aku cuma memenuhi permintaan mereka saja.” Dia menarik nafas panjang. Dia yakin tanpa diberitahu pun Hasan sudah tahu dengan siapa dia akan bertemu jodoh.
“Sampai juga jodoh kau dengan budak tu kan? Kawan dia yang tak senonoh tu macam mana? Apa khabar?”
Azmi tersenyum. Serta-merta dia memahami siapa yang dimaksudkan Hasan namun tidaklah dia tergamak untuk melabelkan manusia lain seperti itu. “Entahlah, sejak mereka balik ke sana aku belum pernah jumpa Tina. Sherry pun tak cakap apa-apa pasal dia.”
“Mungkin inilah yang dikatakan orang… asam di darat, ikan di laut. Di dalam periuk bertemu juga.”
“Jodoh pertemuan kan di tangan tuhan?” tanya Azmi.
“Mujurlah kau berkahwin dengan Sherry. Kalau dengan Tina, aku terjun ke laut,” balas Hasan.
“Tak baik kau cakap macam tu. Jika ditakdirkan jodoh kau dengan Tina, kau takkan berdaya mengelakkannya.”
Hasan merenung muka Azmi. “Aku sebenarnya terperanjat mendengar cerita ni pagi tadi. Aku rasa tak percaya yang kau boleh serius dengan Sherry.”
Azmi tersenyum. “Kenapa pula? Semuanya dengan izin tuhan.”
Hasan menarik nafas lagi. “Tu sebab aku kata mujurlah. Sebab seingat aku semasa di pulau hari tu, Sherry ni baik budaknya walau kawannya tu pernah nak mengenakan dia.”
“Apa maksud kau?”
Hasan pun bercerita tentang rancangan Tina untuk mengenakan Sherry semasa menginap di Pulau Damai beberapa minggu yang lalu. “Tapi Sherry marah aku.” Dia menghabiskan ceritanya.
Azmi mendengar dengan teliti. Walau terasa kulit mukanya panas namun dia cuba bersabar dan memahami situasi itu dengan tenang. “Alhamdulillah, syukur kerana tuhan melindungi dia. Kau pun satu… kalau datang ajakan seperti itu lagi, ingatlah dosa pahala sikit.”
Hasan tersengih sambil terangguk-angguk. Mungkin terkena tepat ke batang hidungnya pula.
“Nanti, jadilah pengapit aku,” sambung Azmi sebelum melangkah masuk ke dalam bot yang baru tiba.
“Insya-Allah,” balas Hasan seraya mengangkat tangan.
Selepas memberi salam, Azmi menghilang ke dalam perut bot bersama penumpang-penumpang bot yang lain. Di tempat duduk, dia termenung lagi. Walaupun rasa cemburunya bergetar apabila mendengar apa yang diceritakan Hasan tadi, jauh di sudut hatinya bangga kerana Sherry masih tahu memilih apa yang betul dan apa yang salah. Dia berasa yakin Sherry masih boleh dibimbing menjadi seorang isteri yang solehah kelak.
*****

“Apa!?” Puan Mila terjerit. Matanya buntang tidak berkelip. Dia merenung wajah Sherry bagaikan sang helang merenung musuhnya.
“Kenapa mak terjerit?” tanya Sherry. Pandangan matanya berlari-lari di antara wajah ibunya dan wajah ayahnya. Reaksi kedua-duanya membuat dia berasa tidak sedap hati.
“Betul ke dia cakap macam tu?” Puan Mila bertanya lagi sambil duduk di sebelah Tuan Jamil dengan tergesa-gesa.
“Iyalah, mak. Dia yang telefon Sherry petang tadi. Dia cakap suruh kita tetapkan tarikh pertunangan tu supaya senang dia uruskan apa yang patut di sana.” Sherry menjawab dengan teratur dan terang. Dia berharap benar agar segalanya jelas dan tidak mengelirukan ibunya. Makin keliru makin sukar untuk diambil tindakan yang wajar.
Puan Mila memalingkan wajahnya ke arah Tuan Jamil. Lama mereka berdua bertentangan mata dalam diam. “Boleh ke dia tunaikan apa yang diminta papa tempoh hari? Nanti kata semua boleh, tapi semasa nak bertunang semuanya tak ada. Nanti mama dan papa juga yang malu…”
“Mama… dia dah kata boleh tu, bolehlah,” balas Sherry sambil menggeleng. Mudah benar ibunya membuat anggapan terhadap Azmi sedangkan dia sedikit pun tidak meragui kata-kata Azmi melalui telefon siang tadi. “Dia ada minta nombor akaun bank Sherry. Dia nak masukkan duit sebab beberapa barang untuk pertunangan tu tak ada jual di sana. Dia suruh Sherry beli di sini.”
Tuan Jamil menarik nafas. Dia menoleh ke arah Puan Mila sebentar sebelum bersuara. “Berapa dia nak beri? Setakat dua tiga ratus tu tak payahlah.”
“Dia tanya Sherry berapa yang Sherry perlukan. Sherry kata dalam sepuluh ribu. Tapi dia kata dia akan masukkan dua puluh ribu. Selebihnya dia suruh simpan untuk majlis perkahwinan nanti.”
Tuan Jamil menelan liur. “Biar dia masukkan duit dulu. Kalau betul dia masukkan dua puluh ribu ke dalam akaun Sherry baru kita tetapkan tarikh pertunangan.”
“Abang!” Puan Mila bersuara.
Tuan Jamil angkat bahu. “Kalau dia mampu, apa masalahnya?”
Puan Mila tidak menjawab sebaliknya menghentak kaki dan melangkah naik ke tingkat atas rumah itu.
Sherry hanya mengerling. Daripada nada suara ibunya dia tahu, ibunya tidak bersetuju dengan pertunangan itu. Dia sedar Azmi bukanlah lelaki yang menjadi impian ibunya untuk dibuat menantu tetapi dia yakin baik ibunya mahupun ayahnya belum mengenali hati budi Azmi lagi. Dia hanya mampu bersabar.

******
Angin dari arah laut menderu-deru. Adakalanya daun-daun nyiur bagaikan mahu sujud ke bumi. Di dalam rintik hujan, Azmi berlari anak ke rumah Abang Osman sambil menjinjing beg plastik di tangannya. Setibanya di tepi tangga rumah Abang Osman, dia melaungkan salam.
Pintu rumah Abang Osman dibuka lebar. Muncul wajah Abang Osman di muka pintu. “Naiklah, hujan tu,” pelawa Abang Osman setelah menjawab salam.
Azmi melangkah laju naik ke rumah Abang Osman. Tubuhnya  menggeletar kesejukan. Tuala kering yang dihulurkan Kak Senah disambut segera. “Ni, saya ada beli buah sikit untuk kakak.” Beg plastik yang berisi pelbagai jenis buah-buahan dihulurkan kepada Kak Senah.
Kak Senah tersenyum menyambutnya. “Nak tukar baju? Pakailah dulu baju abang. Nanti demam, susah pula.”
“Tak apalah, kak.” Azmi menolak dnegan baik. Dia lantas duduk bersila di sebelah Abang Osman di atas lantai.
“Duduklah dulu. Biar kakak buatkan kopi panas untuk kamu.” Kak Senah pun terus berlalu ke dapur.
“Macam mana? Apa yang kamu buat di seberang tadi?” Abang Osman terus bertanya.
Azmi tersenyum. Sambil memandang muka Abang Osman dia menjawab, “Alhamdulillah, bang. Semuanya dah selesai.”
“Dah selesai? Apa yang dah selesai?” Mata Abang Osman membulat.
“Saya dah minta keluarga Sherry tetapkan tarikh majlis pertunangan tu,” balas Azmi dengan tenang. Dia faham Abang Osman belum tahu keputusan mana yang diambil.
Riak wajah Abang Osman berubah lega. “Oh! Abang fikir apa tadi. Kalau macam tu, eloklah. Tapi macam mana dengan…?”
“Tadi saya jumpa Pak Andak Kahar.” Azmi pandang muka Abang Osman.
Abang Osman tersentak. Mulutnya separuh terbuka. “Buat apa?” dahinya berkerut.
Azmi menelan liur. “Saya dah lepaskan tanah-tanah tu, bang.”
Mata Abang Osman terkelip-kelip. Lama dia terdiam sebelum bersuara semula, “Mi jual pada dia?”
Azmi angguk. “Tak apalah, bang. Jika disimpan pun bukannya ada hasil. Biarlah pak andak yang majukan tanah tu.”
Abang Osman menghela nafas panjang. “Tapak rumah pusaka?”
“Yang itu tidak. Tapi saya dah benarkan pak andak majukan juga tanah tu. Dia nak buat stesen minyak.”
Abang Osman termenung seketika. “Mi lepaskan kerana…”
“Pada saya untuk mendapatkan sesuatu kita perlu mengorbankan sesuatu,” balas Azmi. “Mungkin inilah harga ketenangan yang saya perlukan sekarang.” Azmi tersenyum nipis. Itulah sahaja jalan agar dia dapat menunaikan janjinya kepada Sherry. Dia percaya jodohnya dengan Sherry memang ada.
Abang Osman mengangguk faham. “Jadi… jadilah kita ke sana ya?” Dia tersenyum lebar. Matanya bercahaya.
Azmi angguk. 

Monday, August 1, 2011

Mencari Damai Abadi : Bab 15



Sherry membelek majalah perkahwinan yang disambar daripada penjual majalah di kaki lima, sewaktu datang ke situ. Gambar-gambar pakaian pengantin di dalamnya membuatnya terpukau. Matanya juga melirik ke arah nama pereka-pereka fesyen yang  terlibat dan alamat butik mereka. Di hatinya sudah terbayang-bayang betapa seronoknya jika dia menyarung baju-baju tersebut ke tubuhnya. Sedang dia leka memasang angan-angan, dia dikejutkan oleh sapaan Tina.

“Puas aku cari tempat ni tau.” Tina menghempaskan punggung sambil menghempaskan keluhan berat. Matanya melilau memerhati suasana di Coffee House De’Yuz itu. Riak wajahnya seperti tidak selesa di tempat yang pertama kali dikunjunginya.

“Takkan baca alamat pun tak tahu,” bidas Sherry tanpa mengangkat muka daripada majalah yang ditatapnya.

Tina tidak menjawab, sebaliknya dia menjenguk apa yang menarik perhatian Sherry. Riak wajahnya berubah. Belum sempat dia membuka mulut, seorang pelayan perempuan datang mengambil pesanan. Setelah memesan minuman, Tina menumpukan perhatian kepada Sherry semula. Tangannya pantas menarik dan membelek majalah di tangan Sherry kemudian merenung Sherry dengan kening yang terangkat tinggi. “Dah confirm ke?”

Sherry angguk namun matanya masih belum membalas renungan Tina. Dia tahu Tina tidak bersetuju walau dia tidak tahu apa sebabnya. Namun sebagai kawan lama, Tina harus tahu sebelum kawan-kawan yang lain tahu mengenai hal itu. Sedikit sebanyak dia berasa kecil hati dengan sikap Tina yang tidak pernah menyokong niat baiknya.

Mulut Tina ternganga. Lama dia terdiam dengan mata yang tidak berkelip. “Are you kidding me?” bisiknya perlahan. Ada getaran halus di bibirnya.

Sherry geleng. “Why should I?”

Perlahan-lahan Tina mengatupkan mulutnya. Dia menarik nafas. “Kau gila. Kau dah gila.” Dia menggeleng kepala.

Hati Sherry mula terasa panas. Sudahlah Tina tidak menyokong langsung keputusannya, malah kini mengatakan dia gila. “Apa pula gila? Apa gilanya dengan perkahwinan yang sah? Bukankah itu baik?”

“Perkahwinan bukan perkara main-main, Sherry. Sekali kau dah jadi isteri orang, kau sudah tak ada kuasa lagi ke atas diri kau,” bentak Tina dengan wajah yang tegang. “Inikan pula kau akan berkahwin dengan lelaki yang langsung tidak sama latar belakang dan biasa dengan kehidupan kau. Kau mabuk atau kau dah buta?”

Sherry melepaskan keluhan. Terasa nafasnya hangat dan berat, seolah-olah segala perasaannya dicurahkan bersama. Dia memandang Tina dengan tenang. “Kau tak mahu tahu kenapa aku pilih Azmi? Kau tak nak tahu kenapa aku mahu berkahwin cepat-cepat dengan dia?”

Air muka Tina berubah. Dia gugup mendengar pertanyaan Sherry itu. “Kenapa? Don’t tell me yang kau dah bosan hidup.”

Senyuman kecil tersungging di hujung bibir Sherry. Air matanya berlinang. “Selama kau kenal aku… berapa kali kau tengok aku solat? Selama aku hidup, berapa kali pula aku lihat mama dan papa aku solat?”

Tina menggeleng. Wajahnya tetap tegang. “Apa pun alasannya, perkahwinan bukan jalan keluar, Sherry.”

“Kenapa tidak? Bukankah Azmi lelaki yang sempurna? Apa yang kurangnya pada dia? Harta? Apa harta boleh beri pada aku sedangkan harta yang ada di sekelilingku sendiri sudah tidak bermakna?”

Tina terdiam seketika. “Jadi maksud kau… kau kahwin dengan Azmi supaya dia boleh betulkan hidup kau? Kau rasa dia boleh jadikan kau manusia yang warak macam dia?”

“Kenapa tidak?”

“Kau belum cukup kenal dia, Sherry. Aku akui, dia mungkin seorang lelaki yang baik, yang alim, yang warak dan yang terbaik pernah kau jumpa tetapi kau tetap belum kenal dia sepenuhnya. Macam mana kalau selepas kahwin, semua yang kau harapkan, tidak jadi kenyataan? Macam mana kalau dia berubah sikap? Lagipun apa motif dia berkahwin dengan kau?”

Sherry tersentak. Dia merenung wajah Tina dalam-dalam. Dia mula merasakan sesuatu yang dia tidak suka. “Apa maksud kau, Tina?”

“Cuba kau fikir. Macam mana lelaki yang alim dan warak macam tu boleh pilih kau? Bukankah lelaki yang macam tu akan pilih perempuan yang baik-baik juga sebagai bakal isteri? Perempuan yang beriman. Perempuan yang solehah. Ini kau…” Tina terdiam seketika. “Kau tak fikir ke itu pelik?”

Sherry menelan air liur. Dadanya terasa sesak dan kulit mukanya terasa panas. Ya, dia sedar kata-kata Tina itu memang benar. Dia tidak layak untuk Azmi. Dia bukan perempuan yang solehah dan bukan perempuan yang sepatutnya menjadi pilihan. Tiba-tiba dia teringatkan Khadijah. Ya, Khadijah lebih layak untuk Azmi berbanding dirinya tetapi dia tidak dapat menolak sesuatu yang sudah ada di hadapan mata. “Kau fikir kenapa?”

Tina menggeleng lagi. Sambil merenung tepat ke wajah Sherry dia menjawab. “Sebab harta papa kau lah. Sebab apa lagi? Jika dia nak perempuan yang baik dan bertudung litup, baik dia pilih budak perempuan yang kita jumpa di pulau hari tu. Kenapa pula dia nak pilih kau yang dia baru kenal tiga hari?”

Sherry memejamkan mata namun air matanya menitik juga ke riba. Dengan pantas, jari runcingnya menyapu air mata yang turun semakin laju. Rasanya begitu hangat apabila tersentuh jari-jemarinya yang kesejukan. “Kalau seluruh harta papaku dapat membayar apa yang aku mahukan daripada dia, aku rela, Tina. Aku rela serahkan apa sahaja, asalkan dia hadir dalam hidup kami yang seolah tanpa nakhoda ini.”

Tina tersandar ke kerusi.

Sherry termenung jauh. Benarkah Azmi begitu?

*****
Sementara itu di Pulau Damai…

“Kalau begitu ceritanya…” Pak Jusuh menarik nafas panjang. Cawan yang berisi teh kosong diletakkan di atas piringnya. Dia merenung wajah Abang Osman.

Azmi berdebar-debar. Di antara rasa malu dan terpaksa, dia duduk di sebelah Pak Jusuh dengan muka yang merah padam. Jika boleh, biarlah seisi dunia tidak tahu berkenaan hal itu tetapi soal nikah kahwin, adat dan adab tidak boleh diselesaikan seorang diri. Mahu tidak mahu, semua hal perlu dibawa berbincang dengan orang-orang yang lebih tua. Maka, sebab itulah petang itu Pak Jusuh dijemput ke rumah Abang Osman lantaran tok imam masih uzur. Namun dia tahu, di saat berita itu sampai ke telinga Pak Jusuh, maka akan sampai juga ke telinga penduduk kampung pulau itu. Disebabkan itulah juga, hingga ke saat itu dia belum berdaya untuk bertentang mata dengan orang tua itu. Dia malu.

“Terpulanglah kepada Azmi. Kalau dia sanggup, kita sebagai orang tua tidak ada hal menguruskan apa yang perlu,” sambung Pak Jusuh. Lancar walaupun kedengarannya agak berat. “Macam mana, Mi? Sanggup rasanya?”

Azmi menghela nafas. Kulit mukanya masih terasa panas. Pertanyaan Pak Jusuh sungguh berterus-terang. Dia faham, sesiapa yang mendengar penjelasannya sebelum itu akan bertanyakan hal yang sama. Sanggupkah dia menunaikan semua permintaan Tuan Jamil? Atau lebih tepatnya, adakah dia mempunyai duit sebanyak itu? Namun janji tetap janji. Dia telah berjanji setelah mengambil kira keupayaannya. Lalu dengan sekali tarikan nafas, dia mengangguk.

Pak Jusuh dan Abang Osman berbalas pandang. Tanpa suara, Pak Jusuh mengesot merapati tiang rumah Abang Osman lalu bersandar tenang. Sambil membetulkan sila, dia berkata lagi. “Kalau macam tu, tetapkanlah tarikh untuk kita ke sana. Sediakan juga barang-barang yang diminta. Bukannya lama sangat lagi.”

 “Kenapa mahal sangat, Mi? Mi tak minta kurang sikit ke?” Kak Senah yang duduk bersimpuh di belakang suaminya bersuara dengan tiba-tiba. Riak wajahnya muram seolah-olah ada sesuatu yang terpendam di lubuk hatinya.

Azmi diam. Pertanyaan Kak Senah sungguh sukar untuk dijawab. Jika dia meminta dikurangkan wang hantaran dan segala permintaan papa Sherry, dia bimbang itu dijadikan alasan untuk menolak hasratnya. Pada dia, harta yang ada bukan miliknya. Jika tuhan sudah menghendakinya berpindah tangan, dia reda. Dia percaya pada ketentuan tuhan untuk dirinya dan keluarganya nanti. “Tak apalah, kak. Kita ikutkan sajalah dulu. Sementara itu, saya nak minta keizinan Abang Osman untuk membina sebuah rumah kecil di hujung tanjung. Rumah kecil saja untuk saya dan isteri saya nanti.”

Kak Senah hanya memandang. Raut wajahnya seolah-olah kebingungan. Dia seperti menanggung beban yang tidak dapat diluahkan.

Mata Abang Osman terkebil-kebil. Dia merenung wajah Azmi tanpa emosi. “Nak ke Sherry tinggal di sini, Mi? Mi tak mahu cari kerja di tanah besar? Mi bukannya tak ada kelulusan.”

Azmi tersenyum. “Rasanya Sherry tak ada masalah, bang. Dan pada saya, tidak ada tempat di seberang yang lebih baik daripada tempat ini.”

“Kalau macam tu kata Mi, tak payahlah susah hati. Abang dan orang-orang kampung akan binakan rumah untuk Mi. Mi uruskan sahajalah apa yang perlu diuruskan. Dengan tempoh yang terlalu singkat seperti itu, abang fikir banyak yang Mi perlu siapkan,” balas Abang Osman.

“Haah, betul kata Osman tu. Kamu uruskan sahaja apa yang perlu. Soal di sini, biarlah kami yang buat,” sampuk Pak Jusuh. Rokok pucuknya dicampak ke bawah rumah. Dia mengeluh perlahan.

“Tapi, Mi. Daripada mana, Mi nak cari duit sebanyak itu?” Kak Senah tiba-tiba bertanya. Pak Jusuh dan Abang Osman hanya mengerling dari tepi.

Azmi memandang Kak Senah. Dia faham Kak Senah dan Abang Osman berasa bimbang dan kurang senang dengan permintaan Tuan Jamil tetapi dia juga tidak berasa mahu mengalah. Dia menganggapnya sebagai dugaan daripada yang Esa. Kepada Dialah jua dia berserah. “Saya tahu Kak Senah risau tapi janganlah bimbang. Dengan izin tuhan, pasti ada jalannya, kak. Doakanlah untuk saya.”

Kak Senah dan yang lain-lainnya terdiam. Masing-masing terasing di pulau fikiran yang berbeza.

“Jangan salah sangka pula. Bukan kami tak suka Mi berkahwin dengan Sherry. Cuma kami risau jika majlis yang diatur ini tak mampu kami uruskan dengan baik. Maklumlah, kami ni cuma orang kampung. Orang pulau yang tak biasa dengan adat orang kaya di tengah bandar,” sampuk Abang Osman dengan nada yang serius. “Nanti, Mi juga yang malu.”

Azmi tersenyum tenang. Keresahan Abang Osman menyentuh hatinya. Memang benar, taraf dan gaya hidup keluarganya dan keluarga Sherry begitu berbeza. Namun untuk dia berasakan malu dengan keluarganya tidak mungkin. “Sayalah yang harus malu, bang. Setelah cukup dewasa masih menyusahkan abang dan kakak. Malah kini menyusahkan seluruh penduduk Pulau Damai. Sayalah yang seharusnya berasa malu, seandaikan gagal menjaga kehendak hati kerana masih menginginkan nikmat dunia yang sementara.” Matanya bergenang.

Pak Jusuh menepuk bahu Azmi dengan lembut. Sambil tersenyum manis, dia berkata. “Sabarlah, Mi. Tuhan menjanjikan khabar yang gembira buat orang-orang yang sabar setelah diuji. Ingat, yang dicari itu adalah keredaan Allah swt. Kita berusahalah menerima ketentuan itu sebaik mungkin.”

Azmi termenung jauh. Air matanya menitik. Fikirannya jadi berbolak-balik.  Mungkinkah itu jalan yang harus dipilih? Mungkinkah itu yang akan membawanya semakin dekat dengan apa yang dicari? Setelah puas dia bermenung dan berfikir, dia menghela nafas panjang. “Esok pagi saya nak ke seberang, bang.” Itulah keputusannya.
*****
Di Kuala Lumpur…

Aroma lavender yang lembut dan manis, memenuhi udara bilik tidur di rumah banglo itu. Ditambah cahaya malap yang keluar daripada lampu tidur di kiri kanan katil yang bersaiz ‘king’ menambahkan rasa romantis di situ. Namun sayangnya, suasana yang cuba diciptakan tidak menghadirkan apa yang dicita.

“Kalau budak tu mampu tunaikan semua yang abang minta hari tu, macam mana, bang? Macam mana?” Suara Puan Mila meletus semula. Sudah hampir setengah jam mereka berdua duduk berbincang.

Tuan Jamil menghempaskan keluhan. Dia menarik selimut hingga ke pangkal dagu. Fikirannya yang sudah sedia ribut bertambah kalut dnegan sikap isterinya yang tidak berhenti merungut. Dia faham isterinya tidak bersetuju dengan pilihan Sherry. Dia juga tidak bersetuju. Namun untuk menolak keputusan Sherry bukan mudah. Sherry seorang yang keras kepala seperti dirinya juga. “Mustahil budak tu boleh tunaikan. Sepuluh ribu pun belum tentu ada.”

“Kalau ada?” Puan Mila merenungnya.

“Takkan punya. Percayalah, cakap abang. Daripada mana dia nak kumpulkan duit dalam masa sebulan? Kalau kering Laut Cina Selatan itu pun, belum tentu dia mampu. Tunggu sajalah dia datang merayu atau memberi alasan. Kalau tak pun, kita tunggu sajalah Sherry tu menangis sebab Azmi tu cabut lari.”
Puan Mila menarik nafas panjang. Dia membusungkan dada seolah sedang menelan dan menghadam kata-kata Tuan Jamil sebentar tadi. Setelah puas dan tenang dia berdiri lalu melangkah menuju ke arah meja solek. Diletakkan semula sikat rambut yang dipegang sejak tadi di atas meja itu. Dia kembali ke arah katil semula. Ditarik selimut dengan tenang. “Ada hati dia nak anak kita kan, bang?” Dia ketawa kecil sambil menggeleng.

“Biasalah tu. Di mana ada lubuk, di situlah orang menangguk. Mujur-mujur tersangkut ikan besar,” balasnya dengan bersahaja. Pada dia, dia juga melihat Azmi sebagai seorang pemuda yang hanya mahu menumpang senang kehidupan Sherry. Dia tidak akan terpedaya dengan helah sebegitu.

“Kesian pula pada anak kita,” balas Puan Mila lagi.

Tuan Jamil berdengus. “Budak mentah. Kelip-kelip pun disangka api. Nanti, apabila si Azmi tu lari tinggalkan dia. Tahulah dia yang mana laut yang mana sungai.” Hatinya mula terasa panas kepada Azmi yang cuba mempengaruhi Sherry demi mencari kesenangan hidup dengan cara yang mudah. Dasar parasit.

“Kalau dia…”

        “Tak ada kalau-kalaunya… Budak tu takkan berani jejak kaki ke rumah ni lagi. Janganlah risau,” sampuknya sambil menoleh ke arah isterinya yang masih terkebil-kebil. “Sherry takkan kahwin dengan budak tu…” Dia yakin. Dia benar-benar yakin