Saturday, February 25, 2012

Novel kanak-kanak terbaru saya, EPOI !


Alhamdulillah, beberapa hari yang lepas saya telah menerima cover novel kanak-kanak saya yang terbaru iaitu EPOI. Kali ini novel kanak-kanak saya akan membawa kisah dunia kucing dan peperangan di antara dua kelompok besar. Satu kelompok menyayangi manusia dan satu kelompok lagi mendendami manusia.

Blurb:

“Malam tadi, dua ekor kucing di lorong ni dah hilang tak termasuk Bubu yang tidur di dalam sangkar. Tapi kesemuanya kucing belaan.” Sambil bercakap, Etam menggaru badannya dengan kaki belakang.
“Banyaknya. Takkan ada orang yang masuk rumah tuan Bubu dan mencurinya? Itu dah melampau.” Epoi semakin menumpukan perhatian.
“Abang… Putih juga hilang malam tadi.” Emi bersuara sambil memandang Epoi.
“Putih?!” Epoi terlompat.
Kehilangan kucing-kucing, di tempat tinggalnya telah membuatkan Epoi berasa gelisah. Sewaktu dia cuba mencari Bubu dan Putih, adik-adiknya Etam dan Emi pula telah hilang. Namun penemuan sebuah gua bercahaya di atas bukit, merungkai semua misteri tetapi kehadiran tuannya telah menjadikan keadaan bertambah rumit.
Demi menyelamatkan nyawa semua, Epoi terpaksa menentang Koko, seekor kucing parsi yang mendendami manusia...
Ikutilah kisah EPOI, seekor kucing yang sanggup berkorban demi adik-adik dan tuan yang disayanginya.
Jangan lupa dapatkan di pasaran nanti ya.... 

Wednesday, February 22, 2012

Bab 6 : Aku Tak Pernah Jauh


Bab 6
~Rindu
Sudah entah berapa kali, Merlina membaca perkataan itu sejak pagi tadi. Dan setiap kali matanya menatap perkataan itu, setiap kali hatinya menyebut perkataan itu… ada rasa yang bergetar. Dan getaran halus itu seolah-olah mengetuk pintu hati yang telah lama dikunci mati. Betapa klisenya pengakuan itu tetapi itulah kebenarannya. Kebenarannya yang cuba dinafikan.

Mengapa? Mengapa di saat ini kau mesti hadir? Mengapa setelah kuusir kau jauh-jauh, kau kembali? Tanya Merlina kepada perasaan yang menganggu dirinya saat itu. Ya, perasaan yang sudah lama ingin dihindarkan, dilupakan sejak peristiwa itu berlaku. Oh! Tuhan… dugaan apakah ini? rintihnya lagi. Dia tahu, apabila perasaan itu hidup semula, dia tidak akan mampu menolaknya.

Mahu ataupun tidak, di saat itu dia teringatkan Fareed. Ya, Fareed Zahin, lelaki yang dicintainya. Lelaki yang disangkakan akan setia berada di sisinya walau apa pun yang berlaku. Namun peristiwa yang berlaku dua tahun lalu telah menunjukkan rupa sebenar Fareed. Dia kecewa namun tetap pasrah pada ketentuan Tuhan.
“Kenapa tak call? Lina call pun Fareed tak jawab.” tanyanya pada Fareed. Pada waktu itu, dia benar-benar risaukan keadaan Fareed yang sudah tiga hari tidak menjenguknya di rumah itu. Tanpa disangka, petang itu Fareed muncul berseorangan dengan wajah yang muram.

Fareed tidak terus menjawab. Dia mengatup mulut dan hanya termenung memandang Selat Melaka di hadapan mereka.

“Kenapa ni, Fareed? Lina dah sihatlah, janganlah susah hati lagi.” Dia cuba tersenyum dengan penuh rasa ikhlas dan kasih sayang. Jika boleh, ingin diusirkan segala kesuraman di wajah Fareed saat itu supaya wajah Fareed berseri semula, sama seperti di saat mereka bertunang dahulu.

Halkum Fareed turun naik. Fareed menghela nafas pendek sebelum membuka mulut. “Lina, saya datang petang ni untuk berbincang.”

“Berbincang? Pasal apa?” Dia terus merenung wajah Fareed yang kelihatan serba tidak kena di hadapannya. Dia mula cemas, Fareed langsung tidak bertanyakan keadaan kesihatannya seperti biasa ataupun mengucapkan kata-kata rindu walaupun mereka sudah tiga hari tidak bertemu.

 “Saya mahu putuskan pertunangan kita.”

Nafas Merlina tertahan beberapa saat. Lama dia terdiam di situ. Dia bingung. Dia tidak tahu apa yang perlu diucapkan kepada Fareed. Banyak persoalan yang menjengah mindanya walaupun jauh di dasar hatinya, dia mungkin tahu kenapa Fareed bertindak begitu.

“Kenapa?” tanyanya.

Fareed hanya menggeleng seolah-olah tidak berani pula mengatakan apa yang benar.

“Jawablah, Fareed. Saya mahu tahu. Katakan sahaja apa sebabnya supaya saya tahu apa puncanya.” Merlina terus mendesak.

Bukan kerana dia terlalu ingin tahu kerana dia sememangnya sudah tahu tetapi kerana mahu hatinya mendengar sendiri sebuah pengakuan yang mungkin dapat menoktahkan sebuah harapan yang dijunjung tinggi selama ini. Ya, harapan dan impian untuk berkahwin dengan Fareed Zahin, lelaki yang dicintainya.

Kali ini, Fareed mengeluh pula. Lagaknya bagaikan sukar benar, padahal keputusan sudah pun diambil sebelum memijakkan kakinya ke banglo itu.

“Fine. Awak nak putuskan pertunangan kita, saya terima,” kata Merlina dengan sepenuh kekuatan yang dia ada. Lalu, dia menanggalkan cincin pertunangan yang tersarung di jari manisnya dan meletakkannya di atas meja. Di tengah-tengah, di antara dia dan Fareed. Kini, cincin lambang penyatuan dua hati itu kelihatan seolah-olah hanyalah seketul batu tanpa harga.

“Tapi sebelum awak pergi, cakaplah. Kenapa awak putuskan pertunangan kita,” pintanya sekali lagi.

“Awak sendiri pun tahu, kan?” tanya Fareed pula. Suaranya dingin dan kering.

Merlina angguk.

“I’m sorry. I’m so sorry… saya  cuma mahukan sebuah kehidupan yang normal. Saya tak mahu habiskan kehidupan saya dengan….” Kata-kata Fareed berhenti di situ.

Kata-kata Fareed membuatkan Merlina tersenyum pahit. Sebuah kehidupan yang normal? Ya, memang benar. Jika Fareed hidup di sampingnya, hidup Fareed tidak akan normal seperti orang lain. Malah segala duit yang dia miliki kini juga tidak dapat membelikan sebuah kehidupan yang normal untuk Fareed.

“Pergilah,” katanya sepatah.

“Still friends?” tanya Fareed lagi.

Merlina menggeleng.

“Tapi bagaimana dengan….” Fareed merenung wajah Merlina lama-lama.

“Business is business,” jawab Merlina tanpa membalas pandangan mata Fareed.

Dia cukup faham, apa yang dirisaukan oleh Fareed. Ya, sebaik sahaja Fareed sah menjadi tunangannya dahulu, ayahnya telah memberikan Fareed sejumlah pinjaman yang besar untuk membesarkan perniagaan Fareed. Kononnya, untuk masa depan dia dan Fareed juga. Namun kini… walaupun itu hanya tinggal kenangan tetapi dia bukanlah manusia yang kejam. Fareed tidak akan mampu mengembalikan segala yang dipinjam itu dengan serta-merta.

Fareed terangguk-angguk. “Okey… saya pergi dulu.” Dia tolak kerusi lalu bangun berdiri. “You’ll be okey, kan?”

Merlina angguk. Dia tetap tidak memandang wajah Fareed lagi. Dia tidak sanggup untuk melihat wajah Fareed yang begitu selamba memutuskan tali pertunangan mereka begitu sahaja. Seolah-olah, pertunangan yang selama setahun itu tidak membawa apa-apa makna kepada lelaki itu. Baru dia sedar, cinta di hati Fareed ada batasnya. Ada syaratnya.

“Cik Merlina tak apa-apa?” Satu suara menegurnya dengan lembut.

Ingatan Merlina terhadap Fareed Zahin segera memudar. Apa yang kekal tinggal adalah rasa sakit yang seolah tidak mahu pergi. Rasa luka yang tidak hilang-hilang apabila terkenang, pedih dan peritnya tetap sama seperti saat Fareed memutuskan pertunangan mereka walaupun tahun sudah berganti tahun lamanya.

“Apa yang Cik Merlina ingatkan?” tanya suara itu lagi. Walaupun tenggelam timbul dibawa angin laut namun sampai juga ke telinga Merlina.

“Tak ada apa,” balas Merlina. Jari-jemarinya pantas menyapu air matanya yang mengalir sendiri ke pipi. Bukan kerana dia malu dilihat oleh Rayyan, pembantu peribadinya tetapi kerana dia sendiri benci apabila rasa kecewa dan sedih itu datang lagi.

Rayyan yang duduk di hadapannya hanya memandang seolah-olah cuba membaca apa yang ada di fikiran Merlina saat itu. “Apa yang saya boleh tolong?”

Merlina geleng. Tidak ada apa yang boleh ditolong oleh Rayyan kali ini. Apa yang berlaku dalam hatinya adalah sesuatu yang hanya dia dapat menyelesaikannya.

“Ada orang ganggu Cik Merlina ke?” tanya Rayyan lagi.

Dengan segera Merlina menggeleng walaupun memang benar dia sedang rasa terganggu. Amat terganggu oleh kenangan lama yang dicetuskan oleh hanya satu patah perkataan iaitu ‘rindu’.

“Atau Cik Merlina rasa terganggu oleh lelaki yang bernama Zaffri tu?” tanya Rayyan lagi.

Merlina menghela nafas panjang. Dia tahu, dengan Rayyan, tidak ada apa yang dapat disembunyikan. “Dia tidak menganggu saya. Jangan ganggu dia.”

“Tapi Cik Merlina nampak sangat terganggu. Cik Merlina lupa pesanan doktor?”

“Biarkan dia. Jangan ganggu dia. Dia tak tahu pun siapa saya,” balas Merlina. Dia amat takut jika Rayyan betindak melulu walaupun tujuan Rayyan hanyalah untuk melindunginya.

“Tapi dia sudah menganggu Cik Merlina. Menganggu perasaan Cik Merlina.” Rayyan seakan membantah namun cukup lembut.

“Salah saya bukan salah dia. Biarkan dia.”

“Api yang kecil memang kawan. Api yang besar mungkin tak terkawal,” balas Rayyan penuh makna.

“Saya tahu. Tak payah awak ingatkan.”

“Sudah tugas saya untuk mengingatkan Cik Merlina. Kerana cinta, sudah ramai manusia yang lupa diri.”

Air mata Merlina mengalir lagi. Dia tidak lupa diri. Kerana dia sedar siapa dirinyalah, dia menangis. Dan kata-kata Rayyan seolah-olah menjelaskan lagi apa masalah yang sedang menanti.

“Padamkan api itu sebelum ia tak dapat dikawal, Cik Merlina. Padamkan,” kata Rayyan lagi.
Merlina hanya menangis. Dia juga sedang rindu.
*****
AZAN Maghrib sedang berkumandang sewaktu Zaffri dan ibu bapanya tiba di rumah senja itu. Setelah mengeluarkan segala buah-buahan dan makanan yang dibekalkan Pak Long Arip dan Mak Long Yati, Zaffri segera masuk ke biliknya untuk mandi dan bersolat pula. Sesungguhnya hari itu sungguh meletihkan fizikal, emosi dan fikirannya. Dia hanya mahu berehat buat seketika.

Sejam selepas itu, semuanya telah selesai. Zaffri melipat sejadah lalu diletakkan di hujung katil. Keletihan tubuhnya mula berkurangan, itulah salah satu keajaiban solat. Tubuhnya jadi lebih bermaya, perasaannya lebih bersemangat malah fikirannya kini lebih tenang setelah menunaikan solat dengan khusyuk. Lalu, terdetik pula hatinya untuk membuka komputer. Sudah seharian dia tidak menatap gambar Merlina.

~ Assalamualaikum, Lina. Dia menaip di kotak chat sebaik sahaja mendapati Merlina sedang online.  Entah kenapa, kali ini dia rasa berdebar-debar. Mungkinkah kerana perkataan ‘rindu’ yang telah ditulis di dinding Facebook Merlina pagi tadi? Mungkinkah Merlina sudah membalasnya? Mungkinkah Merlina sudah faham? Dia segera membuka profail Merlina, namun hampa. Merlina tidak memberikan sebarang komen.

~Waalaikumussalam.

Zaffri bergelut dengan perasaan hampa. Mungkinkah Merlina tidak membuka Facebooknya hari ini? Ataupun perkataan itu tidak memberi apa-apa makna buat seorang gadis secantik Merlina? Mungkin di luar sana, Merlina sudah biasa bermandikan kata-kata yang lebih indah dan lebih bermakna daripada itu?

~Tak keluar dengan kawan-kawan malam ni? Dia cuba mengusir perasaan hampa itu ke tepi. Mungkin segala yang difikirkan itu tidak benar. Mungkin Merlina malu membalas komennya.  

~Tak.

~Kenapa? Dah keluar tadi?

~Tak juga.

Zaffri mati akal. Apa yang nak ditulis lagi? Merlina masih dengan sikapnya, seolah-olah tidak begitu peramah dengannya.

~Abang baru balik dari kampung.

~Kampung abang di mana?

Zaffri tersenyum nipis. Ada peningkatan. Ternyata topik itu telah berjaya menarik  Merlina untuk menuliskan empat patah perkataan.

~ Di Negeri Sembilan. Kampung Merlina di mana?

~Kedah.

~Hari ni, Lina dah tulis blog?

~Belum. Mungkin pada malam nanti.

~Tulislah, abang nak baca. Seronok baca pengalaman Lina di negara orang.

~Kisah lama.

~Sekarang Lina tak ke luar negara lagi?

Terus senyap. Zaffri menunggu. Setelah hampir lima belas minit, dia tahu Merlina tidak mahu berbicara lagi dengannya. Dia termenung di hadapan skrin komputer.  Kenapa gadis itu sangat sukar didekati? Malah dia sedar, Merlina mudah sahaja berubah angin jika dia silap bertanya. Tetapi apa yang paling aneh dirasakan adalah hatinya yang tidak jemu-jemu cuba mendekati gadis itu.

Ada ketikanya, dia merasakan bahawa Merlina seorang gadis yang jual mahal, memilih kawan dan tentunya lelaki seperti dia bukanlah pilihan Merlina. Merlina cantik, ramping, berkulit putih gebu sedangkan dia boleh dikatakan agak kontra. Tetapi anehnya tidak pula dia pernah melihat Merlina melayan mana-mana lelaki di Facebook. Malah rata-rata kawan Merlina yang hampir dua ribu orang di dalam akaun Facebook miliknya adalah perempuan. Kawan lelaki pula boleh dikira dengan jari. Mungkin juga anggapannya terhadap Merlina adalah tidak tepat.

“Lina, esok Lina pergi ke Little Moon? Abang nak jumpa Lina.

Tulisnya kali ini. Biarlah apa pun sangkaan Merlina terhadapnya, dia sudah tidak dapat membendung perasaannya lagi. Dia mesti bertemu Merlina dan berterus-terang tentang segala-galanya. Apa yang telah berlaku  sepanjang hari ini, menyedarkan dia bahawa hatinya telah memilih Merlina. Bukan Nora.

Namun tiada juga sebarang balasan daripada Merlina. Pertanyaannya tinggal pertanyaan. Akhirnya di halaman blog miliknya, Zaffri mencatatkan sebuah puisi pendek untuk meluahkan rasa rindu yang tidak kesampaian.
Andai dapat kuluahkan
Pada bintang dan pada bulan
Rasa rindu
Rasa ingin bertemu
Mungkinkah kau tahu?
*****
DI Little Moon Kopitiam…

“Lina, esok Lina pergi ke Little Moon? Abang nak jumpa Lina.

Merlina merenung setiap patah perkataan yang ditulis oleh Zaffri di kotak Chat. Dia mengeluh perlahan. Zaffri nak jumpa dia? Dia tidak hairan. Pastilah Zaffri mahu menemuinya, melihatnya, bertanya dan segala yang mungkin akan dilakukan oleh seorang lelaki tetapi apa jawapannya?

“Dia nak jumpa saya, Rayyan.” Merlina memandang ke hadapannya di mana Rayyan sedang duduk membaca surat khabar sejak sejam yang lalu.

Rayyan angkat muka lalu renungan mereka pun bertaut. Lantas, Rayyan menutup surat khabar yang dibaca dan meletakkannya di atas meja dan kemudian menggeleng.

“Cik Merlina tak usah jumpa dia,” katanya.

Ya, satu jawapan yang sudah diduga oleh Merlina walaupun dia tidak pernah meminta kebenaran daripada Rayyan. Dia hanya meminta buah fikiran namun jawapan Rayyan sudah menyimpulkan segala-galanya.

“It won’t end well,” sambung Rayyan lagi seperti memujuk.

“Saya tahu….” Merlina menarik nafas panjang. Dia tahu walaupun tidaklah yakin seratus peratus segalanya tidak akan berakhir dengan baik. Tetapi dia juga tidak boleh memastikan segala-galanya akan berlaku seperti kehendaknya.

“Jadi jangan jumpa dia.” Rayyan merenung tajam ke arah Merlina.

Merlina hanya diam. Jika boleh, dia ingin sangat berjumpa Zaffri. Berbual dan bercerita tentang apa sahaja. Sejak Fareed meninggalkan dia, dia hanya bercakap dengan Rayyan sehinggakan lama-lama, sudah tidak ada apa lagi yang hendak diceritakan. Malah mereka berdua seolah boleh berkomunikasi secara bisu. Namun sejak bertemu Zaffri di Facebook, hatinya mula rasa terhibur. Tetapi  betul kata Rayyan… it won’t end well. Dia juga tahu kemungkinan itu.

“Listen to me, please,” kata Rayyan lagi sambil tidak putus memandang wajah Merlina.

Merlina angguk. Mungkin itulah yang terbaik untuk dia dan Zaffri.

Friday, February 17, 2012

Bab 5 : Aku Tak Pernah Jauh


SEMENTARA itu di rumah Pak Long Arip, perbincangan juga sedang berlangsung di anjung rumah. Sambil dibelai angin petang yang bertiup sesekali, mereka berempat duduk-duduk berbincang melegakan perut yang  sengkak. Tujuannya cuma satu, hal itu perlu dijelaskan dengan lebih terperinci.
“Macam mana agak-agaknya, Sah? Zaffri ada cakap apa-apa?” tanya Mak Long Yati.
“Belum ada lagi, kak. Tengoklah dulu macam mana balik nanti,” balas Puan Khamisah pula. Dia sendiri sudah naik bingung memikirkan soal Zaffri yang terlalu sukar untuk berkongsi isi hati kebelakangan ini. Entah apalah yang ada di dalam kepala anak sulungnya itu, dia sukar untuk menduga.
“Kami bukan apa… kalau berbesan dengan orang kenal ni, senang sikit kita nak berunding dan berpakat-pakat. Lagipun, kami kesian sangat  dengan nasib si Nora tu. Muda-muda lagi dah yatim piatu sejak mak ayah dia meninggal dalam kemalangan. Mujurlah dia tamat juga belajar di universiti tu, dapatlah dia kerja elok. Dapatlah dia sara hidup dia sekarang. Tu sebab… kak long berat hati nak melepaskan dia dengan orang yang kami tak kenal.” Mak Long Yati mula membuka cerita panjang.
Semua yang ada di situ terangguk-angguk.
“Tapi kami tak paksa, kalau Zaffri dah ada pilihan dia sendiri tak apalah,” sampuk Pak Long Arif pula.
“Pilihan sendiri? Kalau dah ada, dah lama kami ni dapat cucu, abang long. Tak adalah tu… entah perempuan yang macam mana dia nak pun, tak tahulah,” jawab Puan Khamisah laju. Memang itulah yang dia risaukan. Dia risau kalau Zaffri terlalu cerewet memilih hinggakan semua perempuan tidak kena di hatinya.
“Hati dia belum terbuka untuk berkahwin kut?” tanya Pak Long Arip lagi. Asap rokok dihembuskan ke luar rumah. Sekejap sahaja hilang dibawa angin.
“Nak kata macam tu, rasanya tidak juga. Dia dah beli rumah, dah beli kereta… kalau bukan sebab nak kahwin, sebab apa pula, kan?” Puan Khamisah menjawab.
“Belum jumpalah agaknya tu,” sampuk Mak Long Yati pula. Haji Badri diam sahaja mendengar perbulan itu.
“Kalau dia nak terima Nora, kan senang kerja kita ya, bang?” Puan Khamisah tersenyum. Pada matanya, Nora sudah cukup sempurna. Orangnya cantik, lemah lembut, elok budi bahasa, pandai pula buat kerja dapur. Kalau Zaffri setuju memang dia sangat gembira. Berkenan sungguh dia dengan Nora.
“Haah, aku tak minta pun duit hantaran. Asalkan ada mas kahwin dan bahan hantaran mengikut adat, cukuplah. Soal kenduri kendara, aku boleh tanggung sendiri. Zaffri tak payah risau. Yang pentingnya dia sanggup jaga Nora elok-elok.” Bersemangat sungguh Pak Long Arip bercerita.
Puan Khamisah hanya tersenyum. Harapan di hatinya makin berbunga,
******
MATAHARI mula condong sedikit ke barat. Suasana di kebun itu bertambah redup kerana cahaya matahari sudah bersembunyi di sebalik rimbunan daun-daun pokok rambutan yang saling bertaut mesra. Namun pada Zaffri, redup tempat itu belum dapat melegakan keresahan jiwanya. Dia belum tahu apa keputusan yang harus diberi dan bagaimana harus diberi. Namun demi ego, dia tetap berlagak tenang. Berlagak kuat.
“Nora kerja di mana?”
“Bank,” balas Nora, Langkahnya teratur dan bersahaja, tanda dia biasa dengan kebun itu.
“Dah lama?”
“Dah dekat dua tahun juga.”
Zaffri diam. Mati akal lagi untuk berbual dengan Nora. Mujur Nora juga begitu tenang dan tidak cuba mendesak.
“Nora faham,” kata Nora pula.
“Apa yang Nora faham?”
“Abang ada masalah nak terima Nora, kan?”
Pertanyaan Nora membuatkan langkah Zaffri terhenti. Apa maksud Nora? Namun dia tidak pula bertanya, dia hanya menyambung langkahnya semula. Dia tidak mahu bergaduh dengan seorang gadis yang baru dikenalinya beberapa jam. Biarlah apa Nora hendak fikir sekalipun.
“Kalau abang tak ada masalah, tidaklah abang bingung begini,” tambah Nora.
Bingung? Dia nampak seperti orang sedang bingung ke? “Kalau Nora dah tahu, kenapa Nora masih tak menolak abang? Katakan saja pada pak long dan mak long, Nora tak nak kahwin dengan abang. Habis cerita.”
“Kenapa mesti Nora? Abang yang kena buat keputusan. Kalau Nora yang cakap, abang juga yang akan nampak buruk.”
Ya juga, kata hati kecilnya. Tapi itu akan melepaskan dia daripada masalah ini. Paling teruk pun, dia akan kena leter selama sebulan, selepas itu pasti ibunya akan mengalah dan membisu. Tapi kalau dia yang menolak… leteran mungkin lebih teruk daripada itu. Pak Long Arip dan Mak Long Yati mungkin tidak akan mengajaknya datang ke rumah lagi. Hubungan persaudaraan akan retak.
“Biarlah abang nampak buruk,” katanya tanpa sedar.
Kali ini Nora pula yang berhenti melangkah.Dia menoleh ke arah Zaffri lalu bertanya, “jadi betullah… abang ada masalah untuk menerima Nora?”
Mulut Zaffri separuh melopong. Walaupun dia lelaki, jiwanya tetap halus dan ada rasa kasihan yang tinggi. Pertanyaan Nora, berserta raut wajah yang luka… membuatkan Zaffri bertambah-tambah serba-salah. Jika diikutkan akal yang waras, mahu sahaja dia menafikan itu semua dan berkata sebaliknya. Namun hatinya seolah seperti batu. Wajah Merlina juga yang bermain di fikirannya ketika menatap wajah sendu Nora.
“Nora tak apa-apa ke?” Ada sedikit perasaan cemas menggeluti hatinya. Menjadi seorang yang dibenci dan dimusuhi bukanlah satu perkara yang indah. Bukan sesuatu yang dicari-cari.
Nora menggeleng.
“Kenapa Nora….” Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengucapkannya. Nora tampak begitu sedih.
“Nora terhutang budi pada pak long dan mak long. Sejak emak dan ayah Nora meninggal, merekalah yang banyak mengambil berat pasal Nora dan adik-adik Nora.”
“Jadi semua ni… kerana Nora nak balas budilah?” tanya Zaffri lagi. Dia masih cuba menyelami isi hati gadis itu. Pada dia, perkara itu boleh dibawa berbincang. Nora tidak harus dijadikan mangsa.
“Mak long kata mereka berniat baik pada Nora. Mereka cuma nak seseorang yang mereka sudah kenal dan percaya, menjaga Nora. Mereka takut nak lepaskan Nora kepada orang lain,” terang Nora.
Zaffri semakin faham. Entah kenapa, sekarang dia pula yang terasa seperti menjadi mangsa. Anak yatim seperti Nora harus dibela nasibnya. Perasaan serba-salahnya makin bertambah-tambah.
“Apa pun sebabnya, ini bukan perkara yang boleh diambil ringan. Ini soal membina sebuah kehidupan baru bersama-sama. Ini bukan soal balas budi atau makan budi.” Zaffri cuba membuka mata Nora. Hakikatnya, perkahwinan itu bukan sesuatu yang jelas seperti buku teks, ia kompleks.
Mata Nora mula berkaca. “Sekompleks manapun perkahwinan itu, sesukar mana pun gambarannya… kalau hati sudah rela, ia tak lagi menakutkan,” balasnya satu-persatu.
Mulut Zaffri terus terkunci.
******
OLEH kerana tidak tahu apa lagi yang harus dibualkan dengan Nora, Zaffri mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri sahaja. Kata-kata Nora tadi membuatkan dia rasa terpukul. Ternyata Nora lebih matang daripada dirinya dalam menangani masalah itu. Jika Nora rela untuk menempuh apa yang disebut gerbang perkahwinan bersamanya, apa masalahnya lagi? Jika lelaki lain berada di tempatnya, mungkin sudah melompat sepuluh kaki tingginya tetapi dia? Kenapa dia tidak gembira?
“Cepatnya balik? Kenapa tak ambil banyak lagi?” tegur Pak Long Arip. Wajahnya begitu ceria.
Baru Zaffri tersedar, yang dia dan Nora sudah pun tiba berdekatan dengan rumah. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat wajah Pak Long Arip, Mak Long Yati, ibu dan bapanya. Kesemuanya merenung dia dengan pandangan yang penuh tanda tanya. Apabila tersedar yang dia sudah tercegat di tengah halaman beberapa ketika, baru dia menapak ke hadapan dan meletakkan raga di tepi tangga naik ke anjung. “Cukuplah ni,” balasnya pendek.
“Nora, pergi ambil besen dengan air. Boleh kita makan buah-buahan ni sama-sama,” kata Mak Long Yati pula. Buah rambutan itu dileraikan daripada tangkainya satu persatu.
Nora segera mengangguk dan berlalu ke belakang, Zaffri juga begitu.
“Kamu nak ke mana pula tu Zaffri?” tegur Puan Khamisah. Lagi sekali keempat-empat pasang mata merenung tajam ke wajah Zaffri.
Zaffri tunjuk ke arah dapur. “Nak cuci tangan. Kenapa, mak?”
Puan Khamisah menggeleng namun menarik senyum panjang.
Oleh kerana ibunya tidak menjawab, Zaffri meneruskan hayunan kakinya ke arah pintu belakang rumah itu. Berhampiran pintu dapur, dia berselisih dengan Nora yang telah keluar semula bersama sebuah besen dan semangkuk air.
“Sabar sajalah, Abang Zaffri. Nanti mereka fahamlah tu,” kata Nora dengan tenang.
Zaffri menghela nafas panjang. Kenapa dia tidak setenang Nora menerima segalanya? Setiap senyuman, setiap renungan yang dilemparkan kepadanya bagaikan membebankan perasaannya. Adakah kerana hatinya belum terbuka untuk menerima Nora?
“Kalau mereka tanya Nora, apa Nora nak jawab?” Dia pandang muka Nora. Walaupun Nora kelihatan tenang, apa yang berada di dalam hati gadis itu tidak dapat diselaminya. Adakah benar Nora sepasrah itu?
“Nora nak kata apa? Nora diam sajalah,” jawab Nora sebelum meneruskan langkahnya semula.
Zaffri tidak bertanya lagi. Dia terasa seolah-olah semua orang berada di pihak yang sama hanya dia seorang yang terkontang-kanting tidak berteman. Kuatkah dia untuk menentang mereka? Kuatkah dia untuk menurut kata hati yang tidak sedar diri? Sesungguhnya dia sangat memerlukan sokongan. Dia takut rebah.
******
PERJALANAN pulang ke Melaka terasa hangat. Mereka bertiga bertolak balik setelah selesai menunaikan solat Asar di rumah Pak Long Arip. Juga setelah kenyang dijamukan minum petang yang menyelerakan, bubur kacang berperisa durian. Tetapi Zaffri tetap tahu, sebaik sahaja mereka bertiga duduk di dalam kereta, persoalan itu pasti akan meletup pada bila-bila masa.
 “Hah? Macam mana, Zaffri?”  Suara Puan Khamisah memecah kebisuan kereta yang cuba dipertahankan Zaffri sejak memulakan perjalanan tadi tetapi jelas gagal.
Zaffri menjeling cermin pandang belakang sekali lalu. Dia tahu hal apa yang ditanyakan oleh ibunya. Aduhai… tak boleh ke tunggu sampai di rumah? Macamlah Nora tu nak lari ke mana, macamlah kena kahwin esok, rungut hatinya. Perlahan-lahan dia melepaskan nafas tanpa sebarang jawapan.
“Mengeluh pula?” tegur ibunya lagi. “Kamu nak cari yang macam mana lagi? Apa yang kurangnya dengan Nora tu? Tadi mak tengok kamu dengan Nora tu elok saja berbual?”
“Saya tak kata Nora tu kurang atau tak elok, mak,” balas Zaffri. Terdetik di hatinya satu dorongan untuk membetulkan keadaan. “Memang Nora tu elok orangnya.”
“Hah! Jadi kamu setujulah ya?” Meletus pula suara Puan Khamisah, bagaikan tidak dapat ditahan-tahan lagi.
“Mak… boleh tak mak jangan tergesa-gesa?”
Senyuman yang terukir di wajah Puan Khamisah memudar sedikit demi sedikit. Yang tinggal hanyalah riak kehairanan.
“Kalau dah elok, kamu nak tunggu apa lagi? Tunggu sampai kamu bertambah tua?”
Semakin sesak nafas Zaffri. Dia tahu mulut ibunya akan menjadi lebih bisa daripada bisa ular tedung apabila sedang marah. Dia harus banyak mengalah. Hanya semasa tenang, seseorang dapat mengawal keadaan dengan lebih waras. Lagipun itu ibunya.
“Bukan macam tu… berilah masa untuk saya dan Nora berfikir masak-masak,” balasnya perlahan namun cukup jelas.
Puan Khamisah diam dan termenung seketika. Kemudian dia bersuara semula.
“Mak long kamu tu bimbang jika Nora dijodohkan dengan orang lain. Dia bimbang hidup Nora akan disia-siakan. Pak long kamu pula kata, dia tak minta sedikit pun duit hantaran, dia cuma minta mas kahwin dengan barang-barang hantaran yang biasa pada adat kita. Kan dah banyak senang tu? Apa yang kamu nak runsingkan lagi? Kalau tak cukup duit, mak ada duit.”
Zaffri menelan air liur. Sudah sampai berbincang soal wang hantaran ke? Makin berat tu, kata hatinya. Bagaimana kalau dia menolak? Bukan satu dua hati yang kecewa malah sudah jadi empat. Makin sesak dadanya.
“Saya tahu. Nora ada cerita tadi.”
“Apa lagi Nora cerita? Dia setuju, kan?” tanya Puan Khamisah.
“Saya suruh dia berfikir dulu,” balas Zaffri sejujurnya.
Sesungguhnya itulah pesanan terakhirnya kepada Nora sebelum meninggalkan rumah Pak Long Arip. Ya, berfikir masak-masak. Walaupun Nora seorang anak yang taat namun dia juga berhak menentukan pilihan hatinya sendiri. Berhak untuk memilih dan berhak untuk menentukan dengan siapa dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Bukan asal terima sahaja sesiapa yang dicadangkan oleh pak long dan mak long.
“Kenapa pula macam tu? Mak long kamu kata, Nora dah setuju.”
“Memanglah dia dah setuju, mak. Tapi kenapa dia setuju? Sebab terhutang budi dengan pak long dan mak long? Boleh ke dia suka dengan saya, kalau macam tu?” balas Zaffri.
“Tapi yang pentingnya… Nora tak membantah.”
Zaffri angguk sahaja. Itu dia tahu. Dia juga tahu lebih daripada itu. Nora sudah rela menjadi isterinya, Nora sudah menerima cadangan itu dan itu bukannya mudah. Dia percaya, mana-mana gadis yang elok di dalam dunia ini bukanlah mudah merelakan dirinya untuk seorang lelaki yang tidak pernah dikenali. Lainlah kalau Nora sudah tidak elok. Dia lelaki yang bertuah, itu dia akui.  
Kali ini Puan Khamisah mengeluh berat. Dia menggeleng sambil menyandarkan tubuhnya ke kerusi semula. “Habis tu? Apa keputusannya?”
“Samalah macam tadi. Beri kami masa. Kalau sudah ada keputusan nanti, saya beritahu,” balas Zaffri. Pendiriannya masih tidak berubah.
“Jangan berlengah sangat, Zaffri. Nanti melepas….” Puan Khamisah berkata sebelum kembali mendiamkan diri.
Zaffri kembali menjeling ke cermin pandang belakang. Kelihatan ibunya sedang termenung di tepi tingkap. Dia tidak pasti berapa lama ibunya boleh mendiamkan diri tetapi dia tahu, wanita yang bernama Puan Khamisah tidak akan mudah mengalah. Jadi dia juga harus lebih kuat.

Tuesday, February 14, 2012

Bab 4 : Aku Tak Pernah Jauh


SUDAH dua hari, Zaffri tidak menghubungi Merlina. Baik di kotak chat, mahupun di Facebook. Dia hanya memandang kotak chat yang terbuka tanpa mahu menyentuhnya. Walau hatinya merayu-rayu untuk menegur gadis itu, dia tetap berkeras untuk berdiam diri. Dia ingin sekali tahu sejauh mana kekuatan hatinya sendiri. Dia sengaja menyiksa dirinya sendiri.

Dia membuka blog Merlina pula. Ternyata, dugaannya tepat. Di blog Merlina yang berlatarbelakangkan gambar Air terjun Niagara, terdapat entri baru. Kali ini mengisahkan pengalaman Merlina semasa berada di Bali, Indonesia.

Lima keping gambar diletakkan gadis itu. Pelbagai aksi, pelbagai latar dan pelbagai emosi. Sesekali dia tersenyum, Merlina tampak sangat gembira, riang dan bebas dalam dunianya tanpa keterlaluan. Gadis itu sentiasa bersama ibu bapanya yang tampak juga sangat bahagia. Kesimpulannya Merlina seorang gadis cantik yang sangat beruntung. Apakah kehadirannya dalam gadis itu menambahkan bahagia yang sedia ada ataupun akan menambahkan duka? Zaffri tidak pasti kerana Merlina tidak pernah memberi kesempatan untuknya membuktikan apa-apa.

“Tunggu apa? Marilah kita bergerak, nanti lambat pula sampai ke kampung,” tegur Puan Khamisah di celah pintu bilik tidur Zaffri.

Zaffri tersentak. Hatinya mula berbelah bahagi semula. Rasa rindunya kepada Merlina menggebu-gebu. Rasa terpaksa menemui Nora seolah makin kuat. Hampir sahaja dia membatalkan rancangan pagi itu, jika tidak kerana terpandang wajah ibunya yang masih menunggu di tepi pintu.

“Sekejap lagi saya datang. Biar saya tutup komputer dulu,” katanya sekadar memberikan alasan untuk mengumpulkan kekuatan.

Setelah ibunya menutup pintu biliknya semula, dia menghela nafas panjang. Dia tahu hatinya akan terus memberontak jika sesuatu tidak dilakukan segera. Lalu pada dinding Facebook Merlina, dia titipkan sesuatu sebelum beredar.

~Rindu. Akhirnya dia mengalah juga.
******
DARI Ayer Keroh, dia memandu keretanya menuju ke arah Jasin. Dari situ, dia akan mengikut jalan pintas menuju terus ke Air Kuning dan seterusnya ke Gemas.

“Kenapalah bawa kereta perlahan benar ni, Zaffri?” tegur Puan Khamisah yang duduk di belakang suaminya.

“Perlahan apanya, mak? Kita bukannya di highway,” balas Zaffri. Hai… tak sabar betul mak nak balik ke kampung, keluh Zaffri dalam hati. Dia menjeling meter, sudah 90km/jam kelajuan kereta yang dipandu. Jika di jalan kecil seperti itu, itu sudah sangat laju. Mujur pagi Ahad itu tidak banyak kereta di jalan raya. Mungkin kerana masih awal.

“Mak kamu ni dah tak sabar-sabar nak menengok bakal menantu,” perli Haji Badri sambil ketawa kecil. “Bawa laju-laju, nanti menantu ke mana, kita tersangkut atas pokok.”

Zaffri hanya ketawa kecil mendengar celoteh ayahnya.

“Haih… saya seorang saja ke yang tak sabar? Menantu saya menantu awak juga, pak haji.”

Haji Badri tersenyum saja.

“Zaid telefon malam tadi,” sambung Puan Khamisah lagi.

“Apa dia cerita?” tanya Haji Badri pula apabila mendengar nama anak keduaya disebut.

“Dia bagitahu, Ita dah mengandung lagi. Dah empat bulan.”

“Alhamdulillah. Bertambah cucu kita lagi sorang raya tahun ni ya?” balas Haji Badri.

“Haah. Itulah… kalau boleh, naklah tengok ada menantu baru sekali, kan bang?”

Zaffri hampir tersedak air liur.

“Eloklah tu. Adik-adik kamu semua dah beranak-pinak, kamu saja yang belum. Kalau raya ni kamu dah berdua pun dah cukup.” Haji Badri mula bersuara sambil leka memandang jalan.

“Bergantung kepada keadaanlah, ayah. Saya tak dapat nak janji apa-apa,” balas Zaffri pula. Dia mula risau, mula rasa seperti terpaksa sahaja menerima cadangan keluarganya dan keluarga Pak Long Arip untuk dijodohkan dengan Nora. Semalam kata lain, hari ini sudah lain pula bunyinya. Rasa percayanya mula goyah.

“Kamu dah ada calon? Kalau ada buat apa tunggu lama-lama lagi? Cakap saja siapa, biar ayah dan mak pergi pinangkan.”

Zaffri melepaskan nafas panjang. Dia mula teringatkan Merlina. Hanya Merlina.

“Mana adanya, bang. Kalau dah ada, tak adalah tunggu sampai ke tua macam ni,” sampuk Puan Khamisah bersulam tawa.

“Kenapalah awak cakap macam tu pada dia? Awak ingat anak saya ni tak lawa ke? Pelajaran ada, harta ada, kerja ada… apa yang kurang?” balas Haji Badri pula.

Zaffri garu kepala yang semakin berserabut. Dia bimbang, kerana dia ibu bapanya bertengkar pula.

“Kalau anak awak tu lawa sangat, pandai sangat… kenapa tak laku-laku? Anak orang lain tu elok aje.”

“Itu anak orang, ini anak kita. Dia tak pakai sambar saja mana-mana perempuan, ya tak, Zaffri?”

Zaffri tersenyum. Dia terasa menang walaupun entah menang apa. Sekurang-kurangnya, ada seseorang yang memahami perasaannya waktu itu.

“Cakap sajalah memilih, cerewet… mana ada perempuan yang sempurna dalam dunia ni, Zaffri? Nak tunggu bidadari turun? Tak tahulah kalau kamu layak dapat bidadari.”

Zaffri mengerling cermin pandang belakang. Wajah masam ibunya kelihatan jelas. Dia faham, ibunya sedang merajuk dengan kata-kata ayahnya tadi.

“Kahwin ni bukan perkara main-main. Biar lambat kahwin tapi kahwin dengan orang yang betul. Dari kelam-kabut kahwin cepat kemudian bercerai-berai sebab tak pilih betul-betul. Awak suka yang mana?” tanya Haji Badri lagi.

Puan Khamisah hanya berdiam diri.

“Ayah tak kisah. Kalau kamu suka Nora tu nanti, ayah terima. Kalau tak suka pun, ayah tak marah. Ayah faham, mana ada lelaki yang sihat fizikal dan mental yang tak mahu kahwin? Kalau tak mahu kahwin tu mestilah ada masalah. Betul tak?”

Zaffri tersenyum. Kata-kata ayahnya diiyakan sahaja dengan sekali anggukan. Sempat juga dia menjeling ke cermin pandang belakang memerhatikan gelagat ibunya yang masih lagi menarik muka.

“Lagipun ayah percaya, selagi jodoh tu belum sampai, belum sampailah jodohnya. Apa yang nak dirisaukan sangat? Kita berdoa dan berusaha sahajalah supaya jodoh itu menjadi rezeki kepada kamu. Insya-Allah, siapa pun jodoh kamu, dia akan jadi jodoh kamu,” sambung Haji Badri lagi.

“Tu dia, bang.” Dengan tiba-tiba Puan Khamisah bersuara. Waktu itu kereta yang dipandu oleh Zaffri susah bergerak perlahan di perkarangan rumah Pak Long Arip. Kelihatan tidak jauh dari situ, seorang gadis manis bertudung putih sedang sibuk menjemur kain di ampaian.

Serentak dengan itu, Zaffri dan Haji Badri memandang ke arah yang dtunjukkan. Hati Zaffri berdebar... cantik! 
******
SUDAH hampir sejam, Zaffri, Haji Badri dan Puan Khamisah berada di rumah Pak Long Arip. Sudah bermacam-macam topik cerita dibuka dan dibicarakan. Sudah habis juga kopi seteko dan kuih sepiring. Namun rasa malu tetap tidak hilang daripada diri Zaffri. Setiap saat, punggungnya terasa panas.

“Borak punya borak, dah nak masuk tengah hari rupanya, Sah. Marilah kita ke dapur tengok si Nora tu pula. Entah apa dimasaknya sorang-sorang,” kata Mak Long Yati, isteri Pak Long Arip. Orangnya gempal namun wajahnya bulat dan manis.

“Haah, kak. Marilah kita ke dapur pula. Zaffri pun dah lapar sangat tu,” balas Puan Khamisah sambil tersenyum sempul. Lalu kedua-duanya berjalan beriringan pula turun ke dapur.

Zaffri mengeluh kecil. Tak pasal-pasal, nama dia pula yang dibabitkan ibunya. Nampaknya, terpaksalah ditebalkan telinga dan dikaburkan matanya sepanjang masa berada di situ. Jika tidak diusik, diperli dan disindir, dia tentunya akan dijeling-jeling penuh makna. Dengan tiba-tiba, dia pula yang rasa seolah mahu dirisik dan pinang. Ini sudah terbalik! Protesnya dalam hati.

Tidak lama kemudian, sedang dia leka melayan Pak Long Arip berbual pasal tanah dan kampung itu, masuk seorang gadis yang ditunjukkan ibunya tadi.

“Pak long, mak jemput makan,” kata Nora tanpa mahu memandang sekalian yang ada di situ.

Pak Long Arip berpaling ke arah suara itu. “Hai… jemput pak long saja? Jemputlah sekali pak ngah dan Zaffri ni.”

Nora tersenyum. “Jemput, pak ngah,” katanya tanpa menyebut nama Zaffri apatah lagi memandangnya.

Haji Badri ketawa kecil. Sambil mencuit peha Zaffri dia mengangkat punggung. Di susuli Pak Long Arip. “Marilah kita makan dulu. Banyak lagi perkara yang nak dibincangkan ni.”

Zaffri mengikut sahaja langkah ayahnya. Dia bukan tidak biasa dengan rumah Pak Long Arip kerana itu juga rumah peninggalan neneknya dahulu, cuma tidak biasa dengan Nora dan situasi seperti itu. Rasa-rasanya, dia akan cepat kenyang.

“Hari ni special,” kata Mak Long Yati sambil tersenyum lebar semasa semuanya sudah berada di meja makan. “Semua ni Nora yang masak.” Dia mula menceduk nasi ke dalam pinggan.

Zaffri mengambil tempat di sebelah ayahnya. Dia biarkan sahaja semuanya berlaku sebagaimana yang semua mahukan. Dia hanya ingin semuanya cepat berakhir dan dia boleh balik semula ke Melaka secepat mungkin. Hatinya sudah dilambai-lambai untuk pulang.

“Ambillah gulai tu banyak sikit, Zaffri. Penat Nora tu memasak tadi kalau kamu tak nak rasa,” kata Mak Long Yati lagi. Gulai daging salai disudukan ke pinggan Zaffri.

Nora yang duduk di sebelah Puan Khamisah berwajah selamba. Sesekali kulit putihnya merona merah apabila diusik atau dipuji masakannya. Selain itu dia hanya membisu.

Zaffri tunduk menikmati apa yang ada di pinggannya. Tidak dinafikan, bahawa masakan yang dihidangkan itu memang sedap tetapi entah mengapa, ia seperti tidak memberi kesan yang besar kepada dirinya. Tidak pula menjadikan dia jatuh hati kepada Nora atau membuatnya terus menerima rancangan itu serta-merta. Semuanya seperti sama sahaja, seperti dia makan di kedai.

“Sedap tak, Zaffri?” tanya Pak Long Arip pula.

“Sedap,” jawab Zaffri. Dia tidak berbohong.

“Makan cepat. Lepas ni pergi ikut Nora ambil buah rambutan dekat belakang. Boleh juga kita makan sama-sama lepas ni,” sambung Pak Long Arip lagi.

Hampir tersembur nasi di dalam mulut Zaffri. 
******
HAMPIR setengah jam selepas itu, sedar-sedar sahaja Zaffri sudah berjalan-jalan di dalam kebun buah-buahan Pak Long Arip yang redup lagi nyaman. Di sebelahnya, Nora yang berjalan lambat-lambat. Dia tahu apa tujuan Pak Long Arip menyuruhnya ke kebun itu bersama Nora cuma… dia memang mati akal untuk menegur gadis itu. Namun satu keputusan perlu diambil dan dia berharap sangat agar Nora menjadikan segala-galanya lebih mudah.

“Abang biasa ke sini?” tanya Nora sambil menjeling Zaffri di sebelahnya. Di tangannya ada sebuah raga kosong.

“Biasa. Ni kan kampung abang juga?” balas Zaffri. Sedikit jengkel, adakah Nora tidak mengenali siapa dirinya? Dia yakin, di antara dia dan Nora, dia lebih arif tentang selok belok kebun malah tentang kampung itu.

“Tapi kenapa kita tak pernah jumpa ya? Nora pun kerap juga ke rumah pak long sejak mak ayah Nora meninggal.”

Mata Zaffri terkebil-kebil. Memang betul kata Nora. Selama beberapa tahun kebelakangan ini sahaja dia mendengar nama Nora disebut-sebut Mak Long Yati, sebelum itu tidak ada ataupun dia yang tidak perasan.  “Dulu Nora tinggal di mana?”

“Di Kuantan.”

“Sekarang?”

“Di KL. Abang kerja di Melaka, kan?”

Zaffri angguk lagi. Keramahan Nora mengendurkan sedikit ketengangan yang dirasakan sejak tiba di situ. Makin lama dia makin selesa dengan Nora walaupun hatinya bagaikan merajuk untuk merasai sebarang perasaan. Suka tidak, benci pun tidak. Tetapi dia tahu, dia dan Nora perlu berbincang tentang sesuatu yang penting hari itu.

“Nora tahu kenapa abang balik hari ni?”

Langkah kaki Nora terhenti. Dia mengangguk sekali sebelum meneruskan langkahnya mencari pokok rambutan yang sesuai diambil buahnya. Riak wajahnya selamba sahaja bagaikan perkara itu tidak langsung membebankan fikirannya.

Zaffri yang memerhati, mula terasa hairan. Pada pandangannya, Nora bukanlah gadis sunti yang baru mengenali dunia. Gadis itu nampak bijak dan terbuka. Lagipun, dari cerita-cerita yang keluar daripada mulut Mak Long Yati tadi, dia tahu Nora berpendidikan dari sebuah universiti. Bukan calang-calang juga ijazahnya. Pendek kata, Mak Long Yati berbangga betul dengan anak saudaranya itu.  Jadi sepatutnya Nora juga seperti dia, berasa tidak selesa dengan aturan jodoh sebegitu.

“Apa pendapat Nora?”

Nora tersenyum.

“Cakaplah. Apa pendapat Nora dalam hal ni. Tidak ke Nora rasa pelik?”

 “Pelik? Nora tak kisah tapi pada zaman sekarang ni… ada ke orang yang berkahwin atas aturan keluarga? Bukan ke orang lebih suka cari pasangan sendiri, pilih sendiri, bercinta, baru berkahwin?”

“Itu yang pelik tu. Kenapa Nora boleh kata tak kisah sedangkan Nora tak kenal abang?” balas Zaffri. “Nora tak takut ke kalau abang ni lelaki yang jahat dan sia-siakan hidup Nora nanti? Nora tak menyesal?”

Nora dengan tiba-tiba sahaja ketawa.

“Mustahil Nora tak takut. Tapi Nora sentiasa berdoa kepada Allah swt untuk memberikan Nora jodoh yang baik. Jadi jika abang jodoh Nora, tentulah abang baik untuk Nora. Nora terimalah abang sebagai rezeki Nora.”

Jawapan Nora yang panjang itu membuatkan Zaffri terdiam. Ternyata dia tidak punya alasan yang konkrit untuk menolak Nora. Kepalanya semakin pening untuk mencari alasan supaya Nora menolak dirinya.

“Nora… Nora tak ada pilihan sendiri ke? Abang ni dahlah gemuk, tak lawa, tak kaya. Nanti Nora menyesal tak pilih orang lain pula,” balasnya selamba.

Nora menggeleng. “Ayah dan mak dah tanya soal tu. Nora kata tak ada.”

“Betul tak ada ni?” Zaffri sukar untuk mempercayainya kerana jika dilihat secara mata kasar, Nora boleh digolongkan dalam kategori gadis yang cantik, manis dan ayu. Selalunya gadis secantik Nora, cepat sahaja disambar orang. Apa yang tidak kena?

“Buat apa Nora nak bohong pula? Kalau ada, kat mana Nora nak buang boyfriend Nora tu?”

Zaffri angkat bahu. Keliru sekali fikirannya. “Abang ni serba kekurangan, Nora. Abang tak mahu Nora kecewa.”

“Nora yang akan kecewa ataupun abang?”

Zaffri tergamam. Dengan tiba-tiba sahaja dia kehilangan kata-kata untuk membalas serangan Nora.

“Nora pun tak sesempurna mana. Tetapi adakah manusia yang sempurna?” sambung Nora lagi.

Lagi sekali, Zaffri jadi mati akal. Ternyata Nora cekap berhujah.

“Abang pula macam mana?” tanya Nora. “Apa pendapat abang dalam soal ni?”

“Apa?” Zaffri bertanya semula. Leka pula dia mengait buah rambutan yang kuning terang di atas pokok. Sambil mengait, otaknya ligat berfikir mencari hujah untuk menyakinkan Nora bahawa dia bukanlah pilihan terbaik untuk dijadikan suami. Tapi buat apa pula? Bukankah kuasa menolak di tangannya?

“Abang pula macam mana? Dah ada girlfriend ke?” balas Nora. Dia tersenyum sambil menanti Zaffri memberikan jawapan.

“Nora fikir bagaimana?”

Nora angkat bahu tetapi dia tetap tersenyum manis.

“Kenapa senyum?” tanya Zaffri. Entah kenapa, senyuman Nora dirasakan seolah memerlinya. Yalah, jika dia ada kekasih, tentulah dia tidak berada di situ dengan seorang gadis yang dicarikan oleh ibunya.

“Kalau abang terima Nora, Nora terima abang. Kalau abang tak terima Nora, Nora reda.” Lain pula yang dijawab oleh Nora. Tangannya ligat mengutip buah-buah rambutan di atas tanah lalu dimasukkan ke dalam raga.

“Nora tak marah kalau abang tak terima aturan ini?”

Nora menggeleng.

“Kenapa?” Zaffri berasa semakin keliru. Kenapa Nora tak marah? Dan bagaimana pula gadis secantik Nora boleh terus sahaja menerima dirinya dengan mudah? Apa yang sudah diceritakan oleh Pak Long Arip dan Mak Long Yati kepada Nora sehingga Nora menerimanya bulat-bulat?

Nora tersenyum sahaja. “Marilah kita balik, mereka dah tunggu kita tu.”

“Tapi apa keputusannya?” tanya Zaffri. Dia jadi takut nak balik ke rumah Pak Long Arip. Dia takut ditanya apa-apa.

“Terpulang pada Abang Zaffri. Nora ikut sahaja,” jawab Nora sambil melenggang balik.

Zaffri mendengus geram. Jawapan Nora tidak langsung membantu. Raga yang berisi rambutan itu dibawa balik. Namun semakin hampir ke rumah, semakin berat rasanya raga itu.