Friday, June 28, 2013

SUARA TENGAH MALAM : Bab 2 - Dia sudah lama menangis


Bab 2 : Suara Tengah Malam sudah disiarkan di ILHAM


Petikan:

“Berhentilah buat kerja tak guna tu. Zaman sekarang ni, orang hanya fikirkan pasal duit bukan pasal dendam. Lagipun perempuan boleh dibeli. Dan untuk kau abang boleh beri percuma. Cakap saja nak dari negara mana, bangsa apa, semuanya ada.” Botak ketawa sendiri.
“Kau mana faham?” balas Zed. “Kau bukan pernah bercinta.”
“Cinta? Ada apa pada cinta?” Botak ketawa besar bagaikan orang mabuk. “Cinta itu alasan budak-budak yang tak ada duit. Hulur cinta dapatlah perempuan yang boleh dibawa tidur. Tapi kita orang kaya. Kita tak pakai cinta, kita pakai duit. Pakai duit!”

Zed tidak membalas. Wajahnya tetap dingin dan beku seperti hatinya juga. Dia tidak peduli apa pendirian Botak pasal cinta, dia cuma percaya kepada pendiriannya sahaja.

Wednesday, June 26, 2013

SURA TENGAH MALAM - BAB 1 - Dia Sudah lama menangis

Akan terbit pada bulan 9 !


Bab 1 sudah disiarkan di ILHAM.



“Rm 40.00 satu malam. Bilik tak ada aircond tapi ada kipas,” terang seorang perempuan Cina yang berusia dalam lingkungan 40-an. Rambutnya kembang dan berkerinting. Hanya dia yang ada di kaunter pertanyaan rumah tumpangan di situ.
“Toilet?” Adam bertanya dengan suara yang kuat bagi menyaingi bunyi televisyen di belakang kaunter itu.
Wanita itu mengangguk.
Adam berasa sungguh lega. Soal lain dia tidak kisah sangat tetapi jika soal bilik air, dia tidak sanggup berkongsi dengan sembarangan orang. Dia mudah jijik, tandas awam pun dia selalu elakkan.
“Saya mahu satu malam dulu.” Hatinya kini lega. Akhirnya dia dapat juga tempat bermalam. Tempat untuk merebahkan badan dan melepaskan rasa penat setelah memandu seharian.

Sunday, June 23, 2013

PROLOG : Novel SUARA TENGAH MALAM - Dia sudah lama menangis.


Assalamualaikum. Saya ingin berkongsi berita yang baik dengan pembaca-pembaca setia blog ini iaitu jika tidak ada aral melintang, pada bulan 9 nanti, sebuah novel baru saya akan diterbitkan oleh Buku PRIMA di bawah tajuk  'SUARA TENGAH MALAM"

Unuk pengetahuan anda, SUARA TENGAH MALAM adalah tajuk baharu kepada mss Misteri Cinta Semalam.

Mulai minggu ini saya akan muat naik semula kesah tersebut di ILHAM. Anda boleh baca semula perjalanan ceritanya hingga bab ke 25.

PROLOG boleh dibaca di sini:  PROLOG Suara Tengah malam

Terima kasih atas sokongan setia anda.

Friday, June 21, 2013

Cerpen ' Mencari Hakiki' dalam Mingguan Wanita


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi. Sebuah lagi cerpen saya diterima untuk disiarkan di majalah 
Mingguan Wanita bil 1544.

Jemputlah baca ya.

Saya juga ingin membuat pengumuman bahawa dalam masa beberapa bulan lagi, sebuah novel terbaru saya akan muncul di pasaran. Buat masa ini tajuk dan kulit muka belum ditetapkan nanti. 
Akan saya umumkan di sini nanti.
Doakan semuanya berjalan dengan lancar ya.
Terima kasih atas sokongan setia anda, pembaca blog KC.

Saturday, June 15, 2013

Hari Harta Intelek Negara 2013 dan Seminar Hak Cipta


Pada hari Khamis ( 13 Jun 2013), saya  mewakili IPM (Ikatan Persuratan Melayu) untuk menghadiri acara perasmian Hari Harta Intelek Negara 2013 yang diadakan di MITC. Acara ini telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Hasan dan juga Ketua Menteri Melaka, YB Dato' Wira Ir. Ideris.


Menteri,  Ketua Menteri Melaka bersama exco, dan barisan kehormat di atas pentas sejurus sebelum upacara perasmian.


Seminar Hak Cipta : Tuan Zahrin Zamzuri (Jackal), Tuan Mohamed Fairuz (Pengarah Bahagian HakCipta Myipo) dan Novelis Puan Fauziah Ashaari.


Pada hari Jumaatnya pula ( 14 Jun 2013), saya menghadiri Seminar Hak Cipta yang dianjurkan oleh Perbadanan Hata Intelek Malaysia (Myipo) di MITC. Dalam seminar ini saya didedahkan mengenai Hak Cipta sesuatu karya, undang-undang dan cara permohonan kepada pihak Myipo. Pada sesi ketiga, diadakan sesi dialog bersama kartunis Jackal dan juga Novelis Fauziah Ashaari (Ombak Rindu) yang berkongsi mengenai pengalaman mereka dalam hal bersangkutan dengan hak cipta.

Secara keseluruhannya, saya amat bersyukur kerana didedahkan dengan acara dan seminar ini di mana saya mula sedar akan hak intelek saya. Inya-Allah, dalam sedikit masa lagi saya akan mendaftar karya-karya saya di Myipo sebagai harta intelek.

Wednesday, June 12, 2013

Sajak 'BENIH' di akhbar Harian METRO


Akhbar Harian METRO
Selasa 11 Jun 2013

Alhamdulillah, ini sajak ke 3 saya yang disiarkan di HMETRO setakat ini. Buat masa ini saya masih menghantar nukilan-nukilan sajak saya bersama cerpen kepada akhbar dan beberapa majalah untuk mencari ruang penyiaran.

Terima kasih atas sokongan.

Tuesday, June 4, 2013

Bengkel Penghayatan Puisi bersama Cikgu Amni Jagat


Pada 25 hb Mei 2013 yang lalu, bertempat di Hotel Hang Tuah City, Melaka, IPM (Ikatan Persuratan Melayu) telah mengadakan sebuah bengkel penghayatan puisi yang dikendalikan oleh seorang penyair iaitu Cikgu Amni Jagat. 
Saya telah menghadiri bengkel ini sebagai  salah seorang peserta. 

Menunggu giliran untuk naik ke pentas.


Sedang 'membaca' sajak.

Seharian berada di bengkel, saya didedahkan dengan banyak pengalaman dan pengetahuan dunia puisi dan berharap agar dapat terus menghadiri lebih banyak bengkel selepas ini.

Terima kasih kepada IPM dan khasnya kepada Cikgu Amni Jagat yang telah sudi berkongsi pengalaman pahit manisnya dalam dunia puisi.