Sunday, September 29, 2013

BAB 2 : LENGLOI ~Wa Cinta Lu Sampai Wa Mati


Bab 2 : LENGLOI



Kita baca kisah Muthu dan kedai daun pisangnya dahulu, okey? Kita kenal sama Devi, appa dan ammanya dahulu. Kita kenal sama Lim, Suzy dan Auntie May. Kita kenal sama lengloi.... benarkah semua peritiwa yang berlaku di situ berpunca daripada dia?

LENGLOI- Wa Cinta Lu Sampai Wa Mati. Selamat datang ke Lot 55, Lorong Setia 1 

Saturday, September 28, 2013

Cerita baru: LENGLOI ~ Wa Cinta Lu Sampai Wa Mati...





Jemput baca sebuah cerita Misteri-Seram yang baharu di halaman ILHAM bertajuk :

 LENGLOI -Wa Cinta Lu Sampai Wa Mati..

“Porah!” Pelanggan itu meludah sekali lagi selepas puas memaki hamun Muthu.
Kali ini, Muthu lupa diri. Sedar-sedar sahaja penumbuknya sudah melayang ke muka pelanggan tadi. Dia sendiri terdorong ke arah meja dan pelanggan tadi terjatuh ke atas lantai. 
Kedai menjadi gempar. Mujurlah kedua-dua dapat dipegang oleh pelanggan lain yang ada di situ.
Bersama sumpah seranah yang tidak putus-putus, pelanggan tadi meninggalkan kedai setelah dipaksa keluar dari situ oleh Balan. Disusuli dengan ancaman untuk membakar kedai Muthu ataupun menyamannya berjuta-juta.
Muthu tercungap-cungap mengambil nafas. Dia bingung dengan apa yang baru berlaku. Dalam kekalutan itu, dia hanya mampu melihat pelanggan-pelanggannya mula meninggalkan kedai kecuali Lim.

http://ilham.karangkraf.com/karya-detail.aspx?idk=1766&idc=8615#.UkbaKtI3vfI

Terima kasih kepada pembeli dan pembaca novel Suara Tengah Malam walau di mana anda berada. Sayang anda semua.


Thursday, September 19, 2013

Cerpen : Luka Yang Dilukai


Cerpen : LUKA yang dilukai
Majalah : Mingguan Wanita
Bil 1557

Jemput beli dan baca ya.
Terima kasih.
Novel Suara Tengah Malam masih ada stpk pada saya. Sesiapa yang berhajat memilikinya boleh hantar pesanan menerusi e-mel : pnmaria1@gmail.com

Friday, September 6, 2013

Cerita Cinta: Dia, yang memanggil aku Cinta.

‘Hai, Cinta. Dah makan?’
‘Hai, Cinta. Sibuk tak hari ini?’
‘Hai, Cinta. Sihat tak?’
Cinta.
Cinta. Cinta.
Setiap kali bersua dengan dia, dia mesti memanggil aku ‘Cinta’. Padahal, dia bukan tidak tahu nama aku yang sebenarnya. Nama aku bukan Cinta. Bukan.
Kadang-kadang aku naik rimas dengan panggilan itu. Naik malu. Naik bosan tetapi dia tetap juga memanggil aku Cinta.
“Kenapa kau panggil aku Cinta?” Pada satu hari kira-kira lima tahun yang lalu, kesabaran aku hilang. Aku bertanya juga apa yang ingin sangat aku tahu.
“Sebab aku cintakan kau dan kau lelaki yang aku cinta,” jawabnya selamba. Begitu yakin dan lancar bagaikan di hatinya jawapan itu sudah dipahat kukuh.
Kulit mukaku terus membahang. Walaupun jawapan itu sudah aku duga namun apabila diucapkan dari sepasang bibir seorang gadis sepolos Maya, aku jadi malu.
“Cinta?” Aku kemudian ketawa besar sambil cuba menepis rasa malu dan sekaligus cuba menolak harapan yang dilontarkan oleh Maya. Aku tidak cintakan Maya dan aku tidak mahu Maya mencintai aku. Aku juga mahu Maya tahu, aku bukanlah lelaki yang akan membalas cinta dia. Sayangnya, Maya tetap begitu juga. Dia bukan sahaja tidak mempedulikan semua itu malah tetap memanggil aku ‘Cinta’
Namun satu perkara yang aku puji tentang Maya adalah… dia tidak akan memanggil aku ‘Cinta’ di hadapan orang lain. Yang itu aku memang puji.
****
Hari demi hari berlalu.
Maya tetap begitu. Tetap bersahaja orangnya. Kalau bertemu dengan aku di perpustakaan atau di mana-mana dia tetap dengan ‘Cinta’ nya sehinggakan lama-lama aku sudah berasa lali. Sudah tidak berasa apa-apa lagi. Terpulanglah pada dia, hendak memanggil apa pun. Lagipun panggilan itu tidaklah seteruk mana. Maka hiduplah aku bersama ‘Cinta’ di mana-mana apabila terserempak dengan Maya.
“Cinta, assignment kau dah siap?”
“Ada lagi dua soalan. Dah puas aku buat tapi tak juga dapat-dapat jawapan yang betul,” balasku sambil melepaskan keluhan. Sudah dua jam memerah otak menyelesaikan soalan-soalan tugasan, aku masih berbelit di tempat yang sama. Buntu.
“Meh, aku tolong kau.” Maya terus menarik kerusi di sebelah aku dan meletakkan buku-bukunya di atas meja. Dia keluarkan tugasannya yang sudah siap.
Sejujurnya aku berasa lega. Sememangnya Maya pelajar terbaik dalam jurusan yang aku ambil di kolej itu. Sudah tiga semester, Maya dapat ‘four flat’. Sedangkan aku boleh dikatakan pointer 3.0 pun susah hendak lepas. Dalam hal ini juga aku cukup kagum dengan Maya. Dalam sibuk ‘bercinta’ itu, pelajarannya tetap nombor satu.
“Cinta, engkau salah formulalah…” Maya mula membebel tanpa memandang aku.

Aku tersengih sahaja. Dari sisi aku merenung wajah Maya yang khusyuk membuat kiraan di atas kertas. Maya memang cantik dan menarik tetapi entah kenapa hati aku sahaja yang tidak terbuka untuk dia. Mungkinkah kerana aku seorang lelaki yang setia kepada satu?

BACA sambungannya di: 

Thursday, September 5, 2013

Coretan Majlis Perjumpaan Penulis-Penulis Grup Buku Karangkraf (GBK)


Pada 31 Ogos 2013 yang lalu, bertempat di bangunan Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam, Selangor, satu perjumpaan diadakan untuk penulis-penulis di bawah naungan Grup Buku Karangkraf (Alaf 21, Buku PRima dan juga KaryaBistari). Perjumpaan ini yang turut disertai oleh para editor, staf penerbitan sehinggalah kepada bahagian pentadiran tertinggi GBK.

Saya bertolak dari Melaka sebaik sahaja selesai bersolat Subuh dan berhenti minum pagi di R&R Ayer Keroh sebelum menyambung perjalanan ke Shah Alam. Agak tersesat pada mulanya namun setelah bertanya kepada seorang penjual, akhirnya saya dapat juga tiba di bangunan Karangkraf sebelum pukul 9.00 am.

Sebaik sahaja saya tiba, saya terus disambut oleh Editor novel Suara Tengah Malam iaitu Norfilzah dan juga beberapa Editor yang lainnya. Setelah mendaftar dan mengambil kad nama saya menyertai penulis-penulis lain untuk bersarapan. Sekiranya tidak salah saya, ada lebih kurang 200 orang penulis yang hadir di majlis tersebut.

Di majlis tersebut juga, saya bertemu dengan Mya Effa atau biasa saya panggil Effa. Tidak lama lagi novel pertama Effa akan diterbitkan di bawah label Buku PRIMA. Tahniah buat Effa.

Bersama Mya Effa

Selain Effa saya bertemu dengan ramai penulis yang besar-besar namun masa yang teramat suntuk membatasi kesempatan untuk saya bercakap dengan semua yang hadir di situ. Dalam masa yang suntuk itu juga, saya sempat menandatangani beberapa buah novel Suara Tengah Malam yang dibeli oleh rakan-rakan penulis yang sudi memberikan sokongan. Terima kasih kepada mereka.



Secara amnya, saya berpuas hati dengan perjalanan masjlis tersebut. semuanya diuruskan dengan baik dan saya percaya pihak pengurusan telah sedaya upaya melakukan yang terbaik dan termampu untuk mereka mendekati penulis dan menyampaikan perancangan mereka kepada penulis. Besar harapan saya agar majlis seumpama ini ataupun yang lebih kecil diadakan lagi untuk membantu penulis-penulis berkerjasama dengan GBK pada masa hadapan.

Saya balik ke Melaka sebaik sahaja habis majlis perjumpaan tersebut bersama stok novel yang saya beli di sana. Alhamdulillah, perjalanan balik diiringi hujan renyai namun semuanya berjalan lancar.

Tuesday, September 3, 2013

Stok novel SUARA TENGAH MALAM


Alhamdulillah, stok novel SUARA TENGAH MALAM sudah berada di tangan saya. Sebenarnya boleh dikatakan hampir kesemua novel-novel di atas sudah ada pemiliknya.Hanya tinggal beberapa buah sahaja lagi yang masih belum ada pembeli.

Buat masa ini juga novel SUARA TENGAH MALAM sudah berada di MPH, POPULAR dan kedai-kedai buku yang lainnya.

Saya harap semua kawan-kawan sudi mendapatkan sebuah naskhah STM untuk dibaca dan difahami apa yang cuba saya sampaikan.

Terima kasih banyak atas sokongan dan kesudian anda mendapatkan novel STM. Saya harap anda berpuas hati, terhibur dan mempelajari sesuatu daripadanya. Saya hanya dapat membalas budi baik anda dengan doa semoga andamurah rezeki, diberikan rezeki yang halal lagi diberkati. Aamiin.

Kepada yang ingin mendapatkan novel ini dengan tanda tangan saya, boleh hubungi saya di e-mel: pnmaria1@gmail.com.

Harga Semenanjung :  RM 23.00 (termasuk pos laju)
Harga Sabah/Sarawak  RM 26.00 (termasuk pos laju)


"Ada orang kirim salam sayang sama lu, bro" - Suara Tengah Malam