Thursday, November 21, 2013

Cerita : Nasi Lemak Tiga Bungkus..



“KAU ingat pesan kami ni sampai bila-bila,” kata Usop. Jari telunjuk kanannya tepat ke muka Azhar. Khairul yang berdiri di sebelahnya hanya memandang tanpa suara.
Azhar teranguk-angguk. Gementar juga jiwanya apabila diingatkan begitu. Rasa seperti diugut pun ada, walhal itu cuma satu peringatan yang cukup mudah. Ingin sahaja dia menggaru kepala pada saat itu tetapi wajah Usop yang begitu bengis membuatkan dia ragu-ragu. Tidak pasti bagaimana perasaannya dapat dizahirkan. Lalu semuanya terbuku dalam dada.
“Ingat tau!” Sekali lagi Usop membentak sebelum keluar dari bilik kecil itu. Bilik yang lebih besar sedikit daripada bilik air. “Kalau kau lupa, kau siaplah!”
Azhar angguk lagi bagaikan pak turut. Apa lagi yang boleh dilakukan oleh seorang pekerja baru seperti dia? Itulah hari pertama malah malam pertama dia masuk bekerja di Restoran Nasi Lemak Zupp! 24 Jam Buka. Kebetulan malam itu, dia ditugaskan di bilik pesanan iaitu sebuah bilik yang kecil. Selain dia, hanya ada Usop dan Khairul yang bertugas daripada pukul 12.00 malam hingga ke pukul 7.00 pagi nanti.
Di dalam bilik itu hanya ada mempunyai sebuah meja, sebuah kerusi dan sebuah telefon. Pada dindingnya pula dipenuhi pelbagai iklan dan kertas yang ditampal-tampal. Kenapa Usop mengarahkan dia duduk di bilik yang sempit itu sepanjang masa, dia tidak tahu tetapi sejak dia masuk kerja tadi, di situlah dia disuruh duduk dan diajar cara menjawab panggilan pelanggan. Cuma pesanan terakhir Usop tadi yang membingungkan dia.
Sudah sejam masa berlalu. Dia semakin jemu di situ. Radio kecil yang dipasang di situ pun gagal membuatkan dirinya terus segar. Dia menoleh ke arah jam kecil di atas meja sisi. Sudah dekat pukul 3.00 pagi. Lagi lebih kurang 20 minit sahaja lagi.
“Huwarghhh….” Dia mula menguap panjang. Bukan kali pertama tetapi sudah entah ke berapa kali. Makin lama makin panjang, makin berat. Kelopak matanya makin ditarik-tarik untuk tertutup. Tak boleh jadi ni, bentak hatinya. Kalau tertidur malam pertama bekerja, jatuhlah air muka. Dia lantas bangun meluruskan kaki dan tangan. Merenggang-renggangkan pinggang. Kemudian dia terperasan sesuatu.
Kenapa senyap sahaja? Ke mana mereka berdua ni pergi ya? Dia tertanya-tanya sambil menjenguk ke muka pintu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk meninggalkan bilik itu sebentar. Dari bilik pesanan, dia melangkah ke bahagian depan. Apa yang dilihatnya sungguh mengejutkan.
“Tidur?”
Dia tercengang seketika apabila melihat Azhar dan Khairul sedang berdengkur di sudut lantai dapur. Siap berbantalkan beg masing-masing dan berselimut kain pelikat. Amboi! Patutlah suruh aku jaga telefon. Nak membuta rupanya, hatinya mula merungut geram. Panas sekejap dadanya.
Kring! Kring! Kring!
Dia tersentak. Alamak! Order! Dia bergegas semula masuk ke dalam bilik pesanan. Ganggang telefon berwarna merah hati dan berbau hapak itu diangkat segera. Kembang kempis sekejap lubang hidungnya menahan bau yang semerbak itu.
“Helo. Nasi Lemak Zup 24 jam!” jawabnya dengan bersungguh-sungguh.

BACA sepenuhnya di sini (TEKAN LINK) 

Wednesday, November 20, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 7



Bab 7
Kuala Lumpur.
BLOK B di kawasan Flat Seri Mastura sudah jauh berubah. Begitu juga dengan Blok A, C dan D. Kesemuanya sudah dicat baru dan segala kerosakan telah dibaikpulih sepenuhnya. Lif tidak lagi rosak, alat permainan di taman permainan pun sudah ditukar ganti. Pendek kata, kawasan itu kini sudah kembali ceria setelah bertukar pemaju. Penduduk juga sudah ramai, tidak seperti waktu dahulu.
Di bawah flat itu, kafé milik Mak Ani mula dikunjungi pelanggan yang rata-ratanya adalah penghuni di sekitar flat itu juga. Waktu makan tengah hari adalah waktu yang paling sibuk walaupun hari itu adalah hari Sabtu. Antara yang sibuk membantu ialah Maria.
“Mana Joe? Kenapa tak turun?”
“Tidurlah agaknya tu. Kadang-kadang tu, dia lebih lelap daripada Daniel. Daniel dah bangun, dia belum lagi.” Maria tersenyum namun tangannya tetap ligat menceduk nasi untuk pelanggan.
Mak Ani hanya menggeleng, dia menyimpan kain yang digunakan untuk mengelap meja yang baru dikosongkan pelanggan sebentar tadi.
“Tak apalah, mak. Malam tadi dia overtime sampai pukul 11.00 malam. Letih lagilah tu agaknya.”
“Maria pun letih juga. Bukannya Maria duduk goyang kaki?” balas Mak Ani.
Maria tersenyum tenang. Dia bimbang ibu mertuanya menyangkakan yang bukan-bukan terhadap suaminya. Dia faham Joe penat bekerja sepanjang minggu. Ditambah kerja lebih masa hingga ke tengah malam, dia boleh melihat sendiri betapa penat suaminya mencari nafkah untuk dia dan Daniel.
“Saya kan ada tolong mak? Biarlah dia berehat,” katanya dengan lembut.
Mak Ani tidak menjawab. Dia duduk sahaja di atas kerusi di tepi kaunter.
Maria pun mendekat. Dengan teragak-agak dia berkata, “Mak… semalam Anis telefon saya.”
“Tak ajak dia ke mari?” tanya Mak Ani pula.
Maria terdiam sebentar. Bukan dia tidak mahu mengajak, malah jika dia tidak mengajak pun… Anis sepatutnya sudi datang ke situ. Mereka semua bukannya orang lain, semuanya sudah seperti satu keluarga walaupun kedudukan mereka sudah berbeza.
“Dia ke Melaka, mak,” jawab Maria. Mungkin itulah jawapan yang paling selamat. “Saya ingat… saya pun nak ke sana jumpa dia. Mak nak ikut sekali?”
“Kedai ni siapa nak jaga? Nak harapkan Abang Mat kau tu… ada yang hangus kat dapur tu. Nanti lauk ke mana, kedai ke mana,” balas Mak Ani sebelum ketawa kecil.
Nampaknya ibu mertuanya menolak dan sekaligus memberikan alasan yang konkrit. Sememangnya di kedai itu bukanlah ramai sangat pekerja yang boleh diharapkan. Abang Mat pula lebih banyak di dapur kerana kerjanya hanyalah sebagai seorang tukang masak.
“Bila nak pergi? Nak bawa Daniel sekali ke nanti?” tanya Mak Ani pula apabila Maria asyik termenung.
“Belum tahu. Tunggu Anis SMS. Dia pun baru sampai ke sana hari ni,” terang Maria kelam kabut. Hilang sudah segala yang difikirkan tadi.
“Di Melaka tu… dia tinggal di mana? Di hotel?”
Maria menggeleng. “Rumah dia sendiri. Tan Sri yang belikan untuk dia.”
Mak Ani seolah-olah tergamam mendengarnya. “Bertuahlah dia. Tan Sri anak-beranak tu memang baik orangnya.”
Maria tidak menafikan langsung. Malah dia dan Joe sendiri telah mendapat sebuah rumah percuma di kawasan itu sebagai hadiah perkahwinan mereka berdua. Cuma dia tetap tidak mahu tinggal di Blok C yang banyak menyimpan kenangan dia bersama Anis, lalu dia memilih sebuah rumah di Blok B juga cuma berlainan tingkat dari rumah Mak Ani. Jadi dia tidak hairan jika Tan Sri Dzairil ataupun Damien menghadiahkan Anis sebuah rumah yang lebih besar dan gah. Mereka mampu.
“Tengoklah apa dia buat pada flat kita ni kan, mak?”
“Sebab arwah Danny dulu memang nak ambil alih tempat ni daripada pemaju yang lama. Tan Sri hanya tunaikan hajat tu walaupun anaknya tu dah tak ada,” jawab Mak Ani.
Mereka berdua seolah-olah tenggelam dalam kenangan lama. Masing-masing teringatkan arwah Danny, kembar Damien yang rangkanya ditemui oleh Anis di atas bumbung Blok C hampir tiga tahun yang lalu. Disebabkan peristiwa itulah mereka semua menjadi rapat namun mereka juga tidak pernah menyangka bahawa Tan Sri Dzairil begitu baik dan pemurah kepada mereka sekeluarga.
 “Jadi mak setuju kami pergi ke sana?”
“Asalkan jangan pergi lama sangat, sudahlah. Mak rindu cucu mak sorang tu,” balas Mak Ani ambil tersenyum memandang Daniel yang sedang didukung Joe masuk ke dalam kafe itu.
Maria diam sahaja. Terus tidak sampai hati untuk memberitahu rancangannya.
*****
PETANG itu, semasa Maria cuba memujuk Daniel tidur, dia dihubungi oleh Cik Pia dari Mauritius.
“Ingatkan, dah lupa kita kat sini,” usik Maria.
“Mana boleh lupa? Ofis macam mana?” tanya Cik Pia.
“Semuanya okey.”
“Slow saja jawab ni? Ada masalah ke?”
“Cik Pia jangan risaulah. Semuanya okey,” tegas Maria.
“Habis tu bunyi macam sedih saja ni?” pintas Cik Pia.
“Tak ada apa, Cik Pia. Cuma saya nak ke Melaka beberapa hari, agak-agaknya boleh tak saya ambil cuti? Kalau dapat dua hari pun tak apa.” Maria luahkan juga permintaannya. Sememangnya perkara itu pun menyesakkan kepalanya juga. Bagaimana kalau dia tidak dapat bercuti sementara Anis berada di Melaka? Hancur sahajalah rancangannya.
“Nak ke Melaka? Ada apa kat sana?”
“Nak ke rumah Anis.” Maria pun menceritakan hal yang sebenar.
“Kalau macam tu, ambil sajalah cuti. Asalkan tak kena dengan waktu cuti umum, tak apalah. Kalau tak, nanti kelam-kabut. Pengunjung ramai waktu tu,” balas Cik Pia lagi.
“Nanti saya periksa kelendar. Kita cuti hari Isnin, kan? Saya cubalah cuti Isnin sampai Rabu ke. Nanti saya maklumkan pada Cik Pia lagi.” Di kepalanya terbayang kesibukan pengunjung yang mandi-mandi di Taman Air Vienna (TAV) yang diuruskan sekarang. Betul juga kata Cik Pia, dia harus mencari hari yang sesuai untuk bercuti. “Cik Pia jangan risaulah pasal TAV, honeymoon sajalah di sana puas-puas.”
Cik Pia tergelak di hujung talian.

Setelah telefon bimbitnya menjadi senyap, Maria terbayangkan wajah ibu mertuanya. Dia masih tidak dapat mencari kekuatan untuk memujuk wanita itu.

Monday, November 18, 2013

Sesi Temu Mesra di Selayang Mall

Alhamdulillah, semalam (17 November 2013) telah berlangsung satu Sesi Temu Mesra di Jualan Buku POPULAR yang diadakan di ruang legar bawah bangunan Selayang Mall.

Oleh kerana novelis Hanani tidak menghadirkan diri, maka saya bertugas bersama novelis Herna Diana.

Sesi berjalan lancar dan berakhir pada pukul 4.00 petang.




Saya bersama novelis Herna Diana

Semoga berjumpa lagi di sesi temu mesra pada bulan hadapan di Pesta Buku 1 Malaysia -PWTC


Saturday, November 16, 2013

Jumpa saya di Selayang Mall sempena Pesta Buku POPULAR


Bersempena dengan Pesta Buku Popular di Selayang Mall, saya akan menghadiri satu sesi temu mesra bersama pembaca:
Tarikh:  Ahad 17 November 2013.
Masa  : 2.00 pm-4.00 pm

Jemput hadir beramai-ramai. Sekiranya anda sudah membeli novel Suara Tengah Malam dan belum ditandatangani oleh saya, boleh bawa ke sana nanti dan dapatkan hadiah comel daripada saya ya.
Jumpa di sana.

Kepada yang belum mendapatkan novel Suara Tengah Malam, boleh dapatkan di sana nanti.



Thursday, November 14, 2013

Sejak Kita Bertemu: Bab 6


Bab 6
Sementara itu di Kuala Lumpur…
TAN SRI DZAIRIL meletakkan telefon bimbitnya di atas meja semula. Dia menggamit Khairul agar datang segera kepadanya. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan sebelum rakannya yang lain tiba di lounge hotel itu untuk minum dan berbual-bual seperti selalu.
“Yahya ada letak pembantu rumah di rumah tu?”
Khairul tersentak. “Pembantu rumah? Saya pun tak pasti, Tan Sri. Tan Sri nak saya suruh  Pak Din hantar Mak Bija ke sana?”
“Bukan itu. Tapi Dami kata tadi, di sana dah ada pembantu rumah,” terang Tan Sri Dzairil. Dia tahu Khairul telah keliru dengan pertanyaannya tadi.
“Di rumah tu ada pembantu rumah? Nanti saya telefon Encik Yahya,” balas  Khairul pula. Telefon bimbitnya dikeluarkan daripada poket seluarnya.
“Dia ada di Thailand. Dami dah telefon tadi.” Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang. Dia sedikit kesal walau tidak menganggap itu masalah yang terlalu besar.
“Tapi eloklah kalau ada pembantu rumah. Rumah tu kan besar?” tanya Khairul pula.
Tan Sri Dzairil mendongak memandang Khairul. Baru dia sedar yang Khairul tidak memahami semua perkara.
Khairul termangu sebentar tetapi dia menjawab juga, “Tan Sri nak saya selesaikan hal ni?”
“Saya cuma nak tahu kalau-kalau kamu tahu soal ini? Kamu yang uruskan hal dengan syarikat Yahya tu, kan?” Dia pandang muka Khairul sekali lagi.
Khairul angguk. “Tapi dalam inbois, tak ada pula dinyatakan khidmat pembantu rumah, Tan Sri. Mungkin satu extra service.”
Extra service? Mungkin juga tetapi belum tentu bagus jika berdepan dengan anak menantunya.
“Kamu cuba hubungi Yahya lagi. Pastikan perkara ini betul-betul. Kalau menantu saya tak suka, suruh Yahya keluarkan pembantu rumah tu dari situ. Saya hantar menantu saya ke sana sebab nak gembirakan hati dia bukan nak buat dia marah.”
Khairul tidak membantah. Dia hanya terangguk-angguk sebelum bergerak menjauhi tempat duduk Tan Sri Dzairil kerana salah seorang rakan Tan Sri Dzairil sudah pun tiba di situ.
Tan Sri Dzairil menyambut ketibaan rakan karibnya dengan mesra. Masalah tadi ditolak ke tepi seketika namun dia tetap berdoa agar Anis dan Damien baik-baik sahaja di sana. Tetapi dia juga bersedia jika Anis atau Damien menelefonnya pada bila-bila masa sahaja.
*******
KHAIRUL bergerak ke tepi pintu masuk Hotel Hilton. Dari tempatnya berdiri dia masih dapat melihat Tan Sri Dzairil berbual-bual dengan dua orang rakannya di Cosmo Lobby Lounge. Dia segera menghubungi pejabat Yahya.
“Dia bercuti?” Hatinya hampa.
Walaupun sudah diberitahu oleh Tan Sri Dzairil tadi, dia sekadar mahu mengesahkan hal itu sendiri. Setelah mematikan telefon, dia berjalan pula ke arah Pak Din yang sedang berdiri tidak jauh dari pintu hotel.
“Nak ke mana?” Pak Din terlebih dahulu menegurnya.
“Pak Din tolong hantar saya ke bank sekejap,” balasnya.
Pak Din segera mengangguk. Lalu mereka berdua pun melangkah menuju ke kereta.
“Pak Din, kalau saya tanya sikit boleh tak?”
“Tanya apa?”
“Pasal menantu Tan Sri,” jawab Khairul.
“Apa yang kamu nak tahu?”
“Dia sakit ke?”
“Tan Sri tak cerita pada kamu?”
Khairul menggeleng.
“Kalau Tan Sri tak cerita tu… maknanya dia tak nak kamu tahu.” Begitu pula jawapan Pak Din.
“Alah, Pak Din. Saya bukan nak tahu hal yang sulit-sulit pun. Saya cuma nak tahu pasal menantu Tan Sri tu saja.”
“Yang kamu sibuk nak tahu tu kenapa? Adalah sebabnya kalau Tan Sri tak nak beritahu.”
“Kalau Pak Din tak nak beritahu saya dia sakit apa, tak apalah.” Dia mula terasa kecil hati. Terasa dipinggirkan.
“Menantu Tan Sri tu kemurungan.” Pak Din berkata setelah terlihat wajah muram Khairul.
“Disebabkan keguguran tu?”
Pak Din angguk.
“Mereka kan baru kahwin? Banyak lagi masa.”
“Adalah yang tak kena tu,” balas Pak Din sambil membuka pintu kereta.
Khairul pandang wajah Pak Din lama-lama. Tetapi Pak Din bersikap selamba bagaikan tidak mahu bercerita lebih lanjut.
******
SEMENTARA itu di rumah Datin Zarina, Maisara mengekori ibunya ke hulu ke hilir tanpa putus asa.
“Cakaplah, mummy. Kenapa dengan rumah di Melaka tu?” desaknya untuk ke sekian kalinya sejak tiba di rumah itu sejam yang lalu.
Entah kenapa ibunya seperti berat benar untuk bercerita soal itu. Namun makin dirahsiakan, makin kuat perasaan ingin tahunya bergejolak. Seperti lahar yang menanti masa untuk dimuntahkan.
Akhirnya Datin Zarina mengalah. Di bilik tidurnya dia berhenti menyusun langkah.
“Kenapa Maisara nak tahu sangat soal tu?”
“Mestilah. Kalau pasal keluarga kita, tentulah saya kena ambil tahu,” balas Maisara. Tetapi di sebalik semua itu dia seolah-olah dapat merasakan bahawa ada rahsia yang boleh digunakan kelak jika perlu. Kalau tidak, apa perlunya dia membuang masa?
Datin Zarina mengeluh. Dia atas katil, dia termenung jauh.
“Tak ada apa-apalah. Mummy cuma teringat sebuah kisah lama.”
“Apa kaitan antara rumah tu dengan uncle?” Maisara terus bertanya perkara yang penting. Itu sahaja dia hendak tahu.
“Mummy cuma agak saja.”
“Apa yang mummy agak?”
“Mummy agak, uncle kamu belikan Vila Helena untuk Anis,” jawab Datin Zarina.
“Vila Helena?” Buat kali pertama, Maisara mendengar nama vila itu. Terdetik rasa tertarik di hatinya untuk mengetahui lebih lanjut. “Kenapa saya tak pernah mendengar nama vila tu selama ini?”
“Sebab vila tu dah lama dijual oleh datuk kamu. Mummy sendiri menyangkakan bahawa semua perkara lama sudah dilupakan.” Mendatar sahaja nada suara Datin Zarina.
“Mummy pernah ke vila tu? Kenapa bunyinya macam vila tu ada kisah yang dirahsiakan?” Maisara merenung wajah ibunya. Dia tidak akan balik sebelum tahusemua perkara.
Sayangnya, ibunya menggeleng.
“Mummy tak pernah sampai ke vila tu. Semasa mummy kenal dengan daddy dulu, keluarga datuk kamu sudah berpindah ke Ampang.”
Maisara rasa sedikit kecewa. “Jadi apa masalahnya sehingga mummy menyebut semula pasal vila tu?”
Datin Zarina termenung lagi, seolah-olah cuba mengingati kenangan lalu.
“Daddy Maisara dengan uncle Maisara, berbeza umur agak jauh. Lebih kurang sepuluh tahun. Jadi semasa uncle Maisara berumur 17 tahun, daddy Maisara baru berusia tujuh tahun. Tetapi dia pernah bercerita pada mummy, datuk Maisara menjual vila tu ke tangan seorang Inggeris kerana ada sesuatu telah terjadi di situ.”
Maisara mula rasa tertarik semula.
“Apa yang telah terjadi?”
Datin Zarina angkat bahu.
“Mummy pun tak tahu sangat kisah yang sebenarnya. Maklumlah daddy Maisarah pun masih kecil ketika tu. Cuma katanya, keluarganya berpindah serta-merta pada suatu malam. Sejak itu mereka sekeluarga tak mencecahkan kaki lagi ke vila tu dan vila tu terus dijual kepada orang lain.”
Maisara terdiam. Jawapan ibunya tidak banyak menerangkan apa yang kelam di fikirannya. Semuanya seperti masih tinggal misteri.
“Tapi kenapa pula uncle belikan vila tu untuk Anis? Kenapa tak belikan rumah yang lain?”
“Mummy rasa kejadian yang cuba disembunyikan tu ada kaitan dengan uncle Maisara.”
“Ada kaitan? Apa?”
Datin Zarina hanya menggeleng.
“Tapi nenek kamu pernah berpesan kepada daddy Maisara supaya kisah vila itu tidak diungkit lagi di hadapannya atau di hadapan uncle Maisara sampai bila-bila. Sebab itu perkara ni cuba didiamkan.”
“Marah benar nenek kepada vila tu,” komen Maisara. Rasa tertariknya timbul semula. Seingat dia, dia tidak pernah mendengar nama vila itu disebut oleh sesiapapun dalam keluarganya. Mungkinkah benar, uncle dia telah membelikan vila itu untuk Anis? “Mummy tahu tak di mana letaknya vila tu?”

Datin Zarina diam sahaja.

Tuesday, November 12, 2013

Cerpen: Tiada Lagi Gurauan

“Kenapa mesti di tepi laut?”
“Apa Azmi tanya?” Aku menoleh ke arah Azmi. Menunganku terganggu.
“Saya tanya kenapa cerita-cerita cinta mesti ada babak di tepi laut? Kenapa laut? Kenapa bukan di tengah ladang kelapa sawit?”
Aku tersenyum. Sebagai seorang penulis aku faham, Azmi sedang dihujani pelbagai persoalan. Mungkin kerana pada waktu itu kami berdua sedang duduk termenung menghadap Laut Cina Selatan yang begitu ganas ombaknya, maka hal itu ditimbulkan.
“Kenapa Azmi pilih untuk menetap di pulau ini? Kenapa tak cari kerja di bandar-bandar besar?” balasku seadanya. Aku tak akan memberikan jawapan dengan mudah kepada dia. Seorang penulis adalah juga seorang pemikir.
“Itu lain,” katanya sambil tersenyum.
“Tiada yang lain dari kehidupan kita. Apa yang kita tulis selalunya tak jauh berbeza dari kehidupan yang sebenar. Apa yang kita suka, apa yang kita tidak suka, apa yang menyedihkan kita dan apa yang menjadi impian kita, semuanya akan kita gunakan secara jujur.”
“Kalau begitu, itu bukan watak, kak. Itu tanda kita tidak dapat menjiwai watak-watak kita,” bantahnya.
Aku angguk.
“Itulah perbezaannya kenapa orang pilih laut dan bukan ladang kelapa sawit.”
Azmi terdiam.
“Kakak datang dari jauh ni bukan nak beri saya kelas penulisan novel, kan?” tanyanya kemudian sambil ketawa kecil.
“Apa yang dapat akak beri sebagai bayaran? Makan minum free. Tempat tinggal free,” balasku dengan tenang. Ya, rasa sedikit kekok apabila tiba sahaja di situ dan diberitahu Azmi yang tempat tinggal dan makan minumku semua sudah diurus oleh abang dan kakak iparnya dengan syarat aku sudi menetap di sebuah rumah nelayan.
Mana mungkin aku menolak kesempatan itu walaupun aku menolak tawaran semuanya ‘percuma’ Namun penolakanku ditolak dengan budi bahasa yang baik sehingga aku terpaksa mengalah.
“Kak, cakaplah.” Azmi memandang wajahku lama-lama.
“Nak cakap apa?”
“Lari sampai ke hujung pulau ni… takkan tak ada apa-apa?”
“Tak ada apa-pa,” balasku lagi seraya menyambung menunganku. Mustahil tidak ada apa-apa yang membawa aku ke pulau nelayan yang kecil itu namun untuk mencurahkan segala-galanya kepada Azmi juga tidak mudah.
“Cinta tak kesampaian?” tekanya pula.
“Akak sedang memujuk hati, okey?” Keras sedikit suaraku.
Azmi tergamam.Kemudian mengangguk.
“Semoga pulau ini dapat memujuk akak,” katanya dengan lembut. “Dan dapat memberikan inspirasi untuk novel akak seterusnya.”
Aku diam sahaja. Entah kenapa aku seperti merasakan Azmi sedang mengejekku. Ada rasa kurang senang menjalar dalam hati. Bentakan ego barangkali.
“Perli?”
Azmi ketawa pula.
“Sampai bila akak nak lari dari menulis kisah cinta? Padahal saya tahu, akak boleh saja tulis, kan?”
“Baca cerita orang lain lebih senang. Lagipun dapat tolong kawan-kawan lain. Mereka dah penat menulis.”
“Semua tu alasan saja, kan kak?” balas Azmi dengan selamba. “Alasan untuk tidak berdepan dengan ketakutan sendiri.”
Aku diam. Disebabkan mulut Azmi yang selalu lepas itulah, aku mencari dia walaupun jarak tempat tinggalku dari situ hampir 400 km. Disebabkan keberanian dia itulah aku rela dilambung ombak selama sejam untuk sampai di situ walaupun aku sangat fobia pada air dalam. Hanya dia yang selalu dapat menyakitkan hati aku dengan kenyataan-kenyataan yang pahit. Tetapi benar.
****
HARI kedua aku di Pulau Damai. Sebuah pulau kecil yang penduduk majoritinya adalah nelayan kecil. Cuma ada sebuah resort yang baru dibina di hujung tanjung berdekatan jeti. Sebuah kedai runcit yang merangkap kedai cenderamata yang dihasilkan oleh penduduk pulau itu. Sebuah surau dan beberapa buah rumah. Itu sahaja namun aku berasa lebih damai.
“Kata Kak Nab, akak tak tidur malam tadi,” tegur Azmi. Dihulurkan sebiji kepala muda yang sudah ditebuk di bahagian atas. Ada sebatang straw dan sudu panjang.
Aku terus tersenyum apabila menerima pemberian itu. Pada waktu panas begitu, sememangnya air kalapa muda amat menggoda jiwa.
“Akak biasa qiamullail?” tanyanya lagi.
Aku pandang dia. Antara aku dan dia sudah seperti adik-beradik. Banyak yang aku tahu pasal dia dan banyak yang dia tahu pasal aku.
“Takkan Azmi sorang saja yang nak qiamullail?”
“Alhamdulillah. Tapi takkan sampai tak tidur langsung?”
“Siapa pula yang tak tidur? Akak tidur tapi tak lama,” balasku sejujurnya.
Sememangnya kebelakangan ini aku kurang tidur. Kalau terlelap pun hanya sejam dua. Selepas itu akan terjaga dan melakukan solat sunat sehinggalah aku penat. Kadang-kadang aku terlelap di atas sejadah dan aku sangat bersyukur kerana masih diberikan sedikit nikmat tidur.
“Solat dan bersabar ya, kak?” Tanya Azmi penuh makna. Menjeling sekilas sebelum melemparkan pandangan matanya jauh ke tengah laut.
Aku angguk perlahan. Aku faham Azmi cuba memahami masalah yang sedang aku hadapi tetapi aku belum terbuka hati untuk berbicara.
*****
PETANG itu aku ke tepi pantai. Menyepak-nyepak air laut, merendam kaki sampai tenggelam dalam pasir. Sesekali berlari mengejar gigi ombak yang pasang surut dan sesekali tunduk mengutip kulit kerang yang pecah-pecah.

“Ini untuk akak,” kata Azmi.

Monday, November 11, 2013

Cerpen: Telah Kutinggalkan Pesan dalam ERA Muslimah


Cerpen saya yang bertajuk 'Telah Kutinggalkan Pesan' akan disiarkan dalam 
majalah ERA Muslimah keluaran Bil 20.

Jemputlah membacanya ya.

Sunday, November 10, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 5



Bab 5
KEESOKAN harinya, Damien dan Anis bertolak ke Melaka. Setelah hampir dua jam di atas lebuh raya, kereta Damien meluncur keluar melalui Tol Pedas lalu masuk ke sebatang jalan biasa. Dari situ, dia memandu menyusuri jalan itu menuju ke sebuah tempat yang terletak dalam daerah Tanjung Agas.
“Betul ke ini jalannya, bang?” Anis bertanya.
Damien menoleh ke arah Anis seketika. Wajah Anis nampak tidak selesa, nampak cemas. Dia yakin Anis sedang berdebar-debar. Malah mungkin Anis sedang bergelut dengan rasa gembira dan takut. Dia faham.
“Hisy! Tak percaya pada abang ke?”
Anis diam.
Damien ketawa kecil. Mungkin Anis takut mereka akan tersesat entah ke mana tetapi dia ada GPS. Kalau tersalah arah pun mungkin dalam jarak 100 meter sahaja. Jalan di Malaysia ni bercakap, bak kata ayahnya. Maksudnya banyak papan tanda yang menunjukkan nama jalan dan arah. Sejauh manalah mereka boleh tersesat? Tetapi dia tahu hati Anis memang sentiasa diselubungi kebimbangan dan keraguan yang terlalu kuat. Itulah yang ingin dikikisnya nanti.
“Betullah jalan ni. Di sebalik bukit tu laut. Tempat ni dulu salah sebuah kubu pertahanan tentera penjajah yang mengawasi selat,” sambungnya lagi apabila mereka sudah masuk ke sebuah simpang kecil di hujung sebuah pekan kecil yang bernama Pekan Rastali.
Anis menoleh ke arah kirinya. Yang dilihatnya hanyalah rumah-rumah kampung yang didirikan sebuah-sebuah dengan halaman yang agak luas. Pokok-pokok kelapa, rambutan dan mangga tumbuh subur di samping pokok-pokok bunga kertas pelbagai warna yang ditanam berjajar di dalam pasu. Tidak sedar, matanya asyik melihat suasana perkampungan yang mendamaikan di sepanjang jalan namun begitu wajahnya tetap tidak ceria.
“Anis tengok apa?” tegur Damien lagi.
“Cantik tempat ni. Macam kampung Anis.”
Hati Damien tersentuh. Dia faham, Anis rindukan kampung halamannya namun mereka sama-sama tahu Anis sudah terbuang jauh dari keluarga sendiri. Ayah Anis sudah meninggal, ibu pula entah di mana. Hanya keluarga ibu tiri Anis yang menetap di situ, mereka pula tidak pernah mahu menerima Anis. Malah sejak Anis berkahwin dengannya, keluarga ibu tirinya itu seolah-olah sudah berlepas tangan. Mereka sudah melepaskan Anis bulat-bulat kepadanya. Dia tidak ada masalah cuma dia faham Anis sesekali rindukan kampung halamannya.
“Kalau Anis suka, inilah kampung Anis sekarang. Tapi abang rasa, rumah Anis tu tentu lebih cantik. Sekejap lagi kita sampai,” katanya sekadar menghiburkan hati.
Anis diam semula. Cuma apabila kereta Damien mula mendaki bukit, dia mula memberikan lebih perhatian.
“Cantiknya….” Seolah-olah tanpa sedar, Anis mengucapkan kata-kata itu. Matanya terpaku memandang laut yang kelihatan dari kedudukan itu. Makin lama makin jelas terbentang.
Damien memandu dengan tenang. Jalan berbukit itu agak lengang. Tidak ada banyak kenderaan yang melaluinya tetapi dia sendiri rasa kagum dengan apa yang terhidang di hadapan mata.  Subhanallah! Ucapnya dalam hati.
“Itu ke rumahnya, bang?” Anis membongkokkan tubuhnya ke hadapan lalu menjenguk ke arah sebelah kanan.
Dari situ kelihatan tersergam sebuah rumah banglo yang terletak di atas tanah yang mendatar, betul-betul di pinggir bukit yang menghadap ke Selat Melaka. Atapnya kelabu dan keseluruhannya banglo itu berwarna hitam dan putih. Hanya rimbunan bunga-bunga pelbagai warna menyuntik sedikit seri selain terdapat sebatang pokok besar merendang yang tegak di sisi rumah.
Damien membaca semula alamat yang tertera di atas kad yang diberikan ayahnya semalam.‘Vila Helena’ begitulah namanya vila yang dicari-cari. Apabila keretanya mendekati rumah itu, dia berhenti di tengah jalan lalu menoleh ke arah kanan. Dia tersenyum.
“Ya, inilah rumahnya.”
Tanpa berlengah, dia menekan pedal minyak dan memutar stereng. Keretanya membelok ke sebelah kanan dan masuk ke sebuah jalan kecil bertar yang sudah pudar warna.
Anis tidak bersuara. Dia memerhati sahaja Damien menghentikan kereta di luar pagar rumah itu. Hatinya makin berdebar. Inikah rumahnya?
“Apa tunggu lagi?”
Damien tersenyum apabila Anis masih lagi tidak berkutik dari tempat duduknya. Dari riak wajah Anis, dia dapat merasakan yang Anis masih terperanjat apabila melihat rumah sebesar itu. Apabila Anis masih diam, dia terus membuka pintu kereta, mungkin dia yang perlu memulakan segala-galanya.
Dia menapak ke pintu pagar. Walaupun nampak tenang, hatinya tetap berdebar-debar juga. Dia juga rasa tidak sabar untuk melihat rumah itu dari dekat. Entah bagaimana… seperti ada satu deruan angin yang kuat memukul mukanya. Dia jadi tergamam sebentar. Selepas itu, pandangan matanya berpinar. Dia hampir rebah.
“Abang!” kata Anis yang baru melangkah keluar dari kereta. Dia sempat memaut lengan Damien. “Kenapa ni?”
Damien hanya menggeleng. Tidak ada jawapan yang dapat diberikan pada waktu itu. Malah kepalanya tetap terasa berat dan tubuhnya seram sejuk seperti orang demam. Dia juga terbau sesuatu yang busuk seperti bangkai yang sedang mereput namun semuanya didiamkan sahaja demi menjaga perasaan Anis.
“Tak ada apa-apa….” Dia berbohong tetapi Anis masih merenung wajahnya dengan pandangan yang pelik. “Betul. Abang okey. Marilah masuk,” katanya.
Anis mula tenang semula.
Lalu Damien menggagahkan juga kudratnya untuk membuka pintu pagar.
“Tak berkunci,” katanya apabila melihat pagar rumah itu hanya diletakkan ensel yang tidak dimanggakan.
Anis ikut sahaja suaminya melangkah masuk.
“Welcome, to your new home!” kata Damien lagi sambil memegang bahu Anis.
Kini mereka berdua berdiri di tengah-tengah halaman rumah. Di hadapan mereka tersergam sebuah rumah besar dua tingkat. Lebih besar dari apa yang mereka lihat daripada jauh.
Anis angguk perlahan. Matanya terpaku memandang rumah di hadapannya. Sedang mereka berdua leka memerhati, pintu hadapan rumah itu terbuka dan muncullah seorang gadis manis.
 “Selamat datang, tuan, puan….” Gadis itu berkata.
Anis tergamam. Dia menoleh ke arah Damien.
*****
ANIS tidak bergerak dari tengah halaman. Walaupun kepalanya dimamah cahaya matahari yang tegak di atas kepalanya, dia tetap tidak melangkah ke hadapan walaupun setapak. Entah kenapa, kehadiran gadis manis di hadapan pintu itu telah memadam segala rasa gembiranya yang mula hadir.
Tetapi di sebalik pandangan mata Anis yang menikam, gadis itu hanya berlagak selamba sahaja. Dia melebarkan daun pintu dan sekali lagi mempersilakan Anis dan Damien masuk ke dalam.
“Jemputlah masuk,” katanya tanpa memandang lagi.
Damien memegang tangan Anis lalu tersenyum.
“Kita masuk dulu,” katanya seraya memberikan pandangan penuh makna kepada Anis. Seolah-olah cuba menyatakan yang hal itu akan dibincangkan kemudian.
Anis faham. Apa pilihan yang dia ada? Takkan dia hendak merajuk dan lari balik pula? Cuma dia tidak suka dengan situasi itu. Apa lagi kejutan yang menantinya?
“Mari,” ajak Damien sekali lagi. Dia dapat merasakan hati Anis tidak senang. Dia sendiri rasa terkejut dan tidak menyenangi situasi itu.
Melihatkan ketenangan Damien, Anis cuba menepis rasa marahnya ke tepi. Dia mula melangkah masuk. Namun sebaik sahaja dia memijak lantai rumah itu, dia diserbu rasa sejuk dengan tiba-tiba. Bulu romanya terus tegak berdiri dari hujung jari hingga naik ke tengkuk. Seolah-olah dia masuk ke sebuah tempat yang bersuhu sangat rendah. Dia terpinga-pinga seketika.
“Macam mana?” tanya Damien sambil menoleh ke arahnya.
Dia terkebil-kebil. Macam mana? Tentulah cantik. Cantik sangat bagaikan sebuah istana perhiasan dalamannya. Terfikir di benaknya berapa banyak wang yang dihabiskan ayah mertuanya untuk menghias semula rumah itu. Dia terharu.
“Okey,” jawabnya. Rasa seram sejuk tadi dilupakan sahaja. Mungkin kerana perubahan suhu, fikirnya. “Awak ni siapa?”
Dia menoleh pula ke arah gadis yang menyambut kedatangannya dan Damien tadi. Dia sebenarnya tidak lupa kepada hal yang pokok. Segala keindahan di dalam rumah besar itu tidak mampu membuatkan dia lupa terhadap perkara yang sedang mengganggu jiwanya.
“Saya penjaga rumah ni. Nama saya Maya.” Gadis itu tersenyum namun tidak menghulurkan salam. Dia hanya tercegat di tepi dinding memerhati gelagat Anis dan Damien.
“Awak penjaga rumah ni? Dah berapa lama awak bekerja di sini?” tanya Anis lagi.
Suaranya tetap mendatar bagaikan tidak berperasaan. Namun makin lama, makin cuak hatinya apabila melihat gadis itu daripada dekat. Dengan bibir yang terbentuk elok, raut wajah yang bujur sireh dan rambut yang ikal mayang, gadis itu sungguh cantik di matanya. Apatah lagi jika gadis itu tersenyum, sedap sungguh mata memandang.
“Dah beberapa tahun.” Gadis itu menjawab. Kini dia sudah berhenti tersenyum seperti tadi. Mungkin kerana nada suara Anis yang tidak begitu ramah seperti yang diharapkan.
Dah beberapa tahun? Jadi gadis itu memang tinggal di situ?
“Awak… tinggal di sini? Tak takut ke tinggal sorang-sorang dalam rumah sebesar ini?” Anis cuba berhelah.
Bagaimanapun pertanyaan Anis mengundang senyuman di wajah Maya. “Saya balik ke rumah saya bila petang. Di sebelah pagi saya datang.”
Anis angguk perlahan bersama rasa lega yang dirasakan kini. Walau bagaimanapun dia masih tidak begitu selesa dengan kehadiran Maya di situ.
“Apa tugas awak di sini?” Dia bertanya namun matanya masih memerhati suaminya yang sudah berada di ruang tamu kedua rumah itu. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi petikan piano dari situ. Nampaknya Damien mula selesa namun bukan dia.
“Bersihkan rumah, siram pokok bunga.” Maya menjawab. “Tapi bila puan dah ada ni, saya juga akan masak dan basuh baju puan.”
“Tak payahlah susah-susah masak untuk kami. Lagipun suami saya hanya makan masakan saya. Saya boleh masakkan untuk dia.”
Maya angguk faham.
“Selain awak… ada orang lain tak di rumah ni? Tukang kebun?” tanya Anis lagi.
Itu pun satu maklumat yang penting. Dia tidak mahu lagi apa-apa kejutan untuknya. Kehadiran Maya di situ sudah cukup membuatkan darahnya naik ke kepala. Betapa dia membayangkan yang dia hanya akan tinggal berdua di situ sepanjang tempoh percutian.
“Saya seorang saja, puan,” jawab Maya.
Anis menjeling. Kini dilihatnya Maya seperti takut-takut kepadanya. Tidak seperti tadi, kini Maya tidak lagi mengangkat muka memandangnya. Mungkin gadis itu sudah tahu, dia bukanlah seorang kawan dan jika dia terancam… dia tidak akan takut untuk bertindak. Jadi Maya harus awas. Dia bukan saingan. Rumah itu rumahnya dan lelaki yang berdiri berdekatan piano itu adalah suaminya.
“Abang!” laungnya apabila Damien semakin jauh.
Damien berpatah balik ke arahnya.
“Masukkan kereta dulu. Boleh kita bawa masuk beg,” katanya.
Rasanya semua persoalannya tentang Maya sudah terjawab. Dia juga yakin Maya memahami di mana garis sempadan di antara mereka berdua.
Damien hanya mengangguk dan lantas menuju semula ke pintu masuk. Kemudian menghilang.
Setelah Damien pergi, Anis mula memeriksa rumah itu namun tangga yang menghala ke tingkat dua, dirasakan amat menarik hatinya. Dia pun melangkah ke situ.
*****
DAMIEN mengeluarkan beg pakaian daripada kereta. Beg itu diletakkan sahaja di tepi pintu sementara dia melangkah menuju ke sebuah meja batu berwarna hijau di tepi sebuah kolam ikan. Dia duduk di atas kerusi batu yang tersedia sambil melihat ikan-ikan koi berenang-renang tetapi bukan itu tujuannya pergi ke situ.
“Boleh saya bercakap dengan Encik Yahya?” tanyanya sebaik sahaja salamnya disambut oleh suara seorang wanita di hujung telefon.
Sambil bertanya dia memicit kepalanya yang terasa berat. Dia runsing jika kesihatannya merosakkan percutian dia dan Anis di situ tetapi ada hal lain yang perlu diselesaikan dahulu.
“Encik Yahya bercuti. Dia ke Thailand,” jawab suara yang menjawab.
“Bila dia balik?”
“Mungkin seminggu lagi. Encik boleh tinggalkan nombor, dia boleh hubungi encik bila dia balik nanti.”
“Tak boleh ke saya terus call dia di sana? Ada nombor telefon bimbit dia?” tanya Damien lagi. Timbul rasa kecewa di hatinya apabila tidak dapat bercakap dengan orang yang menguruskan rumah itu.
“Memang ada, encik. Tapi… dia dah pesan supaya tak diganggu. Apa-apa hal, dia akan uruskan  bila dia balik nanti,” terang wanita itu lagi.
Damien mengeluh perlahan.
“Kalau macam tu tak apalah. Saya berikan nombor saya, suruh dia telefon saya segera nanti. Pesan pada dia juga anak Tan Sri Dzairil telefon,” balasnya seraya meninggalkan nombor telefon bimbitnya pada wanita itu. Perbualan pun berakhir.
“Dah sampai?” Suara Tan Sri Dzairil terus masuk ke telinganya apabila panggilan keduanya bersambung.
“Baru setengah jam, abah,” jawabnya.
“Macam mana? Cantik tak rumah tu?”
“Cantik. Tapi saya belum tengok habis lagi,” jawabnya dengan jujur.
“Bunyinya macam tak suka saja?”
Damien tersenyum nipis. Pandangan matanya dialihkan ke arah laut di hadapannya.
“Mana boleh tak suka, abah? Tapi… abah tak kata abah sediakan pembantu rumah sekali dekat sini. Saya fikir kami tinggal berdua saja.”
“Pembantu rumah?” Tan Sri Dzairil terdiam seketika. “Mungkin syarikat Yahya yang sediakan untuk jaga rumah tu sementara waktu. Damien dah telefon dia? Cuba tanya.”
“Saya dah cuba call dia… tapi dia tak ada kat ofis. Dia dah lepas ke Thailand sekarang. Saya minta nombor telefon dia tapi orang di pejabatnya tak nak beri pula.” Damien merungut.
“Kalau macam tu, biarkan sajalah. Kalau Damien dan Anis rasa tak suka pada pembantu rumah tu, suruh saja dia balik atau serahkan saja pada agensinya. Kalau kena bayar apa-apa caj pun, bayar sajalah.”
Betul juga, kata hati Damien. Tetapi dia perlu berbincang dengan Anis dahulu. Mungkin Anis suka jika ada pembantu rumah di situ. Sekurang-kurang ada juga teman berbual dan ada pembantu yang boleh menolong membersihkan rumah sebesar itu. Anis pun masih tidak berapa sihat.
“Biar saya bincang dengan Anis dulu. Kalau dia tak kisah, tak apalah. Kalau tak… teruk juga nak bersihkan rumah sebesar ini.”
Tan Sri Dzairil ketawa. “Ingat… layan dia baik-baik. Senangkan hati dia. Jangan buat dia penat sangat.”
Damien tersenyum semula. Walaupun jauh, ayahnya masih mengingatkan dia soal itu. “Saya ingat… tapi tadi saya lihat dia berbual dengan pembantu rumah tu. Saya rasa elok juga dia ada kawan baru.”
“Satu permulaan yang baik,” kata Tan Sri Dzairil.
Dia juga rasa begitu. Setelah perbualan mereka berakhir dia lantas bangun lalu melangkah ke arah rumah. Tetapi langkahnya terhenti di tepi sebuah pasu besar yang berisi pokok bunga ros berwarna merah muda. Tanpa ragu-ragu, dia memetik bunga itu sekuntum lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja dia melangkah, terasa tengkuknya dicuit. Dia spontan menoleh ke belakang namun tidak ada apa-apa pula yang kelihatan.