Monday, December 23, 2013

Cerpen: Surat kepada seorang teman


Surat yang engkau kirimkan membuatkan aku menangis dalam senyuman. Engkau masih membayangkan aku sebagai seorang gadis yang seperiang dahulu. Engkau masih membayangkan aku sebagai seorang yang selalu bersemangat sewaktu menuntut ilmu dan apa yang paling menyentuh hatiku, engkau masih ingat betapa ikalnya rambutku dan betapa merahnya pipiku sewaktu aku engkau usik tanpa segan silu.
Aku amat menghargainya teman. Untuk sejenak, ia membuatkan aku berasa ada sisi dalam diriku yang masih berharga pada dirimu. Namun begitu, seperti tahun-tahun yang saling bergantian maka hidup ini juga telah meluruhkan sebahagian daripada diriku. Tiada lagi rambut yang ikal atau pipi yang merah. Tiada ada lagi mata yang coklat pekat. Tiada lagi senyum polos seorang gadis yang berusia 17 tahun. Segalanya telah berubah.
Sekiranya satu hari nanti, engkau datang bertemu aku usahlah engkau terkejut. Rambut yang ikal dahulu sudah kututup di sebalik hijab yang lusuh. Mata yang coklat pekat dahulu mungkin sudah hilang sinarnya. Pipi yang merah itu telah lama hilang serinya. Semuanya gara-gara perjalanan hidup yang begitu menyukarkan.

Sejujurnya aku malu, teman. Tidak ada juadah enak yang dapat aku hidangkan sekiranya engkau menjenguk tempat tinggalku. Tidak ada juga kemesraan yang dapat aku hadiahkan. Tidak ada kerinduan yang dapat aku luahkan walaupun sudah lama tidak bertemu. Sesungguhnya aku terpenjara dalam sebuah hidup yang tidak mungkin engkau mengertikan tetapi aku yakin sekiranya engkau sudi mendengar ceritaku suatu hari nanti, engkau akan faham ke mana hilangnya semangat hidupku yang suatu ketika dahulu pernah engkau lihat.

Sunday, December 22, 2013

Sejak Kita Bertemu: Bab 14


Bab 14

KERETA dipandu perlahan mendaki bukit. Waktu itu baru sekitar pukul 7.15 pagi namun suasana di situ sudah cerah. Langit biru mula kelihatan dan cahaya matahari mula terbias di celah-celah awan. Sungguh cantik, sayangnya Damien tidak ada masa untuk menikmati itu semua. Di fikirannya, hanya mahu mendapatkan ubat secepat mungkin untuk Anis. Kalau dapat dua biji Panadol pun jadilah, fikirnya.
Dengan tenang, Damien memandu menuju ke Pekan Rastali yang terletak di tepi simpang tiga yang menuju ke arah bandar. Setelah ulang alik melalui jalan itu sebelum ini, dia sudah semakin biasa dengan permandangan hutan dan kampung kecil di tepi jalan itu. Namun perasaannya sedikit risau apabila tiba di tempat yang dituju, tidak kelihatan sebuah kedai pun yang dibuka. Awal sangat ke? Dia terjenguk-jenguk mencari kedai yang sudah dibuka, sayangnya tidak ada.
Setelah memandu dari hujung pekan hingga ke hujung pekan, dia masih belum melihat sebuah pun kedai runcit yang dibuka. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk pergi ke bandar yang berhampiran, mungkin di sana dia akan menemui stesen minyak ataupun 7 Eleven. Sedang dia melalui sebuah kawasan yang sunyi,  tiba-tiba kelihatan sesuatu benda putih menerpa dan melintas di hadapan keretanya.
Dia menekan brek secara mengejut. Keretanya mendadak terhenti, kepalanya hampir terhempas ke papan pemuka jika tidak ditahan oleh tali pinggang keledar.
Sambil memegang dadanya yang masih tercungap-cungap, Damien membuka pintu. Dia yakin, dia telah terlanggar sesuatu. Dan apabila dia berjalan ke hadapan kereta, kelihatan sekujur tubuh seorang perempuan terbaring di sebelah tayar kereta.
“Ya, Allah!”  Itu sahaja yang terucap dibibirnya.
*****
UNTUK seketika, dunia seakan berhenti berputar. Masa tidak berdetik, angin pun tidak berhembus. Damien terpaku memandang sekujur tubuh yang terbaring di sisi jalan. Fikirannya bingung. 
“Cik! Cik!” Dia memanggil apabila rasa kagetnya hilang. Dia melutut di sisi gadis itu untuk melihat keadaannya. Tidak sedar, peluh di dahinya mula menitik.
“T… to… tolong saya.” Itulah kata-kata terakhir yang diucapkan oleh gadis berambut lurus paras bahu itu sebelum menutup mata. Tangan yang diangkat tadi kini longlai menyentuh bumi.
“Cik! Cik!” Damien terus memanggil namun gadis itu tetap tidak sedarkan diri. Tergeletak di pinggir jalan.
Ya, Allah! Apa aku nak buat ni? Dia berdiri semula. Setelah mundar-mandir kegelisahan, dia menelefon seseorang.
“Faiz! Tolong aku Faiz!” katanya laju. Dia terus terlupa untuk memberi salam.
“Kenapa kelam-kabut sangat ni?” jawab satu suara.
“Tolong aku Faiz. Aku langgar orang ni…” Damien memicit kepalanya. Tubuhnya mula menggigil. Kalau gadis tu mati macam mana? Anak siapalah pula ni…. Kepalanya makin sakit. Dia memerhati jalan raya yang sunyi itu. Tidak ada sebuah kenderaan yang lalu untuk meminta bantuan.
“Hah? Kau langgar orang? Dekat mana? Kau okey tak?”
“Entah. Aku tak tahu dekat mana ni… tapi aku menuju arah ke bandar agaknya.” Untuk seketika, dia betul-betul buntu di mana dia berada.
“Orang yang kau langgar tu macam mana? Mati ke?”
“Aku rasa belum mati lagi. Nafas dia ada tapi dia pengsan.”
“Dia luka ke? Parah ke?”
Damien menoleh semula ke arah gadis itu. Tidak kelihatan pula apa-apa luka selain sedikit calar dan wajahnya yang pucat lesi.
“Tak ada pun. Entahlah, aku tak sentuh dia,” jawabnya.
“Kalau tak luka, kau bawa sajalah ke hospital. Nanti aku pergi sana jumpa kau.”
“Hospital? Manalah aku tahu dekat mana ada hospital? Aku bukan tahu sangat tempat-tempat di Melaka ni.”
“Kau ni, Dami. Panik tak tentu hala. Kau masukkan nama Hospital Intan Hayati dalam GPS kau. Nanti kau jumpalah. Hospital tu terletak tepi laut. Aku rasa dalam lima kilometer sahaja dari rumah kau tu. Sekejap lagi aku cari kau dekat sana….”
Damien mengeluarkan telefon bimbitnya, dia memasukkan nama hospital yang disebut oleh Faiz dalam perisian GPS. Ya, hospital itu memang wujud. Tergesa-gesa dia menyimpan semula telefon bimbitnya ke dalam poket. Dengan tiba-tiba, langkahnya terhenti seketika.
Nak hantar gadis itu ke hospital? Hatinya mula berbolak-balik. Macam mana nak angkat ni? Mahu tidak mahu dia membuka pintu kereta belakangnya lalu menggendong tubuh gadis yang berbaju kurung putih itu ke dalam kereta. Ya, Tuhan! Ampunkan aku kerana telah menyentuh dia. Dia rasa bersalah bukan main.
*****
DEGUP jantung Damien berdetak pantas. Dalam hidupnya inilah kali pertama dia dihadapkan situasi yang secemas itu. Dan dia tidak mahu ada sesiapapun menghembuskan nafas terakhir di dalam keretanya. Dia benar-benar berharap agar gadis itu dapat diselamatkan. Tidak sedar dia telah memecut laju.
“Dami tahu ke mana Danny pergi?” Pertanyaan ayahnya hampir empat tahun yang lalu terulang semula di ingatannya.
“Danny? Kenapa abah tanya saya? Kalau tak di ofis, tentulah di rumah Kak Pia.” Dia menjawab dengan tenang.
Ayahnya menggeleng. “Abah dah puas cuba hubungi dia sejak petang tadi. Dia tak ada hubungi Dami?”
Berderau darahnya apabila mendengar jawapan daripada ayahnya. Dari duduk terus dia bangun membelek telefonnya. Tidak ada satupun panggilan daripada Danny ataupun mesej. Dia cuba menghubungi Danny namun sayangnya telefon Danny dipadamkan.
“Abah dah cuba tanya Kak Pia? Mungkin Kak Pia tahu?”
“Sudah. Pia kata dia pun tak jumpa Danny sejak pagi tadi,” jawab ayahnya.
Dia cuba sekali lagi namun masih gagal menghubungi Danny. Dia mula resah, lebih-lebih lagi melihatkan wajahnya ayahnya yang juga sudah kelihatan muram.
“Helo, Kak Pia. Kak Pia dapat hubungi Danny?” Dia terus menghubungi Cik Pia pula namun seperti yang diberitahu oleh ayahnya, Cik Pia juga gagal menghubungi Danny. Pada waktu itu Danny bagaikan hilang tanpa jejak dan sememangnya itulah yang berlaku.
“Zack kata paling akhir mereka makan tengah hari bersama tengah hari tadi. Lepas tu dia balik ke TAV tapi Danny ke tempat lain.” Cik Pia memberikan maklumat.
Dia bingung, Danny tidak pernah berkelakuan begitu sebelum ini. Adakah Danny sengaja menghilangkan diri untuk menenangkan dirinya sebelum majlis akad nikahnya keesokan hari?
“Mungkin… mungkin dia nak bertenang kut?” katanya kepada ayahnya pada waktu itu.
Ayahnya diam sahaja. Entah kenapa riak mendung di wajah ayahnya tetap tidak hilang dan kekeruhan di wajah ibunya bagaikan memberi satu petanda bahawa Danny tidak akan pulang lagi sampai bila-bila. Dan ternyata itulah yang telah berlaku.
Siren ambulans yang berselisih dengan keretanya di pintu masuk Hospital Intan Hayati menyedarkan dia yang sedang diulit kenangan lama. Betapa cemasnya perasaan dia sekeluarga apabila kehilangan Danny benar-benar menjadi nyata. Dan kini… di belakangnya adalah seorang gadis yang pasti ada ibu dan bapanya. Dia bertekad untuk memulangkan gadis itu ke pangkuan mereka dengan selamat.
Di hadapan bahagian wad kecemasan, dia tergesa-gesa memberhentikan keretanya



Monday, December 16, 2013

Sejak Kita Bertemu: Bab 13



Bab 13
“ANIS! Anis! Kenapa tidur di sini?” Suara Damien mula riuh di pagi hari itu.
Dia benar-benar terkejut apabila mendapati Anis tergolek di atas lantai dengan tangan terkulai ke tangga. Fikirnya Anis turun untuk menyediakan sarapan rupanya bukan.
“Anis?” Dia terus memanggil.
Risau hatinya apabila tubuh Anis terasa amat sejuk bak air batu, bibir Anis juga kering dan membiru. Lalu tanpa berlengah, dikendong tubuh Anis dan dibawanya ke dalam bilik. Tubuh Anis diselimutnya hingga ke paras leher. Dia bingung. Mujurlah beberapa saat selepas itu, Anis mula bergerak-gerak.
“Anis,” panggilnya segera. Dia ingin sangat melihat Anis sekurang-kurangnya membuka mata.
“Abang…,” jawab Anis perlahan.
Damien meletakkan tapak tangannya ke dahi Anis, dia tergamam. Dahi Anis panas berapi pula walaupun bibirnya masih membiru kesejukan.
“Anis, abang bawa Anis ke hospital ya? Anis demam.”
Tanpa diduga, Anis menggeleng lemah. “Ubat…,” katanya.
“Tunggu sekejap.” Damien tergesa-gesa meninggalkan katil. Dalam kepalanya hanya terbayangkan ubat demam yang mungkin ada di dapur.
******
WALAUPUN masih bingung dengan apa yang telah berlaku kepada Anis, Damien turun juga ke tingkat bawah. Setiap kali tapak kakinya memijak anak tangga yang berlapiskan marmar hitam, ada rasa sejuk yang menjalar hingga ke urat perut. Dia sendiri tidak sangka rumah itu akan sesejuk itu pada waktu pagi. Mungkin juga dengan sebab itu Anis jatuh sakit dengan tiba-tiba, fikirnya.
Setibanya di tingkat bawah, dia terus menuju ke bilik dapur. Sedang dia mencari Peti Kecemasan yang mungkin ada di situ, dia ditegur oleh satu suara yang lembut.
 “Tuan cari apa?”
Damien mengurut dada sambil beristirgfar dalam hati. Di muka pintu dapur, kelihatan Maya berdiri di situ dengan baju-T dan kain batiknya seperti semalam cuma lain warna dan corak.
“Tuan cari apa?” ulang Maya.
 “Ada ubat demam? Panadol ke… atau apa-apa saja,” katanya tergesa-gesa setelah rasa terkejutnya hilang. Dia benar-benar tidak sangka ada orang lain di situ kerana hari masih lagi awal pagi. Cepat betul Maya masuk kerja?
 Dia kembali membuka dan menutup pintu kabinet dapur. Namun tidak kelihatan langsung tanda-tanda peti kecemasan wujud di rumah itu. Dia menuju pula ke arah peti ais. Juga kosong.
“Tak pasti pula saya, tuan.” Maya menjawab dan sama-sama sibuk mencari berdekatan dengan Damien.
“Ada?” tanya Damien lagi.
Maya menggeleng.
“Biar saya cuba cari di sebelah depan. Mungkin ada di dalam almari dekat tangga. Maya menjeling sebelum beredar. Lemah gemalai dia mengatur langkah ke arah almari yang dimaksudkan.
Damien diam sahaja. Dia menuju ke arah cerek elektrik yang terletak elok di atas kabinet dapur. Dituang segelas air yang suam untuk Anis. Dia berharap benar agar ada ubat walaupun sebiji dua. Menyesal pula kerana tidak bersedia menghadapi kemungkinan itu.
“Jumpa tak?” tanya Damien.
“Oh, tuan!” Maya terperanjat lalu bergerak ke belakang dan terlanggar tubuh Damien yang memegang segelas air. Akibatnya, baju Damien basah bersimbah air suam.
“Maaf, tuan! Maaf!” kata Maya sambil tangannya laju menyapu air yang membasahi baju-T Damien.
Damien tergamam seketika. Untuk beberapa saat otaknya berasa keliru apabila jari-jemari Maya menyentuh dadanya yang basah. Apabila tersedar, dia segera menepis tangan Maya dan bergerak ke arah tangga. Terasa mukanya panas.
“Ambilkan air lain,” perintahnya sambil menyuakan gelas yang dipegang tadi.
“Baik, tuan.” Gelas itu dicapai segera oleh Maya lalu tergesa-gesa dia melangkah ke dapur. Tidak lama kemudian, gelas itu diserahkan semula kepada Damien tanpa suara.
Damien terus menaiki tangga semula. Otaknya masih keliru, sekujur tubuhnya terasa hangat membahang. Dia dibelit rasa bersalah dan berdosa. Kalaulah Anis nampak tadi…
 “Tuan!” panggil Maya di tepi tangga. Sambil tersenyum dia bertanya, “Siapa yang demam?”
“Puan,” jawab Damien sebelum mengatur langkah makin laju. Risaunya makin tebal. Ubat untuk Anis masih belum ada, Maya pula yang macam-macam. Makin tepu kepalanya.
“Saya ingatkan tuan yang sakit… muka tuan pun nampak pucat sikit.”
Damien menggumam dan lantas meneruskan langkah. Sudah dua orang mengatakan mukanya pucat, mungkin memang benar dia kurang sihat.
Di tepi tangga, Maya tersenyum lebar.
******
TANGANNYA sedikit ketar sewaktu memulas tombol pintu yang berwarna keemasan. Terasa dirinya masih diburu rasa bersalah yang tiba-tiba muncul dari entah mana. Sungguh dia tidak menjangkakan yang Maya akan berada di rumah itu sebegitu cepat. Jika dia tahu, dia tidak akan turun dengan hanya berbaju-T nipis dan berkain pelikat.
“Abang…,” panggil Anis.
Damien memandang wajah Anis yang tampak sangat pucat pagi itu. Bibir isterinya makin kering dan kini mata Anis juga bengkak. Kenapa dengan Anis ni? Dalam kekeliruan, dia menyuakan air yang dibawa kepada Anis.
“Minum sikit,” katanya bersulam rasa pilu. Sedih hatinya kerana gagal mencarikan walaupun sebiji ubat untuk Anis.
Anis tidak membantah. Dengan jari yang terketar-ketar dia menyentuh gelas yang dipegang suaminya. Sejurus itu juga rasa suam terasa di jari-jemarinya. Dia lalu meneguk setakat yang termampu ditelan.
“Abang tak jumpa ubat,” sambung Damien lagi.
Anis menggeleng.
“Ini pun dah cukup, bang,” jawabnya.
“Sekejap lagi, kita pergi klinik ya?”
“Anis tak laratlah.” Anis serahkan semula gelas yang dipegang kepada Damien. Hampir segelas juga air yang masuk ke perutnya.
“Kalau Anis tak larat, abang dukung.”
Anis menggeleng lagi.
“Mana boleh macam tu? Nanti melarat-larat demam Anis, siapa yang susah? Anis juga, kan?” Damien bersuara lembut. Tangan kanannya membelai rambut Anis yang sedikit kusut. Dia masih dapat merasakan tubuh Anis begitu panas.
“Tak nak… Abang belikan Anis ubat demam sajalah. Ada agaknya dekat kedai runcit tepi simpang jalan besar tu.”
Damien diam sebentar. Nampaknya Anis betul-betul tidak mahu ke klinik. Mungkin kerana Anis langsung tidak larat untuk meninggalkan katil, fikirnya.
“Abang beli dulu ubat demam tu, kalau tak sihat juga baru kita pergi.” Anis bersuara antara dengar dan tidak. Matanya terpejam rapat.
“Anis tidur dulu, nanti abang fikir apa yang abang boleh buat.” Dia membetulkan selimut Anis dan lantas turun daripada katil. Dia melangkah ke bilik air pula.
Selesai bersolat Subuh, Damien mengangkat tangan berdoa. Dia memohon untuk kesihatan Anis dan ayahnya. Dia juga memohon keampunan di atas setiap dosa-dosanya. Namun, apabila sekilas wajah Maya terbayang, hatinya kembali resah seperti ada sesuatu yang tidak kena.
*******
SETELAH mandi dan siap berpakaian ringkas, Damien mengambil kunci kereta. Dari tempatnya berdiri dia dapat melihat Anis sedang tidur nyenyak, walaupun begitu hatinya tetap tidak tenang. Selagi Anis tidak menelan sebarang ubat, dia masih berasa seperti dia bukan seorang suami yang bertanggungjawab.
“Abang cari ubat sekejap ya,” katanya kepada Anis. Apabila kata-katanya tidak dibalas, dia mengucup dahi Anis sebelum beredar. Sempat dia memerhati ke sekeliling sebelum menutup pintu.
“Bagaimana keadaan puan?” tanya Maya.
Lagi sekali Damien terkejut. Langkahnya terkaku di tepi pintu.
“Saya nak ambil baju kotor.” Bagaikan dapat membaca fikiran Damien yang keliru, Maya berkata dengan tenang sambil tersenyum.
“Ambillah tapi puan sedang tidur. Dia masih demam,” balasnya sambil mengatur langkah menuruni tangga.
“Saya… tak boleh masuk bilik tuan. Boleh tuan tolong ambilkan?”
Langkah Damien terhenti tetapi untuk memudahkan segala perkara, dia masuk semula ke bilik tidurnya. Tidak lama kemudian dia keluar membawa bakul kain lalu dihulurkan kepada Maya.
Maya menyambutnya dengan tenang.
“Tuan nak ke mana pagi-pagi ni? Sarapan saya dah sediakan,” katanya lagi. Selangkah demi selangkah dia mengekori Damien yang telah menuruni tangga.
Damien hanya menoleh sedikit ke arah dapur. Dari situ, dia dapat melihat ada makanan dan minuman yang terhidang di atas meja walaupun dia tidak pasti apa yang dihidangkan.
“Kan saya dah kata semalam? Awak tak perlu sediakan apa-apa untuk kami,” katanya dengan sedikit jengkel.
“Tak apalah, tuan. Puan pun tak sihat pagi ni. Marilah minum dulu, tuan… keluar dengan perut lapar tak baik. Di sini pun, kalau pagi-pagi macam ni jarang ada kedai makanan Melayu yang buka.”
Damien memekakkan telinga. Tanpa mempedulikan kata-kata Maya, dia terus melangkah ke arah pintu sambil menggenggam kemas kunci keretanya.
“Betul tuan tak nak makan dulu?” tanya Maya lagi. Dia sempat mengejar Damien di muka pintu hadapan. Di tangannya sudah ada sepiring kuih yang berbau harum. “Saya ada buat Kuih Sayang-Sayang. Cubalah rasa, tuan.”
Damien hanya menjeling tajam. Dia harap itu sudah cukup untuk mengunci mulut Maya yang terlebih ramah pagi itu. Lalu tanpa suara, dia cepat-cepat beredar dari situ.
“Baik-baik bawa kereta, tuan. Pagi-pagi ni… macam-macam benda ada kat atas jalan raya tu,” pesan Maya lagi sebelum Damien menutup pintu kereta.

Damien hanya menggeleng sendiri.

Thursday, December 12, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 12


Bab 12
CAHAYA bulan memantul ke laut. Terbias dan teroleng-oleng dibawa ombak jauh ke tengah. Angin yang bertiup lembut menghantar rasa nyaman buat mereka yang berada di Medan Ikan Bakar Terapung Fort Supai pada malam itu, termasuklah Anis dan Damien yang sudah sejam berada di situ.
“Cantik, kan tempat ni?” tanya Damien. Mereka berdua leka menyaksikan keindahan laut yang disimbah cahaya bulan penuh.
“Tak sangka ada tempat macam ni kat sini,” balas Anis.
Dia fikirkan hanya kedai ikan bakar yang berdinding kayu di atas jeti nelayan. Rupanya-rupanya kedai ikan bakar terapung yang dihubungkan dengan jambatan batu yang cantik hingga di tepi laut. Bagaimanapun semua keindahan itu tidak memadamkan rasa aneh yang ada dalam hatinya sejak siang tadi.
“Tengok tu.” Damien menunjuk ke arah sebuah bukit di sebelah kiri medan ikan bakar itu, ada sebuah jeti yang menyambungkan tempat itu dengan bukit tersebut. “Di atas tu ada sebuah kubu lama. Sekarang dipanggil Fort Supai. Dulu kota tu dibina oleh tentera Belanda yang menjaga perdagangan bijih yang dikeluarkan menerusi Sungai Linggi. Sekarang jadi tempat bersejarah saja.”
“Kedudukannya agak selari dengan rumah kita kan, bang?” Dia cuma menduga.
Damien angguk. “Mungkin kita boleh nampak Vila Helena jika kita panjat bukit tu.”
“Nantilah kalau ada masa,” balas Anis.
Walaupun tempat itu indah dan mempesonakan namun ada sesuatu yang menganggu tumpuannya. Dia perasan Damien agak berbeza pada malam itu. Suapannya perlahan sahaja, bagaikan tidak berselera menikmati hidangan ikan bakar seperti selalunya. Belum sempat dia bertanya, Damien terlebih dahulu membuka mulut.
 “Apa kita nak buat esok?”
“Ikut abanglah,” balas Anis. “Anis tak kisah nak ke mana pun.”
“Alang-alang dah datang ni… apa kata kita jalan-jalan di Melaka Hilir? Anis pun belum pernah ke sana, kan?”
“Siapa kata Anis tak pernah pergi?” Anis membantah. Pandai-pandai sahaja Damien membuat cerita.
Damien tersenyum bagaikan puas hati apabila Anis mula melenting.
“Pernah ke?”
“Tapi dah lama. Semasa ikut rombongan sekolah dulu. Agaknya sekarang tentu dah banyak berubah.”
“Zaman sekolah rendah dulu tak payahlah cerita. Dah jadi sejarah juga,” balas Damien sambil ketawa kecil.
Anis tarik muka masam. Kecil hatinya apabila ditertawakan begitu. Dahulu, hidupnya cuma ada masa untuk belajar dan bekerja sahaja, mana ada masa untuk berjalan-jalan seperti orang lain? Duit gaji pun disimpan untuk masa depan. Maklumlah dia hidup sebatang kara. Siapa yang mahu membantu sekiranya kesempitan?
“Maafkan abang,” kata Damien sebaik sahaja menyedari yang air muka Anis sudah berubah muram. “Abang bukan nak ketawakan Anis. Esok abang bawa Anis jalan-jalan ke bandar. Anis belilah apa-apa barang yang Anis nak. Cencaluk ke, belacan ke… Okey?”
Seleranya sudah terbantut. Kini dia makan tidak serancak tadi lagi. “Ikut abanglah,” balasnya pendek.
“Merajuk ke?” Damien ikut berhenti menyentuh makanannya.
Anis geleng. Sedaya-upaya dia cuba mengawal rasa rajuk dan kecil hatinya. Mungkinkah dia yang terlalu sensitif ataupun sememangnya Damien  yang tidak sihat?
“Tak menjawab ni… tentu merajuk, kan?”
“Boleh juga jalan ke bandar esok. Sebelah petang pula… kita memancing,” balas Anis. Dia cuba untuk mengendurkan suasana. Rasa rajuknya cuba dipadamkan. Sampai bila dia harus merajuk?
“Ingatkan abang untuk beli peralatan memancing esok. Umpannya sekali. Abang lupa bawa.” Damien mula menyambung suapannya.
Ya, Anis sendiri terlupa untuk membawa apa-apa ke situ selain pakaian mereka tetapi itu bukan sesuatu yang menjadi masalah besar. Semuanya boleh dibeli di sini tetapi hatinya tetap dibelit kesangsian.
“Abang… abang sihat ke?” Akhirnya terluah juga pertanyaan itu.
Damien tergamam. “Kenapa tanya macam tu?”
“Entahlah. Abang yang patut jawab,” balas Anis.
Sejak dia melihat Damien hampir tumbang di pintu pagar siang tadi, dia sebenarnya memerhati setiap gerak-geri suaminya itu diam-diam.
“Abang tak sakit apa-apa,” jawab Damien sebelum menyedut air minumannya yang sudah hampir habis.
“Muka abang nampak pucat.” Itu jawapan yang jujur. Memang wajah Damien nampak pucat di matanya.
Damien terus meraba pipinya dengan tangan kiri.
“Ya ke? Abang pun tak perasan. Abang rasa abang handsome saja.” Dia tersenyum pula.
“Kalau abang tak sihat, janganlah sorok-sorok,” kata Anis.
Dia mula rasa seperti tidak dipercayai. Sebagai isteri, dia mestilah tahu apa yang sedang dialami oleh suaminya. Tetapi kini, dia berasa seperti tidak berguna.
“Abang sihat cuma sejak sampai ke rumah tadi, tengkuk abang rasa berat saja. Kepala pun sekejap pening sekejap hilang.” Barulah Damien mahu membuka cerita.
“Abang nak jumpa doktor? Manalah tahu, kalau tekanan darah abang naik ke….”
“Abang tak ada penyakit darah tinggi,” bantah Damien.
“Semalam mungkin tak ada, hari ini mungkin ada. Sakit-sakit macam ni kan cuma simptom? Kenalah jumpa doktor.”
“Nantilah,” balas Damien.
Anis mengeluh pendek.
“Tak mahulah nanti-nanti. Esok abang pergi jumpa doktor, okey? Kita pergi sebelum kita pergi ke Bandar Hilir. Kalau tak… Anis tak naklah pergi.”
Damien tergamam seketika. Dia diam sesaat.
“Yalah, yalah…,” katanya sebelum tersenyum semula.
Anis berasa sedikit lega. Itu sahaja yang dipinta. Dia bukanlah seorang doktor yang boleh mengesan penyakit suaminya. Dia hanya seorang isteri yang tahu menggesa suaminya mendapatkan rawatan awal jika perlu. Dia hanyalah seorang isteri yang tahu berperasaan runsing jika suaminya kesakitan.
“Anis jangan risau ya? Abang tak apa-apa,” kata Damien sambil memandang wajah Anis.
Anis angguk. Senyuman suaminya dibalas dengan penuh ikhlas. Dia sakit tidak mengapa, dia cuma tidak sanggup melihat suaminya sakit.
******
KIRA-KIRA pada pukul 11.00 malam, mereka berdua sudah berada semula di rumah mereka. Ternyata tempat medan ikan bakar terapung itu tidaklah begitu jauh dari situ. Sebaik sahaja balik, Damien terus bersolat Isyak sebelum menukar pakaian dan naik ke atas katil. Anis membiarkan sahaja, mungkin memang benar Damien tidak sihat.
“Abang lapar tak?” tanya Anis sambil tangannya menyelak selimut.
“Anis tanya apa tadi?” Damien menoleh ke arah Anis sebentar sebelum mengiring semula ke arah dinding sambil memejamkan mata.
“Anis tanya abang lapar ke? Kalau lapar, dalam almari bawah tu ada sebungkus mi segera,” terang Anis. Kini dia sudah bersedia untuk memadamkan lampu tidur. Risau juga jika Damien masih lapar.
“Anis lapar ke? Abang kenyang makan ikan bakar tadi. Sedap juga makan dekat situ, kan? Tempat pun tak jauh.”
“Kalau abang tak lapar, tak apalah. Abang tu tadi makan nasi sikit saja. Boleh kenyang ke?” tanya Anis sambil mengiring ke sebelah kiri untuk mematikan lampu tetapi dengan tiba-tiba, dia berasa hairan. Eh! Kenapa Damien diam saja? Lalu dia menoleh. Perlahan-lahan, dia mendekati wajah suaminya. La… dah lelap? Katanya dalam hati.
Dia tersenyum. Untuk beberapa saat dia menatap wajah suaminya yang sedang nyenyak tidur. Wajah itu nampak sungguh tenang, sungguh selesa. Anis mengeluh perlahan, selimut Damien dibetulkan sambil dia sendiri menarik selimut sampai ke leher. Dia yakin, dia akan menggigil apabila hari menjelang pagi dalam suhu bilik sesejuk itu. Namun demi keselesaan Damien dia bertahan.
Sejam berlalu… mata yang dipaksa pejam itu jadi celik kembali. Sejuk sangat ke? Dia mengerekot menghadap Damien. Kadang-kadang kalau sejuk sangat pun, dia susah lelap tetapi ada kemungkinan dia susah lelap malam itu kerana bertukar tempat tidur. Maklumlah tempat baru, katil baru dan suasana baru. Dia mengeluh perlahan, sambil cuba memaksa dirinya untuk lelap seperti suaminya.
“Kalau Anis nak kahwin juga dengan dia, kahwinlah. Mak tak kisah. Nak sangat berlakikan orang kaya.”
Dengan tidak semena-mena, kata-kata itu terngiang jelas di telinganya. Kata-kata yang diterimanya apabila dia menyampaikan hasrat Damien kepada ibu tirinya dahulu. Satu berita yang sepatutnya diterima dengan rasa syukur, menjadi berita yang menimbulkan kemarahan dan perlian.
“Bukan soal kaya atau tak, mak. Tapi ni soal masa depan, Anis,” balasnya pada waktu itu.
Sejujurnya dia tidak tahu apa salah Damien sehinggakan begitu sinis jawapan yang diberikan ibu tirinya. Padahal selama ini dia dan Damien tidak pernah membelakangkan keluarga dalam perhubungan mereka. Tetapi satu sahaja yang dia cukup tahu… apa sahaja yang dia buat semua tidak betul di mata ibu tirinya. Yang kurang dihina, yang lebih diiri.
“Lantak kamulah tapi jangan harap mak nak keluarkan duit sesen pun. Nak beri makan adik-adik kamu pun tak cukup ini pula nak berhabis duit untuk kenduri kendara kamu? Kamu ingat banyak sangat ke harta yang ayah kamu tinggalkan dulu? Berguni? Bergantang?” balas ibunya lagi.
Ya, dia sudah menduganya. Dia sudah menduga dia akan keseorangan dalam menguruskan hal itu. Sejak ayahnya meninggal, dia tinggal bersama ibu tirinya yang telah menggantikan tempat ibu kandungnya sejak dia berusia hampir setahun. Di mana ibu kandungnya dia tidak pernah tahu. Dia hanya memiliki nama dan sekeping gambar lama.
“Ini gambar mak Anis,” kata ayahnya semasa berusia hampir dua belas tahun.
“Kenapa ayah serahkan pada Anis? Ayah simpanlah.” Gambar itu dihulurkan semula kepada ayahnya.
Ayahnya menggeleng. Gambar itu diletakkan semula ke dalam tangan Anis. “Anis simpan gambar ni. Kalau tak… nanti mak tiri Anis bakar. Nanti Anis tak ada langsung gambar mak Anis.”
Baru dia sedar tujuan ayahnya.
“Simpan baik-baik. Ini saja yang tinggal,” kata ayahnya lagi sebelum meninggalkan bilik tidurnya.
Dia terpinga-pinga, namun sejak itu gambar itu berada dalam simpanannya. Ke mana-mana pun dia pergi gambar itu tetap dibawa. Walaupun dia tidak tahu di mana ibunya dan kenapa dia ditinggalkan namun dia tidak ada berasa benci kepada seorang wanita yang pernah melahirkannya. Tanpa wanita itu, tiadalah dia di dunia ini. Tiadalah dia mengenali Damien suaminya.
Prangg!!! Bunyi kaca terhempas kedengaran.
Mata Anis semakin celik.
*****
UNTUK seketika, Anis terkaku di atas katil. Hanya anak matanya yang bergerak-gerak memerhati ke kiri dan ke kanan. Bunyi apa pula tadi tu? Apa yang pecah? Rasanya semua pintu dan tingkap sudah ditutup tadi. Dia mula ribut berfikir. Ah! Mungkin tiupan angin laut kut? Dia menarik semula selimut hingga ke paras leher. Sempat juga dia menjeling jam loceng di meja sisi. Sudah hampir ke pukul 1.00 pagi.
Anis mengeluh perlahan-lahan. Apabila keadaan kembali tenang, dia kembali cuba melelapkan mata namun keadaan di bilik itu dirasakan semakin sejuk sehingga selimut yang dipakainya seolah-olah tidak memberikan kesan. Dia mula resah. Dia tidak mahu berjaga hingga ke pagi.
Pranggg!!! Bunyi kaca terhempas kedengaran lagi. Kali ini makin kuat pula.
Apa lagi yang jatuh ni? Ada tingkap yang lupa ditutup ke? Hisy! Satu kerja pula nak memeriksa tingkap di rumah tu pada pukul satu pagi, Anis mengeluh. Lalu dia bangkit dan menolak selimut ke hujung kaki, dia yakin ada sesuatu yang telah pecah di luar bilik.
Tombol pintu terasa amat sejuk di tapak tangannya. Apabila dipulas dan dibuka, terasa pintu agak berat dan ketat daripada biasa namun dia tidak mengendahkannya lalu melangkah keluar ke ruang tamu tingkat dua. Setelah memerhati dengan teliti, Anis tersedar. Tidak ada apa-apa pula yang pecah. Semuanya elok sahaja dalam keadaan asalnya. Sedang dia berpaling ke belakang untuk masuk semula ke bilik tidur, sekali lagi bunyi kaca terhempas ke lantai berbunyi.
Pranggg!!!
Di tingkat bawah ke? Anis menjenguk di tepi tangga namun tidak kelihatan apa-apa yang mencurigakan. Semuanya nampak seperti biasa. Di dapur kut? Dia terus berfikir. Sedang dia teragak-agak untuk turun ataupun tidak, terdengar bunyi tapak kaki seseorang. Begitu berat. Dia menjenguk dari tepi tangga.
Dalam kesamaran cahaya yang hanya diterangi lampu dari arah dapur, dia ternampak sesusuk tubuh lelaki sedang duduk di sisi piano. Bajunya berwarna putih, seluarnya juga putih. Dia memerhati betul-betul, matanya makin besar. Ah, tak mungkin dia!
Ting! Bunyi piano ditekan.

Kaki Anis sudah terpaku ke lantai. Dia tidak boleh bergerak. Dadanya berdebar kencang. Seluruh inci tubuhnya terkaku. Dan apabila lelaki yang dilihatnya itu melangkah ke arahnya, dia lalu jatuh ke lantai. Tidak sedarkan diri.

Sunday, December 8, 2013

Sejak Kita Bertemu : Bab 11


Bab 11
Kuala Lumpur.
RUMAH MARZITA. Begitulah nama banglo tiga tingkat yang tersergam megah di pinggir ibu kota. Rumah milik Tan Sri Dzairil dan arwah isterinya. Tempat kediaman mereka sejak hampir tiga puluh tahun yang dulu. Ia dibina di tepi sebuah bukit yang menghadap ke arah banjaran Titiwangsa.
Senja itu, Tan Sri Dzairil masih duduk berehat di atas bumbung banglo miliknya yang menghadap ke arah lereng bukit yang menghijau. Matahari yang sudah jatuh di belakang rumah itu menjadikan kawasan itu redup dan nyaman untuk dijadikan tempat berehat pada waktu petang membawa ke senja. Itulah tempat kegemarannya untuk menghabiskan masa lapang dan bersendirian sejak isterinya meninggal dunia.
 “Tan Sri…,” panggil Khairul.
Tan Sri Dzairil mengangkat muka dari majalah TIMES yang sedang dibacanya. Cermin mata yang dipakai ditanggalkan. Daripada nada suara Khairul dia tahu ada sesuatu yang ingin disampaikan dan perkara itu bukanlah perkara yang menggembirakan. Mungkinkah?
“Tentang Natrah….” Kata-kata Khairul terhenti lagi.
Semakin tajam renungan Tan Sri Dzairil menikam wajah Khairul. Sedar-sedar sahaja dadanya mula berdebar-debar namun dikawal agar tidak terlalu kuat. Dia bimbang dia akan diserang sakit jantung pula.
“Ada ramai Natrah dalam fail pendaftaran negara. Saya masih siasat satu persatu,” sambung Khairul.
Tan Sri Dzairil menarik nafas lega. Dia fikirkan Khairul mahu menyampaikan berita yang lebih memeritkan daripada itu. Mujurlah tidak.
“Tak perlu tergesa-gesa. Asalkan awak dapat cari dia.”
“Saya juga sedang menjejaki majikannya yang terakhir,” kata Khairul lagi.
“Ikut awaklah. Setahu saya dia sudah tinggalkan tempat tu. Mungkin juga dia sudah balik ke kampung dia di Thailand.”
“Siapa yang beritahu?” tanya Khairul pula.
Tan Sri Dzairil terdiam. Pedih hatinya apabila diminta menyelak kenangan lama yang telah dikambus rapat-rapat. Namun oleh kerana dia yang berhajat, dia juga yang harus berkorban.
“Arwah mak saya.” Dia lantas teringatkan sesuatu.
“Mama tak mahu Dzairil tanya pasal dia lagi. Dia bukan siapa-siapa dengan kita,” kata arwah ibunya puluhan tahun yang lalu apabila dia bertanyakan Natrah sekembalinya dia dari England.
“Tapi mama, dia….”
“Dzairil fikir kenapa mama dan papa hantar Dzairil belajar jauh-jauh?”
Dia terdiam. Sungguh dia terdiam dan apa yang terfikir di kepalanya pada waktu itu tidak berani diluahkan. Dia tidak berani menuduh ibunya telah merancang untuk memisahkan dia dari Natrah dengan cara yang begitu halus. Lima tahun dia di perantauan, tidak ada sehari dia tidak merindui Natrah.
“Selepas Dzairil pergi ke England, dia keluar dari rumah kita.” Ibunya menambah. “Tak guna Dzairil cari lagi perempuan macam tu. Tak setia.”
“Mama halau dia, kan?”
Bulat mata ibunya memandang wajahnya. Namun pertanyaannya itu tidak pernah dijawab sehinggalah ibunya menutup mata. Dan baginya jawapan itu tidak penting kerana tiada bezanya apabila Natrah terus tidak ditemui sehingga kini.
“Apa lagi awak nak tanya?” Dia pula yang menyoal Khairul. Kenangan lama itu dipadamkan segera.
“Sebelum ni… Tan Sri tak pernah cari dia?”
Dia termenung seketika. “Pernah. Semasa saya baru balik dari England tapi dia memang sudah tak ada di situ.”
“Selain itu?”
“Selepas saya berkahwin dengan Puan Sri… saya lupakan dia.” Satu pengakuan yang begitu berterus-terang. Ya, dia pernah melupakan Natrah demi kebahagiaan keluarganya. Adakah itu satu kesilapan? Dia tidak pasti.
“Saya faham,” balas Khairul.
“Kalau awak jumpa dia… jangan cakap apa-apa pasal saya. Perhatikan saja bagaimana keadaan dia.”
“Tan Sri tak nak jumpa dia?”
Tan Sri Dzairil tidak menjawab apa-apa. Dia belum tahu sama ada akan berjumpa Natrah ataupun tidak kerana dia tahu, dia yang bersalah. Majalah TIMES di ribanya, diambil dan dibuka semula. Namun ketenangan jiwa yang diharapkan di situ sudah tiada.
******
TROLI yang berisi lampin pakai buang, setin susu dan beberapa paket Maggi ditolak perlahan-perlahan di celah rak-rak barangan yang mempamerkan barangan dapur. Maria membelek botol kicap yang tersusun rapi di situ, dia mencari-cari botol kicap berjenama yang digemari oleh Joe. Sedang mahu mengambil botol kicap yang dicari, telinganya menangkap bunyi isyarat mesej masuk ke telefon bimbitnya.
“Jumpa?” tanya Joe yang baru tiba berdekatan dengannya. Daniel di pangkuannya hanya terkelip-kelip. Sesekali air liurnya menyembur keluar dan meleleh. Cepat-cepat Joe menyapunya.
Maria angguk tanpa menoleh. Leka matanya membaca SMS yang tertera di situ. Perlahan-lahan bibirnya menguntum senyuman.
“SMS daripada pakwe ke?”
“Makwe Daniel,” balas Maria. “Kan Daniel, kan?”
Joe pandang Daniel. “Makwe Daniel? Amboi! Papa dulu habis sekolah baru ada makwe. Daniel kecil-kecil lagi dah ada?”
“Sebab papa Daniel tak comel macam Daniel,” sambut Maria sambil ketawa kecil. Telefon bimbitnya disimpan di dalam beg tangannya semula. Sesungguhnya SMS itu sungguh menggembirakan hatinya.
“Seronok semacam saja mama Daniel ni? Papa risau…,” kata Joe sambil berpura-pura berbincang dengan Daniel di pangkuannya.
Maria mengeluh sebelum ketawa kecil. Dia mencium pipi Daniel. “Ada orang jeluslah, Daniel.”
Daniel hanya bergerak-gerak dalam pangkuan Joe. Air liurnya menyembur-nyembur lagi.
“Nak menjawablah tu,” kata Maria. Gembira melihat Daniel begitu dan lebih gembira dengan berita yang baru diterima tadi.
“Cakaplah… siapa SMS tadi tu?” Joe akhirnya kembali serius. Mungkin sudah hilang sabar.
“Anis.” Maria pandang Joe.
Joe tidak berbunyi. Dia hanya menunggu.
“Anis SMS alamat rumah baru dia tu. Dia ajak kita bertiga datang ke sana,” terang Maria. Dia tahu Joe bukanlah merajuk betul-betul.
“Bila kita nak pergi?”
“Esok pun boleh kalau kita berdua menganggur.”
Joe langsung terdiam. “Esok, abang cuba minta cuti. Maria tetapkan hari.”
“Sebenarnya, saya dah beritahu pada Cik Pia hal ni. Cik Pia kata, dia okey saja kalau saya ambil cuti. Lagipun cuti tahunan kan masih ada?”
“Kalau macam tu, Maria tetapkan tarikh, okey. Abang cuba apply ikut tarikh tu,” balas Joe pula.
Maria pandang Joe lama-lama. Hatinya gembira dan teruja untuk ke sana tetapi dalam masa yang sama ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
“Abang… saya belum beritahu mak yang kita nak tinggalkan Daniel kat sana nanti.”
Joe menarik tangan Maria ke arah tepi. Kini mereka berdua berdiri rapat ke rak bagi memberikan peluang pelanggan lain untuk memilih barang.
“Nak cakap ke?”
“Takkan tak cakap? Nanti kalau mak tanya kenapa bawa baju Daniel banyak sangat, apa nak jawab?” balas Maria pula.
“Diam-diam sajalah,” balas Joe.
“Kalau balik nanti mak tanya macam mana?”
“Maria jangan fikir susah-susah dulu, boleh tak? Abang sakit kepala,” balas Joe.
Maria tidak menjawab lagi. Botol kicap kegemaran Joe diambil sebotol lalu dimasukkan ke dalam troli. Dia terus menolak troli itu ke kaunter bayaran. Rasa gembiranya tadi kini bercampur resah. Dia tidak fikir ibu mertuanya akan bersetuju dengan tindakan mereka nanti tetapi dia harus memilih di antara dua hati yang harus dijaga.
******
Sementara itu di Flat Sri Mastura…
“Tutup cepat hari ni, Ani?” tegur Mak Cik Izzah apabila terlihat wajah Mak Ani yang baru tiba di hadapan pintu rumah.
Mak Ani meletakkan bakul yang dibawanya ke atas lantai. Dia menanggalkan tudung yang dipakai lalu dikibas-kibas ke muka sambil melangkah mendekati Mak Cik Izzah yang duduk berehat di pangkin luar rumahnya.
“Kepala aku ni asyik pening dari pagi tadi. Sampai pukul lapan tadi, aku dah rasa nak tumbang.” Akhirnya dia menjawab juga dan terasa sedikit lega apabila apa yang ditanggung seorang diri diluahkan.
Mak Cik Izzah mengesot ke tepi bagi memberikan tempat untuk Mak Ani duduk. Kini mereka berdua duduk-duduk di situ sambil memandang dada malam yang terang disimbah cahaya kota.
“Tekanan darah engkau naiklah tu. Ubat engkau dah habis ke?”
Mak Ani diam sahaja. Memang ada kemungkinan itu yang berlaku tetapi dia sudah sampai ke satu peringkat di mana dia sudah berasa teramat jemu menelan ubat. Ada kalanya dia lebih rela menanggung sakit daripada memasukkan ubat itu ke dalam mulutnya lagi. Jemu.
“Engkau ni duduk termenung di luar ni kenapa pula?” Mak Ani bertanya seraya menepuk lembut peha Mak Cik Izzah. Dia tidak ingin dileteri bagaikan budak setahun jagung.
Mak Cik Izzah mengeluh. “Entahlah, Ani. Dah tua-tua ni… terfikir pula nasib hidup aku ni. Sudahlah anak entah di mana, anak angkat pun tak mahu tinggal dengan aku.”
“Anak engkau tak balik jenguk kau?”
“Dia kata nak balik minggu depan. Tapi entahlah tu. Dulu pun kata macam tu juga tapi bila sampai harinya, dia kata nak ikut kawan pergi Genting Highland.”
“Alah… budak-budak muda. Berseronok tu lebih penting daripada tengok muka kita ni. Esok, bila kita dah tak ada, baru nak menangis-nangis,” balas Mak Ani.
Dia mula terkenang anak-anaknya yang lain selain Joe. Mujurlah Joe dan Maria mahu tinggal berdekatan selepas berkahwin. Kalau tidak… nasib mereka berdua tentu tidak jauh bezanya.
“Engkau lainlah, engkau beruntung. Anak dan menantu duduk dekat saja. Hari-hari boleh tengok muka cucu.”
“Reda sajalah, Izzah. Tak guna bersungut. Lagi kita tak bersyukur, lagi kita mudah sakit. Dah tua-tua ni, jangan banyak fikir itu tak cukup, ini tak cukup. Apa yang ada, kita terima. Apa yang tak ada, tak payah rasa sedih. Dah bukan rezeki kita.” Panjang lebar Mak Ani menasihatkan Mak Cik Izzah. Dia tahu Mak Cik Izzah rasa di antara mereka berdua sungguh besar perbezaannya.
Walaupun sudah hampir 10 tahun, mereka tinggal berjiran di flat itu, dia tidak begitu tahu kisah hidup jirannya itu. Apa yang dia tahu, Mak Cik Izzah seorang janda yang mempunyai seorang anak yang tinggal bersama bekas suaminya. Selain itu Mak Cik Izzah mempunyai seorang anak angkat perempuan yang dipanggil Ana tetapi sekarang sudah tinggal di asrama tempat gadis itu bekerja. Segala perbelanjaan hidupnya ditanggung oleh wang pencen dan sedikit bayaran yang diberikan Maria sebagai upah untuk menjaga Daniel setiap hari.
“Engkau cakap senanglah… aku ni yang mungkin mati sorang-sorang di rumah ni esok,” balas Mak Cik Izzah.
“Hisy! Janganlah minta macam tu. Aku ni kan ada? Maria ada, Joe ada… kami akan tengok-tengokkan engkau. Janganlah bimbang.” Tidak sangka, ke situ pula yang difikirkan oleh Mak Cik Izzah malam itu. Pilu pula hati tuanya.
“Anak orang, lain dengan anak sendiri.”
Mak Ani mengeluh perlahan. “Habis tu? Engkau tak cuba cari anak kau tu? Entah-entah dia pun cari kau.”
Lama Mak Cik Izzah terdiam. Dia termenung jauh.
“Bukan aku tak nak cari tapi jejak kaki ke kampung itu pun, bekas suami aku tak benarkan. Ini kan pula nak melihat anak aku.”
“Kalau mengikutkan sangat nafsu marah, macam tulah jadinya. Suami isteri yang bergaduh, anak yang jadi mangsa.”
“Dulu aku ada dengar dari orang kampung… bekas suami aku dapat anak baru tiga orang. Entah bagaimanalah nasib anak aku tu.”
Suasana menjadi hening. Mak Ani diam sahaja bagi memberikan ruang untuk Mak Cik Izzah meluahkan perasaannya. Mungkin dengan itu, hati Mak Cik Izzah akan kembali tenang.
“Bukan aku tak nak bawa dia sekali pada masa tu tapi suami aku tak izinkan. Lagipun madu aku tu kononnya sayang sangat pada anak aku tu,” sambung Mak Cik Izzah.
“Kalau aku jadi kau Zah, aku heret juga anak aku tu. Tak kiralah, apa pun nak jadi,” balas Mak Ani.
“Kalau difikirkan balik… memang aku menyesal tak bawa dia. Tapi yalah, benda dah berlaku. Anak aku tu pun dah besar panjang. Entah-entah dah kahwin pun.”
“Carilah dia,” gesa Mak Ani.
“Nak cari macam mana? Lagipun nanti orang kata dah besar baru nak cari, dah tua baru ingat anak, dah besar baru nak menumpang senang. Aku pun tak mahu menyusahkan dia….” Suara Mak Cik Izzah begitu keras.
Mak Ani mati akal.
“Kalau macam tu… berdoa sajalah. Moga-moga sebelum kau menutup mata, kau dapat jumpa dia semula. Berdoa juga, moga-moga hatinya terbuka untuk cari kau sebelum terlambat.”
“Ani… katakanlah aku tak sempat jumpa dia. Boleh tak kau cakap pada dia… aku bukan tak sayang dia, bukan saja nak tinggalkan dia tapi pada masa tu aku memang tak dapat bawa dia ikut aku. Aku diceraikan depan tangga, dihalau sehelai sepinggang… parang dihalakan ke muka aku.” Suara Mak Cik Izzah semakin sebak.
“Kalau itu yang kau nak… aku akan tunaikan kalau aku terjumpa anak kau. Tapi aku lebih suka kalau kau tak putus asa. Kau berdoalah sunguh-sungguh, minta pada Tuhan untuk jumpa semula anak kau walaupun sekali. Selagi kita hidup, selagi itu macam-macam boleh berlaku.”
Mak Cik Izzah diam.
“Aku dah tak larat ni, Zah. Aku nak masuk dulu. Kau jangan nak termenung lama-lama dekat sini…kang ada pula yang meneman. Pergi masuk tidur. Esok lusa adalah si Ana tu balik. Jangan fikir yang bukan-bukan.” Mak Ani angkat punggung. Bahu Mak Cik Izzah ditepuk lembut. Bukan dia tidak mahu melayan lagi rawan hati jirannya itu cuma jika ditunggu, mahu dia pitam di situ.
“Esok Maria kerja?” Sempat Mak Cik Izzah bertanya sebelum Mak Ani jauh menapak.
“Kerja,” jawab Mak Ani sambil memulas kunci rumahnya.

Dia masuk ke dalam sambil melepaskan nafas yang panjang. Dia tahu, selagi bernyawa… kisah manusia tidak akan habis. Entah apa pula yang akan terjadi esok hari, entah apa pula nasib dirinya.