Friday, February 28, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 6





ATAN baru tiba di Kolej Tun Teja. Seperti biasa, basikal buruknya disandarkan di belakang bangunan. Beg dan botol air disimpan di dalam bilik stor. Selepas itu dia mula menjalankan tugasnya seperti biasa. Membersihkan bangunan kolej itu dua kali sehari. Itu rutin yang pertama.
Tong-tong sampah di Tingkat Bawah dikosongkan. Dia mula menyapu lantai dan tangga dengan cermat. Pelajar-pelajar yang lalu-lalang tanpa henti agak menyukarkan. Sedang elok menyapu, dia terpandang sekeping poster di papan kenyataan.
Matanya terus membesar. Dia mendekati poster itu dan mengamati gambar yang terpapar jelas. Darahnya tersirap. Itulah gambar anak patung yang dibawanya pulang petang semalam.
Kini perasaan kesal bertubi-tubi datang. Dia jadi sedar. Anak patung itu amat penting kepada pemiliknya. Perasaannya berdebar-debar. Dia jadi rungsing memikirkan hal itu. Dia rasa bersalah kerana telah terambil sesuatu yang bukan hak miliknya. Walaupun dia seorang miskin namun dia bukan seorang pencuri.
Sepanjang hari itu, dia bekerja dalam keadaan resah gelisah. Setiap ketika, dia teringatkan rumah. Dia teringatkan anak patung yang mungkin masih berada di atas almari. Akhirnya waktu petang pun tiba. Dia lalu pulang dengan bersemangat.
Tubuh badannya yang berusia hampir separuh abad terasa lebih segar dihembus angin petang. Kayuhan demi kayuhan dikerahkan sekuat mungkin. Dia mahu cepat pulang namun denai yang biasa dilalui setiap hari itu terasa lebih panjang.
Setibanya di kawasan tempat tinggalnya, dia melihat anak sulungnya sedang menangis di atas pangkin di luar rumah. Dia kehairanan. Basikal disandarkan segera ke dinding rumah.
 “Kenapa menangis ni? Adik mana?” Dia menyoal sambil bercekak pinggang.
Anak sulung hanya menunjukkan jari ke dalam rumah.
Dahi Atan berkerut. Apa hal pula ni? Dia melangkah cemas. Segala kemungkinan buruk terbayang dalam fikirannya. Namun semua itu hilang apabila terpandang ank bongsunya sedang leka bermain dengan anak patung beruang di atas lantai. Tetapi… kenapa anak bongsunya berpakaian cantik?
Sekilas telinganya menangkap bunyi pergerakan di luar rumah. Bunyi itu datang dari arah bilik mandi yang dikepung dengan atap-atap zink yang mula berkarat ditelan waktu. Atan bergerak ke arah bunyi itu. Tangannya menguak pintu bilik mandi yang memang tidak pernah mempunyai kunci.
“Cepat Mah balik?” tanyanya kehairanan. Terkejut melihat susuk tubuh yang sangat dikenalinya di situ.
Isterinya tidak menjawab. Sebaliknya segera melangkah meninggalkan Atan terkulat-kulat.
Bau harum tubuh isterinya selepas mandi itu seakan turut sama meninggalkan dia di situ. Atan lantas mengekori isterinya ke dalam rumah. Dia perhatikan sahaja gelagat isterinya dengan rasa hairan yang tidak kunjung padam.
Isterinya pula leka bersiap. Sehelai  blaus berwarna merah bersama sehelai seluar panjang hitam dikenakan. Atan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya menjadi keliru.
“Mah nak pergi mana senja-senja macam ni?”
Tiada jawapan. Isterinya menyisir rambut yang pendek berketak sehingga rapi. Wajahnya dioles sedikit bedak dan diratakan pemerah pipi. Bibir disapu gincu kemerahan.
Atan masih memandang tidak berkedip.
Isterinya menoleh ke arah sebuah beg pakaian yang sudah siap di tepi pintu. Kemudian menoleh ke arah Atan bagaikan memberitahu sesuatu.
Mata Atan membesar, wajahnya pucat.
Tanpa menunggu, isterinya mendukung anak bongsunya dan bergerak ke muka pintu. Beg pakaian diseret dengan tangan kiri. Belum sempat dia melangkah muka pintu, anak sulungnya muncul di situ.
“Mak, jangan pergi! Jangan bawa adik, mak!” rayunya sambil mencengkam pergelangan tangan ibunya kemas-kemas.
Tangan itu direntap kasar. Isterinya tetap juga melangkah pergi.
“Mah!” tempik Atan.
Tubuhnya menggigil menahan marah. Penumbuknya digenggam kuat. Hatinya cuba mengingati Tuhan sekuat mungkin. Nafasnya mula tercungap-cungap. Asmanya tiba-tiba menyerang.
Isterinya tetap tidak menoleh ke belakang. Anak sulungnya masih teresak-esak di tepi dinding. Anak tengahnya terkelip-kelip tidak memahami apa-apa.
“Mengapa, Mah?”
Nafas Atan tersekat-sekat. Paru-parunya tiba-tiba menyempit. Dia terus cuba menghela nafas sebanyak mungkin. Cuba mengawal perasaan marahnya sekuat hati. Cuba memujuk hati isterinya yang mungkin sedang rajuk.
“Mengapa Mah sampai hati tinggalkan abang dan anak-anak?” Suara Atan terketar-ketar.
“Sebab Mah dah bosan hidup macam ni. Mah mahu hidup macam orang lain. Mah tak mahu jadi setinggan sampai bila-bila!”
Atan hanya menundukkan kepalanya ke lantai. Kecewa dan marah terus berbaur. Kata-kata isterinya melontar ingatannya jauh ke belakang, ke beberapa tahun yang lalu.
“Abang  diberhentikan kerja, Mah,” katanya pada suatu petang sambil duduk di pangkin tepi rumah mereka.
“Kenapa?”
“Sebab abang selalu sangat cuti sakit. Asma abang makin teruk. Makin kerap datang. Kadang-kadang abang sakit di kilang. Jadi mereka nasihatkan abang berhenti sahaja supaya tidak menganggu kerja-kerja di kilang tu.”
“Tak apalah, bang. Biar Mah yang kerja pula ya? Esah yang tinggal di rumah hujung tu kata, kilang dia nak pakai pekerja. Dia ada ajak Mah kerja dengan dia. Boleh, bang?” Mata isterinya bercahaya, memancarkan harapan yang besar.
Atan mengangguk perlahan. Terasa kagum dengan kesanggupan isterinya menggalas tanggungjawab mencari rezeki sewaktu dia sedang sakit.
“Selepas abang sihat, abang kerja semula ya?” katanya penuh harap. Kalau boleh dia tidak mahu isterinya bekerja. Dia mahu isterinya duduk di rumah menjaga anak-anak. Biar anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Biar mereka miskin namun kaya iman. Namun harapan tinggal harapan. 
Penyakitnya terus tidak pulih walaupun pelbagai ubat sudah ditelan. Mahu tidak mahu, Atan hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan dengan mengambil upah menyapu dan membersihkan bangunan di sekitar tempat itu. Pendapatannya walau tidak sebanyak mana cukuplah untuk membeli beras dan lain-lain keperluan dapur.
Isterinya pula tidak menoleh lagi. Dia terus bekerja dengan tekun setiap hari sehingga dinaikkan pangkat. Wang gaji isterinya digunakan untuk membeli pakaian dan keperluan lainnya. Selebihnya isterinya memohon izin untuk disimpan ke dalam bank.
Atan hanya tersenyum. Dia tidak berhak ke atas wang itu, terserahlah kepada isterinya.
“Abah… Jaja lapar…” rengek anak tengahnya.
Lamunan  Atan terhenti.
Tangan kecil anaknya mula menggosok-gosok perut. Atan menoleh ke arah dapur.  Dia bangun lantas menuju ke ruang itu. Tangannya menceduk sedikit nasi dan meletakkan ke atas pinggan. Seketul ikan masin yang digoreng pagi tadi diletakkan bersama. Segelas air masak ditatang dengan tangan kiri. Diletakkan di hadapan Jaja.
 Jaja pantas menyuapkan nasi ke mulutnya. 
Atan kembali duduk di tepi dinding. Matanya merenung kosong.
Isterinya pula masih tercegat di hadapan pintu rumah. Anak bongsu dalam dukungan masih leka bermain dengan anak patung beruang. Sesekali mulutnya menghisap tangan anak patung itu, sesekali menggoncangnya.
“Mah nak pergi bang…” Dia mula menyambung langkah.
“Kesianlah pada anak-anak kita…” rayu Atan. Dia bingkas berdiri mengejar langkah isterinya. Tangannya cuba mencapai tubuh anak bongsu dalam dukungan isterinya, namun ditepis kasar.
Tubuh isterinya menjauh. Mata mereka beradu.
Mata Atan mula berkaca. Hatinya sebak melihat perlakuan isterinya. Anak sulungnya juga menerpa ke muka pintu. Tangannya cuba mencapai tangan adiknya. Airmatanya tidak berhenti bercucuran.
Suasana bertukar menjadi riuh. Anak- anak Atan  mula menangis. Anak yang tengah turut menangis walau masih tidak mengerti. Anak yang dalam dukungan isterinya turut menangis kerana terkejut melihat kakaknya menangis. Dan keadaan yang kecoh itu mula menarik perhatian jiran tetangga bersebelahan.
Beberapa orang datang menjenguk di hadapan rumah. Mereka memandang penuh hairan, tidak berani masuk campur.
“Mah tetap nak pergi.”
Atan tarik nafas. Nampaknya isterinya sudah cukup nekad.
 “Halimah, abang lepaskan Mah dengan talak satu. Pergilah.” Atan berkata cukup jelas. Dia berdiri dengan tenang.
Isterinya tersentak.
Jiran tetangga turut terkedu. Tiada siapa yang menduga akan menjadi saksi robohnya sebuah perkahwinan. Mereka lantas berbisik sesama mereka.
Mah tidak menunggu lagi. Dia lantas menyarung seliparnya dan berpusing ke belakang. Tangan kirinya mencapai beg baju yang telah siap sedia di luar pintu. Dalam gelap malam, dia melangkah laju. Mengikuti denai kecil di tepi perumahan setinggan itu, menuju ke sebuah perhentian bas di tepi jalanraya.
Sebuah kereta sudah lama menanti. Melihat kehadiran Mah, seorang lelaki pantas keluar lalu mengambil beg di tangannya.
Mah masuk ke dalam perut kereta, sebelum pintu ditutup tangan Mah menarik anak patung beruang dari genggaman tangan anaknya lalu mencampakkannya keluar.
Anak patung itu jatuh di tepi pondok perhentian bas. Kereta itu meluncur laju memasuki jalan raya dan terus hilang dalam arus kenderaan yang bertali arus.
Di rumah, Atan terduduk di tepi pintu. Tubuhnya masih menggigil. Bibirnya masih bergetar. Walaupun seperti bermimpi namun dia yakin keputusannya betul.
 Mah akan bahagia dengan pilihan hidupnya. Dia berserta anak-anaknya akan terus bahagia dengan dunia mereka sendiri.
Tiada gunanya dia memaksa kalau hati Mah sudah tidak wujud di situ. Dia percaya tanpa keikhlasan tidak akan wujud kemanisan berumahtangga. Biarlah segalanya berakhir. Dia reda.
Perlahan-lahan dipeluknya anak sulung dan anak tengahnya. Dengan sepenuh hati dia berjanji. Walau apa pun yang berlaku, dia akan membesarkan anak-anaknya dengan baik dan sempurna. Tiba-tiba dia tersedar sesuatu.
“Anak patung tadi mana?”
“Kan adik bawa?” Anak sulungnya menjawab.
Atan kehilangan kata-kata.

Jauh di perhentian bas, Mr. Teddy terbaring di bawah kerusi batu. Menanti siang tiba. Menanti Hana datang.

Thursday, February 27, 2014

Happy Birthday To Me


Alhamdulillah. 
Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menyambut hari lahir saya sekali lagi 
bersama ahli keluarga dan kawan-kawan pada hari semalam.
Terima kasih buat kawan-kawan dan saudara mara yang menghantar ucapan dan doa-doa untuk saya.
Insya-Allah... selagi diizinkan-Nya, diberi ilham, kudrat dan kelapangan 
saya akan terus menulis dan bercerita.


Tidak ada sebarang sambutan. 
Saya hanya membeli sebiji kek seperti dalam gambar di atas untuk
makan-makan bersama anak.
Kek Tiramisu -kegemaran saya.

Sekarang saya masih berusaha menyiapkan sebuah manuskrip.
Insya-Allah setelah siap saya akan beritahu di sini ya.
Terima kasih kerana selalu bersama saya tahun demi tahun.

Monday, February 24, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 5




AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

**********************************************


PAGI KEESOKANNYA Badrul bangun dengan rasa yang tidak selesa. Entah kenapa malam tadi tidurnya tidak lena. Seperti ada rasa rindu yang mencengkam kuat di lubuk hati. Rindu kepada ibunya.
Selepas mandi dan bersolat Subuh dia menyarung baju t-shirt hijau tanpa kolar. Di hadapan cermin dia berlama-lama dan menyisir rambut berulang kali. Akhirnya dia mengalah kepada desakan hati yang bertubi-tubi. Dia keluar ke pintu hadapan lalu duduk di situ menghirup udara pagi.
Dengan tarikan nafas yang kuat, dia mendail nombor telefon rumah. Setiap bunyi deringan yang terdengar di telinga, bagaikan menghentak tangkai hati. Perit.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Mak…” Badrul memanggil. Suara ibunya terasa sangat mendamaikan. Bagaikan hujan yang tiba-tiba turun di tengah padang pasir. Dan dia seumpama sehelai daun yang sudah lama kehausan.
“Bad!” Suara ibu Badrul begitu teruja. “Bad di mana  ni?”
“Di  Melaka.”
“Melaka? Bad tinggal dengan siapa?”
“Bad sewa rumah dengan kawan. Hmm… Bad dah kerja sementara, mak. Mak jangan risau, nanti Bad balik tengok mak.” Airmatanya mula bergenang. Suara kerisauan ibunya dari sana memujuk-mujuk rasa hibanya.
“Dah kerja ya? Kerja apa?”
“Kerja biasa aje, mak. Tebar roti canai.”
“Tak apalah. Itu pun kerja juga. Bad sihat tak? Makan minum cukup tak? Ada duit?”
“Semua cukup.” Makin lama perasaanya makin sarat. “Mak, sampaikan salam Bad pada abah. Bad nak pergi kerja ni. Assalamualaikum, mak.”
Telefon dimatikan. Dia tidak sanggup lagi mendengar suara ibunya. Dia faham. Suara itu sarat dengan kerinduan terhadapnya. Dia rasa berdosa. Bersalah. Sedang memujuk perasaan sedihnya dia ditegur oleh Abang Mat.
“Bad, semalam ada surat untuk kau. Nanti abang ambil sekejap.” Abang mat hilang semula ke dalam biliknya.
Surat? Pelik. Siapa pula yang hantar surat kepada dia? Kemudian dia teringat sesuatu. Dadanya mula berdebar-debar tidak tentu hala. Mungkinkah?
“Nah! Macam surat panggil interview aje.” Abang Mat menghulurkan sepucuk surat berwarna putih. Kemudian menunggu di hadapan Badrul dengan wajah yang tertanya-tanya.
Badrul buka sampul surat itu dengan berhati-hati. Setiap baris perkataan yang tertera di situ dibaca dengan teliti. Kemudian surat itu dilipat semula. Dimasukkan ke dalam sarung dengan cermat.
“Surat apa?”
“Surat temu duga. Minggu depan,” jawab Badrul dengan ringkas sambil berdiri.
“Baguslah.” Abang Mat tersenyum lebar. Dia menepuk bahu Badrul dengan lembut. “Kali ni mesti dapat.”
Badrul  tersenyum pahit.


KOLEJ TUN TEJA mula dibanjiri pelajar-pelajar. Hujan renyai yang turun sejak awal pagi membuatkan situasi agak kelam kabut. Ramai yang berlari-lari di dalam hujan menuju ke bangunan utama. Hana turut berlari sambil menjinjing beberapa fail di tangannya.
Setibanya di situ Hana terus menuju ke cafetaria. Dia menarik sebuah kerusi aluminium yang masih kosong dan meletakkan fail-fail tadi di atas meja. Titis-titis hujan yang singgah di rambut lurusnya, diseka dengan segumpal tisu. Dia mula rasa kesejukan. Setelah itu dia duduk memerhati ke sekeliling. Akhirnya wajah Dian, kawan baiknya kelihatan.
“Kau tahu tak, bas aku penuh hari ni? Aku kena tunggu bas ketiga baru dapat naik.” Dian terus menarik kerusi di sebelah Hana. Pagi-pagi lagi dia sudah penat berdiri dalam bas.
“Patutlah lambat,” balas Hana. “Selalunya kau yang sampai dulu daripada aku.”  
“Ha! Dah jumpa Mr. Teddy?” Dian yang berwajah kacukan Melayu-Cina itu menukar topik.
Mendengarkan nama Mr. Teddy di sebut, Hana mengeluh berat.
“Ke mana pula Mr. Teddy pergi? Kau marah dia ya?” Dian turut terasa sedih. Dia tahu Hana dan Mr. Teddy tidak dapat dipisahkan. Pastinya kehilangan Mr. Teddy amat dirasakan Hana sekarang.Dia sendiri tidak suka melihat Hana muram begitu.
“Aku tak ada mood nak bergurau la,” balas Hana.
“Sorry,” balas Dian. “Tapi kan, apa kata kalau kita buat poster dan tampal keliling kolej? Mana tahu, mungkin ada yang terjumpa dan simpan Mr. Teddy.”
“Kau nak malukan aku dekat satu kolej ke?” balas Hana. “Nanti satu kolej tahu aku bawa anak patung dalam kelas.”
“Bukanlah macam tu tapi tu pun satu usaha juga.”
Hana diam. Dia tidak pasti sama ada rancangan itu bagus atau tidak. Tetapi kalau perlu, apa salahnya? Demi Mr. Teddy.
“Kalau kau malu… aku cadangkan kau tinggalkan nombor telefon dan nama samaran aje pada poster tu. Tak siapa tahu kecuali kawan-kawan kita aje.”
“Okeylah.” Hana keluarkan komputer ribanya dari dalam beg sandang. Diletakkan di atas meja dan dihidupkan. Dia mencari gambar Mr. Teddy dan mula membuat sebuah poster yang ringkas.
“Boleh la tu,” kata Dian. Pada dia itu sudah mencukupi. “Jom kita pergi print. Rasanya koperasi dah buka.”
Hana terus bangkit.

SETELAH membuat tiga puluh helai salinan poster Mr. Teddy, mereka bergegas ke pejabat pentadbiran pula. Di sana mereka mendapatkan cop dan kebenaran untuk menampal poster tersebut di semua papan kenyataan di sekitar kolej dan kelas.
“Lawalah anak patung ni…” Suara seorang pelajar lelaki kedengaran sewaktu Hana dan Dian menampal poster berdekatan bilik sukan.
Muka Hana terasa panas. Dia menjeling Dian yang sama-sama merah muka. Dia tahu hal itu tidak boleh tidak akan dihadapi mereka. Dia buat tidak tahu.
“Kalau aku jumpa macam mana? Berapa ribu nak bayar aku?”
Hana terkebil-kebil. Dia tidak pernah terfikir soal ganjaran. Kalau ada sesiapa yang meminta ganjaran, sebanyak mana yang mampu dia berikan?
“Tak mahu bayar tak apa…asalkan ikut aku tengok wayang. Bayarlah aku dalam panggung,” usik pelajar itu lagi.
“Heh! Jangan kurang ajar ya?” tempik Hana. Hampir lagi tapak tangannya dilayangkan ke muka pelajar itu.
“Dah la tu!” Dian tergesa-gesa menarik lengan Hana pergi dari situ. “Kita tampal kat tempat lain pula.”
Setibanya di kawasan cafetaria, Dian tarik lengan Hana ke sebuah meja. “Kau duduk aje sini. Biar aku yang tampal.”
“Tak apa. Biar aku buat.” Hana tidak mahu duduk. Bagi dia, apa pun yang akan berlaku, itu tanggung jawab dia.
“Ikut kau la. Tapi kita kena cepat ni. Sekejap lagi kelas nak mula.” Dian terus menuju ke arah kanan cafetaria.
Hana pula menuju ke arah belakang. Di sana ada sebuah papan kenyataan. Sedang dia menampal poster, dia terdengar gelak ketawa beberapa orang pelajar perempuan. Mukanya sudah panas semula.
“Dah tua pun nak main anak patung? Entah-entah pakai pampers lagi ku?”
“Ek eleh… anak patung buruk macam tu pun nak kecoh,” kata yang lain.
“Otak tak betul.”
Dia tidak tahu siapa yang menuturkan kata-kata ejekan itu. Dia hanya cepat-cepat beredar dari situ.

SETIBANYA di kelas, dia dan Dian duduk bersebelahan. Pensyarah belum tiba. Kelas pun belum penuh.
“Tak nak tampal dalam kelas? Kat whiteboard depan tu.” tanya Dian. Perit jiwanya melihat Hana muram begitu.
“Perlu ke?”
“Aku tampal ya?” Dian bangun lalu meninggalkan Hana. Tanpa mempedulikan sesiapa, dia mula menampai poster Mr. Teddy. Akibatnya kelas itu tiba-tiba menjadi riuh.
“Laa… ada orang hilang anak patung ke?” Ada suara yang bertanya. Suara seorang pelajar lelaki. Bunyi ketawa pun pecah.
Dian menjeling ke belakang.
“Apa la kau orang ni? Kawan kita kehilangan barang, kau orang boleh gelak. Kalau kau orang kehilangan barang nanti, kau orang tahu la apa rasanya,” balasnya dengan lantang.
Kelas senyap sekejap.
“Ya la, aku simpati tapi… yang bawa anak patung pergi kolej tu buat apa? Simpan la kat rumah,” balas pelajar lelaki tadi yang dikenali sebagai Roy.
“Buat apa tu bukan soalnya,” bantah Dian sama lantang. ‘Tapi yang pentingnya sekarang, anak patung tu dah hilang. Mungkin tercicir. Jadi kalau ada sesiapa yang nampak, tolonglah pulangkan kepada…. kepada aku.”
“Jangan risau la… anak patung busuk macam tu, kucing pun tak nak,” balas Roy. Pelajar-pelajar yang lain ketawa terkekek-kekek.
“Sudah la, Roy. Aku doakan kereta buruk kau tu hilang. Pada masa tu baru kau tahu apa yang orang rasa. Orang sedang susah, kau buat main-main. Kena pada kau nanti, baru kau tahu.”
“Busuk hati sungguh la, doakan aku macam tu.”
“Habis tu, bukannya nak menolong. Tahu nak mengutuk aje.”
“Ikut suka aku la, mulut aku.”
Dian tunjuk penumbuk kepada Roy.
Roy jelir lidah.
“Dian!” Hana memanggil. Dia bimbang hal itu berlanjutan. Tujuan yang baik akan berganti dengan hal-hal di luar kawalan.
Mendengarkan suara Hana, Dian kembali ke tempatnya. Belum sempat berbual, pensyarah sudah masuk ke dalam kelas.

DARI pukul 9.30 pagi hinggalah ke pukul 1.00 petang, kelas bersambungan. Hana sudah keletihan. Begitu juga Dian.
“Lepas makan, aku hantar kau balik ya?” Hana berasa kasihan kepada Dian. Jadi bialah tengah hari itu dia meluangkan sedikit masa untuk menghantar Dian balik walaupun rumah Dian terletak di arah yang bertentangan dengan rumahnya.
Dian membalas dengan senyuman sampai ke telinga.
Hana segera faham.
“Abang kau jemput ya?”
Senyuman Dian bertambah lebar.
“Kalau macam tu, kita jumpa esok la. Apa-apa hal telefon tau.” Hana bangkit berdiri. Dia tidak mahu menganggu Dian lagi. Biasanya kalau begitu, Dian tidak akan makan bersama dia. Jadi, dia akan balik sahaja ke restoran. Sewaktu menuruni tangga berdua, langkahnya terhenti.
Dian turut memandang ke arah poster Mr. Teddy yang kini sudah berconteng dengan marker pen. Pelbagai perkataan lucah ditulis. Wajah Mr. Teddy sudah hampir tidak dapat dikenali. Dai menoleh ke arah Hana.
Hana tarik nafas panjang. Air matanya hampir meluru turun.
“Esok, kita tampal lagi ya,” pujuk Dian. Dia sendiri sakit hati melihat apa yang dilakukan oleh pelajar-pelajar lain. Memang tidak bertimbang rasa.
Hana tidak menjawab. Poster Mr. Teddy yang berconteng itu ditanggalkan dan dibuang ke dalam tong sampah. Dia semakin mengerti sikap manusia.

Thursday, February 20, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 4



AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

**********************************************

AZAN Maghrib sedang berkumandang dari masjid negeri apabila kereta Hana tiba di hadapan sebuah flat setinggi 4 tingkat. Setiba keretanya di situ, dia melihat masih ramai kanak-kanak yang berlari-lari walaupun malam mula merangkak tiba. Dan dia sedar beberapa orang penghuni flat itu mula tertoleh-toleh ke arahnya. Dia mula rasa tidak selesa.
“Terima kasih sebab hantar abang sampai ke depan tangga,” kata Badrul sambil tersengih. Dia tidak sangka hati Hana sebaik itu selepas apa yang dilakukannya tadi. Tetapi dalam masa yang sama, dia lega kerana dia yakin Hana sudah tidak marah lagi.
“Abang tinggal dengan Abang Mat, kan?” Hana menjeling deretan rumah-rumah di situ.
“Haah menumpang rumah Abang Mat. Tu, di tingkat empat.” Badrul tunjukkan rumah Abang Mat.
Hana pandang sahaja ke arah yang ditunjukkan. Tidak perlulah dia beritahu yang dia pernah ke rumah Abang Mat bersama ibunya. Pada dia itu tidak penting. Cuma dia rasa kasihan. Tentu Badrul termengah-mengah naik turun tangga setiap hari.
“Okeylah, abang turun dulu ya. Dah Maghrib ni.”
“Yalah.”
“Lepas ni Hana terus balik kedai tau. Nanti mak Hana bising pula.”
“Ya.”
“Jangan melencong ke tempat lain pula. Nanti mak Hana ingat abang ada dengan Hana.”
Hana mengeluh. Rimas dengan perangai Badrul. Sebaik sahaja Badrul keluar dari kereta, Hana terus menghidupkan enjin. Tanpa menunggu lagi, dia tinggalkan kawasan flat itu dan menuju semula ke kedai ibunya. Sepanjang perjalanan dia memikirkan apa yang baharu berlaku.
Dia menimbang-nimbang di mana kesalahan dan kecuaian dirinya sehingga menyebabkan hal itu berlaku. Namun kemudian dia akur, semua itu takdir ALLAH SWT. Tidak upaya dia menahan walaupun selama ini dia tidak pernah leka menjaga Mr. Teddy.



 “JUMPA?” Puan Khalidah menyoal Hana sejurus Hana masuk ke dalam kedai.
“Tak ada.”
“Tak ada?” Puan Khalidah terdiam sesaat.”Tak apalah esok cari lagi. Mungkin tercicir di tempat-tempat yang Hana pernah singgah.” 
“Petang esok Hana hendak ke rumah kawan Hana sebab Hana singgah rumah dia tadi sebelum balik.”
“Hana dah telefon dia?”
“Dah tiga kali Hana telefon tapi dia tak angkat.”
“Besok di kolej, Hana tanyalah.”
Hana angguk. Walaupun dalam hati dia sedar tidak semudah itu. Baru sahaja dia hendak duduk di meja, ibunya langsung menegur,
“Jangan duduk dulu! Pergi mandi dan solat Maghrib. Nanti habis waktu.”
“Mak dah solat?” Hana tidak jadi duduk di kerusi.
“Baru aje. Hana pergilah,” balas Puan Khalidah sebelum meninggalkan kaunter untuk melayan pelanggan yang baru masuk.
Dengan perlahan Hana mengheret beg sandangnya menuju ke sebuah bilik di belakang restoran.Dia bersolat dan berdoa panjang. Selepas mandi dan bertukar pakaian dia keluar semula ke ruang hadapan untuk membantu ibunya. Sayangnya langkah dia terus mati apabila terpandang ibunya sedang melayan seorang lelaki.


SUASANA di Restoran Janji Sayang semakin rancak. Semakin ramai pelanggan yang singgah untuk makan malam. Pekerja dan pelayan sibuk sekali memenuhi permintaan pelanggan. Puan Khalidah turut tidak menang tangan membantu mana yang terdaya. Hana sudah terbiasa namun kehadiran lelaki yang seorang itu selalu tidak disenanginya.
Bimbang tidak dapat menahan perasaan, dia berpatah balik ke dapur dan keluar melalui pintu belakang. Dia duduk di situ bersendirian. Ingatan kepada ayahnya terus berputar. Alangkah bahagianya jika ayahnya masih hidup.
“Kenapa duduk dalam gelap ni?” tegur Puan Khalidah.
Hana terperanjat tetapi pertanyaan itu tidak dijawab.
“Masuklah, banyak nyamuk di luar ni,” tambah Puan Khalidah. Melihatkan Hana monyok begitu hatinya risau.
“Mak masuklah dalam. Nanti balik pula Pak Cik Hashim tu.” Kali ini Hana membalas. Sekaligus meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Puan Khalidah terasa sesuatu.
“Pak Cik Hashim dah balik dah pun. Dia beli bungkus aje tadi.”
“Cepat pula? Selalunya berjam-jam.”
“Kenapa Hana marah-marah ni?” Puan Khalidah akhirnya mengalah dengan sikap Hana. Dia sedar setiap kali Hashim bercakap dengan dia, Hana mula buat perangai. Makin lama makin teruk.
“Tak sukalah,” balas Hana. Kalau diikutkan hati mahu diluahkan segala hatinya yang telah terbuku sekian lama.
“Kenapa Hana tak suka sangat dengan Pak Cik Hashim tu? Dia kan kawan lama arwah abah Hana? Kami dah kenal, sejak Hana belum lahir lagi.”
“Iyalah tapi Hana tengok dia makin lama makin kerap pula datang.”
“Biarlah… dah dia makan di kedai.”
“Itulah puncanya. Sebab dia tak ada isteri dan emak tak ada suami,” sampuk Hana dengan cepat.
“Hana, jangan cepat bersangka buruk pada orang. Emak dengan Pak Cik Hashim tu tak ada fikir pasal perkara lain tau…” Suara Puan Khalidah semakin tinggi. Terasa hatinya dengan kata-kata Hana.
Hana hanya membisu. Apa pun yang dikatakan ibunya, dia tetap tidak suka kepada Pak Cik Hashim. Memang Pak Cik Hashim baik dengan mereka sejak dia kecil namun itu bukannya alasan untuk mendekati ibunya.
“Lagi pun dia pelanggan tetap kita, takkanlah emak  nak sombong pula dengan dia. Hana fikirlah sendiri.” Puan Khalidah bangkit dan meninggalkan Hana. Dia tidak selesa berbual mengenai perkara itu lagi. Kalau Hana hendak berburuk sangka kepada Hashim, terpulanglah.
Setelah ibunya pergi, Hana makin sedih. Tanpa Mr. Teddy di sisi dia benar-benar berasa berseorangan.


MALAM itu Puan Khalidah tidak dapat melelapkan mata. Walaupun tubuhnya kepenatan namun kata-kata Hana tadi terus terngiang-ngiang di telinganya. Dan wajah Hashim mula bersilih ganti dengan wajah arwah suaminya di ruang mata.
Dia mengenali Hashim dan arwah suaminya hampir serentak. Waktu itu, mereka sama-sama bergiat dalam persatuan belia di tempat mereka. Masa berlalu, dia dan arwah suaminya jatuh cinta lalu berkahwin. Hashim pula yang bekerja sebagai seorang guru berkahwin dengan anak muridnya. Namun isterinya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Semenjak itu Hashim hidup menduda sehinggalah sekarang.
Sewaktu suaminya meninggal, Hashim antara yang paling banyak membantu dan mengambil berat. Dia tidak akan lupa segala budi baik Hashim kepada dia dan Hana selama ini. Hashim jugalah yang banyak memberi nasihat hal-hal kewangan dan perniagaannya. Pendek kata, Hashim sememangnya seorang sahabat semasa susah dan senang.
Namun Hana tidak pernah mengerti semua itu. Hana tidak pernah tahu suka dan duka yang ditanggung selama menguruskan kehidupan mereka dua beranak. Segala kerisauannya, ketakutannya dan kesusahannya semua dikongsikan dengan Hashim. Dan semuanya disembunyikan daripada pengetahuan Hana.
Pada dia, biarlah Hana hidup penuh gembira. Cukuplah Hana menanggung kesedihan setelah kehilangan ayahnya. Dia tidak mahu Hana berasa susah hati dek sebab perkara-perkara yang lain. Sayangnya, segala apa yang dia dan Hashim cuba lakukan kini dipandang pahit oleh Hana.
Dia tidak mahu Hana memusuhi Hashim. Hashim tidak bersalah.
Sambil menarik nafas panjang dia menatap gambar ayah Hana yang tergantung di tepi dinding. Airmatanya mula bergenang. Sedikit pun kasihnya tidak pernah kurang tetapi sebagai manusia dia tetap berasa kesunyian. Dia perlukan seorang teman untuk berkongsi segala-galanya. Susah senangnya. Resah pilunya. Salahkah apa yang dia buat?
Lagipun lambat laun Hana pasti berkahwin dan hidup berkeluarga juga. Hana akan meninggalkan dia berseorangan.
Malam itu dia resah sekali lagi.


Monday, February 17, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 3


AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

**********************************************

MASAM. Tetapi bau masam tong sampah berwarna hitam itulah yang Atan suka. Itu bau rezeki. Bau yang hari-hari dicarinya. Bau tanda ada tin-tin minuman kosong yang dicampak oleh pelajar-pelajar kolej tempat dia mencari rezeki.
Setelah jumpa apa yang dicari, tin-tin itu dimasukkan ke dalam beg plastik putih bersama tin-tin yang lain. Sampah-sampah pula dicurahkan ke dalam sebuah plastik hitam besar dan tebal. Kemudian kedua-dua beg plastik itu diheret perlahan di sepanjang koridor tingkat satu bangunan Kolej Tun Teja.
Setelah semua tong sampah di tingkat itu dikosongkan, Atan turun ke tingkat bawah sambil mengheret plastik sampah hitam yang semakin berat itu. Pada waktu itu kolej itu begitu sepi. Setibanya di tingkat bawah, Atam meletakkan beg plastik putihnya ke bawah tangga.
Tiba-tiba matanya seakan terlihat sepasang mata kecil memerhatikannya. Dia menundukkan kepalanya menghampiri mata itu. Diambilnya perlahan-lahan.
“Anak patung?”
Atan menyapu anak patung yang berhabuk itu ke bajunya yang lusuh lalu memasukkannya ke dalam beg plastik putih tadi. Atan kemudian berpaling dan mengambil penyapu serta pengaut sampah. Atan mula menyapu di sekitar kawasan tingkat 1 bangunan itu. Setelah selesai, Atan mengangkat beg plastik hitam tadi lalu menghantarnya ke tong sampah besar  di belakang stor.
Selepas itu Atan singgah di stor sekejap untuk menyimpan penyapu dan pengaut sampah lalu menarik beg sandangnya yang berwarna hijau lusuh. Botol airnya turut diikatkan dipinggang. Dia berjalan laju ke arah tangga. Beg plastik putih tadi di tarik dan dijinjing keluar.
Langit senja yang semakin gelap seperti mahu hujan membuatkan Atan tergesa-gesa menarik basikal buruknya yang tersandar di belakang stor. Dengan kayuhan yang terdaya oleh kudratnya dia mengayuh basikal tua itu melalui sebuah lorong kecil di tepi pagar kolej itu menuju ke sebuah perkampungan setinggan yang tidak jauh dari situ.
Di kiri kanan lorong kecil itu bau lopak dan sampah yang dibuang sebebasnya bersemadi bersama hanyir longkang yang mengalir lesu di belakang rumah-rumah setinggan di situ. Atan sudah lali bahkan hidung anak-anaknya juga sudah lali. Sudah tidak terbau apa-apa lagi. Segalanya seperti udara biasa yang tersedut dan terhembus oleh paru-paru masyarakat di mana pun.Segalanya demi sebuah kehidupan yang perlu diteruskan oleh mereka di situ. Siapakah yang akan kisah tentang bau jika kehidupan ini tiada pilihan?
            “Abah balik,” jerit anak Atan yang nombor dua.
Tangannya sepantas kilat menyambut beg plastik putih dari tangan Atan lalu menuju ke tepi rumah. Anaknya itu sangat tahu apa kandungan di dalam beg plastik putih itu, kerana isi kandungan beg plastik putih itulah yang akan ditukar menjadi duit belanja sekolahnya.
Atan menyandarkan basikalnya ke dinding rumah mereka. Tongkat basikalnya sudah lama patah dan tidak mampu diganti. Perlahan-lahan Atan melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin kayu, walaupun sudah mula dimakan anai-anai Atan masih yakin ia belum mahu menyembah bumi.
Sambil duduk melepaskan penat, Atan mengibas-ngibas mukanya dengan topi lusuh yang dipakainya tadi. Rambutnya yang hampir botak itu diraup ke belakang. Dia tersengih melihat keletah anak-anak di hadapannya. Riang tersenyum bagaikan dunia ini tiada dukanya.
“Abah, anak patung siapa ni?”
Spontan, Atan menoleh ke arah anak nombor duanya. Baru dia teringat kepada anak patung beruang yang dijumpai di bawah tangga kolej. Pada awalnya dia ingin menyimpan di stor sahaja sebelum menyerahkan ke pejabat keesokan hari. Ah! Bagaimana ni? Masalah besar.
Anak sulungnya berhenti bermain tatkala terpandang adiknya sedang menimang-nimang patung beruang coklat itu. Matanya tidak berkelip. Dalam sinar matanya Atan faham keinginan anaknya itu. Si adik yang di dalam gendongan mula merengek, tangannya cuba mencapai patung beruang itu dari tangan kakaknya namun di tepis pantas. Adik bongsunya meraung apabila keinginannya terhalang.
Melihatkan keadaan itu, Atan mengambil anak bongsunya ditimang-timang. Anaknya mula diam dan mengekek ketawa. Kedua anaknya yang lain hanya memandang sambil tersengih.
“Mak mana?”
“Mak belum balik abah,” jawab anak keduanya. Memang anak itu yang paling banyak mulut.
Atan mengangguk, tentu isterinya buat kerja lebih masa lagi hari itu. Hujan mula turun. Atan dan anak-anaknya berlari  masuk ke dalam rumah. Begitu juga anak-anak setinggan yang lain bertempiaran mencari perlindungan. Hujan membawa rahmat tetapi kadangkala longkang yang tersumbat adalah ancaman kepada nyawa mereka yang tinggal di tepi longkang besar itu. Pasti malam itu mata mereka sukar lelap lagi.
“Berilah!” bentak anak sulung Atan yang berusia 10 tahun itu.
Tangannya menarik anak patung beruang itu dari tangan anak keduanya. Yang bongsu di atas lantai hanya memerhati dengan penuh harapan agar satu masa dia juga dapat memeluk anak patung comel itu.
“Aku punya!” sahut anak keduanya.
Atan hanya mengeluh. Serba salah. Dia sudah menjangkakan masalah ini akan timbul. Dia tidak mahu menyebelahi sesiapa namun pergaduhan itu mula menambah kepenatan tubuh dan mindanya. Lantas dia bangun dan mengambil anak patung itu dari tangan anak keduanya. Anak patung itu disimpan tinggi-tinggi di atas almari baju yang senget di tepi dinding.
Ketiga-tiga anaknya terdiam.
Senja beranjak ke malam. Hujan sudah mula teduh. Cengkerik mula bersahutan dengan laungan si kodok yang pastinya menanti pasangan mereka. Atan berdiri di muka pintu. Wajah isterinya masih belum muncul-muncul lagi padahal anak-anak mereka sudah lama lelap di atas lantai yang beralas tilam buruk. Dia tidak pasti siapa yang lebih sunyi. Akhirnya dia masuk ke dalam dan berbaring di sebelah anaknya. Tidak sedar bila dia terlelap. Dia hanya terjaga semua apabila terdengar pintu rumah ditolak.
“Abang belum tidur?”
 “Belum. Mengapa lewat sangat balik?”
“OT,” jawab Mah, isterinya.
“OT? Kalau OT pun dah lama sampai rumah.”
“Mah penatlah, bang, esok pagi dah kena pergi semula” Mah terus capai tuala dan pergi ke belakang.
“Erm…” Atan termenung di tepi dinding.
Bauan isterinya lain benar. Bukan bau hanyir longkang di belakang rumah tetapi bauan wangi yang tidak pernah tercium oleh hidungnya.
Perlahan-lahan direbahkan semula tubuhnya di tepi pintu. Sewaktu kelopak matanya hampir tertutup dia teringat satu ketika dahulu ternampak isterinya melangkah keluar dari sebuah kereta tidak jauh dari lorong yang menuju ke perkampungan setinggan itu.
Waktu itu dia hanya mahu bersangka baik. Barangkali bas isterinya rosak. Bahkan saat ini juga dia mahu bersangka baik. Wajah tulus suci anak-anaknya di renung satu persatu, antara kekecewaan terhadap diri sendiri dan rasa tidak mahu mengalah bergelutan. Kecewa kerana dia bukan ayah yang mampu memberikan kemewahan namun hidup ini belum berakhir untuk dia mengalah.
Esok pagi dia akan terus mengayuh basikal buruknya dari satu bangunan ke satu bangunan. Dia akan terus menyapu dan menyapu. Membersihkan kekotoran yang dilakukan penduduk kota. Memang dia tiada harga di mata dunia namun biarlah dia tetap berharga di mata anak-anaknya.

Di atas almari, Mr. Teddy memerhati dengan penuh pertanyaan.