Wednesday, May 28, 2014

PUJA : Bab 2 dan Bab 3


Bab 2:

Kampung Silak Tua.
MAHU tidak mahu, Bahiyah terpaksa pergi juga. Walaupun terasa berat hati namun Bahiyah terpaksa akur. Sambil menghela rasa yang terbeban dalam hati, dia lantas menyarung selipar dan menuju ke belakang rumah.
Pada waktu itu muram senja sudah tiba. Lantai tanah mulai gelap dan sejuk. Dingin malam berlajar singgah. Pokok-pokok mula berbalam. Hutan di pinggiran tidak sanggup dipandang.
Krek! Pagar kayu yang hampir reput berkeriut semasa ditarik Bahiyah.
Bahiyah acuhkan sahaja. Sebaik sahaja masuk, dia terus melangkah laju menuju ke sudut sebelah kiri kebun kecil yang berpagar itu. Di situ ada tiga batang pokok terung yang sedang berbuah. Lantas, dia menarik dua biji terung lalu berpatah semula.
Rasa dingin senja yang menerpa, membuatkan dia berasa seram sejuk. Apatah lagi apabila angin menghantar bau busuk seperti bau bangkai mereput ke hidungnya dengan tiba-tiba. Kembang tengkuknya menahan rasa loya.
Krek! Pintu pagar berbunyi lagi apabila ditolak kali kedua.
Bahiyah terus tinggalkan tempat itu. Makin lama langkahnya makin laju. Malah kini dia mula berlari-lari anak. Perasaannya semakin tidak enak. Tengkuknya meremang. Bulu romanya tercacak tegak. Sayangnya ketika dia tiba berdekatan sebatang pokok keranda yang tidak berbuah, langkahnya terus terhenti. Nafasnya tertahan.
Seorang lelaki tua berwajah aneh sedang berdiri tegak di tengah laluan.
Semakin lama dipandang, semakin dia nampak jelas. Ulat putih sebesar beras berebut-rebut keluar dari rongga mata yang sudah tidak bermata. Juga dari rongga hidung, mulut dan pipi yang melopong. Kesemuanya jatuh berguguran ke tanah. Bergaul dengan nanah, darah dan cebisan daging yang turut meluruh. Bau busuk semakin kuat.

Bahiyah jadi kaku. Dia tidak mampu bergerak. Makin lama makin fikirannya terawang-awang. Pandangan matanya berpusing. Dia hanya sempat menjerit sebelum tergolek mencium tanah. Terung yang dipegang tercampak ke bawah rumpun keladi hutan.

BACA SAMBUNGAN DI SINI:  BAB 2 (tekan)

Bab 3
Keesokan harinya…
Pinggir Bukit Tinggi
KABUS di perbukitan menghalang pandangan. Sambil membetulkan jaket yang dipakai, Jimmy menyambung menungannya yang panjang di beranda apartmentnya. Semalaman tidak tidur menyebabkan tubuh badannya agak lesu. Ditambah kerisauan memikirkan apa yang bakal dihadapinya sebentar lagi, dia benar-benar rasa dihempap batu besar. Angin sejuk yang menghilir dari arah perbukitan itu pun tidak mampu lagi menghadirkan rasa damai.
“Cepat bangun?” tegur Manjoy yang menggeliat ala-ala kucing jantan di muka pintu gelonsor. Tubuhnya yang tidak berbaju menampakkan tubuhnya yang kurus namun keras, hasil latihan tomoi yang berterusan.
Suara Manjoy membuatkan Jimmy menoleh seketika. “Dah pukul berapa?”
Manjoy menoleh ke arah dinding di dalam rumah, kemudian menoleh ke arah Jimmy semula.
“Pukul 7.”
“Cepat bangun?” Jimmy pula bertanya. Terdetik rasa hairan kerana selalunya kalau belum pukul dua belas tengah hari, Manjoy tidak akan buka mata.
“Nak terkencing.” Manjoy tersengih sebelum tergesa-gesa meninggalkan Jimmy sendirian semula di beranda itu.
Jimmy menarik nafas panjang, kemudian kembali termenung. Apa yang menganggu fikirannya jelas terbayang di ruang mata. Mampukah dia berdepan semula dengan semua yang telah ditinggalkan sejak 15 tahun yang lalu? Mahukah mereka menerima semula dirinya dengan baik? Bagaimanakah sambutan mereka? Dia rasa terhukum oleh pelbagai persoalan yang tidak ada jawapannya.
“Dah packing baju?”
Spontan Jimmy menoleh. Nampaknya Manjoy sudah kembali ke situ. “Belum,” jawabnya sepatah.
“Aik? Kenapa tak packing lagi?” Manjoy tarik sebuah kerusi besi di tepi pintu lalu duduk bersilang kaki bagaikan senang hati. “Bukan selalu balik pun… seingat aku… aku tak pernah ingat kau pernah balik kampung. Sebut pasal mereka pun tak pernah.”
“Pernah aku tanya pasal keluarga kau?”
Manjoy terdiam.
Jimmy mengeluh perlahan. Bukan niatnya mahu menyakiti hati Manjoy tetapi Manjoy bukan tidak tahu. Soal keluarga adalah satu soal yang tidak akan didedahkan oleh mana-mana ahli kumpulan mereka termasuklah dia dan Manjoy sendiri.
Mereka hidup bagaikan anak-anak terbuang, jauh dari keluarga masing-masing. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu Manjoy berasal dari mana. Manjoy juga tidak pernah pulang ke pangkuan keluarga. Bercerita apatah lagi.
“Sorry, aku…” Setakat itu Manjoy bersuara. “Tak apalah. Kau baliklah dulu… kalau ada apa-apa masalah telefon ajelah.”
Sehabis berkata-kata Manjoy bangkit lalu melangkah perlahan masuk ke dalam rumah semula.
Jimmy tidak menoleh sedikit pun. Dia tahu Manjoy bukanlah lembik bagaikan budak hingusan. Setakat kena herdik, kena maki, kena sepak terajang sudah tidak jadi hal. Ini kan pula setakat berbalas kata. Tetapi kalau semua itu benar, kenapa hatinya sendiri terasa amat runsing. Ada perasaan malu yang teramat malu menguasai dirinya. Patutkah dia pulang?
BACA SAMBUNGAN DI SINI:  Bab 3 (Tekan)

Monday, May 26, 2014

PUJA: Bab 1



Mulai hari ini saya akan masukkan beberapa Bab awal cerita PUJA - sekali mengambil selamanya bertuan. Setakat ini saya telah siarkan PROLOG dan Bab 1 di sana. Jemputlah membaca kisah ini yang saya tuliskan berdasarkan sebuah kisah benar.

PROLOG

PROLOG
400 tahun yang lalu…
Sewaktu Kampung Silak Tua belum diwujudkan.
“DI SINI ke Abang Waki?” tanya Alang. Setelah merentas hutan tebal separuh hari perjalanan, rombongan mereka yang terdiri daripada tujuh buah keluarga seramai hampir dua puluh orang, tiba di sebuah tanah yang agak rata.
Waki terangguk-angguk. Jauh renungan matanya, sejauh akalnya menilik dan memikir antara alam nyata dan tidak. Berat hati dan akalnya mengatakan bahawa itu tanah yang bertuah.
“Inilah tempatnya.” Akhirnya dia memberikan kata putus sebagai orang yang paling tua dalam kumpulan itu. Juga dianggap orang yang paling banyak ilmu dan tahunya antara sekalian yang ada di situ.
“Kalau begitu, bolehlah kita bersihkan tempat ni.” Alang yang paling rapat dengan Waki bersuara. Hatinya benar-benar lega kerana sekarang mereka semua sudah ada tempat tinggal yang baharu. Jika tidak ada aral melintang, suatu hari kelak, akan dicari juga jalan kembali ke Pagar Ruyong. Akan dibawanya isteri serta anak-anak yang masih tinggal di sana ke situ, fikirnya.
Mendengarkan kata-kata Waki dan Alang, maka yang lain-lainnya mula menebas dan menebang. Yang pandai menukang, menukang. Yang pandai menjalin, menjalin. Mana yang tidak pandai apa-apa sekadar mengalih kayu dan dahan. Tidak lama kemudian, kawasan itu pun teranglah sedikit rupanya.
“Elok juga tempat ini, Abang Waki. Di hadapan kita sungai, senang untuk mencari ikan dan udang. Di belakang pula paya, boleh kita bertanam padi.” Alang semakin gembira apabila menyedari betapa eloknya tapak yang dipilih oleh Waki. Dalam hati, dia makin mengkagumi kebolehan dan ketinggian ilmu lelaki itu.
Pujian Alang disambut oleh Waki dengan senyum tenang.
“Kita ada tujuh keluarga, pakat-pakatlah nak pilih kawasan yang mana. Yang pandai buat rumah, besarlah rumahnya. Yang pandai menebas, besarlah tanahnya,” katanya.

Alang juga bersetuju. Begitu juga dengan yang lain-lainnya, Sia, Abi, Hitam, Garang, dan Ubi. Alang-alang sudah merantau biarlah menjadi. Alang-alang sudah jauh biarlah bersungguh, fikir mereka. Cuma pada malam itu, rehat panjang yang mereka harapkan...gangguan yang tiba.

SAMBUNG BACA DI SINI:  PROLOG


Bab 1

Bab 1
“CEPAT! Cepat!!!”
Suara Manjoy meletus bersama tepukan bertalu-talu di bahunya. Jimmy langsung menekan pedal minyak. Tayar kereta berputar laju meninggalkan asap dan bunyi berderit yang memekakkan telinga. Entah kenapa hari itu, terasa segalanya seperti tidak kena. Bahkan tapak tangannya berpeluh sejuk dan menggeletar. Tidak seperti selalu.
“Gila! Macam angin!” Manjoy membentak marah dengan nafas yang menderu keluar masuk dadanya yang berombak-ombak.
Pakkai di sebelahnya hanya mengeluh berat. Wajahnya kusut.
Jimmy juga tidak bersuara. Matanya tidak lekang dari memerhati jalan raya yang masih sibuk dengan kenderaan walaupun matahari sudah hampir tegak di langit. Apa pun yang telah berlaku, dia mesti pastikan mereka bertiga sempat sampai ke Tol Gombak secepat mungkin. Hal polis yang mengejar laju di belakang mereka, kemudian sahajalah difikirkan. Mereka tidak akan dapat menewaskan dia walau kehadiran mereka secepat itu memang di luar jangka. Dia tidak akan tunduk pada polis.
“Cepat! Mereka dah dekat!” Pakkai pula menggoncang bahu Jimmy. “Mereka dah dekat!”
Sikap Pakkai membuatkan dada Jimmy sesak. Rasa marahnya makin menggila. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dalam kekalutan itu dia memecut selaju yang boleh. Kereta BMW yang dipandunya itu bagaikan pelesit meluru pantas menakutkan kenderaan lain yang menyasar ke tepi. Dia tidak akan kalah.
“Tu! Tu!” jerit Manjoy bagaikan orang sasau apabila terpandang sebuah kereta Honda Accord sedang menunggu mereka di hadapan Tol Gombak. Bendera merah yang dipasang pada cermin hadapan adalah tandanya.
Jimmy tidak menunggu lagi. Brek ditekan. Kereta tersasar menghala ke tepi pagar. Belum sempat kereta itu betul-betul berhenti, dia sudah membuka pintu. Begitu juga Manjoy dan Pakkai. Serentak, mereka bertiga terjun dari kereta dan berlari menghala ke pintu tol.
Dalam masa yang singkat kehadiran mereka menjadikan kawasan tol itu gempar. Ramai yang terpinga-pinga.
Pang! Pang! Pang!
Tembakan bertalu-talu dilepaskan ke arah mereka dari kereta polis yang meluru dari sebelah kiri.
Jantung Jimmy seperti mahu luruh. Beberapa das tembakan tersasar hanya beberapa inci dari tubuhnya. Dia mengerah segala tenaga untuk memecut ke kereta yang menanti, begitu juga Manjoy yang tidak menoleh sedikit pun ke belakang. Namun semakin dekat dia ke kereta yang menanti, semakin dia rasa ada yang tidak kena.
“Pakkai!” Jimmy menjerit.

SAMBUNG BACA DI SINI:  BAB 1

Sunday, May 25, 2014

Kembara Sastera IPM ke Pulau-Pulau




Pada 17 May 2014 yang lalu saya telah menyertai Kembara Sastera IPM Pulau Ke Pulau.
Perjalanan bermula dari Jeti Parameswara, Bandar Hilir, Melaka dengan menaiki sebuah bot pelancong. Seramai lebih kurang 30 orang ahli IPM dan keluarga menyertai rombongan ini.
Pulau Nangka

Banyak pulau yang dilawati dari jauh seperti Pulau Nangka, Pulau Upih dan Pulau Serimbun. Kami juga singgah mengelilingi Pulau Besar dan melawat muzium di sana.


Semasa berada di Jeti Pulau Besar, satu sesi membaca sajak diadakan. Antara yang mengambil bahagian ialah Tokoh Sastera Negeri Melaka, Tuan Haji Mokhtar Yasin, bekar setiausaha satu IPM, Ketua 2 IPM, para AJK, ahli dan anak-anak ahli.

Tuan Haji Mokhtar Yasin sedang membacakan sajak beliau.

Pengembaraan ini tamat sekitar tengah hari dengan seribu satu pengalaman yang menyuntik inspirasi dalam pengkaryaan.

Saturday, May 3, 2014

Dapatkan novel Suara Tengah Malam dan Gaun Berdarah


Kepada kawan-kawan yang berkunjung ke PBAKL14 di PWTC yang sedang berlangsung sekarang.
Harap sudi mendapatkan novel Suara Tengah Malam dan Antologi Jiwa Kacau 2 : Gaun Berdarah
yang memuatkan sebuah cerpen saya yang bertajuk 'No, Papa. No!'.


Mungkin selepas pesta nanti antologi ini akan berada di rak-rak buku pula.

Thursday, May 1, 2014

Dapatkan RAHSIA GADIS VIP di M 30


Untuk belian online, hubungi: 
 pnmaria1@gmail.com