Masa : Tahun 2012
Lokasi : Kedai
Daun Pisang Muthu
Lot 55, Taman Tasik Setia
BAGI Muthu, kedai itu adalah segala-galanya.
Dunia, harga diri, masa hadapan dan kebahagiaan. Terlalu besar harapan yang
disandarkan kepada kedai itu; sepertimana besarnya harapan isteri dan anaknya,
Devi yang tersandar di bahunya. Terlalu banyak pengorbanan dan modal yang telah
dilaburkan kepada kedai itu. Dan dia pula bukanlah seorang yang mampu menerima
kegagalan.
Hari itu dia
mengharapkan perniagaan kedai makannya berjalan seperti hari-hari yang lalu.
Dengan bantuan isterinya, Pooja dan tiga orang pekerja yang rajin dia percaya
kedai makannya akan bertambah maju hari demi hari. Malah dia bercadang untuk
mendapatkan kawasan kedai yang lebih luas, menambah bilangan pekerja dan
membeli bangunannya sendiri. Dia percaya kepada kerja kuat, buat baik dan
masakan yang sedap.
“Khushiyaan
aur gham sehti hai… phir bhi yeh chup rehti hai…”
Bibirnya mengikut perlahan lagu Hindustan daripada filem Mann
yang berkumandang di dalam kedainya pada waktu itu. Sambil jarinya ligat
membuat perkiraan jumlah bil yang perlu dibayar dengan menggunakan kalkulator
sebesar dua tapak tangan. Sesekali, dia mengangkat muka memerhati pekerja dan
pelanggan yang keluar masuk dari kaunter yang terletak di sebelah kanan kedai.
Tidak jauh dari pintu masuk. Bahagia hatinya. Semuanya berjalan seperti
biasa.Tidak ada masalah.
“Teh tarik satu.
Roti telur satu.”
Suara yang biasa
didengarnya itu, membuatkan anak matanya spontan melirik ke arah sebuah meja di
tepi dinding. Dari tempatnya berdiri, dia dapat melihat seorang anak muda
berbangsa Cina sedang tunduk memeriksa telefon bimbitnya. Hatinya terus diseru
rasa sayu.
Dia sedar, itu
pun salah satu kisah kehidupan manusia. Tetapi yang ini ceritanya penuh
kesedihan. Kalah kisah Romeo dan Juliet. Melihatkan wajah anak muda itu yang
sugul, sudah cukup untuk membayangkan kesedihan yang ditanggung.
Di matanya,
tubuh Lim nampak susut sedikit berbanding dahulu. Mungkin kerana kurang makan
atau kurang tidur. Mungkin juga kerana terlalu merindui kekasihnya, Suzy.
Sedikit sebanyak dia turut berasa sedih.
Lantas, dia
kutip satu persatu bil di atas kaunter lalu dimasukkan sahaja ke dalam poket
baju. Rasanya tidak mengapa jika dia meluangkan sedikit masa menegur pemuda
itu. Setibanya di meja, bahu Lim ditepuk dengan mesra. Tanpa dipelawa, dia
menarik kerusi di sebelah kiri Lim lalu duduk.
“Macam mana?”
Cukup setakat itu dia bertanya. Dia yakin Lim faham apa yang dia tanya tanpa
perlu bercakap panjang lebar.
Lim menggeleng
sambil menundukkan muka semula. Perlahan-lahan dia menghirup air teh tarik
dalam cawan besar di hadapannya. Namun matanya tidak lekang dari skrin telefon.
“Sabarlah. Mesti polis jumpa dia,” katanya.
Itulah sahaja
kata-kata semangat yang dapat diberikan walaupun kalau boleh dia juga mahu
mengatakan lebih daripada itu. Dia sendiri mahu melihat keadaan itu berubah.
Dia mahu kesugulan pada wajah Lim hilang. Dia mahu anak muda itu tersenyum dan
ceria semula seperti dahulu. Dia juga mahu menatap wajah Suzy yang cantik manis
itu semula.
Kata-kata Muthu
buat Lim mengangguk. Mulutnya masih terkatup rapat.
Muthu pandang
lagi wajah Lim. Nampaknya bukan mudah untuk mengubati kelukaan hati anak muda
itu. Mungkin Lim perlukan masa seperti orang putih kata; ‘Time will heal’
“Nanti, uncle
tampal poster Suzy di depan kedai. Siapa tahu, mungkin ada yang nampak dia. Di
kaunter pun boleh letak.”
Kini anak mata
Lim spontan melirik ke arah Muthu.
“Boleh ke,
uncle?”
“Boleh. Apa tak
boleh pulak? Buatlah satu poster, buat banyak pun tak apa. Nanti bila balik
rumah, uncle tampal pulak di rumah.”
Bagaikan bunga
baru belajar berkembang, begitulah senyuman yang menghiasi bibir Lim. Dia
angguk lagi.
Muthu cuma mampu
mengeluh. Dia sendiri tidak sangka perkara itu boleh berlaku. Selama ini, dia
sering berbual dengan Lim dan Suzy setiap kali pasangan muda itu datang makan
dan minum di kedainya. Sayangnya sejak sebulan yang lalu, Suzy hilang dalam
perjalanan balik dari kerja. Sejak itu Suzy tidak ditemui lagi walau segala
usaha sudah dibuat untuk mengesan Suzy. Sejak itu juga sikap Lim berubah
menjadi pendiam. Dia sendiri rasa berdukacita dengan kejadian itu.
“Toilet sudah boleh guna ke, uncle?”
“Boleh. Semalam lagi sudah siap. Cantik!” Muthu acung ibu jari tanda bagus. Dia
bangga.
Lim menyambut
dengan ketawa kecil. Dia terus bangkit untuk ke bilik air.
Dari jauh, Muthu
mengeluh halus. Walaupun dia gembira dengan bilik air yang baharu itu tetapi
tetap ada kemusykilan di hati. Kerja ubahsuaian yang sepatutnya dilakukan oleh
sebuah syarikat tiba-tiba sahaja ada masalah lalu dia terpaksa menerima
kontraktor baharu yang ditawarkan. Kerja ubahsuai jadi bertambah lewat tetapi
mujurlah dapat juga disiapkan dengan elok. Dia sudah tidak tahan dengan
rungutan pelanggan. Dia dan pekerja-pekerjanya pun susah juga. Kena cari tandas
awam.
“Wah! Banyak
cantik la uncle,” puji Lim sebaik sahaja sampai semula di meja.
Muthu cuma
tersengih. Lega hatinya kerana masalah itu telah selesai. Baru hendak buka
mulut semula dia terlihat seorang perempuan tua berketurunan Baba dan Nyonya
masuk ke kedai.
“Tengok tu siapa datang.” Dia terus berdiri
dan tinggalkan Lim.
Lim menjeling
dari jauh.
******
“AUNTY…. Wah!
Aunty banyak cantik hari ni.” Muthu cuba mengambil hati. Dia tahu Aunty May
juga terluka seperti hati Lim. Malah mungkin lebih lagi.
Mendengarkan
pujian Muthu, Aunty May tersenyum nipis tetapi tidak bersuara. Dengan langkah
yang perlahan, dia mendekati kaunter yang menghidangkan pelbagai jenis makanan.
“Hari ni kita
cuma masak kari ayam. Kari ikan yang aunty suka tu, tak ada la. Ikan hari ni
banyak mahal.”
Muthu cuba
membantu ketika Aunty May tercari-cari lauk yang hendak dibeli. Sejujurnya
melihat Aunty May bersendirian di situ hatinya semakin tersentuh. Dulu, semasa
Suzy masih ada, Suzy dan Aunty May sering makan di situ jika tidak makan
bersama Lim. Mereka berdua; ibu dan anak yang sangat mesra dan rapat. Suka
bercerita dan sangat peramah. Sayangnya semua itu sudah tinggal kenangan.
“Aunty pilihlah
ya, saya mahu keluar bayar bil,” kata Muthu lagi. Baru teringat kerja yang
tertangguh.
Aunty May
terangguk-angguk. Kemudian pandangan mata Aunty May tertancap ke arah Lim yang
sedang duduk di tepi dinding. Mereka berdua hanya berpandangan dalam diam tanpa
secalit senyuman.
Melihatkan
keadaan itu, Muthu dapat merasakan ketidakselesaan antara Aunty May dan Lim
namun dia tidak ingin masuk campur. Dia faham kedua-duanya masih dalam keadaan
bersedih dan cuba menerima keadaan itu dengan sebaik-baiknya. Sedang dia
bersiap-siap untuk meninggalkan kedai, dia ternampak Lim menggamit dia dari
jauh. Dia sekadar memberikan isyarat supaya Lim menunggu sekejap.
“Mahu tambah
dal?” Dia terus bertanya sambil merapati meja Lim. Pada waktu itu Aunty May
sedang bercakap dengan pekerjanya, Balan.
Sayangnya Lim
mengeleng. Dahinya berkerut.
Muthu angkat
kening. Kenapa pula dengan Lim? Muka kelat semacam saja.
“Cuba bau...
kenapa bau dia lain ha, uncle?” Lim angkat piring yang berisi kari ayam lalu
diunjuk ke arah Muthu.
“Hah?”
Muthu
cepat-cepat pegang piring itu lalu dibawa ke hidung. Selain bau rempah kari dia
terbau sesuatu yang aneh. Yang busuk. Yang meloyakan. Seperti kari itu sudah
basi lama. Spontan, dia menguis batang hidupnya yang terasa perit. Terasa darah
sejuk menyerbu ke mukanya, apatah lagi pada waktu itu Lim sedang merenungnya.
******
“SEKEJAP, uncle
tukar.”
Dalam
kebingungan Muthu bergegas membawa piring itu ke hadapan semula, di mana semua
lauk-pauk sedang terhidang dan pekerjanya sedang sibuk melayan pelanggan. Macam
mana boleh jadi macam ni? Hatinya tertanya-tanya. Setahu dia, rempah ratus yang
digunakan sama sahaja sejak dia membuka restoran itu setahun yang lalu. Selama
ini tidak pernah pula masakannya berbau seperti itu.
“Kenapa semua
lauk berbau macam ni?” Dia menegur pekerjanya yang bernama Balan.
Balan tergamam.
“Bau apa?”
Muthu dekatkan
piring tadi ke hidung Balan.
Balan tergamam
sekali lagi. Mulutnya terkunci namun dahinya berkerut rapat. Mereka berdua
terdiam seketika. Bingung.
Kemudian, Muthu
meletakkan piring yang dipegangnya di atas meja. Dia ambil piring lain lalu
mengisinya dengan kuah kari yang baru. Namun, apabila dia menceduk kuah dari
periuk hidungnya menangkap bau kari yang busuk. Spontan, senduk yang
dipegangnya terlepas.
“Macam mana
boleh jadi macam ni? Macam mana kari ni boleh basi?” Muthu sudah mula rasa
panik. Waktu makan tengah hari sudah tiba, pelanggan sudah mula datang
berduyun-duyun.
Balan kelu. Dia
hanya mampu menggelengkan kepala.
“Angkat periuk
ni ke belakang. Pergi buang,” arah Muthu secepatnya.
Balan segera
mengikut arahan Muthu. Periuk besar yang mengandungi kari ayam itu diangkat
dengan segala kekuatan menuju semula ke dapur. Sambil itu mulutnya membebel.
Dari jauh, Muthu
dapat melihat wajah isterinya yang tercengang-cengang di muka pintu dapur. Dia
hanya dapat memandang kerana dia belum ada masa untuk menjelaskan keputusannya.
Kemudian, dia mendekati meja Lim semula dengan niat mahu meminta maaf dan
bertanya jika dia boleh menggantikan kari ayam tadi dengan lauk yang lain.
Namun belum sempat dia membuka mulut, dia sudah dipanggil oleh pelanggan yang
duduk di meja lain. Dia lantas menukar arah.
“Kenapa lauk ni
rasa semacam? Bau pun busuk.” Pelanggan berbangsa India itu bertanya lantang
sambil menunjukkan nasi yang sudah bergaul dengan pelabagai jenis kuah di atas
daun pisang.
Untuk sesaat,
Muthu rasa mahu pitam. Betul ke lauk-pauk yang lain juga basi? Aneh!
“Maaf,” katanya.
Lalu menggamit isterinya untuk menukar daun pisang dan nasi. Pelanggan itu
merungut tidak habis-habis.
Isterinya Pooja,
terus datang. Walaupun tidak begitu memahami apa yang sedang berlaku, Pooja
segera menukar daun pisang dan mencedukkan nasi yang baharu. Apabila Pooja
selesai meletakkan kuah, pelanggan tadi segera menciumnya.
“Ceh! Busuk!
Ptuihh!” Pelanggan itu menolak kerusi dengan kuat lalu meludah ke lantai.
Pelanggan lain
tersentak.
“Aiyo.... Jangan
ludah.” Suara Muthu mula meninggi.
Dia rasa marah
sungguh dengan sikap pelanggan itu. Apatah lagi dia sedang runsing dengan
kekalutan itu. Namun pelanggan itu semakin marah, segala sumpah seranah sudah
keluar dari mulutnya.
Muthu tergamam.
Dia menggenggam penumbuknya sekuat hati.
“Porah!”
Pelanggan itu meludah sekali lagi selepas puas memaki hamun Muthu.
Kali ini, Muthu
lupa diri. Sedar-sedar sahaja penumbuknya sudah melayang ke pipi pelanggan
tadi. Dia sendiri terdorong ke arah meja dan pelanggan tadi terjatuh ke atas
lantai.
Kedai menjadi
gempar. Mujurlah kedua-dua dapat dipegang oleh pelanggan lain yang ada di situ.
Bersama sumpah
seranah yang tidak putus-putus, pelanggan tadi meninggalkan kedai setelah
dipaksa keluar dari situ oleh Balan. Disusuli dengan ancaman untuk membakar
kedai Muthu ataupun menyamannya berjuta-juta.
Di dalam kedai,
Muthu tercungap-cungap mengambil nafas. Dia bingung dengan apa yang baru
berlaku. Dalam kekalutan itu, dia hanya mampu melihat pelanggan-pelanggannya
mula meninggalkan kedai seorang demi seorang termasuklah Aunty May. Yang
tinggal cuma seorang sahaja iaitu Lim.
*****
UNTUK seketika,
kesemua yang ada di dalam kedai itu bungkam. Mulut masing-masing bagaikan
digam. Radio yang mengalunkan lagu-lagu Hindustan tadi pun sudah dimatikan. Di
suatu sudut Muthu termenung panjang memikirkan apa yang patut dilakukan. Semua
itu di luar jangkaan. Dia pening.
“Cuba tengok
lauk. Semua basi ka?” Dia menjengilkan mata ke arah Balan.
Tanpa berlengah,
Balan pergi memeriksa. Satu demi satu lauk dicium dan dirasa kemudian datang
semula memberi laporan.
“Semua sudah
basi.”
Muthu hempas
nafas. Macam mana pula boleh basi? Semua lauk-pauk itu dimasak di situ sejak
pagi tadi. Memang begitulah cara dia berniaga sejak dahulu lagi. Selama ini
sampai ke petang pun elok sahaja malah jarang bersisa kerana semua habis
dibeli.
“Tutup sajalah kedai.” Itulah keputusan yang
dirasakan paling tepat.
“Hah?” Pooja
terperanjat.
“Aiyo… jangan
banyak tanyalah. Aku kata tutup kedai, tutuplah!” tengking Muthu sambil
menghenyak punggung ke kerusi. Darah mula terasa menyerbu ke setiap urat di
kepala. Kemudian berkumpul di situ. Dia berpeluh-peluh. Bukan mudah untuk
membuat keputusan itu. Tutup kedai bermakna hilang pendapatan.
Suasana semakin
hening.
Pooja tidak
bersuara lagi. Dia hanya memberi isyarat kepada Balan dan Raju untuk segera
melaksanakan arahan Muthu. Kebetulan pada waktu itu, seorang pelanggan baru
sahaja hendak melangkah masuk ke situ. Pelanggan itu terus dihalang.
Melihatkan
keadaan yang tegang di situ, Lim bangun meninggalkan kerusi.