Bab 1
Tahun 1990
Kampung Gelam Tikus
“PADA
abad yang ke 19, muncul banyak pondok-pondok agama di Tanah Melayu. Semuanya berpunca
daripada pergolakan politik di Pattani. Ramai ulamak keluar dari negara asal
lalu berhijrah ke Kedah, Terengganu dan Kelantan. Pondok-pondok didirikan
supaya pendidikan Islam terus hidup dalam kalangan anak-anak muda.
Sejak itu sistem
pengajian pondok terus berkembang ke negeri-negeri lain kerana masyarakat
dahagakan ilmu agama. Mereka memerlukan satu tempat khusus untuk belajar dan
merujuk. Dengan itu juga, saya berpendapat bahawa sudah sampai masanya tempat
kita juga mempunyai sekolah pondok sendiri yang lebih tersusun. Kerana yang
paling dekat pun teramat jauh untuk kita pergi; dan pengajian yang kita
jalankan sekarang tak cukup untuk menampung keperluan.” Ustaz Muiz menjelaskan
hal itu kepada semua yang dijemput ke rumahnya petang itu.
Imam Daud, Ustaz Majdi,
Tok Empat Abu, Karim dan beberapa orang kampung yang hadir di rumah Ustaz Muiz
terdiam dan termenung. Saranan itu agak mengujakan namun dalam masa yang sama terasa
berat untuk dilaksanakan.
“Di mana kita nak
dirikan tu, ustaz?” tanya tok imam apabila yang lain senyap sunyi seperti
kehilangan punca.
“Saya sudah berbincang
dengan Ustaz Majdi.” Ustaz Muiz memandang Ustaz Majdi yang merupakan bapa
saudaranya juga. Ustaz Majdi yang sudah berusia 73 tahun sekadar angguk
perlahan.
“Saya bercadang hendak
menyerahkan tanah kebun saya tu sebagai tapak madrasah. Luasnya dalam lima
ekar. Segala modal pembinaan bangunan dan pengurusan termasuk pendaftaran akan
kami uruskan perlahan-lahan. Sekiranya ada yang hendak memberi sumbangan dalam bentuk
tenaga atau duit, saya amat mengalu-alukan. Biarlah semua ini menjadi bekal
kita di akhirat kelak.”
“Tok tak ada halangan.
Tok yakin orang kampung juga akan membantu sedikit sebanyak nanti. Mudahlah
orang Kampung Gelam Tikus dan kampung-kampung berdekatan belajar daripada ustaz
berdua.” Imam Daud membalas. Yang lain terangguk-angguk meskipun ada riak
bingung pada wajah masing-masing.
“Alhamdulillah. Mohon
tok hebahkan nanti dan tolong fikirkan apa yang baik untuk rancangan kita ini.
Maklumlah kerjanya bukan ringan namun kita harap ada berkat dan reda Allah
dalam usaha kita untuk memastikan masyarakat setempat hidup bersumberkan wahyu
Al-Quran dan sunnah nabi. Kita semua sedar yang kita sedang menuju ke akhir
zaman di mana memegang teguh agama itu seperti menggenggam bara api. Anak-anak
muda di kampung kita ini pun nampaknya dah ramai yang terpengaruh dengan gaya
hidup barat.”
Ustaz Muiz merenung
dalam wajah Imam Daud. Besar harapannya di situ agar mendapat sokongan
ahli-ahli agama dan semua orang kampung. Besar harapannya agar satu hari nanti
mampu menyebarkan ilmu agama yang telah dipelajari bertahun-tahun di banyak
negara, kepada sesiapa sahaja yang ingin datang belajar. Tidak kira umur dan
jantina. Tidak kira latar belakang dan bangsa.
Bukan habuan ringgit
yang dicari namun reda Allah. Dia selalu percaya, ada sebab kenapa dia dipersiapkan
dengan ilmu agama sebegitu rupa dan sudah menjadi tugasnya menyampaikan, membimbing
dan memberi faham orang lain pula dengan sedaya upaya. Dia hanya berikhtiar
dengan segala pengetahuan yang dia punya dan berharap agar orang lain lebih
mengenali pencipta dan kembali ke jalan Allah. Itu sahaja.
“Insya-Allah, kami akan
bantu. Dengan wang, tenaga dan masa yang kami ada,” sambut Imam Daud yang sudah
berpuluh tahun dilantik menjadi imam di masjid itu. Juga merupakan salah
seorang waris tertua yang masih ada selain Ustaz Majdi dan beberapa orang tua
lagi.
“Alhamdulillah. Kita
semua tahu bahawa nusrah atau
pertolongan Allah swt itu akan turun apabila dalam jamaah ada kesatuan hati.
Disebabkan itu sangat penting apabila kita semua bersatu hati atas jalan
Allah.”
Ustaz Muiz berasa lega.
Setelah menjawab segala pertanyaan yang berbangkit, perjumpaan petang itu
ditamatkan dengan tasbih kifarah dan Surah Al-Asyr. Dia menghantar mereka pulang
hingga ke pintu pagar.
*****
“APA
KATA tok imam dan orang kampung,
bang?” Sufiya menegur suaminya yang sedang tekun menulis di meja makan. Entah
apa yang ditulis dia tidak tahu. Mungkin perkara-perkara yang bersangkutan
dengan pembinaan madrasah.
“Syukur. Semuanya
menyambut baik.”
Ustaz Muiz menoleh ke
arah Sufiya lantas tersenyum seketika. Sebelah tangan pula memaut pinggang Sufiya
yang sedang berdiri dekat meja dengan mesra supaya lebih dekat kepadanya. Apabila
berdekatan isterinya terasa seperti didampingi bidadari.
“Dah lama abang
bercita-cita nak bina madrasah di kampung kita ni. Akhirnya berjaya juga.”
“Cita-cita tu dah lama
ada. Bahkan itu juga impian arwah ayah dan datuk dulu. Tapi nak melaksanakannya
bukan mudah. Banyak perkara yang abang perlu kaji dan dalami dulu. Sekarang
baru abang rasa bersedia. Cuma satu perkara yang abang nak Sufiya tahu…”
Sufiya merenung muka
suaminya yang kembali leka menulis. Kata-kata suaminya yang tergantung setakat
itu sahaja, membenihkan rasa risau. Ustaz Muiz mengangkat muka lalu tersenyum
melihat wajah Sufiya yang berubah mendung. Dia lantas memegang tangan Sufiya
lalu membacakan ayat 186 dari Surah Al-Imran dan maksudnya.
“Demi sesungguhnya,
kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu
akan mendengar daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada
kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang
menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka
sesungguhnya yang demikian itu adalah dari
perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat.”
Setiap patah perkataan
yang keluar dari bibir suaminya, didengar dengan teliti. Dia tahu suaminya
lebih arif dalam soal agama. Dia sedia mendengar nasihat yang ingin
disampaikan.
“Setiap orang muslim
akan diuji. Ujian hidup itu sunnatullah kauniyah. Kita tak boleh lari malah
semakin kuat iman seseorang itu semakin kuat dia diuji.”
“Maksud abang…”
“Abang mahu Sufiya
tabah sekiranya apa yang abang rancangkan ini menjadi ujian yang besar buat
keluarga kita.”
Sufiya tarik nafas
dalam-dalam. Dia ramas jari suaminya dengan segenap rasa.
“Sudah hampir 30 tahun
kita berkahwin, bang. Selama itu juga kita cari reda Allah sama-sama. Susah
senang. Suka duka. Semua kita hadapi berdua. Insya-Allah, Sufiya akan tetap
sabar. Kalau Sufiya lupa, abang ingatkan.”
“Abang tahu, Sufiya
isteri yang baik. Abang setiap hari bersyukur kepada Allah kerana dikurniakan
bidadari di dunia lagi. Dan sekarang, Sufiya sedang mengandungkan pula anak
abang. Jasa Sufiya tak terbalas. Cuma abang akan berusaha menjadi suami, ayah
dan ketua keluarga yang baik.”
Bibir Sufiya terasa
berat untuk membalas apa-apa. Sejujurnya jauh dalam hati dia masih menyimpan rasa
bersalah kepada suaminya. Hanya setelah 30 tahun berkahwin dan berikhtiar
barulah kali itu dia hamil anak mereka yang pertama. Dia pernah putus asa.
Pernah meminta suaminya berkahwin lain namun suaminya menolak dengan baik. Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang
kamu dustakan? Ayat yang diulang sebanyak 31 kali dalam Surah A-Rahman itu
terdengar-dengar di telinga. Air matanya bergenang.
*****
Daerah Hasam Hurang
KABUS,
angin dan hujan halus menyeliputi kawasan jeram di puncak Air Terjun Hasam
Hurang. Cahaya matahari hanya samar-samar bagai terhalang lapisan udara yang
padat. Pohon-pohon tua yang menjulang tinggi melindungi kawasan yang tersorok
jauh dari jangkauan makhluk lain. Di atas batu yang paling besar di situ,
berdiri satu susuk makhluk setinggi manusia.
Di tangan kirinya ada sebatang tongkat dari Gunung Bawakaraeng. Di
tangan kirinya ada bebola api yang berputar-putar. Mulutnya tidak berhenti
melafazkan mantera dalam bahasa kaumnya, Kaum Kan. Dia menyalurkan tenaga untuk
membantu semua jin dan manusia di bawah pimpinannya yang ada di merata sudut
bumi. Dia memusatkan seluruh tumpuan namun terganggu dek kehadiran pembantunya
secara tiba-tiba.
“Ada perkhabaran buruk,
Sahir Zub-yan.” Derani datang tergesa-gesa.
“Tidakkah dapat engkau
tunggu sehingga aku menyelesaikan tugasku?”
Zub-yan mula berang
kerana tumpuannya terganggu. Tanpa kekuatan yang disalurkan kepada
pemuja-pemuja dan pengikutnya di serata dunia, mereka mungkin sahaja mampu
ditewaskan. Musuh-musuh mereka sentiasa memerangi mereka setiap saat dan ketika
dengan ayat-ayat Al-Quran, zikir, salawat, azan dan nasihat-nasihat ketuhanan
yang berterusan.
“Hal ini akan
menggegarkan Hasam Hurang,” balas Derani.
Ketika itu dia tampil
sebagai seorang lelaki tua. Dia berkeupayaan merubah wajah dan bentuk tubuh
mengikut tujuan dan keperluan.
“Apa lagi yang
dilakukan lelaki itu? Tidak sudah-sudah lagi menghidupkan masjid dan memberi
ceramah siang dan malam?” sergah Zub-yan.
Dia yakin tidak ada
soal lain yang dibawa oleh Derani ke situ selain hal Ustaz Muiz yang sentiasa
menjadi ancaman kepada mereka di Hasam Hurang. Lelaki itu dan keluarganya yang
warak dan tinggi ilmu agama sudah lama menjadi musuh mereka sejak zaman berzaman.
Setiap kali lelaki itu bertahajud di tengah malam, akan bergegarlah segala isi
daerah itu. Sungguh menganggu.
“Dia mahu mendirikan
sebuah madrasah di Kampung Gelam Tikus. Penduduk kampung bersetuju,” jawab
Derani.
Zub-yan menghentak
tongkatnya ke batu. Laungan azan yang berkumandang dari masjid lima kali sehari
pun sudah cukup membuatkan pembantu-pembantunya lari bertempiaran setiap hari,
inikan pula terdirinya sebuah madarasah yang akan mengumpulkan ramai ahli
agama. Ramai yang akan mempelajari kitab-kitab agama. Ramai yang akan berkumpul
menghafal dan mempelajari Al-Quran dan kitab hadis. Semua itu tidak boleh
dibiarkan.
“Kita akan buat apa
sahaja asalkan rancangannya gagal,” katanya.
“Kita punya calon yang
sesuai,” jawab Derani.
“Seandainya kita
berjaya, kita juga akan dipuji di serata pelusuk Hasam Hurang. Mungkin akan
sampai ke pengetahuan Ghafanzar.”
“Serahkan pada saya.”
Derani memohon diri sebelum menghilangkan diri dari situ.
Zub-yan kembali
menumpukan perhatian. Kedua belah tangan diangkat ke atas. Dalam renungannya,
dia melihat banyak pertempuran di muka bumi. Antara konco-konconya dan manusia yang
beriman.
Dia tidak suka kalah.
Pesanan; pnmaria1@gmail.com
Harga buku: RM 22.00 sem/ RM 25.00 Sabah/Sarawak