Friday, November 1, 2013

Sejak Kita Bertemu - Bab 1


Bab 1
SUASANA di luar Grand Ballroom masih sibuk. Walaupun majlis resepsi kedua-dua mempelai sudah pun berakhir namun masih ramai yang menunggu kemunculan Cik Pia bersama pasangannya. Antara yang menunggu di situ adalah dua orang gadis yang tidak henti-henti berbual.
“Cantiknya Cik Pia malam ni... suami dia pun handsome. Sepadanlah mereka tu. Suka sangat tengok.” Satu suara perempuan kedengaran jelas. Penuturnya seorang perempuan muda yang indah sekali pakaiannya.
“Ya ke? Kalau akulah, aku lebih suka Cik Pia kahwin dengan sepupu aku,” balas pula seorang wanita yang kurus langsing di sebelahnya. Pakaiannya juga tidak kalah hebat dengan perempuan yang pertama.
“Engkau ni kan… tak habis-habis dengan sepupu kau yang sorang tu. Ni mesti pasal Damien.”
“Siapa lagi? Sepupu aku tu kan lawa… handsome? Kalau berlakon memang boleh sapu bersihlah semua artis lelaki. Hai… memang sepadan dengan Cik Pia.”
Ketawa sopan kedua-duanya terburai.
“Aku pun dulu sangka Damien akan kahwin dengan Cik Pia. Yalah, selepas Danny meninggal. Tak sangka pula dia boleh kahwin dengan perempuan lain.”
“Tak usah kan engkau, aku pun terkejut besar masa tu tau. Tiba-tiba saja perempuan tu wujud entah dari mana. Rasa tak percaya pun ada. Aku tanya pada Cik Pia, Cik Pia pula buat bodoh saja. Geram aku.”
“Macam tak sepadan  saja. Seorang lawa sangat, seorang… well… so and so….”
“Memang tak padan tapi dah Damien nak juga. Uncle aku terima sajalah. Ikutkan aku dan keluarga aku pada masa tu nak bantah juga. Kami lebih suka kalau Damien pilih Cik Pia. Lebih secocok. Sama lawa, sama taraf. Kenal pun dah lama.”
“Hati dah berkenan, nak buat macam mana?” Perempuan yang pertama membalas dengan senyuman melirik.
“Kalau kau nak tahu, sejak mereka kahwin dah dua kali perempuan tu gugur.”
“Tak serasilah tu…”
“Menyesal pula aku tak cuba halang dari dulu,” balas yang kurus langsing dengan penuh nada kesal. Mereka terus berbual tanpa memandang keliling.
Tanpa sedar perbualan dua orang perempuan itu didengar dan dilihat oleh Anis yang berdiri tidak jauh di belakang mereka. Dia kenal salah seorang daripadanya, yang kurus langsing bak model itu adalah sepupu suaminya yang bernama Maisara. Hasratnya untuk menegur tadi terus berkecai apabila sedar dirinya menjadi bahan umpatan.
“Anis,” tegur Maria yang datang dari arah bilik air. “Kau ke mana tadi? Puas aku cari.”
Anis cepat-cepat memalingkan wajahnya ke arah lain. Puas dia kerdipkan mata supaya air mata yang hampir jatuh, tertahan semula. Kini dia faham, kenapa kehadirannya di sisi sanak saudara Damien selalu disambut dengan pandangan dingin. Semena-mena, dia terasa kedatangan dia di majlis itu pun tidak kena.
“Kenapa ni?” tanya Maria kehairanan. Dipegangnya lengan Anis. “Kau tak sihat ke?”
“Tak… tak ada apa. Kau ada nampak Damien?” tanyanya pula. Kini, dia tidak ingin berada di situ walaupun sesaat. Dia rasa tidak layak.
“Tadi, aku nampak dia berbual dengan Joe di dalam dewan. Kenapa? Kau dah nak balik ke?” Maria merenung wajah Anis. “Tunggulah sampai Cik Pia tukar baju dulu.”
Anis berasa serba-salah untuk menjawab. Untuk memandang wajah Maria pun dia terasa amat malu, bagaimana dia dapat memandang semua wajah sanak saudara Damien dan Cik Pia yang sedang berkumpul di majlis itu?
“Aku nak balik, Maria. Tolong panggilkan Damien,” katanya.
“Kau duduk sini dulu ya? Aku cari Damien.” Maria tarik lengan Anis ke tepi. Setelah Anis duduk di sebuah kerusi berdekatan meja pendaftaran tetamu, Maria melangkah laju ke dalam dewan semula.
Anis menarik nafas perlahan-lahan. Cuba ditenangkan lautan hati yang sedang diamuk badai. Dan apabila dia mengangkat muka, pandangan matanya bertembung dengan pandangan mata Maisara dan temannya tadi. Walaupun dia melihat senyuman di wajah mereka, namun perasaannya tidak mentafsirkan senyuman itu sebagai senyuman yang ikhlas. Dia terasa sungguh hina. Mujurlah Maria pergi tidak lama.
“Anis,” tegur Damien dengan lembut. Di sisinya ada Joe dan Maria. “Kenapa ni? Anis tak sihat?”
“Kita balik, bang,” pinta Anis. Tidak ingin dijawab pertanyaan itu.
“Okey.” Damien tidak membantah, mungkin kerana majlis itu pun sudah berakhir. Lengan Anis ditarik lembut untuk meninggalkan dewan.
“Maria,” panggil Anis. Dia rasa dia perlu menyatakan sesuatu. “Baliklah, ini bukan tempat kita,” katanya perlahan.
Kata-kata Anis membuatkan Maria tercengang.
Namun Anis tidak mahu menjelaskan apa persoalannya sekarang. Dia terus melangkah meninggalkan dewan itu. Di pertengahan jalan, mereka ditegur Maisara.
“Eh! Nak balik dah ke? Tunggulah Cik Pia dan suaminya turun dulu. Lagipun kan ada post-party?”
Damien tersenyum sebelum menoleh ke arah Anis sekilas. “Tak apalah, Anis tak sihat malam ni.”
Maisara angguk perlahan. Kemudian dia berbisik kepada Damien dan Anis.
“Dah ada yang baru ke?” Dia mengangkat kening ke arah perut Anis.
Mendengarkan pertanyaan itu, Damien ketawa kecil sebelum meneruskan langkah. Maisara tinggal terkulat-kulat dengan wajah kelat.
Semasa menuruni lif, Anis menjeling ke arah suaminya, Damien. Terasa alangkah tidak sajaknya dia berdiri di sebelah lelaki itu. Ada benarnya apa kata Maisara tadi, mereka berdua mungkin tidak pernah sepadan.
******
PERJALANAN pulang ke rumah, terasa agak sepi. Kedua-duanya lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Keadaan itu mengundang resah di hati Damien. Berkali-kali dia menoleh ke arah Anis yang asyik termenung jauh.
“Anis tak sihat ya?” Damien menoleh ke arah Anis buat sekian kali.
Anis tidak terus menjawab. Fikirannya berputar ligat mencari satu jawapan yang tidak berdusta dan tidak juga menyatakan yang benar.
“Penat,” katanya.
“Kesian… isteri abang. Orang lain yang kahwin, orang lain yang sibuk ke hulu ke hilir. Tapi syukurlah semua dah selesai, kan?”
Anis terus angguk. Tanggapan itu memang benar. Sudah empat bulan dia menguruskan majlis perkahwinan Cik Pia. Kadang-kadang dia yang tidak cukup rehat. Tapi bagi dia, dia buat semua itu sebagai membalas budi Cik Pia yang banyak membantu dia sejak mereka mula kenal. Dia sudah menganggap Cik Pia bagaikan seorang kakak. Damien juga begitu.
“Tapi kalau Anis penat pun… biasanya mulut Anis tak penat. Makin bising adalah,” sambung Damien sambil tersenyum nipis.
Anis diam sahaja namun perasaan sedihnya sudah mula membuak-buak ingin dilepaskan.
“Mesti ada yang tak kena, kan? Maisara ada cakap apa-apa pada Anis ke?” tanya Damien lagi. “Kata-kata dia tu boleh didengar, difikir jangan. Kalau pasal orang semua dia tahu apa yang elok tapi kalau pasal diri sendiri, hancur.”
Hingga ke saat itu, perasaan Anis sudah tidak dapat diempang lagi. Lalu berjuraianlah air matanya. Makin lama, makin laju dan akhirnya dia teresak-esak.
Melihatkan Anis begitu, Damien memperlahankan kenderaannya dan akhirnya berhenti di tempat parkir di sebuah taman rekreasi. Dia merenung Anis yang masih lagi menangis. Disentuh bahu Anis dengan lembut.
“Mengucap. Ingat Tuhan,” katanya memujuk namun sebaliknya tangisan Anis menjadi lebih kuat lalu ditariknya kepala Anis ke dada. Dibiarkan air mata Anis membasahi baju Melayu yang dipakainya. Dia sedar ada yang tidak kena sehingga menyebabkan hati Anis begitu tersiksa. “Kenapa ni? Cakaplah pada abang.”
“Betul ke keluarga abang tak suka abang kahwin dengan Anis?” Dalam deraian air mata Anis bertanya.
Damien terkedu. Dieratkan pelukannya. Dia menggeleng laju.
“Betul ke?”
“Tak betul. Siapa cakap macam tu?”
Anis diam.
“Selama ni pernah ke abang atau abah buat Anis terasa macam tu?” tanya Damien pula. Sedikit sebanyak hatinya gusar apabila dituduh dengan sesuatu yang tidak benar. “Anis tahu kan, yang keluarga abang sangat sayangkan Anis?”
“Bagaimana dengan keluarga abang yang lain?”
“Keluarga yang mana?”
“Sanak saudara abang,” jawab Anis terus-terang.
“Sanak saudara?” Damien terdiam sesaat. “Kalau mereka ada kata apa-apa yang menyinggung perasaan Anis, abang minta maaf bagi pihak mereka. Tapi tolong beritahu abang, siapa yang menyinggung hati Anis tu, biar abang jumpa dia sekarang juga.”
Anis menggeleng lagi. Dia tidak ingin mengeruhkan keadaan. Dia hanya ingin tahu kebenaran supaya mudah dia membawa dirinya jauh-jauh dari kelompok yang tidak boleh menerima kewujudannya. Dia sedar dirinya siapa.
“Anis,” panggil Damien dengan lembut. Kini dia faham kenapa hati Anis terasa. “Abang sendiri pun ada yang benci, ada yang tak suka. Tapi itu semua tak penting. Selagi Anis dan abah tak benci abang, tak buang abang… abang happy.”
Jawapan Damien membuatkan Anis berhenti menangis. Pelukan suaminya dirasakan makin erat dan kejap sehinggakan dia rasa sukar bernafas. Sejenak, dia dapat merasakan kesayuan di hati suaminya dan dia mula rasa berdosa.
“Ampunkan Anis, bang,” katanya.
Damien mengangguk lesu. Kemudian mengusap kepala Anis dengan penuh kasih sayang. Apabila Anis mendongak memandangnya, dia berkata, “Jangan sesekali berhenti mempercayai abang. Perjalanan hidup kita berdua masih jauh.”
Tanpa sebarang kata, Anis melabuhkan wajah ke dada suaminya. Dia ingin percaya namun...


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.