Sunday, April 15, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 3


3
SELEPAS mengambil Adam di Gombak, Edri berpatah balik ke Damansara. Dan sebelum pulang ke rumah sewa, mereka singgah di sebuah kopitiam yang biasa dikunjungi saban malam. Kedai kopitiam itu meriah sekali. Kebanyakan meja penuh dengan pelanggan. Malam itu Edri dan Adam agak sukar mencari tempat duduk seperti selalunya. Maklumlah, Pesta Bola Dunia sedang berlangsung. Di mana-mana kedai makan dan kopitiam juga seakan-akan berpesta sama.
Suasana di situ makin riuh-rendah. Perlawanan bola malam itu, antara pasukan Argentina dan Nigeria telah pun bermula. Sorak dan tempik saling tingkah-meningkah. Rata-rata di situ adalah penyokong pasukan Argentina. Gol yang dijaringkan pasukan Argentina seawal enam minit pertama menjadikan kopitiam itu juga bermandi sorakan yang membingitkan telinga.
Edri dan Adam turut ketawa. Walaupun tidak bangkit menyorak, mereka sempat juga menjerit “Gol!” bersama-sama.
“Kau nak makan apa?” tanya Adam di celah-celah keriuhan yang belum tamat. Banyak pula suara yang memberi komentar di mana-mana, bagaikan pengulas sukan profesional.
“Nasi lemak rendang ayam. Aku lapar sangat hari ni,” jawab Edri tanpa membaca menu lagi. Semuanya sudah terhafal oleh benaknya.
“Rendang? Ubat darah tinggi kau ada lagi tak? Aku malas nak usung kau ke hospital tengah-tengah malam nanti.”
Edri cuma ketawa menyambut sindiran Adam. Dia melontarkan pandangan ke kaca skrin besar di hadapan kopitiam itu. “Kau pernah dengar nama Bandar Durian Lima?”
“Durian Lima?” Adam mengangguk namun matanya masih leka memandang skrin. Sesekali tersengih mendengar sorakan yang tidak menjadi. “Dekat kampung aku ada bandar nama sama macam tu. Nak kata bandar, taklah besar sangat. Macam pekan saja orang kata.”
“Dekat kampung kaulah ni,” balas Edri dengan perlahan. Dia juga tidak menoleh ke arah Adam.
Adam tersentak. “Di Pahang? Kenapa dengan bandar koboi tu?”
“Bandar koboi?” Edri merenung Adam. “Atau bandar berhantu?”
“Kau jangan merepeklah. Mana pula bandar tu berhantu. Cuma ia memang macam bandar koboi. Aku sudah berpuluh tahun tidak ke sana. Paling akhir, aku pernah pergi masa kecil. Bandar tu terpencil sebab ia di tepi sungai. Dari jalan besar, kena masuk simpang kecil menghala ke sana dalam sepuluh kilometer. Bandar tu macam bandar mati sebab jalannya habis di tepi sungai.”
Edri mengangguk. “Minggu depan kau boleh cuti tak?”
“Cuti? Minggu depan? Aku tak pastilah, walaupun cuti aku ada lapan hari lagi berbaki.”
“Ambillah cuti. Temankan aku ke sana.”
“Kau nak ke Durian Lima? Buat apa pula? Bukankah kau sibuk dengan projek besar tu?” Adam mula merenung tajam ke wajah Edri.
Edri mengeluh sendiri. Dia mendekatkan badannya ke arah Adam. “Ada projek khas. Aku kena selesaikan.”
“Projek khas? Kenapa khas? Bandar tu kecil sahajalah. Kalau tak silap aku, kedai-kedai di situ pun tak sampai dua puluh buah. Itu pun kedai kayu yang menunggu masa nak roboh.” Adam menggeleng seperti tidak percaya. “Kata nenek aku dulu, asalnya bandar itu sangat maju sebab masa dulu pengangkutan pakai perahu dan bas air. Lama-kelamaan bila jalan sudah ada, bandar itu mati sendiri.”
“Itu bukan soal aku. Yang pentingnya aku kena menyiasat mengapa projek jambatan di situ tidak dapat dijalankan sejak 41 tahun yang lalu.”
“41 tahun?” Adam terdiam seketika. “Masa aku balik kampung dulu, aku pernah juga terdengar ada desas-desus tentang jambatan itu. Kononnya kerajaan mahu menyambungkan dua bandar di tepi sungai itu, Bandar Durian Lima dengan Bandar Durian Merah. Tapi sampai sekarang, aku rasa jambatan itu tinggal angan-angan sahaja.”
“Sebenarnya bukan sekadar desas-desus lagi. Cuma tidak tahu mengapa projek itu terbengkalai sekian lama. Sebab itu aku dihantar untuk cuba mencari punca mengapa projek itu tidak dapat dilaksanakan. Takkanlah susah sangat nak bina jambatan sepanjang itu. Bukannya hendak menyambungkan Melaka dengan Sumatera.”
“Jadi kau nak aku ikut sebagai pemandu pelancong kaulah ya?” Adam menggesekkan ibu jari dan jari telunjuk kanannya.
Edri tergelak. “Alah, tolak sewa rumah bulan depanlah. Itu pun nak berkira.”
 “Siap! Minggu depan aku ambil cuti seminggu. Lepas habis kerja, kita singgah kampung aku. Kita makan durian puas-puas. Rumah datuk aku dalam kebun durian.”
Edri cuma mengangguk. “Gol!” Dia bersorak riang bersama pelanggan lain.
 Kopitiam itu kembali kecoh. Malam itu dia turut bergembira meraikan kejayaan pasukan Argentina, cuma hatinya masih berdebar-debar. Mungkinkah itu peluang sekali seumur hidup?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.