Monday, June 4, 2018

Acara pelancaran novel TAKRUT


Alhamdulillah pada tarikh 28 hb April 2018 yang selalu novel TAKRUT selamat dilancarkan dan membuat penampilan pertamanya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018. Satu majlis kecil diadakan bagi pelancaran novel tersebut dengan dihadiri penerbit, editor, ahli-ahli MKFC dan juga sahabat-sahabat pembaca.



Puan Alida selaku penerbit  dan pengurus besar LoveNovelPublishing 
bersama 
AJK Tertinggi Maria Kajiwa Fan Club


Syukur Alhamdulillah. Novel TAKRUT-Stesen Terakhir telah mendapat sambutan yang sangat hebat dan tersenarai antara 10 novel yang bestseller di booth LNP sepanjang PBAKL2018 berlangsung. Terima kasih atas sambutan sahabat-sahabat pembaca.

Kepada yang masih ingin mendapatkan novel TAKRUT boleh menghubungi Puan Zully Azizan melalui WhatApps :   012-331 2141.

Kepada yang sudah membacanya dan ada maklum balas yang hendak diberikan boleh menghantar komen, tersebut ke e-mel saya:  pnmaria1@gmail.com.

Terima kasih atas sokongan sahabat-sahabat pembaca tidak kira berada di mana. Insya-Allah saya akan jadikan sokongan anda semua sebagai semangat dan daya pemangkin kepada karya yang lebih baik pada masa akan datang.

Friday, June 1, 2018

Cerpen Ramadan: YANG MUSTAJAB



CERPEN RAMADAN: YANG MUSTAJAB

“KEBELAKANGAN ni, akak tengok Aliya macam resah aje. Masam aje muka. Apa masalahnya?”
Kak Min menguatkan hati untuk bertanya. Kalau diikutkan dia malas hendak ambil tahu soal Aliya. Dia sendiri banyak masalah hendak difikirkan tetapi hendak dibuat tak tahu sahaja pun tak boleh juga. Wajah muram Aliya kebelakangan ini sedikit sebanyak mengganggu fikirannya.
Aliya bergumam.
“Kalau ada masalah, ceritalah,” pujuk Kak Min.
Dia bukan penyibuk atau suka jaga tepi kain orang, dia ikhlas hendak membantu Aliya yang sudah dianggap bagaikan adik sendiri. Mereka sudah lama bekerja di tempat yang sama. Sejak arwah ibu Aliya masih ada.
“Saya risaulah, kak…”
Aliya memutar tubuh. Kini tubuhnya menghadap Kak Min di meja sebelah. Waktu rehat hari pertama bulan Ramadan itu mereka tak ke mana-mana. Usrah di surau pun belum bermula.
“Risau apa?” Kak Min renung muka Aliya yang leka termenung jauh.
“Sejak kebelakangan ni, Badri asyik keluar masuk wad. Ni pun baru dua hari keluar.”
“Sakit apa?”
Kak Min berkerut dahi. Selama ini Aliya tidak pernah memberitahu soal itu. Aliya tahu yang dia tidak menyenangi perhubungan antara Aliya dan Badri yang merupakan suami orang.
“Dia cakap ada ketulan darah dalam otak dia. Kesan kemalangan motorsikal beberapa tahun yang lalu. Sebab tu dia selalu sakit kepala. Selalu pengsan,” terang Aliya satu persatu.
“Kenapa Aliya pula yang susah hati? Tahulah isteri dan anak-anak dia jaga.”
Kak Min tahu jawapan itu akan menyakitkan hati Aliya tetapi Aliya patut disedarkan tentang hakikat itu. Dan seperti yang dijangkakan, kata-katanya itu membuatkan Aliya berubah air muka.
“Akak tahu Aliya sayangkan dia tapi kena ingat, dia tu suami orang. Sedalam mana pun sayang Aliya pada dia, tetap tak boleh ganti tempat isteri dia. Kalau tak… dah lama dah dia ceraikan isteri pertama tu.”
Aliya tarik nafas dalam-dalam. Air matanya mengalir tanpa dapat ditahan lagi.
“Susah, kak. Saya tahu semua tu tapi perasaan saya ni dah tak boleh dibuang. Kalau boleh dipotong-potong, dah lama saya potong dan buang jauh-jauh. Makin saya nak lupakan dia, makin kuat perasaan saya pada dia. Kadang-kadang saya rasa, inilah ujian paling getir dalam hidup saya, kak.”
“Lain orang lain ujiannya…”
Kak Min mengalah. Dia percaya Aliya tulus mencintai Badri tetapi sayang, adakalanya cinta itu menjadi ujian yang sangat perit kepada sebahagian manusia. Kini, Aliya sedang diuji dengan cinta.
“Saya susah hati, kak. Saya tak mahu kehilangan dia terlalu cepat. Saya tahu dia suami orang, saya reda saya takkan berkahwin dengan dia tapi… untuk kehilangan dia secara total saya belum sanggup.” Tangisan Aliya melebat. Mujurlah ada sekotak tisu di atas meja buat pengering air mata.
“Macam nilah… Tuhan itu Asy-Syafi. Yang Maha Berkuasa memberikan kesembuhan kepada segala jenis penyakit. Jadi berdoalah dengan sungguh-sungguh dan yakin.” Itu sahaja penyelesaian yang Kak Min nampak. Dia tahu dalam keadaan begitu Aliya tidak berupaya untuk berbuat apa-apa. Hendak melawat Badri di wad pun tidak berani. Takut isteri pertama tahu perihal hubungan mereka.
Aliya hanya mampu mengangguk.
“Akak ada satu cadangan. Itu pun kalau Aliya nak dengar,” tambah Kak Min. Satu cadangan melintas di fikirannya secara tiba-tiba.
“Apa dia?” tanya Aliya.
“Hari ni kita dah masuk bulan Ramadan. Doa orang yang berpuasa ni makbul. Jadi jangan lepaskan peluang untuk mendoakan Badri. Tapi… akak nak cadangkan Aliya buat satu perkara.”
Mata Aliya tak berkelip.
“Antara waktu berdoa yang mustajab ialah sebelum berbuka puasa. Jadi apa kata, Aliya gunakan waktu tu sungguh-sungguh. Mana tahu, doa Aliya tu dimakbulkan.”
“Sebelum berbuka?”
“10 minit sebelum berbuka tu, berdoalah,” jawab Kak Min.
Aliya angguk faham.
*****
NASIHAT Kak Min melekat kuat dalam kepala Aliya. Sejujurnya selama dia hidup, dia belum pernah berdoa panjang sebelum berbuka puasa. Kalau ada pun hanyalah membaca doa berbuka puasa. Doa-doa yang lain memang tidak pernah diamalkan. Semua itu menjadikan dia agak resah dan canggung.
“Cepat betul siap hari ni?” tegur Ali.
Dilihatnya Aliya agak kelam kabut menyediakan hidangan berbuka puasa hari itu. Baru pukul 7.00 malam, semuanya sudah siap tersedia di atas meja. Lengkap dengan nasi dan air. Mungkin anaknya begitu bersemangat kerana hari itu hari pertama Ramadan, fikirnya.
Aliya cuma tersenyum. Apa yang ada dalam hati, dipendam sahaja.
“Aliya nak masuk bilik sekejap. Penat. Nanti kalau dah masuk waktu berbuka, panggil Aliya ya.”
“Jangan lelap pula. Tak elok tidur waktu macam ni.”
Aliya tersenyum pahit. Hati tambah berdebar. Dia bimbang kalau-kalau terlewat untuk duduk berdoa. Setibanya di bilik, dia terus mengambil wuduk lalu duduk di atas sejadah yang sudah sedia terbentang di atas lantai.
Allaahu Akbaru kabiiraw-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila... Allahumma salli wa sallim ala Muhammad wa ala ali Muhammad…Innaka hamidum majid.” Aliya membuka doa dengan pujian dan selawat.
“Ya ALLAH… hanya pada-Mu letaknya kesembuhan, maka sembuhkanlah Badri daripada penyakitnya. Sehingga dia tidak kesakitan lagi, tidak pengsan dan tidak masuk wad lagi. Sehingga dia kembali hidup dengan baik dan sihat. Makbulkanlah Ya Allah… Makbulkan Ya Allah…”
Aliya mula menangis. Ketika itu dia lupa hal lain. Dia berasa dia benar-benar duduk di hadapan Tuhan; bercakap, meminta dan mengadu.
“Aliya! Dah azan!” Ali mengetuk pintu bilik.