Thursday, April 19, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 9


9
BEBERAPA orang pelanggan yang berada di kedai makan yang berhampiran terus berkejar keluar apabila terdengar bunyi dentuman yang berlaku. Kereta yang merempuh kereta Edri tadi terus hilang ke jalan raya. Bunyi pecutan tayarnya masih terdengar-dengar di telinga Edri.
“Kau tak apa-apa, Ed?” tanya Adam setelah rasa terkejutnya hilang. Dia membelek tubuh Ed dari atas ke bawah.
“Aku tak apa-apa. Tapi kereta aku...” jawab Edri sambil melangkah, melihat pintu di sebelah pemandu yang kemek dan calar.
“Nasib baik kau cepat bergerak ke sebelah sini. Kalau kau berdiri dekat dengan pintu tu, tak tahulah aku nak cakap apa,” balas Adam sambil menggeleng.
Edri baru terfikir. Dia kaget seketika. Jantungnya kini berdetak laju. Ternyata rezekinya masih ada untuk hidup di bumi ini. “Pemandu tu mabuk agaknya.”
Dia merenung jalan raya pula. Kereta yang merempuh keretanya sudah lama hilang. Timbul pula rasa geram.
“Baru tengah hari, nak mabuk apa siang-siang macam ni? Pula tu, main cabut lari saja.” Adam merungut. Wajahnya penuh kekesalan.
“Entahlah. Aku langsung tak sempat melihat pemandu atau mencatatkan nombor plat kereta tu. Tiba-tiba sahaja hilang di hujung jalan.”
Adam mengeluh. “Maafkan aku, Ed,” katanya perlahan.
“Eh! Apa hal pula kau yang nak minta maaf pada aku? Bukan salah kau. Lainlah pemandu tu saudara-mara kau.”
“Aku rasa bersalahlah, Ed. Aku mula rasa tak sedap hati. Macam mana ni?”
“Janganlah cepat panik. Aku tak rasa enjin kereta ni terjejas pun. Sekejap, aku cuba hidupkan,” kata Edri seraya membuka pintu di sebelah pemandu yang kemek. Beberapa saat kemudian dia tersenyum.
“Hidup pun.” Bunyi keretanya mengaum-aum.
Edri mematikan enjin lalu melangkah keluar semula.
“Tak ada masalah. Kita boleh teruskan perjalanan. Mungkin di sana kita boleh suruh orang ketukkan mana yang dapat,” katanya kepada Adam.
Adam masih terkulat-kulat. “Kau nak pergi juga?”
“Pergilah. Selagi enjin tu boleh hidup, kenapa pula tak pergi? Lagipun, dah tak jauh, kan?” Edri menunggu jawapan Adam. Padanya, kejadian itu seolah-olah mencabar kesungguhannya. Namun sikap Adam membuatkan dia tertanya-tanya.
“Okeylah, kita makan dululah,” jawab Adam seraya melangkah semula ke kedai.
Edri hanya mengikut. Dia menjeling sekilas ke arah keretanya yang kemek. Hatinya sebal. Nampaknya, semakin banyak yang dikorbankan untuk kes jambatan itu. Selepas ini apa pula?
Adam terus masuk ke dalam kedai makan yang terdekat. Fikirannya masih bingung. Rasa terkejutnya masih bersisa. Dia menarik kerusi plastik berwarna merah dengan perlahan. Edri duduk di hadapannya.
“Beri kami dua pinggan nasi. Lauk ikan patin ada?” tanyanya kepada pelayan yang datang sambil menjenguk ke belakang kedai dari situ.
Pelayan yang mengambil pesanan itu segera mengangguk. “Nak yang masak asam, masak lemak atau goreng?”
“Yang masak asamlah.” Edri menyampuk dengan pantas. “Beri saya ais limau sekali.”
Pelayan itu segera ke belakang, menyiapkan pesanan. Meja itu kembali sunyi. Adam membisu, Edri termenung. Setelah beberapa minit berlalu, semua pesanan mereka pun tiba di meja. Kedua-duanya terus sahaja menjamah hidangan tanpa berlengah. Adam menjeling sekilas ke arah Edri. Pemuda itu kelihatan tenang, tidak seperti dirinya saat ini.
“Engkau okey ke?” Tiba-tiba Edri bertanya. “Dari tadi nampak resah saja.”
Adam tersenyum tawar lalu mengangguk. Memang dia terkejut. Debaran di dadanya pun belum hilang. Tapi ada satu perkara yang tidak diceritakan kepada Edri.
Sejak hal kes jambatan itu dibangkitkan oleh Edri, tidur malamnya juga terganggu. Cuma dia tidak mahu memberitahu perkara itu kepada Edri. Dia tidak mahu kelihatan seperti lelaki yang berfikiran kolot. Dia bukannya seorang yang mudah mempercayai perkara-perkara tahyul. Namun, kebelakangan ini perasaannya sendiri tidak berapa tenteram. Setiap malam dia didatangi mimpi yang sama. Dia dikejar oleh sekumpulan lelaki dalam malam yang gelap. Adakah mimpinya ada kena-mengena dengan mimpi Edri? Kejadian tadi pula seolah-olah menambah satu lagi petanda. Tidakkah Edri perasan?
“Kita tangguh sajalah, Ed. Kita ke rumah datuk aku saja.”
“Tangguh apa? Kita dah dekat, kan? Pergi sajalah. Nanti entah bila kita dapat ke sana lagi,” jawab Edri seraya meneruskan suapannya. “Aku tak boleh berpatah balik, Adam. Kau pun tahu apa akibatnya jika aku balik tanpa selesaikan kes ini.”
Adam terkebil-kebil. Walaupun hatinya terasa tidak enak tetapi nampaknya Edri tetap dengan pendiriannya. Dia berasa simpati dengan pemuda itu. Walaupun dia tahu Edri seorang yang berpendirian tegas namun kali ini jawatan Edri yang menjadi pertaruhan. Dia faham dan terpaksa akur.
“Okeylah, makanlah cepat sikit. Kita singgah ke masjid dulu ya,” katanya perlahan.
Entah mengapa kali ini dia mahu ke situ. Dia percaya, hanya kepada Tuhan yang satu. Hanya kepada-Nya, tempat dia dapat berserah dan mengharapkan pertolongan. Semoga perjalanan mereka diberkati dan dipermudah. Sekurang-kurangnya dengan itu hatinya akan kembali tenang walaupun untuk sementara waktu.

“DAH dekat pukul 3.00? Aku sangkakan baru pukul 2.00.” Edri mengomel seorang diri sambil bersandar pada beranda Masjid Abu Bakar yang berkubah kuning keemasan. Pandangan matanya dilemparkan pula ke dalam masjid.
Adam masih belum keluar. Panjang pula doanya hari itu. Walhal kalau di rumah, jarang sekali dia melihat Adam membentang sejadah.
“Dah kau makan lama sangat,” balas Adam yang sedang melipat semula sejadah lalu disusun ke tepi pintu bersama sejadah-sejadah yang lain. Terpandang hamparan permaidani putih berbelang merah muda itu, hatinya bagai terpanggil-panggil untuk merebahkan diri buat seminit dua.
“Jom! Kita bertolak. Aku harap kita sampai ke sana sebelum malam. Senang sikit nak cari tempat tidur.”
“Alah, dalam sejam dua sampailah tu. Tapi kalau nak cari hotel, aku tak fikir ada di situ. Apa kata kalau bermalam saja di rumah datuk aku?”
“Hisy! Aku seganlah. Menyusahkan datuk kau pula.”
“Mana ada susahnya, datuk aku tinggal sorang saja,” balas Adam sambil menyarung kasutnya di tangga masjid. “Rumah datuk aku tu pun banyak bilik kosong. Kita nak tidur seorang sebilik pun tak ada hal.”
Tanpa menjawab, Edri mengekor Adam yang sudah berlenggang ke pintu kereta.
“Biar aku pandu. Lebih cepat sampai. Kalau engkau nanti, aku takut kita terlepas sampai ke Serting.” Adam menghulur tangan meminta kunci kereta.
Kunci kereta kini bertukar tangan, Adam memulakan perjalanan semula ke bandar Durian Lima. Sekali lagi mereka menyusuri Sungai Pahang dan memasuki jalan yang agak kecil menuju ke bandar Triang.
“Cantik tempat ni, jalannya menyusuri sungai,” komen Edri sambil matanya tidak lepas memandang Sungai Pahang yang mengalir tenang.
“Kata datuk aku dulu, sungai ni jauh lagi ke tengah sana. Tapi disebabkan hakisan, makin lama makin ke tepi jalan. Ada sesetengah tempat tu langsung dah runtuh dimakan dek hakisan.”
Edri cuma mengangguk. Dia manalah biasa tinggal di kampung. Hanya sempat balik beberapa kali saja ke kampung neneknya sebelum neneknya meninggal dunia. Tidak lama selepas itu, tanah dan rumah neneknya dijual kepada orang lain. Sejak itu, dia tidak pernah ke kampung lagi sehinggalah hari itu. Dengan tiba-tiba sahaja, hatinya dipagut raya sayu…terkenangkan arwah neneknya. Lagu kumpulan Indie yang sedang berkumandang di radio membuatkan dia melayan rasa mengantuk dan rasa kenyang yang masih bersisa. Matanya mula kuyu perlahan-lahan.
Tiba-tiba Adam memberhentikan kereta di tepi jalan. Setelah terpandang-pandang, dia berpatah balik.
“Kenapa kau patah balik?” Edri terpinga-pinga. Serentak itu terasa darahnya menderu naik ke kepala kerana terkejut.
“Aku rasa aku terlepas simpanglah. Ini, dah dekat sampai ke kampung datuk aku. Mesti simpang tu dah terlepas di belakang.”
“Itulah, konon yakin betul dia tahu jalan. Kampung dia sendiri pun sesat,” balas Edri sambil memejamkan matanya semula. Kepalanya mula berdenyut kerana tidurnya terganggu tadi.
Akhirnya, setelah hampir setengah jam berpatah balik, Adam membelok masuk ke arah sebuah simpang kecil di sebelah kanan jalan besar.
Edri terjaga lagi sekali. Dadanya berdebar dengan tiba-tiba. “Masuk sini ke?”
Adam mengangguk. “Aku yakin ini simpangnya. Sepatutnya jalan ini membawa kita terus menuju ke pekan kecil itu. Tak ada simpang-simpang lain lagi.”
Edri kembali terdiam. Jalan itu kelihatan semakin mengecil. Tidak ada lampu jalan dan tidak ada rumah kampung yang kelihatan. Yang ada hanyalah hutan dan juga kebun-kebun getah yang agak semak di kiri kanan jalan. Dia menelan liur, dadanya terasa sempit semula. Dia menoleh ke langit. Langit masih biru namun jalan itu tetap redup dipayungi pokok-pokok besar yang tumbuh rapat-rapat. Udara terasa bersih dan nyaman sekali. Tetapi semakin lama dia semakin berdebar-debar. Jalan tar yang dilalui mula bertukar ke jalan tanah merah. Habislah kereta aku. Dia bersungut dalam diam. Tiba-tiba, keretanya menjadi senyap sunyi, cuma meluncur di atas jalan dengan sendiri. Semakin lama, semakin perlahan dan berhenti apabila Adam menekan brek.
“Apa hal?”
“Enjin mati,” balas Adam sambil cuba menghidupkan semula enjin kereta. Berkali-kali dia mencuba namun tidak dapat dihidupkan.
“Enjin panas sangat ke?” tanya Edri, sudah mula membuka pintu keretanya. Kakinya terus terendam ke dalam becak. Sandal kulit yang dipakai mula bersalut lumpur. Dia tersentak lalu menggeleng.
Adam turut keluar, memerhati ke hadapan dan ke belakang jalan. Suasana di situ juga agak sunyi. Yang ada pun hanya bunyi ungka yang bersahut-sahutan dari hutan berhampiran. “Tak, meter suhu tak naik pun. Mungkin sebab kena langgar tadi.”
Edri termenung seketika. “Jauh lagi ke bandar itu?”
Adam terfikir-fikir. “Aku rasa tak jauh sangat. Cuma aku dah lama tak datang sini, ingat-ingat lupalah.”
Mereka berdua kembali masuk ke dalam kereta setelah memeriksa enjin lebih kurang. Tidak ada pula terlihat apa-apa yang tidak kena. Kedua-duanya termenung dan berfikir. Tiba-tiba dahi Edri berkerut. Daripada cermin pandang belakang, dia ternampak sesuatu.
“Eh! Ada orang datang. Kau cubalah tanya,” kata Edri sambil mencuit bahu Adam. Kelibat dua orang gadis itu menarik perhatiannya. Dia seolah-olah terpukau.
Adam menoleh ke arah jalan. “Mana? Tak nampak pun?”
“Tu, dua orang perempuan yang pakai payung tu. Mereka baru keluar dari simpang,” balas Edri sambil tersenyum.
“Cubalah tanya, mesti saudara-mara engkau tu.” Anak mata Edri masih leka memandang gadis-gadis itu. Bagaikan ada besi berani yang mengikat renungan matanya ke situ.
Adam menggosok mata. Tetapi dia belum nampak apa-apa pun dari arah yang ditunjukkan Edri. Dia menjeling kepada Edri yang masih tersenyum sendirian. Dia menoleh semula ke arah itu. Riak wajahnya seperti tidak senang.
“Tanyalah!” kata Edri sekali lagi. Dia sudah menolak tubuh Adam supaya keluar.
Adam terpinga-pinga. Dia membuka pintu kereta lalu melangkah keluar. Yang disedarinya hanya ada bumi yang semakin basah ditimpa hujan panas yang tiba-tiba turun mencurah-curah. Dia belum nampak apa-apa.

“LEHA belum balik-balik lagi?” tanya Tok Empat Manap sambil membetulkan silanya. Tepak sirih ditarik rapat ke lututnya. Pinang dan gambir dibelek-belek. Daun sirih disapu-sapu ke lututnya hingga bersih berkilat pada pandangan matanya.
“Gamaknya sekejap lagilah tu. Hari pun dah mula hujan,” balas Mak Wi, isteri Tok Empat Manap, sambil menjenguk ke serambi.
Langit kelam menambahkan kebimbangan. Entah di manalah Saleha dan Murni waktu itu. Sudah dipesan supaya balik sebelum senja tapi nampaknya entah ke mana sangkutnya budak berdua itu.
“Leha ke mana tadi?”
“Ke rumah Munah. Dah dua hari orang tua tu tak turun ke paya. Risau pula kalau dia sakit. Itu yang saya suruh Leha pergi melawat. Hasan tu bukan boleh diharap sangat budaknya. Asyik merayau tak sudah-sudah.”
Tok Empat Manap termenung jauh. Dia bukan tidak kenal anak buahnya. Sebelum dilantik menjadi tok empat pun dia sudah masak benar dengan sikap Hasan dan kawan-kawannya. Degil, tidak boleh diajar. Nasib baiklah ada Tok Guru Salehuddin, guru silat di kampung itu. Ada juga orang untuk menasihatkan mana yang patut. Itu pun kadang-kadang tidak berkesan juga. Dan dia juga bukan tidak tahu, Hasan ada hati kepada anaknya, Saleha. Itu yang merunsingkan dia sebenarnya. Hasan bukan orang lain. Anak saudara sepupu dia. Hasan dan Saleha dua pupu. Kalau Munah, ibu Hasan masuk meminang, dia serba salah untuk menolak. Nanti dikata sombong. Nanti dikata lebih memilih orang luar daripada keluarga sendiri. Kepalanya pening.
“Bila awak nak ke kampung sebelah melihat tanah yang nak dijual tu?” Pertanyaan Mak Wi menghentikan lamunan Tok Empat Manap.
“Seminggu dua lagi. Tunggu tuan tanahnya balik ke situ. Baru senang nak berunding,” balas Tok Empat Manap.
“Kenapa termenung saja petang ni? Ada sesiapa buat hal lagi ke?”
Tok Empat Manap menggeleng. “Aku risaukan Saleha tu. Makin lama makin besar. Makin lama makin susah kita nak bela.”
Mak Wi menghela nafas. Dia faham apa yang dirunsingkan suaminya. Dia juga runsing tapi nak buat macam mana, sampai ke saat itu belum ada yang berani masuk meminang.
“Ada jodohnya, pasti ada jalannya. Kita doakan sahaja datang rezekinya yang baik-baik.”
Kali ini Tok Empat Manap cuma mengangguk. Memang susah menjaga anak dara. Besar sikit, dijeling dek orang. Lambat sikit berkahwin, dikata dek orang. Tapi dia tidak kisah sangat. Asal bukan Hasan yang masuk meminang. Yang lain, dia tak kisah. Sebagai orang tua, tak ada perkara lain yang lebih diharapkan selain anaknya yang seorang itu bertemu jodoh dengan lelaki yang boleh harapkan. Itulah impiannya sebelum dia menutup mata.

2 comments:

Note: Only a member of this blog may post a comment.