Monday, February 14, 2011

JANJI JULIA : Bab 3

enovel

Julia memandu kereta Honda berwarna hitam itu dengan setenang yang mungkin. Dia tidak mahu terlalu panik meskipun satu demi satu stesen minyak sudah dilewati. Dan seperti yang diduga, kesemuanya sudah ditutup ekoran kehabisan minyak ataupun sebab lain. Jika difikir secara logik, agak mustahil juga ada tempat yang masih dibuka pada waktu darurat begini. Tetapi selagi ada nyawa, selagi itu ada harapan. Dia belum mahu mengalah. Dia bersedia untuk berbuat apa-apa sahaja untuk menghantar Mimi pulang. Apa-apa sahaja.


Di sepanjang jalan, mereka menyaksikan wajah ibu kota yang hampir tidak dikenali lagi. Jika beberapa bulan yang lalu, ibu kota itu meriah dengan sambutan Hari Kemerdekaan, kini wajahnya penuh duka. Semua premis perniagaan telah ditutup. Semua kemeriahan dan kesibukan manusia di ibu kota itu telah hilang. Kenderaan tersadai bagaikan besi-besi buruk yang tidak berharga. Sampah-sarap bersepah-sepah bagaikan tidak menjadi apa. Siapa sangka ibu kota yang menjadi kebanggaan semua orang selama ini kini seolah-olah begitu nazak.

Sesekali Julia ternampak beberapa kumpulan lelaki yang sedang memecahkan kedai. Dia hanya mampu memandang. Dalam keadaan terdesak, dia tidak mahu menghakimi sesiapa. Mungkin esok lusa, dia juga akan menjadi pencuri untuk sesuap nasi. Siapa boleh menjangka?


“Minyak!” jerit Mimi sambil menuding ke arah sebuah stesen minyak yang masih dibuka kira-kira 100 meter di hadapan.


Julia segera menekan brek lalu membelok memasuki barisan kenderaan yang rata-ratanya penuh sesak dengan penumpang dan barang-barang. Di hadapan mereka, berpuluh-puluh buah kenderaan beratur panjang bagi mengisi minyak. Semakin lama, barisan itu semakin panjang. Dia hanya bertawakal. Mudah-mudahan minyak masih ada.


“Bila kali terakhir kau isi minyak?” tanya Mimi.


“Dua minggu lepas. Itu pun aku beli daripada suami mak cik penjual nasi tu,” jawab Julia. Keretanya semakin bergerak ke hadapan.


Mimi mengangguk. Namun tiba-tiba, matanya terbeliak. “Ha, RM20 seliter?”


Julia terpinga-pinga. Dia turut menjenguk ke hadapan. Apa yang ditulis di atas kepingan kotak yang dipacak tidak jauh dari pam minyak itu membuatkannya tersentak. “Mahalnya!” Dia bersungut. Rasanya seperti bermimpi tetapi dia tidak tidur. Mahu tidak mahu, mereka terpaksa juga akur sekiranya itulah syaratnya. Mereka tidak ada pilihan lain.


“Gila!” bentak Mimi. Kemudian, dia mengeluarkan beberapa keping duit kertas yang bernilai RM50 dari dalam beg duitnya lantas menyerahkannya kepada Julia. Itu sahaja yang dia ada.


Julia menggeleng. “Tak payahlah. Aku masih ada duit. Kau pergi saja ke kedai tu, beli apa-apa makanan yang boleh dibeli,” katanya sambil menoleh ke arah kedai serbaneka di stesen itu yang sesak dengan pembeli, seolah-olah sedang berlangsungnya jualan penghabisan stok. Pintu kedai pun sudah hampir tercabut. Terfikir juga di benaknya, mungkin Mimi akan pulang dengan tangan kosong tetapi mereka harus mencuba demi kelangsungan hidup.


Tanpa berlengah, saranan Julia segera dilaksanakan. Mimi berlari-lari anak ke arah kedai serbaneka itu.

“Cepat sikit!” laung Julia dari tingkap kereta. Perasaannya mula risau apabila melihat Mimi semakin jauh dan akhirnya hilang di celah-celah orang ramai.


Entah kenapa, pada saat itu dia hanya memikirkan keselamatan Mimi. Baginya, Mimi adalah seorang gadis yang sangat bertuah. Dia sempurna walaupun cepat panik. Orangnya cantik, bijak dan mempunyai keluarga yang lengkap dan bahagia. Tidak seperti dirinya. Segala-galanya begitu berlawanan. Walaupun dia sedar dirinya juga cantik, tetapi hatinya sudah terluka. Dan lukanya semakin dalam.


Belum pun sampai setahun ibunya meninggal dunia kerana kanser, ayahnya sudah berkahwin lain. Dia berasa dikhianati. Segala janji ayahnya di hadapan ibunya dahulu bagaikan janji kosong. Apakah cinta itu berakhir di pintu liang lahad? Namun, dia memendam segalanya dalam hati. Hanya ujian-ujian di makmal menjadi penghibur. Hanya tesis itu sandaran masa hadapannya. Itu pun kini tiada lagi. Lalu apa yang tinggal? Dia mencari-cari.


Dia menoleh ke arah kedai serbaneka. Buat masa ini, apa yang menghantui benaknya hanyalah soal Mimi. Dia tidak mahu gadis yang sesempurna Mimi menjadi rosak. Dia harus pulangkan Mimi ke pangkuan keluarganya. Ke tempat di mana gadis itu sepatutnya berada pada waktu itu. Dia mahu melihat Mimi sempurna semula. Sekurang-kurangnya masih ada keluarga yang sempurna di dunia ini. Dia tersenyum sendiri walaupun matanya sudah bergenang. Mengapa hidupnya tidak boleh sesempurna Mimi? Hatinya menangis lagi.


Sambil menunggu, kereta Julia bergerak sedikit demi sedikit ke hadapan. Di pam minyak itu, dia melihat beberapa orang pekerja sedang sibuk melayan pelanggan sambil diawasi oleh beberapa orang lelaki yang bersenjatakan senapang. Wajah mereka semakin tegang. Keadaan seolah-olah menjadi semakin panas.

Hatinya semakin tidak tenteram. Rasa menyesal kerana singgah di situ mula membuak-buak. Hendak berundur tidak boleh, hendak ke hadapan pun tidak boleh. Tambahan pula, Mimi masih berada di dalam kedai. Perutnya mula terasa memulas.


*****


Hari semakin cerah. Pagi sudah berlalu. Jam di papan pemuka menunjukkan sudah hampir pukul 11.00 pagi. Julia cuba bertenang. Setiap saat dia berdoa agar segala-galanya berjalan dengan lancar dan tanpa kekecohan. Namun begitu, dadanya tetap juga berdebar. Bayang Mimi masih belum kelihatan sedangkan keadaan di dalam kedai serbaneka itu semakin sesak dan ribut. Rasanya ingin sahaja dia melaung memanggil Mimi keluar dari situ. Dia bimbang tubuh kecil Mimi itu terus tenggelam dalam keributan di situ. Salah dia juga. Ah! Dia hampir menjerit.


Setengah jam telah berlalu. Pergerakan barisan kereta di situ dirasakan terlalu perlahan. Julia sudah mulai kebosanan apabila matanya terlihat kelibat Mimi di celah-celah kesibukan di situ. Gadis itu keluar dari kedai serbaneka sambil menjinjing sebuah beg plastik. Wajah muram Mimi membuatkannya tertanya-tanya. Apa pun yang dibawa oleh Mimi, dia tidak peduli. Yang pentingnya, Mimi selamat.


“Ini saja yang aku dapat,” Mimi masuk semula ke dalam kereta sambil membelek-belek barang-barang yang dibelinya tadi. Ada tiga kotak air susu, sebungkus biskut dan beberapa buku roti manis yang tarikh luputnya berbaki dua hari. Wajah Mimi begitu muram. “Itu pun harganya naik berganda-ganda,” katanya. “Sekotak susu ni, harganya RM10 tau.”


Julia hanya menggeleng. “Tak apalah, Mimi. Daripada tak ada langsung, itu pun dah cukup. Dalam keadaan macam ni, semua barang naik harga sampai tak masuk dek akal. Semua orang nak ambil kesempatan padahal apalah gunanya duit yang banyak-banyak tu kalau keamanan negara dah tak ada lagi. Duit dah tak ada nilai.”


“Entahlah. Di dalam kedai tu, semua orang berebut-rebut. Pakai sambar saja apa yang dapat. Aku cemas juga, tapi aku bayarlah apa yang aku ambil. Ada tu terus bawa lari saja,” cerita Mimi beria-ia.


“Aku tak sedap hatilah tengok keadaan di sini,” balas Julia. Dia sudah mula menggigit hujung rambutnya. Dari cermin sisi, dia dapat melihat kehadiran sekumpulan lelaki yang bersenjatakan parang dan pistol. Dadanya semakin berdebar-debar. “Mimi, lebih baik kau pakai tali pinggang sekarang,” katanya lagi. Pegangan pada stereng dikejapkan.


Melihatkan perubahan pada air muka Julia, Mimi segera mengenakan tali pinggang keselamatan. Barang-barang yang dibelinya tadi diletakkan di tempat duduk belakang bersama komputer ribanya. Anak matanya meliar melihat keadaan di situ yang semakin riuh-rendah.


Kereta Julia semakin bergerak ke hadapan mendekati pam minyak. Semakin dekat, hati Julia semakin cuak. Riak wajah lelaki warga asing yang berdiri di tepi pam minyak itu membuatkan hatinya berasa cemas.


“Ha, dah habis?” tanyanya kepada pekerja stesen minyak itu yang berdiri kira-kira satu meter darinya. Lelaki itu mengangguk sambil memusing-musingkan jarinya. Dia mengeluh hampa. “Macam mana ni?” Dia menoleh ke arah Mimi.


Mimi mengerling ke arah meter minyak. “Aku rasa minyak tu cukup sehingga ke Tapah. Kita cuba isi di sana,” kata Mimi sambil menyelak anak rambut di hujung telinganya. “Di lebuh raya, aku tak fikir ada yang...”

Bang! Sedas tembakan kedengaran. Suasana bertukar kecoh. Semuanya mula bertempiaran lari ke serata arah.

“Ju!” Mimi terpekik.


Julia tersentak lantas menekan pedal minyak sekuat mungkin. Dari cermin pandang belakang, dia melihat kekecohan yang berlaku di stesen minyak di belakang mereka. Kedai serbaneka itu huru-hara. Entah siapa yang menembak, entah siapa yang ditembak, dia tidak mahu ambil tahu. Yang pentingnya, mereka berdua harus pergi dari situ secepat mungkin. Dia hampir merempuh sebuah van di lorong keluar pam itu. Getaran di hujung jarinya semakin kuat.


Mimi menggeletar di tempat duduknya. Kepalanya masih ditundukkan ke bawah. Giginya berlaga. Tanpa sedar, air matanya keluar tanpa dapat ditahan-tahan. Namun, lidahnya masih kelu.


Julia tidak menoleh ke belakang lagi. Dia memecut mengekori beberapa buah kenderaan di hadapannya yang juga bergerak laju meninggalkan tempat itu. Semakin lama, semakin jauh stesen minyak itu mereka tinggalkan. Namun, getaran halus di hujung jari-jemarinya masih terasa. Masih sejuk dan kebas. Dan setelah berpusing-pusing hampir sejam, mereka mula memasuki lebuh raya melalui Rawang. Sejurus terpandangkan pintu masuk itu, dia menjadi sebak.


Semua pintu tol terbuka. Tidak ada seorang pun penjaga atau petugas lebuh raya yang kelihatan di mana-mana. Kotak-kotak tol itu kelihatan sudah lama terbiar. Duit syiling juga bertaburan di atas jalan raya. Julia tidak peduli. Sebaik-baik sahaja keretanya meluncur laju masuk ke lebuh raya bersama-sama puluhan kenderaan yang lain, dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya mereka semakin jauh dari ibu kota. Deru angin yang menyerbu masuk melalui tingkap memberikan sedikit rasa damai. Pada waktu itu, dia sangat bersyukur.


Julia menoleh sekilas ke arah Mimi. “Kau macam mana? Keadaan dah selamat, bertenanglah.” Tangan kirinya mengusap bahu Mimi. Dia masak benar dengan sikap Mimi yang mudah panik dan tertekan. Gadis itu pernah pengsan semasa ujian kebakaran di asrama setahun yang lalu. Dia tidak hairan jika Mimi boleh pengsan berkali-kali pada hari ini.


Mimi masih kelu.


“Mimi, aku nak kau sedar sesuatu. Aku rasa keadaan akan menjadi semakin sukar. Mungkin lebih sukar daripada hari-hari yang lalu. Apa pun yang akan berlaku, aku minta kau jangan jauh daripada aku sehinggalah kau bertemu semula dengan keluarga kau.” Sambil berkata, Julia merenung lebuh raya. Apa yang berlaku tadi sememangnya mengejutkan mereka, namun dia lebih bimbangkan keadaan Mimi. Mampukah Mimi mengharungi itu semua?


Mimi terkebil-kebil. Air mukanya mendung, menahan tangis. Rasa terkejutnya belum hilang.


“Keluarkan roti tu, makan sikit. Kau nampak pucat sangat,” tegur Julia sambil cuba tersenyum.


Dengan jari yang masih terketar-ketar, Mimi mengeluarkan sebuku roti manis lalu menghulurkannya kepada Julia. Dia mengunyah roti itu tanpa suara.


Julia cuba menikmati saat itu. Roti itu terasa sangat manis dan sedap di hujung lidahnya. Bahkan itulah makanan paling sedap yang pernah dimakannya dalam tempoh tiga bulan yang lalu. Betapa dia mengharapkan keadaan akan menjadi semakin baik. Jika boleh, semuanya pulih seperti sediakala. Makanan ada di mana-mana dan boleh dinikmati pada bila-bila masa. Dia rindukan saat itu.


“Jangan habiskan. Kita tak tahu entah bila lagi kita akan dapat makan. Simpan untuk esok,” katanya apabila Mimi menghulurkan sekotak air susu pula.


Dia hanya meneguk air kosong yang tersedia dalam keretanya. Baru dia tersedar, sejak bangun daripada tidur, mereka belum menjamah apa-apa selain air sejuk di bilik asrama sebelum bertolak tadi. Sedikit sebanyak perutnya terasa dialas juga walaupun dia sedar tidak sebanyak mana untuk suatu perjalanan yang jauh. Dia hanya pasrah.


Mimi menyimpan semula kotak susu itu di dalam beg tangannya, mengalahkan barang berharga. Siapa tahu mungkin esok lusa, susu itulah penyambung nyawa. “Ju, nyaris-nyaris saja tadi, kan?” katanya dengan perlahan.


Julia mengangguk. Kata-kata Mimi itu terpaksa diakui. Tembakan rambang itu nyaris-nyaris meragut nyawa mereka. Cermin sisi di sebelahnya pecah berderai akibat terkena tembakan itu. Jika tersasar sedikit, pasti nyawanya sudah melayang. Syukurlah nyawanya masih panjang. Baru kini dia terasa ingin menangis.

Sedar tidak sedar, sempadan Selangor-Perak sudah pun mereka lewati. Walaupun semakin dekat ke Ipoh, hatinya masih belum lega. Entah mengapa, jauh di sudut hatinya seolah-olah terasa hari itu bukanlah seperti yang diduga. Tetapi demi Mimi, dia akan menentang apa-apa sahaja. Itu janjinya.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.