Saturday, June 2, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 4



MAK YAH menggaru kepalanya yang sedang pening akibat berpusing di dalam rumah besar itu sejak tadi. Akhirnya dia berhenti di dalam bilik Borhan. “Mak Yah tak jumpalah, tuan. Dah serata tempat Mak Yah cari. Sampai dalam tong sampah pun Mak Yah dah jenguk.”
       Borhan yang sedang termenung di balkoni menoleh ke arah Mak Yah. Kata-kata Mak Yah itu menambah keserabutan fikirannya sejak semalam. “Ke mana pula perginya telefon bimbit saya tu? Kalau di rumah atau di pejabatlah bolehlah gunakan telefon yang ada, tapi bila saya di luar susah betul.”
    “Tuan merungut kepada siapa? Tuan yang asyik hilangkan telefon tuan,” balas Mak Yah sambil tersenyum. Geli hatinya dengan sikap Borhan yang semakin pelupa kebelakangan ini. Masuk yang ini sudah empat buah telefon bimbitnya hilang. Setiap satu bukannya murah, semuanya berharga beribu-ribu ringgit.
    “Saya pun tak tahulah, kenapa saya boleh jadi pelupa sangat. Anehnya tak ada pula orang yang mahu memulangkan telefon saya tu kalau terjumpa.”
“Benda mahal, tuan. Kalau orang jumpa macam jumpa duit besar. Jangan haraplah nak dapat balik, lebih baik tuan beli saja yang baru. Dah tentu dapat punya.”
Borhan angguk sebelum kembali merenung kawasan hutan di belakang rumahnya yang sedang diteroka dan diratakan. Sejak tadi, itulah yang menarik perhatiannya. Kenapa hutan itu perlu dimusnahkan?
“Tuan ada masalah?”
“Mak Yah nampak saya seperti orang yang ada masalah ke?”
“Tuan muda lagi. Umur belum pun cecah 30 tahun. Kalau asyik terlupa itu ini, tentu banyak fikirnya.” Dia cuba memujuk Borhan agar berterus-terang dengannya. Walaupun mungkin dia tidak dapat membantu, dapat menjadi telinga pun cukuplah. Itulah yang dipesan Tuan Amzar sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Borhan tersenyum tawar. Kata-kata Mak Yah tidak disangkal.
“Eh! Tuan nak ke mana pula tu? Kan hari ni tuan bercuti?” Mak Yah menegur apabila Borhan sudah mula mencari baju untuk ditukar.
“Beli telefon baru, beli vitamin dan jumpa seseorang,” balas Borhan dengan cepat. Bajunya sudah ditanggalkan, kini dia menyarung pula sehelai baju-T berwarna kuning muda.
Mak Yah tersenyum sahaja. Pandai betul Borhan mengelakkan diri. “Seseorang tu siapa, tuan? Yang istimewa ke?”
“Istimewa sekali,” balas Borhan.
Pintu bilik ditutup di belakangnya. Mak Yah tahu Borhan belum bersedia membuka dirinya kepada dia. Dia akan tunggu. Dia akan bersedia kerana Borhan bukanlah ada sesiapa melainkan dia dan suaminya. Cuma dia yakin, Borhan tidak tahu apa yang dia tahu. Mungkin itu lebih elok buat masa ini.
N
BORHAN memandu dengan tenang ke arah bandar. Walaupun hari itu dia bercuti namun ada beberapa perkara yang mahu diuruskan sebelum cuti raya bermula. Yang pertama, dia mahu singgah ke farmasi untuk membeli vitamin, yang kedua dia mahu singgah ke pasaraya membeli telefon baru dan yang ketiga, dia mahu berjumpa dengan lelaki yang bernama Adam Akbar seperti yang dijanjikan pagi tadi.
       “Tuan muda lagi. Umur belum pun cecah 30 tahun. Kalau asyik terlupa itu ini, tentu banyak fikirnya.”
   Kata-kata Mak Yah itu seperti melekat kuat di dalam kepalanya. Bagaimana mungkin dia menyangkal apa yang sememangnya betul tetapi dia malu untuk berkongsi semua masalahnya dengan Mak Yah. Baginya masih terlalu awal walaupun dia sudah mengenali Mak Yah hampir 10 tahun yang lalu sewaktu pulang bercuti ke rumah datuknya.
      “Anggap saja Mak Yah ini seperti ibu tuan. Pak Harun ini ayah tuan. Segala susah senang tuan kongsikan dengan kami. Tuan bukan hidup seorang diri, kami ada,” kata Mak Yah tidak lama selepas dia balik ke rumah itu dari Melbourne.
      Sayangnya, walaupun sudah tiga bulan berlalu, rasa malunya masih tebal. Semuanya gara-gara sejarah lampau yang tidak mungkin dikongsikan dengan sesiapa di situ. Biarlah sejarah itu bersemadi sahaja di bumi kanggaru, dia tidak mahu mengenangnya semula, menyebut pun jangan. Dia terlalu malu. Kesilapannya terlalu besar.
     Sebuah kereta mengundur dan meninggalkan sebuah kotak parkir, dia terus memberi isyarat untuk masuk. Setelah mematikan enjin kereta, dia keluar lalu memandang ke seberang jalan. Tempat pertama yang ingin ditujunya sudah dekat.
      Sedang dia berdiri di tepi jalan untuk melintas ke seberang, sebuah dentuman kuat kedengaran. Sedar-sedar sahaja tergeletak di tepi kakinya sekujur tubuh seorang lelaki. Dia panik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.