Saturday, June 16, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 15


SEBAIK sahaja kereta BMW miliknya diparkir di hadapan sebuah bank, Borhan melangkah keluar dengan pantas. Di tangannya tergenggam erat sejambak bunga yang pelbagai warna dan juga sebakul hamper buah-buahan berhias cantik. Setibanya di hadapan premis Farmasi Honeymon, langkah Borhan terhenti.
Pintu kedai segera ditolak dan sejurus dia melangkah masuk, dia terpandang seorang gadis berambut lurus separas bahu. Borhan tersenyum.
“Selamat pagi.” Dia menyapa dengan suara yang mesra.
“Selamat pagi,” jawab Mei Lin teragak-agak. Matanya terkebil-kebil melihat lelaki itu datang bersama bunga dan hamper. Berbanding semalam, hari ini lelaki itu tampak lebih kacak.
“Saya tahu awak terkejut tetapi ini untuk awak berdua,” katanya kepada Mei Lin dan juga Intan.
Mei Lin dan Intan serentak tersenyum lebar menyambut hamper yang cantik itu. “Terima kasih banyak. Awak macam tahu-tahu saja saya sedang tunggu hamper,” usik Mei Lin.
“Saya tak tahu mahu beri apa tapi saya harap awak suka,” balas Borhan pula. “Maaf pasal semalam. Bukan niat saya nak menyusahkan sesiapa.”
“Ish! Tak payahlah minta maaf, awak bukan sengaja mau pengsan di sini. Kalau pengsan di luar lagi susah,” balas Mei Lin senang. “Tapi dari mana awak dapat darah tu? Itu bukan darah awak.”
“Kemalangan yang berlaku semalam dekat depan tu. Awak tahu?”
“Yang dua orang mati semalam, accident motor.” Mei Lin baru tahu. “Awak ada dekat situ ke?”
“Sayalah yang tolong mangsa kemalangan tu tapi saya tak sedar darah dia sudah kena baju saya sehinggalah saya masuk ke sini,” terang Borhan lagi. Dia sendiri amat bersyukur, dia tidak pengsan semasa menyeberang jalan semalam.
“Hari ini mau beli vitamin ke? Intan kata semalam awak cari vitamin semasa datang sini.”
“Memang itu tujuan saya ke sini lagi tapi bukan tu saja.” Borhan tersenyum. Jambangan bunga di tangannya dipandang seketika. Besar hasrat hatinya jika gadis yang dipanggil Hanisa itu sudi menerimanya. “Boleh saya jumpa dia sekejap?”
Mei Lin dan Intan saling berpandangan seketika.
“Boleh, boleh. Nanti saya panggil. Tunggu sekejap.” Mei Lin menjawab sambil melangkah laju ke pejabat Hanisa.
Borhan sekadar memerhati langkah Mei Lin dengan tenang sambil cuba menyesuaikan diri dengan bau ubat-ubatan dan vitamin, di sekitarnya. Dalam hati, dia tidak sabar lagi untuk bertentang mata lagi dengan gadis bermata cantik itu. Budi baik gadis itu seolah terpahat kukuh di hatinya. Tidak mungkin dilupakan.
“Terima kasih kerana beri hamper ni,” ucap Intan pula sambil tersenyum. “Saya tak pernah dapat hamper.” Dia ketawa kecil.
“Nanti saya akan belikan hamper raya pula. Ini cuma sebagai tanda terima kasih saya sebab bantu saya semalam. Mungkin satu hari nanti saya akan belanja awak semua makan pula,” balas Borhan senang. Dia benar-benar terhutang budi dengan kebaikan semua pekerja premis itu. Kalaulah mereka tidak mempedulikan nasibnya semalam.
“Wah! Bagusnya. Kalau sepuluh orang pengsan dalam kedai ni, kayalah kami dengan hamper.” Intan ketawa.
“Ini kad nama saya. Kalau saya terlupa, ingatkan saya.” Borhan menghulurkan kad namanya kepada Intan.
Intan menerimanya dengan senyuman.
“Encik nak beli ubat apa?” Satu suara yang lantang tiba-tiba menegur Borhan yang sedang rancak berbual.
Borhan segera berpaling apabila terdengar dirinya disapa seseorang. Pandangan matanya segera tertancap kepada sepasang mata yang cantik namun bagaikan ingin menerkam. Dia tergamam.
N
“AWAK?” Hanisa kaget.
Borhan tersenyum manis. Jambangan bunga dihulurkan kepada Hanisa. “Bunga ni untuk awak. Saya minta maaf sebab terkasar dengan awak semalam. Maafkan saya dan terima kasih kerana menghantar saya balik.” 
Hanisa tidak bersuara. Dia hanya terkaku di situ memerhati wajah Borhan bagaikan tidak percaya yang mereka akan bersua lagi.
“Ambillah,” gesa Borhan lagi. Jambangan bunga itu tetap dihulurkan dengan penuh ikhlas.
 “Saya maafkan awak. Terima kasih untuk bunga itu.” Hanisa berpaling lalu melangkah semula ke pejabatnya. Di dalam kepalanya dia hanya teringat akan kata-kata Richard tadi. Adakah Richard tahu yang lelaki itu akan datang lagi ke situ? Richard!!! Hatinya menjerit marah.
Borhan tercengang. “Eh! Cik, ambillah bunga ni.” Dia mengejar Hanisa.
Hanisa terkejut lalu berpaling semula. Wajahnya bertukar merah dan tegang. Namun dia seolah tidak mampu bersuara.
“Untuk awak,” kata Borhan lagi. “Maaflah sebab saya tak tahu bunga apa yang awak suka.”
Dia cuba tersenyum seikhlasnya. Namun sebelum sempat dia menyambung kata-katanya, bunga itu telah dirampas oleh Hanisa lalu dibaling ke mukanya. Dia terkedu dan hanya mampu melihat saja kuntuman bunga ros pelbagai warna yang dibawanya tadi, kini renyuk dan jatuh di tepi kakinya.
“Awak ingat saya hairan sangat dengan bunga awak ni? Eh! Dengar sini ya… saya tak mahu lihat muka awak lagi di sini atau ganggu saya lagi. Yang semalam tu lupakan saja. Saya tak ingat apa-apa,” bentak Hanisa lagi sebelum berpaling.
“Hanisa!” bentak Richard yang baru masuk ke kedai dan tergamam dengan apa yang baru dilihatnya itu.
“Ini semua awak punya pasal,” jawab Hanisa sebelum berlari anak masuk ke ofisnya.
Suasana di dalam kedai itu bagaikan sedang berkabung. Keempat-empatnya terkaku dan kelu di tempat masing-masing.
“Sorry… please, sorry. Dia memang garang,” kata Richard sambil mengutip jambangan bunga yang tergeletak di tepi kaki Borhan. Wajahnya begitu runsing.
Borhan menggeleng. Walaupun dia terkejut dan malu dengan tindakan Hanisa, dia juga tahu orang lain di situ tidak patut disalahkan sama. “Boleh tolong buangkan?” katanya kepada Richard sebelum meninggalkan kedai itu.
Richard sekadar mengangguk lesu. Bahu Borhan ditepuk perlahan bagaikan melahirkan kekesalan.
Sebaik sahaja dia keluar daripada premis itu, Borhan berjalan menyusuri kaki lima yang entah ke mana arahnya. Dia sekadar ingin bersendiri bagi melayan rasa kecewa dan sakit hati. Dia tidak sangka niat baiknya akan mencetus persengketaan pula di antara dia dan Hanisa tetapi di sebalik semua itu gadis itu semakin menarik perhatiannya. Kenapa dia marah?

N
HANISA menghenyakkan punggungnya ke atas kerusi. Rasa marahnya masih membuak-buak. Masih terbayang di matanya wajah lelaki itu yang begitu tenang merenung wajahnya. Dia benci.
    “Hanisa! Apa awak buat ni?” Richard meluru masuk ke situ tanpa mengetuk pintu lagi. “Nasib baik tak ada pelanggan tadi tau. Tak elok buat macam ni.”
    “Awak apa tahu? Awak cuma fikirkan soal kedai, kedai, kedai!” balas Hanisa. Dia bertambah geram apabila Richard masuk campur soal itu.
    “Aiyaaa… kalau tak mahu pun tolaklah baik-baik. Buat macam tu, nanti bisnes kita boleh lingkup.”
    “Saya tak peduli. Kalau dia datang lagi, saya halau dia balik. Suruh dia pergi kedai lain.”
    Richard mengeluh berat. “Awak tak boleh buat macam tu, dia customer.”  Suaranya meninggi.
    “Customer ke, hantu ke… saya tak peduli. Saya tak nak tengok muka dia lagi di sini. Baik awak beritahu dia macam tu… kalau tak, saya amuk satu kedai awak juga yang susah.”
    “Sudah 7 tahun kita buka kedai ni, saya tak pernah tengok awak marah sampai macam ni. Tapi saya tahu kenapa awak tak mahu jumpa dia lagi, saya tahu kenapa awak marah,” balas Richard.
    Hanisa cuma menjeling. Apa yang Richard cuba cakap ni? Apa sebabnya?
    “Awak takut kalah pada dia, kan? Saya tahu awak sudah kalah pun. Hanya orang kalah saja yang takut berdepan dengan musuhnya,” sambung Richard sebelum keluar dari situ.
    Hanisa membaling pen di atas mejanya ke dinding. Dia takut kalah? Richard mabuk agaknya. Lantas dia mencapai sebatang pen yang lain lalu menulis:
    Dear Diary,
    Hari ini dia datang lagi ke kedai.  Kali ini dia datang membawa bunga untuk aku. Untuk sesaat, aku suka tetapi  aku sedar, semuanya tak mungkin. Lebih baiklah aku menjadi zalim sebelum aku terpaksa menzalimi hati aku ssendiri. Cukuplah sudah aku menderita, jangan ditambah lagi. Biarlah apa pun yang orang akan kata cuma aku kasihankan dia yang tak tahu apa-apa… semoga dia membenciku.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.