Saturday, May 12, 2018

Cerpen : Tingkat 7, Bilik 703



Cerpen : Tingkat 7, Bilik 703
Penulis: Maria Kajiwa

HUJAN lebat baru sahaja berhenti. Jalan di hadapan Hotel Tiara masih basah. Langit gelap meskipun masih belum masuk waktu senja. Hashim berdiri di tepi pintu sambil mrenung keluar. Selalunya pada waktu begitu, tetamu yang menginap di hotel itu ramai yang balik ke hotel tetapi petang itu suasana agak muram dan sunyi. Semena-mena dia terpandang seorang gadis menapak ke arah pintu hotel sambil membawa sebuah kotak yang agak berat.
Hashim segera menarik daun pintu lalu menghadiahkan senyuman. Dengan sekali pandang dia yakin gadis itu menginap di situ kerana tiada beg pakaian yang dibawa melainkan sebuah kotak.
“Biar saya angkat.” Hashim terus menyuarakan hasrat untuk membantu.
Gadis itu tersenyum menyambut pelawaan Hashim. Lalu kotak itu bertukar tangan dan gadis itu terus menuju ke pintu lif yang berada di sebelah kanan kaunter.
Hashim mengikut dari belakang. Itu bukan tugas yang asing pada dirinya. Dia selalu menghantar beg dan barangan tetamu hotel ke bilik tanpa sebarang niat.
“Tingkat berapa?” tanya Hashim setelah mereka berdua berada di dalam lif.
“Tingkat 7.”
Hashim menekan butang bernombor tujuh lalu berdiri di sebelah kiri. Sepanjang berada di dalam lif, Hashim tidak bertanya apa-apa. Namun entah kenapa gadis di sebelahnya itu dirasakan sangat berbeza. Bau minyak wangi yang dipakai sangat lembut dan mempersona.
Ting! Pintu lif terbuka lebar. Mereka sudah sampai ke tingkat 7.
Gadis itu keluar dan dengan langkah yang pantas, dia menuju ke bilik bernombor 703.
“Kunci?” Hashim meminta.
Setelah kunci bilik berada di tangan, Hashim segera membuka pintu dan memasang lampu. Dari pemerhatiannya, bilik itu masih kemas seperti belum terusik.
Dia masuk. Kotak diletakkan di atas meja solek.
“Terima kasih,” kata gadis itu. “Ini… tips.”
Hashim menolak dengan baik. Kemudian dia keluar dengan segera sebelum turun ke bawah semula. Di dalam lif, dia masih tercium bau wangian yang dipakai gadis tadi. Dia tersenyum sendiri.
******
MALAM menjelma. Hashim masih bertugas. Tidak banyak tetamu hujung minggu itu walaupun malam itu malam Ahad.
Ting! Lif terbuka.
Dengan spontan mata Hashim melirik ke arah pintu lif. Gadis yang menginap di bilik 703 itu melangkah keluar dengan berpakaian cantik. Baju labuh warna merah dengan bunga putih di bahagian kaki. Rambut disanggul rapi. Wajah dihias solekan yang lembut. Sekali pandang gadis bagaikan seorang puteri.
Hashim kelu untuk menegur.
Dia sekadar mampu melemparkan senyuman lebar lalu menarik daun pintu untuk gadis itu keluar. Namun matanya tidak lepas dari memerhati sehingga gadis itu masuk ke dalam sebuah teksi lalu beredar dari situ.
“Pandang apa?” tegur Midah yang baru habis bertugas.
“Adalah.” Hashim tersenyum simpul.
“Pandang perempuanlah tu.”
Hashim ketawa kecil.
“Esok engkau kerja tak?”
“Kerja.” Hashim angguk sebelum memandang ke luar hotel yang gelap. Dia berharap hari esok akan bertemu dengan gadis cantik itu lagi.
******
KEESOKAN harinya Hashim datang kerja dengan lebih bersemangat. Semua tetamu ditegur dengan ramah. Ringan sahaja tangannya membantu tetamu hotel mengangkat beg atau barangan. Dalam masa yang sama matanya asyik menjeling ke arah pintu lif. Malah setiap kali pintu lif terbuka, dia mengharapkan gadis itu yang muncul tetapi hampa.
“Dari tadi aku tengok engkau gelisah aje,” tegur Midah sewaktu mereka bertemu di pintu belakang hotel. Hashim termenung di situ keseorangan.
Hashim mengeluh.
“Ada masalah ke? Cakaplah.”
“Guest bilik 703 dah check out ke?” Hashim tidak mampu lagi menahan rasa.
“703?” Dahi Midah berkerut. Lama matanya melekat pada wajah Hashim yang begitu muram.
Hashim angguk.
“Engkau tolong check. Guest tu ada dalam bilik atau dah keluar?” Manalah tahu kalau gadis itu sudah keluar sewaktu dia menghantar beg tetamu.
“Hashim…” Midah menegur. “Bilik tu mana ada guest? Dah dua tahun bilik tu tak digunakan. Management tak benarkan sesiapa duduk situ.”
“Silap bilik kut?” Hashim tersenyum.
Midah menggeleng keras.
“Engkau sebut bilik 703 kan? Ya lah bilik tu.”
Hashim termangu.
“Semalam aku baru hantar sorang guest ke bilik tu. Gadis. Dia bawa kotak. Tipulah engkau….”
Midah terdiam. Matanya tak berkelip.