Thursday, May 24, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 1


BORHAN terkejut bercampur keliru. Akhirnya surat yang disuakan kepadanya itu dilihat saja tanpa ingin disentuh. “Surat apa?” tanyanya.
“Saya sekadar menunaikan amanah. Surat ini mesti diserahkan kepada tuan setelah genap tiga bulan tuan tinggal di sini,” balas Asma. Matanya bulat memandang Borhan. Riak wajahnya bagaikan sedikit takut jika Borhan tidak mahu menerima surat yang baru diserahkannya itu.
Mendengarkan jawapan Asma, Borhan berasa sedikit terpanggil untuk melihat surat itu dengan lebih dekat. Di muka hadapannya ada tertera namanya yang bertulisan tangan. Di bahagian belakangnya pula dipateri dengan cop rasmi keluarga Zachary. Satu tradisi yang telah dimulakan oleh arwah moyangnya dahulu dan cop rasmi itu kini menjadi miliknya pula sebagai pewaris sah segala harta warisan Zachary.
“Jadi selama ini awak menghitung hari untuk menyerahkan surat ini kepada saya?”
Dia sengaja mengusik Asma. Dia kerap bertemu dengan gadis itu yang merupakan seorang peguam. Asmalah yang menguruskan soal perpindahan harta dan segala wasiat datuknya. Malah selama ini firma guaman yang dimiliki oleh Asma dan ayahnya yang bertanggungjawab dalam hal-hal perundangan yang melibatkan syarikat keluarganya. Dan hari ini, hal ini pula timbul.
    Asma angguk bersama sedikit senyuman. “Itulah arahan datuk tuan. Surat ini diamanahkan kepada ayah saya setahun yang lalu, kemudian diamanahkan pula kepada saya setelah ayah saya meninggal dunia enam bulan yang lalu. Lebih kurang serentak dengan pemergian datuk tuan sendiri.”
    “Begitu? Jadi saya percaya surat ini mesti penting, kan?” Sekurang-kurangnya itulah yang dia percaya. Tak mungkin pula arwah datuknya meninggalkan sekeping surat cinta. Tetapi siapa tahu, kan? Lalu, dengan perasaan yang tidak sabar-sabar, dia membuka surat itu.
    “Saya cuma diberi amanah untuk menyimpan dan menyampaikan surat ini apabila tiba masanya. Apa yang ada di dalam surat itu, saya tak tahu,” kata Asma lagi. Kini air mukanya berubah tenang, mungkin mula berasa lega kerana tugasnya hampir selesai.
    Borhan angguk sahaja, tumpuannya kini lebih kepada isi kandungan surat yang bertulisan tangan itu. Kini dia pasti surat itu daripada arwah datuknya dan isi kandungannya hampir sahaja membuatkan jantungnya berhenti berdegup.
    “Muka tuan nampak pucat,” tegur Asma pula.
    Borhan meraup mukanya dengan tapak tangannya yang sejuk. Itu pun masih belum dapat menghilangkan rasa gugup dan terkejutnya.
    “Awak tahu apa isi kandungannya?” Borhan bertanya lagi. Jika boleh dia mahu Asma mengangguk supaya apa yang tertulis di situ tidaklah seumpama bom atom yang meletup di atas kepalanya seorang.
    Asma menggeleng lagi.
    Dia kecewa sehinggakan dia terdiam seketika. “Awak tahu yang saya ada mempunyai seorang bapa saudara?” tanya Borhan lagi sambil merenung wajah Asma betul-betul. Manalah tahu kerana setahu dia arwah datuknya berkawan rapat dengan arwah bapa Asma.
    Asma menggeleng perlahan. Nampak jelas di wajahnya, dia terkejut dan tergamam dengan pertanyaan itu.
    “Tuan Amzar tak pernah menyebutnya kepada kami sebelum ini. Setahu kami, semua rekod menunjukkan bahawa datuk tuan hanya mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Hakimi. Iaitu bapa tuan sendiri.”
    “Arwah ibu bapa saya sendiri pun tak pernah menyebut tentang hal ini kepada saya,” kata Borhan pula. Itu sememangnya benar. “Tapi mustahil pula datuk saya mengada-adakan cerita.”
    “Apa motifnya baru sekarang datuk tuan mendedahkan perkara ini? Sedangkan semasa beliau hidup, perkara ini disembunyikan.”
    “Arwah datuk suruh saya mencari dia,” katanya sambil memandang jauh ke hadapan namun pandangan matanya jadi kosong. Sekosong fikirannya juga.
    Riak wajah Asma berubah kalut. “Bagaimana tuan nak cari dia? Tuan baru saja berpindah ke sini.”
    “Awak boleh bantu saya?” tanyanya pada Asma pula.
    Asma menggeleng. “Tapi saya tahu seseorang yang boleh diharapkan.”
    Borhan angguk perlahan. Siapapun orangnya, dia amat diperlukan sekarang. Misteri di dalam surat itu perlu dirungkai secepat mungkin. Banyak persoalan yang perlu dijawab.

N
“NAMANYA Adam. Dia pernah membantu saya mencari salah seorang pelanggan saya yang menghilangkan diri selama lima tahun,” kata Asma seraya menunjukkan sebaris nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya yang diletakkan di hadapan Borhan.
“Adam?”
“Adam Akbar. Dia mempunyai syarikat penyiasatan sendiri di Jalan Teluk Sisek,” tambah Asma.
“Boleh dipercayai?”
Borhan mula berasa berbelah bahagi. Kes itu adalah kes peribadi malah akan melibatkan maruah keluarga Zachary. Dia juga tidak jelas, sama ada ayahnya dan bapa saudaranya itu satu ibu ataupun tidak. Mungkin… ia akan melibatkan masalah yang lebih besar pula nanti. Tetapi jika diharapkan dirinya sendiri, dia benar-benar berasa tidak berupaya. Dalam Bandar Kuantan pun dia masih tersesat.
“Saya cadangkan tuan berjumpa dia dulu. Kemudian tuan boleh tentukan sendiri. Tapi pada saya, dialah orang yang terbaik untuk kes seperti ini. Otaknya bergeliga, orang kata hidungnya macam hidung anjing.”
“Menarik.” Borhan mula yakin dan kagum tetapi cadangan Asma tadi juga perlu diambil kira. Manalah tahu cerita tidak seindah rupa. “Saya akan jumpa dia secepat mungkin,” katanya sambil menyalin nombor telefon Adam di atas sekeping nota.
“Tuan Borhan,” Asma memanggil. “Tuan tidak bergurau, kan?”
“Jika awak tak percaya, saya sepuluh ganda susah nak percaya. Selama ini, mati-mati saya ingat arwah ayah saya anak tunggal dalam keluarga Amzar seperti saya juga.”
“Kenapa boleh sampai begitu sekali datuk tuan membuang anaknya?”
Borhan mengangkat muka. Sejujurnya dia rasa terkejut dengan pertanyaan itu. “Awak tentu pernah berjumpa dengan arwah datuk saya, kan? Awak percaya orang seperti dia sanggup membuang anaknya sendiri?”
“Maafkan saya,” kata Asma pula. Ada riak kesal di wajahnya.
“Mengikut apa yang ditulis di dalam surat ini… bapa saudara saya telah meninggalkan rumah selepas berlaku perselisihan faham. Senang kata, dalam bahasa kasarnya, bapa saudara saya tu lari daripada rumah. Sama seperti remaja sekarang suka buat.”
Asma angguk perlahan, dia tidak bertanya lagi. Mungkin takut menyinggung perasaan Borhan. “Kalau tugas saya di sini sudah selesai, saya minta diri dulu, tuan. Tapi kalau tuan perlu apa-apa bantuan lagi, jangan segan hubungi saya. Saya sedia berkhidmat untuk tuan sebagaimana ayah saya berkhidmat untuk arwah datuk tuan dulu.”
“Saya tahu,” balas Borhan. “Tapi Asma… buat masa ini biarlah kita berdua saja yang tahu perkara ini. Sementara tu saya mahu awak lihat semula harta datuk saya. Awak pun tahu, pembahagian harta mengikut Faraid itu sudah berubah. Saya mahu pulangkan apa yang hak kepada bapa saudara saya nanti.”
“Tuan boleh percayakan saya. Rahsia tuan rahsia saya. Hal itu serahkan saja pada saya,” balas Asma sebelum bangkit meminta diri sekali lagi.
Borhan hanya melihat Asma meninggalkan rumah itu dengan seribu satu perasaan yang berbaur. Dia sedar perjalanan hidupnya telah berubah. Hanya kerana sepucuk surat, di bahunya sudah terbeban amanah yang berat. Namun kerana kasih sayang kepada datuknya permintaan itu akan ditunaikan.
Setelah Asma menghilang, dia mengambil kertas kecil yang mengandungi nombor telefon Adam. Nombor itu segera didail.
N
“ASSALAMUALAIKUM, boleh saya bercakap dengan Encik Adam Akbar?” Dia memulakan bicara sebaik sahaja panggilannya dijawab seseorang. Dia berharap benar agar lelaki yang bernama Adam Akbar itu sedia membantunya.
“Waalaikumussalam. Saya Adam KLU PI. Boleh saya bantu?”
“Saya ada tugas untuk encik, boleh kita berbincang?” balas Borhan terus-terang.
“Saya bersedia pada bila-bila masa.”
Borhan menarik nafas lega. “Pukul 4.30 petang nanti datang ke Wisma Gempita. Nama saya Borhan. Beritahu sahaja kepada penyambut tetamu di situ.”
“Saya akan ke sana, encik tunggu saja,” jawab Adam sebelum perbualan itu ditamatkan.
Untuk beberapa saat, Borhan masih termangu di ruang tamu itu. Terasa masih sukar untuk dia mempercayai apa yang baru berlaku sebentar tadi, namun surat di atas meja itu bukanlah suatu mimpi. Buruk atau baik tindakannya itu dia sendiri tidak pasti tetapi dia yakin itulah amanah datuknya yang mesti ditunaikan lambat atau cepat. Dia pasrah sahaja apa yang akan terjadi cuma dia tetap tertanya-tanya apa yang telah berlaku 31 tahun yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.