Sunday, June 24, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 16 dan 17



"BANYAKNYA abang beli juadah berbuka puasa petang ini,” kata Liana sebaik sahaja menyambut bungkusan makanan yang dibawa pulang oleh suaminya. Aroma nasi beriani pun mula menguasai ruang kecil itu sehingga kembang kempis hidungnya.
Adam tidak terus menjawab. Dia menarik kerusi lalu duduk melepaskan lelah. Tudung saji dibuka dan diletakkan di atas lantai. Matanya tertumpu kepada hidangan ala kadar yang disediakan isterinya untuk berbuka. Sup sayur dan beberapa ekor ikan goreng. Itulah makanan sehari-hari mereka. Cukup sederhana, asalkan ada juadah untuk berbuka, namun hatinya tersentuh. Isterinya tidak pernah merengek meminta makanan yang enak-enak. Itulah Liana.
“Abang dah dapat kerja. Duit pendahuluan pun abang dah dapat,” kata Adam sebaik sahaja perasaan sebaknya pulih. Cek yang diberikan oleh Borhan tadi sudah ditunaikan di bank dan semua yang perlu dibayar sudah dilunaskan.
Liana yang sedang mencedukkan nasi beriyani ke pinggannya  terkejut. “Ya ke, bang? Alhamdulillah. Kerja apa tu?”
Matanya tepat memandang ke wajah suaminya yang kelihatan serba-salah. “Abang jangan buat kerja tak baik pula. Jangan bawa rezeki haram balik ke rumah kita, bang.” Tangannya sudah berhenti dari menceduk.
Adam mencerlung ke wajah isterinya. “Takkanlah abang nak buat kerja haram untuk menyara awak dan anak kita. Abang masih waras berfikir,” bantahnya dengan jelas.
“Kerja apa?” Liana sudah duduk menunggu. Azan Maghrib berkumandang di corong radio.
Adam mengangkat tangan membaca doa sebelum berbuka puasa, diikuti isterinya dengan sabar. Soalan itu masih tinggal tidak berjawab.
“Kita berbuka dulu, tak baik lewat-lewatkan berbuka,” jawab Adam perlahan.
“Cakaplah, bang. Kerja apa?”
Adam menjeling sambil mengunyah kuih tepung bungkus yang dibelinya tadi. Riak kerisauan jelas terbayang di wajah isterinya. Kuih yang manis itu terasa tawar tiba-tiba. “Ada orang upah abang mencari ahli keluarganya,” jawabnya dengan tenang.
Suapan Liana terhenti. Mata isterinya terkelip-kelip penuh kehairanan. “Bukan kerja tetap?”
Adam menggeleng. Dia tahu isterinya akan tetap risau tentang segala hal namun entah mengapa, hatinya bagaikan ditarik-tarik untuk menerima kes itu. “Kes ini penting. Abang tak berdaya menolaknya.” Dia cuba membuat isterinya faham.
Liana tunduk semula menikmati nasi. “Kalau abang rasa tindakan abang ini betul, lakukanlah.” Akhirnya dia meluahkan pendapatnya .
Adam angguk. Dia faham perasaan isterinya itu. “Duit sewa rumah, bil api dan air sudah abang langsaikan kesemuanya. Duit yang lebih ini simpan untuk perbelanjaan rumah dan hari raya nanti.” Adam mele-takkan sejumlah wang ke atas meja.
Liana hanya memerhati dengan tenang bagaikan sedang mencongak apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu. “Siapa yang upah abang? Siapa yang hilang? Kenapa tak laporkan pada polis saja? Ataupun siar dalam surat khabar.”
“Namanya Borhan Aidil. Dia baru balik dari Australia. Bapa saudaranya dah hilang 31 tahun yang lalu. Macam mana nak dilaporkan pada polis?” Adam bangkit membasuh tangannya di sinki dapur.
“31 tahun? Bolehkah dicari lagi orang yang hilang sebegitu lama?” Liana turut bangkit mengekori Adam ke dapur.
“Memang satu kerja yang sukar, tapi kalau dipermudahkan Tuhan, mudahlah jadinya,” jawab Adam tenang.
“Abang yakin boleh menyelesaikannya?” Dahi Liana mula berkerut. Anak matanya merenung sekujur wajah yang kelihatan begitu sarat dengan persoalan.
“Sesulit mana pun soalan matematik, pasti ada jalan penyelesaiannya,” jawab Adam.
Dia kini melangkah ke ruang tamu semula lalu duduk berlunjur di atas lantai berdekatan anaknya yang sudah melelapkan mata. Lagu nasyid yang bersiaran di kaca televisyen menarik perhatiannya seketika. Lagu nasyid yang memuji kebesaran Tuhan membuat jiwanya insaf. Betapa hidupnya berubah sekelip mata. Petang ini, rezeki mereka sekeluarga melimpah ruah.
“Yalah, tapi ini bukannya soalan matematik,” bantah Liana yang datang duduk di sebelahnya. Punggung anaknya ditepuk-tepuk perlahan. Wajah Aiman saling tak tumpah dengan wajah Adam. Mukanya bulat dan keningnya lebat.
“Sebab itu kes ini perlukan Adam Akbar,” jawab Adam sambil tersenyum lebar. “Abang tahu, awak runsingkan kerja abang tapi tak usahlah bimbang. Doakan abang berjaya menyelesaikannya. Bukan saja untuk Borhan, tapi untuk kita dan anak kita juga. Biar rezeki ini berkat dan halal.”
Liana mengangguk faham. Dia tidak bertanya lagi.
Adam berasa lega. Di sebalik kejayaan seorang suami adalah sokongan dan pemahaman seorang isteri. Tanpa keduanya usahanya akan menjadi sukar. Dia bersyukur, kerana isterinya juga rezeki yang tidak ternilai untuknya.
“Mari kita solat,” katanya seraya bangkit menarik tangan isterinya. Keduanya menghilang ke dalam kamar.






 Bab 17
B
UNYI dentuman meriam buluh sayup-sayup kedengaran dari situ, tembakan berdas-das mercun kelihatan di kiri kanan koridor pangsapuri Hanisa. Dia berdiri sambil memerhati suasana malam itu dengan perasaan yang jengkel.
Bilalah nak habis semua ini? Memekak saja siang dan malam. Orang nak tidur pun susah. Kata mercun diharamkan tapi makin banyak pula tahun ni, hatinya merungut-rungut. Berkecamuk sekali rasa marahnya malam itu. Setelah jemu menyaksikan semua itu, dia berpaling masuk ke dalam semula. Pintu gelongsor ditutup rapat-rapat.
Dia duduk di atas sofa sambil memandang televisyen. Dari satu saluran ke satu saluran ditukar. Semua menyakitkan hatinya. Lagu raya, iklan raya, drama raya! Akhirnya Hanisa menekan nombor 701, saluran AXN. Ah! Siaran ulangan pula. Hanisa memicit-micit kepalanya. Walau tidak sakit, masih terasa sebu. Waktu-waktu sebegini, semua siaran sungguh membosankan. Dia berbaring memandang siling putih di atas kepala.
Segala isi kandungan mesej yang diterima pagi tadi mula berputaran di ingatannya. Mengapa mereka masih menghubungi dia? Apa lagi yang belum selesai?’ Hanisa bersoal jawab sendiri. Siling di atas kepalanya seolah tembus direnung dengan tajam. Ingatannya terimbau jauh ke belakang.
“Hani, mengikut persetujuan yang sudah dibuat secara Hibah dahulu, ayah tinggalkan Hani sebuah rumah di Pulau Pinang dan duit sebanyak RM 500 ribu.” Ikram menyerahkan kepada Hanisa sehelai salinan surat peguam.
Hanisa tidak bergerak. Salinan surat itu dibiarkan sahaja di atas meja di hadapannya. Suasana di bilik peguam itu terus-terusan menjadi bungkam.
“Dah habis? Hani nak balik kampus.” Hanisa melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Bangunan KLCC sayup-sayup kelihatan dari situ namun hatinya benar-benar rasa terpaksa untuk berada di situ pada waktu itu.
“Cik, tolong tanda tangan di sini sebagai pengesahan semua urusan permindahan harta ini telah dipersetujui.” Salinan itu dihulurkan lebih dekat oleh peguam lelaki yang berkot kemas.
Hanisa masih diam membisu.
Melihatkan Hanisa begitu, Ikram merapati Hani.
“Terimalah, Hani. Itu permintaan ayah. Hani tetap keluarga kami sebab itu ayah siapkan harta hibah ini semasa dia masih hidup.” Ikram memujuk selembut-lembutnya. “Hani kan suka rumah di Pulau Pinang tu? Duit tu Hani boleh gunakan untuk masa depan Hani.”
Hani menoleh ke arah Ikram. Renungan mata Ikram yang tajam, membuatkan dia serba salah. Lalu, kertas itu diambil perlahan dan ditanda tangan. Siap! “Hantar Hani balik sekarang.”
Ikram menurunkan tanda tangan sebagai saksi penerimaan. Dia turut berdiri apabila Hanisa bangkit dengan segera. “Hani, tunggu!”
“Surat hak milik rumah dan bukti pemindahan wang akan saya hantar ke rumah. Nombor akaun bank yang digunakan mengikut nombor akaun yang telah diberikan oleh si mati.” Peguam itu kelam-kabut membacakan semua perkara-perkara penting yang perlu disampaikan kepada mereka berdua.
Ikram mengangguk lalu segera berjabat tangan. Hanisa sudah hilang di balik pintu. Tergesa-gesa dia mengejar. “Kenapa ni?” Ikram menarik tangan Hanisa.
Hanisa tersentak. Tangannya direntap semula. “Apa?” Matanya terjengil.
“Kenapa Hani bersikap macam ni? Sejak ayah meninggal, sikap Hani berubah sangat.” Ikram merenung tajam wajah Hanisa.
“Sudahlah. Jangan tanya lagi. Lepas ni jangan ganggu Hani lagi di kampus.” Hanisa meluru keluar dari lif.
“Hani, jangan macam ni. Kita tetap adik-beradik.” Ikram membuka pintu kereta. Enjin kereta segera dihidupkan.
Hanisa hampir menangis. Mukanya merah menahan perasaan. Namun akhirnya semua perasaannya tidak dapat dibendung lagi. Dia teresak-esak di tempat duduk hadapan.
Ikram mengerling jam di tangan. Sudah hampir pukul dua petang. “Mari kita makan tengah hari dulu di rumah. Mak Som sudah lama rindukan Hani.”
Hani menggeleng. “Hani tak mahu balik lagi ke rumah itu. Itu bukan rumah Hani.” Tangisannya terus berpanjangan.
“Siapa kata? Rumah itu tetap rumah kita bersama. Tempat kita membesar dan hidup bersama. Takkan Hani nak lupakan macam tu saja?”
Hani tetap menggeleng. “Hani tak ada siapa-siapa lagi dalam hidup Hani. Tak ada siapa yang mahukan Hani. Semuanya buang Hani macam buang sampah.”
“Hey! Jangan cakap macam tu. Kita tak tahu apa hal yang sebenarnya. Mungkin mereka ada sebab menyerahkan Hani kepada ayah dan ibu.” Suara Ikram mula meninggi.
Hani mengangkat mukanya. Air matanya cuba dikeringkan. Dia menghela nafas panjang lalu menoleh ke arah Ikram. “Selepas ini, tolonglah jangan ganggu Hani. Tolonglah beri Hani ruang untuk membina hidup Hani sendiri.”
Dahi Ikram berkerut. “Baiklah, abang beri ruang untuk Hani bertenang, berfikir dan membina hidup sendiri. Tapi abang, Kak Farah dan Mak Som tetap ada di sini. Jika perlukan kami, Hani tahu mana nak cari, kan?”
Hanisa mengangguk.
“Tapi abang nak Hani ingat satu perkara iaitu apa pun yang terjadi, bagi abang, Hani tetap adik abang.”
Hanisa hanya membisu sambil matanya merenung kosong. Dia telah membuat satu keputusan. Hatinya telah tekad untuk melupakan masa lalu dan membina perjalanan hidup yang baru. Biarlah dia pergi dari situ dan dari hidup semua orang yang mengenalinya. Baginya itulah yang terbaik untuk semua pihak.
Dan keputusan itulah yang telah melontarnya ke situ. Selepas habis pengajian dan menjalani latihan wajib di hospital kerajaan, dia membuka Farmasi Honeymon bersama Richard yang kebetulan sedang mencari rakan kongsi dan Pegawai Farmasi berdaftar.
Bagi dia, keputusan itu adalah tepat pada masanya. Kuantan adalah tempat yang sungguh ideal dan sesuai dengan jiwanya. Kawasannya yang tidak jauh dari laut dan terdapat banyak tempat-tempat yang sesuai untuk dia menenangkan diri apabila perlu. Dia cukup berpuas hati di situ.
Dan apa yang paling penting, tidak ada sesiapa yang mengenali dirinya dan tidak ada sesiapa yang tahu sejarah silamnya. Dia anak terbuang, anak yang tidak dikehendaki sesiapa.
Telefon bimbit Hanisa dengan tiba-tiba berbunyi. Hanisa menjenguk skrin telefon bimbitnya di atas meja di hadapannya.
“Erm?” Telefon itu diangkat. Tertera nombor yang tidak dikenalinya. “Ya, helo.”
“Hanisa ke?”
Jantung Hanisa berdegup kencang. Hampir tercampak telefon dari genggamannya. ‘Abang Ikram!’ Bibir Hanisa bergetaran.

N
BULAN Ramadhan yang kian mengecil menjadikan malam itu agak gelap. Namun itu tidak menghalang Borhan dan Richard berjalan menyusuri Kuantan Water Front setelah singgah makan-makan di gerai di tepi sungai itu.
    Borhan menarik nafas panjang. Air Sungai Kuantan yang kelam itu direnung bak merenung nasibnya yang juga samar-samar.
    “Dapat ikan?” Richard bertanya kepada seorang lelaki yang sedang leka memancing di situ.
    “Baru dapat seekor. Ikan senangin.” Dengan wajah bangga, lelaki itu menunjukkan seekor ikan senangin yang berkilat sisiknya kepada Richard dan Borhan.
    Mereka berdua angguk sahaja sambil menghadiahkan senyuman sebelum meneruskan langkah perlahan-lahan.
    “Saya… nak minta maaf pada awak pasal siang tadi. Hanisa kadang-kadang memang unpredictable sikit.” Richard tepuk bahu Borhan.
    Borhan geleng sekali. “Awak dah kahwin?” tanyanya pula. Entah kenapa berat benar untuk dia membuka mulut mengenai topik itu walaupun sejak kejadian itu fikirannya semakin kuat mengingati Hanisa.
    “Tak sanggup kahwin. Kalau saya kahwin, ada empat orang perempuan kena jaga. Tiga sudah pening,” balas Richard.
    “Awak sudah ada tiga isteri?”
    Richard ketawa. “Satu pun belum. Tapi tiga orang itu, saya kena jaga juga.”
    “Ramainya mistress awak…,” balas Borhan. Dia sungguh tidak menyangka kerana Richard yang bertubuh kurus serta bercermin mata itu mampu menyimpan tiga orang perempuan simpanan sekaligus. Mungkin inilah yang dikatakan kecil-kecil cili padi.
“Aiyaa…bukan mistress lah.” Richard menggaru kepala. “Itu tiga orang dekat kedai tu… Mei Lin, Intan dan Hanisa.”
“Sorry,”  balas Borhan. Dia ketawa sendiri. “Mei Lin tu adik awak, kan? Tapi dua orang lagi tu, staf awak saja. Buat apa awak pula jaga?”
“Entahlah… kami semua walau lain bangsa dan agama tapi sudah macam satu keluarga. Gaduh, ketawa, itu perkara biasa. Tapi dalam tiga orang itu yang paling susah mahu jaga ialah Hanisa. Sebab dia macam harimau betina. Banyak garang.” Richard bercerita sambil melangkah perlahan. Mereka berdua sudah sampai ke penghujung waterfront itu.
Kata-kata Richard sungguh melucukan hati Borhan. Harimau betina? Tapi mungkin betul juga perumpamaan itu kerana Richard lebih lama mengenali gadis bermata galak itu. “Kenapa dia macam tu? Kenapa dia marah sangat? Saya cuma beri dia bunga bukan beri dia bom.”
Pertanyaan Borhan hanya disambut dengan ketawa oleh Richard. “Dia macam harimaulah. Kalau terancam dia mengaum dan menerkam. Kalau dia rasa selamat… dia duduk diam-diam.”
Borhan menoleh ke arah Richard sekilas. “Siapa yang buat dia terancam? Apa yang dia takutkan?”
“Awak nak tahu? Dia sangat bencikan lelaki. Kata Mei Lin dia anti-lelaki. Jangan ada lelaki yang cuba dekat dengan dia, semua dia marah.”
“Dia pernah berkahwin?”
Richard menggeleng. “Dia tak pernah kahwin, boyfriend pun tak pernah ada tapi tak hairanlah dengan perangai dia yang macam tu.”
“Mesti ada sebab,” kata Borhan pula.
“Mesti ada sebab tapi tak siapa pun tahu kenapa gadis yang cantik macam dia, garangnya macam harimau. Dan satu lagi… dia hidup seorang diri di sini.”
“Really?”
Richard angguk. “Saya sudah kenal dia tujuh tahun sejak buka kedai tapi satu kali pun dia tak pernah balik raya ke mana-mana. Pernah kami telefon dia kata mahu datang rumah dia, dia tak kasi. Dia kata dia mahu tidur. Habis cuti raya tiga hari, dia balik kerja macam tak ada apa-apa. She’s tough.”
“Interesting,” komen Borhan pula. Dia sendiri tidak faham kenapa Richard banyak bercerita pasal Hanisa kepadanya pada malam itu padahal tadi Richard mengajaknya keluar makan-makan sahaja.
“So? Ada berani?” Richard pandang muka Borhan.
Borhan tergamam.
Richard ketawa kecil. Sambil menguis tanah di hujung kakinya, dia berkata. “Ada sesuatu pada awak yang dia takut. Dia akan kalah kalau awak tak mengalah.”
“Why me?”
Lagi sekali Richard ketawa meleret. “Awak pun suka dia, kan? Saya lagi suka kalau ada lelaki yang boleh kontrol dia. Aman sikit kedai saya tu. Lagipun sampai bila dia mahu hidup macam tu?”
Borhan diam sahaja. Susah hendak diungkapkan apa perasaannya kini.
“Saya harap awak tak ambil hati pasal dia lagi. Dia cuma mahu tunjuk kuat saja. Kalau awak lebih kuat, dia tentu nangis.”
Dengan spontan Borhan tersenyum.

N
SEDANG Borhan memandu kereta dalam perjalanan balik ke rumah, telefon bimbitnya dengan tiba-tiba berbunyi, sekaligus memecahkan suasana yang sunyi di dalam keretanya itu. “Ya, Adam. Ada apa?”
“Maaf jika saya menganggu, Encik Borhan. Saya cuma ingin mengingatkan tentang buku itu. Boleh encik serahkan sebelum hari raya kepada saya?”
“Nasib baik awak ingatkan. Saya akan cari secepat mungkin,” balas Borhan sambil memicit-micit kepalanya. Perkara itu benar-benar sudah terlucut dari ingatannya. “Bila awak nak balik kampung?”
“Mungkin pada petang hari terakhir puasa, saya baliklah,” jawab Adam pula.
“Kalau macam tu saya akan cari malam ni. Kalau jumpa, esok juga saya serahkan pada awak.” Perbualan itu ditamatkan.
Suasana hari raya semakin terasa. Di kiri kanan jalan, banyak rumah-rumah yang sudah diterangi pelita dan lampu berwarna-warni. Percikan bunga api dan dentuman meriam buluh juga sesekali menyerikan langit. Namun di sebalik semua itu, hati Borhan kian sebak. Kesunyian semakin menghimpit dada.
Tak apalah… hatinya memujuk. Mungkin tahun hadapan, suasananya akan berubah. Dia akan beraya bersama bapa saudaranya dan kaum keluarga yang ada. Lalu perasaan sedih itu diusir jauh-jauh. Tidak sedar sepucuk pistol disasarkan kepadanya semasa dia sedang berhenti di lampu isyarat.
Sedang dia menekan minyak sewaktu lampu isyarat bertukar hijau, dia tersedar satu kekecohan telah berlaku. Seorang penunggang motorsikal yang tadi berada di sebelah keretanya tiba-tiba jatuh ke jalan raya dan menggelupur. Beberapa buah kereta di belakang pula menghentam sesama sendiri apabila cuba mengelakkan penunggang motorsikal tersebut, lalu terjadilah sebuah kemalangan yang besar.
Dia sekadar menarik nafas lega kerana berada di posisi hadapan dan tidak terbabit dengan situasi itu. Dengan debaran  yang masih bersisa, dia memandu pulang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.