Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~
*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery
Hotel Antigallican
Woolrich Road,
London.
HOTEL itu hanya hotel
bajet bertaraf dua bintang yang dibina di sebuah bangunan dua tingkat. Namun,
kerana kedudukannya yang dekat dengan pelbagai tempat tarikan seperti Millenium
Dome dan lain-lain membuatkan Remy tertarik untuk memilih hotel itu sebagai tempat
persembunyiannya untuk beberapa hari.
Jazzilicious: Jangan lupa beli CD saya yang baru tu tau..
Star1: Dah belilah, Jazz. Jumpa Jazz aje yang belum.
Bila nak balik?
Jazzilicious: Minggu depan. Jumpa saya di Genting, pada 10
haribulan. Saya ada show kat sana.
Star1 : Jauhnya… kalau dekat
bolehlah datang.
Jazzilicious : Datang ajelah. Tiket bukan mahal sangat pun.
RM 450 aje sorang. Ajak kawan-kawan
yang lain tau.
Star1: Mahal sangatlah, Jazz. Tak ada diskaun untuk
fans ke? Half price..
Jazzilicious: Half
price tak ada tapi kalau beli tiket ikut fans group dapat pas jumpa
saya lepas habis konsert.
Remy pejam celik
matanya beberapa kali. Rasa pedih pada matanya makin teruk setelah hampir sejam
melayan peminat-peminat Jazz di kotak chat. Sepatutnya itu kerja Jazz.
Tetapi kalau Jazz
tidak ada, dialah yang terpaksa menyamar menjadi Jazz melayani peminat-peminat
Jazz yang ada sesetengahnya terlalu fanatik dan sanggup buat apa sahaja. Oleh
itu, tidak ada bezanya hari itu apabila dia sekali lagi menggantikan tempat
Jazz.
Sambil-sambil itu dia
membelek telefon bimbitnya kalau ada mesej daripada Jazz ataupun panggilan
terus. Sayangnya, sudah hampir separuh hari, Jazz meng-hilangkan diri.
Dia mula rasa
menyesal kerana melepaskan Jazz balik ke Malaysia bersendirian beberapa hari
yang lalu. Setelah semua mesej yang dihantar tidak berbalas, panggilannya juga
tidak berjawab, dia campakkan sahaja telefon pintarnya ke atas katil. Komputer
ribanya juga dimatikan sahaja tanpa sebarang ucapan selamat tinggal.
Dia turunkan kaki ke
lantai bilik yang dilapisi permaidani biru tua. Kemudian menapak beberapa
langkah ke hadapan dan lantas membuka sedikit langsir siang berwarna putih.
Diintai sedikit permandangan di luar hotel yang dibatasi rintik hujan yang
menujah kasar ke bumi.
Namun, apa yang hadir
adalah rasa bosan yang makin mencengkam. Kalau bukan kerana ditegah oleh Jazz,
mahu sahaja dia balik serentak ke tanah air.
“Takut ada yang
perasan,” kata Jazz beberapa hari yang lepas.
Dengan berat hati dia
terpaksa menerima alasan Jazz itu kerana dia sedia maklum wartawan di Malaysia
sudah setaraf papparazzi. Adakala dia pernah terfikir kalau ada mana-mana staf
yang bertugas di lapangan kapal terbang itu adalah juga mata-mata wartawan
hiburan.
Pantang dia
mencecahkan kaki di situ, ada sahaja wartawan hiburan yang menyambutnya dengan
kamera dan pita rakaman. Apatah lagi, dia yakin kepulangan Jazz setelah
memenangi pertandingan lagu di Amsterdam minggu lalu sangat ditunggu-tunggu.
Deringan telefon
bimbitnya membuatkan dia berpaling. Dengan langkah yang pantas dia merebahkan
semula punggungnya di atas katil beralas cadar berbelang biru putih itu. Namun,
apabila diangkat telefon bimbitnya, perasaannya yang tadi begitu teruja untuk
mendengar suara Jazz terus pudar.
Salam dijawab dengan
nada yang bersemangat. Di hadapan wartawan dia harus menjaga reputasi Jazz
sebaik mungkin.
“Saya masih di
London,” jawabnya kepada pertanyaan yang sudah dijangkakan itu.
Lebih-lebih lagi
kepada Abang Tom yang terkenal sebagai wartawan hiburan yang berbisa. Komentar
dan gossipnya seringkali menggegarkan dunia hiburan tanah air.
“Eh! Ya ke? Ada orang
bagitahu abang, dia nampak Jazz di KL.”
Spontan, dada Remy
berdebar.
“Mana ada, bang?
Salah orang tu. Kami berdua masih ada kat sini. Minggu depan baru balik,”
balasnya.
“Jazz mana? Boleh
abang cakap dengan dia sekejap?”
“Sekarang tak boleh,
bang. Dia sedang buat sound check
untuk show malam ni.”
“Alah, panggillah dia
sekejap. Sekejap aje.”
“Tak boleh, bang.
Kerja dengan Mat Saleh ni tahu-tahu ajelah. Lambat seminit pun dah tarik muka.”
“Okey.” Abang Tom
mengalah. “Tapi kalau Remy balik nanti, cepat call abang. Berilah abang berita scoop dulu. Dah banyak kali abang cover Jazz dekat paper
abang.”
“Boleh. Tak ada
masalah tu.” Remy layankan sahaja. Lagipun itu perkara yang cukup baik bagi
perkembangan karier Jazz sendiri.
“Ingat tau. Abang nak
cover tiga page tentang kemenangan dia di Amsterdam tu. Nak ambil gambar
dengan trofi besar dia sekali.”
“Cecah aje kaki di
Malaysia, saya call abang,” jawab
Remy bersungguh-sungguh. Dia buat atau tidak apa yang dikatakan itu, lain kira.
Berlakon mesti handal.
Mujurlah, Abang Tom
tamatkan panggilan setakat itu sahaja. Kalau tidak, jenuh juga dia mahu
menjawab kerana dia tahu Abang Tom bukannya percaya satu apa pun yang dia cakap
pasal Jazz. Lebih-lebih lagi kalau sudah ada yang mengkhabarkan tentang
kepulangan Jazz secara rahsia ke tanah air. Tentu Abang Tom akan siasat hingga
ke akar umbi.
Hatinya mula rasa
bengang. Jazz sepatutnya lebih berhati-hati. Tersilap langkah, reputasi Jazz
akan tercalar dan penat lelahnya menaikkan nama Jazz akan hancur begitu sahaja.
Ah! Dia rasa mahu memecahkan tingkap.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.