Wednesday, April 18, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 7 dan 8


7
“CERAH sungguh hari ni,” komen Adam sambil mendongak ke langit. Dari pagi lagi, langit membiru. Awan putih hanya berarak perlahan, bahkan sesekali seumpama tidak bergerak.
“Eloklah tu. Aku kurang gemar memandu dalam hujan,” balas Edri sebaik sahaja menghidupkan kereta Kia Forte miliknya. Menderum-deram bunyi enjin apabila minyak ditekan beberapa kali. Dia puas hati.
“Semua dah dimasukkan?” Dia bertanya pula sambil menoleh ke arah Adam semula.
“Beres.”
Kereta dipandu meninggalkan kawasan Damansara. Menuju ke Gombak untuk masuk ke Lebuhraya Karak pula. “Kenapa kita tak ikut Serting-Triang saja? Ikut situ pun boleh, kan?”
 “Apa salahnya? Kalau kau tahan duduk berjam-jam dalam kereta, kau nak turun ke Johor dan patah balik ikut Endau-Rompin, pun boleh,” balas Adam sambil ketawa kecil.
Edri tersenyum. Dia faham Adam sedang memerlinya. Dia memang tidak boleh memandu lama-lama. Matanya mudah pedih. “Kita tak perlu naik Jambatan Temerloh, kan?”
Dia cuba mengingat semula peta yang dilihatnya malam tadi. Dia amat jarang ke Pantai Timur. Namun dia tahu, sekarang untuk ke Temerloh hanya perlu ikut lebuh raya yang baru. Tidak perlu lagi menempuh kesesakan di bandar Karak seperti dulu.
“Tak payah. Kita bukan nak ke Kuantan. Itu pun sekarang, kalau ke Kuantan pun orang guna lebuh raya sahaja. Cepat sikit.”
“Melepaslah nak naik jambatan tinggi tu,” balas Edri sambil menggigit jari.
Adam tersenyum. “Ada juga orang yang minat jambatan tinggi tu ya? Dulu jambatan lamanya memang rendah, tapi selepas banjir besar tahun 1971, kerajaan negeri terpaksalah bina yang tinggi ni. Tahun 1975 baru boleh digunakan sampai sekarang. Kalau Temerloh banjir pun, dah tak jadi hal. Kalau kau nak tengok, boleh aku tunjukkan sisa jambatan lama.”
“Itulah yang aku hairan tu. Setiap kali sesebuah jambatan itu dibina mesti ada kepentingannya, bukan saja-saja. Tapi kenapa mesti ada orang yang membantah pembinaannya?”
“Bantah? Siapa yang bantah?” Adam kehairanan.
“Aku tak kata siapa-siapa, setakat ini aku syak saja. Sebab sepanjang pengalaman akulah dalam mengendalikan banyak projek, bantahan penduduk yang akan mengambil masa yang paling lama untuk diselesaikan. Kadang-kadang soal mencari waris pun akan mengambil masa bertahun-tahun.”
“Maksud kau, mungkin ada penduduk Durian Lima yang tidak bersetuju dengan pembinaan jambatan itu?”
Edri mengangguk.
“Kalau macam tu…baik kita jangan beritahu dulu kepada mereka siapa kita dan kenapa kita datang,” kata Adam.
“Kenapa? Takkan mereka nak kejar kita dengan parang pula? Ini bukan zaman 60-an lagilah.”
“Orang kampung ni sensitif. Pada aku mereka ni sentimental. Soal tanah, harta, sawah dan getah masih sangat rapat di hati mereka. Begitu juga soal kekeluargaan dan saudara-mara. Masih sangat dipentingkan.”
“Ikut kaulah, Adam. Janji kerja aku beres. Kalau mereka rasa projek ini tidak patut dibuat, mereka boleh hantar rayuan pada tribunal. Kalau bantahan mereka berasas, projek ini boleh dibatalkan. Sekarang semua perkara ada salurannya.”
“Aku cubalah tengok-tengokkan. Kita buat relaks saja dulu. Biar mereka selesa dengan kita dulu.”
Edri tidak membantah. Mungkin dalam soal itu, dia perlu mendengar cadangan Adam kerana Adam yang lebih biasa dengan sikap penduduk di situ berbanding dirinya. Tiba-tiba telefon Adam berbunyi.
Edri menjeling. “Hai, baru beberapa minit tinggalkan Kuala Lumpur, dah tak senang duduk?”
Adam ketawa kecil. Panggilan daripada Lynn segera disambut. Setelah berbual seminit dua, panggilan diputuskan. Dia menggeleng perlahan.
“Kenapa? Lynn kata apa?” Edri menjadi risau.
“Biasalah. Berbakul-bakul pesannya mengalahkan aku budak kecil.”
Edri ketawa. “Mengalahkan bini muda.”
Gelak Adam tersembur.
“Masuk mana ni, Adam? Banyak simpang ni.” Kereta Edri sudah menuruni lebuh raya dan kini menghala ke bandar Temerloh pula.
Adam ketawa. “Jangan panik. Kau ikut tanda jalan arah ke Triang. Tapi kalau kau nak tangkap gambar dengan jambatan lama tu pun boleh juga. Berhenti di depan sana sebelum stesen minyak tu.” Adam menunjuk ke hadapan.
“Hisy! Melampaulah pula. Aku bukanlah peminat barang antik.”
“Kalau macam tu, kita carilah mana-mana kedai makan. Isi perut dulu. Makin jauh dari bandar nanti, makin susah nak jumpa kedai makan.”
“Ha’ah, eloklah tu. Aku pun nak pekena ikan patin dulu.”
“Boleh. Tak kena ikan patin masak asam tempoyak, bukan ke Temerloh namanya. Janji poket kau penuh,” balas Adam sambil menunjukkan deretan kedai makan di tepi jalan.
Edri lantas menghentikan keretanya di tepi jalan. Beberapa pasang mata menoleh dengan penuh curiga namun mereka berdua cuba berlagak seperti biasa. Bau ikan patin masak asam membuat lidah mereka kecur liur. Segala hal lain sudah tidak diendahkan lagi. Tiba-tiba langkah mereka terhenti. Sebuah kereta seolah-olah tidak dapat dikawal lalu merempuh sisi kereta Edri. Nafas Edri terhenti.
“Ya, Allah! Kereta aku.”






8
AHMAD terketar-ketar. Dia cuba melarikan diri lagi daripada lelaki itu, tetapi setiap arah yang dituju membawa dia semula ke tempat itu. Dan apabila dia mendongak, dia terlihat tembok tinggi berwarna hitam memagari kawasan masjid. Dia tergamam. Nafasnya terhenti seketika. Akhirnya, dia terpaksa juga menerima hakikat yang dia tidak akan dapat keluar dari situ. Hatinya hancur. Dia terjelepok ke atas tanah. Sekujur tubuhnya tidak lagi bermaya.
“Maafkan aku. Jangan bunuh aku. Tolonglah, aku mahu balik,” rayunya sebaik lelaki kurus itu mendekat. Dia menutup muka, tidak sanggup memandang.
Tiba-tiba dia terasa bahunya disentuh. Dengan rasa terpaksa, dia menoleh. Lelaki itu duduk berdekatan dengannya sambil tersenyum manis. Dia terpinga-pinga.
“Kau nak apa?” tanyanya lemah.
Lelaki itu tidak menjawab. Hanya memandang dengan renungan yang sayu seolah-olah memahami kedukaannya.
Ahmad menjadi tenang. Dia seolah-olah dapat memahami bahawa lelaki itu tidak berniat jahat terhadapnya. “Kau jangan beritahu mereka yang aku ada di sini. Tolonglah.”
Lelaki itu mengangguk. Tangannya tidak lepas daripada memegang bahu Ahmad. Dengan perlahan dia mengeluarkan sesuatu dari dalam poketnya.
Ahmad tergamam. Lelaki itu duduk dengan tenang sambil menghulurkan beberapa biji buah rambutan kepadanya. Air mata Ahmad mengalir laju. Dia tahu dia tidak akan dapat ke mana-mana lagi. Tetapi, sekurang-kurangnya dia mesti tidak berputus asa. Siapa tahu, satu hari nanti ada seseorang yang akan datang ke situ dan membebaskan dia daripada sumpahan itu.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.