Monday, April 16, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 4


PERHATIAN kepada ahli-ahli GRUP MKFC: 
KUIZ akan bermula pada hari ini.

JAM pada dinding pejabatnya baru menunjukkan pukul 11.00 pagi. Jari Edri sudah sesejuk air batu. Angin sejuk yang menderu masuk dari alat penghawa dingin di atas kepala tanpa belas kasihan menurunkan suhu tubuhnya. Dia menoleh sekilas ke atas. Ingin sahaja dia menutup semua lubang-lubang itu. Dia boleh mati beku lama-lama di situ. Lantas dia bangkit. Mejanya ditarik ke sudut lain. Terdengar bunyi meja itu bergesel ke lantai.
“Pindah ofis?” tanya Azim yang masuk tanpa mengetuk pintu seperti kelazimannya.
“Pindah meja. Kau tolong angkat sikit,” balas Edri.
Azim segera membantu. Meja itu dialihkan berdekatan pintu masuk. Kerusi disusun semula.
“Kenapa rajin sangat ni?” Azim mula menarik kerusi di hadapan Edri.
“Lubang aircond tu tepat kena kepala aku. Belum pukul 11.00 aku dah beku. Pukul 4.00 petang nanti, aku terus jadi daging beku.”
Gelak Azim tersembur. “Aku dulu pun macam tu juga. Siap pergi mengadu minta mereka perlahankan sikit aircond tu, tapi mereka buat tak dengar. Akhirnya, aku pun ubah kedudukan meja aku. Ikut suka hati kitalah nak letak di mana. Bukan susahkan sesiapa pun.”
“Aku ingat kau masih terbungkang di rumah. Pukul berapa kau balik semalam?”
“Pukul 9.00. Sempat juga tengok ulangan perlawanan bola,” balas Azim sambil tersenyum.
“Dah hantar laporan tu pada Encik Amin?”
Azim mengangguk. Dia termenung seketika.
“Ed, aku nak tanya sikit.” Suaranya kedengaran berat dan serius.
“Apa hal? Projek apa lagi yang kau buat silap?”
Azim menggeleng. “Bukan pasal projek yang aku uruskan. Tapi pasal semalam.”
“Semalam? Projek di lereng bukit tu?”
“Bukan. Pasal hadiah yang kau kata Encik Amin nak beri tu.”
Kali ini Edri pula yang tergelak.
“Aku fikir apa tadi. Ha’ah, dia beri aku hadiah. Ini dia,” kata Edri sambil mengeluarkan fail biru itu dari dalam lacinya. Fail itu diletak di hadapannya elok-elok. Dia merenung wajah Azim. Mencari jika ada riak-riak cemburu di situ.
Mulut Azim separuh ternganga. Lama dia terdiam. Dia mengeluarkan sapu tangan dari poket belakangnya dan mula menyapu peluh yang tiba-tiba seolah-olah memercik dari setiap liang romanya.
“Kenapa kau gelisah macam nampak hantu saja?” Edri mula tidak sedap hati. Mungkinkah Azim kecil hati kerana tidak diserahkan fail projek itu kepada dia? Bukankah dia pekerja yang lebih senior? Atau Encik Amin melihat Azim sebagai tidak mampu?
“Aku…aku datang ni pun pasal fail itu,” jawab Azim tergagap-gagap.
“Fail ini? Jadi kau tahu pasal fail projek jambatan ini?”
Azim segera mengangguk. “Semua pekerja lama di sini tahu. Termasuk semua pegawai yang pernah duduk di pejabat ini.”
Dahi Edri berkerut. Terasa darah menyirap ke muka.
“Apa maksud kau? Kenapa kau macam kena kejar dek anjing? Apa yang kau tahu dan aku tak tahu?” Suaranya dengan tidak semena-mena meninggi. Kali ini perasaannya mula tidak enak sahaja. Marah pun ada.
Peluh Azim semakin banyak yang keluar. Ruang itu pun semakin lama semakin hangat. “Aku dah jangka, mesti Encik Amin akan serahkan projek itu kepada kau. Cuma aku tidak sangka secepat ini.”
“Apa kau cakap ni? Kenapa kau begitu pasti?”
“Sebab sebelum itu pun semua pegawai yang duduk di pejabat ini akan diberikan fail projek itu.”
“Kalau begitu, mengapa kes ini tidak selesai-selesai?” Edri menarik nafas. Entah mengapa mood dia tiba-tiba hilang begitu sahaja. Dia serba salah untuk mempercayai kata-kata Azim.
“Semua orang tak mahu, kecuali kau.”
“Kenapa? Patutlah tak siap-siap. Projek buat jambatan sahajalah.” Dia menguis fail itu. Adakah dia bodoh? Terasa egonya sedang diperjudikan.
“Semua orang kata bandar itu berhantu. Tak boleh disentuh. Semua orang takut untuk ke situ.”
Edri hampir ketawa. Lagi sekali dia mendengar perkataan bandar berhantu itu disebut-sebut. “Bandar berhantu? Jadi, di mana mereka semua sekarang? Dah ditangkap oleh hantu-hantu di situ?”
Mata Azim membesar seolah-olah tidak percaya dengan reaksi Edri. “Ramai yang meletakkan jawatan sahaja dan ada juga yang dipecat.”
Edri mengangkat kening. Dia seolah-olah sudah ternampak-nampak nasib yang bakal menimpa dirinya jika tugas itu gagal. “Habis tu, kenapa kau masih ada di sini?”
“Sebab aku tidak diberikan fail tu. Tapi aku sentiasa risau, mana tahu tiba-tiba Encik Amin panggil aku. Alamatnya balik kampunglah aku, tanam anggur.”
Edri termenung jauh. Cerita Azim agak selari dengan kata-kata Encik Amin semalam. Jika dia menolak atau gagal menyelesaikannya, dia diminta meletakkan jawatan sahaja. Jadi, pendek kata, sebenarnya dia cuma ada satu pilihan iaitu pergi dan selesaikan sebelum muncul semula di situ. Tetapi perasaannya sudah tidak seseronok semalam. Adakah dia sebenarnya mangsa terpilih?
“Jadi, apa yang harus aku buat?”
“Demi keselamatan kau, Ed. Kau tolaklah saja fail itu. Kau masih muda, tentu masih banyak peluang untuk kau. Lainlah aku yang dah tua ni.” Lemah sahaja suara Azim.
Edri menggeleng. “Tapi, kalau benar berhantu sekalipun, apa hantu tu boleh buat? Jasad pun tak ada.”
“Kau jangan celopar sangat, Ed. Kau belum kena, kau belum tahu.”
“Kalau aku kena, sekurang-kurangnya aku dah ke sana mencuba dan melihatnya sendiri. Bukan macam kau yang hanya duduk di tengah-tengah kota dan takut kepada hantu yang duduk entah di mana.” Mindanya bangkit memberi semangat. Sikap optimisnya membara.
“Sepuluh tahun yang lepas, sebelum aku masuk kerja di sini ada seorang lelaki yang berani menerima fail itu. Namanya Ahmad. Umurnya masa itu dalam lingkungan 30-an juga. Lalu dia pun ke sana untuk menyiasat projek itu.” Azim terdiam seketika.
“Apa jadi? Di mana dia? Bolehlah aku berbincang dengan dia pasal projek ni. Tentu dia tahu sesuatu.”
Azim merenung Edri dalam-dalam. Pandangannya lurus dan seolah-olah menembus pandang. Akhirnya dia tunduk dan menggeleng. “Dia dah buat fail polis bertambah banyak.”
“Maksud kau?”
“Dia tak balik-balik lagi sampai sekarang.”
“Kau jangan nak kelentong akulah. Kalau dia tak balik, mengapa fail ini ada di sini?”
“Daripada cerita yang aku dengar, fail itu balik sendiri. Tiba-tiba sahaja ada di atas meja kaunter di bawah.”
Edri ketawa. “Tak logik langsunglah, Azim. Fail ni bukan ada kaki boleh berjalan sendiri.”
“Itu aku tak tahu, tapi itulah yang aku dengar. Sampai sekarang Encik Ahmad tidak ditemui hidup atau mati. Dia hilang bersama-sama keretanya sekali. Satu-satunya yang balik adalah fail itu,” balas Azim sambil merenung fail biru itu.
“Agaknya Encik Ahmad tu bukannya hilang cuma tak mahu balik. Mungkin dia dah kahwin dengan orang kampung di situ dan takut nak beritahu isteri dia di sini. Siapa tahu?” Edri tersenyum sinis.
“Entahlah, Ed. Terlalu banyak misteri dan cerita yang menyelubungi fail biru tu. Aku nasihatkan kau pulangkanlah fail itu sebelum terlambat.”
Edri terdiam. Sampai Azim bangkit keluar dan meninggalkan bilik itu, kata-kata itu tidak mampu dijawab. Kalau dia ke sana, dia akan cari Encik Ahmad sampai jumpa dan heret lelaki itu balik ke sini supaya cerita dongeng itu terhenti. Dia tidak percaya langsung. Tentu ada banyak rahsia di sebalik semua itu.

“SEMALAM, dia juga yang beria-ia sangat nak ke kampung aku. Hari ini berbelah bahagi pula. Macam mana ni? Aku dah ambil cuti seminggu. Mati kataklah aku duduk rumah siang malam,” rungut Adam panjang lebar.
Edri masih termenung di tepi beranda pangsapuri yang mereka sewa sejak dua tahun yang lalu. Angin malam yang terasa suam-suam kuku membelai pipinya dengan malu-malu. Asap rokok yang dihembus segera hilang, bercampur dengan asap kenderaan yang bersimpang-siur di bawah pangsapuri itu. Hidungnya terasa pedih namun hatinya lebih pedih. Fikirannya tiba-tiba berserabut.
“Takkan kau percaya cerita macam tu? Aku dah lama balik ke situ, tak pernah pula aku dengar bandar tu berhantulah, orang hilanglah. Mengarutlah.” Suara Adam tetap lantang dari ruang tamu. Wajahnya masih masam mencuka.
“Aku tak kata aku percaya, cuma aku sedang menimbang baik buruknya daripada semua sudut.”
“Mengaku sajalah yang kau penakut. Bukannya ada orang lain di sini,” balas Adam sinis.
Edri mengeluh. Puntung rokok dimatikan. Dijentik jauh melantun ke hadapan. Jatuh ke mana dia tidak kisah. Dia memeluk tubuh. Kata-kata Adam itu seolah-olah mencabar egonya.
“Aku bukan takut. Aku tak kisah pun pasal benda-benda tu semua.”
Dia melangkah masuk ke ruang tamu. Tubuhnya bagai didorong sesuatu, dia hampir tersungkur ke hadapan. Dia menoleh ke beranda. Tidak ada apa-apa. Kain langsir pun tidak bergerak. Darahnya berderau seketika.
“Habis tu? Kenapa macam teragak-agak pula?” Adam menoleh.
Edri duduk di atas kerusi yang bertentangan dengan beranda. Matanya masih terpaku di situ. Apa yang menolaknya tadi? Fikirannya mula tertumpu ke situ. Detak jantungnya masih laju, tidak tentu hala.
“Hoi! Dah lama tak korek telinga ke?” sergah Adam sambil membaling bantal kecil ke arah Edri.
Bantal itu tepat terkena pipi kanan Edri. Dia terkejut. “Apa kau tanya?”
Adam menggeleng beberapa kali. Bibirnya rata. “Kau dah kena sampuk ke? Terkebil-kebil macam cicak berak kapur.”
“Kau tanya apa? Aku sedang berfikirlah.”
“Aku tanya kenapa kau macam teragak-agak pula nak pergi? Apa masalahnya? Takkan kau percaya cerita-cerita macam tu? Kita bukan budak-budak lagi yang boleh disogok dengan cerita seram macam itu. Budak-budak pun dah tak takut dengan cerita hantu di TV tau.”
Edri menghela nafas. Keluhannya semakin berat. Apa yang baru berlaku sudah dilupakan. “Tak usahkan aku, orang gila pun takkan percaya. Mustahil fail boleh balik sendiri ke syarikat. Cuma aku sedang berfikir, apa motifnya Encik Amin pilih aku dan tidak pilih Azim. Dan apa motifnya pula Azim beria suruh aku serahkan balik fail itu?”
“Dengan kata lain, maknanya Azim tak mahu kau uruskan kes itu?”
Edri mengangguk. Dia merenung wajah Adam.
“Dulu kau juga pernah kata, kau syak Azim tu mungkin makan rasuah. Entah-entah dia disuap supaya menggagalkan projek itu. Hati orang, bukan kita tahu. Entah-entah cerita pasal hantu ni, dia yang yang sebarkan.”
“Tak mustahil,” balas Edri.
“Lagi satu motif yang aku boleh fikir ialah dia mungkin cemburu pada kau. Kenapa Encik Amin tak serahkan kepada dia? Dia kan lebih lama bekerja di situ daripada kau sendiri?”
“Itu aku tak tahu. Tapi Azim ada cakap yang dia juga risau jika dia yang Encik Amin pilih.”
“Kau percaya? Takkan dia nak mengaku terang-terang, kata dia yang nak projek itu?”
“Mungkin juga. Tapi Encik Amin kata, kalau aku menolak, dia suruh aku hantar surat peletakan jawatan sekali atas meja dia.”
“Huh! Bongkaknya. Dia ingat senang ke nak dapatkan pegawai macam kau sekarang.”
Edri mengangkat bahu. “Cuma aku rasa banyak sangat muslihat dalam kes ini. Masa aku balik kerja tadi pun, pekerja-pekerja di situ macam takut-takut nak bercakap dengan aku. Mereka semua sudah tahu aku dapat fail itu. Mungkin Azim yang sebarkan.”
“Kenapa mereka pula yang takut?”
“Entahlah. Kes ini terlalu banyak desas-desus yang menyelubunginya. Ditambah pula dengan sikap Encik Amin yang macam itu. Siapa yang dapat fail ini seolah-olah ditolak ke tepi jurang. Terjun atau mati kena tembak.”
“Apa keputusan kau?”
Edri terdiam seketika. Wajahnya tegang sehingga timbul urat pada kiri kanan dahinya. Akhirnya dia mengangkat muka. “Kalau aku tak balik macam Encik Ahmad yang disebut-sebut tu, nanti kau bayarlah sewa rumah ni sorang-sorang ya.”
Adam tersengih. Sebiji bantal lagi dilemparkan ke arah Edri.

JAM hampir pukul 10.00 malam. Edri menutup televisyen lalu masuk ke bilik tidurnya pula. Dia mula rasa mengantuk tetapi fail biru yang terletak elok di atas katil seolah-olah menggamit perhatiannya. Apa agaknya isi kandungannya?
Sambil menelungkup di atas tilam, dia mula membuka ikatan fail itu perlahan-lahan. Tali pengikatnya masih kukuh. Kenapa nak ikat ketat-ketat macam ni? Bukan ada benda nak keluar dari sini pun. Dia bersungut dalam hatinya lagi. Jarinya mula merungkai ikatan itu satu per satu. Semakin lama, hatinya semakin panas. Lalu dia merentap tali itu sampai putus. Isi fail itu bertaburan di atas tilam.
Apa yang mula-mula menarik perhatiannya adalah beberapa keping gambar hitam putih yang sudah terlalu kabur. Gambar pekan itu, gambar sungai dari atas tebing dan gambar beberapa orang penduduk kampung. Dia membelek belakang gambar itu. Terdapat tulisan yang bertulis Disember 1969. Mungkin tarikh gambar itu diambil. Dia letakkan ke tepi. Yang lainnya cuma beberapa salinan pelan tanah, pelan jambatan dan laporan-laporan yang telah dibuat oleh beberapa orang pegawai yang berlainan tarikh dan nama. Yang paling terkini adalah pada tahun 2000. Tapi yang menulisnya adalah Amin bin Muhammad.
Encik Amin? Edri tersentak. Dia mula menumpukan perhatian pada laporan yang sepanjang setengah muka surat itu. Tidak banyak yang ditulis, hanya setakat melaporkan bahawa syarikat telah menghantar seorang pegawai, Encik Ahmad bin Ghazalli ke bandar itu. Edri termangu. Itu sahaja?
Dia membelek semua laporan dan kajian yang telah dikumpulkan sejak tahun 1963, dua tahun sebelum projek itu tergendala. Tidak ada apa yang pelik pada pandangannya. Jadi mengapa semua kerumitan itu harus timbul? Mungkin satu-satunya sebab yang ada adalah kerana bantahan penduduk. Kalau begitu, dia harus pergi mendengarnya. Jika bantahan mereka wajar, maka perkara itu boleh dihadapkan ke tribunal rayuan di Jabatan Perancangan Bandar Negeri. Mengapa selama ini tidak ada pula rayuan yang dibuat? Edri menggeleng sendiri. Sememangnya sikap suka menangguh-nangguhkan tindakan sering kali mengakibatkan banyak projek terbengkalai. Dia berasa mual.
Semua surat-surat dan dokumen-dokumen itu dimasukkan semula ke dalam fail. Sekeping gambar tiba-tiba jatuh ke atas tilam. Diangkat dan dibelek. Gambar sekumpulan gadis-gadis manis berbaju kebaya pendek. Sedang malu-malu memandang ke arah kamera. Ada yang bertocang dua dan ada yang bersanggul kiri kanan. Pada kepala mereka terselit bunga-bunga. Dia menggeleng lagi. Betapa kehidupan sudah jauh berubah. Gadis-gadis di kota itu tidak ramai lagi yang malu-malu seperti itu. Bahkan pantang nampak kamera pun ada.
“Ed, jom keluar minum,” laung Adam dari luar bilik.
“Malaslah. Lagipun kau tak pergi jumpa buah hati kau ke? Nanti seminggu tak tengok muka, rindu pula,” usik Edri.
“Nak jumpa dialah ni. Nanti kalau terus pergi, mahu muncung sedepa. Tak cukup duit aku nak pujuk,” balas Adam. “Nanti mintanya macam-macam. Kasutlah, beglah. Adoi, seksa.”
Dia sudah melangkah masuk ke dalam bilik Edri pula. “Kau tak jumpa makwe kau ke?”
“Kau nampak ni?” Edri menayangkan penumbuk.
Adam cuma tergelak. “Hai…bilalah hati kau nak terbuka untuk ada buah hati? Orang lain dah beranak pinak, kau buah hati pun tak ada.”
“Jaga diri sendiri pun tak lepas, ada hati nak jaga anak orang konon.”
“Hisy, kita lelaki. Mestilah ada hati, Ed. Itulah, aku dah kata jaga kesihatan. Ini, muda-muda lagi dah kena macam-macam penyakit. Jangan-jangan kau dah masuk daftar orang mati pucuk ya?”
“Kau nampak beranda tu tak? Kau nak turun pakai lif atau turun ikut situ?” balas Edri. Dia sudah bangkit, duduk bersila.
Adam melompat keluar sambil ketawa besar. “Aku pinjam kereta kau!” laungnya sambil menutup pintu hadapan
Edri hanya menggeleng. Perangai Adam tidak pernah berbekas di dalam hatinya. Dia sudah lama menganggap Adam seperti adiknya juga. Mereka serasi dalam serba-serbi, kecuali bab bersosial. Yang itu, Adam memang pakar. Terutama dalam hal perempuan. Dia pula pemalu. Maklumlah, dia tidak setampan Adam. Dia sedar, namun tidaklah sedih. Kalau ada jodohnya nanti, pasti ada seorang gadis yang akan melihat dia lebih daripada sekadar muka dan tubuh. Sementara itu, dia senang bersendirian walau sesekali diteman sepi.
Fail biru tadi diikat semula ketat-ketat. Seperti dia membulatkan tekadnya sendiri. Apa pun kata orang, dia akan pergi juga. Mengalah sebelum berjuang itu bukan sikapnya. Fail itu diletak di sebelah bantalnya. Dia segera memadamkan lampu. Malam itu tidurnya tidak lena.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.