Thursday, July 19, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 29

MATAHARI semakin tegak di atas kepala. Kepanasannya seolah memanggang tubuh Pak Harun hidup-hidup. Bajunya sudah lencun dengan peluh namun tenaga tuanya tetap sahaja membasuh kereta Hanisa dengan tenang di tepi halaman. Cuma ada hati lain yang tidak tenang, panas di hatinya lebih panas dari terik matahari di luar sana.
Di ruang tamu, Borhan duduk berhadapan dengan Hanisa yang masih menarik muka masam dan mengunci mulutnya sejak bebrapa minit yang lalu. Borhan pula memerhati setiap gerak laku gadis itu dengan penuh minat dan rasa hairan yang menggunung.
“Kenapa mesti lari sebelum menjawab soalan saya?” tanyanya perlahan namun jelas. Dia tidak mahu perselisihan faham di antara dia dan Hanisa disedari oleh Mak Yah dan Pak Harun.
“Saya tak perlu jawab.” Hanisa menjawab tanpa memandang ke arah Borhan. Renungan matanya lurus memerhati keretanya  yang sedang bermandi buih sabun.
Jawapan itu sungguh mengecewakan hati Borhan. Kalaulah Hanisa mahu dibawa berbincang, permusuhan itu mungkin dapat dihentikan.
“Hari ini, kita mungkin berada di hari akhir Ramadhan. Jadi saya nak minta maaf kalau beberapa hari ini, saya dah buat awak marah sangat. Bukan itu niat saya,” luah Borhan lagi dengan tulus ikhlas. Bukan kerana dia mengalah tetapi mungkin itulah jalan terbaik supaya kemarahan di hati Hanisa dapat dilenturkan.
Sayangnya, permintaan itu hanya tinggal kata-kata. Hanisa terus membisu.
“Kereta dah siap, cik!” Pak Harun tiba-tiba menjenguk dari muka pintu.
Hanisa terus bangkit dan menuju ke pintu.
Borhan sekadar menjeling. Sukar digambarkan apa perasaannya kini, semuanya masih menjadi tanda tanya yang tidak dapat dileraikan. Dia tidak faham kenapa Hanisa terlalu marahkan dia dan dia tidak faham kenapa Hanisa langsung tidak mahu berbincang soal itu. Tetapi dia sedar, dia tidak boleh memaksa. Biarlah jawapannya datang sendiri seperti datangnya Hanisa ke rumah itu hari ini.
Mak Yah yang terdengar suara Pak Harun, menjenguk dari dapur. “Dah siap? Nak balik dah? Esok jangan lupa datang ya,” pesan Mak Yah lagi sambil menyambut huluran salam Hanisa buat kali kedua.
Hanisa sekadar senyum nipis. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Lalu tanpa janji dia berkata, “Balik dulu ya, Mak Yah.”
“Bawa kereta baik-baik, esok dah nak beraya.” Sempat lagi Mak Yah berpesan di muka pintu.
Borhan bungkam di tempat duduknya. Di saat itu, dia buntu dan keliru.
N
HANISA memandu dengan tenang walaupun dia tahu janjinya pada Richard dan Mei Lin telah dimungkiri. Dia sendiri tidak sangka, dia akan berada di rumah Borhan selama itu. Dia juga tidak sangka Borhan sanggup merendah hati memohon maaf daripadanya. Mujurlah dia sempat lari sebelum air matanya jatuh menitik.
    Pertanyaan demi pertanyaan yang dilontarkan Borhan tidak mampu disambutnya terang-terang. Dia tidak akan menjawab soalan itu walaupun dipaksa dengan apa cara sekalipun. Dia hanya mahu segalanya berakhir sampai di situ sahaja. Dan jalan yang terbaik baginya adalah dengan tidak melayan pertanyaan itu sama sekali.
    “Ha! Apa sudah jadi?” Richard terlebih dahulu bertanya ketika dia masuk ke dalam kedai.
“Tak ada apa.” Dia berlagak selamba.
“Buat apa di sana? Takkan hantar hamper saja sudah berjam-jam?” Richard memandang Hanisa lama-lama.
“Tak payahlah sibuk-sibuk. Saya sudah balik dengan selamat, sudahlah.” Hanisa mula kurang senang. Diikutkan perangai Richard dan Mei Lin segala titik bengik pun mereka mahu tahu. Lebih-lebih lagi kalau ada peluang mengusik, Hanisa sudah faham benar.
“Tentu seronok, kan? Rumah dia cantik. Banyak pokok.” Mei Lin sudah mula merapati kaunter belakang. Wajahnya berseri-seri. “Mak Yah baik dengan awak?”
    Hanya renungan tajam yang diberikan sebagai balasan. Mei Lin terus terdiam tetapi bukan Richard.
    “Esok raya, jom raya ke rumah dia?”
    Hanisa menarik nafas. Sesuatu perlu dijelaskan di situ.
“Awak berdua jangan fikir, saya pergi rumah dia sebab saya sudah berkawan dengan dia. Kami tetap bukan kawan. Jadi, kalau awak berdua nak pergi raya ke sana, awak punya pasal. Saya tak ada kena-mengena.”
    Richard dan Mei Lin sama-sama tercengang.
    Hanisa terus melangkah masuk ke ofisnya. Apa yang telah berlaku hari ini membuatkan fikiran dan perasaannya bertambah sarat dengan rasa pilu.
N
RUMAH Borhan kembali sepi setelah Hanisa pergi. Dulu pun sepi juga tetapi kini bertambah sepi dan sunyi dirasakan Borhan. Setelah bebayang kereta Hanisa hilang di balik pagar, Borhan masih tercegat di muka pintu. Hanya setelah Hanisa pergi baru dia berani menjenguk ke situ.
“Aih, tuan. Jauh pandangan tu. Orang dah lama hilang,” sindir Mak Yah sambil tersenyum simpul melangkah ke dapur.
Borhan menoleh. Dengan perlahan dia menyusun langkah mengekori Mak Yah. Ada sesuatu yang dia ingin tahu.
“Mak Yah! Kenapa dengan muka seiras? Apa tu serasi?” Borhan kembali bersila di atas tikar plastik di hadapan sarung-sarung ketupat yang telah siap. Sebahagiannya ada bekas tangan Hanisa, dia tersenyum.
Mak Yah yang sedang mengupas bawang tersenyum lagi.
“Orang tua-tua kata, kalau nak cari jodoh tu, biarlah serasi. Air muka yang seiras selalu menandakan dua orang yang sekepala. Maknanya boleh bertolak-ansur dan saling melengkapi. Pendek kata, amanlah rumah tangga,” jelas Mak Yah panjang lebar. “Tapi itu cuma satu petua saja, serasi tak serasi dalam rumah tangga ni terpulanglah kepada masing-masing mencari jalan.”
Serasi? Sekepala? Kenapa pula dia rasa seperti tersalah dengar? “Jadi Mak Yah rasa dia tadi tu serasilah dengan saya?”
Ketawa halus tersembur dari bibir Mak Yah. Dia mengangkat muka memandang Borhan seketika. “Kalau dari rupa parasnya, ya. Kalau dari segi lain Mak Yah tengok macam ada yang tak kena.”
Mata Borhan terkebil-kebil. “Hati dia lebih keras daripada batu. Batu pun kalau diketuk lama-lama hancur juga.”
“Sabar. Sekeras-keras berlian tu pun dipotong dek orang,” balas Mak Yah. “Jangan percaya kepada usaha semata. Sedangkan penentunya bukan kita.”
Borhan langsung terdiam, merah mukanya.
“Berdoalah tuan, kalau dia jodoh tuan tentu ada jalannya. Kalau dia bukan jodoh tuan, lepaskanlah dia. Mungkin tindakan tuan hanya menjauhkan jodoh dia dan jodoh tuan sendiri.”
Kata-kata Mak Yah membuatkan Borhan menarik nafas panjang. Apa yang perlu dikatakan lagi? Semuanya memang benar. Dia telah berusaha, Hanisa masih menjauh. Dia kini patut berserah sahaja walaupun hatinya masih tidak mahu mendengar.
“Agak-agaknya esok dia datang tak ke sini?” tanya Mak Yah lagi.
Borhan menjeling ke arah Mak Yah. “Dia takkan datang, Mak Yah. Percayalah.”
Mak Yah diam sahaja.

2 comments:

  1. Kenapa Hanisa jagi mcm gini ya?? Takkan krn dia anak angkat terus jadi gini??

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.