Saturday, December 31, 2011

Cerpen: Selamat Tahun Baru, sayang....


“Happy New Year!” tegur seorang lelaki kulit putih dengan slanga Australia yang pekat dan lantang di tengah-tengah keriuhan tempat itu. Dia tersengih. Matanya merenung tajam ke arahku.
  "Happy New Year!” balasku sambil tersenyum seolah aku juga begitu riang menyambut malam tahun baru 2012 di tepi Pelabuhan Sydney sepertinya.
  Mujur lelaki itu berlalu bersama rakan-rakannya yang lain. Mungkin mereka mencari tempat duduk ataupun lokasi yang lebih baik untuk melihat persembahan bunga api yang akan dimulakan pada bila-bila masa. Aku melihat sahaja lelaki itu menghilang di celah-celah orang ramai yang lalu-lalang di sekelilingku. Sesungguhnya tempat itu amat sesak.
   “Kau tak beritahu dia?”  tanya satu suara.
   Aku tunduk, walaupun tidak ada apa-apa yang menarik untuk kupandang di tepi kakiku, aku tunduk untuk memikirkan sesuatu. Lantas aku menggeleng sambil menarik nafas panjang. Kedua belah tanganku masukkan ke dalam poket walaupun aku tidaklah berasa sejuk.
   “Kenapa?”
    Aku mengeleng lagi.
    “Kau tak nak cuba beritahu dia?”
    Aku geleng lagi.
  Izwan mengeluh. Berat namun pendek. Dia termenung. Pandangan matanya lurus menyaksikan permandangan indah di pelabuhan itu. Cahaya berwarna-warni terpasang di setiap bangunan, feri, bot, kapal layar hinggalah ke kapal besar yang memenuhi pelabuhan. Semuanya berwarna-warni malah apabila cahayanya terpantul ke permukaan laut, laut juga seakan bercahaya.
     “Sampai bila?” Izwan bertanya lagi.
    Sampai bila? Ya, sampai bila aku harus menyimpan perasaanku kepada seorang lelaki yang bernama Fikri? Itulah persoalannya.
    “Kau tahu kan apa masalah aku?”
    Izwan menoleh ke arahku. Untuk beberapa saat dia begitu. Dia seolah cuba memahami dan menyelami apa yang ada di dalam kepalaku yang kecil ini. Ah, mana mungkin kau faham, Izwan! Kau lelaki….
    “Apa agaknya? Kalau kau suka dia, kau cakap sajalah.”
    Aku sudah jangka. Aku sudah jangka itu yang akan terkeluar dari bibir Izwan pada bila-bila masa. Aku akhirnya tersenyum nipis. Aku tahu Izwan belum benar-benar mengenali diriku walaupun sudah dua tahun kami berkawan sejak belajar di sebuah universiti yang sama. Pertanyaanku tadi hanyalah gurauan semata.
     “Kau malu?” tanya Izwan lagi. “Kalau kau malu, beri aku nombor telefonnya. Aku boleh call dia esok,” sambung Izwan lagi.
    Spontan aku menoleh ke arah Izwan. Mataku bulat merenungnya tetapi aku sedar keningku hampir bertaut. Izwan mahu menelefon Fikri? Satu idea yang aku rasa sangat melucukan. Aku lebih sanggup menolak Izwan ke laut daripada menyerahkan nombor telefon itu. Tidak!
      Aku menggeleng.
      “Engkau ni semuanya tak nak. Habis tu macam mana kawan kau tu nak tahu yang kau sudah lama suka dekat dia? Lepas tu… kau juga yang monyok di sana, monyok di sini.” Izwan mula membebel. Dia membetulkan duduk, mungkin sudah penat duduk di situ sejak sejam yang lalu.
      Aku menggeleng lagi.
      “Apa geleng-geleng? Sampai bila kau nak jadi macam ni? Engkau macam patung beku dalam tong ais.”
      Aku tersentak. Patung beku dalam tong ais? “Kenapa kau cakap aku macam tu? Aku manusialah.”
Izwan menggeleng sambil mengeluh perlahan. “Kesian kawan aku ni….”
      “Aku perempuanlah, Izwan. Ke hujung dunia pun aku pergi, aku tetap seorang perempuan. Dan seorang perempuan mesti tahu malu,” jawabku geram.
    “Malu? Jadi kau malu nak beritahu dia yang kau cintakan dia sudah bertahun-tahun?” Izwan renung mukaku tanpa berkelip.
    Aku angguk saja tanpa suara. Sekarang Izwan sudah tahu apa masalahku. Memang aku sudah kenal Fikri selama lima tahun. Sejak sebelum datang ke Australia lagi dan kami selalu bersembang di Facebook, YM, Gtalk atau SYKPE. Hubungan kami terus berjalan hari demi hari tanpa gagal kecuali Fikri gagal memahami perasaanku terhadap dia. Noktah.
    “Hey! Pandang sini,” kata Izwan.
    Aku menoleh ke arahnya semula. “Engkau hidup dalam zaman mana ni? Dalam zaman ini, perempuan tak harus malu lagi menyatakan perasaannya. Perempuan tak harus lagi malu untuk bertindak.”
Aku angkat kening. Jadi aku sudah ketinggalan zaman? “Encik Izwan, daripada sudut lain aku tidak ketinggalan tetapi daripada sudut hati dan perasaan aku mungkin masih berada di zaman aku belum dilahirkan.”
     Puas hati aku. Adakah Izwan fikir aku tidak sedar semua itu? Aku sedar yang aku kini berada di zaman yang serba maju. Maju tindakan, maju fikiran sehinggakan rasa malu sudah dicampakkan entah ke mana. Itu yang Izwan mahu daripada aku?
    “Apa salahnya kau cakap saja pada dia? Aku nak tolong pun kau tak nak.” Izwan merenung langit Sydney pula. Langit itu tampak terang.
  Aku menggeleng lagi. Rasanya pada malam tahun baru itu, entah sudah berapa kali aku asyik menggeleng sahaja. Semua cadangan Izwan aku rasakan sangat bertentangan dengan jiwa aku.
   “Habis tu? Kau nak tunggu sampai bila?”
Aku tarik nafas. Berat betul soalan yang ditanyakan Izwan itu. Soalan yang sangat menguji minda dan perasaan. 
   “Nera… boleh aku cakap sikit?” Suara Izwan mula lembut sedikit.
   “Cakaplah.”
   “Aku harap kau tak marah.”
   “Kenapa aku mesti marah? Beri aku satu sebab.”
  Izwan terdiam. Kulihat halkumnya bergerak-gerak. Riak serba-salah jelas terpancar di setiap sudut wajahnya. Bibir merahnya bergetar.
   “Cakaplah? Kenapa diam?” Aku terus mendesak. Mataku terkebil-kebil memandang wajahnya. Ingin sungguh aku tahu apa yang mahu diucapkan oleh sepasang bibir itu.
   Izwan berdehem. Dia membalas renunganku tetapi tidak lama. Dia kembali merenung hamparan rumput di hujung kakinya.
   “Orang lelaki ni… selalu tak perlu tunggu lama. Kalau dia suka dan dia tahu gadis itu tidak ada siapa yang punya, dia akan cakap terus-terang. Dia tidak tunggu selama lima tahun.” Izwan menjungkitkan bahu sambil tersenyum nipis. Matanya tepat merenung ke dalam mataku.
   Telingaku berdesing. Aku boleh merasakan kepanasan menjalar dari hujung kaki naik hingga ke kepala. Aku pasti suhu malam itu bukan lagi 17 darjah seperti selalunya. Akhirnya aku melarikan wajahku ke arah laut yang bercahaya. Kulepaskan resahku ke situ.
   “Kau mungkin tak percaya dengan apa yang aku cakap… kau juga boleh tunggu dia selama mana yang kau mahu,” tambah Izwan setelah aku terus berdiam diri. “Tapi sejujurnya aku rasa penantian kau selama lima tahun ini hanyalah sia-sia. Dan aku… aku tak mahu lihat kau terus mensia-siakan hidup kau lebih lama lagi.”
  “Terima kasih, Izwan. Aku faham niat kau.” Itu sahaja yang kubalas. Aku terharu? Ya, sedikit. Aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya Izwan sudi memikirkan masa depanku yang akan kuharungi dengan kemurungan dan harapan yang belum pasti termakbul jika aku terus begitu. Selebihnya?
   Aku memejamkan mata. Aku tunduk menyembunyikan wajah daripada orang ramai di situ. Dalam keriuhan suasana, aku terlempar ke suatu lembah yang sangat sunyi dan kosong. Aku menangis semahu-mahunya tanpa suara.
  “Kenapa kau tahan tangisan tu? Kenapa kau pendam kedukaan tu?” Suara Izwan menerjah pendengaranku.
Aku buka mata pelahan-lahan, lalu menyerbu keluar titisan-titisan jernih yang selama ini kutahan. Semuanya bagaikan berebut-rebut untuk membasahi kedua belah pipiku. Aku sudah lama tahu. Aku sudah lama tahu yang aku sebenarnya tidak ada harapan untuk mendapatkan cinta Fikri. Tapi aku sengaja menipu diriku dengan mengatakan jika aku bersabar, satu hari nanti Fikri akan menyedari kehadiranku. Aku percaya itu yang akan terjadi sehinggalah dua bulan yang lalu.
   “Dia akan menikah esok, Izwan,” kataku perlahan. Disusuli oleh air mata yang turun bagaikan titisan hujan. Aku tersedu-sedan dan seluruh alam pun terasa sepi.
Izwan mengeluh lagi. Kali lebih panjang, lebih berat. Dia menggeleng lesu, bibirnya terbuka namun suaranya seolah hilang.
   “Dia tidak cintakan aku,” tambahku lagi. Aku seka air mata yang masih mengalir ke pipi.
Izwan cuma mengangguk. Dia juga seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan lagi. Dia cuma memandang aku dengan renungan penuh simpati.
   Aku cuba tersenyum namun senyumanku tidak menjadi. Aku menelan air liur lalu menarik nafas panjang. Itulah akhirnya sebuah penantian. Aku harus menerima kenyataan.
   “Aku datang ke sini malam ni… sebab aku mahu tengok pertunjukan bunga api. Kisah cintaku juga seperti itu. Ditunggu-tunggu, diharap-harap. Apabila terpancar, aku gembira. Apabila ia hilang, aku terpinga-pinga. Bunga api itu tidak pernah tahu, aku di sini menunggunya. Ia hanya hadir untuk menceriakan sesiapa. Salah aku yang memujanya.” Aku mula membebel.
   Izwan terangguk-angguk. Mungkin sekadar menjalankan tanggung jawab sebagai seorang rakan pendengar yang baik.
   “Esok, aku mahu buka buku baru,” tambahku lagi.
   “Buku baru?”
   Aku angguk. Sambil memaksa diriku tersenyum. “Aku akan berhenti mengharap, Izwan.”
  “Bagus,” balas Izwan. Dia turut tersenyum tapi tidak nampak kesungguhannya. “Kau tak putus asa kan?”
  Aku geleng. “Memang aku kecewa. Sudah dua bulan aku menangis. Tapi aku bukan bodoh. Aku takkan biarkan hal sebegini menjahanamkan hidup aku. Kau jangan risau.”
   Kali ini senyuman Izwan melebar. Baru nampak keikhlasannya. “Good girl.”
  Dan tatkala pelabuhan Sydney bermandi cahaya bunga api tepat pada pukul 12.00 malam. Kami sama-sama tersenyum memandangnya.
  ‘Selamat tahun baru, sayang’ kuucapkan untuk Fikri di dalam hati. Aku akan terus menyayangimu sehingga rasa sayang itu pudar sendiri. Namun aku akan tetap meneruskan hidupku kerana hidupku lebih berharga dari sekeping cinta yang tak pernah dihargai. Aku tidak akan mengharapkan kau lagi. Semoga kau berbahagia di tahun baru. Itulah keputusanku.

TAMAT
*cerpen ini khas untuk Nina.Semoga berpuas hati. Jangan lupa buka buku baru.
*******************
Kepada kepada pembaca blog ini  yang setia memberikan sokongan
saya ucapkan berbanyak terima kasih dan 
SELAMAT TAHUN BARU 2012. 


Wednesday, December 21, 2011

Mini-novella : JIKA KAU TAHU




“Zed, siapa budak tu?” Fariz bertanya ke telinga Zed. Dalam keadaan yang riuh rendah di situ, suaranya tenggelam timbul dibawa bunyi pembesar suara yang kuat namun matanya tidak lekang dari memandang ke arah seorang gadis berkulit hitam manis dan berambut lurus. Sejak terpandang, dadanya berdebar-debar.
“Kawan aku. Baru balik dari UK. Kenapa?”
Zed menjeling ke arah Fariz yang masih lagi memandang Maira dengan penuh minat. Hatinya mula terasa tidak enak. Satu perasaan yang aneh, yang tidak dapat difahami. Padahal di antara dia dengan Maira hanyalah sebagai kawan baik. Tidak lebih daripada itu.
“Baru balik dari UK? Kau dah lama kenal dia? Macam mana kau boleh kenal dia?” Bertalu-talu Fariz bertanya seolah-olah terlalu banyak perkara yang dia ingin tahu tentang Maira, si gadis yang manis itu.
Zed tersenyum hambar. Macam mana dia boleh kenal Maira? Perlukah dia menceritakan segala-galanya kepada Fariz? Tidak mungkin. Dia tidak mahu Fariz tahu malah sesiapa pun tahu tentang Maira. Bahkan hadirnya Maira ke acara lumba lari sebuah syarikat minuman kesihatan pagi itu adalah dengan undangannya sebagai pemberi semangat kepadanya, bukan kepada Fariz atau orang lain pula. Namun dia tidak sangka kehadiran Maira telah menarik perhatian rakan-rakannya. Sejak tiba di situ sejam yang lalu, sudah entah berapa kali dia menjawab pertanyaan tentang Maira. Ternyata Maira mempunyai daya penariknya yang tersendiri. Dia mula rasa tindakannya mengajak Maira ke situ adalah satu kesilapan.
“Dia kawan Yuni ke?” tanya Fariz lagi. Nampaknya mula tidak sabar dengan sikap Zed yang tidak menjawab kesemua soalannya sejak tadi. Dia mula mengalihkan pandangan matanya ke wajah Zed pula seperti cuba memahamkan sesuatu.
Zed menggeleng. “Yuni pun baru jumpa hari ni,” jawabnya pendek.
Memang pada hari itulah baru Yuni dan Maira bertemu muka. Selama ini kedua-duanya saling mengenali hanya melalui cerita yang dia sampaikan. Yuni di sini, Maira di UK tetapi dia terlebih dahulu berkawan dengan Maira sejak tiga tahun yang lalu. Sedangkan Yuni baru dikenali beberapa bulan yang lalu, itupun kerana mereka satu tempat kerja. Dan entah bagaimana, Yuni menghulurkan rasa kasih dan dia menyambutnya tanpa banyak soal. Cuma dengan kepulangan Maira untuk bercuti selama dua minggu di Malaysia membuat perasaannya tiba-tiba sahaja berasa tidak pasti.
Fariz mengelipkan matanya beberapa kali namun pandangan matanya masih lagi menyeluruhi wajah Zed yang seperti sedang bermasalah.
“Dia tu siapa sebenarnya? Aku tengok dia macam baik aje dengan Yuni. Asyik berbual  aje dari tadi.”
“Kawan aku....”
“Aku tahulah dia kawan kau tapi nama dia siapa? Tinggal di mana? Kau ada nombor telefon dia?”
“Kau nak buat apa tahu tu semua?” balas Zed. Dahinya berkerut. Geram pula rasanya dengan kedegilan Fariz. Sepatutnya Fariz sudah jelas, dia tidak mahu lelaki itu tahu apa-apa tentang Maira. Mustahil tidak boleh faham lagi?
“Okey, kalau kau tak nak beritahu… aku boleh tanya dia sendiri.” Fariz menggosok kedua tapak tangannya sambil tersenyum manis. Anak matanya menjeling ke wajah Zed lagi sekali.
Mata Zed membesar. Belum sempat dia menghalang, Fariz sudah melangkah ke arah Maira dan Yuni yang asyik berbual di bawah khemah penonton. Hatinya terasa sakit.
******
Dari jauh lagi Fariz telah menghadiahkan senyuman yang dirasakan paling manis dan paling menawan mampu dihadiahkannya. Dia tahu, senyuman manis itulah yang telah berjaya memikat ramai gadis di ibu kota itu. Dan dia yakin gadis berambut lurus dan lebat itu juga akan tertawan dengan senyuman dan sikapnya nanti.
“Hai, Yuni!” Dia mula menegur Yuni, teman wanita Zed. Senyuman manisnya meleret pula ke arah gadis yang duduk di sebelah Yuni.
“Hai…,” tegurnya dengan sopan. Tangan kanannya dihulur untuk bersalam dengan gadis manis itu. Dia mengharap benar agar huluran tangannya disambut. Jika disambut, bermakna harapannya masih ada.
“Hai,” jawab Maira. Huluran salam Fariz disambut mesra namun hanya sebentar, tangan Fariz dilepaskan pergi.
“Tak masuk race ke?” tanya Yuni sebelum dia menoleh ke arah Zed yang baru tiba di sebelahnya. Dia tersenyum.
Fariz menggeleng. Sebuah kerusi ditarik menghadap Yuni dan gadis manis itu lalu dia duduk dengan selamba. “Kawan Yuni?” Dia berpura-pura bertanya kepada Yuni. Renungan mata Zed yang tajam tidak dihiraukan.
Yuni yang bertudung merah muda hanya tersenyum lebar. Dia menjeling sekilas ke arah Zed di sebelahnya dan lantas mengangguk laju. “Nak kenal ke?”
Fariz tergelak besar. “Kalau orang sudi nak kenalkan kita,” balasnya.
Dia memang sudah kenal dengan Yuni. Itupun setelah Yuni berkawan rapat dengan Zed dan Zed selalu membawa Yuni ke mana-mana acara syarikat atau perjumpaan. Dia pula mengenali Zed sejak di universiti lagi. Di antara dia dan Zed ada satu persamaan yang ketara, mereka sama-sama meminati acara lumba lari jarak jauh, cuma hari ini kakinya sakit jadi dia tidak mengambil bahagian dalam acara itu. Namun dia juga tidak sangka itu satu rahmat buatnya. Dengan adanya gadis manis itu, sakit di mana pun dia tidak kisah lagi.
“Ini Maira. Kawan maya Zed. Sekarang sudah tak maya lagi…,” kata Yuni. Senyuman di bibirnya disusuli ketawa kecil penuh makna.
“Kawan maya? Apa maksud tu?” Fariz pandang Yuni, kemudian Maira. Kehadiran Zed di yang duduk bertentangan dengannya sudah seakan sirna. Maklumat baru itu lebih menarik daripada segala yang diberitahu oleh Zed. Harapannya mula berbunga.
Yuni dan Maira berbalas pandang. Kedua-duanya tidak menjawab.
“Jangan kata Maira dan Zed berkenalan melalui Facebook…” Fariz bersuara lagi.
Dia mula geram bercampur kesal. Kenapa dia tidak perasan kehadiran Maira di dalam senarai kawan-kawan Zed sebelum ini. Bahkan tidak pernah pula kelihatan nama Maira di catatan dinding Facebook Zed. Baru dia ingat, Zed sentiasa menyembunyikan senarai rakan-rakannya di situ, begitu juga gambar dan lain-lain. Zed begitu perahsia, gambar Yuni pun tidak pernah dipaparkan. Entah kenapa.
Yuni dan Maira tersenyum lagi. Hanya Zed yang menayangkan wajah tidak berperasaan.
“Haah, dari Facebook. Macam mana mereka boleh berkawan tu, tak tahulah,” balas Yuni akhirnya setelah Fariz merenungnya tidak putus.
“Nanti bolehlah saya hantar add request. Apa nama di Facebook?” tanya Fariz terus kepada Maira.
Mata Maira terkelip-kelip. Wajahnya merah padam, dia menyelak anak rambutnya ke belakang telinga seraya menjeling sekilas ke arah Zed. Dia tahu Zed cukup tidak senang apabila orang bertanyakan fasal akaun Facebook miliknya.
Zed memandang wajah Maira, mereka bagaikan berbicara dalam diam.
Yuni di tengah-tengah mula gelisah.
******
“Lama lagi ke nak mula?” tanya Yuni kepada Zed.
Renungan Zed ke wajah Maira membuat hatinya tidak senang. Dia tahu Zed dan Maira sudah hampir tiga tahun berkenalan melalui Facebook dan sejak minggu lalu Maira telah kembali ke Malaysia untuk bercuti. Sejak itu, dia perasan Zed asyik resah gelisah namun untuk ditanyakan sebabnya dia tidak berani.
Zed melihat jam tangannya, dan kemudian menjawab, “lagi sejam.” Itu sahaja.
Jawapan yang meresahkan hatinya. Bahkan menambahkan kerisauan di hatinya sejak seminggu yang lalu. Dia faham Zed gembira dengan kepulangan Maira. Malah dengan izinnya, Zed telah menjemput gadis itu di KLIA minggu lalu. Adakah dia yang tersalah memberikan keizinan?
Walaupun Zed mengatakan di antara dia dan Maira hanya sekadar teman lama yang tidak pernah bersua muka… dia sedar rasa cemburu sudah mula berputik di hatinya setelah kali pertama bersua muka dengan Maira pagi ini. Ternyata gadis bernama Maira itu bukan gadis biasa. Gadis itu manis, tutur katanya sopan dan anak seorang datuk. Dengan tiba-tiba sahaja, dia rasa begitu kecil di hadapan gadis itu. Apalagi apabila melihat cara Zed memandang Maira.
“Kenapa diam saja, Maira? Kenal-kenallah. Ini Fariz. Kawan Zed juga. Pernah nampak di Facebook, kan? Ada saja dia menempel di wall Zed.” Yuni cuba meriuhkan suasana. Mungkin itulah yang terbaik dapat dilakukan untuk menyelamatkan keadaan. Menyelamatkan dirinya juga.
Fariz tersenyum lebar. “Maira… tapi kenapa tak pernah nampak nama tu di wall Zed? Atau Maira guna nama lain?”
Yuni segera mengangguk. “Dalam Facebook, dia guna nama Ayu M. Sebab nama penuhnya… Ayu Maira,” jelas Yuni dengan cepat.
“Ayu M?” Fariz mengerutkan muka seketika. “Macam pernah nampak nama tu. Maira guna gambar bunga ros merah, bukan? Ya, kan?” Kini wajahnya berseri-seri seolah telah berjaya mengungkapkan satu misteri besar.
Maira hanya tersenyum, kemudiannya mengangguk perlahan.
“Betullah, tu,” kata Yuni sambil ketawa kecil.
Fariz terangguk-angguk. “Nanti balik, saya add, okey. Jangan lupa accept. Itupun kalau Cik Maira kita ni, sudi jadi kawan saya.”
Zed menjeling tanpa suara. Dari wajah Fariz ke wajah Maira yang hanya tersenyum tanpa jawapan.
Yuni memerhati wajah Maira yang hanya tersenyum. Selagi Maira tidak memberikan persetujuan, hatinya terasa sesuatu. Tidak pernah ditemui, gadis yang tidak mahu berkawan dengan Fariz sebelum ini. Malah kawan-kawannya sendiri berebut mahu tahu akaun Facebook Fariz daripadanya. Maklumlah Fariz kacak macam model. Senyumannya bisa meluruhkan jantung gadis. Bicaranya sopan dan walaupun Fariz sedar kelebihannya, Fariz bukan buaya atau kasanova seperti yang difikirkan orang. Fariz cuma gemar mengusik dan berkawan namun tidak lebih daripada itu. Setahu dia, Fariz pernah kecewa satu ketika dahulu dan sejak itu Fariz belum pernah mahu mengenali mana-mana gadis dengan serius. Cuma kali ini dirasakan renungan mata Fariz  terhadap Maira lain benar.
Maira menghela nafas dengan perlahan. Di sebalik senyumannya terlukis riak yang serba-salah. Lebih-lebih lagi apabila dua orang pemuda merenungnya serentak.
*****
“Maira nak air?” tanya Zed. Dia mengangkat punggung dari situ.
Maira memandang sekeliling. Selain mereka berempat, khemah dan persekitaran kawasan itu dipenuhi oleh peserta dan penyokong yang hadir untuk acara lumba lari itu. Terasa sedikit janggal kerana kerap menjadi mangsa renungan kawan-kawan Zed dan Yuni sejak tiba di situ pagi tadi. Jika bukan kerana ajakan Zed dan mahu mengenali Yuni secara berdepan, dia tidak akan ke situ langsung. Kini, dia mula berasa rimas berada di tengah-tengah mereka bertiga. Dan apa yang membuat dia serba-salah adalah riak kurang senang yang terpamer di wajah Zed sejak Fariz mendekatinya.
“Boleh juga. Kalau tak menyusahkan,” balasnya kepada pertanyaan Zed itu.
“Tak apa, Zed. Kau pergilah uruskan pendaftaran peserta tu. Biar aku yang jaga mereka berdua ni. Maira nak air apa?” Fariz turut bangun daripada kerusi.
“Tanya Maira aje? Saya tak nak tanya ke?” Yuni menarik muka masam sambil menjeling ke arah Zed.
“Cik Yuni nak minum air apa? Mineral? Atau Twister?” tanya Fariz pula sambil menjenguk gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis minuman di tepi jalan sana. Kemudian dia kembali memandang wajah Maira.
Zed yang tadi terkaku di situ melihat gelagat Fariz mula beredar. Yuni dan Maira serentak memandang tanpa suara.
“Apa-apa sajalah,” balas Maira.
“Saya nak Twister laici. Sejuk punya,” pesan Yuni dengan wajah yang serius.
Fariz mengangguk seraya bergerak meninggalkan khemah itu, kini hanya tinggal Maira dan Yuni di situ.
“Fariz tu memang macam tu. Terlebih peramah… tapi dia baik hati sebenarnya. Jangan takutlah kalau nak berkawan dengan dia kat Facebook. Dia okey. Dah lama dia kenal Zed, sejak di universiti dulu,” kata Yuni panjang lebar mengenai Fariz.
Maira tersenyum lagi. Dia tidak tahu apa yang harus dikatakan mengenai perkara itu. Tidak pernah timbul niat di hatinya untuk mengenali sesiapa di situ, dia hanya datang untuk memberikan sokongan kepada Zed dan untuk mengenali Yuni dengan lebih rapat. Selepas itu dia akan pergi meninggalkan kedua-duanya.
“Nah!” Satu suara membuatkan keduanya serentak berpaling.
Zed kembali dengan sebotol air mineral dan sebotol Twister berperasa Laici. Botol air mineral diserahkan kepada Maira dan botol air Twister diserahkan kepada Yuni.
Maira menyambut botol air itu perlahan-lahan, begitu juga dengan Yuni. Dan apabila Fariz kembali dengan botol air yang sama, keempat-empatnya terdiam.
******
Beberapa minit telah berlalu. Maira meneguk air mineral dari botol yang diberikan oleh Zed. Yuni pula meneguk air laicinya perlahan-lahan tanpa suara. Fariz hanya tersenyum tawar walaupun mukanya merona kemerahan seolah malu. Hanya Zed yang bersikap selamba di situ.
“Lagi setengah jam, race dah nak mula. Tunggu saya dekat sini,” pesan Zed. Entah kepada siapa.
“Berapa jam agaknya kali ni?” tanya Yuni pula. Sehelai tuala kecil dihulurkan kepada Zed yang sedang menampalkan nombor pada bajunya. Dia bangun untuk membantu menyematkan pin.
“Mungkin dua jam. Kali ni saya akan lari secepat mungkin,” balas Zed.
Anak matanya melirik ke arah Maira. Entah kenapa pagi ini, dia dapat merasakan sikap Maira agak berlainan. Di sebalik senyuman, ada riak sendu di mata gadis itu. Tidak seperti sewaktu kali ini pertama dia bertemu gadis itu di KLIA seminggu yang lalu. Pada waktu itu wajah Maira begitu berseri-seri bak bulan penuh. Dia sendiri tidak menduga perasaannya akan gembira sekali pada waktu itu. Akhirnya setelah tiga tahun berkenalan, dia dapat bersua muka juga dengan Maira, kenalannya di Facebook yang paling di….
“Dua jam? Boleh ke kau?” Suara Fariz kedengaran.
“Kau fikir aku tak boleh buat dalam masa dua jam?” tanya Zed semula. Nadanya mula tinggi dan tegang.
Champion tahun lepas pun catat dua jam sepuluh minit. Kau tak tengok papan kenyataan tu?”
Zed mengeluh. “Ni champion baru….” Jawapannya mendatar sahaja. Hatinya mula tercabar dengan kata-kata Fariz. Fariz tidak tahu yang dia sedangkan merisaukan sesuatu.
“So? Maira akan tunggu, kan? Atau awak nak balik?” tanya Zed pula kepada Maira. Yuni hanya memandang.
Maira menelan liur. “Kalau Zed nak saya tunggu, saya tunggulah. Kalau tak… saya balik.”
Zed mengangguk. “Boleh kita bercakap sekejap?” tanya Zed sambil merenung tepat ke wajah Maira. Kemudian beralih ke wajah Yuni untuk meminta izin.
Yuni tidak membalas apa-apa. Dia hanya melihat Zed mengajak Maira ke suatu sudut di hujung khemah itu.
******
“Kenapa saya tengok mereka tu pelik sangat?” Dengan tanpa diduga Fariz bersuara. Namun pandangan matanya masih menyorot ke arah Maira yang mengekori Zed ke hujung khemah.
“Apa yang pelik?” tanya Yuni perlahan. Dia tunduk memandang rumput di hujung kaki.
“Berapa tahun awak kata Zed kenal Maira dalam Facebook?”
“Tiga tahun. Kenapa?” Yuni pandang wajah Fariz lama-lama.
“Tiga tahun… maknanya, Zed kenal Maira dulu sebelum kenal Yuni, kan?” Mata Fariz terkelip-kelip.
Yuni mengangkat kening lalu mengangguk perlahan. “So?”
“Yuni tak rasa pelik ke tengok mereka berdua tu? Macam….” Kata-kata Fariz terhenti apabila terlihat wajah Yuni yang mendung bak awan kelabu. “Sorry… saya tak bermaksud nak…”
Yuni menggeleng laju. “Zed tak pernah cerita ke pasal Maira pada awak? Awak kan dah kenal dia lebih lama daripada saya?”
“Itu yang saya hairan. Saya kenal Zed sudah dekat lima tahun. Tapi saya tak pernah dengar dia cerita apa-apa pasal Maira. Jika Maira adalah Ayu M dalam Facebook pun, jarang sangat saya nampak nama tu di wall Zed. Malah jika tidak silap saya, apa yang ditulis Maira adalah sesuatu yang sangat biasa aje.”
“Awak jangkakan sesuatu yang luar biasa?” Yuni pandang Fariz lagi.
Fariz menjungkitkan bahu. Wajahnya sama muram. “Kalau awak nak tahu, saya kenal makwe Zed yang dulu. Bahkan saya kenal semua kawan-kawan perempuan Zed kecuali kali ini. Sebab itu saya mati-mati fikir dia kawan awak tadi.”
“Saya pun baru sahaja diberitahu tentang Maira. Kira-kira seminggu sebelum Maira balik ke sini,” terang Yuni. Dia menghela nafas panjang.
“Sebelum tu Zed tak pernah cerita apa-apa?”
Yuni menggeleng. “Saya pernah nampak Maira tulis sesuatu di wall Zed. Apabila saya tanya siapa dia, Zed kata itu cuma kawan dia. Saya diam sajalah sebab macam awak cakap, Maira tulis perkara yang biasa-biasa, itupun nampak sangat formal. Tak nampak mesra atau cuba bergurau seperti gadis lain dengan Zed.”
“Kemudian apa yang Zed beritahu awak pasal Maira?”
Yuni termenung sebentar. “Kira-kira seminggu sebelum Maira balik, saya mula perasan Zed agak resah tapi saya takut nak bertanya apa-apa. Saya fikir, dia risaukan soal kerjanya yang banyak di pejabat tu.”
“Jadi sekarang awak fikir lain?”
Yuni pula yang menjungkitkan bahunya sambil menggeleng. “Saya tak pasti apa yang saya fikir sekarang. Zed kata Maira adalah kawan lamanya. Malah dia kata, dia sudah mengenali Maira sebelum Maira berangkat ke UK lagi untuk menyambung pelajaran. Mereka tak pernah bertemu sehinggalah sekarang. Selama ini mereka hanya berhubung melalui Facebook dan e-mel.”
“Tentu mereka rapat, kan? Kalau tidak… mustahil mereka boleh mempertahankan persahabatan mereka selama tiga tahun secara jarak jauh?”
“Entahlah… saya tengok Maira seorang gadis yang baik. Zed pula tidak kata apa-apa tentang perhubungan mereka. Mungkin saya tak perlu fikirkan yang bukan-bukan…,” kata Yuni lagi sambil menghempaskan keluhan.
Dari situ dia masih dapat melihat Zed dan Maira berbual mesra di hujung khemah. Sedikit demi sedikit, rasa cemburunya mula tumbuh. Jika tidak ada rahsia, kenapa Zed membawa Maira jauh dariapada dia dan Fariz? Cakap sahajalah di hadapan mereka, apa yang cuba dirahsiakan?
“Cubalah awak tanya Zed baik-baik nanti. Awak ada hak….,” kata Fariz sambil melemparkan pandangan ke arah Maira.
******
Maira cuba untuk tidak membalas renungan Zed. Entah kenapa, dia berasa seperti tidak selesa. Di hadapannya Zed yang asyik memandang wajahnya, di sana pula Fariz dan Yuni yang asyik menoleh-noleh ke arahnya dengan pandangan yang tertanya-tanya. Ah! Menyesal pula dia mengikut telatah Zed. Sepatutnya dia membantah tadi tetapi sebenarnya dia cuba melarikan diri daripada Fariz yang semakin cuba mendekatinya.
“Kalau awak nak balik, baliklah dulu. Saya mungkin habis lambat sikit walau cuba dapatkan bawah dua jam tu,” kata Zed sambil tersenyum.
“Awak tak marah ke, saya balik dulu? Tapi rasanya macam tak patut pula, kan? Tadi datang sebab nak berikan sokongan pada awak,” balas Maira sejujurnya. Mungkin jika Fariz tidak datang menganggu, dia tidak kisah berada berapa lama pun di situ bersama Yuni. Lagipun itu kan kali pertama dan terakhir dia akan melihat Zed dan Yuni berdua?
“Marah. Saya mahu awak tunggu di garisan akhir, okey? I’ll be the champion in front of you,” balas Zed dengan selamba saja. Hari itu dia seolah mendapat semangat yang luar biasa hebatnya. Dia mahu Maira melihat dia menang. Bahkan dia mahu menghadiahkan medalnya kepada Maira, itulah cadangannya hari itu.
“Bagaimana dengan Yuni?” Maira sedar, Zed sudah terlupakan Yuni. Bukankah Yuni yang seharusnya menunggu Zed di garisan penamat?
“Dia kalau dah jumpa Fariz, berborak tak habis-habis,” balas Zed pula.
Anak mata Maira melirik ke arah Yuni dan Fariz. Memang keduanya sedang rancak berbual entah apa-apa. Sesekali mereka berdua nampak serius dan sesekali ketawa pula. Maira diam sahaja, mungkin Zed lebih mengenali Yuni daripada dia.
“Jangan layan Fariz tu. Kalau dia hantar add request jangan accept. Ignore saja atau delete terus.” Dengan tiba-tiba Zed berpesan. Riak wajahnya kembali serius.
Maira tergamam. Lambat-lambat dia bertanya. “May I know why?”
Zed mengeluh. Dia mengetap bibirnya sambil bercekak pinggang. “Just do it, okey? Saya tak suka.”
Maira tidak tahu mahu menjawab apa. Untuk bertanya pun dia rasa tidak berdaya. Dia bukan tidak tahu perkara itu. Selama ini pun, Zed sentiasa mengingatkannya di Facebook agar tidak menerima Add request daripada lelaki yang lain terutamanya daripada kawan-kawan yang mengenali dirinya. Dia tidak bertanya kenapa, pada fikirannya mungkin Zed tidak suka persahabatannya diketahui oleh sesiapa. Sejujurnya dia berasa sedih tetapi dia terlalu sayangkan persahabatannya dengan Zed yang telah terjalin sekian lama.
Akhirnya Maira mengangguk. “Awak ajak saya ke sini, hanya nak bercakap fasal ini ke?”
“Maira….” Zed terdiam seketiak. “Jangan lost contact lagi, okey? Please… jangan buat lagi macam dulu tu.”
Maira terkebil-kebil. Dia faham apa yang Zed maksudkan. Dia pernah memutuskan hubungannya dengan Zed selama beberapa bulan. Setiap mesej yang Zed kirimkan ke kotak Facebook, tidak dibalas seperti selalu. Apalagi e-mel yang dihantar ke kotak e-melnya, namun Zed seperti tidak pernah berputus asa. Setiap minggu ada sahaja celotehnya.
Akhirnya dia mengalah kepada kesungguhan Zed, lalu dia kembali membalas mesej Zed dan persahabatan mereka bertaut semula. Cuma sampai ke saat ini, Zed tidak pernah tahu kenapa dia mengambil tindakan seperti itu. Bukan Zed tidak pernah bertanya, cuma dia yang tidak mahu menjawab. Namun hari ini, permintaan Zed itu sungguh sukar untuk ditunaikan.
“Zed….” Dia tidak sampai hati. Bahkan itu bukan seperti yang dirancangkan langsung sejak dia menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Ya? Janji, okey?”
“Awak sendiri tak pernah tepati janji,” balas Maira sambil tersenyum hambar.
Zed terkebil-kebil. “Awak marah? Tapi saya tak pernah berjanji, kan? Awak yang minta saya berjanji. Saya tak pernah bersetuju.”
“Tapi itu penting, Zed.”
Berapa kali sudah dia mengingatkan Zed tentang perkara itu. Sudah entah berapa kali pula dia berpesan agar Zed memberitahunya jika sampai ketikanya Zed mempunyai seorang teman wanita, Zed harus memberitahunya supaya dia boleh beralah dan mengundurkan diri daripada hidup Zed. Sayangnya Zed mungkir. Zed hanya memberitahunya setelah dia menjejakkan kaki ke Malaysia. Dengan perasaan bersalah dan sedih, dia terpaksa menerima berita itu pada pertemuan mereka yang berlaku di KLIA tempoh hari. Baru dia tahu siapa Yuni yang menulis status di wall Zed selama ini. Dia fikirkan itu bekas rakan sekuliah Zed.
Zed menggeleng. “Saya tetap tak bersetuju. Kenapa saya mahu memutuskan persahabatan kita hanya kerana saya berkawan dengan Yuni?”
“Kenapa awak tak izinkan saya add Fariz?” tanya Maira pula.
Kesabarannya mula hilang. Selama tiga tahun dia berkawan dengan Zed, dia berada di sisi Zed semasa susah dan senang, semasa Zed sedih dan gembira namun Zed tidak pernah faham perasaan yang disimpan untuk lelaki itu sekian lama. Alih-alih seminggu yang lalu, pada pertemuan pertama mereka, Zed berterus-terang tentang Yuni. Kenapa? Kenapa Zed menyembunyikan perkara itu daripadanya?
“Itu lain, Maira,” balas Zed dengan serius namun wajahnya mula merah padam kegelisahan.
“Lain? Apa yang lain? Selama ini, awak selalu tak membenarkan saya terima add request sesiapa di Facebook. Apa lagi jika daripada kawan-kawan awak. Kenapa?”
“Penting sangat ke nak add mereka semua tu?” tanya Zed pula.
Maira terdiam. Memang tidak penting langsung tetapi yang menjadi persoalannya ialah kenapa Zed perlu menghalang? Apa kena-mengena dengan Zed? Jika dikatakan Zed mahu melindunginya juga tidak logik. Dia bukan sesiapa dengan Zed selama ini, hanya kawan di alam maya. Bukan begitu?
“Okey. Kalau awak rasa nak berkawan sangat dengan si Fariz tu… add sajalah dia di Facebook.” Akhirnya Zed bersuara lirih sebelum berpaling pergi.
“Zed….” Maira memanggil. “Goodluck!” Dia cuba tersenyum. Riak sedih di wajah Zed membuat hatinya rawan. Walaupun selepas tiga tahun lelaki itu tetap mendera perasaannya dengan sikap yang mencabar kesabarannya.
Zed berhenti melangkah. “Tunggu di garisan penamat!” laungnya dari celah-celah orang ramai yang sudah berpusu-pusu ke tepi jalan untuk melihat acara itu dimulakan.
Maira hanya tersenyum tawar. ‘Selamat tinggal, Zed!’ Ucapnya dalam hati.
******
Dentuman bunyi pistol angin yang dilepaskan marsyal pertandingan, membuatkan  Yuni dan Fariz menoleh serentak ke arah jalan raya di mana pertandingan itu sedang dimulakan. Kira-kira lima ratus orang peserta kelihatan sedang memulakan larian tepat pada pukul 8.00 pagi. Antara yang ramai itu, adalah Zed yang memulakan larian dengan agak pantas.
“Dah mula, dah,” kata Fariz sambil berdiri dan menjenguk.
Yuni turut bangun sekali dan kemudian menoleh ke arah hujung khemah namun dia terperanjat apabila Maira tidak kelihatan di situ. Dia lantas menepuk lengan Fariz. “Di mana, Maira?”
Fariz terperanjat lalu ikut tertoleh-toleh ke serata arah. “Mari kita berpecah cari dia. Ke mana pula perginya budak tu?” Dia melangkah ke arah luar khemah dengan perasaan yang bimbang. Dia belum bersedia untuk melepaskan Maira pergi begitu sahaja.
Yuni tidak menjawab, langkahnya laju menuju ke hujung jalan. Di situ ada selekoh yang membawa arah ke luar daripada taman rekreasi itu. Entah kenapa kakinya ringan untuk melangkah ke situ dan seperti yang dijangka dia terlihat kelibat Maira yang sudah melangkah menuju ke tempar parkir. Dia terus mengejar.
“Maira!” jeritnya dalam jarak lima puluh meter. “Tunggu!” Dia mempercepatkan larian apabila kelihatan Maira sudah mula membuka pintu kereta Mercedesnya.
“Maira! Kenapa nak balik senyap-senyap ni? Zed tahu ke Maira nak balik?” tanya Yuni sambil berselang nafas yang tersangkut-sangkut.
Wajah Maira berubah pucat. Dengan perlahan dia menoleh ke arah Yuni yang sedang termengah-mengah. “Saya ada hal,” jawabnya pendek.
“Ada hal? Dah beritahu Zed?” tanya Yuni lagi.
Maira menggeleng.
Yuni terdiam seketika. Raut wajah Maira yang kesedihan membuatkannya tertanya-tanya. “Kalau awak ada hal lain, tak apalah. Nanti saya bertahu Zed, okey?”
Maira mengangguk sambil cuba tersenyum. “Saya balik dulu,” katanya sebelum membuka pintu keretanya.
Yuni bergerak ke tepi. Fikirannya masih bingung. Dia masih tertanya-tanya apa yang telah terjadi kepada Maira ataupun apakah yang telah terjadi di antara Maira dan Zed sebentar tadi. Namun tidak wajar rasanya untuk menghalang pemergian Maira dari situ. Mungkin benar, Maira ada hal yang lebih penting. Dan mungkin juga kesedihan yang terpapar di wajah Maira itu bukan langsung disebabkan oleh Zed atau sesiapa di situ.
Sebaik sahaja kereta Maira bergerak, meninggalkan kotak parkir, dia hanya mampu melambaikan tangan. Entah kenapa jauh di sudut hatinya seakan ada suara yang berbisik lembut… dia tidak akan bertemu lagi dengan gadis itu.
*****
“Jumpa tak?” Fariz terus bertanya sebaik sahaja dia dan Yuni bertemu semula di bawah khemah.
Yuni mengangguk lemah.
“Ada? Di mana dia?” Fariz tertoleh-toleh tetapi kelibat Maira tidak kelihatan langsung. Dia mula berasa hairan, apalagi apabila melihat Yuni yang seolah sedang bersedih. Kenapa ni?
“Dia dah balik,” jawab Yuni perlahan. Kali ini Yuni melemparkan pandangan ke arah laluan acara lumba lari pagi itu. Kelihatan Zed sudah menghabiskan pusingan pertamanya dan sedang berada di tempat ketiga. Sorakan penonton mula bergema memberikan semangat.
“Balik? Kenapa dia tak tunggu sampai Zed habis lari?”
Yuni menarik nafas panjang. Kemudian menjungkitkan bahu tanda tidak tahu. Sambil menjeling ke arah Fariz, dia menjawab. “Tapi dia kata tadi dia ada hal.”
Kali ini Fariz mendiamkan diri. Dia mula berasa kecewa kerana tidak sempat mengenali Maira dengan lebih dekat, malah belum sempat bertukar nombor telefon. Namun dia segera teringatkan akaun Facebook Maira. “Nama dia di Facebook ialah Ayu M, kan?”
Yuni mengangguk. “Tapi jangan harap sangat, Fariz….”
“Kenapa awak cakap macam tu pula?”
“Saya tak fikir Maira akan terima add request awak,” balas Yuni laju tanpa berpaling. Dia masih melemparkan pandangan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang seronok berkejaran di celah-celah pokok bunga tidak jauh dari khemah itu.
“Belum tahu lagi….” Fariz cuba untuk terus berharap. “Awak ada nombor telefon dia?”
Yuni menggeleng. “Hanya Zed yang ada. Awak cubalah minta dengan dia, itupun kalau awak bernasib baik.”
“Maira ada dalam friendlist awak?” tanya Fariz lagi. Dia masih memikirkan jalan untuk menghubungi Maira. Jika dia minta nombor telefon Maira terus daripada Zed, dia tidak yakin langsung akan memperolehinya.
“Tak. Zed tak benarkan saya add Maira,” balas Yuni.
“Tak?” Dahi Fariz berkerut lagi. “Kenapa pula?”
“Manalah saya tahu? Saya malas nak bergaduh dengan Zed semata-mata kerana Maira. Nanti dia kata saya cemburu buta pula sampai nak stalk semua profail member perempuan dia.”
“Perempuan lain mungkin tak perlu tetapi ini Maira…,” sampuk Fariz dengan senyuman sinis. Hatinya mula terasa tidak senang. Dia dapat melihat betapa Zed menyembunyikan Maira daripada semua kawan-kawannya. Tetapi kenapa? Apa yang Zed takut sangat jika dia, Yuni atau sesiapa sahaja berkawan dan mengenali Maira dengan lebih rapat. Zed cemburu?Dia kan sudah ada Yuni?
“Awak jangan nak tuduh yang bukan-bukan,” kata Yuni. Kali ini dia sudah menarik wajah masam.
“Habis tu? Yang sembunyi sangat tu kenapa? Maira bukan makwe dia pun….”
Yuni berpaling dan merenung wajah Fariz. Wajahnya merah padam.
******
Senyuman di wajah Zed tidak lekang sejak tadi. Walaupun lututnya sudah terasa kebas dan jalannya goyah namun kegembiraaan di hatinya mengatasi segala-gala rasa yang ada. Dia besyukur kerana impiannya untuk bergelar juara pertandingan itu telah tercapai. Dengan catatan 1 jam 57 minit, dia berjaya menamatkan acara itu namun hingga selesai acara penyampaian hadiah di pentas utama, dia belum dapat melihat wajah Maira di mana-mana.
“Tahniah! Mujur kaki aku sakit hari ni… dapat juga kau jadi champion,” usik Fariz sebaik sahaja dapat mendekati Zed.
Yuni yang ada di sebelah Zed hanya tersenyum manis. Trofi yang dibawa Zed kini berada digenggamannya.
“Mana Maira? Aku dah pesan, suruh dia tunggu aku di garisan penamat tadi tapi tak ada pun? Dia pergi toilet ke?” tanya Zed pula sambil menyapu peluh yang masih bercucuran keluar pada dahinya.
Fariz dan Yuni sama-sama terdiam.
Zed menjadi hairan. Dia memandang wajah Yuni dan Fariz silih berganti. Ucapan tahniah dan tepukan dibahunya sudah tidak diendahkan. Semuanya datang dan pergi bagai angin lalu, dia hanya mahu tahu di mana Maira.
“Maira dah balik, Zed.” Akhirnya Yuni yang menjawab soalan itu.
“Balik? Sejak bila?” Zed rasa hendak tumbang. Tanah yang dipijak terasa lembut dan beralun.
“Sebaik sahaja acara bermula tadi,” jawab Yuni lagi.
Mata Zed terkebil-kebil. “Kenapa?” Dia bergegas mencari beg sandangnya dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Tidak ada mesej daripada Maira. Tidak ada apa-apa pun.
“Dia kata dia ada hal.” Yuni pegang lengan Zed.
Zed berpaling menghadap Yuni. Air matanya bergenang. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena di situ. Dia tahu Maira seorang yang keras hati dan berpegang kepada kata-katanya. Dia juga dapat merasakan Maira berkecil hati kerana dia telah memilih Yuni namun… dia juga tidak bersedia untuk kehilangan Maira buat kali keduanya.
“Zed! Awak nak ke mana tu?” jerit Yuni apabila Zed tiba-tiba sahaja menarik beg sandangnya dan bergegas pergi.
Zed tidak berpaling lagi.
******
Sebulan selepas itu di KLIA….
“Awak nak pergi juga?” tanya Yuni. Kepalanya ditundukkan sambil kedua belah tangannya menyeluk poket jaket yang dipakai. Rasanya kalau boleh, ingin sekali dia menghalang pemergian Zed ke London.
Zed memandang wajah Yuni yang muram. Dia tahu Yuni sedih. Dia tahu hati Yuni remuk namun kenyataan adalah kenyataan. “Saya akan pergi cari Maira.”
Mata Yuni terkelip-kelip. Nampak jelas, di matanya bergenang air mata yang pada bila-bila masa sahaja akan tumpah ke pipi. Dia kemudiannya mengangguk. “Awak tak pernah ada perasaan pada saya, kan?” tanyanya lagi. Akhirnya air matanya menitik juga, lalu diseka tanpa ragu-ragu.
“Sudah jelas,” balas Zed dengan yakin. “Awak sudi memaafkan saya?”
Yuni mengangguk. “Cinta tak boleh dipaksa. Sedalam mana pun saya cintakan awak, takkan bererti, kan? Kerana cinta awak hanyalah untuk Maira selama ini….”
Zed melepaskan keluhan. Bukan dia tidak berasa bersalah dan kasihan kepada Yuni tetapi sudah sampai masanya dia menjadi seorang lelaki yang berani membuat keputusan. Di antara Yuni dan Maira, dia sedar dia tidak boleh kehilangan Maira. Apa yang ada untuk Yuni adalah rasa kasihan dan terpaksa.
“Satu hari nanti, awak pun akan menemui lelaki yang tidak lengkap hidupnya tanpa awak, Yuni. Just wait.”
“Hidup saya tak lengkap tanpa awak, Zed.” Yuni menangis lagi. Kali ini makin kuat. Bagaimana lagi ingin diluahkan rasa cintanya kepada lelaki itu? Zed seolah tidak faham-faham.
Hati Zed terasa pedih. Betapa dia tidak mahu melihat hati Yuni remuk begitu, dia mula berasa serba-salah semula. Dia menghela nafas lalu melontarkan pandangan ke arah kapal terbang besar dan kecil yang mula mendarat di luar cermin namun jawapannya tidak ada di situ. Dia berasa tersepit di antara kehendak hati dan kehendak Yuni.
“Saya dah buat pilihan dan saya telah minta maaf,” katanya dengan jelas. Dia sedar, dia tidak mungkin berpura-pura mencintai Yuni.
“Apalah gunanya sesuatu perhubungan yang tidak dibina di atas dasar keikhlasan dan kejujuran, Yuni. Lambat-laun ia akan menjadikan kita sama-sama menderita,” tambahnya lagi.
Itulah yang disedarinya sejak kebelakangan ini. Dia tidak mungkin terus dapat berpura-pura mencintai Yuni sedangkan hatinya mencintai Maira. Dia tahu, hatinya menderita dan lambat-laun Yuni juga akan menderita dengan sikapnya. Siapa yang akan bahagia antara mereka bertiga? Tidak ada sesiapa.
“Izinkan kami bahagia, Yuni. Semoga Tuhan membalas kebaikan awak dengan menghadirkan pula kebahagiaan yang awak impikan selama ini. Mungkin saya bukanlah kebahagiaan awak. Saya cuma hadir hanya untuk mengajar awak erti kejujuran.”
Yuni berhenti menangis. Air matanya telah kering. Renungan matanya kosong. Lama dia terdiam sebelum kembali membuka mulut. “Pergilah… carilah kebahagiaan awak di sana. Jangan risaukan saya. Jika awak bukan kebahagiaan saya, pasti ada yang lain, kan? Saya akan mendoakan kebahagiaan awak bersama Maira. Tolong doakan saya juga.”
“Terima kasih, Yuni,” ucap Zed sebelum bangkit mengambil beg sandangnya lalu disangkutkan ke bahu. Tidak lama lagi kapal terbangnya akan bertolak.
“Zed!” Seseorang memanggilnya.
Zed dan Yuni serentak menoleh. Kelihatan Fariz berjalan laju ke arah mereka berdua.
“Dah nak masuk ke?” tanya Fariz dengan dada yang sedikit berombak.
Zed sekadar mengangguk. Perasaannya bercelaru apabila melihat Fariz di situ. Mungkin Yuni yang beritahu Fariz bahawa dia akan ke UK mencari Maira. Dia tidak ingin menjelaskan apa-apa kepada Fariz.
“Sampaikan salam aku kepada Maira. Katakan pada dia… jangan merajuk lama-lama sangat,” pesan Fariz sambil tersenyum hambar.
“Okey… tolong tengokkan, Yuni,” pesan Zed pula lalu menghulurkan tangan untuk bersalam.
Setelah mereka berjabat salam. Zed memegang bahu Yuni. “Jangan sedih sangat, okey. Awak akan bahagia nanti, awak cuma perlu percaya.” Lalu dia mengangguk sekali.
Yuni tersenyum kelat. Sambil melambaikan tangan, dia dan Fariz hanya melihat Zed melangkah pergi.
*****
 Beberapa minit telah berlalu. Yuni dan Fariz sama-sama termenung di dalam kedai KFC. Kedua-duanya leka mengacau air milo di hadapan masing-masing tanpa suara. Hanya suara keriuhan kanak-kanak yang bermain di tempat permainan yang terletak di luar kedai itu yang menyuntik kehangatan kepada suasana yang seakan beku dan dingin.
“So? Dia pergi juga….” Akhirnya Fariz bersuara setelah penat menunggu Yuni membuka mulut. Gadis bertudung lilit bercorak biru hitam di hadapannya hanya tunduk sedari tadi bagaikan tidak mahu lagi memandang dunia di sekelilingnya. Dia sedar Yuni sedang bergelut dengan rasa tewas yang mencengkam. Dia pernah merasakannya suatu ketika dahulu.
“Lepas ni Yuni nak buat apa?” tanyanya lagi. Cuba untuk mengalihkan perhatian Yuni.
Yuni angkat bahu seraya menggeleng lemah.
“Boleh saya hantar Yuni balik? Atau Yuni nak jalan-jalan dulu?”
Yuni diam sahaja.
“Atau Yuni nak tengok wayang? Ada cerita best. Nak?” tanya Fariz lagi sambil tersenyum nipis. Pilu pula hatinya apabila melihat Yuni begitu. Yuni bukanlah gadis cengeng. Selama ini Yuni selalu tersenyum, wajahnya manis dan selalu menyuntik kehangatan kepada sesiapa yang memandangnya. Namun hari ini wajah itu bak matahari yang dilanda gerhana. Muram dan malap.
“Ada apa-apa Yuni nak cakap?” Dia terus cuba memujuk.
Sekali fikir, Zed memang kejam kerana meninggalkan Yuni kerana Maira. Tetapi jika dia di tempat Zed sekalipun, dia mungkin melakukan hal yang sama. Dia sedar Zed sebenarnya telah lama mencintai Maira, sebab itu Zed terlalu melindungi Maira daripada sesiapa pun. Cuma selama ini Zed tidak pasti tentang perasaannya sendiri dan Yuni yang menjadi mangsa keadaan seperti dia juga.
Punyalah dia berharap agar dapat berkawan dengan Maira. Sebaik sahaja dia balik ke rumah dari acara lumba lari sebulan yang lalu, dia terus membuka akaun Facebook, menyelongkar wall Zed tetapi sayangnya… nama Ayu M langsung lenyap. Setelah dicari-cari pun, nama itu seakan tidak pernah wujud. Sedarlah dia bahawa Maira telah menyahaktifkan akaun Facebooknya. Dia lantas menghubungi Yuni dan Yuni juga tidak dapat menjejak ke mana Maira pergi. Hanya Zed seorang yang tahu namun untuk bertanya kepada Zed... tidak mungkin.
Sejak itu… harapannya untuk mendekati Maira makin lenyap dan akhirnya dia dapat tahu hal yang sebenar apabila Yuni menghubunginya seminggu yang lalu. Maka apa yang dijangkakan telah pun berlaku.
“Awak kena terima hakikat dia bukan jodoh awak. Sekuat mana kita cintakan seseorang, seandainya dia bukan jodoh kita, ia takkan ke mana, Yuni. Kita kena belajar melepaskan mereka pergi dan tidak berputus asa mengharapkan kebahagiaan yang baru. Mengharapkan jodoh yang terbaik untuk kita.”
Yuni mengangguk. “Saya faham. Cuma rasa kecewa yang saya tanggung terlalu menyakitkan. Baru saya sedar selama ini saya hanya bertepuk sebelah tangan. Zed hanya menerima saya kerana kasihankan saya.”
“Awak patut mula melupakan dia….”
“Saya baru sedar, sikap saya telah membuatkan mereka berdua terpisah dan menderita. Saya terlalu mementingkan diri sendiri….”
“Tidak ada sesiapapun yang patut rasa bersalah, Yuni. Kekecewaan itu kita rasakan apabila kehendak dan impian kita hancur. Jadi binalah impian yang baru…. Lupakan impian yang sudah tidak boleh dibina semula itu.”
Yuni mengangkat muka lalu memandang Fariz. “Ya, bukan fasal orang yang telah kita cintai… Semuanya fasal sesuatu impian yang telah bina di dalam hati, kemudian hancur berderai.”
“Selagi kita masih hidup… tidak pernah terlewat untuk kita membina impian yang baru. Untuk hidup bahagia, untuk membina masa depan bersama dengan orang yang kita mahu.”
“Jika orang tak mahu?” tanya Yuni pula.
“Kita kena terus mencari… sehinggalah kita jumpa seseorang yang mahu dengan rela hati. Malah mungkin dia yang akan terlebih-lebih pula….” Fariz ketawa kecil.
Yuni ikut tersenyum.
******
 Tiga hari selepas itu…
Di Colwick Country Park, Nottingham City…
Maira merenung Tasik Colwick yang berada di tengah-tengah taman itu. Sejak sejam berada di situ, dia tidak jemu-jemu menikmati permandangan musim panas yang indah di hadapan matanya. Tumbuh-tumbuhan liar, itik-itik pelbagai warna semuanya memberikan warna dan nafas kepada kehidupan di situ, hanya dia yang masih terjerat oleh rasa  sunyi yang memedihkan hati.
“Maira,” panggil satu suara.
Maira segera berpaling. Sejujurnya dia berasa tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya sekarang. Betulkah yang sedang berdiri di hadapannya itu Zed? Dia terkebil-kebil agak lama.
“Hai, Maira? Terkejut?” tanya Zed sambil tersenyum lebar.
Maira mengangkat punggung. Buku dan beg sandangnya ditinggalkan sahaja di atas rumput. Dia tercegat tanpa suara. Kaku tanpa sebarang kata.
“Ini sayalah, Zed.” Zed mendepangkan kedua belah tangannya. Wajahnya berseri-seri.
Maira masih terkaku di situ. Dia tidak melangkah ke hadapan ataupun mengundur. Dia masih lagi cuba mempercayai apa yang dilihat. Adakah dia sedang mengalami halusinasi di musim panas ini?
“Maira! Jauh-jauh saya datang mencari awak, awak boleh tak bersuara langsung?” sambung Zed sambil ketawa riang. Dia melangkah mendekati Maira dan hanya berhenti dalam jarak kira-kira dua kaki.
Kali ini Maira dapat melihat wajah Zed dari dekat. Ternyata Zed tidak banyak berubah. Tetap sama kacak seperti dulu, kurus seperti dulu cuma kali ini wajah itu kelihatan lebih berserabut dengan rambut yang lebih panjang. Padanya Zed bertambah kacak saja. Dia suka dengan apa yang dilihat.
“Zed!” Akhirnya dia mampu bersuara dan bibirnya mampu tersenyum. Ah! Betapa dia merindukan lelaki itu.
Zed mengangguk. “Kenapa tak tunggu saya di garisan penamat?”
Nafas Maira terhenti seketika. Zed masih ingat lagi? Dia tidak tahu mahu memberikan alasan apa.  “Menang ke kalah?”
“Saya kan dah kata saya akan buat catatan di bawah dua jam? Kenapa awak tak tunggu? Awak tak percaya saya akan menang?”
“Awak datang sejauh ini hanya untuk bertanyakan soalan itu?” balas Maira pula.  
Zed mengangguk. “Ya, saya datang kerana mahukan jawapan awak kepada soalan itu dan kepada lebih banyak soalan selepas itu. Dan saya mahu awak jawab sekarang juga.”
Maira menundukkan kepalanya. Dengan tiba-tiba sahaja, dirasakan lututnya goyah. Akhirnya dia duduk semula di atas rumput dan kembali merenung Tasik Colwick di hadapannya. Tanpa dia sedar Zed telah bergerak ke arahnya lalu melabuhkan punggung di sisinya.
“Ke mana pun awak cuba lari… saya akan cari awak, Maira. Bukankah saya dah kata saya tak mahu lost   contact lagi dengan awak? Kenapa awak degil?” bisik Zed ke telinga Maira.
Tanpa semena-mena Maira tersedu-sedu. Segala pertanyaan Zed telah meruntuhkan kekebalan hatinya yang telah dibina sejak sebulan yang lalu. Malah, sebaik sahaja dia menjejakkan kakinya semula ke Nottingham, dia telah berjanji untuk melupakan Zed buat selama-lamanya.
“Awak boleh tutup akaun facebook awak, awak boleh tukar nombor telefon awak… tapi saya tahu awak tak boleh ubah universiti tempat awak belajar, bukan? Setelah saya yakin awak sudah habis cuti di Malaysia, saya berusaha memohon cuti dan mencari tiket ke sini. Sewaktu saya tiba di kampus awak, awak tak ada. Mengikut kawan-kawan awak, awak selalu berada di sini…,” sambung Zed satu-persatu.
“Kenapa awak cuba melarikan diri daripada saya, Maira? Awak sudah tak sayangkan saya?” tambahnya lagi sambil memandang Maira.
“Cukup, Zed!” bentak Maira.
Zed menggeleng. “Kenapa awak tak berterus-terang?”
“Terus-terang apa?” tanya Maira sambil menyapu air matanya.
“Yang awak sayangkan saya?”
Maira terdiam, Dia menutup matanya rapat-rapat. Memang dia sayangkan Zed sudah lama. Semakin mengenali Zed, dia sedar perasaan sayangnya mula bertukar cinta. Dari seorang kawan, dia melayan sikap Zed bagaikan seorang kekasih, hanya Zed yang seolah tidak faham apa-apa malah sanggup menerima Yuni.
“Semuanya sudah tak berguna lagi, Zed. Awak sudah ada Yuni,” balasnya perlahan. Baginya, apalah gunanya dia sebagai kawan jika Zed sudah memiliki Yuni di hatinya.
“Maira… memang saya telah melakukan kesilapan dengan menerima Yuni. Tetapi saya menerima Yuni hanyalah kerana berasa kesian kepada dia yang tak henti-henti mendekati saya di tempat kerja. Sedangkan saya tidak pernah pasti apa perasaan saya terhadap dia selama ini. Berbeza dengan awak… setelah awak pergi, saya berasakan begitu kehilangan. Sejak detik itu saya tahu, yang saya hanya mahukan adalah awak bukan Yuni.”
Air mata Maira mengalir laju. Dia tidak pasti apakah perasaan yang melanda hatinya kini. Gembira? Sedih?
“Awak tak boleh ambil dan buang Yuni begitu sahaja, Zed. Dia perempuan, saya juga perempuan. Sebab itulah saya mengalah dan berundur, Zed. Saya tak mahu perasaan saya terhadap awak akan menjadikan saya seorang yang kejam dan tamak. Lagipun pada saya, cinta itu tidak boleh dipaksa. Kalau awak tak suka saya, awak tak perlu berpura-pura. Kawan boleh dicari ganti tetapi bukan cinta sejati.”
“Sudah tiga tahun, awak berada di sisi saya, Maira. Sewaktu saya sedih, awaklah yang menggembirakan saya. Sewaktu saya rebah, awaklah yang memberikan semangat untuk saya bangkit semula. Sejujurnya tanpa awak, saya ibarat kehilangan sebahagian daripada diri saya sendiri. Cuma saya terlewat untuk memahami perasaan saya sendiri sedangkan jiwa saya sudah lama tahu, tanpa awak saya tidak lengkap.”
Maira menggeleng. “Bukan pada saya awak harus mencari kesempurnaan itu, Zed. Tetapi pada Yuni.”
“Yuni… Yuni… Kami sudah berpisah, Maira. Sejak awak pergi, saya tahu saya tidak boleh membohongi Yuni. Dia patut saya lepaskan untuk mencari cintanya yang sebenar. Bukan daripada saya… kerana saya hanya cintakan awak.”
Maira menoleh ke arah Zed. Dia terdiam seketika. Zed cintakan dia? Apakah benar? “Benarkah? Ba… Bagaimana dengan Yuni?”
“Tidak cukupkah dengan kedatangan saya ke sini untuk membuktikan apa yang saya cakapkan ini benar? Saya cintakan awak, Maira. Bukan Yuni. Saya dan Yuni sudah berpisah. Jika kita terus menafikan kata hati masing-masing… kita bertiga akan menderita. Tidak ada sesiapa yang akan bahagia.”
Dada Maira berdebar-debar. Pipinya terasa panas. Benarkah yang berada di sisinya adalah Zed? Benarkah apa yang diucapkan oleh Zed?
“Saya tahu awak mencintai saya, kan? Maafkan saya kerana lambat menyedarinya. Saya cuma tak yakin yang saya layak untuk awak, Maira. Awak seorang gadis yang terlalu baik untuk saya. Saya tidak berani untuk mencintai awak selama ini tetapi saya juga tidak mahu orang lain mendapatkan awak. Saya mengakui saya cemburu jika kawan-kawan saya mahu mengenali awak. Saya takut awak akan meninggalkan saya.”
“Zed… awak sudah terlalu lama mempermainkan perasaan saya. Selama tiga tahun, awak membuat saya keliru. Awak tak pernah kata awak cintakan saya tetapi sikap awak seolah-olah begitu. Saya keliru. Awak jahat!”
Zed mengeluh tetapi bibirnya tersenyum. Ingatannya berputar mengingati kenangan yang telah tercipta selama ini, Bagaimana dia memberanikan diri menegur Maira di Facebook tiga tahun yang lalu, tidak sangka Maira sudi melayaninya dengan baik. Sejak itu hampir setiap hari dia berbual dengan Maira sehinggalah Maira melanjutkan pelajaran di situ, persahabatan mereka tidak putus.
Bahkan setiap pagi dia akan menanti mesej atau e-mel daripada Maira. Mereka akan bertukar cerita tentang apa sahaja perkara malah kadang kala, dia mencurahkan segala perasaan dan masalahnya kepada Maira. Setiap kata-kata Maira bagaikan azimat kepadanya untuk meneruskan kehidupan yang kadangkala sukar. Lama-kelamaan dia sedar, dia sentiasa mengharapkan Maira ada di sisinya. Apabila Maira tiba-tiba mendiamkan diri beberapa bulan, dia terasa kesunyian. Di waktu itulah Yuni muncul. Pada fikirannya Maira tidak mahu meneruskan persahabatannya, dalam diam dia merindui gadis itu dan setiap mesej yang dihantarnya.
“Awak pernah kata… lelaki lambat matang dalam hal bercinta, kan?” Dia bertanya. Memang dia terasa bodoh kerana lambat memahami isi hati Maira selama ini. Mungkin kerana dia terlalu takut kehilangan Maira.
Maira mengangguk. “Saya dah cukup beri awak hint saya sukakan awak. Bukan sekali tapi berkali-kali. Awak buat tak tahu saja. Tiba-tiba awak beritahu saya awak berkawan dengan Yuni!”
“Saya minta maaf… sekarang awak boleh ketuk kepala saya atau apa saja. Asalkan jangan tolak saya ke dalam tasik tu sebab saya tak pandai berenang….,” balas Zed sambil ketawa. Terasa panas muka apabila Maira mengatakan dia bodoh. Ya! Dia memang bodoh.
“Maira… kenapa awak putuskan hubungan kita dulu? Awak tak pernah jawab soalan saya.” Dengan tiba-tiba, dia teringatkan persoalan yang tidak pernah dijawab oleh Maira selama ini. Hampir tiga bulan dia tercari-cari Maira, tertunggu-tunggu Maira menjawab semua e-mel yang dihantarnya. Itu satu tempoh masa yang sangat menyiksakan jiwa hingga dia hampir berputus asa. Mujur pada satu hari, dengan tiba-tiba sahaja Maira membalas mesejnya.
“Awak nak tahu juga?”
Zed mengangguk laju.
“Kerana pada masa tu… saya sedar yang saya sudah… cintakan awak. Tapi awak tak cintakan saya. Jadi saya fikir, lebih baik saya putuskan sahaja hubungan kita suapaya saya tidak perlu lagi mengharapkan awak. Tetapi selepas tiga bulan, saya sedar saya tak boleh kehilangan awak begitu sahaja. Saya rindukan awak, saya rindu nak baca mesej awak dan yang paling penting rindu nak tengok awak di Facebook. Walaupun awak tak cintakan saya… cukuplah jika saya dapat tengok awak dari jauh.” Maira menitiskan air mata. Kali ini dia tidak malu lagi untuk berterus-terang. Biarlah hari ini Zed tahu segala-galanya, dia sudah penat menyimpan rahsia itu seorang diri.
“Mulai hari ini awak buka balik akaun Facebook awak. Saya nak tengok awak, saya nak baca balik semua mesej awak, status awak, gambar-gambar awak. Awak pun boleh tengok saya setiap hari dekat Facebook. Saya akan tulis setiap hari untuk awak,” balas Zed dengan laju. Matanya bergenang.
Maira mengangguk. Dibiarkan sahaja matanya basah. Dia sudah penat menyapu air mata yang tidak mahu berhenti keluar.
Zed menatap wajah Maira yang basah itu. “Jika ini air mata gembira, biarlah ia terus mengalir. Biarlah ia membawa pergi segala kedukaan di hati kita berdua. Jika ini air mata kesedihan, hentikanlah. Kita bina hidup baru, cerita baru.”
Maira tersenyum. Setelah hampir tiga tahun, dia cuba memberitahu Zed perasaannya, setelah dia mengalah dan berundur, setelah dia melepaskannya pergi… ternyata cinta Zed masih miliknya. Dia bersyukur.
Zed merenung Tasik Colwick. Sebuah tasik yang indah dan mendamaikan perasaan, sebagaimana hatinya kini telah damai di sisi Maira, gadis pujaannya sejak dulu. Ternyata, apa yang diperlukan di dalam hidupnya adalah sikap berani mengakui perasaannya sendiri. Mujurlah Maira belum berubah hati, dia bersyukur di atas anugerah ini.

   ~Jika kau tahu…. Apa yang kumahu…~

Psst! Jangan lupa beli novel ERTI CITA saya tau......