Tuesday, April 15, 2014

Rahsia gadis VIP: Bab 12



Terbitan: Aurora Creative
ISBN 978-967-10077-5-4
~Adakah Tuhan akan mengampunkan saya, umi?~

*Ia merupakan sebuah novel soft-mystery

Nilai
“SHEREEN ke mana? Kenapa tak turun makan sekali?” tanya Datuk Iqbal sejurus duduk di meja makan. Dilihatnya di meja itu cuma ada pinggan untuk dia dan isterinya, Datin Khalida.
Datin Khalida tergamam. Setelah duduk di sisi suaminya dia menjawab, “Shereen tak ada. Dia ke Kurt’s Hill.”
“Kurt’s Hill? Ke Fraser’s Hill? Buat apa pula pergi situ?” Datuk Iqbal menceduk gulai ayam ke dalam pinggannya. Pada fikirannya isterinya salah jawab. “Kan baru aje balik?”
“Tahu juga abang yang dia baru balik.”
Datuk Iqbal mengangkat muka. Kata-kata isterinya dirasakan seperti menyindir. “Awak ingat abang tak ambil peduli pasal dia ke?”
Datin Khalida malas mahu menjawab.
“Dia buat apa ke sana tu? Bercuti dengan kawan-kawan?”
Datin Khalida hanya menggeleng. Dia tahu suaminya tidak menyangka langsung Shereen ke Kurt’s Hill.
Reaksi isterinya, semakin membuatkan hatinya tidak tenang. “Cakaplah, dia buat apa? Nanti kalau abang tak tanya kata tak peduli pula pasal budak tu.”
“Dia bukan ke Fraser’s Hill. Dia ke Raphael’s Cottage.”
Kunyahan Datuk Iqbal terus terhenti. Lama dia merenung wajah isterinya yang kehilangan seri.
“Awak tak bergurau, kan?”
Datin Khalida mengeluh dan terus membasuh tangan. Diteguknya air sirap sehingga separuh gelas.
“Dia pesan jangan beritahu abang,” katanya kemudian.
“Apa yang dia takutkan?” Kemudian dia terfikirkan sesuatu. Darah sejuk menyerbu ke mukanya, nasi di dalam mulut sudah tidak tertelan lagi. Matanya mencerun. “Dia ada masalah ke?”
“Abang jangan pandang saya macam tu,” balas Datin Khalida. “Dan jangan fikir bukan-bukan pasal dia.”
“Dah tu? Kenapa takut sangat abang tahu?” Datuk Iqbal juga membasuh tangannya. Hilang sudah selera makannya malam itu.
“Sebab dia tahu, kalau abang tahu aje, abang mesti fikir buruk-buruk pada dia.”
Datuk Iqbal menggeleng. Dia tidak boleh menerima alasan itu. Pada dia, mesti ada sebab lain kenapa anaknya pergi ke Raphael’s Cottage secara senyap-senyap.
“Dah berapa bulan?”
Datin Khalida tersentak. Bulat matanya merenung wajah Datuk Iqbal.
“Anak kita tak seteruk itu!”
“Habis tu? Masalah apa lagi? Jangan kata dia ketagih dadah pula.”
“Dia ke sana bukan kerana ada apa-apa masalah,” bantah Datin Khalida dengan tegas. “Dia ke sana kerana ada majlis petang tadi. Mungkin tak lama lagi baliklah tu.”
“Sejak bila pula rumah tu suka mengadakan majlis? Lagipun buat apalah pergi majlis kat situ? Tak malu ke kalau orang lain tahu dia tu bekas penghuni Raphael’s Cottage. Huh!”
Datin Khalida hanya menggeleng.
“Kenapa awak geleng? Tak betul ke apa yang abang cakap? Awak bangga ke anak awak masuk situ? Bangga?” Datuk Iqbal rasa tersinggung dengan sikap isterinya.
“Itulah sebabnya anak kita tak suka beritahu abang apa-apa. Abang cuma fikir ikut kepala abang aje. Suka fikir buruk pasal dia, suka fikir abang aje yang serba tahu dan serba betul.”
Hati Datuk Iqbal makin sakit ditempelak begitu. Dalam hidupnya cuma seorang sahaja yang berani bercakap selancang itu iaitu isterinya. Itu yang selalu membuatkan panas barannya datang. Dia benci kalau ada yang cuba mengajar dia.
“Macam mana abang nak tahu kalau semua orang tak mahu bagitahu apa-apa pada abang? Sedar-sedar aje dah hilang. Sedar-sedar aje dah sampai entah ke mana.”
“Abang kenalah lembut sikit dengan dia,” balas Datin Khalida. “Ini, baru budak tu nak buka mulut, abang dah bersyarah panjang. Lama-lama semua orang malas bercakap dengan abang. Abang aje yang nak bercakap, abang aje yang nak betul.”
Perasaan marahnya terus meluap. Dia bangkit dan menolak kerusi sampai terlentang ke lantai. Kalau diikutkan hati memang tapak tangannya sudah melayang ke pipi isterinya. Tetapi mengenangkan dia perlu keluar selepas itu, dia hanya menghentak kaki dan pergi.
Datin Khalida terkedu. Air mata menitik ke nasi. Entah sampai bilalah dia akan bertahan….


PUKUL 8.30 malam, Datin Khalida masih cuba menghubungi Shereen tetapi semua usahanya tetap gagal. Mujurlah tidak lama kemudian, anaknya Shariff balik dari berjumpa kawan-kawan.
“Ada along telefon?” Dia terus bertanya sebaik sahaja terpandang muka Shariff. Selagi dia tidak dapat sebarang berita daripada Shereen hatinya tetap tidak tenang. Mungkinkah sesuatu terjadi di dalam perjalanan?
“Along tak telefon mak ke?” Shariff belek pula telefon bimbitnya. “Tak ada pula along telefon.”
Datin Khalida terdiam seketika. Hatinya hampa malah di hujung rasa hampa itu tumbuh rasa marah kerana Shereen seolah-olah tidak langsung memikirkan perasaannya sebagai ibu.
“Cuba Shariff telefon dia pula? Mak dah puas telefon, tapi dia tak angkat.”
Mendengarkan kata-kata ibunya, Shariff terus menekan nombor telefon Shereen. Puas ditunggu namun panggilannya tetap tidak berjawab.
“Saya hantar SMS ajelah.” Lalu, dia menekan huruf-huruf di telefon bimbitnya untuk membentuk sebaris ayat mudah. SMS itu dihantar segera ke telefon bimbit Shereen. Dia toleh ke arah ibunya yang masih bermuram durja. “Along ke mana, mak?”
“Dia tak beritahu apa-apa pada Shariff ke?”
Shariff menggeleng.
“Sejak along balik dari Jepun hari tu, saya tengok dia banyak termenung. Along ada masalah ke?”
Datin Khalida tersenyum pahit. Dia faham, Shariff tidak tahu apa-apa pasal Shereen. Jadi, biarlah Shariff terus tidak tahu. Rasanya itu lebih baik demi menjaga hubungan dua beradik itu. Lagipun, tidak ada gunanya dia membongkar semula keaiban yang telah ditanam dalam-dalam. Semua itu hanya akan menjatuhkan air muka Shereen di hadapan Shariff.
“Penat belajar kut?” katanya perlahan.
“Atau along dah ada boyfriend?” Shariff ketawa.
“Kenapa Shariff  kata macam tu pula? Dia ada cakap apa-apa pada Shariff ke?” Datin Khalida rasa tertarik dengan kata-kata Shariff. Setahu dia, Shereen belum ada buah hati tetapi manalah tahu kalau dalam diam-diam hati Shereen sudah sembuh.
“Along kan dah tua? Patutnya dah kahwin dah,” balas Shariff.
“Tua apanya? Baru 28 tahun.”
Shariff masih tersenyum sambil membelek-belek telefon di tangannya. “Tak adalah, mak. Along tak balas pun SMS saya.”
Mata Datin Khalida terkelip-kelip. Kata-kata Shariff hanya membuatkan dia risau semula.
“Mak tak tanya abah? Mungkin along ada call abah.”
Datin Khalida cuma tersenyum pahit. Dia amat yakin, Shereen tidak akan sekali-kali menelefon ayahnya. Dia tahu sangat sikap Shereen. Anaknya itu lebih rela menanggung susah daripada memberitahu apa-apa kepada ayahnya.
“Mak janganlah risau sangat. Along tak apa-apa tu,” kata Shariff sebelum masuk ke bilik tidurnya.

Datin Khalida tetap menunggu di situ bersama telefon bimbit di tangan. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.