Monday, July 2, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 20


SUASANA di pasar raya sungguh sibuk sekali. Yang berkeluarga sibuk melayani karenah anak-anak mencuba baju baru, yang bujang sibuk memilih-milih pakaian bersama kawan-kawan. Di celah-celah kesibukan itu, Borhan menuju ke tingkat bawah sambil menjinjing dua buah beg berisi beberapa pasang baju kurung dan baju Melayu untuk Mak Yah dan Pak Harun.
Dari tangga eskalator, matanya terpandang sebuah kedai yang menjual cenderahati. Serta-merta dia teringatkan sesuatu.
“Beri saya dua hamper tu,” kata Borhan. Dua buah hamper berbalut kain net merah dan biru muda menarik perhatiannya. Hampernya tidaklah begitu besar, masih boleh dibawa sendiri.
“Terima kasih,” katanya setelah hamper itu dimasukkan ke dalam dua buah beg plastik dan bayaran selesai dibuat. Kini dia meninggalkan tempat itu dengan perasaan yang aman.
Dia memandu ke Jalan Tun Ismail. Walaupun jarak di antara pasar raya yang disingahinya tadi tidaklah jauh tetapi dek kesesakan jalan raya pada waktu itu, dia hanya tiba di Farmasi Honeymon setengah jam kemudian.
“Ini untuk awak,” katanya kepada Intan sebaik sahaja masuk ke dalam kedai. Hamper itu dihulurkan dengan tangan kanan.
Intan tersenyum lebar. Hamper itu diterima dengan senang hati. “Baru semalam cakap, hari ni awak dah bawa. Terima kasih daun keladi.”
“Ini pula untuk Mei Lin,” kata Borhan lagi sambil menyerahkan hamper yang kedua. Dia perasan Mei Lin tidak ada di situ. Richard dan Hanisa juga tidak ada.
“Untuk Mei Lin? Untuk…. tak ada ke?” tanya Intan.
Borhan diam sahaja. Sedang dia cuba menyusun ayat, pintu ofis Hanisa terbuka dan muncul Mei Lin dan diikuti oleh Hanisa di belakangnya. Borhan bersedia tetapi Intan terlebih dahulu membuka mulut.
“Mei Lin, ni ada hamper untuk awak. Banyak kuih raya dalam ni.”
“Wah… terima kasih,” balas Mei Lin. Hamper itu diambil dan mereka berdua menuju ke kaunter sambil berbual-bual. Tinggal Borhan yang masih tercegat di situ dan Hanisa yang kaku tak bergerak.

N
“KENAPA datang lagi ke sini? Kan semalam saya dah kata tak mahu lihat muka awak lagi?” Hanisa bertanya dalam jarak satu meter daripada tempat Borhan berdiri.
Borhan diam sahaja. Tanpa memperdulikan Hanisa, dia bergerak ke rak vitamin di sebelah kirinya. Sebotol vitamin bersaiz besar diambil dan dibawa ke kaunter.
“Berapa?” katanya kepada Mei Lin.
“Rm 101.80,” balas Mei Lin dengan tenang. Intan di sebelah Mei Lin hanya tunduk memandang ke lain.
“Awak tak beli vitamin dalam kedai saya pun, saya tak kisahlah.” Hanisa berkata lagi. Wajahnya mula menyinga.
“Cik Hanisa…,” tegur Mei Lin seolah-olah sudah tidak dapat menahan sabar.
“Apa? Sebab dia beri awak hamper tu, awak dah nak menyebelahi dia?” balas Hanisa. Sempat matanya menger-ling ke arah dua buah hamper yang kini diletakkan di atas kaunter.
Mei Lin menarik nafas dan menggeleng. Vitamin yang dibeli oleh Borhan dimasukkan ke dalam beg plastik. Duit baki dipulangkan. Sayangnya sebelum sempat vitamin itu diambil Borhan, Hanisa susah merampasnya.
Borhan tercengang. Dia tidak dapat menduga apa tindakan Hanisa seterusnya.
“Saya takkan benarkan awak bawa keluar vitamin ni.” Hanisa membaling botol vitamin itu ke dinding sehingga retak.
Keadaan di dalam kedai itu kini bagaikan dilanda garuda. Kesemuanya tidak bergerak. Sunyi sepi.
Borhan tergamam seketika. Kemudian dia mengatur langkah ke rak vitamin yang sama lalu mengambil sebotol vitamin yang lain. Botol vitamin itu dibawa ke kaunter untuk dibayar namun Mei Lin hanya merenungnya dengan mata yang berkaca.
“Saya datang sini nak beli vitamin bukan nak bergaduh,” katanya sambil mengeluarkan duit dalam poket. Dia kesal niat baiknya menimbulkan masalah seperti itu tetapi dia tidak akan mengalah.
Hanisa mendengus, botol vitamin yang kedua itu pun diambil lalu dibaling ke dinding. “Pergi beli di tempat lain. Saya tak ingin duit awak.”
“Kalau awak pecahkan satu  kedai ini pun takkan dapat menghalang saya dari datang ke sini.” Borhan bersuara sambil meletakkan duitnya di atas kaunter. Walaupun dia tahu kedua-dua botol vitamin itu kini tak dapat lagi digunakan tetapi dia bertanggungjawab di atas kerugian kedai itu. Akhirnya dia bergerak untuk mengambil botol vitamin yang ke tiga.
“Jangan ambil vitamin tu! Kalau awak ambil, siap!” Tinggi sekali suara Hanisa menegah.
“Apa pasal pula tak boleh ambil? Saya customer, saya  mahu beli,” jawab Borhan dengan selambanya. Sekarang dia membawa botol itu ke kaunter tetapi tidak melepaskannya. Kalau Hanisa mahu merampasnya, Hanisa perlu merampasnya dari tangannya sendiri.
Hanisa mendengus lagi. Matanya liar memandang botol di dalam tangan Borhan.
“Saya kata awak tak boleh beli.”
“Saya nak beli vitamin bukan beli hati awak. Apa yang awak susah sangat nak jual?” Botol vitamin itu terus diambilnya dan dibawa keluar dari kedai itu. Di muka pintu dia menoleh ke arah Mei Lin. “Suruh Richard hantar bil.”
Hanisa terus kaku di situ.
“Lagi satu… Richard dah setuju saya beli share dalam kedai ni. Awak suka ataupun tak, sebahagian lantai yang awak pijak tu akan jadi milik saya.” Borhan melangkah pergi dengan puas hati.
Tinggal Hanisa yang seakan mahu menjerit.
N
“RICHARD mana?!” Hanisa memandang Mei Lin bagaikan ingin menelan.
“Aiyaa… saya baru pergi makan 10 minit, sudah rindu ke?” Richard yang kebetulan masuk ke dalam terus bertanya.
“Apa rindu-rindu? Saya nak bunuh awak hari ni!” kata Hanisa pula.
Richard terdiam sesaat.
“Ayam dengan daging di pasar sudah habis ke? Sekarang awak mahu masak saya pula.” Belum sempat dia mengambil nafas, sebatang berus gigi melayang ke mukanya. Mujur sempat ditepis. “Aiyaa… jangan main kasarlah. Nanti kena mata boleh buta.”
“Awaklah main kasar!” bentak Hanisa sebelum berpaling dan masuk ke biliknya. Ketika itu ada seorang pelanggan masuk ke situ.
“Hanisa…awak tak patut marah-marah. Awak puasa….” Richard seakan mengingatkan.
Hanisa sebaliknya bercekak pinggang. Matanya tetap merenung tajam ke wajah Richard. “Yang awak pandai-pandai jual share kedai ni kepada dia buat apa?”
Air muka Richard berubah. “Belum jual lagi, baru bincang-bincang saja. Lagipun saya jual share saya bukan share awak. Awak tetap majoriti.”
“Daripada saya berkongsi share dengan dia lebih saya berkongsi dengan kambing.”
“Kambing mana ada duit maa…”
“Argh!!!” jerit Hanisa sambil menekup mukanya dengan bantal Kitty.
“Cuba cerita pada saya kenapa awak marah-marah ni? Dia ada datang sini tadi ke? Semalam dia kata mahu beli vitamin, badan dia sangat lemah dua tiga hari ni.”
Hanisa mengangkat muka dari bantal. “Oh! Jadi semalam awak jumpa dia? Apa lagi yang awak berdua umpatkan pasal saya?”
Richard angkat bahu. “Saya cuma minta maaf pasal semalam. Dia kata dia mahu saman malu kedai ini….”
Mata Hanisa semakin tajam merenung wajah Richard. Dia serba salah untuk percaya ataupun tidak. “Nak saman?”
“Banyak juta,” jawab Richard.
“Dia nak saman banyak juta? Samanlah, saya apa peduli?”
“Awak memang tak pernah peduli orang. Tapi saya peduli awak, Mei Lin dan Intan. Kalau dia saman banyak juta, saya pasti hilang kedai ini dan kedai runcit nenek saya di kampung. Awak mungkin kaya tapi saya tak.”
Hanisa mengeluh perlahan. Hendak dikatakan cuak mendengar cerita Richard itu, tidak juga. Dia tidak percaya yang lelaki itu akan menyaman kedai itu di atas apa yang berlaku semalam.
“Tapi awak jangan bimbang. Saya sudah minta maaf semalam bagi pihak awak. Malam ni juga saya kena jumpa dia lagi nampaknya. Mungkin saya patut beri semua share saya pada dia pula.”
Hanisa diam. Kemarahannya kian pudar. Dia sendiri tidak tahu mengapa kemarahannya tiba-tiba sahaja memuncak apabila terlihat wajah itu lagi di hadapannya. Dia fikirkan setelah apa yang berlaku semalam, lelaki itu tidak akan muncul lagi di situ tetapi sebaliknya pula yang berlaku.
“Kenapa awak marah sangat pada dia? Tujuh tahun kita buka kedai ni, saya belum pernah tengok awak marah customer sampai macam tu sekali. Kalau hal ini heboh di luar macam mana? Bisnes kita boleh terjejas. Customer tak suka tauke yang sombong dan garang macam awak.” Richard terus berleter.
Hanisa tidak menjawab. Dia sendiri tidak tahu kenapa.
“Jangan campur soal peribadi dengan soal kerja. Ini tempat kerja. Tempat cari makan,” sambung Richard lagi.
“Richard, ada customer mahu jumpa,” sampuk Mei Lin di celah pintu yang ditolak sedikit.
Richard menarik nafas panjang kemudian dia keluar dari situ. Sebelum itu dia sempat lagi berpesan, “Saya tak tahu apa masalah awak dengan dia tapi saya rasa awak patut minta maaf pada dia. Raya pun dah nak dekat.”
Hanisa melihat sahaja pintu ofis itu tertutup semula. Minta maaf? Dia terduduk di atas kerusi.
Dear Diary,
Dia datang lagi. Sayangnya dia masih tidak faham bahawa aku tak mungkin dapat menerima dia. Dia seharusnya membenci aku…walau dengan apa cara sekalipun dan aku takkan mengalah pada dia dan pada hatiku sendiri. Aku tak boleh. Tak boleh.  

3 comments:

  1. Jiwa kacau betul la si Hanisa ni..
    Customer pi beli vitamin je pun nak marah..

    ReplyDelete
  2. apa ke masalah sebenar si Hanisa tu ? confius tul

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.