Monday, November 30, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 21 : Terkenang


“ Mak Yah , boleh kita ke bawah sekejap ?”. Borhan meletakkan barang-barang yang dibeli di atas sofa kelabu di sudut bilik rawatan Hanisa .

Mak Yah menoleh . Surah Yassin yang dibacanya tadi ditutup rapat . Menoleh pula ke arah Hanisa yang masih belum terjaga dari tidurnya yang lena . Mak Yah bangkit mengekori Borhan yang sudah menunggu di luar pintu .

Sepanjang perjalanan ke kafe yang terletak di aras bawah , Borhan membisu . Mak Yah tidak berani bertanya apa-apa . Renungan Borhan terlalu jauh . Setelah memesan dua cawan teh , mereka berdua mengambil tempat di tepi dinding kaca yang mengadap ke jalan besar . Hujan masih turun di luar , namun tidak begitu lebat .

“Mak Yah , Adam dah jumpa rumah Hanisa,” kata Borhan perlahan . Bagai ada yang tersekat di kerongkongannya .

Mata Mak Yah terkebil-kebil . Wajah Borhan terlalu keruh dan keliru . “ Bila mereka hendak datang ke sini tengok Hanisa ?”

Borhan tunduk . Sudu kecil di dalam cawannya dikacau tanpa henti . Dia terdiam lama . Mengambil nafas pun kelihatan payah .

“Bila mereka nak datang ? Esok ?” Ulang Mak Yah tanpa lepas memandang Borhan .

Borhan tersentak . Dia mengangkat muka dengan perlahan . “Mereka takkan datang.”

Giliran Mak Yah pula yang terkelip-kelip . Separuh terlopong .

“Adam kata , mereka tidak mengaku ada pertalian dengan Hanisa,” terang Borhan lagi .

Mak Yah menghela nafas panjang . Mati akal dan mati kata-kata . Tidak dapat disorok lagi , rasa kasihan , rasa marah . Semuanya bergelodak di dalam hatinya . Ada juga manusia macam tu di dalam dunia ini , namun apa pula yang tidak ada . Negara ini kan macam-macam ada .

“Kita nak buat apa , Mak Yah ?”

“Buat apa ? Buat cerdiklah , jangan buat bodoh ,” sambut Mak Yah cepat .

Borhan tersedak . Ikutkan hati mahu dia terbahak-bahak , tetapi itu bukan masa yang sesuai . Mak Yah pun satu . Bergurau selamba aje .

“Kita jagalah Cik Hanisa sampai sembuh , sampai dia boleh kerja balik semula ,” kata Mak yah lagi bila melihatkan muka Borhan merah padam kerana tersedak tadi .

Borhan mengangguk . “Nak bawa dia balik ke rumah kita atau rumah dia ?”

“Kalau rumah tuan , tak manis nanti .”

“Erm , ke rumah dia tapi Mak Yah duduk sana jaga dia . Semua perbelanjaan saya tangung. Mak Yah tolong jaga dia aje , boleh ?”

“Mak Yah tak kisah jaga dia tapi macamana nak balik sana , kunci pun tak ada ,”jawab Mak Yah .

“Ha’ah kan , kita kena tanya Hanisa kalau-kalau dia ada simpan kunci spare di mana-mana .”

“Nanti bila dia sudah semakin sihat Mak Yah tanyakan . Mak Yah rasa mungkin dia perlu tinggal di sini seminggu dua lagi .”

“Tak apalah Mak Yah , berapa lama pun yang doktor kata , kita ikutkan sahaja asal dia sembuh betul-betulkan .”

“Mak Yah rasa lebih baik kita rahsiakan dulu soal kita mencari keluarga dia tu . Mak Yah takut kalau dia tiba-tiba mengamuk kalau tahu . Mak yah lihat emosi dia macam tak stabil aje . Sekejap merenung siling , sekejap merenung cermin .”

Borhan mengangguk . Air teh di dalam cawannya diteguk sehingga habis . “Saya pun fikir begitu juga , Mak Yah . Seperti ada rahsia besar di dalam keluarga dia yang kita tidak tahu dan tidak patut masuk campur .” Cawan kaca berbunga merah itu diletakkan semula di atas piring . Keputusan penting telah dibuat .

Mereka berdua melangkah keluar meninggalkan kafe yang hampir hendak ditutup itu . Sebelum Mak Yah melangkah ke pintu lif sempat Borhan bertanya , “ Mak Yah , Hanisa ada sebut nama saya ?”

Mak Yah menggeleng perlahan .

***
Cahaya matahari pagi mencelah masuk menerusi celah-celah langsir biru muda di bilik hotel 1 bintang itu . Adam menggeliat lesu . Sudah hampir seminggu dia ke hulu ke hilir tanpa berhenti . Anak isteri di kampung pun sudah lama tidak berjenguk . Adam menepis ke tepi kerinduan terhadap keluarganya . Selepas tugas dengan Borhan berakhir , dia berhasrat membawa keluarganya bercuti ke Pulau Langkawi seminggu . Menebus semula masa yang hilang akibat tugas yang rumit itu .

Malam tadi , hampir pukul 4.00 pagi dia tiba di Seberang Prai . Berpusing-pusing mencari bilik untuk tidur . Di dalam keadaan yang letih lesu itu , sambar ajelah mana yang ada . Asal ada katil dan bantal serta biliknya berkunci . Lain , semuanya tolak tepi .

Adam mencapai fail hitam yang tergeletak di atas lantai bersebelahan beg bajunya . Menyelak-nyelak hala tuju hari ini . Ke mana sepatutnya dia pergi ? Siapa yang sepatutnya dia cari ? Akhirnya dia memutuskan untuk kembali ke Balik Pulau , ke alamat yang diberikan Pak Cik Ishak yang dulu . Belum pasti ke mana langkahnya selepas itu , namun dia selalu memohon doa semoga pencarian itu berakhir dengan baik . Biarlah silatulrahim yang terputus itu bercantum semula . Kerja-kerjanya dipermudahkan .

Selepas berjam-jam tersekat di dalam kesesakan jalan raya di Jelutong , kini Adam melepasi beberapa kawasan lagi yang dia sendiri kurang arif , sampai juga semula ke rumah tersebut yang terletak di tepi jalan besar . Rumput rumpai dan semak samun memenuhi kawasan halaman rumah yang kelihatan terbiar itu . Adam tercegat di situ memerhati jika masih ada nombor telefon penyewa atau surat-surat lama yang mungkin berguna , namun hampa .

“Assalamualaikum , nak ,” tegur satu suara dari belakang .

Adam berpaling . Seraut wajah tua tercegat di depan matanya . Adam mengukir senyuman mesra . “ Waalaikumusalam , pak cik .” Tangan yang dihulur pak cik yang berambut putih beruban disambut segera .

“Anak cari siapa ? Atau nak cari rumah sewa ?” tanya pak cik tua itu sambil turun dari basikal hitamnya .

“Rumah ni nak disewa ke pak cik ?” tanya Adam pula .

Dahi pak cik itu berkedut seribu . “Dulu anak saudara pakcik sewa di sini , selepas tuan rumah ini meninggal , mereka tak mahu sewakan rumah ini lagi . Jadi anak saudara pak cik berpindah ke Bayan Lepas . Kebetulan dia dapat kerja kilang dekat-dekat situ juga ,” terangnya panjang lebar .

Air muka Adam berubah ceria . “Kalau macam tu , boleh saya tahu alamat anak saudara pak cik tu ? Saya hendak berjumpa dengan dia . Mungkin dia masih menyimpan alamat atau nombor telefon tuan rumah ini .”

“Tapi , anak nak buat apa ? Mereka tak nak buat sewa rumah ni dah ,” jawab pakcik itu dengan nada yang tinggi .

Adam tersengih . “Saya sebenarnya hendak mencari tuan rumah ini . Saya tidak ada alamatnya . Bukankah dahulu mereka tinggal di sini ?”

Pak cik tua itu ternganga .

“Marilah pak cik , kita duduk minum di warung tu dulu ,” pelawa Adam sambil memimpin pak cik itu singgah ke tepi warung beratap biru tidak jauh dari situ . Peniaga warung itu tersengih-sengih menyambut kedatangan mereka berdua . Air kopi serta dua mangkuk mee udang dipesan Adam .

“Rumah tu milik Tengku Hashim ,orang rumah dia orang sini . Dia ada anak sorang, lelaki nama apa tah , pak cik dah lupa. Dah lama dah depa pindah, sejak anak dia kecik lagi .” kata pak cik tua itu dengan ramah . “ Cek ni sapa ? Mai mana ?”

“Nama saya Adam , saya dari Kuantan sebenarnya ,” jawab Adam cepat . Fikirannya ligat mengingatkan maklumat terbaru yang diperolehi itu .

“Kuantan ? Punyalah jauh datang cari dia aihh….”

Adam tersengih . “Itu yang kalau boleh saya nak tanya anak saudara pak cik tu kalau-kalau dia masih simpan alamat Tengku Hashim tu ,taklah sia-sia saya naik sampai ke sini .”

“Lagu tu ka ? Boleh-boleh. Lepas ni, ikut pak cik balik rumah . Kita telefon dia tanya na ,” jawab pak cik tua itu sambil tersenyum lebar . Mee udang di hadapannya semakin luak .

Dari warung tepi jalan , Adam mengekori pak cik tua itu menyusuri sebuah lorong kecil tidak jauh dari rumah lama Tengku Hashim . Sebuah rumah berbumbung zink , sederhana besarnya kelihatan dari celah-celah pokok kelapa yang tinggi menjulang . Kepulangan pak cik tua itu segera disambut oleh bebrapa orang kanak-kanak , mungkin cucu-cucunya .

“Cucu-cucu pak cik ni semua . Depa datang cuti sekolah …,” terang pak cik itu seolah dapat membaca fikiran Adam yang ralit memerhati sedari tadi . “Tunggu sekejap , pak cik ambil nombor telefon ,” katanya sambil bergegas masuk ke bilik .

Adam duduk di serambi sambil menikmati keheningan susana di situ . Tidak sedar pak cik itu telah kembali dengan sebuah kertas kecil .

“Ini nombor telefon dia , cuba telefon . Kalau dia tak kerja , dia angkatlah nanti .” kertas kecil itu bertukar tangan .

Adam terus mendail . Panggilan dijawab oleh satu suara yang garau dan berat . Setelah menerangkan duduk perkara , Adam dipelawa ke rumahnya sebelum pukul 3.00 petang . Adam tergesa-gesa meminta diri kerana dia sedar , dia bukannya arif selok belok di Bayan lepas . Masa terus berjalan laju .

Sebelum meninggalkan tempat itu sempat Adam menghulurkan sedikit duit buat ‘membeli gula-gula’ katanya . Pak cik tua itu hanya tersengih dan terangguk-angguk menampakkan gigi yang separuh rompong .

Perjalanan Adam diteruskan . Langit semakin gelap .

***
Tengku Ikram melangkah masuk ke rumahnya setelah pulang dari pasar . Di kiri kanan tangannya penuh dengan barang-barang mentah yang dibeli . Dulu , acap kali juga dia mengikut Mak Som ke pasar . Sedikit sebanyak tahulah juga dia akan selok belok pasar itu dan apa yang harus dibeli .

Sebaik melangkah , dia seolah diterpa rasa sunyi yang amat sangat . Selepas ibu , ayah, Hanisa dan kini Mak Som pula yang pergi meninggalkan rumah itu . Seolah rumah itu dibenci oleh semua orang . mengapa dia tidak lagi merasakan kegembiraan dan kebahagiaan seperti masa lalu ? Apakah yang memberikan kebahagiaan dalam hidupnya ? Semua persoalan bercampur-baur menjadi suatu ketegangan pula .

Barang-barang diletak di dalam sinki di dapur . Kalau dulu riuh suara Mak Som berkemas dan memasak , kini ruang itu senyap sunyi . Pinggan dan cawan sudah beberapa hari tidak berbasuh . Itupun siang malam mereka makan di kedai sejak Mak Som sakit-sakit .

“Farah , bangunlah . Dah pukul 11.00 ni…,” Ikram menggoyang-goyangkan bahu Farah yang masih terbaring di atas katil . Anak-anaknya masih bermain-main di dalam bilik , masih belum mandi dan bersarapan .

Farah menggeliat beberapa kali . “Pukul berapa ?”

Tengku Ikram bangkit dari katil sambil menarik selimut lalu melipatnya . Malas mahu menjawab kata-kata Farah , hatinya sebu .

“Sayang , hari ni pukul 3.00 kita kena jemput orang gaji baru dari agensi tau,” katanya sambil melangkah berat ke bilik air .

Tengku Ikram masih termenung di tepi katil . Dia bukannya tidak ingat , sudah berkali-kali Farah mengulang-ngulang soal itu . Tetapi adakah keadaan akan bertambah baik dengan kehadiran orang gaji itu ? Adakah semua masalah akan selesai begitu sahaja ?

“ I tak mahu pergi ,” tiba-tiba kata-kata itu terluncur dari bibirnya .

Terdengar air di pancuran terhenti . “What ?” tempik farah yang masih bersabun di badannya.

“Yeah , I tak mahu ambil orang gaji !”

What ? You dah gila ke ? You …kena rasuk hantu Mak Som ke apa ?”

“I kata tak mahu , tak mahu lah . Mulai hari ini you kena belajar uruskan rumah ini sepenuhnya . I kahwin dengan you , bukan orang gaji .”

“Tapi sayang , I mana tahu masak…,” Suara Farah melentuk liuk . Sengaja dilembut-lembutkan untuk memujuk ketegangan di hati suaminya .

“Tak tahu masak ? You belajar . Apa yang you tak tahu , you kena belajar , bukannya melarikan diri dari semua itu . Kalau you boleh pergi belajar Belly Dancing lah , Line Dancing lah , kenapa you tak boleh belajar masak dan uruskan rumah ni ?”

What ? I tak mahu lah,” kata Farah sambil mencebik . “Malulah I pada kawan-kawan I nanti , I tak ada orang gaji ? Malunya…apa you dah miskin sangat ke sampai tak mampu nak ambil orang gaji untuk I ?”

“Ya , I dah tak mampu . Tak mampu lagi nak tengok perangai you yang mengada-ngada macam ni . Setahu I , rumah mak bapak you pun tak pernah ada orang gaji . Boleh pula you hidup dari kecil sampai besar .”

Mata Farah buntang . Kata-kata Tengku Ikram terlalu menghiris hatinya . “ Huh! I tak mahu masuk dapur , I takut . I rasa macam Mak Som ada kat sana aje,” katanya perlahan sambil menelan air liur .

Nonsense ! You takut sebab you rasa berdosa tinggalkan orang tua tu sampai nazak kan ?”selar Tengku Ikram pantas.

Farah tediam , tuala yang melilit di kepalanya terburai perlahan . “I dah kata , I tak mahu , tak mahulah !” Kali ini dia sudah tidak mampu bersabar lagi . Tuala dicampak ke lantai .

Its’ up to you . Make your choice. I nak keluar , bila I balik nanti , make sure you sudah siapkan anak-anak , berikan mereka breakfast dan juga masak untuk lunch . Mulai hari ini , tak ada makan di luar lagi .”

“Kalau I tak nak ?”

“I dah kata , terpulang pada otak you. I Cuma minta you masak untuk I dan anak-anak . Susah sangat ke ?”

Tengku Ikram berpaling pergi , meninggalkan bilik tidur yang macam kapal pecah itu . Singgah di bilik anak-anaknya sebentar . Dia menggeleng . Tiada tempat yang boleh dipandang lagi , semuanya huru-hara , dengan baju bertimbun-timbun belum dibasuh dan dilipat . Katil bertimbun dengan permainan .

Tengku Ikram melangkah turun dari tingkat atas . Seolah terbayang-bayang senyuman Mak Som yang penuh ketenangan . Airmatanya bergenang , perlahan... tumpah ke pipi .

Tuesday, November 24, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 20 : Mungkinkah berlalu ?


Awan kelabu masih berarak di dada langit . Walau tidak hujan , mendungnya tetap merunsingkan . Adam sudah sejam berputar-putar di sekeliling taman perumahan itu . Rumah-rumah mewah yang tersergam indah di situ bagaikan tidak berpenghuni . Kebanyakkan pagar berkunci rapat , tingkap-tingkap pun tiada yang terbuka . Adam meneliti semula nombor rumah yang tertera di dalam fail hitamnya , namun oleh kerana papantanda lorong di situ sudah hilang , agak sukar mencari lorong yang betul .

“Ini kot,” bisiknya . Sudah beberapa kali rumah bercat kelabu itu dilalui namun dia masih was-was .

Adam menekan brek . Pagar rumah itu terbuka lebar . Malah sejak tadi dia melihat seolah ada keramaian berlangsung di situ . Ramai lelaki dan perempuan keluar masuk ke kawsan rumah itu . Deretan kereta di tepi jalan , semakin lama semakin berkurangan . Mungkin keramaian sudah tamat , maka eloklah dia masuk menyampaikan berita .

“Assalamualaikum .” Adam memberanikan diri memberi salam kepada seorang tetamu yang baru tiba di kawasan pagar . Salamnya segera disambut, tangannya dijabat erat .

“Boleh tumpang tanya , encik ? Ini rumah Cik Hanisa ? ”

“Hanisa ? Tak tahulah pula saya. Setahu saya ini rumah kawan isteri saya . Tunggu sekejap saya panggilkan isteri saya ,” jawab lelaki yang bersongkok dan berbaju melayu hitam itu . Dia bergegas ke dalam semula memanggil isterinya . Terkocoh-kocoh isterinya datang dengan wajah yang masam .

“Encik ni mencari rumah Hanisa . Awak kenal ?” Tanyanya tanpa basa-basi lagi .

Adam mengangguk sambil tersenyum .

“Hanisa ? Ini rumah Farah . Setahu saya , tidak ada orang yang bernama Hanisa tinggal di sini ,” jawab isterinya jengkel. Wajah Adam dipandang dengan pandangan yang curiga .

“Dia memang tidak tinggal di sini sekarang tetapi dulu . Mungkin ada sesiapa di rumah ini yang masih ingat dia ,” jawab Adam .

“Entahlah . Nanti sekejap , saya tanyakan kepada Farah ,” jawab isteri lelaki bersongkok itu lalu berlari anak ke dalam . Adam dan suaminya hanya memerhati dia berlalu .

“Minta maaflah sebab menyusahkan encik berdua di tengah-tengah majlis ini,” kata Adam ramah . Segan pula rasanya .

“Tak mengapa , tempat ni memang susah sikit kalau tak biasa . Lagipun bukannya ada majlis , cuma di rumah ini ada orang meninggal . Baru aje di hantar ke kubur ,” terang lelaki itu .

“Meninggal ? Siapa yang meninggal ?”

“Orang gaji di rumah ni . Tetapi walaupun dia orang gaji , dia dah dianggap seperti keluarga sendiri . Itu yang majikan dia uruskan segalanya .”

Adam terangguk-angguk . Kelihatan dari jauh isteri lelaki itu tergesa-gesa datang bersama seorang perempuan tinggi lampai ke arah mereka berdua . Riak wajahnya yang muram membuat Adam serba-salah .

“Awak cari Hanisa ?” tegur perempuan itu sebelum sempat Adam memberi salam .

Adam mengangguk . Matanya mengawasi gerak laku perempuan itu dengan teliti . Adakalanya reaksi kaum keluarga sukar dijangka. Adam bersedia .

“Kenapa awak cari dia ? Dia ada hutang ke ? ” Farah menjerkah . Mukanya mula merah .

Adam tidak tersentak . Sudah 10 tahun dia bergelumang dalam kerja-kerja sebegitu . Jerkahan dan jeritan malah maki hamun , semuanya pernah dilaluinya . Dia tidak terperanjat lagi .
“Tidak , puan . Cuma saya sedang mencari ahli keluarga dia ,” jawab Adam dengan teratur .

“ Ahli keluarga ? Dia mana ada ahli keluarga . Entah anak siapa . Dah, pergi . Saya tak ada kena mengena dengan dia .” Farah tersenyum sinis .

“Jadi betullah ini rumah Hanisa ?” tanya Adam . Dia hanya mahu tahu tentang itu .

“Ini rumah aku dengan suami aku , bukan rumah Hanisa . Kau dengar tak ? Kami tak ada pertalian dengan dia . Jadi tolong tinggalkan tempat ini sebelum aku panggil polis .” Satu persatu keluar dari bibir Farah . Selendang putihnya sudah terlorot di atas bahu .

“Baiklah , saya minta diri dulu . Assalamualaikum ,” jawab Adam . Setelah bersalam dengan lelaki yang membantunya tadi , Adam segera beredar sebelum keadaan bertambah rumit . Biarpun soalannya tidak berjawab , namun sikap perempuan itu sudah mengesahkan segalanya . Itu memang rumah Hanisa .

Farah memerhati kereta Adam bergerak pergi . Kemarahannya meluap-luap semula . Jenazah Mak Som baru sahaja dihantar ke kubur , datang pula satu lagi masalah . Farah menggeleng , kenapalah semua orang yang tidak berumah mahu diangkut balik ke situ . Menyusahkan betul .

***
Hujan terus mencurah-curah tanpa henti di bandar Kuantan . Sesetengah kawasan kampung di tepi sungai sudah dinaiki air . Jalan ke Sungai Lembing sudah ditutup di sesetengah tempat . Namun bagi Borhan ia tetap hujan rahmat . Di dalam keadaan cuaca yang suram dan basah itu , keadaan Hanisa semakin baik . Sehingga petang itu , doktor sudah membenarkan dia dipindahkan ke wad biasa kelas Pertama . Borhan dan Mak Yah adalah orang yang paling gembira menerima berita itu . Doktor dan jururawat masih memantau dengan rapi keadaannya . Kebimbangan belum terlerai di hati masing-masing.

“Syukurlah , dia sudah semakin baik ,” ucap Mak Yah sambil tersenyum lebar .

Borhan mengangguk . Bagaikan melihat satu keajaiban . Hanisa yang pernah terbujur kaku dulu kini sudah mula membuka mata dan berinteraksi . Cuma suaranya sahaja yang belum pernah kedengaran di telinga Borhan . “Nanti Mak Yah tanya dia , apa yang dia nak makan ya ,” bisik Borhan bila melihat Hanisa kembali memejamkan matanya . Tidur barangkali .

“Yalah , nanti Mak Yah tanyakan . Buat masa ini biar dia makan yang lembut-lembut dulu sampai dia kuat semula mengunyah . Belikan dia susu vitamin tu pun elok juga ,” jawab Mak Yah . Sesekali dia tersenyum meleret . “Tanya Simon , dia tentu tahu .”

“Baiklah . Mak Yah boleh tidur di sini aje . Ada katil kosong disediakan . Tak payah penat-penat berulang alik selalu . Mak Yah tak payah risau soal rumah atau makan minum saya , pandailah saya dan Pak cik Harun uruskan .”

Mak Yah ketawa kecil . Sejak Hanisa masuk ICU , mereka sudah lama tidak makan di rumah . Borhan melarang Mak Yah memasak , penat katanya . Hari-hari makan di restoran atau di hotel sahaja . Lama-lama jemu juga . “Bila Hanisa sembuh betul dan boleh keluar , kita buat kenduri kesyukuran dan doa selamat di rumah , boleh tuan ?”

“Kenduri ? Boleh , apa salahnya . Sekarang tinggal lagi kita kena bantu dia betul-betul sihat semula macam dulu atau pun lebih baik ,” jawab Borhan sambil tersenyum tenang .

Mak Yah terpegun seketika . Sudah lama senyuman itu hilang dari wajah tuannya itu . Ternyata apa yang telah menimpa Hanisa , begitu terkesan di hati Borhan . Syukurlah umur Hanisa masih panjang , semoga semuanya berakhir dengan baik . Semoga sinar gembira di hati tuannya terus terpancar di ruang matanya seperti sekarang .

“Berdoalah selalu . Mintalah kepada Tuhan yang memiliki segalanya . Kita cuma berusaha apa yang terdaya . Mak Yah percaya , Cik Hanisa akan kembali sembuh seperti sedia kala .”

“Insya-Allah , Mak Yah . Apapun yang diperlukan , akan saya beri . Cuma….” Borhan termenung jauh . Matanya merenung lantai di hujung jari kakinya .

“Tuan ada masalah ?”

Borhan menggeleng cepat . “ Adam dah jumpa alamat rumah dia . Mungkin di waktu ini , keluarga dia sudahpun tahu soal ini .” Mata Borhan terkebil-kebil memandang Mak Yah .

“Macam tu…kita tunggu je lah mereka datang ke sini . Boleh juga kita kenal-kenal dengan mereka . Tuan jangan risau , nanti Mak Yah katakan yang Cik Hanisa ni anak angkat Mak Yah .”

Borhan tersenyum . Mak Yah selalu berupaya mengangkat kerisauan dari benaknya . Ada sahaja jalan yang terfikir oleh akal tuanya . Borhan kagum . Walaupun Mak Yah hanya seorang perempuan yang sentiasa bergelumang dengan dunia dapurnya , namun akalnya seluas alam . Betapa beruntungnya dia mendapat seorang penjaga macam Mak Yah . Sesungguhnya Tuhan itu Maha Kaya , walaupun dia hidup sebatang kara , dirinya tidak dibiarkan terumbang -ambing bagai kapal tanpa nakhoda .

“ Kalau mereka nak bawa Hanisa balik ? ”

Terdengar nafas Mak Yah menderu turun . “Kita tidak boleh buat apa-apa lah . Mereka lebih berhak , mereka waris yang sah , kita cuma penjaga sementara . Mungkin jika dia berdekatan dengan keluarganya , dia akan sembuh lebih cepat . Cepat dia sembuh , cepatlah dia balik semula ke sini , tuan ,” pujuk Mak Yah . Kerisauan Borhan sudah terasa di hatinya juga .

“Alah , tuan . Kuantan- Kuala Lumpur tu bukannya jauh lagi . Naik highway tu , 2-3 jam dah sampai . Bolehlah tuan melawat dia selalu . Mak Yah boleh ikut sekali ,” usik Mak Yah lagi . “ Janganlah tuan susah hati , di mana pun dia nanti kita tetap mengirimkan doa tidak putus-putus kan .”

Borhan terangguk-angguk seraya bangkit berdiri .

“Tuan dah nak balik ?”

“Saya hendak ke farmasi sekejap . Hendak beritahu Simon dan beli susu vitamin untuk Hanisa .”
Mak Yah mengangguk senang . Matanya hanya memerhati gelagat Borhan sehingga tuannya hilang di sebalik pintu .

Borhan melangkah sambil berfikir . Tidak lama lagi Hanisa tentu mahu berdandan sendiri . Buat masa ini kunci rumah Hanisa belum diperolehi semula , maka segalanya perlu dibeli baru . Baju , kasut dan semuanya . Macamana nak beli ? Kepala Borhan terasa gatal tiba-tiba .

***
Jam di dinding kedai menunjukkan hampir pukul 8 malam . Setelah singgah menunaikan solat Maghrib di surau hospital , Borhan segera menuju ke situ . Keadaan di dalam kedai Farmasi Lemon N Apple kelihatan agak lengang . Hanya seorang pelanggan yang ada di dalamnya , sedang bertanyakan harga kerusi roda .

Sebaik sahaja Borhan muncul di situ , dia disambut dengan senyuman manis Mei Lin dan Intan . “Masuk , masuk . Luar hujan banyak lebat ooo,” jemput Mei Lin seraya menutup semula pintu kaca itu .

“Simon ada ?”

“Simon keluar dinner , kejap lagi dia baliklah . You ada hal penting ka mahu jumpa dia ?” Mei Lin menepuk-nepuk kerusi bulat di hadapan kaunter , mempelawa Borhan duduk di situ .

“ Kalau tak penting , tak boleh jumpa ke ?” tanya Borhan pula . Mimi tergelak .

“Aiyaa…bukan itu macam . Kalau penting , saya call dia suruh balik cepat . Kadang-kadang dia pergi makan banyak lama , borak-borak dengan semua orang ,” jawab Mei Lin sambil mengambil tempat di sebuah kerusi di belakang kaunter, berhadapan dengan Borhan .

“Cik Hanisa , macamana hari ni ?” sampuk Intan pula .

“Ini yang datang sini ni . Dia sudah keluar ICU , Dah masuk wad biasa .”

“Ya ke. Alhamdulillah . Beri nombor wad , nanti nak tengok dia ,” kata Intan lagi .

“OK , tapi kalau boleh jangan datang dulu . Beri dia masa untuk betul-betul sedar . Nanti bila dia sudah ingat semuanya , baru datang .”

“Ha ? Dia sudah tak boleh ingat ka ? Aiyaa…banyak susah lor,” sampuk Mei Lin tiba-tiba .

“Hish ! Awak ni Mei Lin . Awak ingat dia tidur ke ? Bangun-bangun boleh ingat semua . Dia koma 14 hari tau , banyak perkara yang mungkin dia lupa ,” jawab Intan cepat .

“Doktor kata , itu cuma sementara sahaja . Kesan hantukan yang kuat masa accident dulu dan kesan operation . Insya-Allah , dia akan ingat semula nanti .”

Mei Lin dan Intan terangguk-angguk . “ Oklah tu kan . Lama-lama dia ingatlah . Yang penting dia dah sedar , sepupu saya dulu 5 tahun koma tau . Sedar sekejap , lepas tu meninggal ,” kata Intan beriya-iya .

“Aiyaa….jangan sebut mati ooo,” sanggah Mei Lin sambil menepuk meja kaunter 3 kali berturut-turut .

Intan ketawa , Borhan memandang dengan pandangan yang pelik . Bunyi pintu berdering , membuat mereka bertiga berpaling . Simon masuk sambil mengibas-ngibas rambutnya yang basah .

“Aiyaa…tengok ! Lantai sudah basah balik ,” sungut Mei Lin seraya bangkit mencapai mop di tepi dinding .

Simon hanya tersengih . “Borhan, sudah makan ?” tanya Simon ramah .

“ Belum . Datang sini ingat mahu ajak you pergi makanlah,” usik Borhan pula .

“Wah ! Celebration ?” tanya Simon kehairanan . Intan hanya tersenyum .

“Hanisa sudah keluar ICU , saya pindahkan ke wad biasa ,” jawab Borhan sambil turut tersenyum lebar .

“Wah ! Itu sudah banyak bagus .”

“Saya datang ni nak beli susu vitamin , lampin pakai buang yang dia selalu pakai tu dan juga personal care items . Awak tolong pilihkan mana yang baik untuk dia ,” kata Borhan kepada Intan .

Intan dan Mei Lin segera beredar mengambil barang-barang yang diminta . Semuanya dihimpunkan di atas kaunter di hadapan Borhan .

Telefon bimbit Borhan berbunyi . Dia segera menyambut panggilan yang masuk itu . Degup jantungnya berdetak kencang . Rasa tak sanggup menerima berita yang akan disampaikan . Mungkinkah Hanisakan pergi esok ?

“Encik Borhan , saya sudah pergi ke alamat tersebut . Tetapi tuan rumah itu menafikan yang mereka ada pertalian dengan Cik Hanisa .”

“Apa ? Mengapa begitu pula ?” Borhan hampir terjatuh dari kerusi bulat yang boleh berpusing itu .

“Saya tidak tahu , tetapi saya pasti itu rumah Cik Hanisa . Saya rasa mereka ada masalah keluarga . Apa yang perlu saya lakukan lagi , Encik Borhan ?”

“Erm , kalau begitu . Jangan ganggu mereka lagi buat sementara waktu . Teruskan sahaja ke Pulau Pinang ,” jawab Borhan . Talian segera dimatikan .

Simon terkelip-kelip memerhati tingkahlaku Borhan . Pelbagai perkara terbayang di fikirannya . “Apahal ? You banyak susah hati ?”

“Erm , orang saya sudah pergi rumah Hanisa di KL , tapi mereka kata , mereka tidak ada pertalian dengan Hanisa , so….”

“So ? You sahajalah yang jaga dia,” pintas Simon cepat .

Borhan terkelip-kelip . Mahu ketawa atau mahu menangis ?

“Ni semua dah siap , Encik Borhan ,” sampuk Mei Lin . Barang-barang yang diminta tadi sudah dikira harganya dan dimasukkan ke dalam beg plastik .

“Boleh minta satu lagi pertolongan ?” kata Borhan tiba-tiba kepada Mei Lin dan Intan .

Keduanya tersentak . Nada suara Borhan kedengaran terlalu serius . “Apa dia ?” tanya Intan teragak-agak .

Borhan tersenyum . “ Tolong belikan Hanisa baju dan apa-apalah yang dia perlukan . Ini RM 1000 dulu , kalau tak cukup , awak call saya,” jawab Borhan seraya menghulurkan duit ke tangan Intan . “Jangan lupa belikan dia baju kurung ya ….”

“Aiyaa…kami tau la,” jawab Mei Lin sambil ketawa .

Keempat-empatnya tersenyum . Mungkinkah musim duka telah berlalu ?

Friday, November 20, 2009

Cerpen 'Lintah ' disiarkan di Majalah Mingguan Wanita


Mengambil sedikit ruang di sini untuk memberitahu bahawa sebuah Cerpen saya yang bertajuk 'Lintah ' telah disiarkan di majalah Mingguan Wanita : Edisi Bil 1357 ( 20-26 November) . Gambar cover Catriona Ross bersama Erni Nazira .

Jadi kepada sesiapa yang teringin membaca cerpen saya , silalah dapatkan segera majalah itu di pasaran sebab majalah ini macam pisang goreng panas selalunya . Sekejap je dah habis edisi .

Kepada yang terjumpa cerita tentang kasih sayang Busu dan Abang Long tu..ingat-ingatlah saya...

Terima kasih kepada AVA , Puan Nisah Haron , semua peserta bengkel penulisan cerpen , rakan-rakan penulis serta keluarga yang terus mendorong dan menyuntik keyakinan .

Sekian.

Dari meja penulis,
Maria Kajiwa.

Wednesday, November 18, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 19 : Rintik-rintik berjatuhan


Musim hujan sudah bermula di Pantai Timur . Setiap petang hujan lebat , kadangkala membawa ke malam . Setiap kali hujan , bukan sahaja hujan yang menderu turun malah angin yang bertiup sungguh kencang . Tidak ada tempat yang tidak basah , beberapa kampung dan taman di sekitar Sungai Isap sudah ada tanda-tanda akan banjir , jalan ke Sungai Lembing sudah mula diperhatikan . Kalau tidak petang , awal-awal pagi lagi sudah turun atau di sepanjang malam . Pokoknya hujan , hujan .

Borhan memandu dengan tenang ke pejabatnya , rintik hujan yang berjatuhan ke cermin kereta menyuntik sedikit ketenangan . Iramanya yang sekata seperti irama alam yang menghamburkan kesetiaan dan kepatuhan kepada kuasa Tuhan . Dia sudah lali dengan ragam hujan di situ , kalau lebat , lebatnya tidak terkata lagi .

Kereta diletakkan di ruang parkir khas bertentangan dengan pintu masuk ke bangunan Wisma Gempita . Borhan berlari-lari anak ke muka pintu . kedatangannya disambut sekujur wajah yang tidak asing lagi . Adam !

“Encik Borhan ,” sapa Adam sebaik terlihat kelibat Borhan yang terkial-kial menepis tempias hujan yang singgah di kemejanya .

Borhan menoleh . Bibirnya mengukir senyuman mesra . “Mari ke pejabat dulu ,” katanya sambil mendahului langkah dengan tergesa-gesa .

Adam nenuruti tanpa banyak soal , fail hitam yang selalu bersamanya dicapai pantas . Banyak perkara yang perlu dibincangkan bersama hari itu .

“Macamana? Dapat tak apa-apa ?” tanya Borhan sebaik meletakkan begnya di lantai .

“Dapat . Saya sudah ada alamat rumahnya ,” Adam menghulurkan fail hitam kepada Borhan.

Borhan segera menyambutnya. Matanya terkebil-kebil menyoroti wajah Adam yang tersenyum tenang . “Dapat ? Betul ?”

Adam mengangguk . “Saya sudah sahkan dengan beberapa orang kawannya yang lain , memang betul itu alamatnya , tetapi itu alamat terakhir semasa mereka di kampus , ” jawab Adam penuh yakin . Teringat usahanya tanpa henti menghubungi pihak universiti dan rakan-rakan sejawatan Hanisa di seluruh negara .

“Awak dah pergi ?”

Adam menggeleng . “Saya akan pergi esok tetapi saya perlu jelas dengan kedudukan kita , Encik Borhan . Apa yang saya perlu beritahu keluarga itu , pasti mereka terkejut .”

Borhan termenung jauh . “ Katakan kita kawan-kawan dia di Kuantan , berikan nombor telefon saya jika mereka mahu tahu berita tentang Hanisa . Kalau mereka tidak mahu tahu , jangan beri . Kita sudah sehabis daya mencuba .” Borhan menghulurkan sekeping tanda namanya kepada Adam . “Berikan ini kepada mereka , jika perlu .”

Adam terangguk-angguk . Kerisauannya mula hilang . Memang alamat sudah di tangan tetapi menerpa ke rumah orang bukan jalan yang selamat , silap hari bulan disangka bukan-bukan . Kalau pula memang wujud masalah keluarga , mungkin keadaan tambah bercelaru jadinya. Entah-entah kena kejar dik parang . “Encik Borhan , ada lagi satu berita,” Adam melontarkan pandangan yang tajam .

“Alamat yang kita dapat dari Pak Cik Ishak itu , memang wujud lagi tetapi rumah itu sudah lama dikosongkan . Dulu memang ada penyewa tetapi selepas itu kosong sejak 8 tahun yang lalu ,” katanya lagi.

“Kosong ? Awak tak dapat alamat yang baru ?”

“Belum , Encik Borhan . Saya akan ke Pulau Pinang lagi sekali untuk cuba dapatkan alamat baru mereka . Beri saya sedikit masa lagi . Hari tu tugas saya terhenti disebabkan mencari alamat Cik Hanisa .”

“Awak ke KL dahulu , selepas itu ke Pulau Pinang . Bila dapat contact saya segera . Saya jarang ada di pejabat , selalunya saya di hospital menunggu Cik Hanisa ,” jawab Borhan segera .

Pertemuan pagi itu berakhir di situ . Sekeping cek dihulurkan sebagai bayaran kerja-kerja yang dijalankan oleh Adam . Bersama senyuman Adam menghilang di balik pintu pejabat namun dada Borhan terasa pilu . Esok lusa keluarga Hanisa akan diberitahu dan mereka mungkin akan datang menjenguknya . Borhan tidak dapat menjangkakan apa yang akan berlaku kelak .

Mungkinkah mereka akan membawa Hanisa pulang ke KL ? Rintik hujan yang berjuntaian jatuh di cermin tingkap , seolah tangisan yang mula merayapi jiwanya . Kalau boleh…dia tidak mahu Hanisa pergi jauh .

***

“Dari dulu I kata , berhentikan aje dia , you tak nak . Tengok sekarang sapa susah ?” jerkah Farah sambil menjengilkan matanya .

Tengku Ikram tersentak . Dengan perlahan dia mengangkat mukanya . Dahinya berpeluh. Tangannya terasa ringan ingin menampar mulut Farah . Dalam keadaan yang sebegitu rumit pun masih bersikap kurang ajar.

“I dah kata , you kena jaga dia . Kalau tak boleh jaga sangat pun , tolonglah berikan ubat atau perhatikan sekali sekala .” Tengku Ikram masih menahan nadanya supaya tidak menarik perhatian orang yang lalu lalang di situ .

“Huh! I pula yang nak kena jaga dia . Sapa yang orang gaji ni ? Dia ke I ? Mana ada majikan yang baik sangat macam you ni ?” bantah Farah cepat sambil menjeling sinis .

“Farah ! Dia bukan setakat orang gaji , dia pengasuh I sejak kecil , macam mak I juga . You jangan kurang ajar dengan dia . Dia yang didik I sampai besar .”

“Kalau you sayang sangat kat dia, you lah jaga . I tak ada kena mengena dengan dia ,” kata Farah sambil menoleh ke luar beranda . Sudah 2 jam berlalu sejak Mak Som dimasukkan ke wad kecemasan .

“You , isteri I . I kena keluar bekerja . You yang kena duduk rumah , jaga anak-anak dan jaga Mak Som untuk I .” Nafas Tengku Ikram mula laju .

“Hey ! No way ! I kahwin dengan you dulu , bukan untuk jaga orang gaji you yang sakit tau ,” jawab Farah dengan bengis . Matanya mula berkaca . Disebabkan Mak Som sakit , semuanya haru-biru . Anak-anak dia yang kena jaga , makan-minum dia yang kena masak , hendak keluar pergi party pun tidak sempat ! Kena jaga Mak Som yang terkencing terberak dalam kain tu ? No way !

Tengku Ikram menggeleng . Mati akal untuk berdebat dengan Farah kali ini . Dia tahu ,sudah sebulan Mak Som demam-demam . Sudah 2 klinik dia bawa Mak Som berubat namun keadaan Mak Som tidak berubah malah bertambah uzur . Tetapi petang tadi , sebaik dia melangkah masuk ke rumah , anak sulungnya menerpa mengatakan ‘nenek tidur di lantai’. Sebaik dia melangkah ke bilik Mak Som , rupanya benar Mak Som sudah kaku , tersungkur di lantai . Tubuhnya sejuk dan nafasnya sangat perlahan .

Tengku Ikram termenung jauh . Rintik hujan yang berjatuhan di malam hari itu , menyampaikan rasa dingin yang bukan kepalang . Bukan pada tubuhnya tetapi kepada jiwanya . Tiba-tiba dia dipagut rasa sunyi yang tidak bertepi . Tiba-tiba dia rindu pada Hanisa yang pastinya akan menjaga Mak Som jika Mak Som jatuh sakit. Di manakah Hanisa ? Tahulah dia yang Mak Som , sakit ?

“ Encik , sila masuk segera ,” seorang jururawat datang membawa arahan .

Tengku Ikram segera mengatur langkah ke wad kecemasan . Farah yang mulanya tidak mahu berganjak , disentak keras oleh Tengku Ikram . Malu dengan beberapa pasang yang memerhati adegan itu , dia melangkah dengan perlahan.

“Mak encik , sudah meninggal ,” kata seorang doktor wanita bertudung merah muda . Wajahnya tenang mengukir kata . Kematian bukan lagi sesuatu yang asing baginya . Mak Som disangkakan ibu Tengku Ikram , Farah menjeling sinis . Ada rupa anak orang gaji ke ?

Langkah Tengku Ikram terhenti di hujung katil . Matanya menoleh ke arah sekujur tubuh yang kini bertutup rapat dengan sehelai kain . “Maafkan saya , Mak Som,” katanya perlahan . Airmatanya tidak dapat ditahan-tahan , berjuraian jatuh ke pipinya . Tengku Ikram tunduk , tersedu-sedu .

Farah hanya membisu . Huh ! Itu bukan soalnya !

***
Hari ke 13 . Sudah 13 belas hari Hanisa terlantar di situ . Hari demi hari berlalu , keadaan Hanisa belum begitu banyak yang berubah . Mak Yah dan Borhan menjaganya silih berganti . Doa dan ayat-ayat Al-Quran tidak lekang dari bibir keduanya . Wad ICU di hospital tepi sungai itu sudah menjadi bagaikan rumah kedua mereka yang setiap hari berulang-alik.

“ Bagaimana Borhan ? How is she today ?” sapa Simon sebaik memasukki ruang menunggu di luar wad ICU . Selang sehari dia akan muncul melihat-lihat keadaan Hanisa . Sesekali Intan , Mimi dan Mei Lin turut serta bertanya khabar sebaik kedai farmasi ditutup.

Not much ,” jawab Borhan pendek , teringin benar dia memberi jawapan yang lain . Teringin benar dia mengukir senyuman penuh lega . Teringin benar dia menghentikan semua itu.

“ OK , saya sudah dapat pharmacist ganti tempat Hanisa , lagi 2 minggu dia boleh masuk kerja ,” celoteh Simon sambil duduk di sebelah Borhan . Malam itu dia hanya datang bersendirian .

“Eloklah . Beri masa pada Hanisa untuk berehat lama sedikit ,” jawab Borhan perlahan .
Walaupun nasib Hanisa masih terlalu kabur di fikirannya , mereka tiada pilihan lain . Pelbagai persoalan menghantui mereka saat itu , mampukah Hanisa berjalan semula ? Mampukah dia mengenali mereka semua ?

“Encik , doktor panggil masuk segera ,” sapa seorang jururawat tiba-tiba.

Perbualan mereka terhenti , Borhan segera bangkit menyusul gerak langkah jururawat yang bergerak pantas masuk ke dalam wad . Mak Yah dan Simon saling berpandangan , debaran di dada masing-masing sudah tidak sekata lagi .

“Doktor ,” sapa Borhan . Wajah doktor lelaki India itu sudah acap kali dilihat di wad itu , sudah beberapa kali mereka berbual panjang tentang keadaan Hanisa.

Doktor itu mengangguk , seraya menoleh ke arah Hanisa yang sedang celik merenung syiling!

Borhan tersentak . Degup jantungnya hampir terhenti . Hanisa dah bangun ! Dia segera mendekati Hanisa yang masih terkelip-kelip memandang ke atas . Entah apa yang direnung dan dicari.

“Hanisa….” tegur Borhan perlahan . Bimbang Hanisa terperanjat , lebih bimbang jika Hanisa tidak mengenalinya lagi lalu terjerit-jerit ketakutan .

Hanisa menoleh sedikit . Matanya kini menatap tajam wajah Borhan di hadapannya . Renungannya tidak lekang . Menyoroti setiap inci wajah Borhan yang cuba bersikap setenang yang boleh.

“Kenapa dia , doktor ? Dia tak kenal saya ?”

“Mungkin , beri dia masa untuk mengingati dan mengenali semuanya semula . Jangan terlalu mendesak , dia akan panik ,” jawab doktor muda itu .

Borhan mengangguk namun matanya tidak lepas dari memerhati tingkah laku Hanisa . Jururawat yang mengiringi sibuk mengatur semula wayar-wayar yang ditanggalkan dari tubuh Hanisa , cuma tinggal beberapa yang penting sahaja.

“ Kalau keadaan dia terus stabil , kita akan keluarkan dia dari wad ini dan lebih senang untuk awak mendekati dia ,” sambung doktor itu lagi sambil menulis sesuatu di atas fail pesakit .

Borhan menarik nafas lega , secebis senyuman dihulurkan kepada Hanisa . Hanisa hanya memandang namun tidak bereaksi apa-apa . Sejurus itu dia memandang ke atas semula , merenung syiling . Awak tak kenal saya , Hanisa ? Borhan menjadi sayu.

Sunday, November 15, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 18 : Siapa ya ?

Farmasi Lemon N Apple mula beroperasi seperti biasa pagi itu . Setelah sehari suntuk ditutup semalam bagi kerja-kerja membaik pulih kerosakan serta pemeriksaan insurans kedai . Tidak terlalu teruk kerosakan yang berlaku tetapi kesakitan di hati yang lebih parah . Bukan rugi yang diambil pencuri yang dikisahkan tetapi kehilangan sehari pendapatan yang lebih besar. Suasana di kedai itu masih lagi muram , semendung langit yang masih lagi gelap di luar sana .

Terdengar suara Simon dan Mei Lin riuh di kaunter belakang . Ribut sahaja keduanya bermesyuarat tidak rasmi . “ Cubalah call mana-mana pharmacist , mana tau ada yang mereka kenal mau kerja sini ," sungut Mei Lin . Kemurungan wajah Simon sejak semalam menyesakkan dadanya .

“ Ya lah , sudah call tapi mana ada pharmacist mahu masuk kerja 24 jam . Lagi mahu hantar surat berhenti kerja sebulan ooo….,” jawab Simon , acuh tidak acuh dengan saranan Mei Lin .

“Aiyaa…kalau tak boleh buat apa-apa , ikut sajalah . Hanisa sudah sakit , bukan dia mahu itu macam lor , ” kata Mei Lin jengkel . Jari-jari halusnya menyelak rambutnya yang berjuntaian ke dahi, hampir masuk ke matanya yang sepet .

Simon menarik muka , Mei Lin tidak banyak membantu melegakan fikirannya yang sarat dengan pelbagai perkara . Menyesakkan lagi ada . Hanisa pasti bercuti sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum pulih . Dalam masa itu pharmacist pengganti perlu dicari segera , jika tidak papan tanda farmasi di luar sana mesti diturunkan . Sekyen ubat juga perlu di tutup. Rumit . Mereka akan kehilangan pendapatan yang besar.

“ Borhan ada call pagi ini ? ”

Pertanyaan Mei Lin menyedarkan Simon dari terus tenggelam dalam fikirannya yang hampir karam . “ Belum , ” jawabnya resah.

“ Nasib baik ada itu Borhan sama Mak Yah , kalau tidak kita tak tahu apa mau buat ,” sungut Mei Lin .

“ Erm , mereka orang baik . Borhan kata semua bil hospital dia akan bayar . Aiyaa , sebut bil hospital baru ingat itu perempuan . Nama sapa tu ? Agen insurans Hanisa .”

“ Ha ! Hartini ,” jawab mei Lin cepat . Wajah Hartini yang betubuh gempal dan banyak mulut itu serta-merta terbayang di matanya . Sukar melupakan orang seperti itu , keramahannya sungguh luar biasa .

“ Hari tu , dia ada bagi kad dia ,” kata Simon sambil terjenguk-jenguk ke dalam laci mejanya.

“Ini, dia ada kasi semua orang ,” tegur Mei Lin seraya menghulurkan sekeping kad nama berwarna biru muda yang diambil dari beg duitnya.

Simon mengambilnya segera . “ Ok , tunggu. Saya ajak dia jumpa Borhan terus lorr ,” kata Simon sambil menekan-nekan nombor di telefonnya . Perasaannya semakin lega bila Hartini segera menjawab panggilannya . Terasa seakan keadaan akan bertambah baik selepas ini .

***
Borhan duduk tegak di atas kerusi biru di luar wad . Kepalanya tersandar ke dinding. Matanya terpejam rapat . Sepanjang malam dia hanya melelapkan mata beberapa minit sahaja. Mak Yah dan Pak Cik Harun sudah disuruh pulang dahulu , mereka orang tua , tentu tidak larat berada di atas kerusi itu berjam-jam. Nanti kalau Mak Yah jatuh sakit , lagilah susah keadaan jadinya. Oleh itu kesihatan Mak Yah perlu diutamakan. Lagipun hatinya terasa berat untuk berjauhan dengan Hanisa , seseorang perlu berada di situ. Senaskah Al Quran kecil yang ditinggalkan Mak Yah masih berada di dalam genggamannya. Dipegang kemas.

“Tuan , tuan….,” suara Mak Yah kedengaran sayup-sayup di pendengaran Borhan. Serentak itu bahunya digoyang-goyang . Mahu tak mahu , Borhan membuka matanya yang terasa berat dan kelat . “ Erm , Mak Yah. Pukul berapa ni ?”

“Sudah pukul 7.30 pagi , tuan . Tuan baliklah dulu , mandi dan berehat kalau tuan tak pergi kerja hari ni . Makanan , Mak Yah sudah siapkan di rumah ,” jawab Mak Yah sambil duduk di sisi Borhan.

“ 7.30 pagi ?” Bohan tertoleh-toleh . Langit di luar yang kelihatan gelap membuat dia kurang waras .

“Ya , dah pukul 7.30 , tuan tapi langit gelap sebab masih mendung serata alam ,” jawab Mak Yah , segera memahami kekeliruan di fikiran Borhan . Mungkin masih terkejut dari tidurnya yang kurang selesa.

Borhan menggosok-gosok lehernya yang terasa tegang . Tidur tegak bukan satu posisi yang menyenangkan . Dia mula menggeliat.

“Tuan tidur pukul berapa malam tadi ? ”

“ Pukul 4 rasanya , sebelum tu berbual dengan keluarga yang ada di sini semalam sampai pukul 3 . Selepas anak mereka meninggal , baru dapat lelap sekejap . Lepas tu nurse panggil masuk sebab Hanisa mula bertindak balas .”

“Bertindak balas ? Dia dah jaga , tuan ?”

“Belum. Pagi tadi aje , dia menggerakkan tangannya sekejap, lepas tu langsung tak ada .”

“Tak apalah, tuan. Itu sudah baik . Cuma dia perlu sembuh dari pembedahan dan kecederaan dia sahaja. Kita doakan aje tanpa henti-henti,” sambut Mak Yah . Segaris senyuman penuh ketenangan dihulurkan buat pemberi semangat.

Borhan mengangguk , sedikit lebih baik dari tiada langsung . Mungkin Hanisa sendiri sedang berusaha untuk kembali ke alam nyata .

“Mak Yah , saya ada perkara nak beritahu, Mak Yah . Saya kurang faham . Sudah puas saya berfikir tapi saya tetap tak faham,” kata Borhan perlahan.

Mak Yah hanya memandang Borhan tanpa berkelip. Sudah benar jiwa Borhan kelihatan di matanya.

“Dulu kami pernah bergaduh pasal kehidupan dia. Dia tak mahu kawan dengan saya sebab dia kata , dia anak tidak sah taraf .” Borhan bertutur dengan penuh hati-hati , sesekali mengerling ke arah Mak Yah yang menatap wajahnya dengan tajam . “ Tapi macamana pula dia ada abang ? ”

Mak Yah terdiam . Hanya matanya yang leka memerhati jururawat-jururawat yang baru tiba , melangkah masuk dengan cergas ke wad itu.

Borhan mula resah , diam Mak Yah membuat dia merasa bimbang . Stigma ? Stigma masyarakat yang diperkatakan Hanisa dulu ? Dia tersilap cerita ?

“ Mak Yah faham mengapa dia berasa macam tu , tuan . Memang masyarakat kita memandang serong pada golongan itu walau hakikatnya mereka langsung tak bersalah . Bukan langsung salah mereka dilahirkan ke dunia ini. Mana ada orang yang nak dilahirkan sebagai anak tak sah taraf, kalau boleh semua orang nak lahir atas dulang emas,” jawab Mak Yah sambil tersenyum .

Borhan mengangguk , baru hidungnya kembang kempis menghela nafas. Lega .

“Cuma soal keluarga dia tu macam penuh rahsia yang kita tidak tahu . Tunggulah kalau dia sedar , cuba tanyakan baik-baik . Kita cubalah bantu mana yang boleh . Cuma Mak Yah tak setujulah , kalau dengan sebab itu dia tak mahu berkawan pula dengan semua orang dalam dunia ni . Tak perlulah sampai macam tu sekali ,” sambung Mak Yah panjang lebar.

“Jadi , Mak Yah tak marah kalau saya kawan dengan dia ? Mak Yah dengan Pak Cik Harun tak pandang rendah pada dia ?”

“Kenapa pula Mak Yah nak marah ? Lainlah kalau tuan berkawan dengan perempuan tak senonoh . Dunia ni dah lain dah, tuan . Ramai aje yang lahir dari keturunan baik-baik tapi perangai …mak ayah sendiri pun malu nak tengok ,” jawab Mak yah.

Borhan ketawa . Jawapan Mak Yah itu mampu mencuit hatinya seketika. Lega hatinya bagaikan terlihat sinaran mentari pagi yang mencuri-curi keluar dari tompokan awan di langit . Cepatlah bangun , Hanisa ! Cepatlah !

***
Mak Yah merapati katil Hanisa . Muka gadis itu masih kelihatan bengkak di sebelah kiri . Sebahagian rambutnya juga telah dicukur . Wayar-wayar masih berselirat di sana-sini . Mak Yah menyentuh tangan Hanisa yang panas namun kaku . Tangan itu diusap lembut . “Cik Hanisa , kalau dengar cakap Mak Yah ni , baliklah sini . Mak Yah dan Borhan ada menunggu cik balik . kesian Tuan Borhan dia menunggu cik sepanjang malam . Baliklah cepat, ” bisik Mak Yah di telinga Hanisa. Hanisa terus membisu.

Setelah beberapa minit melihat Hanisa , Mak yah meninggalkan bilik itu untuk kembali ke ruang hadapan . Mak Yah percaya , Hanisa akan sembuh tidak lama lagi , hanya menunggu tubuhnya pulih sahaja. Degup jantungnya kuat , tekanan darahnya elok.

“Macamana , Mak Yah ?” sapa Borhan yang baru balik dari minum pagi di kantin bawah.

“ Insya-Allah , makin baik . Jururawat kata dia semakin stabil , tunggu masa ajelah untuk dia jaga .”

Borhan terangguk-angguk . Kalau boleh , tidak perlu ditunggu-tunggu . Masa itu juga dia mahu Hanisa membuka mata dan melihat wajahnya semula . Hanisa perlu tahu kata-katanya bukan mainan , dia serius . Dia berkata benar .

“Morning , Borhan ,” sapa suara Simon dari belakang .

Borhan segera berpaling , wajah Simon yang tersenyum membuat dia semakin lega. “Bagaimana kedai ? Sudah repair ?”

“Sudah tutup itu lubang , cuma ubat tak boleh jual , pharmacist tak ada ,” jawab Simon jujur .

“Aiyaa lupa lagi. Ini kenalkan , Cik Hartini , itu agen insurans Hanisa ,” sambung Simon sambil memperkenalkan seorang gadis manis berambut pendek separas bahu.

Borhan tersenyum . Salam yang dihulur, disambut segera. “Jemput duduk di sana, kita boleh berbincang sedikit.” Hartini , Simon, Mak yah berserta Borhan ke satu sudut di tepi tingkap , sayup-sayup Sungai Kuantan kelihatan dari situ.

“Macam ni , Encik Borhan . Tadi Mr . Simon ada beritahu pasal masalah Cik Hanisa ni , sebenarnya dia memang tidak ada waris di dalam insurans dia , semuanya akan diserahkan ke pada Amanah Raya Berhad jika apa-apa terjadi kepada dia . Soal harta lain , kalau tak salah saya , dia pernah beritahu yang dia sudah mempunyai peguam yang akan menguruskannya.” Hartini segera membuka perbincangan sebaik duduk di sebelah Borhan . Matanya tak lekang menjilati wajah Borhan yang berhadapan dengannya kini.

“Tidak ada waris ? Abang dia?” tanya Borhan sambil menoleh ke arah Mak Yah dan Simon silih berganti .

“Ya , dia kata dia sebatang kara . Semua dah tak ada ,” jawab Hartini pantas. Tidak pernah pula dia tahu Hanisa mempunyai mana-mana abang .

Borhan mengeluh panjang . Harapan untuk mengesan abang Hanisa menjadi semakin buntu . “Itu abang dia ke bukan ?” tanyanya perlahan.

“Abang angkat lor ,”sahut Simon pantas sambil menepuk pehanya. Wajahnya sungguh yakin.

Borhan mengangkat kening . “Abang angkat ? Bukan darah daging dia ?”

“Ya lor , dia pernah sebut pasal abang dia, mak ayah dia. Mungkin itu family yang bela dia sampai besar . Kalau dia besar di rumah kebajikan , takkan dia cerita macam tu . Lagipun dia ada duit banyak , dia kata ayah dia tinggal sama dia , sure dia ada family dulu .”

“Ooo , mungkin juga lah . Mungkin itu cuma abang angkat , mungkin sebab itu dia tak balik raya, sebab dia tak rapat sangat dengan abang angkat dia .” Borhan mula menyusun fakta-fakta yang bagaikan satu permainan cantum-cantum. Fikirannya makin jelas. Kalau benar Hanisa cuma sebatang kara , tidak payahlah susah-susah mereka mencari lagi. “Takkan dia tak ada bapa saudara ke, sepupu ke ?”

“Aiyaa, mana mahu cari wo ?” kata Simon pantas.

“Biasanya kalau apa-apa terjadilah kan , dah lama perkara tu terjadi barulah ada saudara-mara yang mengaku dan nak menuntut harta faraidnya dari Amanah Raya Berhad,” sampuk Mak Yah tiba-tiba. Hartini segera mengiyakan .

“Ya, yang akan menuntut harta faraid mungkin ramailah nanti tetapi sekarang Mak Yah , kita perlu fikirkan soal kebajikan Hanisa dulu kan.”

Mak yah mengangguk . “ Mak Yah boleh jaga sampai dia pulih , itupun dengan keizinan tuan lah , Mak Yah menurut aje kata tuan,”

“Terima kasih, Mak Yah . Saya pun nak minta macam tu juga. Mak Yah jagalah Hanisa sampai dia pulih dan boleh bekerja semula . Saya nak jaga , tak boleh pula ,” kata Borhan tenang.

Simon mengangguk . Hartini tersenyum . “Encik Borhan ni sapa pula dengan Hanisa ?”

Borhan tersentak . Dia menoleh ke arah Mak Yah dan Simon . Siapa ya ?

Tuesday, November 10, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 17 : kehilangan.


Simon berdiri. Menyapu tapak tangannya yang berpeluh dengan sehelai sapu tangan. Ruang itu membuatkan dia sentiasa gementar. Kalau boleh tidak ingin dia jejaki langsung kawasan itu tetapi terpaksa. Mei Lin masih tersandar di kerusi panjang. Matanya lurus merenung kerusi-kerusi yang beratur lurus di hadapannya. Sudah berjam-jam keduanya tidak bersuara.
Pintu wad dikuak perlahan. Muncul Intan yang berwajah pucat . Melangkah lemah ke arah mereka berdua.

“Macamana?” Simon terlebih dahulu menyapa.

Intan menggeleng sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Mei Lin yang bungkam. Simon duduk semula di sebelah Intan, semakin kelu. Orang ramai yang melalui ruang itu juga seakan mengerti. Tanda ICU di tepi pintu itu sudah cukup memberitahu segala.Tidak perlu senyuman atau sebarang kata-kata indah, ICU hanya untuk berharap. Mengharap dan berdoa tidak putus-putus.

Mei Lin bersandar sambil merenung siling. Intan tunduk memandai lantai. Simon tersandar sambil merenung kosong tangga yang dinaiki oleh pelbagai jenis manusia. Ketiga-tiganya masih kehilangan kata-kata.

“Jumpa apa-apa?” tanya Intan sambil menoleh ke arah Simon.

Simon menggeleng sambil mengeluh panjang. “Banyak jahat punya orang. Orang sudah kena langgar, lagi mahu curi beg dia.”

“Sudah report polis?” Intan terkebil-kebil. Esak tangis pelawat di sudut ruang itu merimaskan hatinya.

“Sudah. Tapi sekarang macamana kita mahu buat lagi? Tak ada siapa tahu family dia mana.” Sungut Simon lagi. Buntu memecahkan persoalan itu.

“Cuba call pharmacist lain, mungkin ada yang kenal dia, satu tempat belajar ke?” usul Intan tiba-tiba.

“Yalah, nanti saya call semua orang,” jawab Simon sambil berdiri meraba-raba poket seluarnya mencari telefon bimbit.

“Sudah call Borhan ?” Mei Lin menyampuk pula.

Simon menepuk dahinya. “Aiyaa, macamana boleh lupa. Mungkin Borhan tahu.”

Mei Lin dan Intan saling berpandangan. Kali pertama mereka melihat Simon kelam kabut dan panik. Dalam satu hari, 2 musibah menimpa serentak. Di luar gelap gelita. Hujan bertambah lebat. Ketiga-tiganya masih di situ menunggu sesuatu yang tidak pasti.

***

Ruang tamu itu menjadi sunyi tiba-tiba. Bagaikan ada malaikat yang melintas lalu, semuanya terdiam. Borhan menarik nafas. Entah mengapa wajah itu seperti pernah dilihatnya, tetapi dia tidak jelas di mana. Mungkin juga kerana wajah-wajah Asia hampir-hampir belaka. Borhan menolak ke tepi prasangka itu.

“Dengan keizinan pak cik, saya mohon untuk meminjam gambar ini kerana saya dan keluarga saya tidak mempunyai gambar isteri Pak Cik Hasyim. Mungkin ia boleh membantu usaha kami kelak,” tutur Borhan penuh hati-hati.

Pak Cik Ishak tersenyum lebar. “Ambillah nak , jika ia dapat membantu. Satu lagi gambar yang ini,” katanya sambil mengeluarkan sekeping gambar besar hitam putih yang terselit di halaman terakhir album itu.

Borhan dan Adam terkelip-kelip memerhati gambar itu. Gambar 3 orang pemuda yang segak bergaya di atas sebuah motor vespa. “Siapa yang ini, pak cik?” tanya Borhan sambil menunjukkan ke arah pemuda yang berdiri di tengah-tengah. Rambutnya berkilat dipanah cahaya.

“Oh! Itu sahabat baik kami juga. Kami bertiga memang rapat macam Do Re Mi,” jawab Pak Cik Ishak sambil tersengih. Tenggelam sebentar di dalam memori lamanya. “Mungkin dia dapat membantu kamu. Tunggu sekejap, pak cik carikan alamatnya di Pulau Pinang,” kata Pak Cik Ishak sambil terketar-ketar berdiri. Penyakit Parkinson yang dihidapinya menyukarkan pergerakkannya kini. Tergesa-gesa anak perempuannya datang memimpin Pak Cik Ishak ke dalam biliknya.

Hampir 20 minit berlalu, Pak Cik Ishak muncul bersama sebuah buku nota berwarna hitam. Dia duduk kembali sambil membelek-belek helaian demi helaian buku tersebut. “Yang ini,” katanya perlahan.

“Tengku Hashim bin Tengku Azman ?” tanya Adam.

Pak Cik Ishak mengangguk beberapa kali. “Ini alamatnya yang terakhir, mungkin dia sudah berpindah ke tempat lain. Dia pun sudah terlalu lama tidak berhubungan dengan pak cik. Kalau anak berdua jumpa dia, sampaikan salam pak cik. Pak cik hendak sangat berjumpa dengan mereka berdua semula,” kata Pak Cik Ishak penuh harapan.

Hati Borhan tersentuh. Wajah Pak Cik Ishak yang jernih itu direnungnya . “Nama dia pun Hashim ya , pak cik?”

“Ha’ah, nama mereka sama. Ejaan aje yang lain. Kalau orang panggil, dua-dua datang, hahaha,” jawab Pak Cik Ishak sambil tergelak besar.

Borhan dan Adam turut sama tertawa. Terbayang di mata mereka, kesukaran yang boleh dialami di dalam kelas atau di mana sahaja.

Tiba-tiba telefon bimbit Borhan berbunyi. Dahi Borhan berkerut melihat nama yang tertera. Segera dia menekan butang. “Ha, Simon.” Pandangan matanya membesar. “Apa?”

***

Borhan dan Mak Yah dibawa masuk ke sebuah bilik kecil. Di atas katil terbaring Hanisa yang masih belum sedarkan diri. Pembedahan malam tadi berjaya mengeluarkan darah beku di otak dan menurunkan tekanan darahnya namun Hanisa masih belum mampu membuka mata. Tubuhnya kaku, pernafasannya masih dibantu.

Borhan dan Mak Yah kelu seketika. Wajah Hanisa hampir tidak dikenali lagi. Bengkak. Masing-masing bergelut dengan fikiran masing-masing. Keadaan Hanisa seperti merentap semangat mereka tiba-tiba. Lutut terasa lemah bila terpandangkan segala wayar yang berselirat di tubuh gadis itu. Hanya doa yang mampu dipanjatkan , semoga Tuhan mengurangkan kesakiran yang dialami Hanisa.

“Hanisa….” Borhan berbisik. Runtun hatinya melihat tubuh itu terbujur kaku.

Mak Yah bergerak mendekati katil. Bibirnya kelu untuk berkata apa-apa. Hanya jarinya saja yang mengusap tangan Hanisa dengan lembut. Airmatanya sudah mulai bertakung, Mak Yah menahan sekuat hati.

Borhan terdiam. Ingin rasanya dia menyentuh jari itu namun dirasakan tidak wajar. Namun tubuh yang kaku itu seolah membawa pergi jiwanya. Fikirannya diterpa persoalan. Mengapa setiap insan yang dirasakan bermakna di dalam hidupnya pasti berakhir di wad ICU?

“Dah hubungi keluarga dia?” tanya Borhan kepada Simon sebaik melangkah keluar dari pintu wad ICU itu. Dia tidak sanggup berlama lagi menatap wajah Hanisa, sesuatu perlu dilakukan.

Simon tercengang. “Family arr? Banyak susah, itu sebab saya mahu you cepat sampai sini.”

“Kenapa?” Borhan terpinga-pinga. Wajah Simon yang kebingungan itu membuat dia merasa cemas seketika.

Simon mengeleng. “Kami tak dapat contact family dia.”

“Apa? Takkan Hanisa tak pernah beritahu apa-apa?”

“Ada bagi tau sikit-sikit tapi kami tak ada simpan nombor telefon atau alamat ka…, aiyaaa, macamana mau buat ni. Polis pun sudah tanya.”

“Cuba check telefon dia , IC atau apa-apa personal document.”

“Mana ada, handbag dia hilang lepas dia kena langgar semalam. Nasib baik itu Joe yang jual burger depan kedai itu kenal sama dia. Kalau tak lagi susah.”

Handbag hilang? Sudah report polis?”

“Sudah, semua sudah bagitau polis. Cuma sekarang how to contact her family? Dia ada bagitau family dia tinggal mana sama you?” Simon pula bertanya lantang.

“Kuala Lumpur, dekat mana tu, Mak Yah tak tahu pula. Tapi dia ada abang sorang . Mak Ayah dia dah meninggal,” sampuk Mak yah cuba membantu.

“Abang? Ya, ya dulu dia ada cakap dia ada abang. Tinggal mana kita pun tak tahu.”

“Kalau tak salah Mak Yah tinggal di rumah yang di KL itulah” jawab Mak Yah lagi.

“Saya sudah call semua yang kenal dia, tapi mereka pun tak tahu pasal family dia,” kata Simon resah. Teringat panggilan-panggilan yang dibuatnya semalam kepada semua pharmacist yang dikenali.

Borhan termenung seketika. “Kita jangan panik , you balik kedai cuba periksa apa-apa dokumen, mesti you boleh jumpa apa-apa alamat,” saran Borhan sambil menepuk bahu Simon. “Biar saya dan Mak Yah jaga dia di sini pula. Kamu bertiga baliklah berehat dan uruskan kedai.”

Simon menoleh ke arah Mei Lin dan Intan. “OK lah, saya kena balik kedai panggil orang tutup itu lubang. Saya baru ingat, dia ada insuran kesihatan, mungkin orang itu tahu apa-apa tentang keluarga dia,” kata Simon sambil bangkit berdiri. Intan dan Mei Lin turut sama berdiri.

“Kalau ada apa-apa hal, saya call you,”kata Borhan sambil tersenyum tawar.

Simon mengangguk lega lalu melangkah lemah menuruni tangga. Mei Lin dan Intan segera mengekori. Sudah seharian mereka berada di situ.

“Mak Yah, apa lagi yang Hanisa beritahu pasal keluarga dia?” tanya Borhan sebaik ketiga-tiganya hilang dari pandangan.

Mak Yah termenung jauh, di jarinya masih tergemggam sebuah Al-Quran kecil. “ Mak Yah pernah tanya pasal abang dia tu, tapi dia macam tak mahu bercerita sangat. Macam ada masalah aje. Kalau dia rapat dengan abang dia , tentu lah masa raya tu dia balik rumah abang dia kan, tapi tak pula.” Kembali termenung jauh. “Tapi, kita kena cari juga. Itulah waris dia yang ada,” sambung Mak Yah perlahan.

Borhan terdiam. Namun otaknya ligat berfikir. Kes Hanisa semakin rumit. Bagaimana mereka dapat mencari abang Hanisa ? Tiada pilihan lain , jika terpaksa dia perlu menghebahkan ke dalam suratkhabar ataupun televisyen. Tetapi itu pilihan terakhir, jika Hanisa sedar, pasti dia marah. “Mak Yah, mengapa semua yang saya sayang diambil Tuhan?”

Mak Yah tersentak. Tangan tuanya mengusap-ngusap belakang Borhan dengan lembut. Hampir menitis air matanya. “ Tuan, itu tandanya Tuhan kasihkan tuan. Makin berat ujian, makin sayang Tuhan kepada hamba-Nya. Sabarlah ya. ”

Borhan mengangguk. Perasaannya mulai sebu.Haruskah dia kehilangan lagi ?

Thursday, November 5, 2009

Kau Bukan Kaca -Bab 16 : Apa yang hilang ?


Hujan lebat mencurah-curah turun. Angin kencang menderu-deru dari arah laut. Pokok-pokok Palma yang ditanam di kiri kanan jalan menuju ke bandar hampir tunduk diragut angin. Jalanraya menjadi sesak . Antara yang tersangkut di tengah kesesakan itu adalah Hanisa. Jam di papan pemuka sudah hampir pukul 9 pagi, kereta bergerak bagaikan mengesot-ngesot. “Lambat lagi pagi ni,” Hanisa bersungut sendirian.

“Kumeniti awan yang kelabu
Kutempuhi lorong yang berliku
Mencari sinar yang menerangi
Kegelapanku

Kupercaya pasti suatu masa
Sang suria kan menyinar jua
Membawa harapan yang menggunung
Bersamanya...”

Mendayu suara Allahyarham Sudirman di radio, menambah suram di hati Hanisa. Entah mengapa sejak malam tadi hatinya tidak begitu tenteram. Suis radio ditekan, keadaan kembali sunyi hanya deru nafas dan derap hujan yang tinggal.

Jam hampir 9.30 pagi baru Hanisa dapat menjejakkan kakinya ke muka pintu kedai. Itupun dengan degupan jantung yang hampir terhenti. Kenapa pula kedai belum dibuka habis? Sebelah aje yang dibuka. Polis? Kenapa pula ada kereta polis semua ni? Hanisa menolak pintu kedai dengan ragu-ragu.

“Aiyaa, mana awak pergi? Call call tak dapat, call call tak dapat.” Suara Simon mengejutkan langkah Hanisa.

“Kenapa ni?” Hanisa terkebil-kebil memerhati beberapa orang anggota polis membuat pemeriksaan di bahagian belakang kedai.

“Awak pergi tengok sendirilah, kedai kita kena pecah,” jawab Simon. Masih sibuk membuat beberapa panggilan keluar.

Hanisa mengatur langkah ke belakang, mendekati anggota polis yang sibuk mengambil gambar . Mata Hanisa terbeliak. Sebuah lubang kira-kira 3 kaki kali 3 kaki terlopong di bahagian belakang kedai menghala ke tangga belakang premis itu. Batu-bata yang dipecahkan bertaburan di lantai. Hanisa terpaku memikirkan musibah itu.

“Bukan kedai awak saja, malam tadi 4 buah kedai di baraisan ini dipecahkan menerusi cara yang sama,” kata salah seorang anggota polis itu apabila melihat wajah Hanisa yang murung.

Hanisa kelu. Dia berpaling menuju ke bilik pejabatnya. Bersepah! Tetapi tidak ada apa yang hilang, termasuk bantal Kitty kesayangannya. Hanisa lega , memang di situ mereka tidak menyimpan peti besi. Hanya dokumen-dokumen penting di dalam almari besi 8 tingkat itu. Hanisa keluar mencari Simon, Mei Lin dan Mimi di kaunter hadapan. Semuanya masih kebingungan, terperanjat.

“Apa yang hilang?” tanya Hanisa. Wajah Mimi, Mei Lin dan Simon dipandang satu persatu.

“Duit tukar di dalam mesin kasyier dan sedikit barang-barang,” jawab Simon cepat.”Tak banyak sangat , lebihkurang seribu nilainya. Saya fikir , mereka salah buat lubang la.”

“Ha’ah la, jangan-jangan mereka mahu masuk ke bank sebelah,” sampuk Intan yang senyap dari tadi.

Ketiga-tiganya tersengih. Gurauan itu tidak mampu melenyapkan semua kesedihan.

“You dah call insurans ?” tanya Hanisa pantas.

Simon mengangguk. Wajahnya masih sebu dengan pelbagai persoalan. “Hanisa, kenapa saya call tak dapat-dapat?”

“Hmm, telefon saya…rosak,” jawab Hanisa serba salah. Teringat telefon bimbitnya dibaling ke dinding malam tadi. Terbelah dua. Saja dibiarkan tidak bercantum. Semoga dengan itu Borhan tidak menganggunya lagi.

Simon mengeluh panjang. Antara percaya dan tidak.

Telefon berdering. Simon segera menjawabnya. Air mukanya berubah. “Ada, ada. Dia OK. Tapi kedai tak ada Ok.”

Hanisa menjeling. Perbualan Simon dengan si pemanggil didengari dengan teliti. Riuh saja bunyinya , Simon bercerita dengan sesorang tentang keadaan kedai itu.

“Borhan kata…dia call you pagi tadi tapi tak dapat,” terang Simon.

Hanisa menarik muka. Borhan lagi? Siang malam Borhan. Bagaimana caranya supaya Borhan ini berhenti dari menganggu hidupnya?

“Pelik tengok awak ni Hanisa,” tiba-tiba Simon bersungut. Mei Lin dan Mimi sedang sibuk membersihkan lantai yang berdebu dengan habuk batu-bata.

“Pelik? Tak ada apa yang pelik pun. Saya ada dua kaki dan dua tangan. Bukan ada tanduk pun.”

“Ya, cuma hati awak sejuk macam air batu, Ice !” bidas simon cepat.

Mata Hanisa membesar. “Amboi! Sejak bila pandai berkata-kata ni?”

“Borhan tu orang baik, itupun awak tak suka. Atau awak suka orang jahat?”

“Sebab dia baiklah, saya tak layan. Orang jahat lagi saya tak layan,” jawab Hanisa acuh tak acuh. Mula rimas dengan persoalan yang cuba dibangkitkan oleh Simon pagi-pagi lagi.

Why arr, Hanisa?”

Hanisa mengeluh. “Simon, awak kawan saya, my business partner but not my brother, Ok.”

“Ya lah sebab itu saya tanya. Kalau saya abang, saya sudah kasi awak kahwin sama dia.” Simon tersenyum makin lebar.

Hanisa menjengilkan mata. “Eh! Makin melampau pula dia. Siapa mahu kahwin dengan orang tu?”

Simon tergelak dengan kuat. Mei Lin dan Mimi yang baru datang menyertai mereka tersenyum-senyum penuh debar.

Hanisa mencapai beg tangannya lalu melangkah keluar.

“Kemana pula tu? Borhan ada di Sabah, esok balik,” kata Simon dengan kuat.

Hanisa menjeling tajam, pintu dilepaskan.

***
“Selepas ini apa?” Adam meletakkan cermin mata hitamnya di atas meja tengah.
Ruang lobi itu dipenuhi ramai pelancong yang baru turun dari sebuah bas.Riuh rendah sahaja suara mereka.

Borhan diam seketika. Kepenatan berkunjung ke Daerah Ranau sehari suntuk semalam masih terasa. “ Kita cari sekarang.”

“Sekarang? Tuan Borhan tidak penat?”

“Penat. Tetapi kita tidak ada masa. Petang nanti mungkin dia sudah keluar, esok pula perlu pulang ke Semenanjung. Kita pasti tergesa-gesa.”

“Ok, tunggu sekejap saya dapatkan panduan ke alamat itu,” kata Adam sambil menuju ke kaunter lobi. Seorang gadis manis melayaninya dengan ramah.

Borhan menyandarkan tubuhnya yang lesu ke kerusi yang empuk itu. Hampir-hampir dia terlena apabila bahunya ditepuk Adam.

“Dah! Tak jauh dari sini, kira-kira 15 minit sahaja, itu pun kalau kita tidak sesat.”

Borhan bangkit, mengekori Adam yang melangkah laju menuju ke kereta sewa mereka yang diparkir di bawah hotel. Setelah berpusing-pusing hampir setengah jam mereka berhenti di hadapan sebuah rumah semi-D dua tingkat. Kehadiran mereka membuatkan seorang wanita dalam lingkungan 20 an terkejut dan terpinga-pinga.

Setelah salam bersambut dan senyuman berbalas, Borhan menerangkan tujuan kedatangan mereka untuk menemui seorang lelaki bernama Ishak, salah seorang kawan baik Pak Cik Hasyim di universiti dahulu. Nama dan alamat itu ditemui di dalam sebuah buku tinggalan Pak Cik Hasyim, dengan pelbagai tanda dan tulisan yang menandakan keakraban mereka. Di Ranau semalam mereka mendapat tahu orang yang bernama Ishak itu telah lama menetap di Kota Kinabalu bersama anak menantunya. Akhirnya pencarian mereka terhenti di situ.

“Anak ini anak Hasyim?” tanya seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan separuh abad.
Borhan tersenyum. Dia menggeleng .

“Kamu ada iras-iras dengan muka Hasyim semasa muda. Kamu siapa?”

“Pak cik, saya anak saudara dia. Nama saya Borhan. Kami ingin mendapatkan sedikit maklumat mengenai Pak cik saya Hasyim.”

“Oh! Kamu anak saudara nya tetapi mengapa pula mencari saya untuk mendapatkan maklumat tentang dia? Pusing kepala saya,” Pak Cik Ishak tersengih, di bibirnya terjungkit paip yang sedang berasap.

“Erm, panjang ceritanya pak cik. Kami terputus hubungan dan sekarang saya sedang berusaha mencarinya semula,” jawab Borhan perlahan. Serba-salah untuk membuka aib keluarga.

Pak Cik Ishak meletakkan paipnya ke tepi. Termenung jauh ke arah jalan. “Adakah masalah perkahwinannya belum selesai? Pak cik ingat segalanya sudah baik-baik aja.”

“Perkahwinan? Apa yang pak cik tahu tentang itu.”

Pak Cik Ishak mengeluh. Dahinya berkerut , cuba mengimbau kenangan yang sudah berpuluh tahun berlalu. Dia memicit-micit dahinya yang berkedut dimakan masa. “Semasa di universiti, dia bercinta dengan seorang gadis bukan Islam. Setahu pakcik keluarga kamu iaitu ayah dan ibu dia menentang perhubungan mereka waktu itu. Selepas tamat universiti, pak cik pulang ke sini dan dari apa yang pak cik dengar dia berkahwin juga dengan gadis itu.”

“Dia tidak hubungi pak cik lagi?”

Pak Cik Ishak menggeleng. “Tidak pernah, mungkin dia sudah melupakan persahabatan kami,” jawabnya lemah.

Borhan dan Adam saling berpandangan. Lagi sekali mereka berdepan dengan jalan mati.

“Pak cik ada tak kawan-kawan lain yang mungkin tahu mengenainya dia. Mungkin kawan rapat yang lain atau siapa-siapa sajalah,” tanya Borhan tiba-tiba.

Pak Cik Ishak kembali termenung. Air teh panas yang dihidang oleh anaknya sebentar tadi dihirup perlahan. “Oyan, tolong ambilkan album bapak yang lama tu, yang warna hijau tua tu,” laung pak cik kepada anaknya yang ada di luar rumah. Tergesa-gesa wanita itu masuk dan membuka almari kayu di bawah tangga. Membelek-belek album yang bersusun rapi di situ dan akhirnya mendekati ayahnya dengan sebuah album yang kelihatan lusuh.

Pak Cik Ishak membuka album lama itu. Gambar-gambar hitam putih memenuhi setiap helaiannya. Borhan dan Adam datang mendekati. Duduk di kiri-kanan Pak Cik Ishak. Mata mereka asyik memerhati satu-persatu gambar-gambar di situ, bagaikan tersorot ke zaman 70 an. “Ini pak cik kamu dan ini gadis itu,” tunjuk Pak Cik Ishak ke arah sebuah gambar kecil.

Borhan terkedu.

***
Hujan masih turun di bandar Kuantan. Langit masih tepu serata alam. Tiada lagi langit , tiada lagi awan. Semuanya serata bagaikan satu warna yang kelam. Hanisa menolak pintu kedai dengan perasaan yang sebal. Sebal dengan perangai Simon yang semakin menjadi-jadi. Apa dia nak kecoh? Bukan soal dia pun? Asyik-asyik Borhan. Tunggulah Borhan balik nanti, siaplah. Kalau tidak Borhan yang tinggalkan Kuantan, dia yang akan pergi!

Hanisa melangkah laju meyeberangi jalan menuju ke pasaraya. Bersamanya seorang wanita yang sarat mengandung dan seorang kanak-kanak berusia hampir 5 tahun. Hanisa tersenyum kepada gadis kecil itu. Senyuman yang polos itu memberi sedikit ketenangan. Fikirannya terkhayal seketika.

“Bam!” Hanisa tercampak ke sisi jalan.

Rintik hujan semakin lebat, jalan semakin sesak.