Monday, July 16, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 26 dan bab 27


DI RUMAH itu, suasana menyambut Syawal tidak begitu terasa. Hanya Mak Som sahaja yang agak sibuk beberapa hari kebelakangan ini. Tetapi Farah langsung tidak ambil peduli. Balik ke kampung pun dia tidak sudi. Bermakna untuk sekian kalinya, mereka akan beraya di taman perumahan itu yang agak sunyi.
“Ikram, boleh Mak Som tanya sikit?”
“Tanyalah, Mak Som. Kita bukan orang lain,” jawab Ikram sambil membasuh tangannya. Mereka baru sahaja selesai bersahur tanpa kehadiran Farah seperti biasa.
“Hanisa ada kata dia nak balik raya tahun ni?”
Ikram serta-merta terdiam. Wajah sendu Mak Som ditatap lama-lama. “Tak ada, Mak Som. Kalau dia nak balik, tentu dia masih ingat lagi jalan ke sini.”
Mak Som cuma mendiamkan diri. Kata-kata Ikram itu memang benar. Hanisa tentu masih ingat jalan ke rumah itu cuma tentu hatinya sahaja yang masih belum sejuk. Belum dapat dipujuk. Dan bagi Mak Som, yang harus memujuknya bukan orang lain tetapi Ikram dan Farah juga.
Tetapi dia tidak mahu masuk campur hingga ke tahap itu, tentu kecoh jadinya. Biarlah mereka sedar sendiri satu hari nanti dan Mak Som berdoa semoga dia masih sempat bertemu semula dengan Hanisa sebelum dia menutup matanya.
“Tahun ni tak balik beraya ke kampung Farah?” tanya Mak Som setelah lama terdiam.
“Biasalah, Mak Som. Dia bukannya mahu balik ke kampung. Asyik sibuk dengan kawan-kawan dia, dengarnya nanti malam raya pun ada jamuan.”
“Elok kalau sesekali bawa anak-anak balik ke kampung. Boleh juga kenal saudara-mara dan merasai suasana beraya di kampung,” kata Mak Som lagi.
Ikram mengangguk. “Tentu budak-budak tu suka. Kalau di sini selepas balik sembahyang tu, terperap saja di rumah. Kalau tak menonton televisyen tentu asyik bermain. Suasana hari raya tu sudah tak terasa macam dulu.”
Jawapan Ikram membuat Mak Som tersenyum tawar. Bukannya sedih melihat anak-anak Ikram yang sudah tidak mengenal suasana beraya tetapi teringat betapa meriahnya rumah itu suatu ketika dahulu. Telatah Hanisa dan kenakalan Ikram sering menggamatkan mereka semua. Pernah sekali Ikram terjun ke dalam kolam mandi bersama sarung ketupat yang ingin dibuat pelampung! Tidak sedar, Mak Som tersengih sendiri.
“Ikram, pujuklah Hanisa.” Tiba-tiba kata-kata itu terpacul dari bibir Mak Som.
Ikram tersentak. Wajah muram Mak Som seolah melumpuhkan segala sendi-sendinya. Dia tidak mampu menjawab mahupun bergerak. Cuma air matanya sudah mula bertakung di kelopak mata.
“Saya akan cuba, Mak Som.” Hanya itu yang terluah di bibirnya sebelum bangkit dan naik semula ke bilik tidurnya.
Mak Som bangkit mengemaskan meja makan. Bersama mengalirnya air paip di sinki, mengalir juga air mata rindunya pada Hanisa. 

Bab 27

ESOK hari raya! Walaupun pengumuman belum dibuat tetapi nampaknya semua orang sudah yakin yang 1 Syawal akan jatuh pada hari esok. Bandar Kuantan menjadi semakin sesak, semua orang kelihatan kelam-kabut membuat persiapan terakhir. Di kawasan pasar lebih sibuk daripada hari-hari biasa apatah lagi di pasar raya. Semuanya seolah terkejar-kejar akan sesuatu.
    Seperti biasa, Hanisa memerhati segala yang berlaku dari pintu kaca kedainya lalu mengeluh perlahan. Bukan kesibukan itu yang menganggu fikirannya tetapi hal yang lain.
“Mei Lin, awak tahu tak, dia kerja di mana?” Tiba-tiba Hanisa meringankan mulutnya bertanya.
Mei Lin menoleh, lama dia terlopong memerhati wajah Hanisa.
“Dia?” Mei Lin terdiam sebentar. “Lelaki yang beri Cik Hanisa hamper tu ke? Borhan?”
“Macamlah ada banyak lelaki yang saya kenal. Kalau tak pasal hamper besar dalam bilik tu, saya pun tak ingin nak tanya awak,” balas Hanisa dengan keras.
Mei Lin tersengih. “Saya tak taulah. Dia tak pernah beritahu tapi saya rasa dia kerja besar.”
Jawapan Mei Lin membuatkan darah Hanisa semakin menyirap. “Saya bukan nak tahu dia kerja apa, besar ke, kecil ke... saya tanya dia kerja di mana, itu saja.”
“Tak tau. Tapi kenapa Cik Hanisa tanya? Cik Hanisa nak jumpa dia ke?” Mei Lin menjawab dengan wajah yang cukup keliru.
“Saya bukan mahu jumpa dia. Saya cuma mahu pulangkan hamper dalam bilik tu,” jawab Hanisa cepat.
“Mahu pulangkan? Aiyaaa… orang sudah beri dia, dia pula mahu pulangkan. Tak baik tau macam tu,” sampuk Richard sambil berjalan ke hadapan. Hanya mereka bertiga sahaja yang berkerja hari itu kerana Intan sudah dibenarkan bercuti.
“Baik ke, tak baik ke, itu belakang kiralah. Yang penting saya tak mahu makan budi orang,” bantah Hanisa dengan garang.
“Takut termakan budi? Atau takut diminta ganti?” Richard berseloroh. Dia tersengih-sengih tetapi Hanisa tidak termakan umpan.
“Tapi dia hanya mau buat baik pada awak sebab awak sudah menolong dia. Senang saja nak faham. Awak tu saja yang tak mahu faham-faham. Dunia sekarang ni, mana ada orang buat baik percuma saja?”
“Saya tak suruh dia bayar apa-apa. Saya tak suruh dia balas apa-apa. Kalau dia tak muncul lagi dalam hidup saya lagi baik. Jangan datang-datang lagi ke kedai ni,” jawab Hanisa sambil menjeling masam.
“Mana boleh cakap macam itu? Kita buat bisnes. Orang datang kita lagi suka. Kalau dia tak beli pun, nanti dia datang bawa keluarga atau bawa kawan. Kita juga untung.” Richard semakin lantang bersuara. Mei Lin cuma tersengih di tengah-tengah.
“Awak cakaplah apa pun, saya tetap akan pulangkan semula hamper itu atau awak mahu bawa balik?” tanya Hanisa.
Serentak Richard dan Mei Lin menggeleng.
Hanisa tersenyum sinis. “Ha, tahu pun. Siapa nak makan hamper sebesar tu? Sebulan pun belum tentu habis. Dahlah saya tinggal sorang.”
“Cik Hanisa sudah lupa?” Mei Lin bersuara dengan perlahan.
Hanisa dan Richard menoleh ke arah Mei Lin yang tersenyum lebar.
“Bukankah hari tu Cik Hanisa pernah pergi ke rumah dia? Hantarlah ke sana kalau betul Cik Hanisa nak pulangkan pada dia. Lagipun… elok kalau Cik Hanisa slow talk dengan dia. Kalau tak… nanti dia hantar benda lain pula. Kalau tak ingat, kami boleh beri alamat rumah.”
“Tapi dia mungkin sudah balik kampung… awak patut bawa sekali malam tadi. Saya pun lupa langsung.”
Dia mula geram dengan dirinya sendiri tetapi jika tidak dipulangkan lelaki itu akan sangka dia sudah berlembut dan menerimanya. Dan yang paling teruk jika lelaki itu menganggap dia perempuan yang boleh dibeli dengan hamper yang berharga beberapa ratus ringgit sahaja.
“Jangan harap kami mahu masuk campur. Ini masalah awak dengan dia. Kalau awak nak pulangkan. Awak pergi sendiri,” jawab Richard dengan laju.
“Awak ingat saya takut dengan dia? Setakat nak campakkan hamper tu ke muka dia, saya tak hairanlah.”
“Baik, cepatlah pergi. Buat apa tunggu lagi?”
Hanisa mengeluh berat tetapi tetap tidak bergerak dari situ. Betul ke dia perlu ke rumah itu semula?
“Untuk pengetahuan awak, dia tak balik ke mana-mana sebab itulah kampung dia. Dia lahir di Melbourne, bukan di Malaysia.” Richard terus membebel.
Sakit telinga Hanisa mendengarnya.
“Awak berdua boleh ke jaga kedai ni? Kalau ramai pelanggan nanti, macam mana?” Mata Hanisa terkelip-kelip.
“Jangan cari alasanlah… kalau mau pergi, pergi sajalah. Kami bukan tak pernah jaga kedai dua orang,” Richard ketawa sambil berjalan ke belakang. Pintu bilik Hanisa ditolaknya.
“Saya pergi sekejap saja. Lepas hantar hamper saya balik sini. Jangan lupa kunci semua almari ubat. Jangan jual ubat bila saya tak ada.”
Terasa berdebar pula dadanya apabila dengan tiba-tiba sahaja keadaan berubah. Kali ini bukan lelaki itu yang mencari dia, dia yang akan mencari lelaki itu. Tetapi dia tahu, dia perlu menegaskan sesuatu sebelum keadaan itu berlanjutan.
“Aiyaaa… saya taulah,” sungut Richard sambil menarik keluar hamper yang besar itu dari bilik Hanisa.
Tidak ada alasan untuk tidak melakukannya. Hanisa terus mencapai beg tangan dan kunci keretanya. Bukan susah sangat, pujuk hatinya lagi.
N
HAMPER besar itu terjulur dari tempat duduk belakang hingga ke papan pemuka tetapi Hanisa tidak mengendahkannya. Dia terus memandu kereta hitam kesayangannya dengan berhati-hati walau hatinya tidak setenang mana. Cuak juga perasaannya apabila terpaksa berdepan dengan lelaki itu lagi.
    “Nombor lima, lorong lima,” bisik Hanisa berulang kali. Itu sahaja yang dihafal. Bimbang tersalah lorong, tersalah rumah. Baru haru-biru jadinya. “Rumah tiga tingkat, pagar separuh kayu.” Hanisa membebel sendirian.
Dia membelok memasuki lorong lima. Terus menuju ke arah selekoh. Dia masih cam rumah itu. Matanya membesar apabila melihat pagar rumah itu terbuka luas. Macam tahu-tahu sahaja dia nak datang. Hatinya mula berdebar tidak keruan. Mulalah terlintas di fikirannya  untuk berpatah balik sahaja. Jarinya mula menggigil memegang stereng.
N
DI RUMAH Borhan, kemeriahan Syawal tidak terlalu dirasakan. Hanya Mak Yah yang amat sibuk di dapur sementara Pak Harun pula sibuk membersihkan halaman rumah.
“Tak ke pejabat hari ni, tuan?” tanya Mak Yah apabila Borhan memijak lantai dapur. Terkejut juga apabila Borhan masuk ke situ dengan hanya berbaju-T biru dan berseluar jeans.
“Ofis dah cutilah, Mak Yah. Orang semua dah balik kampung,” jawab Borhan sambil mengatur sila di atas sehelai tikar plastik yang dibentang oleh Mak Yah di tengah-tengah lantai dapur.
Mak Yah hanya diam apabila mendengar jawapan Borhan.
“Mak Yah, daun-daun ni nak buat apa?” Borhan membelek daun-daun kelapa muda yang bertimbun di hadapannya.
“Nak buat sarung ketupatlah,” jawab Mak Yah sambil memotong ayam yang baru dibeli dari pasar bersama Pak Harun pagi tadi.
“Kenapa Mak Yah tak beli yang sudah siap, kan lebih senang?” tanya Borhan. Terbayang di matanya sarung-sarung ketupat yang banyak tergantung di tepi jalan.
    “Kalau nak diikutkan senang, memanglah senang macam tu. Tapi Mak Yah lebih suka anyam sendiri dan rebus sendiri. Barulah rasa kemeriahan raya tu.”
“Yalah, tapi nanti Mak Yah juga yang penat. Kami penat makan saja.”
“Tak apa, Mak Yah dah biasa buat kerja ni dari muda lagi,” balas Mak Yah cepat. “Macam mana dengan hal dulu tu? Dah berjaya memujuknya?” Mak Yah tiba-tiba menukar topik seperti bimbang Borhan akan terus berleter tentang kerja-kerjanya.
Borhan menggaru kepala. “Entahlah. Tunggu dan lihat sajalah apa yang akan terjadi selepas ni.”
“Malam tadi kenapa tak jemput dia ke sini, boleh juga Mak Yah tengok-tengokkan orangnya macam mana.”
“Kalau jemput pun dia bukannya nak datang,” balas Borhan.
“Tak cuba mana tuan tahu? Lain kali apa-apa pun benda yang kita nak dalam dunia ni, jangan kegagalan yang dibayangkan dulu. Cuba dulu, kalau gagal ulang sampai dia tolak lima kali. Baru berhenti.”
“Lima kali?”
Mak Yah angguk. Sebelum sempat Mak Yah mengomel lagi, Pak Harun terus menyampuk perbualan mereka berdua di dapur.
“Tuan Borhan, ada tetamu nak jumpa tuan.”
“Tetamu? Siapa?” Borhan tercengang.
“Tak tahu, tuan. Tapi perempuan muda. Dia kata nak hantar hamper saja pada tuan. Tapi saya suruh dia tunggu tuan keluar,” jawab Pak Harun dengan jujur.
“Cik  Asma ke? Semalam dia tak datang.”
“Bukan, tuan. Pak Harun tak kenal.”
Mak Yah menjeling. “Pergi sajalah tengok,” katanya.
Mahu tak mahu, Borhan bangkit berdiri dan melangkah ke ruang tamu. Matanya terkebil-kebil ketika terlihat Hanisa di muka pintu. Biar betul ni! 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.