Tuesday, June 5, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 7


Di Farmasi Honeymon…
HANISA menjeling jam di dinding, sekejap lagi pukul 9.00 malam. Suasana di kedai farmasi itu sudah senyap sunyi, tidak ada seorang pun pelanggan yang datang membeli. Mungkin kerana rata-rata masih ramai di masjid bertarawih ataupun sibuk membuat kuih. Namun bukan itu yang menjadi kerisauaannya tetapi lelaki yang masih pengsan di biliknya itu. Nak buat macam mana ni?
“Dia dah bangun?” tanya Richard. Wajah yang tenang tadi kini sudah kelihatan risau sama.
Hanisa angkat bahu.
“Pergilah tengok sekejap,” gesa Richard. “Buatlah apa-apa yang patut untuk sedarkan dia.”
“Baru sekarang nak kalut? Kenapa tak jirus saja dengan air?” tanya Hanisa dengan nada yang memerli. Sememangnya dia masih menyalahkan Richard lagi dalam soal itu. Kalau Richard tidak gatal membantu tadi, tidaklah sekarang mereka bertiga yang susah hati.
“Pergilah buat apa-apa. Awak tentu tahu, kan sikit-sikit?” balas Richard lagi.
“Awak ni sengaja cari susahlah.” Dia masih lagi merungut marah.
“Kalau setakat marah-marah kat sini tak berguna, pergi masuk dalam bilik tu marah pada dia. Mungkin dia boleh jaga bila dengar awak mengaum.”
Hanisa tercengang sesat. Richard memang benar-benar mahu cari gaduh malam itu. Sudahlah cari masalah sekarang senang-senang suruh dia pula yang selesaikan masalah itu.
“Saya mahu tutup pintu tepi. Awak masuk dalam kejut dia,” arah Richard lagi sebelum cepat-cepat berlalu.
Dia menghentak kaki. Sambil melangkah masuk ke ofis, sempat juga dia merungut geram, kalau tak aku jirus dia ni, aku tumbuk sekali bagi dia sedar, kata hati Hanisa.
******
DENGAN langkah yang teragak-agak, dia mendekati lelaki itu. Apabila sudah dekat, dia menjadi bingung pula kerana wajah lelaki itu kelihatan begitu nyenyak tidur sehinggakan berdengkur halus. Entah kenapa, dia berasa tidak sampai hati pula untuk mengejutkannya. Sebaliknya dia bagaikan terpukau melihat keindahan ciptaan tuhan.
Ya, Tuhan… kenapa Engkau jadikan dia begitu indah? Wajahnya tampak begitu sempurna walaupun semasa dia melelapkan mata. Tidak sedar dia termenung menatap wajah lelaki yang tidak dikenali itu.
“Aiyaa… orang suruh kejutkan dia, bukan suruh tengok dia macam tu,” tegur Richard yang masuk ke situ.
Entah bagaimana, suara Richard yang kuat itu membuatkan lelaki itu terjaga dan spontan terjerit kuat sebaik sahaja terlihat Hanisa duduk berdekatan dengan mukanya.
Hanisa juga spontan terjerit dan entah bagaimana, tubuhnya tidak seimbang lalu dia terduduk ke atas lantai terpinga-pinga. Kalau dia tahu lelaki itu boleh dikejutkan dengan suara yang kuat, dari tadi lagi dia sudah menjerit. Tanpa berlengah dia bangun dari lantai dan menjauhkan diri daripada lelaki yang pelik itu.
Namun belum sempat Richard bertanya apa-apa, dengan tiba-tiba sahaja lelaki itu menjadi longlai dan rebah semula di atas kerusi. 
“Hah? Pengsan balik?” Richard dan Hanisa sama-sama berpandangan.
******
 “AIYAA… apa kita mau buat ni? Kenapa dia pengsan balik?” Richard garu kepala. Langkahnya mundar-mandir di dalam ofis Hanisa yang tidak begitu besar itu.
Hanisa menghempaskan keluhan. Dia sendiri bingung dengan kejadian itu. Tadi sudah jaga, sekarang pengsan balik. Sambil duduk di mejanya dia memerhati lelaki itu yang kini terbaring semula di tempatnya tadi, entah bagaimana terlintas di fikirannya satu akal.
“Richard, baju-T vitamin GOGO yang free tu ada lagi tak kat depan? Cuba ambil saiz yang paling besar.”
Richard menoleh ke arah dia. “Awak mahu sumbat mulut dia?”
“Dari sumbat mulut dia, lebih baik sumbat mulut awak. Orang dah suruh tu, buat sajalah. Nanti saya balik saja, tinggal awak sorang jaga dia, nak?” 
Richard terdiam.
“Suruh Mei Lin ambilkan air paip dan kain tuala kecil sekali,” tambahnya lagi.
Richard bercekak pinggang. “Awak mahu mandikan dia ke?”
“Tadi awak tanya saya apa nak buat? Sekarang bila saya cakap, awak banyak soal. Awak nak bergaduh dengan saya sampai pagi besok?” balas Hanisa semula. Dia mula penat dengan masalah lelaki itu. Dia hanya mahu balik cepat ke rumah.
Tanpa berbunyi lagi, Richard menarik pintu ofis lalu keluar dari situ. 
Sementara Richard pergi, Hanisa kembali mendekati lelaki itu dan memerhati baju-T berwarna kuning pastel yang dipakainya. Baju-T itu tampak jelas dicemari tompok-tompok berwarna merah yang sudah kering yang dia percaya itu adalah tompokan darah.
“Nak buat apa lagi?” tanya Richard yang masuk bersama sehelai baju-T berwarna putih dan berlambang vitamin GOGO. “Saiz L saja yang ada.”
“Cukuplah tu. Beri saya air tu dulu,” katanya kepada Mei Lin pula. Dan apabila air bersih itu diserahkan bersama sehelai tuala kecil, dia langsung mengelap muka lelaki itu dengan berhati-hati. Kotoran darah yang terpalit pada kedua tangan pemuda itu juga dibersihkan.
“Richard, awak tukar baju dia dengan baju ni, selepas tu kita beri dia smelling salt lagi sekali. Kalau itu pun tak jalan….” Dia berhenti berkata-kata tetapi dia sememangnya akan menggunakan cara terakhir jika semua akalnya tidak menjadi. Dia akan jirus lelaki itu dengan sebaldi air.
Richard mengambil tempat Hanisa. Oleh kerana tubuh lelaki itu lebih tinggi dan besar daripada tubuh Richard sendiri jadi proses penukaran baju itu lebih sukar dari yang dibayangkan.
“Alah… buat macam tukar baju baby sajalah,” kata Hanisa apabila Richard terkial-kial mahu menanggalkan baju-T lelaki itu.
“Macam tukar baju baby? Awak buatlah!” kata Richard. 
Mei Lin hanya tersengih melihat abangnya dan Hanisa yang tidak habis-habis bertegang urat.
Hanisa buat-buat tidak dengar. Dia masih berdiri di sisi Richard sambil memegang baju-T putih. Setelah baju-T yang tercemar dengan darah itu dapat ditanggalkan, Hanisa segera memandang ke arah lain. “Cepatlah, gesanya.”
“Itu pun nak malu ke? Dalam TV bukan tak ada orang lelaki tak pakai baju? Tak pakai seluar pun ada,” usik Richard apabila Hanisa langsung tak menoleh.
“Ah! Cepatlah!” bentak Hanisa. 
Richard hanya ketawa. Baju yang dihulurkan Hanisa itu diambil segera lalu disarung ke kepala lelaki itu tetapi agak sukar untuk dia memasukkan tangannya kerana tubuh lelaki itu lebih besar sedangkan baju itu lebih kecil. “Hanisa… macam mana ni? Tak boleh masuklah.”
“Hisy, awak ni! Mulut bukan main tapi pakaikan baju pun tak tahu.” Hanisa menyelak anak rambutnya yang menutupi mukanya. Mahu tidak mahu terpaksa jugalah dia memandang tubuh lelaki itu yang bidang dan sasa. 
“Saya tarik bahunya sikit, awak cuba bengkokkan tangan dia.” Dia memberikan arahan dan bertukar tempat dengan Richard.
Sedang mereka berusaha memasukkan tangan kiri lelaki itu ke dalam baju-T dengan tidak semena-mena, lelaki itu terjaga dan bingkas bangkit. Oleh kerana kedudukan Hanisa amat rapat dengan kepalanya, kepala keduanya telah terhantuk sehinggakan Hanisa terduduk di atas lantai dan mengaduh kesakitan. Richard dan Mei Lin pula hanya tercengang.
*****
MASA seakan terhenti di bilik itu. Masing-masing terlopong dan terkaku seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan seekor  haiwan buas yang terlepas dari zoo. Jika sesiapa bergerak, pasti akan diterkam, itulah yang sekurang-kurangnya berlegar dalam fikiran Hanisa sekarang.
“Where am I?”  tanya lelaki itu dalam bahasa Inggeris dengan slanga Australia yang pekat.
Anak mata Hanisa melirik ke arah Richard yang berdiri tegak bagaikan patung. Dia pula sudah kebas punggung terduduk di atas lantai, mujurlah pening di kepalanya hanya sekejap. 
“Mat Salih ke Richard?” Dia memberanikan diri bertanya. Sekaligus memberikan isyarat agar Richard membuka mulut dan tidak terus diam begitu.
Richard memaniskan muka. “You’re in our pharmacy… can’t you remember anything, sir?”
Mata lelaki itu membesar sekejap kemudian mula berkeadaan biasa. Dia seakan teringatkan sesuatu, sambil itu dia menanggalkan baju-T putih yang tersarung di kepalanya. Mungkin baru sedar keadaan dirinya pada waktu itu. “Mana baju saya?” Dia bertanya lagi.
Pandai cakap Melayu rupanya… bisik hati Hanisa. Dia fikir, lelaki itu jika bukan Mat Salih pun mungkin pelancong dari tanah Arab. Susuk tubuh dan raut muka yang lawa itu sememangnya ada iras-iras model dari sana. Dengan itu juga, dia mengangkat punggungnya dan mahu bergerak jauh sedikit dari situ. Tetapi apabila Richard menghulurkan semula baju-T milik lelaki itu, dia spontan menjerit.
“Eh, jangan!”
Pada detik itu juga, dia merampas gumpalan baju-T itu dan membalingkan ke belakang meja kerjanya.
“Awak gila ke?” tanya Richard. 
Lelaki itu pula terpinga-pinga seperti tidak mengerti dengan apa yang sedang berlaku di situ. Wajah Mei Lin juga sama.
Hanisa mula naik angin. Dia mahu menyelesaikan masalah, dia pula yang dituduh gila. Richard memang cari masalah dengan dia malam itu. “Awak nak dia pengsan lagi? Kalau nak saya boleh berikan balik. Letak dekat muka dia sampai bila-bila, biar dia pengsan tak bangun-bangun!”
Richard terkedu. Bulat matanya memandang Hanisa. Kemudian seperti tersedar sesuatu lalu dia menoleh ke arah lelaki itu pula. “Encik pakai saja baju ni dulu. Baju tadi tu nanti bawa balik basuh.”
Kemarahan Hanisa mula surut. Tahu takut… hatinya mengejek Richard. Dia yakin Richard mula faham apa yang ingin dikatakan tadi. Lelaki itu mabuk darah, setiap kali dia ternampak darah, dia akan pengsan sebab itu dia berkeras supaya lelaki itu ditukarkan baju. Mustahil pula mahu dilepaskan lelaki itu keluar tanpa berbaju. Nanti tak pasal-pasal ditangkap polis pula kerana disangkakan orang gila yang terlepas.
“Kenapa saya perlu tukar baju?” tanya lelaki itu pula walaupun dia tetap menyarung baju-T putih yang diberikan Richard tadi. Setelah dipakai, ternyata baju-T itu agak sendat.
Degilnya pula, hati Hanisa merungut. Orang sudah banyak tolong, lagi banyak soal. Dah okey tu, balik sajalah!
Richard garu kepala. Dia kelihatan serba-salah. “Encik tinggal di mana? Boleh saya hantar balik?”
“Sudah pukul berapa? Sudah waktu berbuka?” tanya lelaki itu pula seolah-olah pertanyaan Richard itu mengingatkan dia tentang masa.
Hanisa terkejut. Dia berpuasa ke? Patutlah muka dia nampak pucat, rupa pun seperti orang keliru. “Mei Lin, pergi ambil air soya dalam peti ais. Kita kena beri dia minum air manis. Bawa air mineral sekali.”
Mei Lin terus berlalu pergi dan tidak lama kemudian kembali bersama dua botol air lalu diserahkan kepada lelaki itu.
“Sudah boleh berbuka?” lelaki itu bertanya kepada Hanisa mungkin kerana Hanisa sahaja yang berbaju kurung dan ada rupa Melayu dalam kalangan mereka bertiga.
“Dah lama. Minumlah,” balas Hanisa pula. Kasihan pula dia melihat lelaki itu yang telah terlewat berbuka selama hampir dua jam.
Setelah lelaki itu menghabiskan dua botol air, Richard bertanya pula, “Encik tinggal di mana? Datang naik apa?”
Lelaki itu hanya mengangkat muka tetapi tidak menjawab apa-apa.
Hanisa menoleh ke arah Richard sebagai isyarat dia tidak mahu masuk campur lagi. Kalau Richard terpaksa bawa lelaki itu balik… dia punya pasal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.