ATAN
baru tiba di Kolej Tun Teja. Seperti biasa, basikal buruknya disandarkan di
belakang bangunan. Beg dan botol air disimpan di dalam bilik stor. Selepas itu
dia mula menjalankan tugasnya seperti biasa. Membersihkan bangunan kolej itu
dua kali sehari. Itu rutin yang pertama.
Tong-tong
sampah di Tingkat Bawah dikosongkan. Dia mula menyapu lantai dan tangga dengan
cermat. Pelajar-pelajar yang lalu-lalang tanpa henti agak menyukarkan. Sedang
elok menyapu, dia terpandang sekeping poster di papan kenyataan.
Matanya
terus membesar. Dia mendekati poster itu dan mengamati gambar yang terpapar
jelas. Darahnya tersirap. Itulah gambar anak patung yang dibawanya pulang
petang semalam.
Kini
perasaan kesal bertubi-tubi datang. Dia jadi sedar. Anak patung itu amat
penting kepada pemiliknya. Perasaannya berdebar-debar. Dia jadi rungsing
memikirkan hal itu. Dia rasa bersalah kerana telah terambil sesuatu yang bukan
hak miliknya. Walaupun dia seorang miskin namun dia bukan seorang pencuri.
Sepanjang
hari itu, dia bekerja dalam keadaan resah gelisah. Setiap ketika, dia
teringatkan rumah. Dia teringatkan anak patung yang mungkin masih berada di atas
almari. Akhirnya waktu petang pun tiba. Dia lalu pulang dengan bersemangat.
Tubuh
badannya yang berusia hampir separuh abad terasa lebih segar dihembus angin
petang. Kayuhan demi kayuhan dikerahkan sekuat mungkin. Dia mahu cepat pulang
namun denai yang biasa dilalui setiap hari itu terasa lebih panjang.
Setibanya
di kawasan tempat tinggalnya, dia melihat anak sulungnya sedang menangis di
atas pangkin di luar rumah. Dia kehairanan. Basikal disandarkan segera ke
dinding rumah.
“Kenapa menangis ni? Adik mana?” Dia menyoal
sambil bercekak pinggang.
Anak
sulung hanya menunjukkan jari ke dalam rumah.
Dahi
Atan berkerut. Apa hal pula ni? Dia melangkah cemas. Segala kemungkinan buruk
terbayang dalam fikirannya. Namun semua itu hilang apabila terpandang ank
bongsunya sedang leka bermain dengan anak patung beruang di atas lantai.
Tetapi… kenapa anak bongsunya berpakaian cantik?
Sekilas
telinganya menangkap bunyi pergerakan di luar rumah. Bunyi itu datang dari arah
bilik mandi yang dikepung dengan atap-atap zink yang mula berkarat ditelan
waktu. Atan bergerak ke arah bunyi itu. Tangannya menguak pintu bilik mandi
yang memang tidak pernah mempunyai kunci.
“Cepat
Mah balik?” tanyanya kehairanan. Terkejut melihat susuk tubuh yang sangat
dikenalinya di situ.
Isterinya
tidak menjawab. Sebaliknya segera melangkah meninggalkan Atan terkulat-kulat.
Bau
harum tubuh isterinya selepas mandi itu seakan turut sama meninggalkan dia di
situ. Atan lantas mengekori isterinya ke dalam rumah. Dia perhatikan sahaja
gelagat isterinya dengan rasa hairan yang tidak kunjung padam.
Isterinya
pula leka bersiap. Sehelai blaus
berwarna merah bersama sehelai seluar panjang hitam dikenakan. Atan
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya menjadi keliru.
“Mah
nak pergi mana senja-senja macam ni?”
Tiada
jawapan. Isterinya menyisir rambut yang pendek berketak sehingga rapi. Wajahnya
dioles sedikit bedak dan diratakan pemerah pipi. Bibir disapu gincu kemerahan.
Atan
masih memandang tidak berkedip.
Isterinya
menoleh ke arah sebuah beg pakaian yang sudah siap di tepi pintu. Kemudian menoleh
ke arah Atan bagaikan memberitahu sesuatu.
Mata
Atan membesar, wajahnya pucat.
Tanpa
menunggu, isterinya mendukung anak bongsunya dan bergerak ke muka pintu. Beg
pakaian diseret dengan tangan kiri. Belum sempat dia melangkah muka pintu, anak
sulungnya muncul di situ.
“Mak,
jangan pergi! Jangan bawa adik, mak!” rayunya sambil mencengkam pergelangan
tangan ibunya kemas-kemas.
Tangan
itu direntap kasar. Isterinya tetap juga melangkah pergi.
“Mah!”
tempik Atan.
Tubuhnya
menggigil menahan marah. Penumbuknya digenggam kuat. Hatinya cuba mengingati
Tuhan sekuat mungkin. Nafasnya mula tercungap-cungap. Asmanya tiba-tiba
menyerang.
Isterinya
tetap tidak menoleh ke belakang. Anak sulungnya masih teresak-esak di tepi
dinding. Anak tengahnya terkelip-kelip tidak memahami apa-apa.
“Mengapa, Mah?”
Nafas
Atan tersekat-sekat. Paru-parunya tiba-tiba menyempit. Dia terus cuba menghela
nafas sebanyak mungkin. Cuba mengawal perasaan marahnya sekuat hati. Cuba
memujuk hati isterinya yang mungkin sedang rajuk.
“Mengapa
Mah sampai hati tinggalkan abang dan anak-anak?” Suara Atan terketar-ketar.
“Sebab
Mah dah bosan hidup macam ni. Mah mahu hidup macam orang lain. Mah tak mahu jadi
setinggan sampai bila-bila!”
Atan
hanya menundukkan kepalanya ke lantai. Kecewa dan marah terus berbaur.
Kata-kata isterinya melontar ingatannya jauh ke belakang, ke beberapa tahun
yang lalu.
“Abang diberhentikan kerja, Mah,” katanya pada suatu
petang sambil duduk di pangkin tepi rumah mereka.
“Kenapa?”
“Sebab
abang selalu sangat cuti sakit. Asma abang makin teruk. Makin kerap datang.
Kadang-kadang abang sakit di kilang. Jadi mereka nasihatkan abang berhenti
sahaja supaya tidak menganggu kerja-kerja di kilang tu.”
“Tak
apalah, bang. Biar Mah yang kerja pula ya? Esah yang tinggal di rumah hujung tu
kata, kilang dia nak pakai pekerja. Dia ada ajak Mah kerja dengan dia. Boleh,
bang?” Mata isterinya bercahaya, memancarkan harapan yang besar.
Atan
mengangguk perlahan. Terasa kagum dengan kesanggupan isterinya menggalas
tanggungjawab mencari rezeki sewaktu dia sedang sakit.
“Selepas
abang sihat, abang kerja semula ya?” katanya penuh harap. Kalau boleh dia tidak
mahu isterinya bekerja. Dia mahu isterinya duduk di rumah menjaga anak-anak.
Biar anak-anaknya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Biar mereka miskin
namun kaya iman. Namun harapan tinggal harapan.
Penyakitnya
terus tidak pulih walaupun pelbagai ubat sudah ditelan. Mahu tidak mahu, Atan
hanya mampu melakukan kerja-kerja ringan dengan mengambil upah menyapu dan
membersihkan bangunan di sekitar tempat itu. Pendapatannya walau tidak sebanyak
mana cukuplah untuk membeli beras dan lain-lain keperluan dapur.
Isterinya
pula tidak menoleh lagi. Dia terus bekerja dengan tekun setiap hari sehingga
dinaikkan pangkat. Wang gaji isterinya digunakan untuk membeli pakaian dan
keperluan lainnya. Selebihnya isterinya memohon izin untuk disimpan ke dalam
bank.
Atan
hanya tersenyum. Dia tidak berhak ke atas wang itu, terserahlah kepada
isterinya.
“Abah…
Jaja lapar…” rengek anak tengahnya.
Lamunan Atan terhenti.
Tangan
kecil anaknya mula menggosok-gosok perut. Atan menoleh ke arah dapur. Dia bangun lantas menuju ke ruang itu.
Tangannya menceduk sedikit nasi dan meletakkan ke atas pinggan. Seketul ikan
masin yang digoreng pagi tadi diletakkan bersama. Segelas air masak ditatang
dengan tangan kiri. Diletakkan di hadapan Jaja.
Jaja pantas menyuapkan nasi ke mulutnya.
Atan
kembali duduk di tepi dinding. Matanya merenung kosong.
Isterinya
pula masih tercegat di hadapan pintu rumah. Anak bongsu dalam dukungan masih
leka bermain dengan anak patung beruang. Sesekali mulutnya menghisap tangan
anak patung itu, sesekali menggoncangnya.
“Mah
nak pergi bang…” Dia mula menyambung langkah.
“Kesianlah
pada anak-anak kita…” rayu Atan. Dia bingkas berdiri mengejar langkah
isterinya. Tangannya cuba mencapai tubuh anak bongsu dalam dukungan isterinya,
namun ditepis kasar.
Tubuh
isterinya menjauh. Mata mereka beradu.
Mata
Atan mula berkaca. Hatinya sebak melihat perlakuan isterinya. Anak sulungnya
juga menerpa ke muka pintu. Tangannya cuba mencapai tangan adiknya. Airmatanya
tidak berhenti bercucuran.
Suasana
bertukar menjadi riuh. Anak- anak Atan
mula menangis. Anak yang tengah turut menangis walau masih tidak
mengerti. Anak yang dalam dukungan isterinya turut menangis kerana terkejut
melihat kakaknya menangis. Dan keadaan yang kecoh itu mula menarik perhatian
jiran tetangga bersebelahan.
Beberapa
orang datang menjenguk di hadapan rumah. Mereka memandang penuh hairan, tidak
berani masuk campur.
“Mah
tetap nak pergi.”
Atan
tarik nafas. Nampaknya isterinya sudah cukup nekad.
“Halimah, abang lepaskan Mah dengan talak
satu. Pergilah.” Atan berkata cukup jelas. Dia berdiri dengan tenang.
Isterinya
tersentak.
Jiran
tetangga turut terkedu. Tiada siapa yang menduga akan menjadi saksi robohnya
sebuah perkahwinan. Mereka lantas berbisik sesama mereka.
Mah
tidak menunggu lagi. Dia lantas menyarung seliparnya dan berpusing ke belakang.
Tangan kirinya mencapai beg baju yang telah siap sedia di luar pintu. Dalam
gelap malam, dia melangkah laju. Mengikuti denai kecil di tepi perumahan
setinggan itu, menuju ke sebuah perhentian bas di tepi jalanraya.
Sebuah
kereta sudah lama menanti. Melihat kehadiran Mah, seorang lelaki pantas keluar
lalu mengambil beg di tangannya.
Mah
masuk ke dalam perut kereta, sebelum pintu ditutup tangan Mah menarik anak
patung beruang dari genggaman tangan anaknya lalu mencampakkannya keluar.
Anak
patung itu jatuh di tepi pondok perhentian bas. Kereta itu meluncur laju
memasuki jalan raya dan terus hilang dalam arus kenderaan yang bertali arus.
Di
rumah, Atan terduduk di tepi pintu. Tubuhnya masih menggigil. Bibirnya masih
bergetar. Walaupun seperti bermimpi namun dia yakin keputusannya betul.
Mah akan bahagia dengan pilihan hidupnya. Dia
berserta anak-anaknya akan terus bahagia dengan dunia mereka sendiri.
Tiada
gunanya dia memaksa kalau hati Mah sudah tidak wujud di situ. Dia percaya tanpa
keikhlasan tidak akan wujud kemanisan berumahtangga. Biarlah segalanya
berakhir. Dia reda.
Perlahan-lahan
dipeluknya anak sulung dan anak tengahnya. Dengan sepenuh hati dia berjanji. Walau
apa pun yang berlaku, dia akan membesarkan anak-anaknya dengan baik dan
sempurna. Tiba-tiba dia tersedar sesuatu.
“Anak
patung tadi mana?”
“Kan
adik bawa?” Anak sulungnya menjawab.
Atan
kehilangan kata-kata.
Jauh
di perhentian bas, Mr. Teddy terbaring di bawah kerusi batu. Menanti siang tiba.
Menanti Hana datang.