Monday, February 17, 2014

Amat Rindu Kamu : Bab 3


AMAT RINDU KAMU ~ merupakan sebuah kisah semi-realiti masyarakat. Ia mengisahkan bagaimana seorang gadis bernama Hana telah kehilangan anak patung kesayangannya yang bernama Mr. Teddy. Dalam tempoh pencarian ini, Hana akan bertemu dengan pelbagai pengalaman baharu. Mr. Teddy pula menjadi saksi kepada satu demi satu pengalaman apabila jatuh ke tangan orang lain. Apakah Hana dan Mr. Teddy akan bertemu di akhir cerita? Mari kita ikuti kisah ini.

**********************************************

MASAM. Tetapi bau masam tong sampah berwarna hitam itulah yang Atan suka. Itu bau rezeki. Bau yang hari-hari dicarinya. Bau tanda ada tin-tin minuman kosong yang dicampak oleh pelajar-pelajar kolej tempat dia mencari rezeki.
Setelah jumpa apa yang dicari, tin-tin itu dimasukkan ke dalam beg plastik putih bersama tin-tin yang lain. Sampah-sampah pula dicurahkan ke dalam sebuah plastik hitam besar dan tebal. Kemudian kedua-dua beg plastik itu diheret perlahan di sepanjang koridor tingkat satu bangunan Kolej Tun Teja.
Setelah semua tong sampah di tingkat itu dikosongkan, Atan turun ke tingkat bawah sambil mengheret plastik sampah hitam yang semakin berat itu. Pada waktu itu kolej itu begitu sepi. Setibanya di tingkat bawah, Atam meletakkan beg plastik putihnya ke bawah tangga.
Tiba-tiba matanya seakan terlihat sepasang mata kecil memerhatikannya. Dia menundukkan kepalanya menghampiri mata itu. Diambilnya perlahan-lahan.
“Anak patung?”
Atan menyapu anak patung yang berhabuk itu ke bajunya yang lusuh lalu memasukkannya ke dalam beg plastik putih tadi. Atan kemudian berpaling dan mengambil penyapu serta pengaut sampah. Atan mula menyapu di sekitar kawasan tingkat 1 bangunan itu. Setelah selesai, Atan mengangkat beg plastik hitam tadi lalu menghantarnya ke tong sampah besar  di belakang stor.
Selepas itu Atan singgah di stor sekejap untuk menyimpan penyapu dan pengaut sampah lalu menarik beg sandangnya yang berwarna hijau lusuh. Botol airnya turut diikatkan dipinggang. Dia berjalan laju ke arah tangga. Beg plastik putih tadi di tarik dan dijinjing keluar.
Langit senja yang semakin gelap seperti mahu hujan membuatkan Atan tergesa-gesa menarik basikal buruknya yang tersandar di belakang stor. Dengan kayuhan yang terdaya oleh kudratnya dia mengayuh basikal tua itu melalui sebuah lorong kecil di tepi pagar kolej itu menuju ke sebuah perkampungan setinggan yang tidak jauh dari situ.
Di kiri kanan lorong kecil itu bau lopak dan sampah yang dibuang sebebasnya bersemadi bersama hanyir longkang yang mengalir lesu di belakang rumah-rumah setinggan di situ. Atan sudah lali bahkan hidung anak-anaknya juga sudah lali. Sudah tidak terbau apa-apa lagi. Segalanya seperti udara biasa yang tersedut dan terhembus oleh paru-paru masyarakat di mana pun.Segalanya demi sebuah kehidupan yang perlu diteruskan oleh mereka di situ. Siapakah yang akan kisah tentang bau jika kehidupan ini tiada pilihan?
            “Abah balik,” jerit anak Atan yang nombor dua.
Tangannya sepantas kilat menyambut beg plastik putih dari tangan Atan lalu menuju ke tepi rumah. Anaknya itu sangat tahu apa kandungan di dalam beg plastik putih itu, kerana isi kandungan beg plastik putih itulah yang akan ditukar menjadi duit belanja sekolahnya.
Atan menyandarkan basikalnya ke dinding rumah mereka. Tongkat basikalnya sudah lama patah dan tidak mampu diganti. Perlahan-lahan Atan melabuhkan punggungnya di sebuah pangkin kayu, walaupun sudah mula dimakan anai-anai Atan masih yakin ia belum mahu menyembah bumi.
Sambil duduk melepaskan penat, Atan mengibas-ngibas mukanya dengan topi lusuh yang dipakainya tadi. Rambutnya yang hampir botak itu diraup ke belakang. Dia tersengih melihat keletah anak-anak di hadapannya. Riang tersenyum bagaikan dunia ini tiada dukanya.
“Abah, anak patung siapa ni?”
Spontan, Atan menoleh ke arah anak nombor duanya. Baru dia teringat kepada anak patung beruang yang dijumpai di bawah tangga kolej. Pada awalnya dia ingin menyimpan di stor sahaja sebelum menyerahkan ke pejabat keesokan hari. Ah! Bagaimana ni? Masalah besar.
Anak sulungnya berhenti bermain tatkala terpandang adiknya sedang menimang-nimang patung beruang coklat itu. Matanya tidak berkelip. Dalam sinar matanya Atan faham keinginan anaknya itu. Si adik yang di dalam gendongan mula merengek, tangannya cuba mencapai patung beruang itu dari tangan kakaknya namun di tepis pantas. Adik bongsunya meraung apabila keinginannya terhalang.
Melihatkan keadaan itu, Atan mengambil anak bongsunya ditimang-timang. Anaknya mula diam dan mengekek ketawa. Kedua anaknya yang lain hanya memandang sambil tersengih.
“Mak mana?”
“Mak belum balik abah,” jawab anak keduanya. Memang anak itu yang paling banyak mulut.
Atan mengangguk, tentu isterinya buat kerja lebih masa lagi hari itu. Hujan mula turun. Atan dan anak-anaknya berlari  masuk ke dalam rumah. Begitu juga anak-anak setinggan yang lain bertempiaran mencari perlindungan. Hujan membawa rahmat tetapi kadangkala longkang yang tersumbat adalah ancaman kepada nyawa mereka yang tinggal di tepi longkang besar itu. Pasti malam itu mata mereka sukar lelap lagi.
“Berilah!” bentak anak sulung Atan yang berusia 10 tahun itu.
Tangannya menarik anak patung beruang itu dari tangan anak keduanya. Yang bongsu di atas lantai hanya memerhati dengan penuh harapan agar satu masa dia juga dapat memeluk anak patung comel itu.
“Aku punya!” sahut anak keduanya.
Atan hanya mengeluh. Serba salah. Dia sudah menjangkakan masalah ini akan timbul. Dia tidak mahu menyebelahi sesiapa namun pergaduhan itu mula menambah kepenatan tubuh dan mindanya. Lantas dia bangun dan mengambil anak patung itu dari tangan anak keduanya. Anak patung itu disimpan tinggi-tinggi di atas almari baju yang senget di tepi dinding.
Ketiga-tiga anaknya terdiam.
Senja beranjak ke malam. Hujan sudah mula teduh. Cengkerik mula bersahutan dengan laungan si kodok yang pastinya menanti pasangan mereka. Atan berdiri di muka pintu. Wajah isterinya masih belum muncul-muncul lagi padahal anak-anak mereka sudah lama lelap di atas lantai yang beralas tilam buruk. Dia tidak pasti siapa yang lebih sunyi. Akhirnya dia masuk ke dalam dan berbaring di sebelah anaknya. Tidak sedar bila dia terlelap. Dia hanya terjaga semua apabila terdengar pintu rumah ditolak.
“Abang belum tidur?”
 “Belum. Mengapa lewat sangat balik?”
“OT,” jawab Mah, isterinya.
“OT? Kalau OT pun dah lama sampai rumah.”
“Mah penatlah, bang, esok pagi dah kena pergi semula” Mah terus capai tuala dan pergi ke belakang.
“Erm…” Atan termenung di tepi dinding.
Bauan isterinya lain benar. Bukan bau hanyir longkang di belakang rumah tetapi bauan wangi yang tidak pernah tercium oleh hidungnya.
Perlahan-lahan direbahkan semula tubuhnya di tepi pintu. Sewaktu kelopak matanya hampir tertutup dia teringat satu ketika dahulu ternampak isterinya melangkah keluar dari sebuah kereta tidak jauh dari lorong yang menuju ke perkampungan setinggan itu.
Waktu itu dia hanya mahu bersangka baik. Barangkali bas isterinya rosak. Bahkan saat ini juga dia mahu bersangka baik. Wajah tulus suci anak-anaknya di renung satu persatu, antara kekecewaan terhadap diri sendiri dan rasa tidak mahu mengalah bergelutan. Kecewa kerana dia bukan ayah yang mampu memberikan kemewahan namun hidup ini belum berakhir untuk dia mengalah.
Esok pagi dia akan terus mengayuh basikal buruknya dari satu bangunan ke satu bangunan. Dia akan terus menyapu dan menyapu. Membersihkan kekotoran yang dilakukan penduduk kota. Memang dia tiada harga di mata dunia namun biarlah dia tetap berharga di mata anak-anaknya.

Di atas almari, Mr. Teddy memerhati dengan penuh pertanyaan. 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.