Tuesday, April 17, 2012

Novel DATANG PADA WAKTUNYA : Bab 5 dan 6



5
Di pinggir bandar Durian Lima, 10 tahun yang lalu…
AHMAD membuka mata. Yang pertama dilihatnya adalah sinar matahari yang bagaikan menari-nari di udara. Kabus pagi memantulkan cahaya matahari yang mencelah masuk dari rimbunan dedaun dan matanya menjadi asyik. Namun derap kaki yang menghampirinya membuatkan dia tersedar. Ada manusia lain di situ! Dengan teragak-agak dia menoleh. Sekujur wajah bersih sedang merenungnya sambil tersenyum. Dia tersentak lalu menjerit.
“Jangan dekat aku! Jangan bunuh aku!” Air matanya sudah bercucuran semula. Tidak sedar, dia sudah mengengsot jauh ke bawah lantai runtuhan masjid lama itu.
Lelaki yang bertubuh kecil dan kurus itu hanya duduk memerhati. Dia tetap tersenyum dan akhirnya menghulurkan tangan.
Ahmad tergamam. Dia menggeleng. “Pergi! Kau sama saja. Kau bukan manusia!”
Dia menjerit lalu berlari keluar dari runtuhan masjid itu dan lelaki itu tetap mengejarnya. Dia terus berlari dan berlari tanpa arah tujuan. Dia cuma yakin jika dia terus berlari, lambat-laun dia pasti akan keluar ke tempat lain. Tapi malangnya, setelah penat berlari, dia akhirnya tersedar. Dia telah kembali semula ke tapak masjid itu dan lelaki yang mengejarnya tadi semakin hampir. 


6
ADAM memandu dengan tenang menuju ke arah Cheras. Deretan kenderaan yang bertali arus di bandar raya itu tidak menghairankan dia lagi. Sudah hampir sepuluh tahun dia menetap di situ. Sejak zaman dia belajar lagi. Jiwanya sudah sebati dengan kesibukan kota malah dia sudah berasa asing jika pulang ke rumah ibu bapanya di bandar kecil. Terasa janggal. Jiwanya tidak sesuai. Jiwanya meronta-ronta ingin pulang ke bandar raya yang menjanjikan seribu satu keseronokan duniawi yang dicari-cari.
“Mana kereta you? Kenapa pakai kereta Edri pula?” tanya Lynn sebaik sahaja menaiki kereta. Dia telah menunggu di luar pangsapurinya sejak pukul 9.00 malam lagi. Solekannya yang hampir pudar dibetulkan segera.
Adam hanya menjeling. Lynn tetap nampak cantik dan seksi seperti malam-malam sebelumnya juga. Dalam ramai gadis yang dikenali, Lynn yang paling disayanginya. Gadis kota yang terbuka dalam serba-serbi. Cantik dipandang, juga berpelajaran. Pendek kata, dia bangga kerana Lynn menjadi buah hatinya. Lynn bagai trofi yang diidamkan para lelaki dan dia sememangnya bertuah apabila Lynn jatuh ke tangannya. Terasa egonya meninggi setiap kali mata-mata lelaki memandangnya dengan perasaan kagum. Membuktikan dia bukan calang-calang Romeo!
“Kenapa tak jawab? You sakit mulut?” tanya Lynn lagi sambil membetulkan letak rambutnya.
“Kereta I rosak masa pergi kerja tadi. Ada kat bengkel,” jawabnya ringkas.
Lynn cuma mengangguk walaupun terasa agak kekok. “Kita nak ke mana malam ni?”
“I dah beli tiket. Kita tengok midnight show, okey?”
Lynn mengangguk. “Ikut youlah. I tak kisah asalkan bersama you malam ni.” Manis sahaja jawapan Lynn.
Hati Adam begitu senang. Dia sudah berangan jauh. Sebelum pergi, ingin juga membekalkan kerinduan sedikit sebanyak. Tapi bagaimana hendak menyampaikan berita itu yang susahnya. Bukan senang hendak berenggang dengan gadis genit itu. Hatinya pun tidak senang meninggalkan Lynn lama-lama.
“Minggu depan I ambil cuti,” katanya tanpa menoleh.
“Cuti? You nak pergi mana?”
“I nak balik kampung. Sebenarnya bukan kampung I. Tapi tempat tu dekat dengan kampung datuk I.”
“Ada apa di sana?”
Adam sudah menjangkakan itu semua. Lynn pasti akan terus bertanya sampai cukup yakin dengan jawapannya. Tetapi dia tidak takut. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan. “I nak temankan Edri ke sana. Dia ada projek yang perlu diuruskan di situ. Sebab dekat dengan kampung I, jadi dia minta I temankan.”
Lynn terdiam seketika. Mungkin sedang menganalisa semua hujah Adam. “Kalau macam tu, bolehlah I ikut.”
“Hisy! Takkan I nak bawa you terus ke kampung pula. Jumpa orang tua I pun belum lagi.” Adam tersenyum lebar. Tak sabar-sabar betul.
Terdengar gelak manja Lynn.
“Alah, sayang, bolehlah. I teringin sangat nak tengok kampung you. Bolehlah.” Mata Lynn terkebil-kebil.
Hati Adam berdebar. Gelak manja dan pujuk rayu sebegitulah yang kerap kali membuatkan dia tumpas.
“Tak bolehlah, Lynn. Nanti apa pula kata Edri. Dia nak pergi buat kerja, bukan bercuti. Lagipun bandar yang I nak pergi ni berhantu.” Adam semakin serius. Terdetik rasa lucu di hatinya waktu itu. Tidak sangka perkataan bandar berhantu itu akan digunapakai oleh dirinya pula. Tadi beria-ia mengutuk Edri.
Mulut comel Lynn ternganga. “Ha? Tak payahlah buat cerita, sayang. Kalau tak beri I ikut, cakap sajalah. I tahu you dan Edri nak menyelam sambil minum air, kan?” Ada nada rajuk di situ.
Adam faham benar. “Mana pula macam tu. You bukan baru kenal I. I cuma sayang you sorang sajalah, Lynn.”
“Sayang tak bermakna tak boleh mengurat perempuan lain, kan?” balas Lynn pula sambil menoleh ke arah tingkap.
“Itu you yang cakap, bukan I.”
“Eleh, lelaki.” Lynn menjeling manja.
“Yang you tiba-tiba merajuk ni, kenapa pula? I cuma nak balik kampung temankan Edri. Nanti I balik, I bawa buah durian. Okey?”
“Durian tak apa. Madu tak mahu.” Lynn tersenyum semula.
Adam tergelak besar. “Kalau madu, buat apa beri you. Baik I saja yang makan dengan telur ayam kampung.”
“Mulalah tu.” Lynn tarik muka.
“I balik sekejap saja. Seminggu. Lepas tu ada cuti, I bawa you pergi Genting, nak?”
Lynn mengangkat muka. Lesung pipitnya kembali terserlah. Dia mengangguk. “You jangan nakal-nakal di sana. Kalau I jumpa nombor telefon perempuan lain, siap you.”
“Alah, apalah yang ada dengan budak kampung di situ? You lagi cantik.”
Ketawa Lynn semakin kuat. “Depan I puji-pujilah. Belakang I nanti kutuk-kutuk pula.”
“Pernah ke I buat macam tu? I janji, I takkan curang dengan you. Tapi jangan pula bila I balik sini nanti, I dapat tahu yang you keluar dengan lelaki lain.”
“Sayang, I setialah. You saja buah hati I,” rengek Lynn bertambah manja. “Jangan lupa call I tau. I akan tunggu setiap hari.”
“Ya, sayang. I ingat tu.” Dia tahu, kalau dia tidak menelefon Lynn sekalipun, Lynn yang akan menelefon dia lima kali sehari. Sesekali rimas juga. Tetapi disebabkan kerana gadis itu adalah Lynn, maka dia bersabar sahajalah. Kalau gadis lain, mahu dia tukar nombor telefon cepat-cepat.
“Sayang, bila you nak bawa I jumpa parents you?”
Adam hampir tersedak air liur. Apa dia nak jawab? Bukan dia tak mahu serius dengan Lynn tetapi dia juga sayangkan kehidupan bujangnya. “You dah puas enjoy ke? I tak nak you menyesal sebab kahwin cepat nanti. You masih muda, banyak perkara yang you boleh buat lagi.”
Lynn terdiam seketika. Matanya merenung ke luar tingkap. Deretan lampu di pangsapuri menarik perhatiannya.
“Itu memang betul, tapi you kan tahu keadaan kita,” jawabnya perlahan.
“You jangan bimbanglah. I bukannya nak ke mana-mana.”
“Kita dah setahun berkawan. Sekurang-kurangnya berilah I apa-apa jaminan. I dah korbankan segalanya untuk you.”
“Kenapa dengan you malam ni? Selalunya tak pernah pula membebel macam ni?” Adam mula rimas. “Bukannya you seorang sahaja yang berkorban, I juga berhabis duit untuk you.
Lynn terdiam sesaat. “Ya, tapi sampai bila? You tak mahu bertanggungjawab? I bukannya perempuan tepi jalan yang you boleh bayar dan lupakan sahaja.”
Adam menggaru kepala. Itulah soal yang paling dibencinya. Tanggungjawab! Padahal antara dia dan Lynn sudah banyak bertolak ansur. Sebut apa sahaja, dia tak pernah berkira. Kahwin? Dia masih muda. 30 tahun pun umurnya belum sampai. Dia tak sanggup menjadi tua di dalam rumah sambil dikelilingi budak-budak yang kencing berak di dalam seluar.
 “Sabarlah, Lynn. Nanti sampai masanya kita kahwinlah. Okey, sayang?” katanya dengan lembut.
Lynn tidak menjawab.
“Kita kerja kuat-kuat dulu, kumpul duit banyak-banyak. Beli rumah, beli harta baru kita kahwin okey? Buat masa ni kita enjoylah dulu,” pujuknya lagi. Alasan lapuk yang diguna pakai entah berapa kali.
Lynn tidak membantah. Dia hanya diam merenung lampu-lampu kota pelbagai warna. Adam senang hati. Sekurang-kurangnya Lynn akan diam buat beberapa bulan lagi. Malam itu mereka berhibur lagi sampai lewat pagi. Mengulangi lagi dosa-dosa lama dan menambah pula dosa-dosa baru. Perkara itu dilupakan sahaja.

PAGI itu, Edri bangun awal seperti biasa. Walaupun hari Ahad, matanya sudah tidak mahu lena lagi. Bukan sahaja kerana sudah terbiasa bangun awal ke tempat kerja, juga kerana malam tadi tidurnya tidak lena. Lebih baik dia bangun daripada terus memaksa diri dalam keadaan yang tidak selesa. Kepalanya rasa tepu, hidungnya mula tersumbat.
 Dia masuk ke dapur, menjerang air dan memasak sarapan ala kadar. Maklumlah, rumah bujang. Setakat ada dapur kecil itu sudah memadai. Sebuku roti dan beberapa biji telur diletak berdekatan.
“Rajin kau pagi ni?” tegur Adam yang baru keluar dari biliknya. Daripada pakaiannya yang belum berganti sejak malam tadi, menunjukkan dia terus tertidur sebaik menjejakkan kaki semula ke rumah.
Edri hanya membisu. Semangatnya untuk berbual masih belum ada. Mungkin kerana perutnya lapar atau kerana fikirannya masih terganggu. Dia seakan-akan leka mengacau telur goreng di dalam kuali.
“Kau nak buat bubur telur ke?” Adam menegur lagi.
Kali ini Edri baru berpaling lalu bertanya, “Apa dia?”
Adam ternganga. “Orang cakap dengan dia, dia masih di London rupanya.”
Lalu dia duduk di meja makan. Matanya tajam merenung wajah Edri. “Kenapa dengan kau? Macam dah kena sampuk saja aku tengok.”
Edri masih termenung jauh. Telur goreng diisi dalam pinggan. Api dapur segera dipadamkan. Dia lantas menyapu kaya ke atas roti.
Adam masih memerhati gerak-geri Edri dengan anak matanya. “Kau nak muntah atau kau dah buang tebiat?”
“Apa?” tanya Edri lagi sekali.
“Sejak bila kau makan telur goreng dengan kaya? Resipi baru?”
“Eh!” Edri baru terperasan. Dia termenung lagi. Roti yang sudah disapu kaya diletak di atas piring di hadapannya. Dia mengambil sekeping roti yang lain.
“Kenapa dengan kau ni, Ed?” Sudah dua kali Adam mengulangi soalan yang sama.
Edri terkebil-kebil memandang ke arah Adam. Suapannya terhenti. “Malam tadi aku bermimpilah.”
“Hah! Eloklah tu. Pandai juga kau bermimpi.” Adam ketawa kecil.
“Aku mimpi buruklah,” jawab Edri lagi. Wajahnya serius. Terasa juga di hatinya apabila Adam bergurau tidak kena tempat.
“Mimpi buruk?” Adam berhenti ketawa. “Mimpi apa pula? Mungkin sebab kau fikirkan sangat hal-hal karut-marut tu agaknya.”
“Mungkin,” jawab Edri. “Tapi aku rasa macam betul-betul terjadi. Pula tu, mimpi itu berulang-ulang di sepanjang malam. Kepala aku dah sakit, pagi ni.”
“Kau dah makan ubat darah tinggi kau tu?”
Edri menggeleng. “Sekejap lagilah, lepas makan.”
“Mungkin malam tadi tekanan darah kau tinggi sangat agaknya. Badan kau cuba bangun tapi kau pula asyik nak tidur.”
Edri menggeleng.
“Aku dah makan ubat sebelum tidur. Kepala aku tak sakit, tengkuk aku tak berat waktu aku masuk tidur,” bantahnya. Dia masih termenung. Nafasnya berat. Mimpi itu seolah-olah masih menguasai fikiran dan perasaannya.
“Kau mimpi apa sebenarnya?”
“Aku mimpi aku lemas. Aku terkapai-kapai di dalam sungai yang deras. Sungai itu lebar, cuaca pula gelap dan waktu itu pula hujan.”
Adam cuma terangguk-angguk. Riak wajahnya seperti kebingungan sahaja. Dia masih mengamati wajah Edri dengan teliti. “Mimpi sajalah. Kenapa kau nak fikirkan sangat? Mainan tidur.”
“Itu aku tahu, tetapi mimpi itu terus berulang sampai ke pagi. Aku jadi letih.” Edri menarik nafas. “Dalam mimpi aku itu pula, ada seorang perempuan yang sama hanyut bersama aku. Aku cuba selamatkan dia tetapi tidak berjaya. Arus sungai terlalu deras.”
“Lupakanlah, Ed. Itu mimpi sajalah,” pujuk Adam. “Bukan betul-betul. Yang kau nak rasa sedih semua tu mengapa pula?”
Edri menghempaskan keluhan. Ternyata mimpi itu sangat mengganggu perasaannya. Ada rasa kecewa, sedih dan marah yang bercampur baur. Sejujurnya, hatinya kesal kerana dia gagal menyelamatkan gadis yang malang itu. Adam tidak mungkin faham. Bukan dia yang melihat kejadian itu.
“Mungkin perasaan kau terbawa-bawa dengan cerita hantu bandar Durian Lima itu agaknya. Mudah sajalah datang mimpi yang bukan-bukan.”
Edri mengangkat kening. “Mungkin,” jawabnya pendek. Walaupun cuma mimpi buruk, ia seolah-olah berbekas dalam hatinya. Entah kenapa, dia masih terasa yang dia dan gadis itu ada hubungan tertentu.
“Malam tadi kau jumpa Lynn?” Dia mengubah topik perbualan.
Adam mengangguk.
“Apa kata dia?”
“Biasalah, perempuan. Tentulah nak ikut sama. Tapi aku kata tak boleh sebab kau nak buat banyak kerja di sana,” terang Adam sambil tersenyum.
“Aku ni jadi alasanlah ya,” balas Edri dengan cepat.
“Habis tu? Takkan kita nak heret dia? Leceh nanti. Orang kampung bukan sama dengan orang bandar. Bising mulut mereka nanti.”
Edri tersenyum lega. Dia pun tidak mahu Lynn ikut serta. Kalau gadis itu ada sekali, pasti Adam lebih sibuk melayan Lynn daripada dia. Leceh betul.
“Jadi, kau tetap mahu pergi ke sana?”
“Berapa kali kau nak tanya? Kan aku dah kata semalam, yang aku akan pergi,” jawab Edri dengan yakin.
“Eloklah kalau macam tu. Aku cuma takut kau berubah fikiran pula selepas bermimpi macam-macam ni.”
Edri menggeleng. “Pergi tetap pergi. Kalau tak, kenalah aku hantar resume ke syarikat lain pula. Lagipun selagi kes jambatan itu tidak selesai, hati aku tak tenanglah.” Dia menghabiskan air Nescafe 3 in 1 di hadapannya.
Sejak dia membuka fail biru itu semalam, hatinya bertambah yakin. Dia seolah-olah terpanggil untuk menyelesaikan kes itu. Walaupun dia belum tahu bagaimana, namun dia bertekad untuk tidak pulang dengan tangan kosong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.