Thursday, June 14, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 13


Sekarang…
HARI itu Borhan bersiap ala kadar sahaja, dia masih belum bersedia ke pejabat seperti yang sepatutnya.
“Pak Harun hari ini tolong hantarkan saya ke bandar,”
Pak Harun yang sedang mengelap kereta tersentak. Dia memandang Borhan dengan pandangan yang aneh. “Tuan tak ke pejabat hari ni?”
“Rasa malaslah pula,” balas Borhan sambil membuka pintu kereta dan duduk di sebelah Pak Harun. Dia memang jarang duduk di belakang, dia tidak selesa. Lagipun Pak Harun bukan sahaja pemandu dia, malah sudah dianggap seperti penjaga yang dihormatinya.
“Tuan dah kena demam raya agaknya tu,” kata Pak Harun sambil tersengih.
“Mungkin.” Borhan menjawab itu sahaja. Yang seju- jurnya dia masih belum ada mood untuk membuat apa-apa persiapan. Hari raya tahun itu adalah hari raya yang pertama disambutnya bersendirian jika Mak Som dan Pak Harun tidak diambil kira sekali. Tetapi mujurlah ada dua orang tua itu di situ, sekurang-kurangnya dia tidak betul-betul keseorangan dan mati punca.
“Di mana tuan tinggalkan kereta?” tanya Pak Harun lagi. Dia tahu pada malam tadi Borhan pulang dihantar seseorang. Kata Mak Yah, orang yang menghantar itu adalah seorang perempuan.
“Itu yang jadi masalah ni.”
Pak Harun menoleh ke arah Borhan seketika. “Maksud tuan?”
“Saya terlupa di mana saya letakkan kereta saya.” Borhan tahu, Pak Harun akan berasa pelik tetapi dia juga tahu betapa pentingnya berterus-terang daripada ber- bohong dan merumitkan lagi keadaaan.
“Erm, tak apa, tuan. Kita pusing-pusing dulu di bandar. Jika tak jumpa juga, kita buat report polis.” Pak Harun mencarikan penyelesaian. “Tuan masih ingat ke mana tuan pergi semalam?”
“Yang saya ingat saya ke sebuah kedai farmasi di Jalan Tun Ismail,” balas Borhan dengan yakin. Itu sahaja yang dia ingat tentang apa yang berlaku pada petang semalam. Mungkin kesan hantukan kepala ke lantai semasa jatuh pengsan itu masih ada.
“Kalau macam tu. Kita terus sahaja ke sana. Mungkin ada dekat-dekat situ.” Pak Harun terus sahaja memandu laju menuju ke Jalan Tun Ismail. “Tapi macam mana boleh lupa, tuan? Tuan… tak buat apa-apa yang tak patut, kan?” tanya Pak Harun lagi.
Borhan menelan air liur. Pertanyaan Pak Harun itu membuat mukanya berubah merah padam. “Tak, Pak Harun. Saya pengsan sekejap semalam, selepas saya tersedar tu saya tak ingat apa-apa. Mujurlah saya ingat alamat rumah,” balas Borhan.
“Macam mana boleh sampai pengsan tu? Tuan letih sangat berpuasa?” Pak Harun mengerling wajah Borhan. Borhan nampak tenang sahaja.
Borhan mengeluh. Jika dibukakan rahsia yang dia mabuk darah, nanti Pak Harun ketawakan pula. Lalu dia menjawab, “Entahlah Pak Harun, sedar-sedar saja saya sudah berada di dalam pejabat farmasi tu. Mereka sedaya-upaya menyedarkan saya sejak petang tapi saya tak bangun-bangun sampailah dekat pukul 9.00 malam.”
“Syukur, alhamdulillah. Mujur juga tuan pengsan dalam kedai, kalau pengsan atas jalan ke, tak tahulah nak cakap.”
Borhan sekadar mengangguk. Sedar tidak sedar, mereka sedang menyusuri Jalan Tun Ismail. “Eh! Pak Harun, tolong pusing balik. Saya rasa, mungkin di seberang sanalah sebab saya masih ingat saya ada menyeberang jalan ke sebelah sini.”
Pak Harun hanya mengikut perintah lalu mencari lorong untuk berpusing semula ke tempat yang ditunjukkan oleh Borhan sebentar tadi.
“Ha, tu dia!” Tiba-tiba Borhan terjerit. Kereta BMW miliknya terletak elok di dalam petak parkir. Pak Harun memperlahankan kereta yang dipandunya lalu Borhan melompat turun. “Pak Harun baliklah dulu, saya balik sendiri,” katanya pula.
“Jangan lupa beli telefon baru, tuan. Mak Yah kat rumah tu susah hati betul kalau tak dapat hubungi tuan,” pesan Pak Harun pula sebelum mengerling ke cermin sisi, sejak meninggalkan rumah lagi, dia perasan kereta bercermin gelap itu mengekori keretanya tetapi perkara itu didiamkan sahaja. Apabila dia bergerak pergi, kereta itu tidak mengikut pula.
Borhan hanya tersenyum sahaja. Setelah Pak Harun meninggalkan tempat itu, dia pun menghampiri keretanya yang sudah dihias slip kompaun dari majlis bandaran. Setelah mengutip semua slip tersebut, dia membuka pintu keretanya, serentak itu juga terdengar sesuatu benda jatuh di atas lantai keretanya. Dia menjenguk.
Di sini rupanya. Dia segera mengambil telefon bimbit itu dan apabila dihidupkan semula, berderet mesej dan senarai ‘Panggilan yang tidak berjawab’ dari nombor yang sama menerjah masuk. Adam ! Borhan menepuk dahi.
N
“KE MANA pula dia hari ni? Nak kata ke pejabat, pakaiannya tak macam selalu.” Mak Yah terus bertanya sebaik sahaja Pak Harun masuk ke bahagian dapur. Dia ingin bertanya kepada Borhan tadi tetapi tidak berani apabila melihat Borhan kelihatan tidak bermaya sahaja.
“Ambil kereta dia.”
“Di rumah perempuan semalam tu?” Dada Mak Yah berdebar. Walaupun samar-samar semalam, dia tahu yang menghantar Borhan balik adalah seorang perempuan. Cuma dia benar-benar berharap biarlah perempuan itu perempuan yang baik-baik.
“Perempuan manalah pulak? Keretanya ada tertonggok depan bank dekat pasar besar tu. Penuh dengan slip kompaun.” Pak Harun ketawa kecil.
Mak Yah ikut tersenyum. Lega sedikit hatinya. “Dia tak cakap hari ni nak ke mana?”
Pak Harun menggeleng. Fikirannya tertumpu kepada kereta bercermin gelap tadi. Perlukah dia memberitahu Borhan? Dia masih berasa serba-salah.
Mak Yah kembali risau. Dia terkenang kepada kata-kata arwah Tuan Amzar sebelum jatuh nazak.
“Harun… Yah…. Saya nak minta tolong,” kata Tuan Amzar dengan nafas yang tersekat-sekat.
“Cakap saja tuan. Kami berdua akan tolong,” balas suaminya sambil mengurut lengan Tuan Amzar.
“Tolong jaga Borhan. Dia dah tak ada siapa-siapa. Jangan beri dia ulang balik sikap lama dia,” kata Tuan Amzar lagi. “Pujuk dia tinggal di sini.” 
Mendengarkan kata-kata itu, air matanya menitik. Dari gerak hatinya kuat mengatakan bahawa masa Tuan Amzar sudah begitu singkat. Lalu dia menjawab, “Tuan jangan bimbangkan dia. Bila dia balik nanti, kami akan jaga dia baik-baik macam anak kami sendiri.”
“Bimbing dia. Ajar dia agama. Jangan biar dia hidup tak ada pedoman,” pesan Tuan Amzar lagi.
Dia dan suaminya hanya mampu mengangguk. Dia tahu Borhan akan hidup sebatang kara sekiranya Tuan Amzar meninggal kerana ibu bapa Borhan sudah meninggal dunia sebelum itu. Borhan pula anak tunggal dan kini datuknya pula nazak. Sungguh berat dugaan yang ditanggung Borhan dan berat juga amanah yang terbeban di bahu mereka berdua.
“Tuan Borhan tu dulu hidup bebas. Pemabuk. Hidup dia dah jauh dari landasan agama. Mujurlah mak ayah dia cepat sedar dan berikan rawatan di sana.” Dia masih ingat cerita suaminya tentang Borhan pada suatu petang selepas Tuan Amzar meninggal. Suaminya dan arwah Tuan Amzar sememangnya sangat rapat. Maka rahsia keluarga itu rahsia mereka berdua juga.
Dan sebaik sahaja Borhan pulang ke situ setelah dua bulan Tuan Amzar meninggal, dia sedar di hadapannya itu adalah amanah dan satu ujian untuk mereka berdua. Seberat mana pun amanah itu, akan dia tunaikan sebagai membalas segala budi baik Tuan Amzar kepada mereka berdua.
“Kenapa biarkan air tu melimpah?” tegur Pak Harun sambil menutup paip air.
Mak Yah tersedar dari lamunannya dan cepat-cepat menyapu air matanya yang gugur.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.