Wednesday, March 2, 2011

JANJI JULIA : Bab 4


Lebuh raya yang menuju ke utara mula sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Baik kereta, bas, van mahupun lori, semuanya sarat dengan penumpang dan barang-barang. Laluan menjadi semakin perlahan. Julia mengagak tentu mereka juga mempunyai hasrat yang sama. Meninggalkan ibu kota dan menyelamatkan diri bersama-sama keluarga. Dalam keadaan itu, masa dan nyawa sama nilainya. Dan dia berdoa agar semuanya masih boleh bertenang walau di dahinya sendiri sudah memercik peluh.

“Hei! Hei!” Mimi bertempik. Jarinya menunjuk ke arah sesuatu di tengah jalan mereka.
Julia segera membelok ke laluan sebelah kanan. Hampir sahaja mereka merempuh sebuah kereta kecil berwarna Merah Saga. “Gila!” Dia menghempaskan tapak tangannya ke stereng. Dia terketar-ketar menahan rasa terkejut. Dia memerhati cermin pandang belakang. Kenderaan lain juga hampir kemalangan disebabkan perkara yang sama.

Dua orang pemuda cuba menghentikan laluan dengan bersenjatakan sebatang besi panjang. Di sebelah kiri jalan juga kelihatan sebuah pacuan empat roda tersadai di lorong kecemasan. Mungkin rosak, mungkin juga kehabisan minyak. Tidak ada sesiapa pun yang mahu berhenti untuk mengambil tahu termasuklah mereka berdua.

“Gila betul!” Mimi membentak. “Tahan kereta orang dengan besi pula tu. Siapa yang nak berhenti?”

“Mereka terdesak agaknya. Dalam keadaan macam ni, semua orang akan jadi gila, Mimi. Kita harus bersedia.”

“Ya, tapi cara mereka tu boleh buat kita terbunuh sama,” bantah Mimi. Rasa jengkelnya masih ada. Wajahnya bengang.

“Mereka tak peduli soal nyawa kita ataupun sesiapa saja. Yang pentingnya, nyawa mereka dulu. Mereka akan buat apa-apa saja asalkan nyawa mereka dan keluarga mereka selamat.”
Mimi menelan air liur. Dia mendengus.

“Kalau aku pun, aku akan jadi gila,” sambung Julia lagi. Dia tersenyum tawar.

Dahi Mimi berkerut, tidak faham. “Mengapa?”

“Kerana janji aku pada kau.”

Mimi terdiam sejenak. “Fikiran aku jadi keliru sejak kita tinggalkan kampus. Perasaan aku jadi tak tenteram. Apa yang aku harapkan, semuanya tersasar jauh. Pagi-pagi lagi dah macam-macam hal yang berlaku. Aku rasa menyesal pula ajak kau balik ke Ipoh,” balas Mimi pula.

“Jangan cakap macam tu. Kita tak mungkin berpatah balik lagi. Anggap saja ni jalan sehala. Jambatan di belakang kita dah terbakar. Kau sedarkan yang kita tak boleh balik semula ke sana?”

Mimi menghela nafas. Soalan Julia tidak dapat dijawab.

Julia mengerling. “Jangan pandang belakang lagi mulai sekarang. Jangan ada penyesalan. Kita kena teruskan juga perjalanan ni walau apa pun yang berlaku. Aku dah berjanji kepada kau. Aku akan hantar kau balik. Jangan bimbang, okey?” katanya sambil cuba mengukir senyuman walaupun terasa berat.

Matanya merenung lebuh raya. Bagai terbayang-bayang rumah besar Mimi dan kegembiraan pada wajah ayah dan ibu Mimi nanti. Dia ingin tersenyum sekali apabila tiba waktunya. Itu sudah cukup untuk dia menumpang setitis rasa bahagia.

Mimi menoleh ke arah Julia. “Maafkan aku sebab susahkan kau.”

“Aku yang susahkan kau selama ni,” bantah Julia dengan cepat. “Kalau tak disebabkan kedegilan aku, dah lama kau berada di Ipoh.”

“Itu pilihan aku sendiri,” Mimi tidak mahu mengalah. “Aku yang nak temankan kau.”

“Terima kasih, Mimi. Susah nak cari teman baik macam kau sekarang. Lebih-lebih lagi dalam keadaan macam ni. Semua orang akan lebih pentingkan diri sendiri.”

Mimi tersenyum tawar. “Bila kita sampai di rumah, aku akan minta tolong daripada ayah aku untuk cari jalan supaya kau dapat balik ke rumah kau pula. Mesti ada jalan lain untuk ke selatan ataupun sekurang-kurangnya menelefon ayah kau.”

Julia menggeleng. “Biarlah dulu. Aku tak harap apa-apa pun. Kalau kau dapat balik kepada mak ayah kau pun, aku dah cukup gembira,” jawabnya perlahan. Ada sebak dalam dadanya yang tidak mampu diluahkan. Terdongkol di situ.

Kali ini Mimi tidak membantah. Dibiarkan sahaja Julia melayani fikirannya sendiri.

Julia mengeluh panjang. Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia memecut selaju yang mungkin, tetapi laluan menjadi semakin sesak. Banyak kenderaan yang berebut-rebut memintas laluan. Julia mula bimbang jika berlaku kemalangan. Kini mereka hanya mampu bergerak pada kelajuan kurang daripada 60 kilometer sejam walaupun mereka berada di laluan sebelah kanan sekali.

Julia mengerling jam di papan pemuka. Sudah hampir pukul 2.00 petang. Jika segalanya lancar, mereka akan tiba di Ipoh sebelum pukul 4.00 petang. Tiba-tiba matanya membesar. “Eh, apa tu?” Mukanya berkerut.

Matanya tidak berkelip memandang lebuh raya di hadapannya. Dia menggerakkan tubuhnya ke hadapan. Apakah yang dilihatnya itu hanya sebuah ilusi? Semakin hampir, Julia semakin cemas. Matanya terbeliak. Serta-merta kakinya menekan pedal brek.
“Astaghfirullahalazim…” Dia tersengguk dengan kuat.

*****

Tubuh Mimi terdorong ke hadapan. Nasib baik badannya ditahan oleh tali pinggang keselamatan. Dia cuma mengaduh. Wajahnya pucat tidak berdarah. Matanya buntang memerhati kenderaan di hadapan mereka. Nafasnya terhenti.

Julia kelu di tempat duduknya. Dadanya bagaikan ingin pecah menahan rasa cemas. Keretanya berhenti cuma setengah kaki dari belakang kereta Mercedes yang berada di hadapannya. Dia segera mengerling ke arah cermin pandang belakang. Sesungguhnya pada saat itu dia lebih risaukan kenderaan MPV di belakangnya. Nasib baik kereta itu juga dapat membrek dengan baik meskipun hampir mencium belakang keretanya. Kesemuanya terlalu hampir. Mereka berdua terdiam dengan tiba-tiba, malah mungkin seisi dunia turut terpegun seketika. Tubuhnya menggeletar dari kepala sehingga ke hujung kaki.

Saat demi saat berlalu. Kedua-duanya masih lagi terdiam di situ. Kebingungan. Di hadapan kereta mereka kelihatan deretan kenderaan yang mungkin berkilometer panjangnya. Tetapi yang anehnya, laluan yang menuju ke arah selatan pula begitu lengang. Apa yang sedang berlaku? Kemalangan teruk? Jalan ditutup? Pelbagai andaian mula bermain di fikiran. Tidak ada satu yang memberi jawapan yang menggembirakan. Dengan perlahan, Julia menoleh ke arah Mimi. Mimi masih terperosok di tempat duduk. Kaku.

Dia menoleh pula ke arah kenderaan lain. Semuanya juga sudah terhenti sama sekali. Laluan ke utara seolah-olah sudah terhalang. Ketiga-tiga lorong menjadi sesak, malah mula bertukar kepada empat lorong. Lorong kecemasan juga dipenuhi kereta. Dan setelah hampir setengah jam tersangkut di situ, pemandu-pemandu mula keluar dari kenderaan masing-masing. Semakin lama, semakin ramai. Semuanya tertanya-tanya dan resah gelisah di tengah-tengah pancaran matahari yang menikam kulit.

“Jangan keluar. Duduk di dalam kereta,” kata Julia sambil membuka sedikit pintu kereta lalu menjenguk ke hadapan. Dia harus berbuat sesuatu untuk mereka berdua.

“Kau nak pergi ke mana? Janganlah keluar,” kata Mimi. Kini suaranya muncul semula.

“Kau tunggu sekejap. Aku nak tanya orang di depan tu. Mungkin mereka tahu sesuatu,” jawab Julia walaupun dia tahu Mimi sudah hampir menangis. Sebelum melangkah meninggalkan kereta, dia sempat menoleh ke arah jam di tangannya. Sudah hampir pukul 2.30 petang. Dengan langkah yang perlahan, Julia memberanikan diri mendekati kereta di hadapannya.

Seorang lelaki yang berusia hampir 50-an keluar dari tempat memandu sambil tersenyum kelat kepadanya.

“Pak cik, apa yang berlaku di depan?” tanya Julia dengan sopan. Dia mengerling ke dalam kereta milik lelaki itu. Ada seorang perempuan yang sebaya dengan pak cik itu dan tiga orang remaja. Mungkin anak-anak pasangan itu. Dia mengangguk sebagai tanda hormat. Mereka cuma terkebil-kebil memandang Julia.

Lelaki itu mengangkat bahu. “Tak tahulah. Tapi kalau macam ni, pak cik tak rasa kita akan sampai ke utara sebelum malam,” katanya dengan resah.

Julia sekadar mengangguk. “Macam teruk betul kesesakan kali ni. Mungkin ada lori tumbang melintang jalan agaknya,” kata Julia.

“Itulah yang membimbangkan kami. Laluan terus tak bergerak dari tadi.”

“Tak apalah, pak cik. Selagi kita masih bersama-sama di sini, insya-Allah kita akan selamat,” katanya cuba menyedapkan rasa hatinya sendiri.

Lelaki itu mengeluh panjang. “Anak nak ke mana?” tanyanya pula. Matanya merenung tajam ke arah Julia. “Berdua saja?” Dia melirik pula ke arah Mimi yang berada di dalam kereta.

“Ya, pak cik. Kami nak balik ke Ipoh,” jawab Julia seraya menoleh ke arah Mimi yang terkebil-kebil memandangnya.

“Duduk dalam kereta, jangan keluar. Mungkin bahaya bila malam tiba,” pesan pak cik itu lagi.
Julia mengangguk lagi lalu berpatah semula ke keretanya. Kata-kata pak cik itu memang benar belaka. Sejak kekecohan berlaku, penjenayah dan perompak bermaharajalela pada waktu malam. Pihak keselamatan sendiri sudah mengeluarkan perintah berkurung bermula dari pukul 7.00 malam. Tetapi sekarang mereka berada di atas lebuh raya. Di manakah mereka harus berlindung apabila malam menjelang?

“Apa yang berlaku, Ju?” tanya Mimi sebaik-baik sahaja Julia masuk semula ke dalam kereta.

“Pak cik tu pun tak tahu. Aku cuba juga jenguk-jenguk ke depan tapi tak nampak apa-apa sebab terlindung oleh selekoh dan bukit,” kata Julia. Enjin kereta dimatikan. Tingkap kereta dibuka. Angin menderu masuk. Namun, belum cukup menghilangkan kebimbangan di hati mereka.

“Kenapalah masa ni pula nak sesak teruk ni?” Mimi bertanya walau bukan kepada Julia.

Julia hanya menggeleng. Mereka benar-benar terperangkap di situ. Di hadapan mereka, seolah-olah lautan kenderaan bersusun panjang. Di belakang juga sama sahaja. Ke mana lagi mereka boleh bergerak? Namun apabila matanya terpandang akan pak cik tadi yang kelihatan sedang berbual-bual mesra dengan pemandu bas di hadapannya, dia berasa sedikit lega. Mereka tidaklah hanya berdua di situ. Masih ramai lagi yang sama-sama senasib. Tentu keadaan tidak sesukar mana.

“Kita tunggu sajalah nampaknya. Nak bergerak ke mana pun tak boleh,” kata Julia.

*****

Masa terus berlalu. Dari sejam ke sejam. Kepala Mimi sudah terlentok di tepi tingkap. Lena diulit mimpi. Julia juga sudah beberapa kali terlelap dan terjaga di dalam kereta. Dia menguap luas. Segala sendinya sudah mula kebas dan sakit-sakit. Dia semakin rimas. Sudah berjam-jam terkurung di dalam kereta. Tidak pernah dirasakan waktu berjalan terlalu perlahan seperti itu. Resah di hatinya juga semakin kuat. Bagaimana jika mereka memang benar-benar tersekat di situ? Sampai bila?

Dia merenung ke langit. Cahaya matahari yang terik tadi semakin lama semakin menghilang. Tersorok oleh bukit yang mengapit laluan di kiri dan di kanan jalan di hadapan mereka. Cuma di sebelah kanan lebuh raya itu sahaja ada lembah yang mencelah di antara dua bukit yang dipenuhi pokok-pokok kelapa sawit. Dan di situ ada parit kecil. Julia cuba menghayati semua pemandangan itu satu per satu. Mungkin segalanya itu hanya akan tinggal kenangan pada suatu hari nanti. Mungkin juga itulah kali terakhir matanya dapat melihat setiap perkara. Dia menghela nafas.

Di hadapan keretanya, pak cik tadi bersama-sama dua orang anak lelakinya sedang berbual-bual di atas jalan raya. Mereka bersimpuh sambil berbual-bual mesra. Julia tersenyum tawar. Ingatan kepada ayahnya di kampung muncul kembali. Kemesraan yang sudah lama hilang. Mungkinkah mereka akan bertemu lagi? Air matanya bergenang. Tiba-tiba matanya membesar. Telinganya dapat menangkap suatu bunyi yang aneh. Mimi juga terjaga dan tersentak. Tiba-tiba, suasana yang hening bertukar kecoh.

Kedengaran suara jeritan dan raungan dari arah hadapan. Dia melihat orang ramai meluru ke arah mereka. Pak cik tadi dan anak-anaknya bingkas bangkit. Namun belum pun sempat dia melangkah jauh, dia sudah tersungkur mencium jalan. Darah membuak dari belakangnya. Anak-anaknya meraung. Suasana bertukar hingar. Bunyi letupan semakin kuat. Bunyi tembakan yang bertalu-talu semakin hampir.

“Ju!” jeritan Mimi berpanjangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.