Sunday, March 27, 2011

Teaser CAFE CINTA: Bab 7


Slot bacaan hujung minggu kita sudah masuk ke Bab 7
selepas ini ia akan disambung pada hari Sabtu dan Ahad depan pula.

********

“TASHA, macam mana dengan perbentangan tadi? Mereka terima?” tanya papaku sewaktu kami bertembung di luar pintu lif. Aku baru keluar dari lif, papa pula nak turun bersama setiausahanya.

Aku angguk beberapa kali. “Cuma macam biasalah, kena ubahsuai sikit idea tu ikut selera mereka. A bit fussy but it’s still okay,” jawabku.

Aku sengaja tak bercerita tentang bagaimana aku bertegang leher tadi di bilik mesyuarat. Kalau aku buka mulut pun, papa akan jawab ‘Right or wrong, the customer is always right’. Tapi pada aku, tak semestinya begitu dan sudah tugas akulah sebagai perunding mereka menentukan apa yang terbaik. Kalau tak, tak payahlah upah syarikat aku. Tapi, orang macam papa, sangat mengutamakan pelanggan. Dia selalu ingatkan aku bahawa disebabkan hubungan yang baik itulah, syarikat kami masih dapt bertahan apabila negara dilanda kegawatan ekonomi beberapa kali. Aku diam saja, mungkin betul juga.

“Bagus. Esok papa nak ke China. Ada apa-apa nak pesan?”

“China?” Aku mula berfikir. “Bawakan Tasha, Pau Mo,” kataku sambil ketawa kerana aku juga tahu, permintaan aku itu tak mungkin ditunaikan papa.

Papa ikut ketawa. Dan sambil menggeleng dia menjawab, “Tak habis-habis dengan Pau Mo dia. Papa bukan pergi ke Xi’an. Lagipun belum sempat sampai dah basi.” Dia bergerak ke pintu lif. Mungkin dah malas melayan aku yang mengarut tengah hari tu.

“Tasha gurau ajelah. Tasha pun fikir nanti hujung tahun nak ajak Nina ke sana. Manalah tahu kalau dia dapat idea baru. Kat China kan banyak jenis makanan yang sedap-sedap,” balasku.
Papa mengangguk. Dia tergesa-gesa masuk ke dalam lif.

Aku berdiri di situ hinggalah pintu lif itu tertutup semula. Rasanya seperti belum puas bercakap dengan papa tapi begitulah hubungan kami. Kesibukan papa membuatkan kami jarang sekali dapat bersama. Sejak kecil, papa asyik sibuk bekerja. Mama pun sama. Cuma sejak aku bekerja di situlah, baru mama mengambil keputusan untuk berehat di rumah pula. Dan itu juga membuatkan aku tak pernah terfikir untuk berjauhan dari papa. Kalau aku pun tak ada, lagilah papa sibuk. Tapi itu juga buat aku terfikir, papa tak nampak ke yang anak dia ni dah besar? Something is happening to me, papa! Jeritku dalam hati.

Sekembalinya aku ke pejabat, aku berbaring d atas sofa Isella Benz berwarna coklat muda. Kepalaku seperti bengkak dan berat. Terasa-rasa juga seperti ada yang mengalir dari muka ke hidung dan ke tekak. Aku sedar, aku sudah mencapai tahap maksima. Dengan kurang tidur dan beban kerja yang bertambah, otakku sudah hampir menggelegak. Baru saja mataku nak terpejam, suara Justin Bieber pula memekak.

“Ya,” jawabku pendek.

“Jangan lupa bawa borang survey tu petang nanti.” Suara Nina kedengaran begitu bersemangat.

Borang survey? Mataku membesar. Ya Allah! Aku lupa betul tentang perkara tu. “Nanti petang aku bawa,” balasku sambil bangun dari sofa. Setelah Nina berhenti bercakap, aku capai pen dan kertas. Aku paksa otakku yang mengelegak ni untuk terus berkayuh mencari idea. Apabila siap saja, aku telefon kerani untuk cetak kan apa yang aku tulis. Dan apabila pintu pejabatku ditutup, aku pengsan dua jam di situ!

*****
NINA tersenyum lebar. Di wajahnya terpapar kepuasan. Borang kaji selidik di tangannya dibaca berulang kali seperti sedang meneliti keputusan ujian. “Thanks, Tasha.”

“Itu aje? Sekurang-kurangnya mee basah sepinggan ke… mee sup ke…” Aku tarik kerusi dan duduk dengan tenang. Tapi anak mataku seakan tak boleh menahan, tetap melirik ke arah meja yang selalu diduduki oleh Zaki dan Hafiz. Hai… tak ada pula mereka berdua petang ni, keluh hatiku. Kalau Hafiz tak datang, macam mana aku nak suruh Nina menegur dia?

“Itu jangan bimbanglah. Sekejap lagi sampailah tu.” Nina ke kaunter untuk menyimpan borang kaji selidik yang bersaiz kertas A5 itu.

Aku sempat melihat dia menerangkan kepada para pekerjanya tentang borang itu dan bagaimana ia berfungsi. Tapi sebaik saja, dia duduk semula ke mejaku, aku terus menegur. “Lebih baik kau yang buat sendiri. Kau juga dapat berbual dan mengenali pelanggan kau.”

“Aku?” Dahinya berkerut. Matanya terkelip-kelip.

“Engkaulah, siapa lagi? Pelanggan akan lebih rasa dihargai kalau tauke sendiri yang layan mereka, bukannya pekerja.” Aku menguatkan hujah.

Nina mengeluh panjang. “Biarlah dia orang yang buat. Sama aje.”

“Kaulah buat. Kenapa nak takut pulak?”

Aku lihat, air muka Nina berubah. Perlahan-lahan, dia bangkit menuju ke dapur.

Aku terkedu. Rasa nak tampar saja mulutku sendiri. Macam manalah boleh terlepas cakap ni? Hatiku resah. Aku menoleh ke belakang, tapi Nina terus tak muncul. Nina menangis ke? Merajuk ke? Aku mula tak keruan. Tapi, sedar-sedar saja, Nina sudah kembali ke meja sambil membawakan aku sepinggan Mee Hong Kong. Aku lega.

Macam mana pun dalam lega, aku seperti kehilangan idea untuk memulakan bicara. Mungkin rasa kesal itu sangat kuat aku rasakan. Akhirnya aku terpaksa melepaskan kekesalan itu supaya kerongkongku tidak rasa sempit seperti sekarang. “Nina, sorry…” Aku pandang muka dia.

Nina tersenyum. Tapi senyumannya bukanlah senyuman kegembiraan. Di sebalik senyuman yang terpamer itu aku membaca hati yang telah terluka oleh kata-kataku tadi. Tanpa diduga, dia bersuara, “Aku tak takut cuma… tak biasa.”

Untuk mengendurkan keadaan, aku angguk saja. “Dah banyak improve, kan? Baguslah tu,” pujiku dengan ikhlas.

Nina ketawa kecil. Dia tunduk menikmati makanannya.

Aku pula makan sambil berfikir. Kini aku menyedari bahawa keputusan Nina untuk membuka café itu adalah satu rahmat untuk dia. Moga-moga penyakit ‘takut’nya itu akan sembuh satu hari nanti, doaku dalam hati.

*****
HARI ini, aku balik lewat sedikit ke rumah. Mungkin kerana sudah tertidur di pejabat, aku rasa kurang letih daripada hari sebelumnya. Jadi, aku mengambil keputusan untuk menemani Nina sehingga dia menutup kedai pada pukul 10.00 malam.

“Berapa borang yang dah diisi setakat ni?” Aku tanya Nina yang leka menyusun borang kaji selidik.

Nina mengira. “Baru dua puluh orang aje. Ada yang tak nak isi, padahal aku dah cakap yang aku akan tolak duit air. Tapi dia orang tak nak juga.”

“Yang tak nak tu, biarlah. Dia orang juga yang rugi. Tapi kau kenalah hati-hati juga. Janganlah sampai ada yang isi borang lebih daripada sekali sebab nak minum free,” balasku.

Nina ketawa.

“Eh! Beri aku tengok sekejap,” pintaku. Tiba-tiba saja aku rasa hendak memeriksanya. Tapi sayangnya setelah aku belek kesemuanya, baru aku sedar yang aku tak menyediakan tempat untuk isi nama di atas borang tu. Memang tak penting untuk borang kaji selidik yang lain, tapi yang ini penting. “Kalau borang ni dah habis kau cakap tau, aku boleh print yang lain.”

“Banyak dah ni. Ini pun entah bila nak habis,” jawab Nina.

Aku tergaru-garu tangan. Apa yang bergelodak di hati bagai tak sabar-sabar untuk dimuntahkan. “Kau nampak Zaki tak, hari ni?”

“Zaki?” Nina termenung sebentar. “Ooo… Zaki. Tak ada.” Dia geleng sekali.

Takut ketara sangat di mata Nina, aku berpura-pura tak terkesan dengan jawapan itu. Padahal hati di dalam terasa sakit. Kenapa pula dia tak datang? “Hafiz?” Aku sekadar mencuba.

Nina menggeleng juga. Perlahan saja.

Aku pura-pura sibuk membuka pintu kereta, padahal bukannya ada hal lain pun. Sebaik saja, kereta Nina meninggalkan kawasan itu, aku juga bergerak balik. Tapi hatiku seperti tak seceria selalu. Ada rasa kehilangan dan rasa kehampaan walau aku tak tahu apa. Aku sungguh keliru dengan diriku sendiri.

*****
“KENAPA monyok je ni?” tegur papa sewaktu aku masuk ke dapur mencari air kosong. Aku sendiri tak sangka yang papa ada di situ bersendirian. “Letih sangat ke?” sambung papa lagi sambil menarik sebuah kerusi untukku.

Aku tersengih. Sebenarnya berpura-pura tersengih.

“Tak payahlah nak berlakon depan papa,” balas papaku pula sambil menghabiskan susu suam dalam gelasnya. Itu sememangnya tabiat papa sejak dulu. Dia suka minum susu suam sebelum tidur.

Aku ketawa kecil. Sambil duduk di sebelah papa di meja kecil yang hanya berkerusi empat, aku cuba berlagak tenang saja. “Mama dah tidur?” tanyaku pula.

“Dah lama dah,” balas papa seakan masih menanti aku menjawab pertanyaannya tadi. “Cakap. Apa yang Tasha failed kali ni,” kata papa.

Aku hampir tersedak. “Failed? Apa yang Tasha Failed?” Dahiku berkerut merenung wajah papa yang tenang-tenang saja merenungku.

“Selalunya… begitulah muka Tasha kalau failed apa-apa paper.” Papa ketawa pula seperti teringatkan masa lalu yang melucukan. “Jadi kali ni apa yang buat Tasha upset? Tender tak dapat atau… tengah frust?” Sambil bertanya papa tak pandang muka aku, mungkin takut aku malu.

“Tak adalah, pa,” jawabku ringkas. Apa-apapun yang membuat hatiku sedih sekarang ini, ianya tak mungkin dapat aku terangkan kepada papa. Kerana aku sendiri tak faham, apa yang aku rasa. Cuma aku rasa sedih dan rasa telah kehilangan sesuatu yang aku mahu. Itukah yang dinamakan frust? Dengan siapa pula? Aku jadi keliru. Sejak bila pula aku ada pakwe ni? “Papa, Tasha bukan frustlah cuma…”

“Upset?” sampuk papa. “Upset dengan diri Tasha kan?”

Pertanyaan papa itu membuatkan aku terdiam. Ruang dapur itu pun menjadi senyap sunyi. Aku tak berdaya menafikan kata-kata papa itu. Ya, memang aku kecewa walau aku sendiri tak jelas dengan apa yang aku rasa. Rasanya macam ada tapi tak nyata.

“Perkara biasa saja tu. Bukan semua orang boleh jadi Superman.” Papa senyum.

“Entahlah, pa. Kadang-kadang Tasha rasa seperti tak berusaha sepenuhnya mengejar apa yang Tasha mahu, itu saja.” Akhirnya terlontar juga perasaan kecewaku.

Papa memaut bahuku dengan mesra. “Atau Tasha sendiri belum pasti, itu yang Tasha mahu?” bisik papa.

Dahiku berkerut. Apa maksud papa?

“Biasanya kan, kalau kita betul-betul mahu, kita akan usahakan juga sampai dapat. Kalau kita tak pasti atau tak betul-betul mahu… banyaklah alasannya.” Papa bangkit meninggalkan aku di situ. “Tasha fikirlah… dalam hidup ni, bukan tender saja yang perlu dikejarkan.”

Aku tak berani mengangkat muka lagi. Terasa tepat kena ke batang hidungku tapi aku takkan mengorbankan nama baik Nina hanya semata-mata untuk kepentingan diriku. Aku sayang Nina seperti aku sayangkan diriku juga. Mungkin aku perlu mengorbankan rasa hatiku demi dia?

Papa bangun dari kerusi dan menghantar gelasnya ke sinki. Semasa papa berjalan keluar, papa singgah di meja itu semula. “Esok papa ke Beijing. Papa harap, Tasha jaga company dan mama dengan baik. Dan papa harap, bila papa pulang nanti papa tak tengok muka Tasha monyok lagi macam malam ni.” Papa senyum sambil mengusap rambutku.

Aku cuba senyum untuk mengambil hati papa. Aku tak mahu papa pergi dengan hati yang runsing. Tapi setelah papa hilang di balik dinding, aku kembali merenung gelas yang kosong di tanganku. Aku masih tak dapat jawapan, apa yang buat aku rasa hampa. Tapi aku sedar, sesuatu telah berubah. Ada ruang kosong dalam diriku yang menjerit-jerit minta diisi. Ruang yang selama ini tertutup dan senyap sunyi. Dan siapakah yang telah mengetuk pintunya tadi dan menghilang apabila kubuka?



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.