Friday, June 15, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 14


SUARA tangisan anaknya mengejutkan Adam dari tidur. Pelupuk matanya masih berat untuk dibuka namun nampaknya dia tidak boleh melelapkan matanya lagi apabila raungan itu semakin kuat pula kedengaran.
Dia bangkit duduk lalu mencapai telefon bimbitnya. Kotak pesanan ringkas diperiksa segera, namun hampa. Satu pun tidak berbalas.
Selepas membersihkan diri, Adam meninggalkan bilik kecil yang dijadikan bilik tidur mereka. Isterinya sedang melipat kain sambil melayan anak mereka bermain di hadapan televisyen. Adam duduk di samping isterinya dengan tenang walaupun dia tahu isterinya tidak akan duduk diam.
“Macam mana, bang? Abang nak buat apa hari ini? Nak pergi cari kerja?”
Soalan bertalu-talu masuk menusuk ke telinganya. Tentulah terus ke hati dan ke jiwanya juga. Terasa cuping telinganya mulai panas.
Adam menoleh sekilas. Masih tercari-cari jawapan yang dapat menyejukkan jiwa dan telinganya sendiri. “Sekejap lagi, abang pergilah. Kawan abang ada ajak abang jadi Pengawal Peribadi. Ada orang kenamaan memerlukan pengawal untuk ahli keluarganya.”
“Pengawal Peribadi? Tak ada kerja yang lebih selamat ke, bang?” omel Liana sambil matanya leka memandang kain batik yang dilipat cermat.
“Itu saja kerja yang abang tahu dan abang pandai. Nak suruh abang jadi doktor, abang tak masuk universiti,” jawabnya berseloroh penuh makna.
Liana tergelak. “Tak boleh ke?”
Adam hanya ketawa kecil. Dia tahu, walau hati isterinya runsing tentang masa depan mereka sekeluarga namun kasih sayang isterinya tidak pernah berubah. Cuma dia yang tidak seharusnya mengambil mudah pengorbanan dan kesetiaan isterinya itu. Adam kembali termenung.
“Bila abang nak pergi?”
“Nak pergilah ni,” jawab Adam seraya bangkit berdiri dan mencium ubun-ubun anak kecilnya itu. Telefon bimbitnya dicapai bersama kunci kereta.
“Kalau abang ada duit, tolonglah jelaskan sewa rumah dulu ya. Nanti hujung bulan saya gantilah.”
Adam tidak jadi melangkah. Dia kehilangan kata-kata untuk menjawab. Matanya dan mata isterinya berlawan pandang. Antara harapan dan memohon pengertian saling beradu. Akhirnya dia hanya mengangguk lemah.
Dengan perasaan yang sarat, dia mengatur langkah dengan penuh harapan. Semoga usahanya dipermudahkan. Untuk isteri, untuk anak dan masa depan mereka bertiga. Biar apa pun yang akan dialaminya, dia rela hadapi. Sudah sampai masanya dia meletakkan kepentingan keluarganya di hadapan kepentingan dirinya sendiri.
Tetapi belum sempat dia menuruni tangga, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi nyaring. Mata Adam membesar, nama yang tertera di skrin hampir membuat langkahnya tersadung. Borhan?
N
SETIAP saat yang berlalu, dirasakan amat lambat. Ruang itu juga dirasakan amat-amat dingin. Namun sebaik sahaja pintu pejabatnya dibuka, hatinya terus sahaja melonjak girang. Orang yang ditunggu-tunggu sudah tiba.
“Sorry pasal semalam. Ia bukan sesuatu yang disengajakan,” kata Borhan sebaik sahaja Adam melangkah masuk ke pejabat di belakang setiusahanya, Miss Mary.
Adam sedikit kaget apabila mendengar suara Borhan. Pemuda yang bernama Borhan itu kelihatan sangat ramah dan ikhlas. Huluran salam dari Borhan disambut segera namun anak matanya masih menyeluruhi wajah lelaki itu dengan teliti.
“Tak apalah, perkara dah terjadi,” jawabnya sambil tersenyum. Masih terlalu awal untuk dia membuat tafsiran terhadap lelaki tersebut.
“Saya memang nak jumpa awak semalam tapi dalam perjalanan tu saya pengsan. Sampai malam baru saya tersedar. Telefon bimbit saya pula hilang. Baru tadi saya terjumpa semula,” terang Borhan apabila Adam sudah kelihatan selesa di situ dan Miss Mary meninggalkan mereka bersama dua cawan kopi di atas meja. Dia benar-benar berharap permulaan itu tidak pincang disebabkan apa yang telah terjadi dengan tidak sengaja semalam.
“Pengsan?” Adam kehairanan.
Borhan menggeleng sambil ketawa kecil. “Panjang ceritanya, tapi nanti saya ceritakan. Yang pentingnya soal yang ini,” jawab Borhan sambil meletakkan sepucuk surat di atas meja.
Adam mengangkat kening. Matanya masih merenung wajah Borhan.
“Cuba, awak baca dulu. Sebab surat inilah saya perlukan bantuan awak.”
Adam menghulurkan tangannya namun surat itu tidak terus dibukanya. “Dari mana Encik Borhan dapat nombor telefon saya? Siapa yang rekomenkan saya?”
“Peguam datuk saya. Menurut katanya, awak pernah bekerja dengannya beberapa kali. Namanya Cik Cik Asma. Awak tentu kenal, kan?”
Cik Cik Asma? Adam hanya mengangguk lalu menarik sampul surat itu rapat kepadanya. Dengan berhati-hati surat itu dikeluarkan dan diamati dengan teliti.
Borhan terkebil-kebil menunggu. Sudah hampir dua minit Adam menatap surat yang diserahkannya tadi. Entah berapa kali diulang baca, entah berapa kali pula Adam termenung. Mungkin sememangnya begitu sikap seorang penyiasat, Borhan hanya menduga kerana inilah kali pertama dia bertemu dan bertentang mata dengan seseorang yang dipanggil penyiasat persendirian.
Jika hendak dibandingkan dengan apa yang selalu ditonton di kaca televisyen, jauh pula perbezaannya. Yang di hadapannya kini, adalah seorang lelaki kurus yang kemas dan bersahaja. Jika ada yang sama pun, mungkin hanya pada tahap ketelitian mereka. Adam, nampaknya seorang yang terlalu teliti dan serius dengan tugasnya. Sesekali Borhan terasa seolah berdepan dengan penyiasat di dalam rancangan Forensik di televisyen.
    “Macam mana? Boleh agaknya?” Borhan sudah tidak sabar menunggu. Hanya Adam satu-satunya orang lain yang membaca surat itu selain dirinya.
Adam mengangkat muka. Wajah Borhan yang seakan mahu menerkam itu ditatapnya dengan tenang. “Encik Borhan, kes ini sudah terlalu lama berlaku. Ia pasti sungguh rumit.”
Air muka Borhan berubah. Dia tersandar semula ke kerusi. Harapannya yang tinggi menggunung kini mula mencair. “Tak boleh ke?”
“Bukan tak boleh, cuma sudah hampir 31 tahun. Banyak jejak yang sudah hilang.” Adam menyuarakan kebimbangannya.
Borhan menarik muka.
“Jika boleh, apa pun caranya saya tak kisah. Berapa lama masa yang awak akan ambil pun saya tak kisah, asalkan awak terus mencarinya. Saya mahu tahu sama ada dia masih hidup atau sudah pun meninggal dunia.
Jika dia sudah tak ada lagi, saya mahu tahu tentang ahli keluarganya dan anak-anaknya. Mereka semua saudara-mara saya dan waris datuk saya. Awak tahu tak, betapa pentingnya hal ini kepada saya?” balas Borhan dengan panjang lebar.
Adam mengangkat kening. Dia nampak kesungguhan di hati Borhan. Itulah yang dia mahu tahu sangat-sangat sejak tadi. “Baiklah, Encik Borhan. Saya akan berusaha sedaya upaya mencari dan menyelesaikan kes ini. Bagaimanapun saya perlukan bantuan encik.”
“Cakap apa saja yang awak perlukan, saya akan beri.”
“Saya perlukan sesuatu untuk memulakan pencarian ini. Bapa saudara encik sudah meninggalkan rumah selama hampir 31 tahun. Mengikut surat ini, dia tak pernah mengirimkan sebarang berita. Maknanya tak ada ahli keluarga encik yang tahu ke mana dia pergi selepas keluar dari rumah.”
Borhan mengangguk. “Apa yang boleh saya tolong?”
“Mengikut surat ini, selain gambar yang disertakan di sini, satu-satunya barang peninggalan bapa saudara encik yang masih disimpan ialah sebuah majalah tahunan universiti miliknya. Bolehkah encik menyerahkan majalah itu kepada saya?”
“Beri saya sedikit masa. Saya belum menemui majalah yang dimaksudkan tu. Mungkin tersimpan di rumah atau juga di tempat lain. Surat tu tak menyatakan di mana majalah itu berada dengan tepat. Awak boleh tunggu, kan? Atau awak ada kes lain?”
“Saya akan berikan segala tumpuan saya pada kes ini tapi saya mahu encik hubungi saya segera apabila encik menemui buku tersebut. Jika tidak, sukar untuk saya memulakan pencarian,” jawab Adam sambil membetulkan duduk.
Borhan tidak menjawab. Matanya leka merenung kertas kosong di atas mejanya. Fikirannya ligat memikirkan di mana majalah itu mungkin berada. Dia pun belum pernah menjejakkan kaki lagi ke bilik arwah datuknya semenjak pulang ke rumah itu. Dia belum sanggup tetapi nampaknya dia tiada pilihan lain.
“Jika begitu, saya minta diri dulu. Saya menunggu panggilan dari encik. Lagi cepat, lagi baik,” kata Adam seraya mengangkat punggung. Surat yang dibaca tadi diletakkan semula di hadapan Borhan.
Borhan terkejut. “Tapi, kita belum membincangkan soal bayaran,” kata Borhan sambil terkulat-kulat. “Berapa bayaran yang awak kenakan untuk kes sebegini?”
Adam duduk semula. “Lima ribu,” katanya teragak-agak.
“Saya setuju.” Tangan Borhan pantas mengeluarkan buku cek dari dalam mejanya. Sekeping cek ditanda tangan dan dihulurkan kepada Adam. “Ini wang pendahuluan sebanyak lima ribu ringgit, saya akan beri lagi di sepanjang penyiasatan ini berjalan. Jangan risau, jika tak cukup, minta saja. Yang pentingnya, saya mahu awak cari dia sampai dapat.”
Adam kaget. Dengan jari yang terketar-ketar dia mengambil cek itu. Air mukanya berubah melihat angka yang tertulis di situ. Terus terbayang-bayang wajah isteri dan anaknya di ruang mata. Ya, Allah! Dia bersyukur.
“Terima kasih, Encik Borhan.” Itu sahaja yang termampu diucapkan saat itu. Tidak tergambar apa yang ada di dalam hatinya sekarang.
Borhan tersenyum tenang. Perasaannya bertambah lega. Dengan kesudian Adam menyiasat kes itu, dia tiba-tiba berasa sangat gembira. Permintaan arwah datuk kini sudah ditunaikan, hanya menunggu masa dan ketika pertalian yang terputus itu akan bersambung kembali. Dia berjanji kepada dirinya sendiri, dia akan membawa bapa saudaranya nanti ke pusara datuk dan neneknya. Biarlah kerinduan itu berakhir sampai di situ.
Selain soal itu, dia perlu menguruskan satu lagi hal yang penting. Borhan bangkit meninggalkan pejabat itu bersama Adam. Dengan penuh keyakinan dia menuju ke Jalan Tun Ismail semula tanpa menyedari dia diekori sebuah kereta.
N
Di Farmasi Honeymon…
“SAYA minta maaf, okey?” kata Richard di hadapan Hanisa. Pada waktu itu hanya mereka berdua di dalam ofis Hanisa. Sementara Mei Lin dan Intan ada di luar melayan pelanggan. Wajah bengang Hanisa membuatkan dia mengalah. Dia tahu Hanisa masih marahkan dia. 
“Awak ingat perkara ni main-main? Awak nak lihat sama ada saya ni ada perasaan ke tidak?”
Richard hanya mendiamkan diri. Dia tahu Hanisa akan berleter panjang apabila sedang marah dan dia ke situ menyerahkan diri untuk dileteri. Semoga dengan itu Mei Lin dan Intan terselamat daripada bahang kemarahan Hanisa. Tadi Mei Lin sudah mengadu dimarahi depan pelanggan. Salah dia juga cuba menduga kebengisan seekor harimau betina.
“Perkara kecil saja ma….”
“Memang perkara kecil. Hantar lelaki tu balik bukan susah sangat tapi yang saya tak suka tu awak sengaja mempermainkan saya.”
“Okey, okey… saya minta maaf. Saya tak buat lagi,” kata Richard. Dia pun tidak sangka Hanisa boleh semarah itu kerana perkara yang sepatutnya tidak payah diperbesar-besarkan. Ternyata Hanisa bukanlah seperti orang lain. Ada sesuatu yang berbeza pada diri gadis itu.
“Sekali lagi awak cuba dekatkan saya dengan mana-mana lelaki, siaplah awak,” kata Hanisa. Beberapa kad nama dicampakkan di hadapan Richard.
Richard tidak menjawab, kad nama itu dikutip semula. Kesemuanya memang dia yang serahkan kepada Hanisa dari masa ke semasa. Salah satunya datang daripada seorang anak tauke balak yang teramat kaya. Sayangnya Hanisa tetap menolak. Itulah Hanisa, harimau betina yang berhati air batu. Bengis dan tidak berperasaan pada lelaki.
“Tapi kalau dia cari awak selepas ni, jangan marah saya. Saya tak tahu apa-apa.”
Hanisa menjeling tajam. Dia tidak fikir lelaki semalam akan datang mencari dia. Buat apa pula?
“Manalah tau… rindu pada awak ke?” tambah Richard.
Buk! Bantal Kitty yang dipegangnya menghentam muka Richard.
“Kalau wangi bantal ni tak apa juga, bau pun sudah boleh buat orang pengsan,” usik Richard sambil bangkit meninggalkan kerusi. Bantal itu diletakkan semula di atas meja Hanisa.
“Kalau dia datang beli ubat tak apa. Tapi kalau dia datang cari saya… dia memang nak kena,” balas Hanisa.
Mulut Richard terlopong. Dia yakin, seseorang akan kena!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.