Monday, July 9, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 22


SAMBIL menyapu peluh di dahinya, Hanisa menolak daun pintu kedai. Baru setengah jam berada di luar, kepalanya rasa hendak pitam dek kepanasan matahari hari itu yang seolah tidak ada belas kasihannya kepada dia yang berpuasa.
“Lain kali keluar bawa telefon.” Richard merungut sebaik sahaja ternampak  Hanisa di muka pintu.
Hanisa menarik muka. “Baru setengah jam saya keluar, awak dah bising?” Selalunya Richard meninggalkan kedai tidak ikut masa dan tidak tentu tempohnya, dia langsung tidak pernah bersungut.
    “Tadi ada kilang telefon, mahu pesan ubat. Jadi sebab itu saya cuba telefon awak.”
“Saya baru tukar nomborlah. Ambil nombor ni.” Hanisa membacakan nombor barunya kepada Richard.
Richard kelam-kabut menyimpannya elok-elok ke dalam telefon bimbit. “Dah enam kali tukar nombor. Kalau saya buka kedai telefon pun boleh jadi kaya macam ni.” Dia menggeleng.
Bulat mata Hanisa memandang wajah Richard. “Jangan banyak soal. Kalau nak, simpan. Kalau tak nak, sudah,” jawabnya cepat.
Richard tersengih. “Kenapa awak suka tukar-tukar nombor? Hobi?”
“Saya sudah jatuh cinta dengan tauke kedai telefon tu, awak tak tahu ke?” jawab Hanisa main-main. Geram pula dengan Richard yang suka jadi penyibuk itu. Sejak tahu Richard berkawan dengan lelaki itu, makin mudah hatinya menjadi panas. Tetapi sebelum sempat dia menghilangkan diri ke dalam ofisnya, Richard menegur lagi.
“Petang nanti… awak kena jaga kedai sorang-sorang. Boleh?”
“Kenapa pula? Macam mana saya nak buka puasa?”
“Makan dekat sinilah. Sambil makan sambil tengok kalau ada customer masuk…,” balas Richard dengan selamba.
“Mana boleh macam tu? Kan waktu tu, waktu rehat saya dan Intan?”
“Petang ni saja, kami semua nak pergi majlis buka puasa,” jawab Richard.
“Apa?!” Hanisa separuh terjerit. “Habis tu saya macam mana?”
“Awak tinggallah jaga kedai. Nanti saya suruh Intan belikan nasi dan air siap-siap. Awak tak payah keluar beli.”
Hanisa bercekak pinggang. “Tak pergi tak boleh ke? Macamlah dia tu puasa sangat.”
“Saya puasa apa? Awak mana tau? Cuba tanya Mei Lin bila paling akhir saya makan. Saya sengaja mahu puasa hari ini sebab mahu makan banyak nanti.”
Eee… geramnya, kata hati Hanisa. Buntu otaknya untuk menyelesaikan hal itu. “Kalau Mei Lin tak pergi tak boleh ke? Kenapa nak pergi semua sekali?”
“Mana boleh? Ini malam, Borhan ajak kami semua makan-makan di rumah dia. Pukul 7.00 malam nanti kami kena pergi sana. Pukul 9.00 malam mungkin baru habis makan. Kalau kami lewat, awak tutup kedai dulu tau.” Richard menjawab laju.
Hanisa terdiam… Borhan rupanya!
N
DI DALAM ofis, Hanisa memeluk bantal Kittynya yang hampir pudar warna. Dari warna merah muda yang terang, sudah hampir menjadi warna kelabu jadinya. Rendanya pun sudah hampir tercabut. Hanisa sayang bantal itu, bantal pemberian ayah dan ibu angkatnya sejak dia remaja. Penuh nilai sentimental, di situlah terpendam begitu banyak air matanya, lenanya dan mimpi-mimpinya. Penenang resah dan takutnya sesekali.
Masa rehat masih ada hampir 15 minit lagi. Hanisa terus berbaring-baring. Dia cuba melelapkan mata namun fikirannya tidak mahu berhenti dari berfikir. Suara Ikram malam tadi menghambat resahnya yang tidak mahu pergi.
“Ini nombor telefon Hanisa?” Suara Ikram kedengaran jelas.
“Bukan. Salah nombor!” Hanisa menjawab dengan tergagap-gagap.
“Abang tahu itu Hani. Hani dengar abang nak cakap ni…” Hanya sampai di situ. Telefonnya dimatikan segera. Kemudian dicampak ke atas meja. Dia menangis tersedu-sedu.
Itulah yang paling ditakutinya selama ini. Dia tidak mahu sesiapapun dari masa silamnya muncul kembali. Dia mahu menjadi Hanisa yang baru. Hanisa yang tidak mempunyai masa silam yang sebegitu kelam. Itu bukan dia.
Setelah tujuh tahun di situ, dia sudah mampu hidup tenang. Ada pekerjaan, ada tempat tinggal dan sedikit harta. Tidak ada yang tahu dan tidak ada yang ambil peduli kecuali Richard dan Mei Lin yang sesekali menjadi penyibuk tetapi itu soal kecil. Jika orang lain tahu bahawa dia tidak mempunyai keluarga seperti orang lain, bagaimana dia harus menghadapi pandangan aneh masyarakat?
Sejak dia keluar dari rumah, sudah beberapa kali Ikram menjejakinya. Sehingga lama-kelamaan dia menjadi malu dengan kawan-kawannya. Kelihatan seolah-olah dia yang bersalah sedangkan hal yang sebenar tidak mampu dijelaskan kepada Ikram. Sebab itu dia melarikan diri jauh ke situ. Hidup bersendirian adalah pilihan yang terbaik malah kalau boleh biarlah tidak ada sesiapapun yang mengenalinya. Dia lebih rela hidup begitu.
“Hani, abang benar-benar kesal dengan sikap Hani. Madu yang kami beri, tuba yang Hani balas. Ayah dan ibu tak pernah mengasuh Hani jadi begini. Mengapa Hani tergamak buat kami macam ni?”
Itulah kata-kata Ikram semasa perjumpaan mereka yang terakhir di rumah sewanya. Kata-kata yang menambah pedih luka yang sudah sedia ada. Ingin sekali dia menjawab dan membela dirinya namun apakan daya. Ditelan mati emak dan diluah mati ayah. Biarlah dia yang berkorban. Buruk dan baik dialah yang menanggung. Ikram tidak patut tahu.
Namun keputusan yang diambil tidaklah menjadikan hidupnya terlalu mudah. Apabila kesepian datang bertandang, kepiluanlah yang menjadi teman.
“Kita tak boleh teruskan perhubungan ini,” katanya kepada Rayn, kekasihnya sejak dalam Tahun 1 pengajian di universiti. Pada waktu itu, dia baru mengetahui kedudukan dirinya hanyalah seorang anak angkat yang tidak tahu asal-usulnya.
“Apa yang menjadi masalahnya, Hani? Lagi setahun kita akan tamat belajar, kita kerja dan kita kahwin. Rayn tak pernah bermain-main dalam soal ni.”
Dia menggeleng. Air matanya sudah memecahkan benteng. Dia hanya menangis tersedu-sedu. Dia cintakan Rayn dan dia juga percaya Rayn juga mencintainya.
“Apa masalahnya sampai Hani mengambil keputusan ini? Tak cukup lagi ke kepercayaan Hani pada Rayn? Apa yang Rayn boleh buktikan lagi? Hani mahu Rayn meminang Hani sekarang? Rayn akan beritahu ibu bapa Rayn,” pujuk Rayn lagi.
“Tak perlu… Hani cuma minta hubungan kita diputuskan sekarang. Mulai saat ini, Rayn mesti lupakan Hani. Rayn mesti mencari gadis lain sebagai pengganti Hani. Hani sudah tak cintakan Rayn lagi.”
Air mata yang gugur ke pipi menyedarkan dia daripada semua kenangan itu. Entah di mana Rayn sekarang, entah Rayn sudah ada pengganti ataupun belum… dia tak pernah ambil tahu. Dia tak berani kerana cintanya tak pernah mati, cuma mungkin semakin pudar dihakis kesibukan hidup yang dicarinya sendiri.
Dan kehadiran lelaki itu… seperti membongkah segala apa yang dipendam dalam-dalam. Entah kenapa setiap kali mereka bertentang mata, dia bagaikan bagaikan musafir yang haus, lelaki itu bagaikan sungai yang jernih tetapi mana mungkin dia dapat menumpang minum… dia tak layak. Dia tak layak.

3 comments:

  1. kental n liat betul hati Hani..
    ...seperti membongkah segala apa yang dipendam dalam-dalam..
    - atau
    ...seperti membongkar segala apa yang dipendam dalam-dalam...
    -maaf, kalau sy silap, mungkin sy kurang faham..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih di atas teguran Che'leen, memang saya menggunakan perkataan yang sedikit asing di situ iaitu 'membongkah' yang tiada di dalam kamus dewan. Maksudnya seperti 'mencebak tanah dengan cangkul sedalam-dalamnya'..dalam konteks cerita ini ia seperti menggali dengan kasar sebongkah perasaan. Tapi kalau nak senang anggap sahaja typho haha.
      Bagaimanapun terima kasih kerana sudi baca. Nanti baca lagi ya.

      Delete
  2. Relevenkah kemarahan Hanisa terhadap Ikram dan memutuskan hubungan dengan Rayn hanya kerana dia anak angkat? Releven jugakah kemarahan Hanisah kepada Borhan? Sengaja meminta komen pengarang. Apapun, saya seronok membaca semua karya puan. Terima kasih.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.