Saturday, July 7, 2012

Sembang Sabtu: Pertandingan Menulis Surat kepada MK


Assalamualaikum dan salam sejahtera walau di mana anda berada,
Hari ini hari Sabtu, oleh itu tidak ada cerpen atau e-novel seperti biasa, yang ada hanyalah sedikit coretan.  Hari ini juga saya ingin berceloteh mengenai 2 perkara yang ingin saya sampaikan kepada anda iaitu:

1. Pertandingan Menulis Surat kepada MK

Untuk makluman anda, sebenarnya di Grup MKFC (Maria Kajiwa Fiction Club), sedang berlangsung satu Pertandingan Menulis  Surat Kepada MK yang telah bermula sejak 1 Julai 2012 dan akan berakhir pada 14 Julai 2012 nanti.

Kepada yang ingin menyertai pertandingan ini, ini adalah syarat-syaratnya:
1. Terbuka hanya kepada ahli MKFC - JIka berhasrat untuk menjadi ahli MKFC, sila tekan LINK ini. Grup MKFC adalah sebuah grup di Facebook yang mengumpulkan pembaca-pembaca karya saya.
2. Panjang surat adalah hanya 1 muka surat A4 
3. Boleh ditaip ataupun bertulisan tangan. Ikut kreativiti masing-masing.
4. Topik cerita: Kasih sayang ibu bapa -terpulang kepada anda sendiri, apa yang mahu diceritakan dan bagaimana mahu menceritakannya kepada saya tetapi topiknya tetap berkisar kepada tajuk tersebut.
5. Surat perlu dikirim ke alamat rumah saya. -Alamat saya akan berikan hanya kepada ahli MKFC yang meminta di FB. 
6. Pertandingan juga terbuka hanya kepada ahli MKFC yang menetap di Malaysia atau yang mempunyai alamat penghantaran di Malaysia sahaja.

Itu saja syarat-syaratnya. Mudah, bukan?

Kemudian hadiah-hadiahnya:
5 surat terbaik akan menerima sebuah novel terbaharu saya yang bertajuk SETEGUH ILALANG yang setebal 700+ muka suratnya berserta tanda tangan saya. Pemenang akan dipilih setelah tarikh pertandingan tamat.

Jadi, kepada yang ingin menyertai pertandingan mudah ini sila jadi ahli MKFC terlebih dahulu dan kemudian tulislah surat kepada saya secepat mungkin. Tak cuba, tak tahu, kan? Mungkin anda adalah pemenangnya.


Untuk menjadi ahli MKFC boleh tekan LINK ini.

2. Isu CIPLAK karya

Sebagai tuan punya blog dan semua karya-karya yang disiarkan di sini, saya terpanggil untuk mengulas sedikit mengenai isu yang kerap dihadapi oleh penulis seperti saya.

Isu yang melanda ini sebenarnya sangat mendukacitakan dan menakutkan penulis. Kerana pada bila-bila masa sahaja sesiapa yang berniat tidak baik boleh masuk ke sini, mencuri dan menciplak semua yang saya tuliskan di sini. Kecurian karya adalah satu bentuk kehilangan yang besar ertinya kepada penulis. Karya adalah harta kami. Tolonglah hormati, kasihanilah kami yang mencari rezeki dengan menulis ini.

Mungkin ada yang akan berkata, kalau sayangkan karya kenapa siarkan di blog? Bukankah ia seperti mendedahkan kekayaan di hadapan pintu rumah? Pastinya ia akan mengundang pencuri yang tidak dapat menahan diri.

Saya melihat situasinya sebagai WIN-WIN Situation. Sesuatu karya itu didedahkan bukan untuk dicuri, tiada siapa mahukan karyanya dicuri tetapi ia dikongsikan di blog untuk tatapan pembaca setia sebagai bentuk promosi, membina perhubungan, saling memberi dan menerima, saling memenuhi kehendak (dibaca dan membaca) dan lain-lain yang berbentuk positif.

Bagaimanapun risiko kecurian tetap ditanggung oleh penulis, oleh itu saya mohon kerjasama dan pemahaman daripada semua pembaca untuk menghormati karya penulis di blog. Hormati hak kami dan hormati penat lelah kami mencurahkan idea dan menyusun ayat demi ayat untuk kepuasan anda juga.

Kebelakangan ini beberapa blog telah ditutup. Pembaca tidak dapat lagi membaca karya penulis-penulis kegemaran mereka dan penulis juga tidak dapat berkongsi apa yang mereka tulis. Ia satu kehilangan dua arah.

Secara peribadi, hati saya pernah terluka apabila karya saya di sini telah diciplak oleh seorang penulis. Ia membuatkan saya rasa jauh hati dan sehingga sekarang, karya itu masih terperuk dalam komputer, belum dapat dibuat apa-apa sehinggalah saya menemui kekuatan untuk mengubahnya semula jika ada rezeki. Begitulah teruknya kesan kecurian kepada penulis. Apa yang telah kita usahakan sekian lama seolah-olah menjadi tidak berharga, tidak boleh digunakan. Masa dan tenaga terbuang begitu sahaja.

Oleh itu saya amat memahami situasi ini dan saya pohon sekali lagi... demi satu perhubungan yang baik di antara kita (penulis dan pembaca), biarlah kita saling menghormati. Jangan disebabkan oleh seorang pencuri yang mementingkan diri sendiri, pembaca lain yang akan kehilangan peluang.

Kita saling memerlukan. Bukanlah sebuah cerita namanya jika tidak dikongsikan dengan pembaca. Bukan pembacalah namanya jika tiada apa untuk dibaca....

Akhir kata, saya harap semangat saya tidak runtuh dek isu ini dan dapat terus menulis dan berkongsi dengan anda di sini. Berikan sokongan anda kepada saya dan penulis-penulis lain supaya semangat kami tetap tinggi.

Jika ditakdirkan anda menemui karya saya di blog lain, sila maklumkan kepada saya untuk saya mengambil tindakan. Terima kasih untuk bantuan anda.

Salam sayang dan salam berhujung minggu. Kita saling memerlukan.

4 comments:

  1. Assalammualaikum Maria,

    Macam mana nak tahu, karya kita tu diciplak? Akak memang dari dulu bimbang nak siar hasil manuskrip di blog. So far hanya 2 karya saja dipost ke blog. Itupun cuma 3 bab tak berani nak siar keseluruhan. Memang pasti ada yang copy. Tapi bagaimana kita nak tahu karya kita tu dicuri?

    Berminat juga nak join contest. Insya-Allah kalau ada kesempatan masa akak join juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam, Kak Zara. Biasanya akan ada yang sampaikan pada kita perkara itu kerana biasanya pembaca/peminat bacaan online ini adalah orang yang sama, jadi mereka lebih peka apabila menemui persamaan di antara satu karya dengan satu karya yang lain. Merekalah yang akan menjadi mata-mata kita. Terima kasih sangat kepada mereka.

      Delete
  2. Srh tahu kes tu, Srh yg beritahu akak dulu kan? Tapi srh rasa org yg suka ciplak ni adalah org yg nk sgt jadi penulis sbb mrk fikir penulis ni glamer giler. Kalau hy pembaca mcm srh ni buat apalh nk ciplak, tk de gunanya dn lg takut nk ciplak takut akk tutup blog atau tk menulis lagi.So, kpd yg nk sgt glamer jd penulis tu, tulislah sendiri.Rasa susah sengnya jd penulis jgn pakai curi sj idea dn tulisan org. kerja tk elok mcm tu tk akan hasilkn apa-apa yg elok pun.
    Kpd kak Maria, teruskn menulis.Kami sentiasa support akak dn karya akak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, memang berterima kasih sangat kepada sarah yang terlebih dahulu memaklumkan kepada akak berkenaan novel tersebut. Ada betulnya juga pendapat sarah itu bagaimana pun kita jangan lupa, yang ciplak karya akak tu bukan orang lain, penulis novel juga...

      Delete

Note: Only a member of this blog may post a comment.