Tuesday, October 30, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 3



Bab 3

TAN SRI DZAIRIL mengalihkan pandangan matanya ke arah Khairul. Lelaki yang bertugas sebagai pembantu peribadinya sejak lima tahun yang lalu itu hanya terkebil-kebil membalas pandangannya. Dia tahu, Khairul banyak menyimpan rahsia peribadinya malah kini pada Khairullah ingin disandarkan satu lagi rahsia.
“Rumah tu dah siap, kan?” Dia bertanya.
Khairul yang sedang berdiri di sebelahnya tersenyum. “Sudah, Tan Sri. Semasa Encik Yahya menyerahkan kunci rumah tu, semua kerja pembersihan dah selesai. Tinggal untuk anak dan menantu Tan Sri masuk saja.”
Bukan dia lupa. Khairul telah menyatakan kepadanya perkara itu dua hari yang lalu tetapi entah kenapa hatinya seolah-olah ingin diyakinkan sekali lagi. Dia bimbang jika Anis tidak sukakan rumah itu. Dia hanya mahu yang terbaik untuk anak menantu kesayangannya itu.
“Tan Sri macam susah hati saja? Ada apa-apa yang perlu saya uruskan lagi?” tanya Khairul.
Dia tidak hairan dengan pertanyaan Khairul. Lima tahun berkerja di bawahnya, sememangnya menjadikan lelaki itu cukup masak dengan sikapnya. Tetapi kali ini… dia menyimpan satu permintaan yang mungkin paling sukar untuk diuruskan oleh sesiapa malah sukar juga untuk diluahkan dengan kata-kata.
“Khairul,” panggilnya.
Khairul pantas mendekat.
“Duduk,” katanya.
Tanpa berlengah, Khairul terus melangkah ke hadapan meja lalu duduk di situ tanpa sepatah kata. Matanya sahaja yang menyeluruhi wajah Tan Sri Dzairil di hadapannya.
“Saya tak tahu sama ada awak boleh lakukan ini ataupun tidak.” Tan Sri Dzairil diam sebentar. Matanya merenung dokumen-dokumen yang ada di atas meja pula. Jika tidak kerana panggilan daripada Damien tadi, mungkin dia masih menekuni dokumen-dokumen yang perlu ditandatanganinya pada waktu itu. Sekarang, fikirannya kembali terarah kepada satu rahsia silamnya.
Khairul hanya diam menunggu. Berkutik pun tidak di atas kerusi.
“Saya mahu awak cari seseorang.”
Akhirnya dapat juga diluahkan olehnya hasrat hatinya yang satu itu. Sejak isterinya Marzita meninggal dunia setahun yang lalu… keinginan yang satu itu sering menghambatnya. Makin lama, dia merasakan keinginan itu makin kuat.
“Siapa yang Tan Sri maksudkan?” tanya Khairul. Dia sudah membuka PDA miliknya untuk mencatatkan sesuatu.
Matanya terkelip-kelip. Sesungguhnya itu bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya satu permulaaan yang baru dan berat risikonya. Dia sedar, tindakannya mungkin akan mengubah banyak situasi. Namun apakan daya, dorongan hatinya cukup kuat bagaikan tidak boleh dibendung lagi.
“Namanya Natrah. Natrah Abdullah. Dia seorang muallaf keturunan Thai.”
“Tan Sri ada gambarnya?”
Tan Sri Dzairil menggeleng. Sedikit kesal kerana tidak pernah menyimpan gambar Natrah namun itu bukanlah salahnya. Sebagai suami tidak wajar dia menyimpan walaupun sekeping gambar cinta pertamanya. Dia sendiri tidak menjangkakan akan memerlukan gambar Natrah di kemudian hari.
“Maklumat?”
Apa yang boleh diceritakan tentang Natrah? Dia termenung lagi. Semuanya sudah agak kabur namun yang tinggal hanyalah rasa manis sebuah rasa cinta yang pernah bertapak kukuh di jiwanya puluhan tahun yang lalu. Namun dia juga tahu, itu tidak akan banyak membantu.
“Tak banyak,” jawabnya apabila menyedari Khairul sedang menanti jawapannya.
Khairul diam lagi. Dia mencatatkan sesuatu di atas skrin PDA miliknya. “Saya akan buat apa saja, Tan Sri. Tapi kalau Tan Sri ada sedikit maklumat yang penting, mungkin boleh membantu. Misalnya tempat lahir, umurnya dan alamat dia yang terakhir.”
“Umurnya dua tahun lebih muda daripada saya.” Tan Sri Dzairil menjawab sambil memerhatikan reaksi Khairul. Dia tahu orang yang dicarinya bukan muda lagi. Mungkin pada waktu ini, Natrah sudah pun bercucu-cicit. Mungkin juga Natrah sudah….  “Saya hanya mahu  tahu dia berada di mana dan bagaimana keadaannya sekarang.”
Khairul mengangguk seolah-olah cukup faham.
“Dia ni… apa hubungannya dengan Tan Sri?”
Kulit mukanya terasa panas. Timbul rasa segan yang bukan kepalang sehinggakan dia tidak sanggup menentang wajah Khairul. Apa yang perlu dikatakan? Berbohong atau berterus-terang?
“Dia… dia ….”
“Saya faham. Rahsia Tan Sri, rahsia saya. Saya akan cari dia sampai dapat,” Khairul berkata apabila Tan Sri Dzairil tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi.
Dia cuma mampu mengangguk. Itulah kelebihan Khairul. Tidak perlu dijelaskan panjang lebar, Khairul selalu berjaya membaca fikiran dan kemahuannya.
“Adakah orang yang Tan Sri cari ini ada kaitannya dengan rumah itu?” Dengan tiba-tiba sahaja Khairul bertanya.
Dia terkedu. Bulat matanya merenung Khairul. Sekali lagi Khairul berjaya meneka dengan tepat.
******
SETELAH Khairul meninggalkan pejabatnya, Tan Sri Dzairil menyambung semula tugas-tugasnya. Sedang dia sibuk berbincang dengan setiausahanya yang bernama Qira, masuk seorang gadis yang kurus langsing ke pejabatnya.
“Tak tahu ketuk pintu ke?” tegur Tan Sri Dzairil. Jengkel betul hatinya dengan sikap Maisara yang seperti tidak tahu menghormatinya langsung.
“Alah, saya nak cari Damien ni uncle. Sejak pagi tadi tak nampak pun dia,” jawab Maisara. Lansung tidak mengendahkan teguran Tan Sri Dzairil. Bukan orang tua itu yang dicari.
Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang. Hanya mengenangkan Maisara itu sudah tidak mempunyai ayah sahaja, apatah lagi sebagai anak saudaranya, dia menahan sabar. “Dia bercuti.”
“What? Dia bercuti? Berapa lama? Dia nak ke mana?”
“Yang kamu kecoh sangat ni kenapa? Dia bukannya budak kecil yang perlu dijaga lagi,” sindir Tan Sri Dzairil. Pening kepalanya melihat kelakuan Maisara.
“Tak adalah, uncle. Orang lain bini pregnant juga, tapi tak adalah sampai ambil cuti lama macam tu. Takkan dia nak dukung bini dia tu ke mana-mana pula?” Maisara rasa terkejut, kecewa malah kini meluat.
Buat seketika, Tan Sri Dzairil tergamam. Anis mengandung? Dia tak tahu langsung tetapi kemudian fikiran warasnya mula sedar yang kata-kata Maisara bukan boleh dipercayai sangat.
“Dia nak dukung ke, nak lambung ke, dia punya pasallah. Bukannya dia suruh kamu yang dukung,” balasnya sambil ketawa kecil.
Muka Maisara berubah cemberut. “Alah, uncle ni. Orang tanya betul-betul, dia main-main. Cakaplah kenapa Damien cuti lama?”
“Dia nak ke Melaka dengan Anis,” jawab Tan Sri Dzairil dengan selambanya. Dia sudah malas mahu melayan Maisara.
“Ke Melaka?” Maisara terdiam seketika. “Buat apa pula? Saya tak tahu pun ada mesyuarat di sana.”
“Siapa kata ada mesyuarat?”
“Kalau tak pergi mesyuarat, dia pergi buat apa pula lama-lama?”
“Bercutilah. Buat apa lagi?”
“Bercuti?” Maisara membulatkan mata. “Kenapa pula bercuti waktu ni? Kita kan ada banyak projek yang perlu disiapkan? Mengada-ngada sungguh.”
“Siapa mengada-ngada?” sergah Tan Sri Dzairil. Panas hatinya mendengar mulut celupar Maisara.
Maisara tersedak air liur. “Tak ada… maksud saya, kenapa pula sampai kena bercuti panjang? Kita kan ada banyak kerja?”
“Sebab… mereka berdua nak pergi tengok rumah baru Anis. Uncle yang belikan untuk dia.”
Lagi sekali Maisara terlopong. “Teruknya! Baru kahwin enam bulan, dia dah minta rumah? Bayangkan kalau dah kahwin enam tahun! Agaknya dia minta holdings kita ni.”
Tan Sri Dzairil menghempas keluhan. Tidak sangka ke situ pula fikiran Maisara terhadap Anis. Kini dia mula faham kenapa Anis boleh terasa hati dengan sikap Maisara dan ibu Maisara. Mereka berdua selalu memikirkan hal yang buruk-buruk sahaja terhadap orang. Tidak ada yang baik.
“Bukan macam tu, Maisara. Dengar baik-baik kata uncle. Anis tak minta apa-apa tapi uncle yang hadiahkan sebagai hadiah perkahwinan dia dengan Damien.”
“Baguslah tu, uncle. Lama-lama esok, habis harta uncle diserahkan kepada dia,” balas Maisara dengan nada angkuh. Makin benci hatinya mendengar kata-kata Tan Sri Dzairil, rasa tak sabar pula dia memberitahu ibunya tentang perkara itu.
“Kalau habis pun tak apa. Uncle bukan boleh bawa masuk kubur.”
“Huh!” Maisara mendengus lalu mahu melangkah pergi.
“Nanti dulu,” kata Tan Sri Dzairil. Apabila Maisara menoleh, dia menyambung kata-katanya, “Sementara Damien tak ada ni, Maisara kena siapkan kerja dia.”
Maisara tergamam. Sambil menjeling, dia meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil dengan segera.
Tan Sri Dzairil termenung di situ sambil memikirkan kenapa Maisara seolah-olah benci sangat kepada Anis. Setahu dia, Maisara tidak pula ada hati terhadap Damien. Mungkin ada salah faham di mana-mana, fikirnya.
*******
SEBAIK sahaja meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil, Maisara melangkah laju masuk ke pejabatnya pula. Selepas menghempas punggung ke kerusi, dia terus menelefon ibunya, Datin Zarina.
“Mummy,” panggilnya dengan suara yang sebak. Hatinya sakit betul.
“Hah? Kenapa pula ni?”
“Uncle belikan perempuan tu rumah di Melaka,” katanya terus kepada hal pokok.
“Perempuan mana pula ni?” tanya Datin Zarina. “Uncle kamu ada calon bini baru ke?”
“Bukanlah, mummy…,” rengek Maisara. Geram pula hatinya kerana ibunya tidak memahami apa yang telah disampaikan. “Perempuan gedik tulah. Siapa lagi?”
“Anis?” Datin Zarina terdiam sesaat. “Uncle kamu belikan rumah untuk perempuan tu?”
“Haah, kat Melaka.”
“Kat melaka?”
“Ya, uncle sendiri yang cakap tadi.”
“Jangan-jangan rumah tu kut?” tanya Datin Zarina pula.
“Rumah mana pula, mummy?”
Datin Zarina diam sahaja.
“Mummy? Mummy?” panggil Maisara namun panggilannya sudah diputuskan ibunya. Dan apabila dia cuba menghubunginya semula, panggilannya tidak diangkat. Makin sakit hatinya.


Saturday, October 27, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 2



Keesokan harinya…
ANIS baru sahaja selesai mengemas meja bersama Mak Bija di dapur. Walaupun Mak Bija pembantu rumah yang sudah bertahun-tahun bekerja di rumah ayah mertuanya, dia tetap rasa perlu untuk turun tangan membantu apa yang mampu. Sedang dia membasuh cawan di sinki, Mak Bija memanggilnya.
“Puan, Tan Sri panggil di depan.”
“Tan Sri panggil? Kenapa dia belum pergi kerja lagi?”
Mak Bija angkat bahu dengan wajah tidak tahu apa-apa.
Melihatkan reaksi Mak Bija, Anis segera mengeringkan tangannya. Terdetik di hatinya bibit kerisauan, seandainya kelengahannya menyusahkan orang lain. Setibanya di ruang tamu, dia tergamam. Dilihatnya, selain Damien, ayah mertuanya turut berada di situ menunggunya dengan wajah yang serius.
“Ada apa, abah?” Dia bertanya sambil mengambil tempat duduk di sebelah Damien di atas sofa. Entah kenapa terasa tubuhnya seram sejuk sahaja. Mungkin kerana debaran yang sedang mengasak dada.
“Anis tak sihat ke malam tadi? Cepat betul balik?” Tan Sri Dzairil terus bertanya walaupun dia belum menjawab pertanyaan Anis.
Air muka Anis terus berubah. Adakah Damien sudah memberitahu ayah mertuanya tentang apa yang telah berlaku pada malam tadi? Dia menggeletar halus. Pelbagai perkara melintas di kepalanya.
Damien pula hanya mendiamkan diri.
“Kalau tak sihat, pergilah ke hospital,” sambung Tan Sri Dzairil lagi apabila Anis terus tidak menjawab pertanyaannya.
“Sihat cuma malam tadi… Anis penat sikit,” balas Anis. Dia benar-benar berharap tindakannya malam tadi tidak mengundang rasa marah atau jengkel di hati ayah mertuanya pula. Dia mula rasa takut. Rasa yang tidak pernah hadir sebelum ini. Dia takut ayah mertuanya membencinya pula. Sudahlah dia tidak dapat memberikan cucu yang diharap-harap selama ini.
“Kalau macam tu, tak apalah. Abah ingat Anis sakit. Pia pun ada cari Anis malam tadi.”
 “Nanti Anis telefon Kak Pia minta maaf,” jawabnya walaupun dia masih merasakan seperti ada sebab lain dia dipanggil ke situ.
Tan Sri Dzairil menyeluk kot yang dipakainya. Segugus kunci dikeluarkan dari poket lalu diletakkan di atas meja kopi di antara dia dan Anis. Kemudian dia mengangkat muka memandang wajah Anis dan Damien pula.
Anis terpinga-pinga. Namun dia terasa berat mulut untuk bertanya.
“Ambillah. Itu untuk Anis,” kata Tan Sri Dzairil lagi sambil memandang wajah Anis dengan tenang.
“Untuk… untuk Anis?” Anis seolah-olah tidak percaya. Adakah dia salah mendengar?
Tan Sri Dzairil angguk. “Ya, untuk Anis. Ambillah. Abah belikan Anis sebuah rumah di tepi laut. Abah harap Anis suka.”
Ha? Anis benar-benar tergamam. Sebuah rumah di tepi laut? Sedar-sedar sahaja bahunya dipaut Damien.
“Abah hadiahkan sebuah rumah untuk Anis. Hadiah perkahwinan kita,” terang Damien pula sambil tersenyum kepada Anis.
Rasa tergamam Anis mula hilang. Perlahan-lahan dia dapat menerima kejutan itu. Akhirnya dia tersenyum dan berkata, “Terima kasih, abah. Besar sungguh hadiah abah, tak terbalas oleh Anis.”
Tan Sri Dzairil tersenyum nipis. “Abah tak harapkan apa-apa balasan material. Cukuplah kalau Anis dan Damien dapat hidup aman bahagia. Saling mempercayai antara satu sama lain. Kamu berdua kena kuat dan bekerja sama mempertahankannya. Hilang kepercayaan bagaikan hilang pertahanan. Itu akan membuka ruang kepada anasir luar masuk mengganggu dan merosakkan rumah tangga kamu.”
Anis tertelan air liur. Terasa benar dia disindir.
Mujurlah selepas itu ayah mertuanya beredar. Tinggal dia bersama Damien, sama-sama merenung segugus kunci itu.
*******
 “ANIS buat keputusan.” Dengan tiba-tiba Damien berkata. Suasana ruang tamu yang sunyi sepi tadi pun berakhir.
“Anis tak tahu,” balas Anis perlahan. Matanya masih merenung gugusan kunci yang berada tidak jauh daripadanya. Sejak diletakkan di situ, dia belum lagi menyentuhnya. Bukan dia tidak teringin tetapi dia gementar.
“Itu kan Anis punya? Anislah yang kena buat keputusan.”
Anis tahu, ingin sahaja dia menjawab begitu tetapi bukan semudah itu untuk dia membuat keputusan. Ada sesuatu yang menghalang jiwanya daripada terus sahaja melompat dan mengambil kunci itu.
“Pada abang, ia tiba tepat pada waktunya.” Damien berkata dengan selambanya.
Anis menoleh ke arah Damien. Entah kenapa dia mula berasa curiga.
“Abang ada kena-mengena dengan soal ni?”
Damien menggeleng pula.
Jadi Damien pun tidak tahu apa-apa mengenai kunci itu? “Kalau abang pun tak tahu … kenapa abang cakap macam tu?”
Damien menghela nafas panjang. Kemudian dia tersenyum pula. “Apa kata kalau kita anggap saja yang kita pergi bercuti di sebuah resort?”
“Maksud abang?”
“Perkara ni bukan tak boleh dibawa berbincang lagi. Kalau kita pergi sana dan Anis rasa tak suka rumah tu, kita mungkin boleh buat sesuatu. Ubahsuai ke, atau jual saja dan beli yang lain,” jawab Damien.
“Boleh ke?” Anis hairan. Damien seolah-olah menganggap perkara itu begitu mudah. Sepertinya harga rumah itu hanya seseringgit dua.
Damien angguk. “Yang pentingnya, kita pergi tengok dulu rumahnya macam mana. Lagipun kalau Anis tak pergi tengok langsung, apa pula kata abah, kan?”
Anis terus terdiam. Rasa serba tidak kenanya timbul semula.
Menyedari hal itu, cepat-cepat Damien berkata, “Abang… abang tak paksa. Cuma itu saranan abang. Jangan Anis rasa terpaksa pula.”
Anis geleng. Entah kenapa sejak mendengar kata-kata Maisara semalam, hatinya mudah sahaja berasa cuak dan mencurigai semua perkara. Dia mula berfikir dan melihat keadaan keluarga itu dari sudut yang lain. Malah kini dia mudah berasa takut jika apa-apa yang dilakukannya di rumah itu mengundang rasa marah dan benci di hati ayah mertuanya.
“Kita pergi,” katanya perlahan.
“Macam kena paksa saja? Nak pergi tengok rumah sendiri kenalah gembira sikit.” Damien menegur.
“Suka,” jawab Anis sambil cuba melindungi rasa serba-salahnya lagi. “Tapi abang perlu tolong Anis kemaskan baju.”
“Beres! Tak ada hal.” Damien tarik lengan Anis. Mereka berdua melangkah bersama naik ke tingkat atas.
******
BEBERAPA minit selepas itu, Damien meluru turun ke dapur. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya.
“Macam mana? Menjadi tak?” Menerpa sahaja pertanyaan dari bibir Tan Sri Dzairil sewaktu dihubungi melalui telefon.
“Nampaknya, okey. Dia sedang kemas baju kat atas.” Damien masuk ke ruang dapur, alasannya yang diberikan kepada Anis tadi ialah dia haus. Jadi dia ke situ untuk mendapatkan segelas air.
“Alhamdulillah. Abah harap bila dia balik nanti, dia dah gembira sikit.”
“Mujur rumah tu dah siap,” balas Damien.
“Itulah abah ingat nak serahkan pada hari jadi dia nanti. Tapi dah jadi macam ni, lebih baiklah kita serahkan sekarang saja.”
“Saya harap dia faham kita sayangkan dia,” balas Damien. Dia teringatkan apa yang telah terjadi pada malam tadi. Dia benar-benar tidak sangka, hingga ke tahap itu hati Anis terluka. Tetapi satu perkara yang orang lain mungkin tidak sedar, luka di hati Anis, luka juga di hati dia.
“Ini mesti kerja keluarga mak cik kamu. Kalau tak mak cik kamu, mesti mulut si Maisara tu. Mulut macam apa saja,” balas Tan Sri Dzairil.
“Itulah masalahnya, abah. Yang sudah tu, sudahlah. Saya dah pun berkahwin dengan Anis. Kak Pia pun dah kahwin, tak payahlah nak ungkit atau pandai-pandai aturkan jodoh orang. Lebih baik mereka sibuk carikan jodoh untuk Maisara tu pula.”
“Mereka ada cakap apa-apa ke pada Dami?”
“Pantang jumpa,” balas Damien. “Cuma saya kesiankan Anis. Kita mungkin dah biasa dengan Maisara dan keluarga dia tapi Anis tak.”
“Tak apalah. Nanti abah cuba nasihatkan mereka apa yang boleh. Tentang Anis tu, cubalah Dami pujuk dan yakinkan dia. Abah tak nak benda ni jadi luka, kemudian menanah.”
“Terima kasih, abah. Saya cuba,” balas Damien.
“Cuba itu sebahagian saja daripada ikhtiar, sebahagian lagi ialah doa. Usaha tanpa doa itu sombong namanya.”
“Baik, abah. Tapi kerja-kerja saya macam mana pula? Saya tak tahu abah nak serahkan kunci tu hari ni,” kata Damien semula sambil menjeling ke arah Mak Bija, yang sesekali mengangkat muka memerhati tingkah lakunya di dapur. Dia memberikan isyarat meminta segelas air sejuk untuk diminum. Sementara itu dia duduk di meja makan menunggu.
“Itu kamu jangan risau. Abah akan suruh penolong pengurus atau Maisara uruskan mana-mana yang penting dulu. Kamu ambillah cuti dua minggu.”
“Dua minggu?”
“Tak cukup? Berapa lama Dami nak?”
Damien ketawa kecil. Terasa di hatinya, betapa sayang ayahnya kepada Anis. Maklumlah menantu tunggal. Sejenak hatinya sebak. Kalaulah Danny masih ada…
 “Dami! Kenapa senyap? Berapa lama nak cuti?”
“Cukuplah dua minggu tu, abah. Itu pun Anis mesti terkejut, entah-entah dua hari saja dia dah nak balik ke sini,” jawab Damien kelam kabut. Tadi semasa Anis bertanya berapa banyak baju yang perlu dibawa ke sana, dia hanya kata untuk tiga hari. Kalau sudah dua minggu, mungkin mereka perlu bawa lebih banyak.
“Pujuklah dia tinggal di situ lama sikit. Tempat tu cantik. Di tepi laut.”
“Abah pernah ke situ ke?”
“Pernah,” balas Tan Sri Dzairil. “Tapi dah lama dulu. Semasa abah dengar Anis suka rumah di tepi laut, abah terus teringatkan rumah tu. Mujurlah rumah tu pun memang nak dijual.”
“Berapa….”
“Itu Dami tak payah tahu,” sampuk Tan Sri Dzairil dengan cepat. “Asalkan dapat buat Anis gembira semula, abah tak kisah sangat.”
Damien tersenyum sebelum meneguk air sejuk yang dibawakan Mak Bija sebentar tadi. Sejuk tekaknya sesejuk jiwanya. Dia bersyukur kerana mendapat seorang ayah yang sangat memahami masalah mereka berdua.
“Terima kasih, abah.”
“Ingat pesan abah. Pujuk dia dengan lembut. Luka di luar kita boleh nampak, luka di dalam kita tak tahu berapa besarnya.”
Damien menarik nafas perlahan-lahan.
******
DI DALAM bilik tidur di tingkat atas, Anis membuat satu panggilan. Setelah tiga kali menekan nombor yang sama, barulah panggilannya dijawab.
“Maria!” katanya setelah Maria habis menjawab salamnya di hujung sana.
“Aku baru nak telefon kau,” balas Maria.
“Habis tu? Kenapa tak telefon?”
“Nak telefonlah ni tapi banyak benar pula kerja pagi ni. Sementara Cik Pia cuti kahwin kan, semua perkara aku yang kena handle.”
“Nasib engkaulah, Maria,” balas Anis. Walaupun dia bersimpati dengan kesibukan Maria namun apa dayanya untuk menolong. Dia sudah pun berhenti kerja di situ sejak berkahwin dengan Damien enam bulan yang lalu.
“Apa hal engkau telefon ni?” tanya Maria pula.
“Aku nak beritahu, esok aku nak ke Melaka.”
“Buat apa? Damien ada mesyuarat di sana ke?”
“Taklah. Aku pergi bercuti.”
“Berdua saja?”
“Habis tu? Takkan nak angkut semua orang pula kut?”
Maria melepaskan tawa. “Manalah tahu, kalau-kalau ayah mertua kau pun ikut sekali. Selalunya kau orang jarang berenggang. Kemana-mana pun selalu pergi bertiga.”
Anis tersenyum. Kata-kata Maria memang betul. “Kali ni kami pergi berdua saja sebab ada hal lain sebenarnya.”
“Hal apa pula?”
“Sebenarnya aku nak pergi tengok rumah aku kat sana,” jawab Anis.
“Rumah kau? Bila masa pula kau beli rumah di Melaka? Kau tak pernah cerita pun pada aku.”
“Memanglah aku tak beli. Tapi tadi ayah mertua aku hadiahkan aku sebuah di rumah di situ. Jadi aku kenalah pergi tengok. Nanti apa pula kata dia, kan? Kalau aku buat bodoh saja.”
 “Really? Wah, bertuahnya kau! Jadi kau nak ke rumah itulah ya? Mesti cantik, kan?”
“Kata suami aku tadi, rumah tu di tepi laut. Kalau rumah tak cantik, laut tetap cantik, kan?”
“Haah. Wah! Bolehlah aku bercuti ke sana juga nanti,” balas Maria lagi.
“Aku kena minta izin Damien dulu. Selepas tu, aku SMS kan alamat rumah tu. Bolehlah kau bawa anak kau sekali ya.” Anis sedar suaranya sedikit bergetar apabila menyebut soal anak.
“Tak ada masalah. Daniel pun dah lama tak jumpa mak angkat dia. Entah kenal entah tidak lagi,” jawab Maria sambil bergurau.
Anis hanya ketawa kecil menyambut gurauan Maria itu walau di dalam hatinya cukup terasa pahit.
“Okeylah aku bukan nak ganggu kau kerja, aku  cuma nak bagitahu itu saja,” katanya untuk menamatkan perbualan.
“Anis,” panggil Maria. “Apahal semalam tu?”
Anis terdiam seketika. Kemudian dia menarik nafas panjang.
“Nantilah aku cerita,” katanya sebelum termenung jauh.

Tuesday, October 23, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 1



SUASANA di luar Grand Ballroom masih sibuk. Walaupun majlis resepsi kedua-dua mempelai sudah pun berakhir namun masih ramai yang menunggu kemunculan Cik Pia bersama pasangannya sebelum mereka berangkat pulang. Antara yang menunggu ialah dua orang gadis.
 “Cantik sungguh Cik Pia malam ni. Suami dia pun kacak. Sepadan sungguh.” Satu suara perempuan kedengaran jelas. Penuturnya seorang perempuan muda yang indah sekali penataannya dari hujung rambut ke hujung kaki.
“Ya ke? Kalau akulah, aku lebih suka Cik Pia kahwin dengan sepupu aku,” balas pula seorang wanita yang kurus langsing di sebelahnya. Pakaiannya juga tidak kalah hebat dengan perempuan yang pertama.
“Jangan kata, kau maksudkan Damien.”
“Siapa lagi? Sepupu aku tu kan lawa, kacak? Kalau berlakon mungkin boleh kalah Aaron Aziz tu. Memang sepadanlah dengan Cik Pia.”
Ketawa sopan terburai.
“Dulu aku pun sangka Cik Pia akan kahwin dengan Damien. Yalah, selepas Danny meninggal. Tak sangka pula dia boleh kahwin dengan perempuan lain.”
“Tak usah kan engkau, aku pun terkejut gila masa tu. Tiba-tiba saja perempuan tu wujud entah dari mana. Rasa tak percaya pun ada. Aku tanya pada Cik Pia, Cik Pia pula buat bodoh saja. Geram aku.”
“Macam tak sepadan  saja. Seorang lawa sangat, seorang so and so….”
“Memang tak padan tapi dah Damien nak juga. Uncle aku terima sajalah. Ikutkan aku dan keluarga aku pada masa tu nak bantah juga. Kami lebih suka kalau Damien pilih Cik Pia. Lebih secocok. Sama lawa, sama taraf. Kenal pun dah lama.”
“Hati dah berkenan, nak buat macam mana?” Perempuan yang pertama membalas dengan senyuman melirik.
“Kau tak tahu, sejak mereka kahwin dah dua kali gugur.”
“Tak serasilah tu…”
“Menyesal pula aku tak cuba halang dari dulu,” balas yang kurus langsing dengan penuh nada kesal. Mereka terus berbual tanpa memandang keliling.
Tanpa sedar perbualan dua orang perempuan itu didengar dan dilihat oleh Anis yang berdiri tidak jauh di belakang mereka. Dia kenal salah seorang daripadanya, yang kurus langsing bak model itu adalah sepupu suaminya yang bernama Maisara. Hasratnya untuk menegur tadi terus berkecai apabila sedar dirinya menjadi bahan umpatan.
 “Anis,” tegur Maria yang datang dari arah bilik air. “Kau ke mana tadi? Puas aku cari.”
Anis cepat-cepat memalingkan wajahnya ke arah lain. Puas dia kerdipkan mata supaya air mata yang hampir jatuh, tertahan semula. Kini dia faham, kenapa kehadirannya di sisi sanak saudara Damien selalu disambut dengan pandangan dingin. Semena-mena, dia terasa kedatangan dia di majlis itu pun tidak kena.
“Kenapa ni?” tanya Maria kehairanan. “Kau tak sihat ke?”
“Tak… tak ada apa. Kau ada nampak Damien?” tanyanya pula. Kini, dia tidak ingin berada di situ walaupun sesaat. Dia rasa tidak layak.
“Tadi, aku nampak dia berbual dengan Joe di dalam dewan. Kenapa? Kau dah nak balik ke?” Maria merenung wajah Anis. “Tunggulah sampai Cik Pia tukar baju dulu.”
Anis berasa serba-salah untuk menjawab. Untuk memandang wajah Maria pun dia terasa amat malu, bagaimana dia dapat memandang semua wajah sanak saudara Damien dan Cik Pia yang sedang berkumpul di majlis itu?
“Aku nak balik, Maria. Tolong panggilkan Damien,” katanya.
“Kau duduk sini dulu ya? Aku cari Damien.” Maria tarik lengan Anis ke tepi. Setelah Anis duduk di sebuah kerusi berdekatan meja pendaftaran tetamu, Maria melangkah laju ke dalam dewan semula.
Anis menarik nafas perlahan-lahan. Cuba ditenangkan lautan hati yang sedang diamuk badai. Dan apabila dia mengangkat muka, pandangan matanya bertembung dengan pandangan mata Maisara dan temannya tadi. Walaupun dia melihat senyuman di wajah mereka, namun perasaannya tidak mentafsirkan senyuman itu sebagai senyuman yang ikhlas. Dia terasa sungguh hina.
Mujurlah Maria pergi tidak lama.
“Anis,” tegur Damien dengan lembut. Di sisinya ada Joe dan Maria. “Kenapa ni? Anis tak sihat?”
“Kita balik, bang,” pinta Anis. Tidak ingin dijawab pertanyaan itu.
“Okey.” Damien tidak membantah, mungkin kerana majlis itu pun sudah berakhir. Lengan Anis ditarik lembut untuk meninggalkan dewan.
“Maria,” panggil Anis. Dia rasa dia perlu menyatakan sesuatu. “Baliklah, ini bukan tempat kita,” katanya perlahan.
Kata-kata Anis membuatkan Maria tercengang.
Namun Anis tidak mahu menjelaskan apa persoalannya sekarang. Dia terus melangkah meninggalkan dewan itu. Di pertengahan jalan, mereka ditegur Maisara.
“Eh! Nak balik dah ke? Tunggulah Cik Pia dan suaminya turun dulu. Lagipun kan ada post-party?”
Damien tersenyum sebelum menoleh ke arah Anis sekilas. “Tak apalah, Anis tak sihat malam ni.”
Maisara angguk perlahan. Kemudian dia berbisik kepada Damien dan Anis.
“Dah ada yang baru ke?” Dia mengangkat kening ke arah perut Anis.
Mendengarkan pertanyaan itu, Damien ketawa kecil sebelum meneruskan langkah. Maisara tinggal terkulat-kulat dengan wajah kelat.
Semasa menuruni lif, Anis menjeling ke arah suaminya, Damien. Terasa alangkah tidak sajaknya dia berdiri di sebelah lelaki itu. Ada benarnya apa kata Maisara tadi, mereka berdua mungkin tidak sepadan.
******
PERJALANAN pulang ke rumah, terasa agak sepi. Kedua-duanya lebih banyak mendiamkan diri daripada bercakap. Keadaan itu mengundang resah di hati Damien.
“Anis tak sihat ya?” Damien menoleh ke arah Anis sekilas.
Anis tidak terus menjawab. Fikirannya berputar ligat mencari satu jawapan yang tidak berdusta dan tidak juga menyatakan yang benar.
“Penat,” katanya.
“Sudah berapa bulan Anis sibuk menolong Cik Pia uruskan majlis tu, tentulah penat. Tapi syukurlah semua dah selesai, kan?”
Anis terus angguk. Tanggapan itu memang benar.
“Tapi kalau Anis penat pun, biasanya mulut Anis tak penat. Makin bising adalah,” sambung Damien sambil tersenyum nipis.
Anis diam sahaja namun perasaan sedihnya sudah mula membuak-buak ingin dilepaskan.
“Mesti ada yang tak kena, kan? Maisara ada cakap apa-apa pada Anis ke?” tanya Damien lagi. “Kata-kata dia tu boleh didengar, difikir jangan. Kalau pasal orang semua dia tahu apa yang elok tapi kalau pasal diri sendiri, hancur.”
Hingga ke saat itu, perasaan Anis sudah tidak dapat diempang lagi. Lalu berjuraianlah air matanya. Makin lama, makin laju dan akhirnya dia teresak-esak.
Melihatkan Anis begitu, Damien memperlahankan kenderaannya dan akhirnya berhenti di tempat parkir di sebuah taman rekreasi. Dia merenung Anis yang masih lagi menangis. Disentuh bahu Anis dengan lembut.
“Mengucap. Ingat Tuhan,” katanya memujuk namun sebaliknya tangisan Anis menjadi lebih kuat lalu ditariknya kepala Anis ke dada. Dibiarkan air mata Anis membasahi baju Melayu yang dipakainya. Dia sedar ada yang tidak kena sehingga menyebabkan hati isteri yang tercinta begitu tersiksa. “Kenapa ni? Cakaplah pada abang.”
“Betul ke keluarga abang tak suka abang kahwin dengan Anis?” Dalam deraian air mata Anis bertanya.
Damien terkedu. Dieratkan pelukannya. Dia menggeleng laju.
“Betul ke?”
“Tak betul. Siapa cakap macam tu?”
Anis diam.
“Selama ni pernah ke abang atau abah buat Anis terasa macam tu?” tanya Damien pula. Sedikit sebanyak hatinya sedih apabila dituduh dengan sesuatu yang tidak benar. “Anis tahu kan, yang keluarga abang sangat sayangkan Anis?”
“Bagaimana dengan keluarga abang yang lain?”
“Keluarga yang mana?”
“Sanak saudara abang,” jawab Anis terus-terang.
“Sanak saudara?” Damien terdiam sesaat. “Kalau mereka ada kata apa-apa yang menyinggung perasaan Anis, abang minta maaf bagi pihak mereka. Tapi tolong beritahu abang, siapa yang menyinggung hati Anis tu, biar abang jumpa dia sekarang juga.”
Anis menggeleng lagi. Dia tidak ingin mengeruhkan keadaan. Dia hanya ingin tahu kebenaran supaya mudah dia membawa dirinya jauh-jauh dari kelompok yang tidak boleh menerima kewujudannya. Dia sedar dirinya siapa.
“Anis,” panggil Damien dengan lembut. Kini dia faham kenapa hati Anis terasa. “Abang sendiri pun ada yang benci, ada yang tak suka tapi itu semua tak penting. Asalkan Anis dan abah tak benci abang, sudah cukup untuk abang berasa bahagia dan teruskan hidup dengan gembira.”
Jawapan Damien membuatkan Anis berhenti menangis. Pelukan suaminya dirasakan makin erat dan kejap sehinggakan dia rasa sukar bernafas. Sejenak, dia dapat merasakan kesayuan di hati suaminya dan dia mula rasa berdosa.
“Ampunkan Anis, bang,” katanya.
Damien mengangguk lesu. Kemudian mengusap kepala Anis dengan penuh kasih sayang. Apabila Anis mendongak memandangnya, dia berkata, “Jangan sesekali berhenti mempercayai abang. Perjalanan hidup kita berdua masih jauh.”
Tanpa sebarang kata, Anis melabuhkan wajah ke dada suaminya. Terasa reda segala gundah di jiwa.