Tuesday, October 30, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 3



Bab 3

TAN SRI DZAIRIL mengalihkan pandangan matanya ke arah Khairul. Lelaki yang bertugas sebagai pembantu peribadinya sejak lima tahun yang lalu itu hanya terkebil-kebil membalas pandangannya. Dia tahu, Khairul banyak menyimpan rahsia peribadinya malah kini pada Khairullah ingin disandarkan satu lagi rahsia.
“Rumah tu dah siap, kan?” Dia bertanya.
Khairul yang sedang berdiri di sebelahnya tersenyum. “Sudah, Tan Sri. Semasa Encik Yahya menyerahkan kunci rumah tu, semua kerja pembersihan dah selesai. Tinggal untuk anak dan menantu Tan Sri masuk saja.”
Bukan dia lupa. Khairul telah menyatakan kepadanya perkara itu dua hari yang lalu tetapi entah kenapa hatinya seolah-olah ingin diyakinkan sekali lagi. Dia bimbang jika Anis tidak sukakan rumah itu. Dia hanya mahu yang terbaik untuk anak menantu kesayangannya itu.
“Tan Sri macam susah hati saja? Ada apa-apa yang perlu saya uruskan lagi?” tanya Khairul.
Dia tidak hairan dengan pertanyaan Khairul. Lima tahun berkerja di bawahnya, sememangnya menjadikan lelaki itu cukup masak dengan sikapnya. Tetapi kali ini… dia menyimpan satu permintaan yang mungkin paling sukar untuk diuruskan oleh sesiapa malah sukar juga untuk diluahkan dengan kata-kata.
“Khairul,” panggilnya.
Khairul pantas mendekat.
“Duduk,” katanya.
Tanpa berlengah, Khairul terus melangkah ke hadapan meja lalu duduk di situ tanpa sepatah kata. Matanya sahaja yang menyeluruhi wajah Tan Sri Dzairil di hadapannya.
“Saya tak tahu sama ada awak boleh lakukan ini ataupun tidak.” Tan Sri Dzairil diam sebentar. Matanya merenung dokumen-dokumen yang ada di atas meja pula. Jika tidak kerana panggilan daripada Damien tadi, mungkin dia masih menekuni dokumen-dokumen yang perlu ditandatanganinya pada waktu itu. Sekarang, fikirannya kembali terarah kepada satu rahsia silamnya.
Khairul hanya diam menunggu. Berkutik pun tidak di atas kerusi.
“Saya mahu awak cari seseorang.”
Akhirnya dapat juga diluahkan olehnya hasrat hatinya yang satu itu. Sejak isterinya Marzita meninggal dunia setahun yang lalu… keinginan yang satu itu sering menghambatnya. Makin lama, dia merasakan keinginan itu makin kuat.
“Siapa yang Tan Sri maksudkan?” tanya Khairul. Dia sudah membuka PDA miliknya untuk mencatatkan sesuatu.
Matanya terkelip-kelip. Sesungguhnya itu bukanlah satu pengakhiran, sebaliknya satu permulaaan yang baru dan berat risikonya. Dia sedar, tindakannya mungkin akan mengubah banyak situasi. Namun apakan daya, dorongan hatinya cukup kuat bagaikan tidak boleh dibendung lagi.
“Namanya Natrah. Natrah Abdullah. Dia seorang muallaf keturunan Thai.”
“Tan Sri ada gambarnya?”
Tan Sri Dzairil menggeleng. Sedikit kesal kerana tidak pernah menyimpan gambar Natrah namun itu bukanlah salahnya. Sebagai suami tidak wajar dia menyimpan walaupun sekeping gambar cinta pertamanya. Dia sendiri tidak menjangkakan akan memerlukan gambar Natrah di kemudian hari.
“Maklumat?”
Apa yang boleh diceritakan tentang Natrah? Dia termenung lagi. Semuanya sudah agak kabur namun yang tinggal hanyalah rasa manis sebuah rasa cinta yang pernah bertapak kukuh di jiwanya puluhan tahun yang lalu. Namun dia juga tahu, itu tidak akan banyak membantu.
“Tak banyak,” jawabnya apabila menyedari Khairul sedang menanti jawapannya.
Khairul diam lagi. Dia mencatatkan sesuatu di atas skrin PDA miliknya. “Saya akan buat apa saja, Tan Sri. Tapi kalau Tan Sri ada sedikit maklumat yang penting, mungkin boleh membantu. Misalnya tempat lahir, umurnya dan alamat dia yang terakhir.”
“Umurnya dua tahun lebih muda daripada saya.” Tan Sri Dzairil menjawab sambil memerhatikan reaksi Khairul. Dia tahu orang yang dicarinya bukan muda lagi. Mungkin pada waktu ini, Natrah sudah pun bercucu-cicit. Mungkin juga Natrah sudah….  “Saya hanya mahu  tahu dia berada di mana dan bagaimana keadaannya sekarang.”
Khairul mengangguk seolah-olah cukup faham.
“Dia ni… apa hubungannya dengan Tan Sri?”
Kulit mukanya terasa panas. Timbul rasa segan yang bukan kepalang sehinggakan dia tidak sanggup menentang wajah Khairul. Apa yang perlu dikatakan? Berbohong atau berterus-terang?
“Dia… dia ….”
“Saya faham. Rahsia Tan Sri, rahsia saya. Saya akan cari dia sampai dapat,” Khairul berkata apabila Tan Sri Dzairil tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi.
Dia cuma mampu mengangguk. Itulah kelebihan Khairul. Tidak perlu dijelaskan panjang lebar, Khairul selalu berjaya membaca fikiran dan kemahuannya.
“Adakah orang yang Tan Sri cari ini ada kaitannya dengan rumah itu?” Dengan tiba-tiba sahaja Khairul bertanya.
Dia terkedu. Bulat matanya merenung Khairul. Sekali lagi Khairul berjaya meneka dengan tepat.
******
SETELAH Khairul meninggalkan pejabatnya, Tan Sri Dzairil menyambung semula tugas-tugasnya. Sedang dia sibuk berbincang dengan setiausahanya yang bernama Qira, masuk seorang gadis yang kurus langsing ke pejabatnya.
“Tak tahu ketuk pintu ke?” tegur Tan Sri Dzairil. Jengkel betul hatinya dengan sikap Maisara yang seperti tidak tahu menghormatinya langsung.
“Alah, saya nak cari Damien ni uncle. Sejak pagi tadi tak nampak pun dia,” jawab Maisara. Lansung tidak mengendahkan teguran Tan Sri Dzairil. Bukan orang tua itu yang dicari.
Tan Sri Dzairil menarik nafas panjang. Hanya mengenangkan Maisara itu sudah tidak mempunyai ayah sahaja, apatah lagi sebagai anak saudaranya, dia menahan sabar. “Dia bercuti.”
“What? Dia bercuti? Berapa lama? Dia nak ke mana?”
“Yang kamu kecoh sangat ni kenapa? Dia bukannya budak kecil yang perlu dijaga lagi,” sindir Tan Sri Dzairil. Pening kepalanya melihat kelakuan Maisara.
“Tak adalah, uncle. Orang lain bini pregnant juga, tapi tak adalah sampai ambil cuti lama macam tu. Takkan dia nak dukung bini dia tu ke mana-mana pula?” Maisara rasa terkejut, kecewa malah kini meluat.
Buat seketika, Tan Sri Dzairil tergamam. Anis mengandung? Dia tak tahu langsung tetapi kemudian fikiran warasnya mula sedar yang kata-kata Maisara bukan boleh dipercayai sangat.
“Dia nak dukung ke, nak lambung ke, dia punya pasallah. Bukannya dia suruh kamu yang dukung,” balasnya sambil ketawa kecil.
Muka Maisara berubah cemberut. “Alah, uncle ni. Orang tanya betul-betul, dia main-main. Cakaplah kenapa Damien cuti lama?”
“Dia nak ke Melaka dengan Anis,” jawab Tan Sri Dzairil dengan selambanya. Dia sudah malas mahu melayan Maisara.
“Ke Melaka?” Maisara terdiam seketika. “Buat apa pula? Saya tak tahu pun ada mesyuarat di sana.”
“Siapa kata ada mesyuarat?”
“Kalau tak pergi mesyuarat, dia pergi buat apa pula lama-lama?”
“Bercutilah. Buat apa lagi?”
“Bercuti?” Maisara membulatkan mata. “Kenapa pula bercuti waktu ni? Kita kan ada banyak projek yang perlu disiapkan? Mengada-ngada sungguh.”
“Siapa mengada-ngada?” sergah Tan Sri Dzairil. Panas hatinya mendengar mulut celupar Maisara.
Maisara tersedak air liur. “Tak ada… maksud saya, kenapa pula sampai kena bercuti panjang? Kita kan ada banyak kerja?”
“Sebab… mereka berdua nak pergi tengok rumah baru Anis. Uncle yang belikan untuk dia.”
Lagi sekali Maisara terlopong. “Teruknya! Baru kahwin enam bulan, dia dah minta rumah? Bayangkan kalau dah kahwin enam tahun! Agaknya dia minta holdings kita ni.”
Tan Sri Dzairil menghempas keluhan. Tidak sangka ke situ pula fikiran Maisara terhadap Anis. Kini dia mula faham kenapa Anis boleh terasa hati dengan sikap Maisara dan ibu Maisara. Mereka berdua selalu memikirkan hal yang buruk-buruk sahaja terhadap orang. Tidak ada yang baik.
“Bukan macam tu, Maisara. Dengar baik-baik kata uncle. Anis tak minta apa-apa tapi uncle yang hadiahkan sebagai hadiah perkahwinan dia dengan Damien.”
“Baguslah tu, uncle. Lama-lama esok, habis harta uncle diserahkan kepada dia,” balas Maisara dengan nada angkuh. Makin benci hatinya mendengar kata-kata Tan Sri Dzairil, rasa tak sabar pula dia memberitahu ibunya tentang perkara itu.
“Kalau habis pun tak apa. Uncle bukan boleh bawa masuk kubur.”
“Huh!” Maisara mendengus lalu mahu melangkah pergi.
“Nanti dulu,” kata Tan Sri Dzairil. Apabila Maisara menoleh, dia menyambung kata-katanya, “Sementara Damien tak ada ni, Maisara kena siapkan kerja dia.”
Maisara tergamam. Sambil menjeling, dia meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil dengan segera.
Tan Sri Dzairil termenung di situ sambil memikirkan kenapa Maisara seolah-olah benci sangat kepada Anis. Setahu dia, Maisara tidak pula ada hati terhadap Damien. Mungkin ada salah faham di mana-mana, fikirnya.
*******
SEBAIK sahaja meninggalkan pejabat Tan Sri Dzairil, Maisara melangkah laju masuk ke pejabatnya pula. Selepas menghempas punggung ke kerusi, dia terus menelefon ibunya, Datin Zarina.
“Mummy,” panggilnya dengan suara yang sebak. Hatinya sakit betul.
“Hah? Kenapa pula ni?”
“Uncle belikan perempuan tu rumah di Melaka,” katanya terus kepada hal pokok.
“Perempuan mana pula ni?” tanya Datin Zarina. “Uncle kamu ada calon bini baru ke?”
“Bukanlah, mummy…,” rengek Maisara. Geram pula hatinya kerana ibunya tidak memahami apa yang telah disampaikan. “Perempuan gedik tulah. Siapa lagi?”
“Anis?” Datin Zarina terdiam sesaat. “Uncle kamu belikan rumah untuk perempuan tu?”
“Haah, kat Melaka.”
“Kat melaka?”
“Ya, uncle sendiri yang cakap tadi.”
“Jangan-jangan rumah tu kut?” tanya Datin Zarina pula.
“Rumah mana pula, mummy?”
Datin Zarina diam sahaja.
“Mummy? Mummy?” panggil Maisara namun panggilannya sudah diputuskan ibunya. Dan apabila dia cuba menghubunginya semula, panggilannya tidak diangkat. Makin sakit hatinya.


No comments:

Post a Comment