Thursday, November 1, 2012

PERCAYALAH SAYANG : Bab 4



Bab 4

SEBUAH beg pakaian kecil berjenama Dolce and Gabbana terletak elok di atas katil. Beg berwarna emas metalik itu sudah dipenuhi dengan pakaiannya dan Damien untuk tinggal di Melaka selama tiga hari. Beg yang langsung tidak menarik pada pandangan matanya namun bukan itu yang membuatkan Anis termenung di situ.
“Dah siap?”
“Tunggu abang masak air, kemudian sejukkan air, tentulah sempat siap,” balas Anis. Puas hatinya kerana dapat memerli suaminya. Tadi kata turun minum air sekejap, ini sudah hampir sejam pula. Hingga dia sudah siap berkemas.
Damien tersengih.
“Abang rasa kita kena pakai beg lebih besar.”
Anis mengerutkan dahi. Beg lebih besar? Nak isi apa agaknya?
“Abang dah dapat cuti dua minggu. Bolehlah kita tinggal di sana lama sikit.”
“Dua minggu?!” Anis hampir menjerit. Kenapa bunyinya seperti tidak masuk akal sahaja? Selalunya Damien susah sangat dapat cuti walaupun bekerja dengan syarikat keluarga sendiri. Ini sampai dua minggu pula? “Abang ambil cuti tanpa gaji ke? Tak payahlah sampai macam tu.”
“Abah yang beri cuti. Dia suruh kita duduk sana sampai puas.”
“Abah dah tak suka Anis tinggal di sini?” tanya Anis pula. Hatinya mula terusik. Sejak dia menjadi menantu di rumah itu, belum pernah dia meninggalkan rumah selama itu. Pergi berbulan madu pun hanya seminggu. Itu pun di Pulau Langkawi sahaja. “Abah dah bosan lihat muka Anis ya?”
Damien menggeleng. “Anis kan suka tengok laut? Abah cuma mahu abang temankan Anis tengok laut sepuas-puasnya.”
Ya ke? Tanya Anis dalam hati. Mungkin Damien tidak berkata benar tetapi tidak nampak pula Damien berbohong.
“Kalau Anis tak suka tinggal di situ macam mana?”
“Abang akan buat sampai Anis suka.”
“Kalau Anis tak suka juga?”
Damien garu kepala. Dia seolah-olah tidak tahu mahu menjawab apa lagi.
Anis tersenyum melihat gelagat suaminya. Dalam keadaan seperti itu, dia merasakan sangat dimanjakan. Apa sahaja yang dia mahu, seboleh-bolehnya akan ditunaikan oleh Damien.
 “Anis gurau sajalah. Tapi boleh tak abang berjanji dengan Anis satu perkara?”
Kening Damien terangkat tinggi. Dia hanya memandang Anis tanpa suara.
Tangan Anis segera menyentuh tangan Damien. Digenggam erat-erat sepenuh jiwa raganya sambil melirik ke arah tangan mereka berdua yang sedang bertaut mesra.
“Anis cuma nak abang janji pada Anis… kalau Anis tak suka tinggal di situ, kalau Anis mahu balik ke sini… abang mesti bawa Anis balik bila-bila masa yang Anis nak.”
Itu sahaja yang dia mahukan. Bukan intan berlian, bukan juga emas permata. Dia hanya inginkan rasa selamat. Rasa yang hanya boleh dirasai di rumah itu, di bilik itu. Dia mahu Damien berjanji supaya jika ada apa-apa berlaku di sana, dia boleh kembali ke situ pada bila-bila masa yang dia mahu. Hanya dengan itu dia akan berani melangkah keluar dari rumah itu.
“Abang janji,” kata Damien.
Anis tersenyum. Zip beg Dolce and Gabbana di sebelahnya ditarik semula. Baju-baju di dalamnya dikeluarkan dan disusun semula di atas katil.
“Abang patut beli beg yang lebih cantik sikit. Tak maco pakai beg berkilat macam ni, macam perempuan….” Dia mula membebel sambil memandang beg yang menyakitkan matanya sejak tadi.
Damien ketawa sahaja. Sebuah beg pakaian yang lebih besar dikeluarkan daripada almari. Sambil mengheret beg itu ke arah Anis dia bertanya, “Besar ni cukup?”
Anis tersenyum. Dalam hatinya berdoa, semoga pemergiannya ke sana bukanlah untuk selama-lamanya.
******
MALAM itu, di meja makan, ketiga-tiganya tidak seriuh selalu. Masing-masing tunduk memandang nasi bagaikan itu makan malam terakhir buat mereka bertiga di rumah itu. Tan Sri Dzairil menyuap dengan perlahan. Damien pula tidak mengangkat muka. Anis yang duduk di kerusi yang bertentangan dengan suaminya juga hanya diam membisu.
“Tak apa ke kami tinggalkan abah lama-lama ni?” Akhirnya dia bersuara. Rasanya wajar jika dia bertanya sendiri kepada ayah mertuanya apa yang merisaukan hatinya. Jika ditanyakan kepada Damien, mungkin tidak semuanya benar-benar lahir dari hati lelaki itu.
“Mak Bija, kan ada? Pak Din ada. Khairul ada,” jawab Tan Sri Dzairil sambil tersenyum. “Apa yang nak dirisaukan?”
Hati Anis tidak tercuit pun dengan jawapan itu. Walaupun lebih daripada itu wujud di situ namun belum tentu wujud di hati ayah mertuanya. Dia tahu.
“Lebih baik kalau abah ikut sama. Abah pun dah lama tak bercuti,” katanya pula. Dia juga tahu ayah mertuanya tidak mahu mengaku kalah. Tidak mahu mengaku yang hati tuanya akan rasa sunyi tanpa dia dan Damien.
“Kerja di ofis banyak.”
“Kalau kerja banyak, buat apa benarkan abang tu cuti? Kan dah menyusahkan abah pula?” Cepat sahaja dia menjawab. Jika betul itu alasannya, dia rasa sangat bersalah. Kerana menemankan dia, Damien terpaksa bercuti dan membebankan kerja di bahu ayah mertuanya pula.
“Anis pergi sajalah. Abah rasa Anis tentu suka tempat tu. Ada laut. Ada tempat memancing. Medan ikan bakar pun tak jauh dari situ.”
Anis tersenyum kecil. Pandai sungguh ayah mertuanya menukar topik perbincangan. Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Namun belum cukup untuk membuat dia berasa lega meninggalkan ayah mertuanya tinggal berseorangan di rumah itu selama dua minggu.
“Anis risau,” katanya terus-terang sahaja. “Abah tinggal sorang. Lagipun kerja di pejabat banyak.”
“Jangan risaulah. Apa gunanya Maisara tu kalau tak boleh diharapkan?” balas Tan Sri Dzairil lagi.
Mendengar nama Maisara disebut, Anis langsung terdiam. Semena-mena terasa hatinya sakit semula.
Kemuraman wajah Anis disedari Tan Sri Dzairil. Lalu dengan segera dia berkata, “Anis pergi dulu… kalau ada masa lapang abah pergi sana.”
“Betul ni?” Anis tersenyum tawar. Terdetik di hatinya jika kata-kata yang dilontarkan oleh ayah mertuanya hanyalah tidak lebih dari penyejuk jiwa.
Tan Sri Dzairil angguk dengan penuh yakin.
“Tapi kalau nak ditunggu masa lapang, sempatlah Anis balik ke sini pula nanti,” balas Anis dengan selamba. Dia menyuap nasi perlahan-lahan. Tidak dihiraukan pandangan tajam yang dilemparkan oleh Damien kepadanya.
“Abah janji… abah akan jenguk Anis nanti,” kata Tan Sri Dzairil lagi.
“Janji mesti ditepati.” Anis pandang wajah ayah mertuanya betul-betul. Dia hanya mahukan kejujuran.
“Hujung minggu depan abah pergi sana. Bagaimana?” Tan Sri Dzairil membalas renungan Anis.
“Anis pegang janji abah,” katanya penuh makna.
 Tan Sri Dzairil dan Damien saling berpandangan.
Suasana sudah berubah, meja makan itu tidak lagi sesunyi tadi. Namun begitu hati Anis tidak pasti, adakah kegembiraan yang dipamerkan Damien dan ayah mertuanya itu ikhlas atau hanyalah sebuah sandiwara. Namun dia tahu, dia sendiri rasa terpaksa. Banyak hati lain yang terpaksa difikirkan juga selain hatinya.
*****
Di Flat Seri Mastura…
TANGISAN seorang bayi lelaki lantang kedengaran di rumah itu. Tangan dan kakinya terkapai-kapai menggapai angin. Kulit mukanya yang putih gebu mula berbintik merah.
“Daniel...,” panggil Maria. Anak kecil itu diangkat dan didukungnya. Tangisan bayi itu makin reda namun dia tahu pasti ada yang tidak kena sehingga menyebabkan Daniel menangis.
“Abang cepatlah sikit! Daniel dah lapar ni.” Maria melaung suaminya yang sedang membancuh susu di dapur. Sementara itu dia cuba mengagah-agah Daniel yang masih mencebik. Dia tersenyum. Bahagia sungguh jiwanya dengan kehadiran Daniel dalam hidupnya.
“Nah!” Joe menghulurkan botol susu sebelum duduk di sisi Maria dan mematikan suis televisyen. Ruang tamu rumah itu pun terus menjadi senyap. Dia dan Maria sama-sama memerhati Daniel yang sedang enak menyusu di pangkuan Maria.
“Siang tadi Anis telefon,” kata Maria.
Padanya itulah saat yang sesuai untuk memberitahu hal itu kepada Joe. Selagi perkara itu tidak disampaikan kepada Joe, ia seolah-olah sentiasa terbuku di hatinya.
“Dia dah sihat ke?” Joe pandang Maria sambil jarinya mencuit pipi Daniel yang gebu.
Maria tunduk memandang Daniel di pangkuannya. Mata Daniel yang berusia hampir empat bulan itu pejam celik, sesekali mula kuyu. Dia yakin Daniel akan lelap sekejap lagi oleh itu dia tidak patut bercakap kuat.
“Entahlah,” jawabnya.
“Apa yang Maria nak cakap dengan abang sebenarnya?” tanya Joe pula.
“Anis nak ke Melaka esok,” jawab Maria dan lantas menerangkan segala-gala yang dia tahu kepada suaminya pula.
“Jadi Maria pun nak ke sanalah ya?” balas Joe. Dia tersenyum nipis.
Melihatkan suaminya tersenyum, Maria ikut tersenyum juga. “Kalau bolehlah. Itu pun Anis kena minta izin Damien dulu.”
“Bagus juga, kita pun dah lama tak pergi bercuti.” Ada rasa sedih di hujung suara Joe.
Maria diam sahaja. Dia tahu, dia tidak perlu menyuluh apa yang sudah terang. Memang hidupnya dan Joe seadanya sahaja seperti hidup orang lain. Malah boleh dikatakan hidupnya dengan Anis juga sudah jauh berbeza sejak Anis menjadi menantu Tan Sri Dzairil. Cuma dia bersyukur kerana persahabatannya dengan Anis dan Damien tidak banyak berubah.
“Maafkan abang,” kata Joe perlahan tanpa mengangkat muka dari wajah Daniel.
Maria tergamam. Perlahan-lahan diangkatnya muka lalu merenung wajah Joe di sebelahnya. “Kenapa abang cakap macam tu?”
Joe menarik nafas pendek lalu melepaskannya laju. “Yalah… sejak kita berkahwin, abang tak pernah belikan apa-apa untuk Maria. Rumah ni pun dihadiahkan orang.”
“Habis tu? Yang dalam tangan Maria ni apa?” Maria angkat sedikit Daniel di pangkuannya. Dia terkejut malah berasa hiba apabila mendengar kata-kata Joe.
Joe diam.
“Anak kita ni, adalah hadiah yang tidak ternilai untuk saya, bang,” kata Maria lagi. “Saya tak minta apa-apa pun selain mahu abang sentiasa berada di sisi kami berdua.”
Joe angguk.
“Kalau macam tu, tak payahlah kita pergi ke Melaka.”
“Eh! Janganlah macam tu. Kita pergilah.” Joe tergamam pula.
“Dah tu… kalau abang nak cengeng macam ni dekat sana, lebih baiklah tak payah. Hairan pula Anis tu nanti,” balas Maria. Dia masih terkejut dengan sikap Joe, dia sedar Joe rasa rendah diri jika dibandingkan dengan Damien. Akan tetapi itu seperti tidak mempercayai kasih sayangnya.
“Janganlah merajuk,” pujuk Joe. “Kita pergilah.”
“Tak malu! Orang belum confirm pun nak ajak kita lagi ke rumah dia,” balas Maria.
Joe tersengih. “Kalau orang tu ajak, kita pergilah. Bukan selalu dapat tinggal di rumah tepi laut. Canggih tu.”
Maria ikut tersenyum. Dia harap, di sebalik gurauan Joe itu, hati Joe sudah terubat. “Abang.” Dia memanggil.
Joe mengangkat muka memandangnya.
“Saya dah ada semua yang saya nak,” kata Maria sepenuh hati. Dia harap Joe faham.
Joe angguk sahaja.
*****
MALAM terus bertambah tua. Suasana di sekitar Flat Seri Mastura bertambah sunyi namun Maria belum dapat melelapkan mata walau sudah naik ke katil sejak sejam yang lalu.
“Kenapa tak tidur lagi?” Suara Joe memecah keheningan itu.
“Macam mana abang tahu saya tak tidur lagi?” Maria sedikit terkejut mendengar suara suaminya. Sangkaannya Joe sudah lama melelapkan mata. Adakah fikiran suaminya juga terganggu?
“Sebab Maria tak berdengkur.”
“Saya tidur berdengkur ke, bang?” Maria tumbuk bahu Joe sekuat hati.
Joe ketawa kecil. “Kalau tak percaya, nanti abang rakamkan ya?”
“Tak mahulah.” Pipi Maria sudah terasa panas. “Tapi kenapa pula abang tak tidur ni?”
Joe tidak terus menjawab, sebaliknya hanya mengeluh.
“Bang…,” panggil Maria. “Boleh saya cakap sikit tak?”
Joe angguk.
“Apa kata kalau kita benarkan Anis jaga Daniel buat sementara waktu?” tanyanya perlahan tanpa berani memandang wajah Joe.
“Boleh ke Anis tu jaga baby?”
“Kita kena beri peluang pada dia merasa apa yang kita rasa. Seperti mana mereka berdua pun tak pernah kedekut dengan kita selama ni.”
Joe terus angguk. Dia tidak keberatan jika itulah yang dirasakan baik oleh Maria. “Abang tak ada masalah, cuma….”
“Saya tahu. Abang mesti fikirkan soal mak abang, kan?” Maria teringatkan ibu mertuanya, Mak Ani yang tidak boleh berenggang dengan Daniel.
“Haah, hilang sekejap pun tak boleh. Ni kan pula kalau dia tahu, kita nak pinjamkan Daniel kepada Anis? Dengarlah dia punya leteran setiap hari.” Joe tersenyum. Sudah dibayangkan awal-awal rajuk dan marah ibunya nanti.
“Kita cubalah pujuk,” balas Maria. Dia pun terfikir soal itu juga.
“Marialah pujuk. Abang tak larat nak dengar.”
“Yalah, yalah…” Maria membalas sebelum memejamkan mata. Lega sedikit hatinya kerana telah menyuarakan hasrat hatinya kepada Joe. Harap-harap Anis memahami niatnya untuk membantu.

No comments:

Post a Comment