Friday, June 8, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 9





Malam itu terasa sangat berbeza kerana sangat jarang, ada penumpang yang duduk di sebe-lahnya ketika dia memandu tambahan lagi jalan menuju ke luar bandar Kuantan agak sesak. Sekaligus menjadikan perjalanan yang sepatutnya singkat bertambah panjang.
    Hanisa termenung memandang jalan. Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan menumpangkan seorang lelaki yang tidak dikenali di dalam keretanya. Satu-satunya lelaki yang pernah duduk di sebelahnya itu adalah Richard, itu pun hanya sekali sewaktu mereka berdua ke pejabat pendaftaran perniagaan. Selepas itu tidak pernah lagi. Tapi benarlah kata orang bulan Ramadhan bulan yang penuh dengan dugaan.
    “Awak tak nak telefon keluarga awak? Tentu mereka risau awak tak balik-balik sejak tadi.”
Itulah yang ingin ditanyanya sejak di kedai lagi. Selalunya orang tidak akan berjauhan dari telefon bimbit masing-masing tetapi setelah puas dia dan Mei Lin mencari di serata kedai, telefon bimbit lelaki itu tetap tidak ditemui. Dalam poket juga tidak ada. Yang anehnya, beg dompet pun tidak ada. Mereka tidak dapat menghubungi sesiapa pun.
Lelaki itu hanya menggeleng. Matanya lurus memandang jalan bagaikan takut Hanisa terlepas simpang. “Telefon saya hilang.”
“Nak guna telefon saya?”
“Saya tak ingat nombor telefon rumah,” balas lelaki itu.
Hanisa mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak sikap lelaki itu membuatkan dia pening.
Setelah hampir 30 minit menyusuri jalan besar menghala ke Bandar Indera Mahkota, Hanisa membelok ke sebelah kanan menuju ke Indera Mahkota Sapphire. Kawasan itu terkenal kerana rumah-rumahnya yang besar-besar, banglo sebuah-sebuah dan pendek kata ramai hartawan dan yang berpangkat tinggal di situ. Dikira sebagai salah sebuah kawasan elit di bandar Kuantan.
Keraguan mula terasa di hatinya apabila melewati satu demi satu rumah-rumah yang tersergam di kawasan itu. Dia benar-benar berharap agar alamat yang diberikan oleh lelaki itu adalah tepat.
Dengan perlahan kereta Hanisa menyusuri lorong lima untuk mencari rumah bernombor lima. Dengan tiba-tiba sahaja lelaki yang pendiam itu menuding jari ke arah sebuah rumah tiga tingkat yang betul-betul terletak di hujung selekoh lorong itu.
“Rumah itu?” tanya Hanisa seperti tidak percaya.
“Ya,” balas lelaki itu. Wajahnya tetap serius.
Walaupun berasa waswas, keretanya dihentikan juga di hadapan pagar besar bercat warna hitam dan emas. Dari luar, rumah itu kelihatan agak tertutup, yang kelihatan cuma bahagian atapnya sahaja. Sudahlah di kiri kanan pagar itu pokok bunga tumbuh tinggi dan merimbun. Keadaan nampak menyeramkan.
“Terima kasih, cik.” Dia teraba-raba poket seluarnya, kemudian memandang Hanisa dengan pandangan yang cemas. “Dompet saya tak ada.”
“Memang tak ada,” balas Hanisa. “Richard dah periksa poket awak tadi, tapi dia tak jumpa apa-apa.”
“Boleh saya bayar esok? Esok saya hantarkan duit ke kedai,” kata lelaki itu dengan bersungguh-sungguh.
Muka Hanisa menjadi panas dia lantas menggeleng sebagai isyarat menolak hasrat lelaki itu. Dia bukan teksi, kalau benar itulah rumah lelaki itu, dia sudah amat bersyukur. “Tak payah. Awak tak payah bayar apa-apa.”
“Sure?”
Hanisa angguk.
“Thank you,”  kata lelaki itu sebelum menutup pintu kereta. Setelah beberapa kali dia menekan loceng pagar, pagar itu pun terbuka secara automatik. Muncul seraut wajah tua menyambutnya pulang.
Hanisa menarik nafas lega. Syukurlah semuanya sudah selesai. Dengan sisa-sisa tenaga yang ada, dia memandu balik ke pangsapurinya tetapi marahnya kepada Richard tetap ada.
Bagaimanapun sebaik sahaja dia meneruskan perjalanan, dia perasan ada sebuah kereta di belakangnya. Ah! Mungkin penduduk di taman itu, kata hatinya. Mujurlah kereta mereka berpisah di sebuah simpang.
N
BORHAN melangkah tenang masuk ke rumahnya. Walaupun seluruh tubuhnya masih terasa lemah dan sakit-sakit namun dia menggagahkan diri juga untuk ke ruang tamu kedua rumah itu. Sebelum dia duduk di atas sofa, dia menghulurkan beg plastik yang dibawanya balik kepada Mak Yah.
    “Tuan dah makan?” tanya Mak Yah pula. Beg plastik itu dibuka dan dia tergamam.
    “Mak Yah buatkan saya teh dan roti bakar,” balas Borhan. Kalau diceritakan kepada Mak Yah yang dia belum menjamah sebutir nasi pun lagi, pasti orang tua itu akan kecoh.
    “Kenapa baju tuan ada darah ni? Tuan cedera ke?” Mak Yah bertanya sambil leka membelek baju-T dalam beg plastik itu.
    “Mak Yah jangan bimbang. Saya tak apa-apa. Itu darah orang lain terkena ke badan saya,” jelasnya tanpa memandang ke arah Mak Yah. Dia takut pengsan lagi.
    “Kalau macam tu, tuan berehatlah dulu. Biar Mak Yah buatkan roti bakar. Kalau tuan nak makan nasi, Mak Yah boleh panaskan lauk.”
    “Saya belum nak makan nasi lagi, Mak Yah,” balasnya pendek. Dia dapat merasakan yang Mak Yah sudah syak yang dia belum makan apa-apa. Mujurlah Mak Yah tidak memujuk lagi.
    Setelah Mak Yah meninggalkan dia di situ, dia merebahkan tubuhnya di atas kerusi panjang dan cuba memejamkan matanya semula. Entah kenapa selain sakit kepala yang dirasa, dia juga berasa lain benar seperti ada sesuatu yang sudah berubah dalam dirinya. Kejadian petang tadi kembali bermain di fikirannya.
    “Roti bakar dan air dah siap, tuan, Bangunlah makan dulu. Tak elok tidur dengan perut kosong.”
    Suara Mak Yah mengejutkan dia yang tidak sedar sudah terlelap seketika di situ. Terpisat-pisat dia bangun. Namun renungan penuh tanda tanya yang dilontarkan oleh Mak Yah menyedarkan dia bahawa dia harus memberikan penjelasan walau tidak diminta. “Saya pengsan tadi,” katanya perlahan.
    “Pengsan? Darah tu datang dari mana pula?”
    “Dua kejadian yang berasingan. Tapi mujurlah saya dapat balik juga ke rumah.” Dia belum bersedia untuk bercerita panjang.
    “Kenapa tuan tak telefon?”
    “Macam mana saya nak telefon kalau saya pengsan? Yang kedua, saya pun tak ingat nombor telefon rumah ni,” terang Borhan.
    Mak Yah mengeluh. “Tak apalah, tuan. Asal tuan balik dengan selamat cukuplah. Kami dah mula risau tadi. Puas kami telefon, tapi tak dapat-dapat. Tuan belum jumpa telefon tuan yang hilang tu?”
“Belum. Entah di mana,” jawab Borhan perlahan. Sebenarnya bukan itu yang dirisaukan. “Mak Yah, jangan fikir yang bukan-bukan pula. Perempuan yang hantar saya balik tadi tu… dia tolong hantar balik saja.”
Mak Yah cepat-cepat menjawab, “Mak Yah tak fikir apa-apa. Mak Yah cuma risaukan, tuan. Maklumlah tuan masih baru di sini.”
“Insya-Allah, saya akan selamat. Mak Yah janganlah risau sangat,” jawab Borhan sambil mengerling wajah Mak Yah yang nampak muram. “Mak Yah pergilah masuk tidur dulu. Nanti nak bangun sahur lagi.”
“Tadi ada orang cari tuan. Petang tadi sebelum waktu berbuka,” kata Mak Yah pula.
“Siapa?”
“Mak Yah tak tanya pula tapi dia ada minta nombor telefon tuan, Mak Yah berilah.”
“Tak apalah. Mak Yah berehatlah dulu.”
Kali ini Mak Yah tidak membantah. Setelah mengangkat piring dan cawan ke dapur, dia masuk ke bilik tidurnya.
Borhan pula menghela tubuhnya yang lesu naik ke bilik. Satu hari yang panjang telah pun berakhir tetapi terasa hidupnya tidak lagi sama. Wajah gadis tadi masih terbayang di matanya. Baik betul budi pekertinya.
N
“BORHAN dah balik?” tegur Pak Harun yang baru selesai membaca kitab agama di atas katil.
Mak Yah menutup pintu di belakangnya. Dengan tergesa-gesa dia duduk di sebelah suaminya dan menepuk lengan suaminya. “Bang!”
Anak mata Pak Harun melirik ke arah Mak Yah. “Apa hal? Macam nampak hantu saja?”
“Dia balik pakai baju lain.”
Dahi Pak Harun berkerut.
“Pagi tadi dia keluar pakai baju lain, dia balik pakai baju lain. Tapi baju yang dipakai pagi tadi tu, dia bawa balik dan suruh saya basuh.”
“Apa yang peliknya?”
“Baju tu ada darah, bang!”
Pak Harun terdiam. Kitab agama di tangannya dibelek-belek.
“Bila saya tanya, dia kata tu bukan darah dia tapi darah orang lain,” sambung Mak Yah. “Lagi satu, dia cerita dia pengsan tadi.”
Pak Harun masih mengunci mulut tetapi tetap memandang Mak Yah yang masih berwajah cemas.
“Dia pengsan di mana?”
“Dia tak cakap pulak di mana.”
“Biarkan sajalah.”
Mata Mak Yah terkelip-kelip seperti tidak puas hati dengan jawapan suaminya. Dia sikit punya risau, suaminya selamba sahaja. Lelaki…
  “Saya cuma takut dia terlibat dengan benda-benda tak baik di belakang kita, bang. Lebih-lebih lagi dah jadi macam ni.”
“Kalau takut, janganlah awak doakan macam tu.”
“Saya takut, bang… saya takut amanah Tuan Amzar tak dapat kita tunaikan. Kita ni pun bukan lama sangat lagi hidupnya.”
“Kita tak boleh jaga dia sepanjang masa. Kita cuma boleh berdoa minta Tuhan lindungi dia saja. Sudahlah tu, jangan risau sangat pasal dia. Buat tak tahu saja. Kalau dia perlukan pertolongan kita, dia pasti cakap.”
“Abang fikir dia akan cakap pada kita?”
Pak Harun angguk.
“Ada dia cakap bila nak balik ke Australia semula?”
Pak Harun geleng.
“Cubalah pujuk dia tinggal di sini. Kalau dia tinggal di sana sorang-sorang macam mana kita nak tengok-tengokkan dia?”
“Perlahan-lahanlah,” jawab Pak Harun pula.
Mak Yah menghela nafas dalam-dalam. Walaupun dia cuba memejamkan mata namun darah di baju Borhan masih ternampak-nampak di matanya. Dan pada malam itu dia bermimpi macam-macam.
N
DI RUMAH Hanisa, dia masih belum melelapkan mata. Entah kenapa malam itu dirasakan seperti panas luar biasa. Lalu dia duduk dan mencapai diarinya dan mula menulis:
Dear Diary,
Hari ini sungguh pelik. Ada seorang lelaki jatuh pengsan di dalam kedai. Orangnya lawa. Entah kenapa sewaktu aku melihat wajahnya aku teringatkan Rayn. Walaupun wajah mereka tidak langsung serupa tapi perasaan yang tercetus di hatiku terasa sama. Aku harap aku tak akan jatuh hati kepada dia kerana jika aku jatuh hati, lebih baik aku jatuh daripada keretapi. Itu mungkin lebih kurang menyakitkan.  


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.