Tuesday, June 30, 2015

LENGLOI : Bab 2


Cover promosi oleh Hasrudy


LIM menuju ke arah sinki untuk membasuh tangan. Dalam keadaan seperti itu lebih baik dia tidak menambahkan masalah. Walaupun dia sendiri tidak jelas apa yang sedang berlaku di situ tetapi dia  percaya Muthu memerlukan masa untuk bertenang. Sedang dia leka membilas sabun, dia ternampak kelibat seorang gadis berjalan di belakang dia. Dia juga terhidu bau yang sangat dikenalinya; bau bunga ros.
Dia spontan menoleh. Tetapi tidak ada sesiapa di situ kecuali Balan yang baru masuk semula ke dalam kedai. Namun hatinya rasa tidak puas. Dia menoleh lagi dan lagi tetapi kemudian dia akur. Memang tidak ada perempuan lain di situ kecuali Pooja. Mungkin dia salah lihat, fikirnya.
“Devi dah balik sekolah?” Dia bertanya kepada Muthu yang kini sudah beralih ke kaunter. Mungkin yang dilihatnya tadi ialah Devi anak Muthu dan Pooja.
Muthu belek jam.
“Belum lagi,” katanya tanpa memandang Lim.
Lim keluarkan duit sepuluh ringgit dari poket baju. Duit itu diletakkan di atas kaunter.
“Tak payahlah bayar.” Muthu menolak duit itu tanpa mengangkat muka.
Untuk seketika Lim kelu, kemudian dia terpaksa mengalah untuk tidak menyukarkan keadaan di situ. Lain kalilah dia bayar, fikirnya. Nanti Muthu naik angin pula.
“Esok aku datang lagi,” kata Lim sambil memandang wajah Muthu yang muram.
Jauh dalam hati dia dapat memahami perasaan Muthu. Tentu Muthu sedang marah, kecewa dan bingung. Persis seperti yang telah dialaminya ketika kehilangan Suzy secara mengejut.
Sememangnya selama ini tidak pernah pula lauk-pauk di situ basi dan berbau busuk. Sambil berfikir, dia tinggalkan kedai Muthu. Mungkin suatu hari nanti dia akan faham apa yang sedang berlaku di situ seperti dia akan faham apa yang telah menimpa Suzy.
****
SETELAH Lim pergi, keadaan di situ bertambah hening. Masing-masing cuba melakukan kerja secermat mungkin. Masing-masing tidak mahu menjadi mangsa kemarahan Muthu termasuklah Pooja.
“Apa yang berlaku tadi?” Dia bercakap perlahan-lahan dengan Balan yang masuk ke dapur untuk menghantar sedulang sayur goreng yang telah basi. Dia sendiri belum berani keluar semula ke ruang hadapan. Bimbang Muthu mengamuk.
Balan berkerut dahi dan menggeleng. Murugan hanya menjeling sambil membasuh periuk.
“Macam mana boleh basi? Kan kita masak pagi tadi?” Pooja tidak puas hati. Hal itu benar-benar membuatkan dia susah hati. Dia yang masak; tentu dia rasa bersalah.
“Aku pun hairan,” balas Balan sambil minta diri untuk kembali ke ruang hadapan.
Pooja lepaskan Balan pergi. Dia tahu dalam keadaan itu semua orang takut dimarahi. Cuma dia tahu dia yang akan dipersalahkan walaupun dia tidak tahu apa-apa.
“Pooja!” Muthu menjerit dari ruang hadapan.
Dia pegang dada dengan tangan kiri. Aduh!
*****
MUTHU masih termenung di tepi kaunter. Ribut fikirannya cuba memahami apa yang sedang berlaku di situ. Perasaan malu dan sedihnya tidak tahu hendak diletakkan ke mana. Dia benar-benar buntu.
“Pooja,” panggilnya sekali lagi.
Mendengar panggilannya, Pooja terkocoh-kocoh datang mendekat dengan wajah cemas dan takut.
“Macam mana kari boleh basi?” Dia luahkan juga pertanyaan itu. Mungkin isterinya ada melakukan kesilapan di mana-mana.
Pooja terus menggeleng tidak tahu. Air matanya mula bergenangan. Kecil hatinya kerana dipersalahkan. Terasa diri dituduh dan tidak dipercayai suami sendiri. Rasa hendak berlari balik rumah dan menangis di atas katil.
“Takkan tak tahu?” balas Muthu.
“Aku masak macam biasa saja. Aku pun tak tahu kenapa boleh basi,” jawabnya laju. Rasa sakit hati disimpan dalam-dalam. Dia malu kalau bergaduh di hadapan pekerja.
“Balan? Raju?”
Kini Muthu menoleh pula ke arah dua orang pekerjanya yang paling setia. Kedua-duanya ada pertalian dengan Pooja, isterinya. Perlahan-lahan mula timbul pelbagai syak wasangka buruk kepada mereka berdua. Walaupun semuanya masih terlalu awal untuk dipastikan tetapi seseorang mesti bertanggungjawab. Kalau tidak Raju, mesti Balan. Kalau tidak Balan mesti Murugan. Dia tidak syak Pooja. Pooja isterinya.
Balan dan Raju serentak menggeleng. Sama seperti Pooja. Kedua-duanya juga menunjukkan muka bingung.
Muthu merengus. Dalam keadaan itu, dia yakin tidak ada seorang pun yang akan berani mengaku. Tetapi jauh di dalam hatinya kuat merasakan ini semua adalah angkara atau kesilapan seseorang. Mustahil, makanan yang dimasak pagi tadi boleh basi secepat itu. Lagipun mereka bukan baru berniaga. Sudah dekat setahun.
“Semua tak mau mengaku,” katanya tanpa memandang sesiapa. Hatinya geram. Geram kepada semua.
Pooja diam. Begitu juga dengan yang lain-lain. Murugan pula melihat sahaja dari arah dapur. Tidak masuk campur.
“Apa kita nak buat sekarang?” tanya Pooja kemudian.
“Buat apa lagi? Buang sajalah ke longkang.” Muthu menjawab dengan perasaan yang masih bergumpal dalam dada. Dia masih berfikir dan mencari puncanya. Dia tidak mahu hal itu berulang lagi. Dia berniaga. Kejadian itu bukan sahaja merugikan bahkan mencemar nama baik dia dan kedai itu.
Bentakan Muthu membuatkan Pooja terdiam. Kemudian mengangguk perlahan dan mula berpaling pergi. Buat sementara biarlah dia ikut sahaja apa kata Muthu.
“Ayam goreng, ikan goreng kasi kucing-kucing di belakang makan. Yang lain buang. Jangan sesiapa pun cuba makan, nanti sakit perut masuk hospital, restoran kita juga kena kompaun.” Muthu tutup mesin kasyier dengan kuat. Berdentum bunyinya dalam kedai yang sudah kosong itu.
Pooja menelan sahaja kemarahan Muthu dalam diam. Sewaktu dia mahu meninggalkan tempat itu, Muthu bertanya.
“Devi belum balik?”
Langkah Pooja terhenti. Hal itu membuatkan dia terlupa fasal Devi yang masih belum pulang-pulang dari sekolah. Dia pandang jam pada dinding.
“Sekejap lagi,” balasnya pendek.
“Cepat kemas, kita balik.” Muthu angkat surat khabar dan telefon dari atas kaunter. Dia mahu keluar seketika. Restoran itu terasa amat merimaskan perasaannya. Sesak dalam kekosongan.
******
SEPENINGGALAN Muthu, Pooja mula berkemas. Walaupun terasa agak janggal berkemas pada waktu tengah hari dan bukannya petang seperti kebiasaan namun untuk menentang arahan Muthu juga dia tidak berani. Dia faham suaminya sedang merajuk dan bingung. Dia bimbang Muthu akan jadi bertambah marah jika dia banyak soal.
“Semua buang?” Tanya Balan sambil memegang sepinggan ikan goreng.
“Letak sini dulu.” Pooja tepuk ruang kosong di sebelah sinki. Dia teringatkan sesuatu. “Yang lain tu buang saja. Jangan bawa balik.”
Balan angguk lalu pergi semula ke ruang hadapan di mana Murugan dan Raju sedang mengemas meja dan kerusi. Kedai itu masih lagi senyap kerana semua orang masih tidak ada mood untuk berbual-bual seperti selalu. Radio dan televisyen yang selalu dipasang tidak henti-henti pun sudah dimatikan.
Setelah membersihkan ruang memasak, Pooja angkat pinggan yang berisi ikan goreng tadi lalu dibawa keluar melalui pintu belakang. Dipandang kiri dan kanan laluan kecil yang memisahkan bangunan kedainya dengan bangunan perniagaan di belakang. Agak sunyi tengah hari itu.
“Miow! Cit! Cit! Cit!” Dia berdecit memanggil kucing-kucing yang biasa dilihat di laluan itu.
Mendengarkan suaranya, terpacul seekor ibu kucing dari dalam longkang tidak jauh dari tempatnya berdiri. Di belakang ibu kucing tersebut ada empat ekor anak kucing berwarna serupa dengan ibunya iaitu bertompok hitam dan putih. Kesemuanya berlari-lari ke arahnya.
“Nah!” kata Pooja.
Sambil tersenyum dia campakkan potongan ikan goreng ke arah kucing-kucing tersebut. Kucing-kucing itu pun menerkam dan berebut. Dengan gelojoh kelima-limanya makan tanpa memerhati ke sekeliling. Selepas puas melihat, Pooja kembali semula ke dalam kedai untuk menyambung kerjanya.Dalam hati, dia berharap apa yang telah berlaku hari ini tidaklah berlarutan.



No comments:

Post a Comment