Friday, June 1, 2012

SETEGUH ILALANG - Bab 3


ADAM meletakkan semula telefon bimbitnya elok-elok di atas meja. Di saat itu dia berasa sangat bersyukur dan gembira kerana satu lagi kes akan menjadi rezekinya tidak lama lagi. Dan apa yang lebih penting, upah yang bakal diterima akan dapat membebaskan dia daripada banyak masalah.
Sambil bersiul senang, dia menyusun segala buku catatan dan fail di atas meja itu kemas-kemas. Segalanya mesti teratur untuk menyediakan ruang bagi kes yang baru itu. Itu memang kebiasaan yang dilakukannya setiap kali dia ingin memulakan satu kerja penyiasatan yang baru. Dia tidak mahu kepalanya berserabut.
Walaupun setiap kes adalah rumit namun ia seumpama sebuah misteri. Dan setiap misteri pula adalah seumpama soalan matematik. Sesukar mana pun, pasti ada jalan penyelesaiannya dan menyelesaikan misteri adalah kecintaannya seperti hobinya bermain Sudoku.
“Abang, abang dah bayar duit sewa rumah?” tanya Liana, isterinya yang baru masuk sambil mendukung anaknya Aiman, yang berusia kira-kira setahun. Matanya memandang dengan penuh harapan.
Lamunan Adam terhenti. Pandangan isterinya dibalas dengan pandangan yang mengharapkan pengertian secukupnya.
“Belumlah tu,” rungut Liana seraya keluar dari bilik kecil yang dijadikan pejabat oleh suaminya.
Adam masih tergaru-garu. Duit sewa rumah, duit bil api dan air, semuanya sudah tertunggak sebulan dua. Dari mana dia harus dapatkan duit sebanyak itu? Wang simpanannya pun sudah hampir habis. Sesak nafasnya, sesesak dadanya juga. Selama tidak ada kes kebelakangan ini, dia banyak bergantung kepada isterinya untuk perbelanjaan rumah. Terasa darah mula memenuhi kepalanya. Dia perlu berbuat sesuatu tetapi serta-merta terasa buntu.
“Abang, kalau tak ada orang nak gunakan perkhidmatan abang lagi, lebih baiklah abang pergi cari kerja tetap. Sekurang-kurangnya ada juga pendapatan setiap bulan.” Liana mula berleter untuk sekian kalinya.
“Bukannya abang tak pernah bekerja dengan orang. Awak pun tahu kenapa abang berhenti. Abang tak suka bekerja di bawah orang.”
Adam mengeluh panjang. Sudah banyak kerja yang dia cuba lakukan, tetapi semuanya tidak sesuai. Bukan kerja yang tidak sesuai cuma dia hanya betah bekerja sendiri, menjadi bos sendiri dan tidak diarah oleh orang lain. Baru jiwanya tenang, dia bahagia dan mutu kerjanya juga bagus.
Tiada jawapan dari bilik sebelah. Mungkin isterinya sudah jemu dengan jawapannya yang seolah mengikut skrip itu. Memang itulah sahaja jawapannya walau ditanya berulang kali. Jawapannya yang jujur dan tidak akan berubah sampai bila-bila. Memang dia tidak betah bekerja di bawah orang. Dia lebih suka bebas membuat keputusan dan bergerak bersendirian.
“Tapi bang, fikirlah tentang anak kita. Kalau abang tak makan, tak ada tempat tinggal, masih tak mengapa. Tapi sanggupkah abang melihat saya dan anak kita merempat di tepi jalan?” Tiba-tiba suara isterinya memetir di tengah kebisuan ruang itu.
Adam tersentak. Wajah isterinya yang tiba-tiba muncul di muka pintu pejabatnya membuat dia kaget. Soalan itu seolah menimbusnya hidup-hidup. Sesak dan lemas bercampur-baur.
“Abang sedang berusaha. Abang baru saja dapat panggilan kes baru. Ada orang nak gunakan khidmat abang. Sabarlah ya.”
Liana menarik kerusi di hadapan suaminya sambil bersungut. “Sabar, sabar. Itu sahajalah yang abang ulang. Sampai bila? Sudah tiga tahun kita berkahwin, kehidupan kita tetap macam ni juga. Habis kes, habislah duit. Tak ada kemajuan langsung.”
Rungutan Liana bagaikan petir tunggal. Sekali namun sudah cukup menggegarkan jantungnya. Hati Adam pilu mendengar keluhan itu. Sememangnya daripada awal perkahwinan, dia tidak pernah menjanjikan kemewahan. Namun dia mula sedar, yang mana impian dan yang mana kenyataan.
Matanya memerhati sekeliling. Sejak mereka mula berkahwin lagi, mereka menyewa di tingkat tiga bangunan kedai itu. Tidak seperti orang lain, istana itu dihias seadanya sahaja tetapi sampai bila mereka akan terus menetap di situ? Sampai bila kehidupannya hanya di takuk itu?
“Abang berjanji, jika kes ini gagal. Abang akan cari kerja tetap. Abang akan ubah hidup kita,” jawabnya lirih. Walaupun janji itu menyakitkan hatinya sendiri, dia terpaksa akur. Dia perlu berubah untuk memastikan yang keluarganya mampu bertahan.
Liana tidak menoleh. Dia hanya tertunduk memandang lantai bagaikan sedang menilai janji yang baru diluahkan suaminya itu.
Adam hanya memerhati gelagat isterinya. Entah kenapa dia berasa sedih, seolah-olah janjinya tidak lagi berharga. Tetapi itu sajalah yang termampu diberikan saat itu dan ia bukanlah sesuatu yang menggembirakan.
“Abang janji?” Dengan tiba-tiba Liana menuntut kepastian.
Adam menelan air liur yang terasa kelat. Dia mengangguk sambil pura-pura tersenyum tenang. Perit di jiwanya hanya dia yang tahu. Namun seandainya itu sahaja yang akan membuatkan Liana hidup lebih tenang di sisinya, dia akan lakukan. Liana dan Aiman adalah hidupnya.
Mata Liana bercahaya semula. Bersama senyuman yang terhias indah di bibirnya, dia menatap wajah suaminya.
Adam turut tersenyum. Senyuman yang terukir di wajah Liana berjaya menyejukkan perasaannya seperti selalu. Senyuman yang selalu memberikan dia kekuatan di saat dia hampir rebah dan berputus asa. Senyuman yang selalu diharapkan agar menghiasi wajah itu sampai bila-bila bak bintang yang menemani malam.
“Bila abang nak mula kerja?” tegur Liana pula.
“Petang ini,” jawabnya dengan yakin. Segala arahan yang diberikan oleh lelaki yang bernama Borhan tadi dicatatkan dalam buku hitamnya.

No comments:

Post a Comment